NUFFNANG ADS

Wednesday, July 31, 2013

Suami pelengkap hari jadi Ras Adiba



TIGA bulan suatu tempoh yang singkat untuk masing-masing mengenali hati budi lantas mengambil keputusan drastik untuk melayari bahtera rumah tangga.

Hal itu bagaimanapun bukan persoalan utama bagi penyampai berita ntv7, Ras Adiba Radzi, 45, yang telah memilih Ilias Yaakop menjadi suami dan pembimbing keluarganya tanggal 27 Julai lalu.

Kata Ras Adiba dalam nada percaya atau tidak, pernikahannya dengan teman persekolahan tingkatan enam bawah tahun 1985 di St. John Institution, Kuala Lumpur itu ibarat cinta zaman remaja.

“Jauh sekali untuk menyangka bahawa kami akan mendirikan rumah tangga selepas tiga bulan berkawan rapat. Adakalanya rasa gembira, teruja dan sedikit gementar untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“Ingatkan pada usia 45 tahun sudah tiada calon yang sudi memilih saya tambahan saya pula sibuk bekerja dan menjaga anak. Tapi tiba-tiba kami dipertemukan semula 3 April lalu menerusi majlis alumni sekolah kami,” katanya yang ditemui usai majlis pernikahannya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari Sabtu lalu.

Lebih manis, baik Ras Adiba mahupun Ilias, 45, kedua-duanya tidak pernah bertegur sapa sejak dulu biar masing-masing ditempatkan di sekolah, kawasan kejiranan dan teman-teman yang sama.

Tuesday, July 30, 2013

Jehan Miskin kembali bujang?


Sudah mendirikan rumah tangga beberapa bulan lalu, namun kehidupan pelakon dan pengarah, Jehan Miskin tidak ubah seperti orang bujang.

Menurut Jehan, sejak hari pertama menyambut Ramadan, dia terpaksa menguruskan segala kelengkapan hariannya sendiri memandangkan isterinya, Julie Camelia Rhee tinggal berjauhan dengannya.

"Setakat ini semuanya berjalan seperti biasa cuma saya agak sedih dan sunyi kerana isteri tidak ada bersama saya buat masa ini. Dia sekarang ada di Jepun kerana ada kerja yang perlu diselesaikan.

"Jadi terpaksalah saya berpuasa sendiri, buka sendiri, macam orang bujang," katanya sambil tertawa.

Tambah Jehan, kesibukan bekerja sepanjang Ramadan ini sedikit sebanyak mengurangkan kesunyiannya dalam menjalani rutin hariannya secara berseorangan.

"Saya baru selesai menjalani penggambaran program travelogue di Sabah. Sejak 1 Ramadan, memang saya berpuasa di Sabah dan berbuka dengan kru-kru produksi.

"Mujur juga ada kerja, sekurang-kurangnya tidaklah saya berseorangan. Mungkin dalam masa beberapa hari isteri saya akan pulang dan saya memang tidak sabar mahu berpuasa bersamanya," jelas Jehan.

Dalam perkembangan lain, drama bersiri pertama arahan Jehan, What If, kini sedang rancak ditayangkan pada setiap Rabu, jam 9.30 malam di saluran 8TV.

Sunday, July 28, 2013

Berat badan Serina Redzuawan turun 12 kilogram


Serina  Redzuawan mengakui yang berat badannya kini sudah menyusut sebanyak 12 kilogram sejak tiga bulan lalu berbanding 80 kilogram sebelum ini.

“Secara jujurnya saya tidak melakukan sebarang diet memandangkan saya seorang yang kuat makan. Namun begitu, saya cuma mengamalkan pengambilan makanan tambahan daripada produk kecantikan keluaran sendiri iaitu Anggun Serina.

“Sebagai seorang selebriti pastinya penampilan perlu dijaga dan diutamakan dan sudah tentu saya risau apabila berat badan naik. Kini saya berasa lega kerana mampu menurunkan semula berat badan yang ideal,” ujarnya.

Bagaimanapun, anak kepada chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu mendedahkan, faktor lain yang menyebabkan berat badannya susut disebabkan jadualnya yang terlalu sibuk sebagai pelakon, penerbit drama dan ahli perniagaan.

Ujarnya, kini dia sedang sibuk menguruskan syarikat produksi miliknya iaitu YKS Film Makers Sdn. Bhd. yang memang aktif menerbitkan drama bersiri dan telemovie.

“Sebelum ini saya cuma sekadar bergelar seorang pelakon sahaja tetapi kini saya turut bertindak sebagai seorang penerbit. Sekarang ini barulah saya dapat merasai sendiri pengalaman untuk menghasilkan sesebuah program.

“Kalau boleh saya memang tidak mahu mengharapkan sesebuah projek itu datang sendiri. Sebaliknya, saya sendiri yang akan menghasilkan kertas kerja dan turun padang berjumpa dengan pihak stesen televisyen,” jelasnya.

