NUFFNANG ADS

Friday, May 31, 2013

Seniwati Latifah Omar belum sedar lepas bedah ulser


“Sudah lebih 30 jam, emak belum sedar lagi. Sebaik dibawa ke sini dan menjalani pembedahan, emak memang tidak sedar dan saya sendiri tidak pasti bilakah emak akan sedar kembali ,” kata Affendi Rahmat, 55, mengenai keadaan terkini ibunya, seniwati Latifah Omar (gambar), 74, yang kini masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut Affendi, ibunya yang mengalami penyakit ulser usus mengadu sakit dan muntah pada pagi Khamis selepas Subuh, sebelum keluarga membawanya ke Pusat Perubatan Kampung Baru. Melihat keadaan agak kronik, Latifah dimasukkan ke dalam ambulans untuk menerima rawatan di HUKM pada pagi itu juga.

Setibanya di HUKM, Latifah ditempatkan di ICU seterusnya menjalani pembedahan pada malam itu hingga berakhir pada jam 1.45 pagi.

“Pembedahan mengambil masa empat jam dan saya difahamkan banyak juga bahagian usus mak terpaksa dibuang. Penyakit ulser usus mak sudah lama dan ia membengkak dan menjadi keras, sebab itulah apa yang dimakan akan dimuntah kembali,” katanya.

Latifah Omar mula menceburi lakonan pada usia 16 tahun melalui filem Panggilan Pulau pada 1954 di samping Tan Sri P Ramlee. Bakat seni semula jadi dan seraut wajah keMelayuan asli ada padanya membolehkan Latifah terus menggilap nama sebagai primadona filem Melayu. Latifah yang sering digandingkan dengan Nordin Ahmad ketika aktif membintangi sebanyak 23 filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Jebat, Jalak Lenteng, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Che Mamat Parang Tumpul dan terakhir Hati Batu pada 1973. Menurut Affendi, tidak ramai rakan artis seangkatan ibunya malah pihak Seniman juga tidak diberitahu mengenai keadaan terkini ibunya itu.

Thursday, May 30, 2013

Noniswara tetap tuntut penceraian


Permohonan cerai secara baik yang difailkan pada Mac lalu gagal mendapat kerjasama suaminya, pelakon popular, Noniswara, tetap teguh dengan pendiriannya untuk berpisah.

Meneruskan perbicaraan kes penceraian itu dengan permohonan secara taklik pada 9 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah, menetapkan sebutan kes pada 18 Jun depan jika suaminya, Datuk Rosman Ridzwan enggan tampil ke mahkamah.

Menurut Noniswara atau nama sebenarnya, Noniswara Baharuddin, 46, peguamnya akan menghantar notis saman penyampaian gantian kepada Rosman kerana gagal menyerahkan writ saman sebelum ini.

"Mula-mula, saya mahu bercerai secara baik. Namun, sehingga tiga kali perbicaraan, dia gagal hadir.

"Jadi, hakim mencadangkan agar saya yang diwakili peguam menukar permohonan itu secara taklik. Mungkin ramai yang silap faham dan mengatakan saya menarik balik permohonan cerai sebelum ini.

"Sebenarnya, saya tidak pernah tarik permohonan, cuma tukar sahaja kerana cara sebelum ini gagal dilaksanakan," katanya yang menggunakan pelbagai cara untuk menyerahkan surat saman kepada suaminya namun gagal.

Tambah Nonis, kali ini, mahkamah mengarahkan kaedah penyampaian gantian digunakan dengan menampal notis di pejabatnya.

Nonis dan Rosman berkahwin pada 1 Ogos 2009. Nonis mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

Raja Azmi ditampar, disamun



Penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman melalui detik cemas apabila ditampar sebelum disamun oleh dua lelaki menunggang motosikal berhampiran Hotel Istana di Jalan Nagasari Kuala Lumpur kelmarin.

Kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika Raja Azmi, 54, sedang berjalan seorang diri menuju ke arah keretanya yang diletakkan di luar bangunan hotel berkenaan.

Cerita ibu kepada tiga orang anak itu, sebelum kejadian, dia baru pulang daripada menghadiri satu majlis kahwin yang diadakan di hotel tersebut.

