NUFFNANG ADS

Friday, August 31, 2012

Gambar Izreen Khatam Al-Quran






Gambar eksklusif majlis khatam al-Quran aktres popular, Izreen Azminda yang bakal diijabkabulkan malam nanti.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Izreen yang mengakui teruja untuk bergelar isteri orang memberitahu majlis khatam al-Quran telah dilakukan di kediamannya di Jitra, Kedah.

"Alhamdulillah, saya baru saja selasai mengadakan majlis khatam al-Quran yang bermula jam 10 pagi tadi. Antara yang hadir ialah ahli keluarga saya dan keluarga pihak lelaki.

Doakan semuanya berjalan lancar," ujar Izreen yang bakal melakukan majlis persandingan pada 31 Ogos ini.

Filem 29 Februari cipta sejarah filem pertama 3D Malaysia


Barisan karyawan yang terlibat dalam filem 29 Februari


SELEPAS meraih pelbagai kejayaan dan kemenangan melalui filem Hikayat Merong Mahawangsa dan Magika, KRU Studios kini kembali dengan filem 3D pertama di Malaysia yang berjudul 29 Februari arahan Edry Abdul Halim.

Kru Studios yang terkenal sebagai peneraju penerbitan filem dengan penggunaan kesan khas (CGI) kembali memberikan kelainan dengan mengetengahkan filem bergenre baru ‘biografi fantasi’ yang diarahkan pengarah yang memenangi anugerah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 23 (FFM23) melalui filem Magika.

Ketika ditemui pada sidang media yang diadakan selepas majlis tayangan perdana filem itu baru-baru ini, Edry berkata, “penggunaan teknologi 3D adalah sebagai salah satu langkah untuk industri perfileman kita maju ke hadapan dan kerana itu saya mengambil inisiatif untuk belajar menggunakan teknologi 3D sekali gus mengaplikasikannya dalam filem ini.”

Filem 29 Februari yang dibintangi pelakon Remy Ishak, Jojo Goh, Fizz Fairuz dan Muniff Isa itu turut memuatkan footage video asal ketika pengisytiharan Merdeka serta nostalgia sejarah negara yang sekali gus mengimbau kenangan yang mengambarkan situasi pada zaman terbabit.

“Footage asal itu saya perolehi daripada Arkib Negara, kebanyakan visual itu sudah rosak dan di situlah cabarannya untuk memastikan ketulenan dan keaslian 'scene' bersejarah itu dapat dikekalkan untuk diproses menggunakan teknologi 3D yang terdapat dalam filem ini,” kata Edry.

Sementara itu, menurut Penerbit Eksekutif filem 29 Februari, Norman Abdul Halim, filem yang menelan belanja sebanyak RM3.5 juta itu ditayangkan serentak di 79 pawagam di seluruh negara mulai semalam.

Filem ini akan ditayangkan di dua pawagam di Brunei dan dua lagi pawagan di Singapura mulai 6 September ini.

Keistimewaan filem ini bukan sahaja terletak semata-mata pada lakonan mantap para pelakon, teknologi 3D  serta CGI tetapi juga daripada segi skor muzik, penataan bunyi serta muzik asal yang dinyanyikan sendiri oleh Remy Ishak melalui lagu Kelip-kelip, Jagalah Diri dan Seperti Dulu.

Filem 29 Februari yang berlatarbelakangkan persekitaran dari 1896 sehingga 2012, mengisahkan kehidupan Budi (Remy) yang dilahirkan pada tahun lompat 29 Februari 1896 dan hanya dimakan usia empat tahun sekali.

Thursday, August 30, 2012

Izzue Nafi Bertunang


Sebelum ini, sebuah akhbar telah melaporkan berita mengenai pelakon 29 Februari yang juga ahli kumpulan Forteen, Izzue Islam telah menyembunyikan statusnya sebagai tunangan orang.

Menurut sumber, wanita berkenaan lebih berusia daripada Izzue dan tidak terlibat dalam bidang seni.

Wartawan menghubungi si empunya diri untuk mendapatkan kenyataannya.

"Saya tidak bertunang dengan sesiapa dan tiada sebarang majlis pertunangan yang dilakukan. Namun saya tidak marah kepada si penyebar cerita malah cukup berterima kasih kepadanya kerana mendoakan sesuatu yang baik buat saya. Andai saya bertunang nanti, pasti saya akan berkongsi bersama peminat semua," ujar Izzue penuh makna.

Lisa Surihani Galas Watak Tun Siti Hasmah

Selepas aktres Erra Fazira menarik diri daripada membawakan watak Tun Siti Hasmah di dalam pementasan teater 'Tun Siti Hasmah', dikhabarkan pelakon popular, Lisa Surihani diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas tersebut.

Menariknya juga, teater ini turut menampilkan sekali lagi Esma Danial sebagai Tun Mahathir di zaman tua, manakala Nazim Othman sebagai Tun M ketika muda.

Pemilihan kesemua pelakon tersebut dibuat selepas Erra Fazira dan beberapa pelakon lain tidak dapat memberikan komitmen ekoran jadual kerja mereka yang padat selepas jadual pementasan ditunda.

Mengikut jadual asal, teater 'Tun Siti Hasmah' akan dipentaskan pada 31 Ogos ini. Terbaru, naskah yang akan diarahkan oleh pengarah tersohor, Erma Fatima ini akan dipentaskan bermula 14-23 September depan.

Norish Karman digosip punyai anak luar nikah

Norish Norish Karman dikerumuni wartawan ketika membuat kemunculan pada majlis rumah terbuka Wanita Hari Ini di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor semalam.






SELEPAS berdiam diri selama lebih kurang setahun, Norish Karman kini telah berani berkongsi kegembiraannya dengan media berkaitan anak keempatnya, Muhammad Haq Lutfie Alexander yang dilahirkan tanggal 24 September 2011 biarpun pada hakikatnya dia masih mengunci rapi persoalan siapa bapa kepada anak kecilnya itu.

Sebelum ini, Norish menjadi mangsa gosip liar pihak yang mendakwa dia mempunyai anak luar nikah sedangkan dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang hal tersebut.

Bagi pelakon berusia 38 tahun itu, hidupnya kini bahagia bersama Muhammad Haq serta tiga lagi anaknya hasil perkahwinannya terdahulu iaitu, Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd. Hardy Amieran, 9, dan Nur Hanyz Amanda, 8.

Walaupun baru-baru ini dia telah memperkenalkan Muhammad Haq buat tatapan umum, Norish melahirkan kesyukuran dan mengakui dirinya berasa bertuah kerana tidak terus dicemuh malah dihargai oleh peminatnya.

Ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri program Wanita Hari Ini di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor semalam, Norish berkongsi kebahagiaan bersama anak-anaknya itu.

" Tiada apa-apa normal sahaja, selepas umum mengetahui Muhammad Haq anak saya, sokongan peminat kepada saya masih kuat. Kalau tidak percaya tengok Facebook saya, peminat beri sokongan dan kata-kata perangsang. Apabila saya keluar (rumah) semua orang sayang dan peluk saya, setakat ini tidak ada kata-kata cemuhan semua macam biasa sahaja.

Tuesday, August 28, 2012

Kes tuntutan hadanah Jimmy Shanley 6 Disember

Jimmy dan Nursuhaila keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.


Isi kandungan dua keping cakera padat (CD) yang diserahkan pengacara, Jimmy Shanley dalam perbicaraan kes tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) kepada Mahkamah Tinggi Syariah akan dilihat pada 6 Disember nanti.

Hakim Syarie, Mawardi Che Man memutuskan demikian setelah peguam Saadiah Din mewakili Nursuhaila Eliani Suhaimy, memohon tarikh lain bagi membolehkan pihaknya melihat kandungan CD itu terlebih dahulu.

Bagaimanapun, kandungan CD itu tidak didedahkan kepada umum dan hanya boleh dilihat di mahkamah menerusi skrin komputer yang dipasang terus depan kedua-dua pihak.

Mawardi turut menetapkan satu lagi tarikh lain iaitu pada 29 Januari 2013, bagi tujuan sama.

Jimmy, 32, dalam keterangannya memberitahu kandungan CD tersebut diambil sendiri menggunakan iPod.

Rakaman tersebut diambil pada Ogos 2010 dan 5 Disember 2010 di rumah Nursuhaila Eliani.

Pengacara itu, bersetuju menjadikan keseluruhan afidavit yang mengandungi 48 perenggan sebagai keterangan tuntutannya.

Saadiah ketika dipanggil menyoal balas Jimmy meminta agar mahkamah menetapkan tarikh lain kerana pihaknya baru menerima afidavit yang mengandungi dokumen berbentuk rakaman pada 17 Ogos lalu.

Menurutnya, beliau tidak sempat mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya berhubung dokumen yang baharu diperoleh.

