NUFFNANG ADS

Thursday, June 30, 2011

Jimmy Shanley bermalam bersama Zahrah ?

Jimmy bersama anak sulongnya Zahrah Shanley.



Rumah banglo dua tingkat milik keluarga mentua Jimmy Shanley pada Rabu lalu, disambut deretan kereta mewah. Beberapa wakil media menjangkakan tentu ramai tetamu yang bertandang untuk menziarah si comel, Zahrah Shanley.

Bagaimanapun, sebaik kaki melangkah ke kediaman yang dihiasi perabot mewah milik usahawan kosmetik Datin Muniroh Kassim, banglo mewah itu ternyata sunyi. Datang bertandang ketika itu hanyalah kakak ipar Jimmy.

Kami dipelawa Jimmy ke bilik tetamu, tempat dia dan buah hatinya menghabiskan masa bersama. Sudah dua hari kata Jimmy, dia menginap di bilik itu bersama Zahrah.

Malah bilik yang dihiasi perabot dari tema warna keemasan itu dipenuhi pelbagai barangan si kecil. Sebuah almari putih yang diletakkan di tepi pintu bilik itu pula menempatkan pelbagai barangan Zahrah, terutama baju pelbagai gaya yang dibeli oleh neneknya.

Kata Jimmy yang kelihatan ceria sejak bergelar bapa, dia tidak mahu melimpahkan Zahrah dengan kemewahan. Dia sendiri membeli barang-barang untuk puteri comelnya yang lahir pada 24 Jun lalu mengikut kemampuan.

“Tumpuan saya hanyalah kepada Zahrah. Segala masalah yang berlaku antara saya dengan isteri buat masa ini tolak ke tepi dulu. Saya seronok dapat menjalankan tanggungjawab sebagai bapa. Sejak Isnin lalu, saya tidur di rumah mentua kerana ingin berada dekat dengan anak.

“Sudah dua malam saya tidur dengan dia. Zahrah tidak menyusahkan. Dia tidak banyak ragam, kemungkinan dia faham masalah antara ibu dengan bapanya. Saya dan isteri bergilir-gilir menjaga Zahrah, ibu mentua juga banyak membantu. Kadang kala dia akan menemani saya menjaga Zahrah, ibu mentua juga menjadi orang tengah antara saya dengan isteri.

“Kalau ada perkara yang ingin saya sampaikan kepada isteri, dia akan sampaikan. Mungkin selepas ini, Zahrah pula akan menjadi orang tengah. Saya berharap kehadiran Zahrah dapat mengeratkan hubungan kami suami isteri,” katanya.

Tuesday, June 28, 2011

Diana Amir ' tomboi '

SELAMA sebulan, Diana dilayan seperti lelaki di set penggambaran filem 321 Cinta.



SAM, watak tomboi yang dilakonkan oleh Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, di dalam filem terbaru 321 Cinta, memerlukan dia memotong rambut yang sebelum ini panjang dari paras pinggang ke potongan pendek seperti lelaki.

“Memang sayang mahu potong rambut panjang saya itu terus pendek begitu. Memang terasa perbezaan setelah berambut pendek.

“Pernah suatu hari, adik saya berasa takut mahu tidur bersama saya kerana saya kelihatan seperti seorang lelaki,” ujar Diana sambil ketawa dan memberitahu dia sering tidur bersama adiknya.

Tambahnya: “Saya tidak pernah memotong rambut saya begitu pendek seumur hidup.

Pelbagai fesyen rambut lelaki digayakan termasuk gaya spike dan itu juga kali pertama rambut saya digayakan seperti itu.

Diana berkata lagi, pada mulanya, dia tidak mengetahui yang dirinya perlu memotong rambut sebegitu kerana pada asalnya dia hanya mahu memakai rambut palsu yang telah disediakan.

Namun, kerana mahukan impak yang lebih mendalam, pengarah Azhari Zain mahu pelakon utamanya itu berambut pendek seperti lelaki dan kelihatan seperti tomboi.

Apa yang pasti, setelah berambut pendek, Diana sendiri berasa watak Sam lebih dekat dengan dirinya. Selain itu, selama sebulan Diana dilayan seperti lelaki di set penggambaran oleh semua krew, pelakon dan penggarapnya sendiri.

Monday, June 27, 2011

Rizal AF5 dibelasah 2 lelaki

Rizal AF5



KUALA LUMPUR - “Hanya mati terlintas di fikiran apabila lelaki berbadan tegap itu mencekik dan mengangkat badan saya sebelum menghempas ke kereta,” kata penyanyi dilahirkan melalui program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Rizal ketika menceritakan pengalamannya diserang dua lelaki, tengah malam kelmarin.

Rizal atau nama sebenarnya Hasfarizal Ayub berkata, kejadian berlaku di persimpangan Jalan Cecawi, Seksyen 6, Kota Damansara jam 12 tengah malam.

Menurut artis berasal dari Sarawak itu, sebelum kejadian dia menyedari keretanya diekori Proton Iswara dinaiki dua lelaki sebaik keluar dari pusat beli-belah Sunway Giza, Kota Damansara, namun tidak mengesyaki apa-apa.

Ketika itu, dia baru keluar dari kompleks beli-belah berkenaan dan menghantar rakan wanitanya pulang ke rumah di Kota Damansara, jam 12 tengah malam.

“Namun ketika tiba di persimpangan di tempat kejadian, Proton Iswara itu memintas kereta saya menyebabkan saya menekan brek secara mengejut bagi mengelak merempuh kereta itu.

“Sebaik saya memberhentikan kereta, dua lelaki keluar dan menyerang tanpa saya sempat berbuat apa-apa,” katanya.

Rizal berkata, seorang daripada lelaki terbabit memulas lengan kanannya ke belakang dan mencekik lehernya.

“Lelaki itu memarahi saya sambil mengugut mencederakan saya dan rakan jika berani datang ke kawasan itu lagi.

“Saya berasa tidak berdaya apabila lelaki yang mencekik saya mengangkat dan menghempas saya ke kereta,” katanya.

Menurut Rizal, rakan wanitanya, Hamaria Mohd Harun, 23, yang pada mulanya berada di dalam kereta keluar meleraikan pergaduhan itu, namun dia pula diserang kedua-dua lelaki terbabit.

“Saya cuba membantu, namun tidak berjaya apabila sekali lagi dicekik. Mujur Hamaria sempat menjerit meminta pertolongan orang ramai menyebabkan dua lelaki itu masuk ke dalam kereta dan terus beredar,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Rizal lebam di lengan kanan.

Hamaria yang bekerja sebagai pegawai operasi di sebuah syarikat penerbangan swasta berkata, dia tidak tahu apa motif kedua-dua lelaki terbabit menyerang dia dan Rizal.

“Saya sendiri bertanya Rizal sama ada dia mempunyai musuh, namun dia menafikannya, tambahan pula kami berdua merantau ke sini mencari rezeki.

“Saya sendiri tidak bermusuh dengan sesiapa dan tidak tahu kenapa mereka menyerang kami, namun saya takut ada agenda lain ingin mengenakan kami,” katanya yang juga berasal dari Sarawak.

Rizal kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara kerana bimbang kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sunday, June 26, 2011

TV9 himpun band rock

SEBAHAGIAN pemuzik baharu yang terlibat dalam konsert GIG TV9.



TV9 dilihat semakin agresif menganjurkan pelbagai acara menarik dalam usaha mereka untuk menarik lebih ramai penonton terutamanya golongan muda menonton saluran tersebut.

Setelah menganjurkan konsert Be Part Of The Moment sempena sambutan ulang tahun kelima saluran tersebut bulan lalu, kali ini mereka akan menganjurkan pula karnival dan konsert rock GIG TV9 dengan kerjasama syarikat telekomunikasi DiGi.

Akan berlangsung selama dua hari pada 9 dan 10 Julai ini di I-City Shah Alam, Selangor, penganjuran karnival dan konsert berkenaan bertujuan untuk memeriahkan lagi industri muzik indie yang semakin berkembang ketika ini.

Pengurus Besar TV9, Sherina Mohamed Nordin, berkata, pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan seperti persembahan artis indie terkenal, pertandingan Battle Of The Indie Bands dan bengkel muzik.

“Acara ini adalah salah satu acara terbesar yang dianjurkan oleh pihak TV9 pada tahun ini dan ia telah dirancang sejak awal tahun yang lalu.