"Pada jarak 20 meter dari kereta tiba-tiba muncul sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghampiri saya.

"Salah seorang suspek kemudian menolak saya menyebabkan saya terjatuh ke dinding di kaki lima hotel dengan beg tangan di bahu kiri manakala tangan kanan memegang telefon pintar Samsung Galaxy II," katanya ketika dihubungi wartawan.

Menurut Raja Azmi, suspek yang memakai topi keledar kemudian cuba menarik beg tangannya namun dia meronta-ronta sambil menjerit meminta tolong bagi menarik perhatian orang ramai yang berada di kawasan berhampiran.

Tuesday, May 28, 2013

Isu Khalwat Pelakon: 'saya bukan berdua-duaan'


“Ketika ditahan, saya bukan berdua-duaan, tetapi sebenarnya kami berlima. Saya sifatkan penahanan itu perangkap yang dikenakan ke atas saya,” kata pelakon, Shahrizal Jaszle, 25 atau Shah Jaszle.

Beliau berkata demikian mengulas isu penahanan khalwat ke atas dirinya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 16 Mei lalu.

Hampir dua minggu pelakon itu mengunci mulut selepas didakwa berkhalwat di Apartment Taman Sri Subang jam 3.30 pagi, akhirnya Shah Jaszle semalam tampil memberi penjelasan.

Katanya, beliau menganggap dirinya tidak bersalah kerana ketika kejadian, dia dan empat rakan lain turut ditahan.

Monday, May 27, 2013

Juri Realiti Raja Lawak: Pelawak Saiful Apek direhatkan


Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek, 44, direhatkan sebagai juri tetap program realiti Raja Lawak musim ketujuh selepas dia bersama tiga pekerjanya yang berhadapan pertuduhan penyalahgunaan dadah akan membela diri di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bermula 15 hingga 18 Julai ini.

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, keputusan untuk merehatkan Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff dibuat bagi membolehkan pelawak terkenal itu memberi tumpuan kepada kes berkenaan.

“Kami sudah berbincang dengan Saiful dan kami ambil keputusan untuk merehatkannya daripada komitmen sebagai juri tetap Raja Lawak musim ini hingga kesnya selesai,” katanya.

Nizam berkata, Astro tidak pernah menggantung atau menggam mana-mana pihak yang bekerjasama dengan mereka tanpa alasan kukuh.

“Kami cukup profesional dan bertolak-ansur dalam hal sebegini,” katanya.

Sunday, May 26, 2013

Zahid kahwin 7 Jun

ZAHID dan Sarah Julifa mula berkenalan pada sambutan Aidilfitri tahun lepas.

Juara Akademi Fantasia musim kedua, Zahid mengakui akan menamatkan zaman bujangnya pada awal bulan Jun nanti.

Kata Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 32, dia akan mengahwini gadis bernama Sarah Julifa Jusoh yang telah dikenalinya setahun lalu.

“Ya, memang benar saya akan berkahwin tidak lama lagi. Kami telah berkenalan sejak tahun lalu dan memutuskan untuk berkahwin pada 7 Jun ini.

“Majlis pernikahan akan diadakan di rumah sebelah perempuan di Teluk Intan, Perak dan resepsi akan berlangsung pada 8 Jun di rumah pengantin perempuan.

“Kemudian, majlis resepsi di sebelah pengantin lelaki akan berlangsung pada 15 Jun juga di Teluk Intan, Perak,” ujarnya yang ditemui ketika sidang akhbar pengumuman Akademi Fantasia 2013 di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Friday, May 24, 2013

Aaron bangga anak pandai berlakon

KELUARGA bahagia. Aaron bersama isteri dan anak-anak mereka.

MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Perumpamaan itu menggambarkan pengalaman manis pelakon popular Aaron Aziz melihat anak keduanya mewarisi sebahagian daripada bakat lakonannya baru-baru ini.

Aaron menjelaskan, dia bangga melihat prestasi Dwi Ariana yang kini berusia enam tahun berlakon dalam sebuah filem arahannya berjudul Romeo Kota secara tidak sengaja.