Bagaimanapun, Saadiah bersetuju kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang turut disertakan bersama afidavit tersebut ditandakan dengan syarat dia dibenarkan untuk melihat semua SMS asal yang didakwa dikirim anak guamnya kepada Jimmy.

Jimmy ketika ditanya hakim memberitahu dia bersedia mencetak keseluruhan isi kandungan SMS tersebut jika diarahkan berbuat demikian.

“Saya terima SMS daripada nombor telefon bimbit plaintif dan ibu mentua.

“Saya tidak ada masalah hendak cetak semua, tetapi ia akan mengaibkan pihak ketiga,” katanya.

Dalam kes ini, Jimmy diwakili peguam  Mohd Noor Aizan Md Idrus.

Pasangan itu bernikah pada 1 Oktober 2010 dengan mas kahwin sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.

Isu hak penjagaan anak perempuan tunggal pasangan kontroversi itu, Zarah Shanley timbul apabila Nursuhaila mengemukakan tuntutan hadanah di mahkamah, namun kelayakannya dalam tuntutan itu dipertikaikan Jimmy.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebelum ini untuk mula bicara, namun tidak dapat diteruskan berikutan timbul perkembangan terbaru Nursuhaila yang bercadang supaya hak penjagaan itu diberi sama rata dengan cara giliran setiap minggu.

Pasangan suami isteri itu yang kini tidak lagi tinggal bersama, bagaimanapun, gagal mencapai kata sepakat dan penyelesaian terpaksa dibuat melalui perbicaraan.

Lan A to Z dapat anak lelaki

Anak lelaki Lan yang diberi nama Muhammad Darwish






PENYANYI berkumpulan yang terkenal dengan lagu Itek Gembo-Gembo, Lan A to Z dan isteri, Siti Nur Ain Daut menimang cahaya mata lelaki, semalam.

Bayi seberat 3.1 kilogram yang diberi nama Muhammad Darwish itu dilahirkan pada 2.45 petang di Hospital Selayang.

Lan atau nama sebenarnya, Norazlan Abd Aziz, 43, ketika dihubungi menyatakan keterujaannya dengan kelahiran bayi lelaki sulungnya itu.

“Perasaan saya tentulah sangat gembira lebih-lebih lagi lahir dalam bulan Syawal dan ini merupakan hadiah raya yang sangat bermakna buat saya dan isteri.
Lan dan isteri, Siti Nur Ain



“Ketiga-tiga kakaknya juga sangat teruja dengan kelahiran adik baru mereka dan tidak sabar-sabar untuk skype melihat wajah Darwish,” kata Lan.

Lan mendirikan rumah tangga dengan Siti Nur Ain, 24, pada 11 November lalu di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Baru, Selangor.

Perkahwinan ini merupakan yang kedua buat Lan yang sebelum ini turut mempunyai tiga anak perempuan, yang kini menetap di London dengan bekas isterinya, Marcella Casissi Shariff.

Mengenai sambutan raya kali ini, dia hanya menyambut hari lebaran di Rawang bersama kedua-dua belah kaum keluarga yang tinggal berdekatan dengan rumah pasangan itu.

Monday, August 27, 2012

Shaarnaz watak panas baran?

Shaarnaz bersama pelakon Di Bawah Langit Mu



BIARPUN kelibatnya sering dilihat di kaca televisyen, namun hakikatnya, tidak ramai yang mengenali aktor bernama Sharnaaz Ahmad ini.

Hanya selepas kisah cintanya dengan penyanyi, Shila Amzah menjadi bualan hangat, barulah kehadiran anak jati Pulau Pinang ini diberi perhatian.

Tidak mahu sekadar bersandar pada kisah cintanya sahaja, Sharnaaz membuktikan, dia masih mempunyai bakat besar yang perlu tonjolkan kepada umum.

Buktinya, pelakon berusia 26 tahun ini semakin mendapat perhatian setelah membintangi drama bersiri Bukan Bidadari, di Slot Lestary, TV3 yang bersiaran setiap Selasa pada jam 9 malam.

Malah dek keberkesanannya melakonkan watak seorang lelaki panas baran, kasar dan kaki pukul, dia diberikan kepercayaan untuk menggalas peranan utama sebagai Osman menerusi cerekarama Di Bawah Langitmu yang disiarkan pada raya keempat, baru-baru ini.

Bergandingan dengan aktres cantik, Nora Danish sebagai suami isteri menerusi drama itu, Shaarnaz berkata, dia bersyukur kerana kariernya kini mula berkembang dengan baik.

"Alhamdulillah, mungkin tahun ini permulaan bagi saya meyakinkan pihak penerbit, pengarah, stesen televisyen dan penonton kemampuan saya sebagai pelakon.

"Jika sebelum ini watak yang didukung lebih santai dan mudah tetapi berbeza pula dengan kedua-dua drama terbaru saya ini," katanya.

Berkongsi mengenai wataknya itu, Sharnaaz berkata, dia yakin, penonton akan melihat sisi lakonan yang berbeza dalam kedua-dua drama lakonannya itu, meskipun membawakan karakter yang hampir sama.

"Ini kali pertama saya melakonkan watak menjadi seorang yang sangat pemarah dan ditakuti isteri. Bukan mudah sebenarnya, saya perlu memastikan watak hidup dan tidak kaku, lagi pun saya bukanlah orang yang begitu.

"Rasanya ramai yang terkejut dan tidak sangka saya membawakan watak tersebut, saya cuba lakukan yang terbaik supaya karakter saya nampak berbeza," katanya yang terkenal dengan sifat gila-gila dan mesra.

Ditanya adakah dia selesa membawakan watak sebegitu, ujarnya dia tidak kisah kerana ia sekadar di dalam lakonan.

"Sebagai pelakon saya perlu menerima apa sahaja watak yang diberikan, bahkan watak panas baran dan kaki pukul ini sebenarnya berjaya mencabar kemampuan saya.

"Bergandingan dengan Nora Danish juga sangat seronok kerana dia pelakon yang bagus dan senang bekerjasama. Bahkan, dia tidak kisah walaupun saya terpukul dia betul-betul untuk beberapa adegan,” katanya.

Amyza Aznan keguguran

PELAKON yang terkenal menerusi drama bersiri 3T: Tan, Tin, Tun, Amyza Aznan,36, berkongsi berita mengenai keguguran kandungan yang baru berusia tiga minggu.

Perkara itu disahkan sendiri pelakon itu menerusi laman Twitternyapetang ini, antara lain menulis, “takde rezeki.  Perancangan ALLAH lebih baik.  Aku redha.  Keguguran anak ketiga.”

Bagaimanapun dia tidak menyebut bila mengalami keguguran.

Pelakon manis itu sudah mempunyai dua cahaya mata, Andre Mikhail dan Adrian Adam, hasil perkongsian hidup dengan Khairil Izhar Mohd Nazir.

Amyza dan Khairil Izhar berkahwin pada 2004.

Tauke-Meera sah cerai

Ketika saat bahagia Tauke dan Meera




PELAWAK yang lahir menerusi program realiti Raja Lawak terbitan Astro, Tauke, mengesahkan bahawa dia dan isterinya sudah tidak mempunyai sebarang ikatan, sejak dua minggu lepas.

Tauke atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria, 36, menjelaskan dia sudah melafazkan cerai talak satu ke atas Meera, 23, pada 12 Ogos lalu.

“Sekarang saya sudah tiada apa-apa hubungan dengan dia dan memang saya sudah kembali solo sejak dua minggu yang lalu,” katanya.

Sebelum ini kecoh mengatakan rumah tangga yang dibina Tauke dan Meera yang baru berusia beberapa bulan berdepan masalah besar.  Mereka dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung dan khabarnya Tauke juga sudah lama tidak bertemu Meera.

Menjawab dakwaan itu, Tauke menjelaskan, “memang benar sebelum ini rumah tangga kami dilanda krisis agak besar apabila dia keluar dengan membawa semua pakaiannya, pada bulan Julai lalu dan puncanya biarlah saya rahsiakan saja."

Perkahwinan ketiga Tauke dengan model sambilan itu berlangsung pada April lalu dan dia mempunyai enam orang anak hasil daripada dua perkahwinan pertama.

Ketika ditanya sama ada dia sudah serik untuk berkahwin lagi, Tauke berkata: “Kalau ada jodoh pada masa akan datang, saya tidak akan menolak tetapi apa-apa pun saya kini mahu lebih fokus kepada kerjaya terlebih dahulu."

Ketika ditanya sambutan Syawal yang lalu, Tauke meraikan Hari Lebaran di kampung halamannya di Pasir Gudang, Johor bersama keluarganya.

Tauke dan rakan kumpulan Jambu, Yus dijangka kembali dengan program komedi berjudul Pondok Jambu yang bakal bersiaran di Astro Warna bermula bulan depan.