“Memandangkan sasaran kami adalah kepada golongan muda, maka artis yang akan membuat persembahan juga adalah terdiri daripada artis indie yang cukup popular di kalangan golongan tersebut,” ujarnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Tambah Sherina lagi, acara yang berlangsung pada hari pertama itu akan dimeriahkan dengan persembahan artis indie tempatan seperti AwanBand, The Azenders, Pesawat, Azlan & The Typewritter dan Projek Pistol.

Sementara pada hari kedua, para pengunjung akan dimeriahkan dengan artis yang mempunyai nama besar dalam persada muzik tanah air seperti kumpulan Wings, Hujan, Aizat, Bunkface dan 6ixth Sense.

Selain konsert secara besar-besaran, Sherina juga memberitahu satu bengkel muzik secara percuma akan turut diadakan dan hanya terhad kepada 100 pengunjung.

“Sewaktu bengkel berkenaan, kami akan mengundang beberapa individu yang berjaya dalam industri hiburan di negara ini untuk memberi pendedahan kepada pengunjung tentang dunia muzik,” ujarnya.

Sementara itu, pihak TV9 turut memberi peluang kepada kumpulan indie di seluruh Malaysia untuk mengembangkan lagi bakat mereka menerusi satu pertandingan yang dikenali sebagai Battle Of The Indie Bands.

Untuk pertandingan tersebut, sebanyak lapan buah kumpulan telah terpilih ke peringkat akhir iaitu The Jespers, Oh Chentaku, Pop Konspirasy, Bintang Batu, Broken Riffs, BeforeAfters, Pheelers dan Skudap Skudip.

Saturday, June 25, 2011

Marsha memperbodohkan peminat dan wartawan ?

Marsha



Bermain nakal dengan status perkahwinan seperti yang dilakukan Marsha Milan Londoh, 26, kononnya sudah berkahwin secara senyap-senyap, Ahad lalu, cukup untuk memberikan satu justifikasi akan kedangkala akal siapapun di antara kita, artis bahkan media sendiri.

Apabila sudah riuh sekampung, padahnya, barulah pelakon Kum Kum The Series itu memohon maaf bahawa semua itu salah faham dan satu tindakan yang langsung tidak disengajakan.

"Semua itu salah faham dan tindakan langsung tidak disengajakan," kata Marsha bagi menjelaskan kenyataannya.

Sambil menafikan kenyataannya sebagai satu tindakan terancang dengan niat untuk mencipta kontroversi. Marsha mengakui bahawa dia menulis beberapa status di laman sosial Twitter miliknya tentang perkahwinan berkenaan.

Hakikatnya, perkahwinan olok-olok itu hanya babak dalam muzik video lagu baharunya, Bila yang menjalani penggambaran di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong pada Ahad lalu. Klip video berkenaan mengisahkan Marsha menjadi seorang pengantin.

"Bukan niat saya membuat gimik atau mengatur kejutan buat semua pihak kerana jika difikirkan semula, gambar di sebalik tabir pembikinan muzik video itu terlebih dulu dimuat naik di laman sosial Facebook.

"Saya menafikan beberapa kenyataan dan dakwaan dalam beberapa blog yang kononnya saya sengaja ingin membuat kejutan tapi ia tidak menjadi," katanya yang menyifatkan kontroversi itu satu pengajaran buatnya sebagai seorang selebriti.

Sensasi Bintang: Ada yang beranggapan tindakan Marsha memain-mainkan media dan itu satu tindakan kurang bijak.

Friday, June 24, 2011

Kumpulan Sepah Polon RM350,000

Kumpulan Sepah



SHAH ALAM - Tanpa dijangka kumpulan Sepah dianggotai Mohd Noor Murad, Shahmira Muhammad dan Mohd Nazdri Zainal Abidin, muncul juara pertandingan akhir Maharaja Lawak berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam di sini, malam tadi.

Lebih manis apabila kemenangan itu diumumkan di hadapan hampir 5,000 penonton setia rancangan itu, termasuk ahli keluarga dan kelab peminat pelawak popular itu yang membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam.

Sebelum ini kumpulan lebih popular iaitu Jozan dan juga Jambu dilihat lebih menonjol dan disebut-sebut akan menjuarai Maharaja Lawak yang pertama kali diadakan menghimpunkan pemenang dan pelawak popular yang bakat mereka dicungkil dari rancangan Raja Lawak terbitan Astro.

Peringkat awal sewaktu pengumuman undian SMS penonton setia, mewakili 50 peratus permarkahan menunjukkan Jozan mempunyai kelebihan apabila mendahului dengan 34 peratus sementara kumpulan Sepah berada di tangga kedua dengan 28 peratus diikuti Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil (25 peratus) dan Jambu hanya memperoleh 13 peratus.

Persembahan ditampilkan Sepah sewaktu pusingan pertama dengan tema bebas dan kedua, muzikal berjaya mencuit hati penonton bukan saja di dalam stadium tetapi juga di rumah.

“Kemenangan ini sememangnya tidak dijangka. Terima kasih kami ucapkan kepada juri dan penonton yang memberikan sokongan padu sepanjang 13 minggu pembabitan kami dalam pertandingan ini,” kata Shuib mewakili anggota Sepah yang lain sebaik diumumkan juara.

Dia menyifatkan kemenangan kumpulan Sepah adalah rezeki anak yang bakal ditimang tidak lama lagi ini kerana isterinya juga penyanyi Siti Sarah sedang mengandung anak sulung.

Sepah menewaskan Jozan dianggotai Johan dan Zizan, Nabil dan kumpulan Jambu dianggotai Yusry Edoo (Yus) dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh).

Kemenangan diputuskan juri tetap rancangan itu iaitu pengarah filem, Mamat Khalid, Ahmad Idham dan pelawak, Saiful Apek mewakili 50 peratus markah dan selebihnya SMS daripada penonton setia membolehkan Sepah membawa pulang wang tunai RM350,000 beserta piala iringan, Jozan naib juara dan menerima hadiah wang tunai RM 250,000, sementara tempat ketiga dimenangi Nabil menerima wang tunai RM150,000.

Thursday, June 23, 2011

Siapa juara Maharaja Lawak?

BARISAN pelawak yang bakal berentap pada final Maharaja Lawak malam ini. BARISAN pelawak yang bakal berentap pada final Maharaja Lawak malam ini.




Berdasarkan undian yang diterima pada semua 11 minggu terdahulu, kumpulan Jozan yang dibarisi Johan dan Zizan dijangka memiliki kelebihan untuk bergelar juara.

Jozan sering menerima undian tertinggi termasuklah pada pusingan separuh akhir di Stadium Tertutup Bandaraya Johor Bahru minggu lepas. Finalis Raja Lawak musim pertama itu menerima 61 markah menandingi empat lagi pesaingnya iaitu Sepah (56), Nabil (55), Jambu (49) dan R2 (35).

Mereka yang akan bergelar juara sulung Maharaja Lawak dan membawa pulang hadiah wang tunai RM300,000? Persoalan itu akan terjawab malam ini apabila semua empat finalis melakukan persembahan terakhir di Stadium Malawati, Shah Alam.

Begitupun, kehebatan Sepah yang begitu konsisten dalam setiap persembahan juga tidak boleh diperkecilkan. Gandingan Mamat, Shuib dan Jep dilihat begitu mantap sehingga sering dilabel sebagai ‘Bujang Lapok Moden’ oleh juri tetap, Saiful Apek.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Johor lalu, Sepah menerima tepukan paling gemuruh terutama pada persembahan kedua dengan dibantu artis jemputan, Yasin Senario.

Namun bagi juara Raja Lawak musim ketiga itu, persembahan terbaik yang diberikan bukan untuk diiktiraf sebaliknya sebagai tanda penghargaan untuk semua peminat.

“Setiap minggu kami akan cuba untuk memberikan yang terbaik tetapi kami tidak pernah fikir untuk sampai ke peringkat akhir.

“Kami rasa bertanggungjawab untuk memberikan yang terbaik sebagai tanda penghargaan untuk semua peminat yang tidak putus-putus menyokong kami semalam ini,” kata Shuib.

Sementara itu, seorang lagi finalis, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil turut mempunyai peluang untuk bergelar juara.

Satu-satunya peserta solo yang beraksi pada peringkat akhir, Nabil masih mampu untuk memberikan persembahan menarik sama seperti peserta berkumpulan lain.

Pada peringkat separuh akhir, Nabil menerima komen positif daripada juri tetap, Ahmad Idham yang menganggap ia sebagai persembahan terbaik Nabil sepanjang 11 minggu penyiaran Maharaja Lawak.