“Dia (Dwi Ariana) penyelamat saya pada hari itu. Ketika penggambaran pelakon tambahan kanak-kanak tidak hadir dan saya memujuknya untuk menggantikan tempat pelakon itu beberapa kali.

“Itu kali pertama saya melihat dia berlakon dan saya melihat dia mempunyai potensi dan disiplin untuk bersinar,” singkap Aaron.

Selain filem Romeo Kota, Dwi Ariana turut ditawarkan membintangi sebuah iklan untuk mempromosikan siri animasi terbaharu di saluran Disney berjudul Princess Fiona.

“Sepanjang penggambaran dari pagi hingga petang saya melihat dia bersungguh-sungguh menghafal skrip terutama bahasa Melayu kerana bahasa Melayunya agak teruk,” katanya.

Thursday, May 23, 2013

Fouziah Ghous pilih Datuk Seri


Sebelum ini, pelakon jelita, Fouziah Ghous sering kali dikaitkan dengan teman artis, Iqram Dinzly.

Ternyata hubungan cinta antara mereka tidak wujud kerana Fouziah sudah pun ada pilihan hati sendiri.

Bercakap kepada sebuah portal berita, pelakon filem Rasuk ini mengakui intim dengan seseorang bergelar Datuk Seri.

Perkenalan dengan teman istimewanya yang berstatus duda itu sudah pun terjalin beberapa tahun sebelum mula serius baru-baru ini.

Malah, Fouziah tidak menafikan dia sudah bersedia untuk memiliki teman hidup kerana usianya sudah mencecah 29 tahun.

Wan Sharmila kongsi rahsia awet muda


Pastinya wajah wanita kelahiran Johor Bahru ini sentiasa bermain di fikiran mereka.

Bukan sahaja memiliki wajah menarik dan senyuman manis, malah dia juga memiliki tubuh yang kecil molek sehingga ramai yang menyangka pelakon berusia 32 tahun ini masih remaja.

Menariknya, kerana perwatakannya itu juga, dia sering diberi peranan menjadi gadis sekolah dan remaja.

Pun begitu, bagi empunya nama Wan Sharmila Wan Mohamed ini, walaupun awet muda, dia sebenarnya seorang yang sentiasa menitik beratkan tentang penjagaan diri.

Akui pelakon yang popular menerusi drama Tari Tirana dan Nora Elena ini, dia tidak pernah mengabaikan penjagaan diri meskipun sibuk dengan tugasan sebagai pelakon dan rutin peribadi.

"Sebenarnya, saya tidaklah terlalu cerewet menjaga bentuk badan dan sebagainya, mungkin kerana badan saya sememangnya selesa begini, jadi ia senang hendak maintain. Namun, saya masih mengawal apa yang dimakan setiap hari.

"Biasanya, saya akan cuba mengurangkan kuantiti makanan yang diambil. Saya juga akan cuba memastikan pengambilan makanan berlemak, berminyak, yang manis dan masin dikurangkan. Tetapi ia bukan bererti saya menolak semua makanan dan yang paling penting, saya akan pastikan air mineral akan sentiasa ada dengan saya."sambungnya lagi.

Tuesday, May 21, 2013

Umie Aida Kembali Menyanyi


Aktres filem Embun  Datin Paduka Umie Aida baru sahaja merakamkan lagu bersama teman baiknya iaitu Erra Fazira. Malah, mereka juga sudah menjalani pembikinan klip video untuk single kolaborasi mereka itu di Sydney, Australia.

Apabila Umie menyatakan hasrat untuk menyanyi, ramai yang tertanya-tanya tentang kemampuannya.

Bagaimanapun, jangan pernah terlupa tentang fakta bahawa Umie terlebih dulu memulakan langkah sebagai pernyanyi apabila dia menyertai pertandingan nyanyian Asia Bagus ketika berusia 18 tahun.

Dia kemudian pernah menghasilkan dua album studio berjudul Romeo & Juliet (1999) dan juga Gema Kasih (2002). Adik kepada pengarah Erma Fatima itu juga pernah popular menerusi lagu Salam Taj Mahal dan juga Redup Kerinduan.

Walau bagaimanapun, kerjaya nyanyian Umie tidak begitu menyerlah berbanding karier lakonannya.

