NUFFNANG ADS

Sunday, June 19, 2011

Ingat Pi mai tang tu ... ingat Pak Uda



Sememangnya umum mengetahui tahap kesihatan figura yang cukup sinonim dengan gelaran Pak Uda itu agak menurun sejak akhir-akhir ini, namun pemergiannya itu merupakan satu kejutan dan kehilangan besar buat industri hiburan tempatan.

Menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu Zami Ismail, 67, yang mula bersiaran sejak 27 tahun yang lalu, cukup berjaya menghidupkan karakter Pak Uda.

Malah diakui, nama Zami lebih sebati dengan panggilan Pak Uda gara-gara sitkom tersebut.

Anak kelahiran Tapah Road, Perak itu memulakan kariernya sebagai seorang pelakon teater kira-kira 49 tahun yang lalu bersama Badan Budaya Ipoh.

Pada tahun 1973 menerusi teater Pertemuan Dua Roh yang diarah dan ditulis sendiri olehnya, arwah telah diangkat sebagai Pelakon Teater Terbaik.

Namun, nama arwah hanya mula popular setelah menjadi salah satu tunjang utama Pi Mai Pi Mai Tang Tu arahan Othman Hafsham pada tahun 1984.

Biarpun sudah berlakon puluhan drama serta filem sepanjang kerjayanya itu, namun Zami masih lagi menjadi antara pelakon veteran yang terus bertahan dan diminati sehingga sekarang.

Menurut salah seorang anaknya, Ahmad Yamashita, 38, ketika ditemui berkata, beberapa minggu sebelum meninggal dunia, arwah ayahnya itu sedang menjalani penggambaran drama di Pekan Hulu Langat, Selangor.

“Ketika menjalani penggambaran, arwah ayah ada mengadu sakit dan kemudian dia terus dibawa ke Hospital Ampang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Selama dua minggu arwah ayah dimasukkan ke hospital berkenaan, pihak hospital kemudian meminta kami supaya membawanya mendapatkan rawatan lanjut ke Institut Jantung Negara (IJN),” ujarnya.

Menurutnya lagi, ketika menjalani pemeriksaan di IJN, doktor mendapati keadaan jantung arwah ayahnya berada dalama keadaan yang cukup lemah.

Lebih memburukkan lagi keadaan katanya apabila Zami turut menghidap penyakit kencing manis sehingga menyebabkan pembedahan jantung ke atasnya terpaksa ditangguhkan sementara.

Bagaimanapun, usianya tidak panjang apabila dia menghembuskan nafas terakhir dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi semalam selepas seminggu berada di IJN.

Selain Ahmad Yamashita, arwah meninggalkan seorang isteri, Hanizan Ibrahim, 58, serta sembilan orang anak iaitu Mohd. Hitler, 39; Mohd. Soupi, 37; Ismail Fahmi, 36; Khairul Affendi, 30; Aida Nurul Ashikin, 29; Aida Nurul Wahyu, 27; Mohd. Firdaus, 24, dan Zahid Bahoqman, 21.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2