Finalis terakhir, Jambu pula bagai diberi peluang kedua selepas diumumkan tersingkir bersama-sama R2 pada peringkat separuh akhir lalu.

Pihak juri akhirnya memutuskan untuk menggunakan imuniti terhadap gandingan Yus dan Taukeh bagi membolehkan mereka beraksi pada peringkat akhir.

Menurut Ahmad Idham, mereka memilih Jambu berdasarkan persembahan mereka sebelum pusingan separuh akhir yang dianggap hebat sehingga pernah menduduki tangga teratas.

“Tambahan pula, secara peribadi saya tidak gemar jika hanya ada tiga peserta sahaja yang bertanding pada pusingan akhir.

“Saingan akan jadi kurang kompetitif dan peserta akan lebih santai kerana mereka akan tetap menerima hadiah meskipun berada di tempat terakhir.

“Namun jika ada empat finalis, sudah pasti mereka akan melakukan persembahan yang lebih menarik untuk menjadi juara atau sekurang-kurangnya merebut tiga kedudukan terbaik,” katanya.

Juara Maharaja Lawak akan ditentukan melalui 50 peratus markah yang diberikan oleh juri dan 50 peratus lagi menerusi undian penonton.

Wednesday, June 22, 2011

Waris P Ramlee tuntut royalti

MOHD YUSOFF menujukkan kad pengenalan P Ramlee kepada warisnya Najua Nasir, 25 (kanan), Gurnarisasca, 34 (dua dari kanan) dan Gurlina, 40 (tiga dari kanan), pada majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Georgetown, semalam.



GEORGETOWN - Waris Tan Sri P Ramlee bercadang menuntut royalti daripada bekas majikan seniman agung itu hasil bayaran tayangan filem lakonan Allahyarham di stesen televisyen, termasuk televisyen berbayar yang dikatakan mencecah RM200 juta.

Setakat ini, waris P Ramlee hanya menerima royalti daripada lagu Allahyarham, termasuk RM200,000 yang dibayar syarikat rakaman dan Persatuan Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP), pada tahun lalu.

Bagi tujuan itu, waris Allahyarham melantik peguam, Datuk Hamzah Mohd Kassim bagi mengendalikan urusan berkaitan usaha mendapatkan imbuhan daripada bekas majikan P Ramlee itu.

Hamzah semalam mengakui tiada undang-undang jelas berkaitan royalti antara P Ramlee dengan Shaw Brothers, ketika Allahyarham menjadi pelakon di syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, Shaw Brothers mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberikan bayaran kepada waris P Ramlee.

“Saya sudah mendapatkan pandangan pakar perundangan dan kami mempunyai ruang mendapatkan sejumlah royalti,” katanya selepas majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Rumah Kelahiran P Ramlee, di sini semalam.

Pelancaran disempurnakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff.

Hamzah berkata, pihaknya sudah membuat kajian mengenai perkara itu dan berjumpa beberapa rakan Allahyarham serta mendapatkan pandangan pakar undang-undang.

Namun, beliau tidak dapat menyatakan jumlah tepat pendapatan diperoleh Shaw Brothers hasil tayangan filem lakonan P Ramlee melalui televisyen, tetapi menjangkakan mencecah RM200 juta.

“Saya difahamkan, dalam tempoh tiga tahun lalu saja syarikat itu dibayar RM20 juta oleh ASTRO,” katanya yang menyasarkan royalti sebanyak 20 peratus diberikan kepada waris Allahyarham.

Mengenai maklum balas Shaw Brothers, Hamzah berkata, pihaknya akan berunding dengan syarikat itu selepas mendapat semua maklumat berkaitan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, PEMENANG menyokong usaha memastikan waris P Ramlee mendapat hak mereka dan berharap persatuan dalam industri perfileman turut membantu bagi memastikan keluarga Allahyarham mendapat pembelaan sewajarnya.

Tuesday, June 21, 2011

Marsha sudah berkahwin !!!!

Marsha AF3



KUALA LUMPUR - “Ya, memang saya sudah berkahwin, Ahad lalu,” kata penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh, 26, sekali gus menamatkan pelbagai gosip mengenai status terkini dirinya.

Artis berasal dari Sabah itu dicungkil bakatnya melalui program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) berkata, majlis perkahwinannya berlangsung di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.

Bagaimanapun, dia yang berketurunan Dusun dan beragama Kristian enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinannya itu serta menafikan sengaja menyembunyikannya daripada pengetahuan media.

“Bukan niat saya menyembunyikannya daripada media tetapi saya cuma mahu melakukan kejutan. Bagaimanapun, saya akan menjelaskan segala-galanya kepada rakan media dalam minggu ini.

“Buat masa ini saya perlu mendiamkan diri terlebih dulu kerana saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini,” katanya ketika dihubungi wartawan, semalam.

Monday, June 20, 2011

Raja Azmi mahu saman JAWI



KUALA LUMPUR - “Saya hairan mengapa keputusan kes sama ada saya melakukan khalwat atau tidak sekali lagi ditangguhkan. Keadaan ini seolah-olah menganiaya dan mahu ‘memerangkap’ saya,” kata bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, semalam, selepas dimaklumkan pegawai Jawi mengenai perundingan kes khalwat dia dengan penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman sekali lagi ditangguhkan sehingga 20 Julai depan.

Roslin hadir pada jam 8 pagi di pejabat Jawi sebelum keluar dari situ kira-kira tiga jam kemudian manakala Raja Azmi dan peguamnya, Roslizam Rahim tidak hadir kerana tidak sihat.

“Saya tidak puas hati apabila pegawai Jawi memberitahu mereka masih belum menemui apa-apa keputusan kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Tapi hati saya terdetik apa lagi yang mahu disiasat sedangkan tiada penangkapan khalwat dibuat ketika itu,” katanya.

Menurut Roslin, dia juga terpaksa membatalkan penyertaannya pada Kejohanan Badminton Terbuka di Indonesia kerana ia jatuh pada tarikh dia dikehendaki hadir di pejabat Jawi, semalam.

Sementara itu, Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 51, tidak teragak-agak untuk menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sekiranya keputusan kes khalwat yang membabitkan dirinya dan Muhammad Roslin Hashim, 39, berterusan ditangguhkan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia mengalami trauma selain terpaksa menanggung malu atas perkara dia tidak melakukannya.

"Jika sampai sekarang belum ada keputusan sehingga beberapa kali ditangguhkan, hidup saya terus menjadi tidak tenteram.

"Pihak Jawi sengaja melengahkan siasatan malah perkara (dakwaan khalwat) itu sebenarnya telah berlaku lebih setahun lalu," kata Raja Azmi ketika dihubungi di sini semalam.

Sunday, June 19, 2011

Ingat Pi mai tang tu ... ingat Pak Uda



Sememangnya umum mengetahui tahap kesihatan figura yang cukup sinonim dengan gelaran Pak Uda itu agak menurun sejak akhir-akhir ini, namun pemergiannya itu merupakan satu kejutan dan kehilangan besar buat industri hiburan tempatan.

Menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu Zami Ismail, 67, yang mula bersiaran sejak 27 tahun yang lalu, cukup berjaya menghidupkan karakter Pak Uda.

Malah diakui, nama Zami lebih sebati dengan panggilan Pak Uda gara-gara sitkom tersebut.

Anak kelahiran Tapah Road, Perak itu memulakan kariernya sebagai seorang pelakon teater kira-kira 49 tahun yang lalu bersama Badan Budaya Ipoh.

Pada tahun 1973 menerusi teater Pertemuan Dua Roh yang diarah dan ditulis sendiri olehnya, arwah telah diangkat sebagai Pelakon Teater Terbaik.

Namun, nama arwah hanya mula popular setelah menjadi salah satu tunjang utama Pi Mai Pi Mai Tang Tu arahan Othman Hafsham pada tahun 1984.

Biarpun sudah berlakon puluhan drama serta filem sepanjang kerjayanya itu, namun Zami masih lagi menjadi antara pelakon veteran yang terus bertahan dan diminati sehingga sekarang.

Menurut salah seorang anaknya, Ahmad Yamashita, 38, ketika ditemui berkata, beberapa minggu sebelum meninggal dunia, arwah ayahnya itu sedang menjalani penggambaran drama di Pekan Hulu Langat, Selangor.

“Ketika menjalani penggambaran, arwah ayah ada mengadu sakit dan kemudian dia terus dibawa ke Hospital Ampang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Selama dua minggu arwah ayah dimasukkan ke hospital berkenaan, pihak hospital kemudian meminta kami supaya membawanya mendapatkan rawatan lanjut ke Institut Jantung Negara (IJN),” ujarnya.