Sunday, August 26, 2012

Tahun paling sibuk Siti Saleha

Siti Saleha


Pelakon muda, Siti Saleha yang mengambil kesempatan hari raya ini dengan bercuti bersama keluarganya.

Baru tiga tahun dalam industri hiburan tanah air, gadis berusia 22 tahun ini mengakui tahun ini merupakan tahun tersibuk buatnya beraya sebagai selebriti.

Berkat penangan Nora Elena, pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd Baharum ini mengakui sepanjang bulan Ramadan lalu, jadualnya begitu padat dengan penggambaran drama mahupun filem.

“Alhamdulillah, rezeki saya pada tahun ini semakin banyak. Boleh dikatakan sepanjang tahun ini saya begitu sibuk menjalani penggambaran drama dan filem jadi ruang untuk berehat sedikit terhad.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Apabila difikirkan kembali, usia muda seperti ini kita perlu banyak bekerja keras, namun saya masih lagi menitikberatkan soal penjagaan kesihatan.

“Jadi, kesempatan hari raya ini saya ambil untuk merehatkan diri dan bercuti bersama keluarga,” katanya yang berhari raya di Klang.

Mengakui raya tahun ini dirasakan lebih meriah, Siti Saleha berkata, kelainan rayanya kali ini adalah dengan kunjungan kakaknya, Rosnah Tracey yang sudah lima tahun tidak pulang beraya bersama keluarga mereka.

“Raya tahun ini begitu bermakna buat kami sekeluarga kerana selepas lima tahun kakak saya yang menetap di United Kingdom pulang berhari raya bersama kami sekeluarga.

“Jadi, dengan kepulangan itu kami sekeluarga merancang pelbagai perkara untuk dilakukan bersama sepanjang Syawal ini. Antaranya ialah dengan membawa kakak bercuti ke Pulau Perhentian memandangkan dia begitu gemarkan suasana pulau,” katanya yang merancang pergi ke spa semasa di pulau tersebut.


Saturday, August 25, 2012

Nora Danish bahagia di samping Rayqal


Nora Danish bersama buah hatinya, Rayqal







Tahun ini merupakan tahun keempat pelakon kecil molek ini menyambut lebaran sebagai ibu tunggal. Tidak pernah rasa tersisih, Nora Danish berkata, Syawalnya tetap bermakna dengan satu-satunya anak lelakinya, Putra Rayqal, 4, di sisi.

Malah kemeriahan Aidilfitri masih terasa meskipun sudah seminggu meraikannya. Menurut Nora, dia kini semakin gembira dengan kehidupannya. Tiada yang lebih bahagia buatnya apabila dapat melihat Rayqal membesar di depan mata.

"Dalam usianya yang semakin meningkat, ada sahaja keletah dan tingkah lakunya yang mencuit hati saya. Sekarang dia dah pandai bergaya dan baju raya pun dia nak pilih sendiri.

"Kalau dulu dia pakai sahaja apa yang saya berikan, tetapi sekarang dia dah pandai minta macam-macam," kata Nora sambil tersenyum.

Jelas Nora, Rayqal juga pandai mengkritik pakaiannya. "Kalau baju yang saya pakai tidak cantik di matanya, pasti dia akan memberi teguran," katanya yang suka berpakaian sedondon dengan Rayqal.

Rita: Saya ibu dan ayah kepada anak-anak




Aktres jelita Rita Rudaini, 36,  merakam suasana raya dirinya bersama dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang masing-masing berusia tiga dan satu tahun, berlangsung dalam keadaan cukup tenteram di kediaman Rita di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Cuma sekali-sekala anak-anaknya meragam, mahu dipeluk dan didukung ibunya yang ketika itu sedang sibuk disolek oleh jurusolek Tiar Zainal.

Apabila semua sudah bersedia, tanpa disuruh ketiga-tiga mereka beraksi dengan penuh gaya terutama anak sulung Rita, Rayyan yang seperti tidak sabar menyambut raya tatkala disarungkan baju Melayu.

Qaqa pula tidak henti-henti berjalan di sekeliling rumah kerana baru sahaja pandai berjalan. Kata Rita: "Macam inilah anak-anak saya, tetapi saya seronok sebab dapat saksikan mereka membesar di depan mata saya sendiri.

"Setiap momen istimewa anak-anak seperti gigi pertama tumbuh, langkah pertama serta perkataan pertama yang disebut semuanya terpahat dalam ingatan saya."

Sememangnya anak-anak Rita membesar dengan baik, namun jauh di sudut hatinya, Rita tahu anak-anaknya kehilangan sesuatu yang sangat besar iaitu kasih sayang dan belaian seorang ayah.

"Sekarang ini, sayalah ibu dan ayah untuk anak-anak saya sejak Aidil meninggalkan rumah tujuh bulan yang lalu. Anak-anak pun jarang bertanya tentang ayah mereka kerana sejak kecil lagi ayah mereka jarang menghabiskan masa bersama.

"Sebagai ibu, saya akan melakukan yang terbaik supaya anak-anak saya tidak rasa kekurangan walau sedikitpun berbanding orang lain disebabkan masalah rumah tangga saya dan Aidil," luah Rita penuh serius.

Ketika di Malaysia sedang kecoh dengan isu rumah tangganya, sekitar Jun lalu Rita sempat menenangkan diri seketika ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah bersama anak sulungnya.

Akui Rita, pemergiannya ke Tanah Suci adalah untuk mengumpul kekuatan bagi menempuh hari-hari yang mendatang.

"Saya berdoa, jika perkara yang baik dekatkan dengan saya, jika perkara yang buruk harap dijauhkan selain berdoa yang terbaik untuk keluarga saya," ucap Rita sedikit perlahan.

Thursday, August 23, 2012

Wajah Anak Sulung Farah AF



Inilah wajah comel anak sulung kepada bekas pelajar Akademi Fantasia, Farah yang telah selamat dilahirkan pada 15 Ogos lalu.

Menurut kenyataannya menerusi laman Twitter, Farah berkata, “Alhamdulillah.  Selamat datang ke dunia, puteriku. Farah OK dan baby juga sihat.”

Farah, 27, yang terkenal dengan ‘trademark’ Breep Breep mendirikan rumah tangga dengan usahawan Johan Johari, 27, di Putrajaya pada 15 Julai tahun lalu.

Saya tidak atur 'hubungan Aidil-Jue'- Ayu

Ayu Raudah




NAMA pelakon cantik yang baru sahaja berhijab sejak 1 Ramadan lalu, Ayu Raudhah kembali menjadi fokus ekoran dakwaan menjadi orang tengah antara abang iparnya, Aidil Zafuan dengan pelakon Jue Aziz.

Menurut ruangan gosip sebuah akhbar mingguan Ahad lalu, Aidil, yang merupakan suami Rita Rudaini, menjalin hubungan cinta dengan Jue.

Laporan itu mendakwa perkenalan kedua-dua mereka diatur oleh Ayu.

Menjawab dakwaan itu, Ayu berkata, "saya tidak tahu macam mana nama saya boleh dikaitkan dengan hal itu."

"Ini kerana saya tidak pernah mencampuri segala hal dan urusan hidup Aidil," kata Ayu.

Dengan nada kecewa Ayu menambah, "sekarang ini, apa saja berkaitan Aidil, mesti nama saya terpalit sama sedangkan saya tidak tahu menahu mengenai perkenalan mereka."

Ayu mengaku ada membaca gosip itu berkata, lebih elok soalan berkaitan dituju kepada Aidil dan Jue sendiri.

"Tanya kepada tuan badan sendiri kerana saya memang tidak ketahui pucuk pangkalnya dan tak pasal-pasal nama saya yang kena," katanya.

Ayu sebelum turut dihimpit kontroversi apabila dikatakan dirinya dan suaminya, Zaquan Adha mencampuri urusan rumah tangga Aidil dan Rita dengan 'membantu' Aidil keluar dari rumahnya.

Aidil dilaporkan meninggalkan kediaman mereka di Damansara pada Januari lalu.

Pada 16 Mei lalu, Aidil telah menarik balik permohonan untuk bercerai dengan isterinya atas alasan mahu berdamai selain memikirkan kebaikan kedua-dua anak mereka.

Aidil juga mahu Rita dan anak-anak berpindah dari kediaman mereka ketika ini di Damansara ke rumah yang baru tajaan ATM, yang didiami Aidil di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 dan perkahwinan itu tidak mendapat restu keluarga.

Sepanjang perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

Wednesday, August 22, 2012

Yahya Sulong Koma

Pelakon dan pelawak veteran, Datuk Yahya Sulong, 84, dilaporkan koma dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana terjatuh di bilik air rumahnya di Bandar Baru Sentul, pada Isnin lalu.