Rezekinya dalam bidang nyanyian juga tidak seperti Erra Fazira apabila aktres jelita itu berjaya dalam kedua-dua bidang tersebut.

Ditebak kenapakah dia ingin kembali menyanyi, dedah Umie, semuanya disebabkan oleh Erra.

"Ini semua idea Erra. Dia yang mengajak saya untuk menyanyi semula. Berduet bersama dan menghasilkan single. Saya tahu dan sedar tidak berapa bijak dalam bidang nyanyian. Tetapi, selepas Erra memujuk dan saya fikir tidak salah kalau saya sekadar mencuba," ungkapnya mengenai single kolaborasinya bersama Erra yang dicipta oleh Azlan Abu Hassan itu.

Masih belum mempunyai judul untuk single tersebut, ujar Umie lagi, dia menyanyi sekadar berseronok dan tidak mahu hidup dalam keadaan stres tanpa melakukan perkara yang disukai dan menggembirakan hati dan teman baiknya.

Eina : 'Dia kurang siuman'


SUSULAN kontroversi tiga penjuru yang menimpa pelakon, Eina Azman dengan ibu kepada pelakon, Afiq Muiz dan pelakon lelaki terbabit, Eina hari ini menegaskan untuk menyaman Hasliza Mohamad kerana kegagalan wanita itu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Minggu lalu, Eina memberikan tempoh selama tujuh hari kepada ibu Afiq untuk meminta maaf kepadanya secara terbuka selepas didakwa menyebarkan fitnah ke atas dirinya.

Ketika ditanya soal penerimaan Afiq terhadap hasratnya untuk menyaman Hasliza, pelakon Mimpi Cinderella itu mengakui tidak mendapat tentangan dari Afiq.

“Afiq OK saja. Afiq pun ada cakap dengan Eina, Eina perlu pertahankan hak Eina sebab dia (ibu Afiq) sudah memalukan Eina tanpa bukti yang kukuh.

“Eina tak tahu nak cakap. Kalau Eina cakap, nanti orang kata Eina kurang ajar pula. tapi Eina rasa, mak Afiq kurang siuman kot. Orang dah bagi notis tujuh hari pun, dia masih tidak takut...sedangkan dia tak ada bukti. Dia masih nak lawan,” katanya kepada wartawan ketika dihubungi, hari ini.

Menegaskan mempunyai bukti terhadap ‘serangan’ dari pihak Hasliza, Eina tetap meneruskan hasrat untuk menyaman wanita berusia 48 tahun itu.

“Tapi tak apa, kita teruskan (saman). Kita tengoklah nanti siapa, menang siapa kalah. Mak dia memang tak ada bukti. Apa yang dia cakap adalah fitnah,” katanya.

Eina yang dikaitkan dengan kisah Hasliza yang mendakwa Afiq Muiz sebagai anak derhaka, menyifatkan kontroversi tersebut sebagai murahan.

“Boleh tanya dengan Afiq, sepanjang masalah ini, siapa yang ada dengan dia? Mak dia ke keluarga dia ke atau Eina dan keluarga Eina?

“Memang Eina tak ada masalah dengan Afiq. Sehinggalah mak dia mencetuskan kontroversi murahan seperti ini. Pada Eina, ini adalah kontroversi murahan yang meminta simpati,” katanya.

Friday, May 17, 2013

Pelakon Shah Jazle ditangkap khalwat


Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan bahawa Mohd Shahrizal Jaszle Jasmi atau lebih dikenali sebagai Shah Jaszle telah ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jais pada 3.30 pagi semalam.

Serbuan dilakukan di Apartment Taman Sri Subang.

Penahanan Shah Jaszle berdasarkan kepada Seksyen 29 (1) A & B, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Pengangkapan dibuat berdasarkan aduan awam ke Bahagian Penguatkuasaan Jais.

Wednesday, May 15, 2013

Anuar disaran pinang Dayang


Anuar dan Dayang telah hadir pada sesi fotografi yang diaturkan sempena mempromosikan album terbaharu mereka iaitu Anuar Dan Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas yang kini sudah berada di pasaran.