Menurutnya lagi, ketika menjalani pemeriksaan di IJN, doktor mendapati keadaan jantung arwah ayahnya berada dalama keadaan yang cukup lemah.

Lebih memburukkan lagi keadaan katanya apabila Zami turut menghidap penyakit kencing manis sehingga menyebabkan pembedahan jantung ke atasnya terpaksa ditangguhkan sementara.

Bagaimanapun, usianya tidak panjang apabila dia menghembuskan nafas terakhir dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi semalam selepas seminggu berada di IJN.

Selain Ahmad Yamashita, arwah meninggalkan seorang isteri, Hanizan Ibrahim, 58, serta sembilan orang anak iaitu Mohd. Hitler, 39; Mohd. Soupi, 37; Ismail Fahmi, 36; Khairul Affendi, 30; Aida Nurul Ashikin, 29; Aida Nurul Wahyu, 27; Mohd. Firdaus, 24, dan Zahid Bahoqman, 21.

P Mai Tang Tu: Pak Uda Meninggal Dunia

SEBAHAGIAN orang ramai mengangkat jenazah Zami Ismail, 67, atau dikenali sebagai Pak Uda, yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di IJN, Kuala Lumpur.



KUALA LUMPUR – Pelakon komedi Zami Ismail, 67, yang sinonim dengan panggilan “Pak Uda” dalam sitkom “Pi Mai Pi Mai Tang Tu" meninggal dunia pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN).

Anak kedua Allahyarham, Ahmad Yamashita, 25, berkata, ayahnya meninggal pada 10.30 pagi selepas seminggu dimasukkan ke IJN ekoran masalah jantung.

Bulan lepas Allahyarham menerima rawatan di Hospital Ampang.

Ahmad Yamashita berkata, ayahnya pernah berpesan supaya beliau dikebumikan di tempat kelahirannya di Tapah Road, Perak sekiranya beliau meninggal dunia.

"Sebagai memenuhi permintaan itu, jenazah ayah akan dibawa ke Tapah Road untuk dikebumikan di tanah perkuburan di sana selepas solat Asar,” katanya ketika di rumah mayat IJN hari ini.

Saturday, June 18, 2011

Erra Fazira Bertudung Kerana Persaingan ?

ERRA FAZIRA menandatangani plak perasmian Galeri Desa Murni cawangan Kota Bharu di Kota Bharu semalam sambil diperhatikan oleh Bibi Ramjani (dua dari kiri).



KOTA BHARU – Pelakon popular Erra Fazira menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakannya menjadi model produk tudung sebuah syarikat di sini bertujuan mengembalikan popularitinya yang kini menurun akibat saingan artis baru.

Sebaliknya beliau berkata, tindakannya menerima tawaran syarikat Desa Murni Batik Sdn. Bhd. itu selaras dengan niatnya untuk memakai tudung sepenuhnya satu hari nanti.

Baginya, tidak salah artis menjadi model produk tudung kerana ia merupakan satu tanggungjawab sama jika beliau menjadi model kepada mana-mana syarikat dan produk lain.

“Tujuan saya jadi model produk tudung bukan untuk tarik peminat sebaliknya ia adalah salah satu amanah sebagai duta.

“Peminat datang dengan sendiri. Kadang-kadang kita pakai tudung pun, kalau orang tak minat, tak minat juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Desa Murni Batik cawangan Kota Bharu di sini semalam.

Friday, June 17, 2011

Yusof Haslam mohon maaf

YUSOF (kanan) bersama Syamsul bersalaman dengan Roslan di Restoran Haslam di Jalan Pahang, malam tadi.



KUALA LUMPUR - Demi menjernihkan keadaan dan memelihara perpaduan sesama Islam, penerbit filem KL Gangster, Datuk Yusof Haslam memohon maaf kepada Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) berhubung kontroversi penggunaan beberapa nama panggilan yang dikatakan sinonim dengan pertubuhan itu melalui filem aksi terbabit, baru-baru ini.

Yusof yang juga Pengarah Urusan Skop Productions berkata, kontroversi itu tercetus disebabkan salah faham, bukannya salah PEKIDA atau Skop Productions.

“Saya dengan rasa rendah hati, menghulur tangan tanda persahabatan, demi Tuhan saya langsung tidak ada niat walau sebesar kuman untuk mempersendakan PEKIDA.

“Mungkin penggunaan beberapa nama panggilan di dalam KL Gangster membuatkan beberapa ahli PEKIDA terasa hati dan terkena tempias.

“Apabila wujud salah faham, ia berlaku secara kebetulan dalam filem, bahasa filem tak sama dengan bahasa di luar,” katanya pada majlis kesyukuran dan musyawarah antara Skop dan PEKIDA di Restoran Haslam, di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan/Putrajaya/Labuan, Datuk Roslan Dahaman. Hadir sama, pengarah KL Gangster, Syamsul Yusof Haslam dan pelakon filem itu seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Soffi Jikan, Adam Corrie dan Sheera Iskandar.

Turut hadir, penerbit filem Kongsi, David Teo dan produser drama terkenal, Mohd Noor Kadir.

Thursday, June 16, 2011

Johan dan Zizan kuasai Maharaja Lawak ke-11

BARISAN peserta yang terus bersaing dalam Maharaja Lawak.



Berlangsung gelanggang Maharaja Lawak pada minggu ke-11 di Dewan Jubli Perak di Kuantan, Pahang, gandingan mantap Johan dan Zizan menggamatkan suasana dengan ketawa penonton yang tidak kering gusi melihat aksi-aksi mereka.

Berkonsepkan prop, persembahan Jozan malam itu nyata menghidupkan karakter yang dibawa sekali gus mendapat pujian daripada juri Ahmad Idham, Saiful Apek dan Mamat Khalid.

Ahmad Idham menyifatkan persembahan yang dilakukan Jozan adalah terbaik dan gandingan itu mungkin melayakkan diri mereka ke pusingan akhir sekiranya mengekalkan momentum sedia ada.

Sementara itu, untuk persembahan kedua, mereka terus menggamatkan suasana penonton dengan aksi lawak bersahaja menggunakan dua barang yang diberikan iaitu mesin penyedut hampagas dan sekaki tongkat.

Untuk persembahan itu pula, Mamat Khalid melalui komennya berkata, Jozan dapat menggunakan barang-barang tersebut dengan ekspresi penuh komedi untuk menghiburkan penonton.

“Idea yang Jozan tampilkan sangat kreatif dan penonton benar-benar terhibur dan berpuas hati dengan persembahan Jozan,” katanya lagi.

Pujian melambung yang diterima Jozan pada minggu ke-11 itu memberi kelebihan kepada Johan dan Zizan menguasai gelanggang Maharaja Lawak apabila mereka memperolehi markah tertinggi dengan 62 peratus undian.

Markah diterima Jozan pada minggu lalu juga lebih tinggi berbanding saingan di Pulau Pinang pada minggu sebelumnya iaitu 55 peratus.

Sambutan Ulg Tahun KRU ke 19

SELAMAT ulang tahun. Adik-beradik KRU, dua dari kiri (Edry, Norman dan Yusry) meniup lilin kek ulang tahun ke-19 empayar milik mereka yang semakin berkembang di Cyberjaya, minggu lalu.



SUDAH 19 tahun usia penglibatan KRU dalam industri seni tanah air. Bermula hanya sebagai sebuah kumpulan nyanyian yang diasaskan oleh tiga orang adik-beradik, Norman, Edry dan Yusry Abdul Halim, kini, empayar yang dibina mereka semakin besar.

Tidak hanya berfungsi sebagai syarikat rakaman, tetapi juga KRU kini memiliki beberapa anak syarikat seperti KRU Media Sdn. Bhd. dan KRU Studio. Ibu pejabat yang dulunya terletak di lot tepi daripada deretan rumah kedai di Setiawangsa, Kuala Lumpur kini berpindah ke ibu pejabat di Cyberjaya yang mula beroperasi pada 1 April 2010.

Mengenang kembali perjalanan KRU, Norman memberitahu, jenama KRU bermula dengan modal RM2,000. Ketika itu wang tersebut digunakan untuk menerbitkan album pertama mereka yang berjudul Canggih bersama syarikat rakaman EMI.

"Kejayaan bukan datang bergolek, sepanjang 19 tahun kami dalam industri, bukan sekali dua kami dihambat kontroversi, diuji pelbagai cara sehingga ada di antara kami seperti mahu putus asa. Mujur, kami bukannya rakan kongsi bisnes sahaja tetapi juga kami terikat dengan pertalian darah sebagai adik-beradik.