Dipetik daripada portal berita Utusan Online yang menghubungi saudara terdekat beliau, isteri kepada pelakon ini iaitu Datin Alisah Ali, 65, juga baru sahaja dimasukkan ke hospital dan turut dirawat di tempat yang sama.

Sama-sama kita doakan agar Yahya Sulong dan isteri cepat sembuh dan sihar seperti biasa.

Tuesday, August 21, 2012

Raja Azmi bawa anak balik beraya di kampung


BAHAGIA. Raja Azmi bersama anak-anaknya, dari kiri: Puteri Suraya, Megat Deli dan Puteri Suaida menyambut raya di Taiping, Perak.




AIDILFITRI tahun ini merupakan kali pertama, Raja Azmi Raja Sulaiman menyambutnya tanpa suami tercinta, Jalani Sidek selepas melayari bahtera perkahwinan selama 28 tahun. Mereka telah bercerai lebih sebulan lalu.

Disebabkan penceraian itu atas kehendak mereka sendiri, dia reda dan meneruskan kehidupan dengan membawa tiga anaknya dan seorang cucunya pulang ke kampung asalnya di Taiping, Perak menyambut hari raya pada tahun ini.

Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18, serta cucunya, Muhammad Akid Muhammad Shadan, 1, akan mengikutnya pulang ke Taiping selepas lebih 20 tahun dia tidak menjejakkan kaki ke kampung halamannya itu.

Bukan disebabkan lupa daratan atau ada alasan lain, tetapi kerana kedua-dua orang tuanya sudah berhijrah ke Kuala Lumpur dan kebiasaannya rumahnya di Ukay Perdana menjadi tempat berhimpun enam adik-beradiknya termasuklah ibunya sendiri.

“Megat Deli terutamanya tidak pernah kenal rumah tempat saya membesar, sekolah tempat saya belajar dan sebagainya.

“Lagipun saya sudah tiada suami, inilah masa kami balik kampung bersama keluarga belah saya pula,” ujarnya ketika ditemui di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, seminggu sebelum Aidilfitri menjelma.

Penerbit filem ...Dalam Botol itu juga memberitahu, sebelum ini ketika masih bersama Jalani, mereka sekeluarga akan pulang ke kampung bekas suaminya itu di Banting, Selangor.

“Dulu kami bukan macam suami isteri lain yang selalu nak berebut balik kampung, saya tidak kisah tiap-tiap tahun balik Banting. Disebabkan itulah lama saya sudah tidak balik Taiping,” ujarnya.

Mengenai pertama kali beraya tanpa suami, wanita itu mengaku dia berasa sedih kerana tidak dapat mencium tangan suami seperti kebiasaan pada pagi Aidilfitri.

Bagaimanapun, dia perlu reda kerana penceraian itu adalah kehendak mereka sendiri.

Baginya, penceraian itu adalah rancangan sendiri, dan Tuhan telah menerima rancangan tersebut disebabkan itu dia akan menghadapi segala dugaan dalam mengharungi hidup berseorangan dengan cekal.



Monday, August 20, 2012

Anak Rini AF meninggal dunia

Gambar kombinasi Rini (kanan) dan bayinya, Maryam Joanna Johanis.


SETELAH empat hari kritikal, anak sulung penyanyi program realiti Akademi Fantasia (AF7), Rini meninggal dunia di Kajang, tengah hari 17 Ogos.

Maryam Joanna Johanis, yang dilahirkan pada 9 Ogos lalu disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang.

Maryam dibawa ke hospital selepas terjatuh dari katil secara tertiarap.

Berita pemergian Maryam disahkan oleh rakan Rini yang juga penyanyi, Isma menerusi laman Twitternya.

Menurut Isma ketika menziarahi arwah, Rini dalam keadaan stabil dan redha dengan ketentuan Illahi.

"Walapun beberapa hari sebelum Syawal tiba, namun Rini kelihatan cukup tenang berbanding di awal insiden beberapa hari lalu," kata Isma.

Rini melahirkan Maryam di Hospital Putrajaya jam 9.34 pagi 9 Ogos lalu dengan berat 4.25 kilogram secara pembedahan.

Thursday, August 16, 2012

Farah AF dapat anak perempuan

BEKAS peserta finalis Akademi Fantasia (AF) musim kedua, Farah Diana Anuar selamat melahirkan seorang anak perempuan, semalam.

Menurut kenyataannya diperoleh menerusi laman Twitter, Farah berkata, “Alhamdulillah.  Selamat datang ke dunia, puteriku. Farah OK dan baby juga sihat.”

Farah AF2, 27, yang terkenal dengan ‘trademark’ Breep Breep mendirikan rumah tangga dengan usahawan Johan Johari, 27, di Putrajaya pada 15 Julai tahun lalu.

Selain bidang nyanyian, Farah juga terlibat dalam bidang pengacaraan dengan menjadi pengacara bersama rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Wednesday, August 15, 2012

Cahaya Malaika jadi penyeri Aidilfitri Mawi & Ekin

Ekin - Cahaya Malaika -Mawi




DARI jauh lagi sudah kelihatan pelantun lagu Aduh Saleha ini melayan keletah puteri sulungnya, Cahaya Malaika, yang kini berusia 5 bulan ketika wartawan tiba di banglo miliknya yang terletak di Bangi.

Bagi Asmawi Ani, 31, atau Mawi, dan isterinya, Nor Asikin Rahmat (Ekin), kemeriahan Aidilfitri tahun ini pastinya lebih dirasai dengan kehadiran Cahayamata lebih-lebih lagi tahun ini merupakan tahun pertama mereka meraikan hari raya bersama.

Mengakui Ramadan dan Syawal tahun ini lebih bermakna, Mawi berkata, dia bersyukur kerana kehadiran Cahaya mengubah kehidupan mereka.

"Alhamdulillah, meriah betul rasanya tahun ini. Ke mana-mana sahaja pergi pasti ramai yang bertanyakan mengenai Cahaya.

"Yang penting, saudara-mara juga sudah tidak sabar menunggu kepulangan kami ke kampung kerana hendak bertemu Cahaya. Rasanya, inilah perbezaan yang sangat ketara sejak memiliki cahaya mata," ujar Mawi di rumahnya sempena majlis berbuka puasa bersama pelakon dan krew telefilem Siapa Dapat Lisa, arahannya.

Ekin pula berkata, sebagai ibu sudah pasti dia antara insan yang paling gembira kerana dapat meraikan Aidilfitri tahun ini bersama Cahaya.

"Memang seronok bila dah ada anak. Sebelum ini asyik melayan anak orang sahaja. Jadi bila dah ada anak sendiri, saya memang teruja.

"Nampaknya tahun ini giliran saya pula kutip duit raya untuk anak," katanya mesra.
.

Tuesday, August 14, 2012

Serina bahagia di samping keluarga tercinta

Serina bersama keluarganya

AIDILFITRI tahun ini menjadi momen yang paling indah buat satu-satunya anak perempuan, chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan ini.

Bergelar isteri kepada Salahudin Ghafar, Serina turut melahirkan rasa teruja menyambut raya bersama sepasang cahaya matanya, Tristan Tareef, 2, dan Isabella Saffiya, 8 bulan.

"Alhamdulillah, kami dikurniakan sepasang cahaya mata. Tahun ini raya mungkin bertambah meriah dengan kehadiran Isabella.

"Tetapi, kami tetap mementingkan kesederhanaan. Kami lebih pentingkan benda yang utama sahaja.

"Mungkin baju raya pun hanya beli untuk anak-anak sahaja. Saya dan suami akan pakai baju yang sedia ada," katanya yang memilih tema kuning pada tahun ini.

Sebagai ibu, semestinya keutamaan diberikan kepada anak-anak terlebih dahulu.

Ada kalanya, dia terlepas untuk memikirkan persiapan sendiri dan suami kerana ingin memastikan kesempurnaan pada anak-anak.

"Saya sering ingatkan pada diri sendiri, hari raya bukan saja untuk meraikan umat Islam yang berjaya melawan hawa nafsu ketika berpuasa.

"Malah, ia harus mengingatkan kita untuk membuat amal kebajikan dan bersedekah. Selain itu, kita harus ingat pada mereka yang serba kekurangan," katanya.

Menurut Serina, hari lebaran yang disambut tidak sah jika tiada menu wajib keluarganya.

"Kami akan menyediakan makanan wajib setiap tahun seperti soto ayam, mee rebus, rendang daging dan kuah kacang.

"Saya akan masak bersama ibu saudara dan nenek. Kalau papa ada, papa pun akan masak juga.

"Suami saya lebih suka masakan nenek, rendang daging dan tat nenas yang saya buat," katanya.

Serina juga bersyukur kerana perniagaan kuih rayanya, Serina-Simply Delicious, mendapat sambutan yang sangat baik.

"Tahun ini merupakan tahun ketiga saya menjual kuih raya dan biskut.