Biarpun tujuan utama adalah untuk mempromosikan album berkenaan, tetapi dapat bertemu kedua-dua penyanyi yang boleh dikategorikan sebagai gred A itu pada masa yang sama telah memberi peluang untuk mencungkil lagi cerita-cerita menarik tentang mereka berdua.

Antaranya, mengenai status hubungan yang terjalin antara mereka memandangkan agak kerap digandingkan bersama dalam pelbagai persembahan nyanyian yang diaturkan sehingga ada yang beranggapan mereka bercinta.

Bagi menjawab segala persoalan yang timbul tentang status hubungan mereka itu, Anuar menjelaskan langsung tiada jalinan cinta antara dia dan Dayang.

"Kalau orang melihat kami beraksi mesra di atas pentas ketika menyanyi bersama-sama, ia tidak bermakna kami ini bercinta kerana apa yang kami lakukan itu sebagai satu cara penghayatan ketika menyanyi.

"Saya sudah agak lama mengenali Dayang iaitu sejak tahun 1999. Secara jujurnya saya menganggap dirinya tidak lebih sekadar seorang adik dan berasa agak pelik kalau ada yang menyangka kami ini bercinta," jelasnya mengenai status hubungannya dengan penyanyi kelahiran Sarawak itu.

Apa yang menariknya, Anuar turut mendedahkan bahawa kemesraan yang ditampilkan itu telah menyebabkan ramai yang suka dengan gandingan mereka sehingga ada yang menyuruh mereka berkahwin memandangkan kedua-duanya masih solo.

"Ketika menjayakan sesebuah persembahan ada peminat bertanya kepada saya tentang khabar Dayang kerana menyangka kami bercinta, sedangkan kami memang amat jarang bertemu memandangkan masing-masing sibuk.

"Terdapat beberapa kejadian lucu yang saya alami apabila terdapat peminat yang menyuruh saya berkahwin sahaja dengan Dayang kerana dia suka melihat keserasian kami," ujarnya.

Ketika ditanya apa yang menyebabkan dia kerap memilih Dayang sebagai rakan duetnya ketika mengadakan persembahan, Anuar menyatakan, dia begitu kagum dengan vokal dan bakat yang dimiliki oleh penyanyi yang popular menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu.

Tuesday, May 14, 2013

Pelakon Afiq Muiz nafi derhaka kepada ibu

AFIQ MUIZ (kiri) dan Eina.

Seorang pelakon remaja, Afiq Muiz Azman Shah, 21, menafikan dakwaan dia menjadi anak derhaka gara-gara terpengaruh dengan kekasihnya yang juga pelakon, Eina Azman.

Pelakon drama bersiri Mimpi Cinderella itu menafikan kenyataan ibunya, Hasliza Mohd. yang menuduh dia berubah menjadi pemarah dan mengikut telunjuk kekasihnya seperti yang dilaporkan sebuah portal hiburan baru-baru ini.

Menurutnya, dakwaan itu tidak berasas dan boleh menjatuhkan maruah serta kerjayanya sebagai pelakon.

“Saya tidak pernah keluar dari rumah dan tidak pernah sesekali membuang keluarga sendiri seperti yang didakwa.

“Saya tidak tahu motif ibu saya membuat kenyataan kepada portal hiburan itu. Saya sangat malu dengan kenyataan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Monday, May 13, 2013

Siti: Video muzik Galau dirakam sebelum berhijab penuh


Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza bakal dikritik peminatnya ekoran imejnya dalam video muzik terbarunya, Galau yang tidak bertudung penuh.

Menjelaskan keadaan itu, Siti berharap perkara itu tidak menjadi kontroversi memandangkan rakaman video muzik itu dibuat sebelum dirinya bertudung penuh.

"Saya harap ia tak menjadi kontroversi. Rakaman itu dibuat pada 7 Disember tahun lalu...sebelum saya berhijab penuh.

"Peminat pun tahu bila saya berhijab penuh iaitu pada awal Januari tahun ini. Itu (bertudung separuh) imej saya sebelum ini," katanya pada sidang media Pelancaran Single dan Video Muzik Galau, hari ini.

Mengulas lanjut soal itu, Siti berharap peminatnya faham.

"Ini sekadar lagu dan untuk saya ulang 'shoot', satu kesukaran buat mereka (produksi). Jadi, saya harap peminat faham dengan situasi saya.