"Jika ada di antara kami bertiga yang menghadapi masalah dan seperti mahu berputus asa, kami akan saling menyokong. Itu antara formula kenapa KRU kekal bertahan sehingga ke hari ini," ujar Norman lagi.

Bersyukur dengan apa yang dimiliki KRU hari ini, ketiga-tiga mereka tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankan kemaraan mereka dalam bidang bisnes mahupun gelaran mereka sebagai penyanyi.

"Kami baru bermula, banyak lagi perkara yang kami rancangkan belum dilaksanakan lagi. Mungkin sekarang bisnes ini milik kami bertiga tetapi untuk membesarkan lagi perniagaan kami harus menarik pelabur daripada luar.

"Walaupun pada masa depan, empayar perniagaan kami mungkin tidak lagi diuruskan oleh kami atau ahli keluarga, kami tetap berbangga jika jenama KRU terus kekal bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global. Kejayaan yang kami peroleh hari ini tidak akan melalaikan kami kerana impian kami mahu menjadi seperti Warner Bros.

"Cuma kini, orang lihat kami seperti tidak aktif, sebenarnya kami semua sibuk dengan kerja masing-masing, Saya sibuk dengan muzik, Yusry dengan filem dan Norman dengan bisnes. KRU masih menyanyi dan keluarkan lagu-lagu baharu tetapi kami sudah bersara daripada buat persembahan pentas," kata Edry sambil dipersetujui oleh Norman dan Yusry.

Tuesday, June 14, 2011

Sharifah Sofea Dapat Cahayamata

DARI kiri, Steve, Nazrudin, Amber dan Sharifah Sofea bersama bayi masing-masing.



Pelakon Sharifah Sofea Syed Hussein. Hanya setelah mendirikan rumah tangga selama hampir dua tahun, akhirnya dia dan suami dikurniakan cahaya mata sulung pada 4 April lalu.

Ditemui pada majlis pelancaran pengenalan produk terbaharu lampin pakai buang jenama Huggies Ultra baru-baru ini, Sofea meluahkan kehadiran Ariana sebagai ahli baru dalam keluarga seperti telah melengkapkan hidupnya.

“Wanita mana yang tidak teruja apabila mendapat cahaya mata, apatah lagi dikurniakan anak pertama. Sehingga kini, saya sendiri seperti tidak percaya sudah mempunyai seorang anak.

“Selain suami, hanya Ariana permata hati saya sekarang ini. Walaupun hanya dapat melihat senyumannya dalam tempoh yang singkat, itu adalah satu kepuasan buat diri saya dan seperti tidak mahu berenggang dengannya walaupun sesaat,” ujarnya yang baru sahaja habis tempuh berpantang.

Mengenai pengalaman pertamanya melahirkan anak, Sofea memberitahu dia sangat bersyukur dapat melahirkan Ariana secara normal dan tidak menggunakan epidural, walaupun berada di dalam bilik bersalin selama lima jam.

Apa yang lebih menarik, jelasnya, sementara menunggu hendak bersalin, dia masih sempat mengemaskini status Twitternya. Malah, dia juga gembira kerana ramai ahli keluarga termasuk suami berada di sisi sehingga dia selamat melahirkan anaknya.

Monday, June 13, 2011

Makyung DIID dipentaskan semula

KANAN,Barisan pelakon Makyung Dewa Indera Indera Dewa bersedia mempersembahkan teater tersebut pada 24 dan 25 Jun ini di Istana Budaya.



“Ramai yang memohon Makyung Dewa Indera Indera Dewa dipentaskan semula selepas percubaan pertama persembahannya itu pada tahun 2006. Selepas mendapat sambutan yang luar biasa dan juga yakin produk makyung boleh mendekatkan orang ramai terutama golongan belia terhadap seni makyung, kami mementaskannya semula.”

Demikian penjelassan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Sharaani ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Makyung Dewa Indera Indera Dewa minggu lalu.

Katanya, namun kali ini ia tampil lebih berbeza apabila dipentaskan selama satu jam setengah berbanding persembahan sebelum ini yang terlalu meleret sehingga tiga jam.

“Persembahan makyung kali ini juga akan disaratkan dengan babak lakonan, aksi dan juga komedi,” katanya yang mengharapkan sambutan mengalakkan daripada teater tersebut.

Ditanya mengenai pemilihan Arja sebagai watak Indera Dewa yang sebelum ini dipegang oleh pelakon wanita, Juhari yang lebih mesra disapa Abang Joe memberitahu, kebetulan Arja menjalani latihan praktikal di Istana Budaya, jadi dia dipilih untuk menjayakan pementasan tersebut.

“Persembahan makyung merupakan salah satu tugasan yang perlu dilakukannya untuk latihan praktikal di Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya.

Tambahnya, Arja juga sudah berpengalaman menjayakan pementasan teater. Dia pernah menjadi penyanyi utama dan memegang watak under study sebagai Hang Tuah dalam pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang 1 dan 2, teater Mahsuri dan terbaru teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa.

Sunday, June 12, 2011

Fasha Sandha Kembali ke Pangkuan Jejai ?




KUALA LUMPUR - “Saya dan Jejai sekadar kawan dan bukan seperti dakwaan ramai pihak yang kononnya saya kembali ke pangkuan Jejai,” kata pelakon Nur Fasha Sandha Hassan, 27, atau Fasha Sandha mengenai desas-desus mengatakan kasihnya dan Jejai bertaut semula.

Fasha, 27, bagaimanapun mengakui menerima barangan dan bunga daripada Jejai yang dihantar ke Saloon Chinta miliknya.

“Namun, saya tidak boleh mengulas sama ada tujuannya untuk memujuk saya kerana apa yang berlaku antara kami sebelum ini sesuatu yang tidak sekali kami fikirkan. Saya lebih selesa jika perkara ini tidak diperbesarkan kerana bimbang ia akan membabitkan pihak lain pula kemudian hari nanti,” katanya.

Kedua-duanya mengumumkan hubungan mereka tidak kesampaian pada Januari lalu dan desas-desus mengatakan mereka berbaik semula timbul apabila Jejai atau Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 34, menghantar 28 jambangan bunga serta barangan mewah lain untuk memujuk hati bekas kekasihnya itu.

Fasha berkata, dia kini lebih berhati-hati kerana perlu menjaga banyak hati apalagi ibunya tidak merestui jika dirinya kembali ke pangkuan Jejai kerana bimbang akan menimbulkan kontroversi.

Saturday, June 11, 2011

Siti ke Brunei perkenalkan produk

Dato' Siti Nurhaliza ketika memotong kain rentang perasmian produk kosmetiknya.




Dato' Siti Nurhaliza melangkah lebih jauh lagi dalam perniagaan produk penjagaan kulit dan kosmetik beliau, SimplySiti dengan melancarkan produk itu di negara ini.

Pada sidang media pelancaran produk SimplySiti, Dato' Siti Nurhaliza menjelaskan Brunei Darussalam merupakan negara pertama di luar Malaysia menjadi pelantar pelancaran produknya di peringkat antarabangsa. Beliau berhasrat meluaskan lagi perniagaan produk penjagaan kulit dan kosmetiknya ke Indonesia dan Singapura.

Beliau menjelaskan selepas produk penjagaan kulit dan kosmetik, beliau ingin memperkembangkan lagi perniagaannya dengan menghasilkan produk seperti penjagaan badan, wangian, makanan kesihatan dan banyak lagi. Beliau juga mengimpikan untuk membuka sebuah Pusat Kecantikan holistik dan dijangka akan menjadi realiti pada tahun hadapan.

Menurutnya lagi produk-produk itu mengambil masa dua tahun dalam penyelidikan dan kehalalan produk beliau adalah keutamaan kebersihan serta keselamatan produk yang dihasilkan, diformulasikan khas untuk kesesuaian kulit wanita Asia.

"Setelah lama Siti tidak ke Brunei, Siti rasa cukup bertuah kerana produk SimplySiti mendapat permintaan hebat daripada pengguna-pengguna di sini. Sejak SimplySiti bermula, Siti sentiasa menyasarkan untuk membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa, dan melalui permintaan dan sokongan yang Siti sering dapat dari peminat di Brunei, ini menguatkan lagi semangat Siti untuk melancarkan produk SimplySiti di sini, lebih-lebih lagi Brunei merupakan jiran terdekat kami di Malaysia.