"Ramai di kalangan peminat yang menempah biskut dari saya melalui laman Facebook, Twitter dan Instalgram.

"Saya sangat menghargai sokongan daripada peminat dan tidak mustahil untuk saya meneruskan lagi perniagaan ini pada masa yang akan datang," katanya yang masih aktif menerima tawaran lakonan.

Monday, August 13, 2012

Bayi Rini AF Kritikal

Belumpun seminggu menerima kehadiran anak sulungnya, Maryam Joanna binti Johanis, bekas pelajar Akademi Fantasia, Rini berdepan dengan dugaan apabila anaknya itu difahamkan lemas akibat tertiarap terlalu lama ketika tidur, awal pagi tadi.

Wartawan menghubungi Rini untuk mendapatkan penjelasannya, namun panggilan kami dijawab oleh suami penyanyi berkenaan. Katanya dalam nada sedih;

"Anak kami sekarang berada di Hospital Kajang. Keadaan masih kritikal dan saya berharap agar semua mendoakan yang terbaik untuk anak sulung kami."

Ibu Hans Isaac meninggal dunia

Hans Isaac bersama ibunya.



IBU kepada pelakon dan pengarah, Hans Isaac, Carmina Anciano Isaac, 74, meninggal dunia kira-kira jam 8.35 pagi tadi, di rumahnya di Taman Tun Abdul Razak, Ampang.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Hans melalui laman Twitternya.

Dia antara lain berkata, “terima kasih atas doa semua, ibu saya sekarang berada di tempat yang lebih baik.  Saya akan sentiasa merinduinya.”

Mayat mendiang akan dibawa ke Gereja St. John, Bukit Nanas pada Rabu, jam 10.30 pagi untuk penghormatan terakhir.

Mendiang sudah dua tahun menderita akibat penyakit barah.  Hans merupakan anak tunggal dan sangat rapat dengan ibunya.

Ally cuti raya untuk isteri

PERSONALITI televisyen ini mengakui rutin kehidupan hariannya kini berubah selepas bergelar suami Farah.




SEBAGAI seorang pengacara dan penerbit, Ally Iskandar merupakan seorang lelaki yang sangat komited terhadap kariernya.

Namun, tahun ini merupakan tahun istimewa buat lelaki yang berusia 36 tahun ini. Ini kerana setelah mendirikan rumah tangga bersama pelajar kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti di Korea Selatan, Nurfarahin Romli, 22, atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, Ally mengakui keutamaannya kini lebih kepada isteri, terutama dari segi menghabiskan masa berkualiti bersama-sama.

Tanggal 20 Januari tahun ini, Ally dan Farah telah mendirikan rumah tangga dan ini bermakna Ramadan serta Aidilfitri tahun ini merupakan yang pertama buat pasangan yang sudah bergelar suami isteri selama lapan bulan ini.

Ally yang ditemui pada acara rakaman program Mentor 6 Raya, di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini memberitahu, pada tahun ini dia akan mengambil cuti panjang selama seminggu setelah 10 tahun tidak berpeluang cuti raya.

Kali ini, kata Ally, dia berhasrat ingin meluangkan masa serta menyambut Aidilfitri bersama isteri tercinta.

Sunday, August 12, 2012

Yusof Haslam tegur Neelofa, 'Jangan Lupa Diri'

Neelofa


 PENGURUS pelakon jelita Neelofa, Amir meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berikutan tersebarnya kenyataan Datuk Yusof Haslam menegur Neelofa supaya ‘Jangan Lupa Diri’.

“Kenyataan rasmi akan dibuat Neelofa dalam jangka masa terdekat dan segala spekulasi mengenai perkara itu harap dapat dihentikan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Nama pelakon seksi, Neelofa sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila dia dikatakan semakin lupa diri walaupun dirinya baru setahun jagung menceburi bidang seni.

Memetik laporan gosip sebuah akhbar yang disiarkan hari ini, perkara ini tercetus apabila Yusof, Pengarah Urusan Skop Productions mengeluarkan kenyataan ‘Jangan lupa diri’ ke atas Neelofa.

Yusof dikatakan bengang dengan sikap bekas juara Dewi Remaja itu yang tidak mahu memberikan kerjasama mempromosikan filem terbaru lakonannya, S.A.M yang bakal menemui penonton pada 16 Ogos ini.

Menurut laporan itu juga, Neelofa dikatakan enggan turut serta mempromosikan filem terbabit kerana dia hanya memegang peranan kecil sahaja dalam filem arahan pengarah termuda negara, Syafiq Yusof itu.

Selain itu, Neelofa turut didakwa enggan menjawab atau melayan segala panggilan yang dibuat pihak Skop Productions terhadapnya sehingga menyusahkan mereka untuk berkomunikasi dengannya.

Saturday, August 11, 2012

Saya sayangkan dia - Johan As'ari

JOHAN dan Nabila sudah mengakui saling mempunyai perasaan yang kuat antara satu sama lain.


KISAH hubungan istimewa yang terjalin antara pelakon Johan As'ari dengan Nabila Huda kini bukan lagi rahsia setelah kedua-duanya mengaku saling menyayangi antara satu sama lain.

Ironinya, perasaan sayang dan cinta yang diluahkan oleh Johan menerusi laman sosial Twitter miliknya itu dilakukan sebaik sahaja dia pulang dari Mekah selepas menjalani penggambaran dan mengerjakan umrah baru-baru ini.

Johan yang ditemui sewaktu rakaman program Singgah Sahur di Muar, Johor pada 5 Ogos lalu mengakui bahawa dia sangat menyayangi anak kepada penyanyi rock Amy Search itu.

Bagaimanapun, buat masa ini juga dia tidak mahu terlalu terburu-buru membicarakan perkara perkahwinan, memandangkan kerjaya lakonannya yang kini semakin meningkat dan berserah kepada Allah berkenaan soal jodoh.

Bapa pelakon Fouziah Gous meninggal


Fouziah Gous


RAMADAN kali ini menjadi detik duka buat selebriti Fouziah Gous yang kehilangan bapanya Mohd. Gous Ghulam, 76, hari ini.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh aktres berkenaan menerusi laman sosial Twitternya. Bagaimanapun, kerana masih terkejut dan bersedih, Fouziah enggan ditemu bual media.

Namun menerusi pengurusnya, Noza, Allahyarham meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Arwah sememangnya menghidapi beberapa penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi. Beberapa jam sebelum Fouziah meninggalkan rumah untuk ke lokasi penggambaran, tidak ada apa-apa perubahan pada arwah.

"Tapi kira-kira jam 11 pagi, kami menerima berita sedih ini dan Fouziah sememangnya amat terkejut apatah lagi dengan Lebaran yang akan menjelang tujuh hari lagi," jelasnya menerusi khidmat pesanan ringkas.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sajadi Ibrahim, 58 dan lima anak termasuk Fouziah.

Friday, August 10, 2012

Mek kahwin kali kedua


Pengacara dan pelakon terkenal sitkom Salam Pantai Timur, Nik Sayyidah Fatiha Yazib, 29, mengaku sudah bercerai dengan suaminya awal tahun lalu dan kini hidup bermadu sebagai isteri kedua selepas berkahwin dengan seorang ahli perniagaan Mei lalu.

Nik Sayyidah yang mesra dengan panggilan Mek berkata, walaupun perkahwinan keduanya itu tidak dilangsungkan dengan meriah namun statusnya yang kembali bersuami, disifatkannya bukan perkara rahsia.

Katanya, perkenalan dengan suami barunya itu hanya bermula sekitar April lalu sehingga mereka membuat keputusan untuk bernikah sebulan kemudian.

Perancangan Akhil, Waheeda

Akhil Hayy bersama isterinya Waheeda



TIDAK dinafikan sebelum pengacara rancangan keagamaan, Akhil Hayy, 43, diijabkabulkan dengan pelakon dan penyanyi Waheeda, 33, pelbagai kontroversi yang pernah melanda mereka.

Namun, semua kontroversi yang membabitkan pasangan tersebut terus lenyap sama sekali sebaik sahaja mereka mendirikan rumah tangga Ogos 2008. Pada waktu itu, Akhil baru sahaja sebulan bergelar duda.

Malah, sejak bergelar isteri, ternyata Waheeda mengambil keputusan drastik untuk mengundur diri daripada bidang seni, manakala Akhil pula sudah acap kali terbabit dengan pelbagai program keagamaan di saluran Astro Oasis.

Waheeda yang ditemui sewaktu sidang media episod kemuncak program Imam Muda 3 yang diadakan di Bukit Jalil baru-baru ini meluahkan dia sangat merindui dunia hiburan tempatan.

"Boleh dikatakan sudah tiga tahun saya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti hiburan sama ada berlakon atau menyanyi. Bagaimanapun, perasaan rindu sewaktu bergelar artis dahulu masih tetap dirasai.

