NUFFNANG ADS

Tuesday, August 9, 2016

AF2016 umum barisan pelajar, pengacara


SERAMAI 14 pelajar terpilih bersedia membuka lembaran baru Akademi Fantasia 2016 (AF2016) selepas menobatkan jejaka kelahiran Singapura, Sufi Rashid sebagai juara pada musim lalu.

Program realiti itu terdiri daripada tujuh pelajar lelaki dan tujuh pelajar wanita iaitu Mohamad Amal Shafiq Osman, 21; dari Pulau Pinang; Amir Syazwan Masdi, 20, Selangor; Muhammad Ikram Kamaruzzaman, 26, Kuala Lumpur; Mohamad Afzarul Dzarif Mohd Mazle, 24, Johor; Azarul Rais Mansor, 22, Selangor; Halmy Hamizan, 23, Kuala Lumpur dan Mohamad Fara Aidid Ali Dad Khan, 23 dari Selangor.

Barisan pelajar wanita pula ialah Nur Hafizah Longkip @ Thomas, 23, Sabah; Nurfarrah Izzatie Johari, 19, Negeri Sembilan; Nurul Rahila Rashun, 20, Singapura; Isyariana Che Azmi, 26, Pahang; Jasper James Supayah, 23, Johor; Siti Aishah Abdul Razak, 20, Melaka; dan Kareshma Martin John Patrick, 18, dari Selangor.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, semua barisan pelajar itu  telah dikenalpasti menerusi sesi saringan pemilihan yang teliti.

"Kita menerima lebih 15,000 penyertaan melalui sesi dua kaedah sesi uji bakat iaitu secara dalam talian dan di lokasi.

"Selain berkebolehan untuk menyanyi dengan baik, setiap peserta juga memiliki pakej dan karisma yang cukup unik untuk diketengahkan," katanya dalam sidang media program realiti tersebut, hari ini.

Menariknya, kata Raqim, buat pertama kali dalam sejarah, produksi AF2016 juga bakal membuat kejutan dengan menyerap masuk juara pertandingan JoHARockStar anjuran radio EraFM.

"Kita percaya penonton setia program realiti ini pastinya sudah lali dengan pelbagai drama dan kejutan apatah lagi selepas sedekad bersiaran.

"Musim ke-13 ini,  kita akan serap masuk pelajar yang bakal bergelar juara bagi pertandingan nyanyian JoHARockStar sebagai kelainan sekali gus memberi cabaran kepada pelajar lain," katanya.

Dalam pada itu, AF2016 sekali lagi memberi kepercayaan kepada pelakon dan pelawak, Zizan Razak untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara konsert mingguan.

Tanggungjawab sebagai pengacara Diari AF pula diberikan kepada Dahlia Shazwan, Bazeman Huzir dan CK Faizal yang mana ketiga-tiga personaliti ini bakal mengendalikan program ini secara bergilir-gilir.

Rutin harian pelajar di akademi dapat ditonton menerusi Diari AF pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam6.30 petang, bermula 15 Ogos ini.

Konsert Mingguan AF2016 pula akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada setiap Ahad, jam 9 malam, bermula 21 Ogos ini.

Monday, August 1, 2016

Fara Fauzana nikah 17 September ini


SELEPAS berita mengenai perkahwinannya tersebar, hos dan bekas penyampai radio popular, Fara Fauzana akan mendirikan rumah tangga 17 September depan.

Menerusi sidang media yang diadakan di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara, Fara, atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohamad Fadzil, 36, berkata, majlis akad nikah dan resepsi pernikahan akan diadakan di lokasi sama.

“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Dia bersama keluarga datang berjumpa saya pada Februari lalu dan kami akan menikah pada jam 9 pagi di sini, diikuti resepsi pernikahan pada jam 12 tengah hari.

“Kedua-dua majlis ini akan dihadiri oleh kaum keluarga dan sahabat terdekat,” katanya.

Menceritakan detik pengenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai Hafiz ini, Fara berkata, segalanya diaturkan oleh sahabat baiknya dalam satu pertemuan di sebuah majlis.

Katanya, sikap bertentangan Hafiz dengan dirinya membuatkan dia selesa bersama lelaki itu.

“Keperibadian dia telah berjaya menawan hati saya. Dia mempunyai pengetahuan agama yang baik, pemalu, pendiam, penyabar, pandai masak.

“Pendek kata ia bertentangan dengan saya. Sebab itulah saya selesa bersama dengan dia,” katanya yang menegaskan lelaki tersebut masih lagi bujang.

Tambah Fara, dia dan teman lelakinya itu belum lagi berbincang mengenai kerjaya Fara selepas ini.

Bahkan dia tidak pasti sama ada Hafiz mengetahui bahawa dia seorang selebriti mahupun tidak.

“Kalau jumpa kami selalu bincang mengenai makanan sahaja (ketawa). Jadi saya tidak pasti lagi mengenai kerjaya saya selepas ini.

“Tapi di pihak saya, saya tidak ada masalah meneruskan karier saya seperti biasa,” katanya.

Berkongsi mengenai persiapan majlisnya nanti, Fara berkata, persiapan sudah berlangsung lebih 60 peratus dan dia akan mengayakan rekaan Rizalman pada hari bahagianya nanti.

“Insya-Allah majlis bertandang akan diadakan seminggu selepas itu, bagaimanapun saya masih tidak tahu perinciannya lagi.

“Bagaimanapun ia akan diadakan di sekitar Lembah Klang, memandangkan dia adalah orang Shah Alam,” jelasnya.

Berita mengenai majlis perkahwinan Fara mula bertebaran sejak beberapa hari lalu, setelah wakil Fara mula mengedarkan jemputan RSVP by Fara Fauzana.

Ujar Fara, dia tiada niat untuk mensensasikan majlis perkahwinannya dan membuat sidang media ini bagi memudahkan semua pihak termasuk media.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2