"Jadi bagi peminat-peminat yang ingin mendapatkan produk SimplySiti, jangan lepaskan peluang mendapatkannya sekarang di lokasi terpilih," jelas Dato Siti Nurhaliza lagi.

Dato' Siti Nurhaliza melancarkan produknya di luar kedai Paloma di The Mall dan orang ramai menyerbu kedai itu untuk menyaksikan dengan lebih dekat lagi penyanyi paling popular Malaysia itu.

Orang ramai juga berkesempatan mendengar temu bual eksklusif bersama beliau secara langsung di Kristal FM pada jam 10 pagi.

Dengan kerjasama rakan niaga M.S. Titanstar Enterprise, kini hampir 100 jenis produk penjagaan kulit dan kosmetik SimplySiti boleh didapati di tiga lokasi iaitu di The Mall, Delima dan kiosk Duty Free di lapangan terbang Brunei Darussalam.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk dan senarai rangkaian niaga sah SimplySiti, layari laman web rasmi www.simplysiti.com.my atau sertai laman Facebook "SimplySiti."

Friday, June 10, 2011

Dapat RM 1.5 juta, tiada kena mengena dengan Pekida



KUALA LUMPUR - Pengarah filem KL Gangster, Syamsul Yusof menafikan dakwaan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) kononnya filem itu membuka kod rahsia pertubuhan berkenaan dan mengaitkan orang Melayu dengan unsur samseng seperti didakwa.

Syamsul, 27, berkata dakwaan ahli Pekida itu mungkin berpunca daripada salah faham selepas filem arahannya itu mula ditayangkan di pawagam, kelmarin.

“Saya sendiri tidak faham apa kod rahsia yang dimaksudkan mereka, kemungkinan mereka tidak berpuas hati kerana penggunaan perkataan ‘abang long’ dan ‘ayahanda’ dalam babak filem itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, filem itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak, malah penggambarannya mendapat kebenaran daripada polis dan pelepasan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

“Sebelum membuat filem, penolong pengarah produksi, Rizal Ashraf terlebih dulu melakukan kajian dan menemubual bekas gengster.

“Tetapi isu seperti itu tidak sepatutnya timbul dan saya mengharapkan ahli Pekida tidak sewenang-sewenangnya menuding jari kepada Skop Production kononnya menjatuhkan bangsa sendiri,” katanya.

Dia berkata, filem itu hanya rekaan semata-mata dan bersifat hiburan, malah ia tiada kaitan langsung dengan gengsterisme di negara ini. “Tujuan penghasilan filem ini adalah menyampaikan mesej bersifat kekeluargaan, kemasyarakatan dan keagamaan dengan harapan ibu bapa mengambil berat terhadap anak yang sedang meningkat dewasa,” katanya.

Di sebalik kontroversi itu, Syamsul tetap melahirkan rasa syukur kerana kutipan hari pertama tayangan filem itu mencatat RM1.5 juta.

Selain KL Gangster, Pekida juga berhasrat menyaman penerbit dan pengarah filem Kongsi kerana mendakwa mereka mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan.

Thursday, June 9, 2011

Ramli MS Ikat Jalinan Mesra dengan Alyah.

Kasih sayang seorang ayah… kalau kasih ibu sampai ke syurga, kasih ayah sepanjang masa…



KUALA LUMPUR - Selepas masing-masing pernah gagal dalam rumah tangga dan ikatan pertunangan, pengarah muzik terkenal, Ramli MS kini dikatakan menjalinkan hubungan rapat dengan penyanyi lagu Kisah Hati, Alyah.

Sumber memberitahu, baru-baru ini, Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohd Salleh, 52, mula rapat dengan Alyah atau Noor Hasliah Abu Hassan, 30, selepas majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) berakhir di Genting Highlands pada 3 April lalu.

“Berikutan pertemuan di majlis ‘post-party’ itu, mereka bertukar nombor telefon dan saling berhubungan di talian baik sama ada berbual mahupun SMS. Mereka nampak bahagia dan gembira,” kata sumber itu yang enggan dikenali.

Menurut sumber, pada April lalu ada peminat ternampak Ramli dan Alyah muncul di satu lokasi terkenal di Singapura.

Sumber berkata, Ramli ingin membawa Alyah bertemu keluarganya di Singapura dan begitu juga dengan Alyah. Sementara itu, Alyah ketika ditemui di Angkasapuri semalam terkejut dengan gosip sensasi itu, tetapi enggan mengulas lebih mendalam.

“Jangan salah faham. Kami cuma bersahabat dan Alyah sentiasa hormatkan kebolehan dan kedudukan Ramli. Alyah suka meminta pandangan Ramli berkaitan muzik dan penerbitan lagu.

“Kami berjumpa pun atas dasar kerja dan jangan diperbesar-besarkan isu persahabatan kami itu. Mengenai pertemuan di Singapura, ia kebetulan. Alyah pergi beli-belah di sana dan Ramli pula ada urusan kerja. Elok anda minta komen Ramli sendiri,” kata Alyah.

Wednesday, June 8, 2011

Malaysia Rumah ke 2 buat Rossa


Sri Rossa Roslaina Handiyani



DALAM kerjaya Rossa nyata sudah berada pada kedudukan paling selesa - tersohor di tanah kelahiran dan menempa tempat tersendiri di kalangan peminat muzik negara jiran, khususnya Malaysia.

Namun rona percintaan yang dilalui penghibur Indonesia itu tidak serancak kerjaya seninya, bermula dengan ikatan perkahwinan yang kecundang tatkala populariti memuncak dan kini dikhabarkan sedang bercinta dengan anak seorang tokoh politik terkenal di Jakarta pula menemui titik noktahnya.

Namun bagai tiada sisa duka pada wajahnya. Hanya tawa gembira selain celoteh bersahaja yang muncul satu persatu daripada bibir munggil pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani yang diterbangkan sekali lagi ke Kuala Lumpur memenuhi permintaan ramai.

“Ya, saya masih solo!” luahnya ringkas sambil tertawa besar apabila diminta mengulas lanjut desas-desus yang bertebaran terutama menerusi laman sosial mengenai kisah cintanya.

Rossa yang ditemui di sebuah puat membeli belah di Petaling Jaya ketika sesi bertemu peminat datang kembali untuk mengadakan persembahan eksklusif pada esok dan Jumaat ini di Tropicana Golf & Country Resort tampak seperti selalu - ceria!

Akui penyanyi lagu Pudar itu lagi, bersendirian tidak bermakna dirinya sunyi kerana di sekelilingnya ramai insan tersayang yang ada di sisi untuk melalui hari-hari indah, malah memenuhi undangan pentas hingga ke Kuala Lumpur juga membuatkan masanya sentiasa terisi.

“Saya sangat sibuk hingga tiada masa untuk bersedih. Sekarang saya masih mencari yang terbaik atau mungkin jodoh saya ada di Malaysia,” selorohnya lagi yang sememangnya cukup suka berjenaka.

Sememangnya, jika dihitung Kuala Lumpur sudah menjadi rumah kedua ibu kepada Rizky Langit Ramadhan kerana sejak awal tahun hingga kini sudah empat kali Rossa ‘turun’ ke negara ini dengan kunjungan terbaru April lalu untuk promosi album kompilasi, Harmoni: Jalinan Nada dan Cerita.

Tuesday, June 7, 2011

Hubungan Yusri - Lisa semakin intim

YUSRY dan Lisa tidak menyorokkan rasa hati mereka kepada umum.


CINTA antara Yusry KRU dan Lisa Surihani bukan lagi rahsia, di mana ada Yusry pastinya kelibat Lisa akan kelihatan, sama juga halnya yang berlaku ketika tayangan perdana filem Karak dan juga terbaru sambutan ulang tahun KRU yang ke-19 yang berlangsung di ibu pejabat KRU di Cyberjaya pada Isnin lalu.

Mereka duduk semeja bersama ibu Lisa Surihani dan juga keluarga Yusry yang lain. Sinar mata bahagia yang terpancar menjelaskan mereka dalam lamunan cinta meskipun usia percintaan baru menjangkau angka tiga bulan.

Yusry dan Lisa yang ditemui sejurus majlis tamat tidak langsung melarikan diri, malah turut sudi memenuhi permintaan pihak media untuk bergambar berdua buat pertama kalinya dalam satu sesi fotografi segera.

Bagaimanapun, Yusry enggan hubungannya dengan Lisa dilabelkan sebagai pasangan kekasih kerana menganggap perhubungan mereka perhubungan yang matang. Ia bukan lagi umpama cinta monyet ketika zaman remaja.