"Lagipun sehingga sekarang saya masih lagi berhubung dengan beberapa orang rakan artis dan saya tumpang gembira dengan kejayaan mereka dalam kerjaya masing-masing," ujarnya yang popular menerusi lagu Wassini itu.

Walaupun mengambil keputusan untuk mengundurkan diri kerana mahu memberi fokus kepada kehidupan berumah tangga, Waheeda menjelaskan ia tidak bermakna dia melupakan terus segala aktiviti seni.

Ujarnya, buat masa ini dia sedang membantu suaminya, Akhil dalam proses untuk menerbitkan album baharu. Malah, dalam album tersebut dia bertindak sebagai komposer dengan menyumbang dua buah lagu.

"Sebelum bersara dahulu, saya sudah 10 tahun terbabit dalam bidang seni. Kini saya masih boleh memberi sumbangan dalam bidang muzik menerusi penciptaan lagu, meskipun sudah tidak menyanyi lagi," ujarnya.

Thursday, August 9, 2012

Anne Ngasri beraya di Singapura

Anne dan Aliff meniti bahagia





SETELAH hampir tiga tahun menjadi ibu tunggal kepada tiga orang cahayamata, pelakon, Anne Ngasri akhirnya kini kembali menemui kebahagiaan dengan penyanyi muda yang semakin meningkat naik, Aliff Aziz.

Anne atau nama sebenarnya, Nasriah Ngasri, 28, ketika dihubungi berkata, hubungannya dengan penyanyi terkenal dengan lagu Sayang Sayang dan Jangan Ganggu Pacarku itu kini berada di tahap serius dan sudah membuat perancangan untuk mendirikan rumah tangga.

“Memang kami ada perancangan untuk berkahwin, tapi ia bukan dalam masa terdekat atau selepas raya ini.

“Perkara itu belum dibincangkan lagi secara lebih lanjut. Apabila sampai masanya nanti, saya tidak akan menyorokkan berita baik ini, Insya-ALLAH,” katanya.

Hubungan cinta antara mereka berputik sejak lapan bulan lalu semasa menjalani penggambaran telefilem Cinta Kita di mana mereka sama-sama terlibat dalam cerita itu.

Menjelaskan perkara itu, Anne berkata, “pada peringkat awal, kami hanya kawan biasa saja sebelum persahabatan itu bertukar cinta sekali gus melangkah ke proses mengenali hati budi masing-masing.”

Hasil perkahwinan sebelum ini, Anne dikurniakan dua anak lelakiiaitu Abdul Warits, 6, Abdul Wafri, 4, dan seorang anak perempuan, Naszharah Afroza, 2.

Berbicara mengenai persiapan Aidilfitri Anne berkata, dia lebih banyak membuat persiapan untuk anak-anaknya dan akan beraya di rumah kedua ibu bapanya di Kuala Lumpur.

“Saya lebih utamakan persiapan seperti baju raya untuk anak-anak dan sudah membelinya bersama Aliff yang dipanggil dengan gelaran ‘Daddy’ oleh anak-anak saya”.

“Selain itu, saya juga sudah membuat perancangan untuk beraya di kediaman ibu bapa Aliff di Singapura dan raya kali ini terasa ‘best’ sebab anak saya yang bongsu, Naszharah dah boleh berjalan,” katanya dalam nada ceria.

Sepanjang bulan puasa ini, Anne turut sempat berbuka puasa bersama-sama Aliff dan keluargnya (Anne) jika kedua-dua mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penggambaran.

“Setakat ini, kami adalah sempat berbuka bersama, itu pun jika kami tidak terikat dengan sebarang penggambaran pada hari terbabit,” katanya.

Buat masa ini, Anne yang juga merupakan model tudung D’Haja masih menjalani penggambaran filem bergenre komedi arahan Wan Hasliza terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd berjudul ‘Pengantin’ yang turut dibintangi Farid Kamil, Rita Rudaini dan Nadia Nissa.

Wednesday, August 8, 2012

Dynas terima banyak tempahan baju sempena Aidilfitri

Dynas bersama anak keduanya Mohamed Haqaish.





Selebriti terkenal, Dynas Mokhtar, 29, mengakui jadual hariannya agak padat menjelang 1 Syawal.

Ketika dihubungi hari ini, Dynas berkata, sepanjang Ramadan, dia banyak mendapat tempahan daripada pelanggan terutamanya dari kalangan peminat beliau.

“Jika dulu saya hanya menjual pakaian yang sudah siap sahaja, kini saya mula mengambil tempahan-tempahan khas mengikut ciri-ciri yang diinginkan oleh para pelanggan.

“Selain itu saya juga mengambil tempahan baju untuk satu keluarga mengikut citarasa dan warna yang mereka inginkan,” jelas Dynas yang baru sahaja merasmikan butik kedua beliau iaitu Dynas Nursing Attire,” katanya.

Apabila ditanya berkenaan aktivitinya sebagai selebriti pada bulan Ramadan, pelakon drama Susuk itu berkata, dia tidak mempunyai banyak masa terluang dan kurang mengikuti penggambaran atau program-program raya.

“Tahun ini saya banyak luangkan masa saya untuk menguruskan tempahan serta pembukaan butik baru sahaja.

“Selain itu, saya juga ada terlibat dalam aktiviti membuka gerai jualan di KLCC yang akan bermula pada Jumaat dan Sabtu ini,” jelas.

Dynas yang baru sahaja selesai berpantang selepas kelahiran anak keduanya, Mohamed Haqaish menambah, dia akan mengadakan program berbuka puasa bersama anak-anak yatim Kasih Harmoni di Sungai Buloh pada 13 Ogos ini.

Mawi muncul dengan album Asma Ul Husna

Mawi, Ekin Rahmat




PADA suatu ketika dulu namanya pernah menjadi fenomena dengan gelaran TsuMawi yang diberi banyak pihak lantaran populariti yang dicipta dalam sebuah program rancangan realiti nyanyian popular.

Kini, Juara Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi  kembali menghangatkan industri seni tempatan dengan penghasilan album terbarunya berjudul Asma Ul Husna.

Album terbitan syarikat Arteffects Sdn. Bhd dan syarikat Mawi sendiri, MW Entertainment Sdn. Bhd menyaksikan penglibatannya sebagai penerbit bersama selain bekerjasama dengan penyanyi nasyid terkenal, Hafiz Hamidun.

Menurut Mawi, “kali ini, saya memberikan sepenuh perhatian terhadap proses rakaman yang bermula daripada peringkat penciptaan melodi sementara Hafiz banyak membantu dari segi proses menyiapkan album serta sentuhan lagu darinya banyak mencorak keseluruhan album ini."

“Saya turut berasa puas dapat mendendangkan Asma Ul-Husna kerana Hafiz memberikan kebebasan kepada saya bagaimana untuk mencorak sendiri vokal saya bagi memenuhi kehendak dan kesesuaian sesebuah lagu itu,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album itu di sini, baru-baru ini.

Album yang kini sudah berada di pasaran itu memuatkan sebanyak 10 buah lagu yang kesemuanya mempunyai 11 nama ALLAH yang dipecahkan menjadi sembilan melodi yang berlainan melengkapkan 99 nama ALLAH.

Istimewanya dalam album ini, lagu terakhir yang dimuatkan, mengandungi versi penuh Asma Ul-Husna dan Hafiz selaku composer telah mencipta satu melodi baru dan segar yang lain daripada biasa peminat pernah dengar sebelum ini.

Tuesday, August 7, 2012

Alyah, Ramli MS kenali hati budi

SETELAH lama berteka-teki mengenai hubungan mesranya bersama komposer dan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS, akhirnya Alyah mengakui hubungan itu.

Enggan diertikan dalam hubungan percintaan, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan, 31, lebih selesa melabelkan hubungan itu sebagai proses mengenali.

Mula intim selepas berlangsungnya Anugerah Bintang Popular (ABP) baru -baru ini, Alyah berharap agar tiada lagi berita 'liar' yang cuba mengaitkan dirinya.

"Kami sedang berkawan dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Bukan mahu berselindung, tetapi saya tidak mahu menguar-uarkan perkara yang masih baru.

"Namun, penjelasan ini diharapkan dapat melenyapkan gosip liar dan juga spekulasi lain mengenai hubungan ini.

"Kalau ada jodoh, saya tidak menolak dan sedia berkongsi dengan peminat. Doakan yang terbaik untuk saya," katanya yang kini sibuk mempromosikan lagu terbarunya, Lena Sahara sempena Ramadan ini.

Shila Hamzah mahu kekal bertudung

SELEBRITI terkenal Shila Hamzah, yang kini popular dengan lagu Patah Seribu, mula mengenakan hijab sejak Sabtu lalu dan berazam untuk kekal bertudung.