"Pihak Universal Music sudah mengeluarkan bajet yang cukup besar untuk video tersebut. Jadi, tak adil kalau Siti tak keluarkan," katanya yang terpaksa menangguhkan pelancaran single sebelum ini ekoran suaminya, Datuk Khalid Muhamad Jiwa atau Datuk K mengalami kemalangan jalan raya.

Tambah Siti, penggambaran dijalankan di Moroccan Pavilion, Taman Botani, Putrajaya.

Siti Saleha jadi lesbian?


KEPELBAGAIAN  watak dalam lakonan tidak dinafikan mampu memberi impak yang positif terhadap karier seseorang anak seni yang bergelar pelakon.

Buat aktres cantik, Siti Saleha, dia bersetuju untuk memegang watak 'lesbian' dalam filem terbaru berjudul Tujuh arahan Raja Mukhriz adalah disebabkan untuk mencabar diri sendiri dalam menjayakan watak tersebut.

"Untuk menjadi pelakon yang lebih versatil, saya mahu cuba lakukan pelbagai watak supaya mutu lakonan saya dapat ditingkatkan. Lagi pun ini peluang baik untuk saya buktikan bakat lakonan saya kerana watak seperti ini memang jarang ada.

"Mungkin watak ini bakal menimbulkan isu tapi saya tidak kisah dan bagi saya inilah tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon," jelasnya.

Saleha memberitahu, dia bakal menjalani penggambaran filem itu bermula pada 20 Mei ini dan memberitahu pasangan lesbian dalam filem itu akan dilakonkan oleh pelakon Marsha Milan Londoh.

Friday, May 10, 2013

Ashraf Muslim: Saya difitnah


Nama Ashraf Muslim tiba-tiba kembali menjadi perhatian.

Bukan kerana kisah karier seni atau pun perihal klinik kesihatannya, tetapi mengenai kisah rumah tangga yang baru dua tahun terbina.

Bagaimanapun, ia juga bukan berkisar perihal penceraian sebaliknya Ashraf dikatakan akan berpoligami tidak lama lagi dengan kebenaran isteri pertama.

Ashraf yang dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), menolak untuk ditemubual dan lebih selesa untuk berdiam diri dan bersabar.

"Maaf ya, dengan rendah diri saya belum masanya untuk saya menjelaskan perkara sebenar. Lagipun orang media buat fitnah pasal saya, jadi lagilah saya akan berdiam diri dan bersabar," jelasnya.

Malah menerusi akaun Twitter miliknya, Ashraf turut meluahkan rasa sama: "Makin lama makin ramai yang suka melemparkan fitnah atas kepentingan sendiri. Ingat kita ada ALLAH," ujarnya ringkas.

Sebelum ini, Ashraf menerusi kenyataannya di sebuah akhbar, tidak menafikan ke mahkamah atas satu urusan, namun enggan mendedahkan urusan terbabit.

Tindakan Ashraf berahsia, bukan meredakan keadaan, sebaliknya satu demi satu cerita mula keluar termasuk identiti wanita yang bakal dikahwininya.

Sementara itu, dalam temu bual sebelum ini, Ashraf reda dengan ketentuan dan rezeki daripada ALLAH SWT, namun dia dan isterinya, Dr Noor Dayana Lokman, masih tidak berputus asa untuk menimang cahaya mata.

Menurut pelakon filem, Aku Masih Dara ini, mereka masih berusaha dan menganggap ia adalah sebahagian daripada ujian Ilahi.

“Memang kami teringin untuk bergelar ibu bapa, namun rezeki masih belum menyebelahi kami. Pun begitu, saya tidak pernah berhenti daripada berdoa setiap hari.

“Malah, kami turut menjalani beberapa kaedah rawatan termasuk perubatan Islam dan moden. Kami percaya, ia hanyalah ujian dari-Nya untuk menduga tahap kesabaran kami.

“Pun begitu, saya bersyukur kerana rumah tangga kami masih tetap utuh dan ia bukanlah alasan untuk kita beralih arah,” katanya.

Asyraf dan Dayana selamat disatukan pada 30 Ogos 2011 di Kota Suci, Makkah.