"Memang kami berkawan lebih daripada biasa, tetapi saya tidak mahu kami digelar pasangan kekasih kerana perhubungan kami adalah matang. Kalau sebut kekasih, saya rasa seperti cinta monyet atau zaman muda-muda dulu yang pernah saya alami. Lainlah kalau sudah bertunang atau berkahwin.

"Apa yang boleh saya cakapkan, saya serius dengan hubungan ini dan kami bercinta cara orang dewasa, bukan lagi seperti orang yang ingin mencuba nasib dalam perhubungan. Kami memang serius," jawab Yusry.

Lisa pula yang duduk disebelah Yusry yang sebelum ini sering memberi jawapan selamat mengenai hubungannya dengan Yusry turut mengakui, perhubungannya dengan Yusry adalah lebih daripada kawan biasa dan dia senang ketika bersama Yusry.

"Status hubungan itu tidak perlulah nak jelaskan, harap berikan kami ruang sebelum kami boleh berikan jawapan yang konkrit. Sebenarnya bila saya disoal mengenai Yusry sebelum ini, bukan saya tidak mahu menjawab tetapi tidak manis untuk seorang perempuan yang mula bercakap mengenai hubungan, biarlah lelaki yang memulakannya dulu," ujar Lisa.

"Sebelum saya keluarkan kenyataan, kami berbincang terlebih dahulu dan apa sahaja yang saya katakan sebelum ini hasil perbincangan saya dengannya," kata Yusry.

Monday, June 6, 2011

Nasir Bilal Khan kembali menggali kubur

Nasir Bilal Khan.



Nasir Bilal Khan kembali menggali kubur dalam drama bersiri Tanah Kubur yang sedang hangat ditayangkan di Astro Oasis bermula 13 Mei lalu.

Namun begitu, Nasir yang ditemui ketika sesi tayangan perdana drama itu di pawagam TGV KLCC baru-baru ini menjelaskan meskipun wataknya sebagai penggali kubur tetapi karakternya berbeza.

“Kalau dulu dalam drama Cinta Si Penggali Kubur, saya seorang yang lurus dan senang kena tipu tetapi tidak dalam drama Tanah Kubur di mana watak saya sebagai Tok Adi seorang yang dihormati di kampung dan mempunyai pendirian yang tersendiri,” jelasnya.

Sambung Nasir, pengalaman menjadi seorang penggali kubur dan penggambaran singkat termasuk pada waktu malam selama sebulan memberi kepuasan kepadanya.

“Ini salah satu cara saya berbakti kepada masyarakat dan mendapat saham di akhirat. Saya harap mesej saya sampai. Saya tidak kisah walaupun satu peratus meresap dalam fikiran dan membuka mata masyarakat.

“Tidak banyak yang dapat saya perkatakan kerana drama bersiri ini sangat menarik. Ia merupakan 13 cerita yang berbeza dalam 13 episod, dengan cerita-cerita itu diambil daripada pengalaman penggali kubur yang sebenar dan juga menerusi sejarah pada zaman Rasulullah,” tuturnya.

“Jika dalam cerita seram, orang takut hantu, tetapi dalam drama bersiri ini, mereka takut kepada dosa,” katanya lagi.

Pengarahnya pula, Rashid Sibir yang cukup terkenal dengan drama air mata dan keinsafan memberitahu, ketika dia mula membaca skrip itu tiada orang lain yang terlintas dalam fikirannya untuk memegang watak Tok Adi seorang penggali kubur selain daripada Nasir Bilal Khan.

“Watak Tok Adi ini seorang yang tegas, berprinsip dan juga memiliki karakter yang unik. Apa yang saya nampak ia hanya ada pada Nasir Bilal Khan, sebab itu saya tawarkan watak ini kepadanya selain kami juga sudah selalu bekerjasama,” ceritanya mengenai drama yang menjalani penggambaran di empat tanah perkuburan.

Menurut pengarah itu lagi, dia menggunakan pelakon yang sebenar untuk dimasukkan ke dalam liang lahad supaya visual nampak lebih benar.

“Kami menggunakan mayat sebenar iaitu pelakon sendiri dikafankan termasuk beberapa ular hidup untuk memberikan impak sebenar di liang lahad.

“Drama ini menggunakan tiga tonggak pelakon utama yang tampil dalam setiap episod dengan 39 pelakon tambahan dengan setiap episod membawa jalan cerita dan pengalaman kubur yang berbeza,” tuturnya.

Drama Tanah Kubur yang menemui penonton pada setiap Jumaat bermula 13 Mei lalu pada pukul 7.30 malam di saluran Astro Oasis mengisahkan pelbagai pengalaman aneh seorang penggali kubur, Tok Adi (Nasir Bilal Khan).

Sunday, June 5, 2011

Drama Terhebat Badai Semalam ke Singapura

DARI kiri: Fizz Fairuz, Erra Fazira, Umie Aida, Ziela Jalil dan Aaron Aziz.


Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani ingin menyunting Erra Fazira dan Aaron Aziz sebagai peneraju utama teater Badai Semalam.

Baginya, watak Mazni dan Karim dalam novel Badai Semalam karya hebat Khadijah Hashim itu sangat sesuai dilakonkan oleh kedua-dua artis hebat Malaysia dan Singapura itu.

“Apabila Istana Budaya mahu pentaskan teater Badai Semalam, saya sudah membayangkan siapakah yang sesuai melakonkan watak utamanya iaitu Mazni dan Karim. Jadi, bagi saya Erra dan Aaron sangat sesuai memegang kedua-dua watak ini kerana mereka mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan barisan utama pelakon teater Badai Semalam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Katanya, pemilihan barisan pelakon lain seperti Datin Paduka Umie Aida, Ziela Jalil dan Fizz Fairuz secara tidak langsung akan mencantikkan dan menguatkan lagi perjalanan teater tersebut.

“Sebenarnya saya masih tidak puas bersama Fizz, Ziela dan Umie selepas mereka menjayakan teater Natrah. Disebabkan itu, saya terfikir untuk mendapatkan khidmat mereka sekali lagi.

“Walaupun Fizz pada mulanya menolak kerana pengalaman bersama Natrah cukup memenatkan dan katanya pementasan juga terlalu lama, saya tetap memujuknya berlakon dalam teater Badai Semalam,” katanya yang bersungguh-sungguh mengharapkan yang terbaik untuk teater tersebut.

Ditanyakan pula mengenai pemilihan Aaron dalam teater itu, kata Joe, naskhah Badai Semalam itu sangat popular sehingga ke Singapura dan pihak Singapura sendiri ada bertanyakan mengenai nashkah tersebut untuk dipentaskan di Esplanade, Singapura. Disebabkan itu pemilihan Aaron dijadikan pancing untuk menarik khalayak Singapura menonton teater tersebut.

Merupakan produksi ulung Istana Budaya tahun ini, menurut Abang Joe, pemilihan novel Badai Semalam untuk diangkat sebagai teater di IB disebabkan nashkah sastera itu mempunyai mesej yang cukup kuat dan novel tersebut sangat popular.

“Kisah Badai Semalam mempunyai mesej yang berguna tentang seorang wanita yang hidup pada zaman 1970-an yang mahu berjuang untuk mengenali serta mencari siapa dirinya. Cerita itu juga memaparkan kehebatan seorang wanita,” katanya yang menjanjikan teater tersebut pastinya akan menambat hati penonton kerana dihiasi dengan props dan tatarias pentas yang menarik selain akan mengadakan beberapa kejutan.

Tambahnya, terdapat juga beberapa babak yang memerlukan Erra menyanyi.

Menurut Erra pula, pemilihannya untuk menjayakan watak Mazni memberi satu penghormatan kepadanya. Lebih-lebih lagi karya tersebut mempunyai impak yang besar.

“Karya ini sangat ulung dan memberi impak yang besar kepada orang ramai. Apabila ia dipentaskan dan watak utama sebagai Mazni diserahkan kepada saya, ia sememangnya satu penghormatan kepada saya,” katanya yang anggun mengenakan gaun rekaan 1970-an.

Bagaimanapun, Erra mengaku yang dia belum lagi berkesempatan membaca karya tersebut tetapi sudah tahu keseluruhan jalan cerita.

Menurutnya, bukan mudah untuk membawakan watak Mazni dan dia terpaksa benar-benar mendalami watak tersebut agar dapat memberikan yang terbaik untuk teater Badai Semalam.

Saturday, June 4, 2011

KILAFAIRY... menjadi rebutan ... Banyak terima SMS VIP

KILAFAIRY... terima pelbagai gangguan.