Ketika dihubungi hari ini, Shila berkata, dia mula mengenakan tudung pada awal Ramadan, tetapi apabila terlibat dengan beberapa penggambaran atau persembahan, beliau akan buka semula.

Hasrat beliau, 22, untuk kekal bertudung terlaksana selepas diajak kekasihnya, Sharnaaz untuk berbuka puasa bersama peminatnya.

“Pada hari Sabtu lepas, saya ada terlibat dengan penggambaran program Nona bersama Neelofa dan Farah Fauzana tetapi ketika sampai di tempat penggambaran, saya membuka tudung.

“Pada saat itu, saya mula merasakan ada sesuatu yang kurang dan saya merasa tidak selesa apabila mengenakan tudung hanya sekadar suka-suka sahaja.

“Pada sebelah petang pula, Sharnaaz mengajak saya untuk berbuka puasa bersama peminat-peminatnya.

“Selepas bersiap, saya terus mencapai tudung dan pakai," katanya sambil menambah, "bermula pada saat itu, saya telah berazam untuk kekal bertudung sampai bila-bila."

Shila juga menyatakan hasrat untuk kekal dengan imej bertudung adalah atas kehendak dirinya sendiri.

“Ayah saya selalu berpesan pada saya, hidup ini adalah satu perjalanan. Solat itu penting bagi seorang Islam dan pelbagai ujian yang saya akan tempoh.

“Saya ingin memperbaiki hubungan saya dengan manusia dan juga dengan ALLAH,” jelas penyanyi ini.

Monday, August 6, 2012

Waris Ibrahim Pendek terus dibela

Waris Ibrahim Pendek seramai 17 orang tinggal di rumah usang di Tanjung Bruas, Melaka.




Penderitaan keluarga pelakon Allahyarham Ibrahim Pendek yang kini tinggal di sebuah rumah usang bakal berakhir apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bersetuju membina rumah baharu untuk keluarga berkenaan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron yang berkata, rumah tersebut bakal dibina di atas sebidang tanah yang akan dikurniakan kepada keluarga pelakon filem komedi Ali Baba Bujang Lapok arahan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee itu.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, pihaknya telah berbincang dengan kerajaan negeri Melaka mengenai cadangan tersebut.

“Sekiranya ada mana-mana tanah negeri yang kosong, ia akan diberikan untuk ahli keluarga Allahyarham Ibrahim Pendek.

“Saya sendiri selaku Pengerusi SPNB telah bersetuju meluluskan pembinaan sebuah rumah untuk ahli keluarganya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sunday, August 5, 2012

Anak-anak panggil Aliff daddy - Anne Ngasri

ANNE NGASRI mengakui anak-anaknya sangat rapat dengan Aliff.





PERCINTAAN yang melibatkan lelaki yang lebih muda daripada pasangan bukanlah satu perkara yang cukup asing, terutamanya yang membabitkan segelintir golongan artis Malaysia.

Itu yang dialami oleh pelakon Nasriah Ngasri atau lebih dikenali sebagai Anne Ngasri yang mengakui kini sedang menjalin hubungan cinta dengan penyanyi dari Singapura iaitu Aliff Aziz.

Menurut bekas isteri kepada Abdul Wafi Hassan itu, statusnya sebagai seorang janda dan usianya yang lebih tua berbanding Aliff, bukanlah satu halangan besar untuk mereka bercinta.

Dia mengaku keserasian merupakan faktor utama mereka kekal.

Anne kini berusia 28 tahun, manakala Aliff baru mencecah usia 21 tahun.

Ketika ditemui sewaktu penggambaran filem Pengapit di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur baru-baru ini, Anne memberitahu hubungan mereka turut direstui keluarga kedua-dua belah pihak.

Rita, Aidil enggan berbincang

NAMPAKNYA, kemelut rumah tangga aktres jelita, Rita Rudaini dan suaminya, Aidil Zafuan belum dilihat ada penyelesaian.

Pada prosiding kes pasangan berkenaan 10 Julai lalu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menyarankan mereka berbincang secara baik bagi menyelesaikan masalah rumah tangga.

Bagaimanapun, Rita tidak melihat perbincangan peribadi sebagai satu keperluan kerana kes mereka sudah dibawa ke mahkamah.

Kes berkenaan disambung 7 Ogos ini.

Saturday, August 4, 2012

Rosyam Nor berlakon filem Cina

NAMA Rosyam Nor sememangnya terkenal dalam kalangan peminat Melayu, tetapi nampaknya aktor ini bakal melebarkan pengaruhnya dalam kalangan peminat Cina pula.

Buat pertama kali dalam sejarah lakonannya, Rosyam akan membintangi sebuah filem berbahasa Cina tempatan berjudul Once Upon A Time.

Dalam filem arahan Silver ini, Rosyam bakal bergandingan dengan pelakon popular Cina, Jack Lim. Rosyam sendiri mengakui dia menerima tawaran tersebut kerana ingin mengembangkan kariernya.

Filem ini akan menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, September ini dan dijangka ditayangkan tahun depan.

Sam, Yana eratkan silaturahim dengan peminat

Ketibaan Ramadan, memberi makna dan pengisian berbeza buat setiap individu. Malah dalam bulan ini juga, pelbagai keletah manusia dapat dilihat.

Tidak kurang juga, yang menjadikan bulan ini sebagai bulan ‘perniagaan’. Bagaimanapun, bagi dua figura popular ini, Shaheizy Sam dan Yana Samsudin, ketibaan Ramadan membawa 1001 fadilat dan makna yang mendalam buat diri mereka.

Bahkan, selain berpeluang mempertingkatkan amal ibadat, sambutan bulan Ramadan juga dikongsi bersama insan-insan yang kurang bernasib baik, serta dapat mengeratkan lagi perhubungan di antara umat Islam.

“Saya seronok bila berpeluang berbuka puasa bersama ibu-ibu tunggal dan anak yatim. Selain dapat meraikan mereka, dapat juga saya merapatkan hubungan dengan mereka.

“Cuma tahun ini, saya tidak dapat bercuti panjang, sama seperti tahun sebelumnya kerana sibuk dengan jadual penggambaran. Namun saya tetap cuba untuk mencuri masa memenuhi undangan berbuka puasa,” jelas Yana.

Sama seperti Yana, Sam juga mengakui rasa sangat bertuah kerana dapat meluangkan lebih banyak masa bersama peminat dan keluarga apabila tibanya Ramadan.

Justeru, pada 11 Ogos ini, Sam akan meraikan 300 peminatnya dalam satu majlis berbuka puasa bersama Shaheizy Sam Loyalty Club (SSLC).

“Majlis berbuka puasa ini akan diuruskan oleh pengurusan kelab peminat Sam dan hanya 300 orang sahaja yang dapat menyertainya kerana kekangan keluasan lokasi berbuka.

“Namun pada yang tidak dapat menyertainya, Sam masih menghargai sokongan yang tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada Sam,” ujarnya.

Selain itu, selaku duta Mamee, buat julung kalinya Sam akan turun padang menjayakan program Singgah Sahur di dua lokasi terpilih iaitu di Lumut (Perak) dan Muar (Johor) pada Ramadan ini.

“Masa inilah Sam dapat mengeratkan hubungan bersama peminat yang berada jauh dari Kuala Lumpur. Sam juga amat teruja untuk menjayakan program ini kelak,” katanya.

Friday, August 3, 2012

'Saya sedia terus korban demi Norman-Memey'

Norman, Abby, Memey dan tiga anak mereka berbuka puasa bersama-sama


Selebriti Abby Abadi meneruskan entri menerusi twitter berkenaan ‘peristiwa berbaik semula’ dengan bekas suaminya sambil berkata, dia sedia meneruskan pengorbanan demi kebahagian rumah tangga Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza yang mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Dalam salah satu mesej hari ini, Abby menulis: “Tentang komen ex-husband (Norman) pula kata ‘ini pengorbanan isteri dia’ (untuk berbaik dengan saya), biarlah, asal mereka bahagia.  Saya (sanggup) korban terus pun, tidak mengapa. Siapalah saya.”

Abby yang berkomunikasi dengan peminat-peminatnya menerusi twitter sejak kebelakangan ini, hari ini menghantar siri mesej menerusi akaun twitter membicarakan mengenai hubungannya dengan Norman, yang dikatakan telah pulih susulan satu pertemuan di Shah Alam minggu lalu dan disusuli dengan majlis berbuka puasa di rumah Abby kelmarin.

Kenyataan hari ini dibuat ekoran penjelasan Norman semalam, yang mengatakan bahawa langkah berbaik semula antara Abby dan Memey adalah satu pengorbanan besar yang telah dilakukan Memey sebagai seorang isteri.

Norman juga berkata, “Memey pula sangat fleksibel dengan saya.”