Tuesday, May 7, 2013

Ashraf enggan komen isu kahwin dua

USIA perkahwinan Ashraf dan Noor Dayana kini hampir mencecah tiga tahun.


Forum gosip hiburan popular di internet mengeluarkan satu dakwaan bahawa pelakon yang dahulunya pernah popular menerusi drama Manjalara, Ashraf Muslim, telah berkunjung ke sebuah mahkamah syariah baru-baru ini.

Tujuannya adalah untuk membuka sebuah fail mendapatkan kebenaran berkahwin dua dengan kelulusan isteri pertama.

Susulan dengan dakwaan terbabit, timbul desas-desus mengatakan punca tindakan Ashraf, 32, mahu berkahwin lain disebabkan tiada zuriat dengan isteri pertamanya, Noor Dayana.

Perkahwinan pasangan itu hampir memasuki usia tiga tahun setelah diijabkabulkan pada 30 Ogos 2011 di Tanah Suci, Mekah.

" Saya ada ke sana tapi saya tidak boleh komen lanjut atas sebab apa.

Adakah benar dakwaan rumah tangga Ashraf kini bergolak sehingga menyebabkan Ashraf berkahwin lain?

" Saya tidak perlu cakap. Memang ada isu tapi saya tidak boleh cerita sekarang" , Jelasnya.

Saturday, May 4, 2013

Jehan Miskin menikah dengan gadis korea


Pelakon terkenal, Jehan Miskin selamat diijabkabulkan dengan seorang wanita Korea, Julie Camelia Rhee pada satu majlis ringkas di Carcosa Seri Negara di sini semalam.

Jehan yang pada mulanya bimbang mengenai majlis tersebut mungkin terganggu jika ketiadaan jurunikah kerana diadakan sehari sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), bagaimanapun menarik nafas lega kerana majlis pernikahannya berjalan seperti yang dirancang.

Jehan dan Julie dinikahkan pada pukul 2.40 petang oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. Sahirman Ahmad.

“Pada mulanya, saya bimbang sebab sukar untuk mendapatkan khidmat jurunikah kerana banyak pihak balik kampung mengundi atau berkempen tetapi syukur semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui semalam.

Friday, May 3, 2013

A Aida dicerai talak dua

A. Aida

Pelakon dan penerbit, A Aida mengakui lega dan tenang selepas diceraikan talak dua oleh bekas suaminya, Deputi Superintendan Suffian Sulaiman di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, semalam.

 Aida sebelum itu agak terkejut selepas Suffian memaklumkan mahu menceraikannya dengan talak tiga semasa pertemuan di dalam kamar Hakim Syarie Umamuddin Yunus.

“Alhamdulillah semuanya selesai.Saya tidak kisah, janji sudah bercerai,” katanya.

Sebelum itu, Suffian bertegas untuk menceraikan Aida dengan talak tiga, bagaimanapun,  Umamuddin menegur tindakan Suffian kerana ia haram dan berdosa.

Suffian, 44, kemudian dipujuk oleh peguam Ismail Mohamad yang mewakilinya. Turut berada di kamar hakim ialah peguam Zulkifli Che Yong bagi pihak Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 41.

Pasangan itu bercerai secara baik di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 selepas Aida memfailkan permohonan pada 27 September tahun lalu.

Mereka juga bersetuju untuk menjaga anak tunggal bersama, namun hak jagaan kekal diberikan kepada Aida manakala Suffian dibenarkan hak melawat.

Suffian kini bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman.

Aida dan Suffian bernikah, 20 April 2007 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 4.

Wednesday, May 1, 2013

Zain dipilih bukan kerana Che Ta

3 juri MasterChef Selebriti Malaysia

PENYINGKIRAN Zain Saidin dalam rancangan realiti MasterChef Selebriti Malaysia 2 baru-baru ini seolah-olah menimbulkan rasa tidak puas hati pelakon berkenaan.

Menariknya, penonton setia rancangan berkenaan telah dapat menyaksikan tindakan pelakon itu yang mengkritik dan mempersoalkan keputusan juri yang dianggapnya sebagai tidak adil.

Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro, Azlin Reza Azmi berkata, pihaknya tidak menyalahkan sepenuhnya tindakan yang dilakukan oleh Zain kerana memahami situasi yang berlaku dalam sesebuah pertandingan.

“Saya tidak merasakan kelakuan Zain itu sebagai tindakan yang tidak profesional. Sebaliknya, saya menganggap dia sedang berada dalam keadaan yang agak tertekan.

“Adatlah dalam sesebuah pertandingan realiti, pastinya akan ada peserta yang tertekan dan beremosi. Setiap orang sudah tentu mahu bersaing untuk menang sehingga terjadinya perkara sebegini,” ujarnya ketika dihubungi semalam.
Mengenai dakwaan Zain yang menyatakan pemilihannya dalam rancangan tersebut kerana hubungan cintanya dengan Rozita Che Wan atau Che Ta, Azlin menafikan sekeras-kerasnya pihak Astro sengaja mengambil kesempatan terhadap hubungan mereka berdua.

Tegasnya, biarpun para peminat sudah mengetahui tentang percintaan Zain dan Che Ta, ia tidak bermakna penonton sekadar mahu menyaksikan aksi mereka dalam rancangan berkenaan.

Azlin menjelaskan, pemilihan pelakon itu dibuat berdasarkan populariti yang diraihnya menerusi drama bersiri terbitan Astro iaitu Oh My English! yang begitu mendapat sambutan penonton sehingga memasuki musim kedua.

“Pemilihan selebriti untuk menyertai rancangan ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria tertentu seperti pencapaian dalam sesuatu bidang dan Zain dipilih kerana umurnya yang masih muda serta popularitinya yang semakin meningkat.

“Sepatutnya tidak perlu timbul isu yang menyatakan pihak Astro sengaja memilih Zain dan Che Ta sebagai salah satu strategi untuk menaikkan rating rancangan ini,” tegasnya.

Pada masa yang sama, Azlin turut menegaskan bahawa kredibiliti tiga orang juri iaitu Adu Amran Hassan (Chef Adu), Moh Johari Edrus (Chef Jo) dan Zubir Mat Zin (Chef Zubir) tidak perlu dipertikaikan.

“Kami memilih ketiga-tiga juri ini berdasarkan kepada pengalaman luas dalam bidang kulinari sehingga ke peringkat antarabangsa dan mereka mempunyai kelayakan untuk mengadili sesebuah pertandingan masakan.

“Jadi, setiap keputusan yang dibuat oleh juri sememangnya sangat adil dan sepatutnya tidak boleh dipertikaikan. Semua peserta perlu menghormati segala keputusan mereka,” ujarnya.

Rabbani tunda konsert demi PRU13

Azadan Abdul Aziz

KONSERT Malam Kemuncak 5 Negara: Rebuild Gaza For A Nation yang sepatutnya berlangsung pada 1 Mei ditunda ke tarikh baru iaitu 8 Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Wakil penganjur yang juga ahli kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, konsert yang membabitkan ramai artis, tokoh dan pihak lain itu terpaksa ditunda berikutan tarikh asal yang hampir dengan pilihan raya.

Katanya, lokasi konsert juga bertukar daripada Stadium Malawati Shah Alam ke Space U 8 Mall, Shah Alam, namun karnival jualan  tetap diadakan bermula 3 hingga 8 Jun.

“Diharapkan dengan tarikh baru ini memberi peluang kepada mereka yang terbabit memberikan tumpuan kepada pilihan raya yang semakin hampir,” kata Azadan.

Menurutnya, sebelum acara kemuncak itu, penganjur  mengadakan pelbagai acara antaranya, Makan Malam Amal Hospital For Gaza dan Konsert Prelude Rebuild Gaza For A Nation, di Alor Setar, Kedah.

"Konsert ini baru sahaja selesai menerima sokongan daripada ramai artis termasuk Saujana, Mawi, Herman Tino, Nash, Mawleed, Nowseeheart, Fine dan Rabbani.

"Program ini dimeriahkan lagi dengan tayangan secara langsung rancangan Realiti bagi mengajak penonton melihat lebih dekat usaha Pembangunan Semula Gaza," katanya.

Untuk mengetahui maklumat lanjut, layari www.facebook.com/mapim dan www.mapim2u.com.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2