KUALA LUMPUR - Kariernya masih hijau, namun dek kerana memiliki pakej lengkap termasuk jolokan sebagai Angelina Jolie Malaysia, pelakon baru, Syakila Nisha Jangir Khan, 19, atau lebih mesra disapa Kilafairy mengaku diburu ramai lelaki hidung belang, termasuk orang kenamaan (VIP) sejak kebelakangan ini.

Gangguan itu hadir menerusi pelbagai cara, termasuk panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) malah ada yang berani mengajaknya keluar meskipun baru kali pertama mencuba nasib.

Apapun, Kilafairy berkata, semua itu dianggap sebagai asam garam bergelar selebriti, apatah lagi dia baru bertatih dalam bidang seni.

“Sebelum memasuki industri seni pun, Kila pernah terima SMS dan panggilan daripada VIP. Bagaimanapun, impaknya lebih besar sejak Kila menjejakkan kaki dalam dunia glamor.

“Kini, Kila menerima lebih banyak SMS dan panggilan daripada golongan itu. Rata-ratanya mahu berkenalan dan tidak kurang pula yang mengajak Kila keluar,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Meskipun tidak sampai setahun bergelar pelakon, keadaan itu tidak mengejutkan kerana puteri bongsu penyanyi popular 1980-an, Rohana Jalil ini memiliki wajah jelita, unik dan susuk tubuhnya menggiurkan ramai lelaki, apatah lagi golongan berada seperti VIP.

Namun, Kilafairy sudah bersedia sebelum memasuki bidang ini, malah dia sentiasa mendapat nasihat dan tunjuk ajar ibunya supaya tidak tenggelam dalam dunia glamor.

“Sebelum menjejakkan kaki dalam industri ini, mama sering menasihati Kila mengenai cabaran dan dugaan yang harus dilalui. Jadi, Kila lihat ini antara cabaran yang datang.

“Kila tidak mahu cepat melatah. Lagipun, Kila pasti ia menjadi perkara biasa terhadap mana-mana artis baru yang semakin meningkat naik.

“Bagi Kila, itu semua permainan golongan itu. Namun, kalau ada lelaki yang benar-benar ikhlas mahu berkawan, kenapa tidak terus berjumpa?

“Lagipun, Kila belum pernah bercinta dengan sesiapa. Jadi, lebih baik berjumpa bertentang mata daripada menghantar SMS yang mengarut,” katanya.

Sebelum ini, bintang filem seram berjudul Karak ini pernah dipalit kontroversi apabila dikatakan bercinta dengan Yusry KRU.

Malah, gadis tinggi lampai ini juga dihambur kerana didakwa menyuntik botoks bagi mendapatkan bibir tebal dan tubuh badan menggiurkan.

Menurut Kilafairy, dia tidak pernah melakukan sebarang suntikan, apatah lagi pembedahan plastik bagi mendapatkan rupa paras dan bentuk badan cantik.

“Kisah botoks, besarkan buah dada dan pinggul adalah tidak benar. Apa yang Kila miliki kini semuanya anugerah Tuhan. Lagipun, inilah yang Kila warisi daripada perkahwinan campur antara mama (Melayu) dan papa yang berdarah Pakistan.

“Keluarga dan rakan tahu siapa sebenarnya Kila dan mereka sentiasa menyokong dari belakang. Walaupun Kila orang baru, Kila yakin peminat di luar sana pandai menilai yang mana baik atau buruk.

Friday, June 3, 2011

Betty Banafe: Tiada Jodoh Kami



KUALA LUMPUR - “Hubungan cinta kami sudah berakhir. Kami berkawan setahun saja dan saya reda dengan ketentuan Tuhan kerana kami memang tiada jodoh,” kata pelakon dan penyanyi, Betty Banafe mengenai hubungannya dengan bekas vokalis kumpulan Lefthanded, Nash.

Menurut Betty, dia dan Nash berpisah secara baik dan enggan mengulas lanjut termasuk punca perpisahan itu untuk menjaga hati banyak pihak.

“Kini, saya ingin mencari ketenangan dan melupakan apa yang sudah dilalui sepanjang kami berkawan rapat dulu,” katanya.

Mereka berdua mula berkawan rapat sebaik saja Nash bercerai dengan bekas isterinya yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.

Betty yang berdarah kacukan Arab-Melayu-Jawa dikatakan menyembunyikan dirinya seketika daripada media ketika hubungannya dan Nash heboh diperkatakan ketika itu.

Sekalipun sudah putus, akui Betty, hubungan mereka masih baik sampai sekarang.

Nora mencari teman lelaki sebagai calon suami



TIGA tahun hidup bergelar janda, pastinya banyak dugaan yang terpaksa dilalui oleh pelakon Nora Danish. Terutamanya apabila dia terpaksa berhadapan dengan kontroversi yang sering menjadi tumpuan ramai.

Kontroversi yang paling hangat diperkatakan sudah tentu perbalahan Nora dengan seorang pelakon wanita popular dan kontroversi yang dikatakan punca kepada penceraian dengan bekas suaminya sebelum ini.

Bagaimanapun, Nora kini tiba-tiba dilanda gosip hangat apabila dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan seorang jejaka.

Malah, ada kabar angin yang mengatakan bahawa jejaka yang dimaksudkan merupakan seorang kerabat diraja dan berasal dari Terengganu.

Kesempatan bertemu Nora pada majlis pelancaran drama bersiri Ana Lu'Lu baru-baru ini, pelakon berkenaan telah diajukan pertanyaan mengenai hubungannya dengan jejaka tersebut.

"Memang tidak dinafikan kini saya menjalin hubungan yang agak rapat dengan seseorang, tetapi adalah terlalu awal untuk saya katakan hubungan kami sebagai pasangan kekasih.

"Apa yang boleh saya katakan, dia merupakan lelaki yang paling rapat dengan saya ketika ini, namun dia bukanlah seorang kerabat dan tidak berasal dari Terengganu," jelasnya.

Tambahnya, jejaka berkenaan merupakan seorang ahli perniagaan yang langsung tidak terbabit dengan dunia hiburan dan usianya dua tahun lebih muda berbanding dirinya.

Bagaimanapun, Nora enggan mengulas lebih lanjut tentang hubungannya dengan lelaki berkenaan dan sekadar menyatakan bahawa mereka berdua masih lagi berkawan dan dalam proses saling mengenali.

"Cuma kalau boleh saya tidak mahu bercerita sangat tentang hal ini kerana kami masih lagi di peringkat berkawan. Nanti kalau terlalu heboh sangat, risau pula apa yang diharapkan tidak menjadi," ujar pelakon berusia 29 tahun itu lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tempoh untuk dia menamatkan zaman jandanya, Nora memberitahu bahawa setakat ini dia masih belum terfikir lagi untuk mendirikan rumah tangga semula.

Menurutnya, dia memang masih lagi mempunyai keinginan untuk berumah tangga, namun dia memerlukan masa untuk mencari lelaki yang betul-betul sesuai dengan dirinya.

Wednesday, June 1, 2011

Fasha Sandha mengamuk di Twitter




Bintang kontroversi, Fasha Sandha sekali lagi mencipta kontroversi, kali ini di laman sosial Twitter. Fasha telah melahirkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap seorang aktor kacak yang merupakan pasangannya dalam drama Dewa Cintaku disebabkan dia terpaksa menunggu kehadiran pelakon itu selama empat jam baru-baru ini.

Menurut Fasha, masa yang ditetapkan produksi untuk sampai ke Port Dickson, Negeri Sembilan adalah pukul 8 pagi sedangkan pelakon lelaki tersebut (yang tidak disebutkan namanya) hanya muncul pada pukul 12.30 tengah hari.

Namun, apa yang dikesali Fasha adalah, pelakon lelaki itu dikatakan langsung tidak meminta maaf atas kelewatannya tiba di lokasi penggambaran drama tersebut di Port Dickson.

Disebabkan itu, Fasha melahirkan rasa amarahnya terhadap pelakon itu menerusi laman sosial Twitter.

Ramai yang membuat andaian pelakon lelaki yang dimaksudkan Fasha ialah Iqram Dinzly. Ini berikutan, mereka sememangnya digandingkan sebagai hero dan heroin bagi untuk drama rantaian Dewa Cintaku yang bakal disiarkan pada 20 Jun di TV3. Drama tersebut sehingga kini masih lagi menjalani penggambarannya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Terdapat tujuh Tweet yang dihantar Fasha menerusi Twitter miliknya yang menjurus kepada perasaan marahnya terhadap Iqram.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2