“Malah, dengan apa yang telah dilakukannya sekarang ini (berbaik dengan Abby) adalah satu pengorbanan besar sebagai isteri,” kata Norman.

Sebelum ini, heboh mengenai hubungan kurang baik ketiga-tiga selebriti itu, tetapi dengan tersebarnya gambar terbaru mereka berbuka puasa bersama kelmarin memadam segala cerita yang kurang baik itu.

Gambar yang dimuat naik Abby di Twitternya menunjukkan dia dan Memey bergambar mesra selepas bersama-sama bersolat tarawih dengan berimamkan Norman di rumah Abby kelmarin.

Almy Nadia tidak hadir majlis Fizz Fairuz


PETANG Sabtu hujung minggu lalu terisi dengan deraian gelak tawa kira-kira seratus peminat serta sahabat dan saudara-mara terdekat pelakon Fizz Fairuz. Lokasinya ialah di Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang, Shah Alam, Selangor.

Mereka umpama masih meraikan kejayaan Fizz, 33, memenangi Anugerah Pelakon Televisyen Lelaki Popular yang diraihnya awal tahun ini.

Nyata, masih panas suhu kemenangannya itu, sama panas dengan kontroversi kisah cintanya bersama pelakon Almy Nadia yang enggan diulas lanjut Fizz.

Kian berselirat dan mungkin terus menimbulkan tandatanya tentang hubungan mereka berdua, penghujung cerita cinta Fizz dan Almy sudah pasti bergantung kepada keputusan hati dan perasaan masing-masing.

Turut hadir dalam kalangan hadirin yang hadir itu termasuklah rakan-rakan artis Fizz, antaranya Diana Rafar, Fazli Zainal dan suami Datin Paduka Umie Aida iaitu Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan.

Namun saat majlis itu tamat, kelibat Almy tidak juga kelihatan.

Dalam telahan rakan-rakan media, Fizz mahu membuat kejutan, namun 'gimik' itu mungkin disimpan aktor ini buat sementara waktu dan menunggu sehingga keadaan benar-benar sudah stabil.

Fizz juga menolak dengan baik ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran Almy dalam majlis anjurannya itu. Sebaliknya, pemilik nama sebenar Fairuz Zainal Abidin hanya bercerita perihal majlis tersebut, karier dan persiapan dirinya menjelang Syawal.

"Selepas kemenangan pada awal tahun ini, saya masih belum sempat meraikannya bersama peminat yang sentiasa menyokong dan mengundi saya. Maka, sekarang waktu yang sesuai untuk meraikan di samping menghargai sokongan mereka," ujarnya.

Thursday, August 2, 2012

Ramadan satukan Norman, Abby dan Memey

Jika sebelum ini heboh mengenai hubungan kurang baik antara Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama Abby Abadi, tetapi gambar Abby bersama Memey dalam persalinan telekung, yang dikongsi dengan peminat mereka menerusi laman twitter semalam, menjawab segala persoalan berkaitan selama ini.

Norman yang dihubungi hari ini berkata, dia sangat gembira dengan perkembangan terbaru itu dan menyifatkan Ramadan tahun ini adalah yang paling manis buatnya keluarganya.

“Sekarang hubungan kedua Abby dan Memey sudah baik dan menjadi semakin mesra sejak 7 Ramadan lalu. Seperti ramai sedia maklum sebelum ini, hubungan kami tidak begitu baik dan jikalau bertemu pun hanya untuk tujuan mengambil dan menghantar anak dan komunikasi terbatas di antara kami bertiga.

“Tetapi mungkin disebabkan berkat bulan Ramadan serta doa yang selama ini tidak putus-putus saya dan masyarakat sekeliling mendoakan, akhirnya tercapai juga impian itu," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Abby pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 2008.

Norman menambah: "Saya sendiri tidak menyangka perkara ini berlaku secara tiba-tiba dan kebetulan hari itu hari Jumaat, kami bertemu di sekitar Masjid (Negeri) Shah Alam kerana Abby ada program di sana sebelum saya bawa anak-anak balik ke Kuantan untuk berpuasa di kampung dan dengan tidak semena-mena Abby menarik Memey ke tepi lantas terus berpelukan dalam tempoh yang agak lama."

"Saya dan anak-anak hanya memerhati dari tepi kereta. Tentunya perasaan saya dan anak-anak sangat gembira kerana mereka kini telah berbaik, malah anak-anak turut bersorak mengatakan 'yeay, mama dan mummy dah berkawan'!” kata Norman lagi.

Semalam, Abby, 35, telah memuatnaikkan dua gambar terbarunya menerusi akaun twitter menunjukkan dia dan Memey, 24, bergambar dalam keadaan mesra beserta mesej “doakan yang terbaik untuk kehidupan kami berdua dunia dan akhirat” dan satu gambar mereka sekeluarga berbuka bersama.

Selain itu, Abby, pelakon drama Gerak Khas turut memberitahu dia juga sempat bersembahyang Maghrib bersama berimamkan bekas suaminya itu.

Sementera itu, ketika diminta mengulas mengenai kisah politik Abby yang semakin serius menceburi bidang itu kebelakangan ini, Norman berkata, dia tidak pernah mencampuri hal itu dan berkata perkara itu adalah hak dan kebebasan seseorang individu untuk menentukan hala tujunya sendiri.

“Jika kami bertemu, tidak pernah sesekali saya bertanyakan mengenai perkara itu. Kami hanya banyak berkomunikasi mengenai masa depan dan perkembangan pendidikan anak-anak kami, Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania, 7, dan Maria Danisha, 4.

“Saya sangat menghargai Abby menjadi ibu yang baik kepada anak-anak saya dan lain-lain hal mengenai dia saya tidak mahu masuk campur kerana itu adalah hak dia,” kata Norman.

Zahid kini penyampai radio Era FM

BERMULA dengan program realiti, Akademi Fantasia musim kedua, Ahmad Zahid Baharuddin atau lebih dikenali sebagai Zahid AF tidak pernah mengehadkan bakat dan kebolehannya untuk mencuba pelbagai cabang seni.

Selain menyanyi, Zahid kini telah memikul tanggungjawab sebagai penyampai di stesen radio berbahasa Melayu nombor satu negara, Era FM.

Mula menyertai keluarga Era sejak awal Januari lalu, ternyata kehadiran Zahid dalam segmen Petang Era bersama Adifashla sedikit sebanyak menyumbang peningkatan prestasi stesen radio itu.

Akui semakin selesa bergelar deejay, Zahid berkata, dia tidak alami kesukaran sepanjang di konti kerana ia juga adalah sebahagian daripada minatnya.

“Saya memang minat sangat dengan bidang muzik dan kerjaya ini juga berkait rapat dengan muzik.

“Lagi pun, karier ini beri manfaat kepada saya. Selain dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan, saya juga dapat menimba pengalaman baru,” katanya.

Zahid memberitahu, dia gembira dengan kepercayaan yang diberikan pihak radio untuknya menggalas tanggungjawab sebagai penyampai.

“Selagi terdaya, saya akan lakukan yang terbaik kerana tidak mahu menghampakan kepercayaan dan keyakinan pihak pengurusan yang memilih saya jalankan tugas ini,” ujarnya.

Wednesday, August 1, 2012

Noryn akui sudah 2 tahun jadi isteri Raja Bahrin

NORYN bersama Raja Bahrin ketika hadir pada satu majlis pertunjukan fesyen di Kuala Lumpur baru-baru ini.



Penyanyi popular, Noryn Aziz akhirnya secara terbuka mengakui bahawa sudah lebih dua tahun bergelar isteri kepada arkitek terkenal, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Bahrin.

Sebelum ini, Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz, 36, bertindak untuk tidak bercakap mengenai soal peribadi apatah lagi memberi sebarang kenyataan berhubung desas-desus perkahwinannya.

Tegas Noryn, tindakan itu dibuat berdasarkan keputusan untuk menghormati keluarga pihak suami.

“Rasanya sudah lebih dua tahun saya mendiamkan diri dalam soal berkenaan. Saya fikir, kemunculan sekarang ini adalah masa yang paling sesuai.

“Cerita kahwin dahulu pun sudah tidak panas lagi, rasanya semua orang sudah tahu status saya selama ini,” kata Noryn dalam satu pertemuan.

Jelas Noryn, dia dan Raja Bahrin berkahwin pada satu majlis tertutup di Terengganu pada 22 Januari 2010. Pernikahan dengan Raja Bahrin menamatkan kehidupan janda Noryn selepas 12 tahun berdepan kegagalan daripada perkahwinan pertamanya.

EKSKLUSIF! Gambar Terkini Nora Danish & Rayqal




Kami paparkan gambar pelakon comel, Nora Danish dan putera kesayangannya, Rayqal ketika ditemui di majlis berbuka puasa yang berlangsung, semalam.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2