Saturday, July 27, 2013

Ras Adiba nikahi rakan sekolahnya

LIAS YAAKOB menyarungkan cincin di jari manis Ras Adiba selepas majlis pernikahan mereka di Putrajaya semalam

Bekas personaliti televisyen tempatan, Ras Adiba Radzi, yang lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah sejak 17 tahun lalu, selamat melangsungkan pernikahan dengan lelaki pilihannya yang merupakan penasihat kewangan, Ilias Yaakob semalam.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa Ras Adiba, Mohd. Radzi Wahab, 73, dalam satu majlis ringkas di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya tepat pukul 6.10 petang semalam.

Kedua-dua mempelai itu berusia 45 tahun.




Friday, July 26, 2013

Saya penyanyi separuh masa - Ning Baizura

Keluarga bahagia, Ning bersama suami dan anaknya.

“SEKARANG saya penyanyi separuh masa.” Demikian reaksi penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura tentang status terbarunya yang sudah hampir enam bulan bergelar ibu.

Anak lelaki Ning, Ryan Sky Dalton sudah bijak beraksi di depan kamera.

Ryan lahir pada hari ulang tahun perkahwinan Ning dan suaminya, Omar Sharif, 31 Januari lalu.

“Sekarang saya memang dah jadi ibu sepenuh masa dan penyanyi separuh masa. Sebab anak memang nombor satu dan keutamaan saya memang Rayyan,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi sempena hari raya di Restoran Warisan Dataran Merdeka.

Akui tidak meletakkan kepercayaan merawat Ryan di tangan pengasuh, Ning memilih ibunya sendiri untuk menjaga Ryan.

“Ibu saya yang menjaga Ryan. Memang saya tak percaya pada pengasuh buat masa sekarang. Sebelum ini, kami tak pernah ambil pembantu rumah, cuma kerana ada anak ini, baru pertama kali saya ambil.

“Pembantu rumah memang mengemas rumah sahaja kerja dia. Kalau tolong pegang Rayyan pun jika ibu saya nak berhenti untuk berbuka puasa, tetapi hanya sekejap sahaja.

"Setiap kali dia pegang, memang kami ada di sekeliling,” katanya.

Ning juga tidak membenarkan pembantu rumahnya mendukung Ryan sebelum ini.

“Memang saya tak lepaskan Ryan dengan pembantu rumah. Mungkin sebab anak pertama, kena protektif sedikitlah kan. Lagi satu sebab banyak sangatlah cerita ‘seram’ tentang pembantu rumah, saya tak beranilah.

“Saya bagi pembantu angkat Ryan selepas Rayyan berusia empat bulan ke atas. Sebelum itu, saya tak bagi dia angkat. Sebagai ibu, saya cuma tak nak apa-apa terjadilah. Nanti dia kena bertanggungjawab pula,” katanya.

Thursday, July 25, 2013

Farah Diana Anuar dituduh 'pencuri'


"Anak saya bukan pencuri!" Itulah antara luahan yang dikeluarkan bapa kepada penyanyi dan pengacara, Farah Diana Anuar, berhubung tuduhan mencuri yang dilemparkan kepada anaknya.

Kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba memburukkan anak perempuannya itu, Anuar Ali berharap agar tuduhan itu segera dihentikan.

"Sepanjang saya membesarkan Farah, dia bukanlah orang yang sebegitu (pencuri) kerana keperibadiannya cukup baik dan bersih daripada sebarang masalah.

"Saya tak sangka perkara sebegini boleh timbul dan ada pihak yang cuba mengaitkannya. Sebagai bapa, saya sangat terkilan dan kesal.

"Saya berharap agar tuduhan liar ini segera dihentikan demi menjaga nama baik kami sekeluarga. Ianya sangat memalukan!," katanya ketika dihubungi.

Sekitar minggu lalu, nama bekas pelajar Akademi Fantasia Musim Kedua (AF2) atau lebih dikenali sebagai Farah Breep Breep menjadi perbualan hangat apabila dia dituduh mencuri duit dan baju semasa penggambaran sebuah program.

Memandangkan Farah didakwa sering melakukan perbuatan itu, maka ada pihak sengaja menguji kejujurannya dengan meletakkan sejumlah wang ke dalam baju yang dipinjam.

Pun begitu, Farah yang juga isteri kepada usahawan, Johan Johari, tampil menafikan dakwaan itu dan mengatakan ianya hanyalah salah faham.

Farah turut memberitahu bahawa niat sucinya untuk memulangkan wang itu melalui bapanya yang juga bekas pengawal keselamatan di TV3, disalahertikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.




Ashraf: 'Saya tahu Dayana terluka'

Asyraf Muslim dan  Dayana

"SAYA tahu dia (Dayana) terluka," demikian reaksi pelakon, Ashraf Muslim ketika diminta mengulas tentang kontroversi yang melibatkan dirinya dengan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman.

“Semoga segala penjelasan saya ini... Saya minta semua dapat membantu saya dan mungkin ada salah silap, saya minta maaf.

“Saya harapkan apa yang saya beritahu ini tidak mengaibkan orang lain,” ujar Ashraf ketika mengadakan sidang media khas di ibu kota, hari ini.

Ashraf mengadakan sidang media berkenaan bagi menjelaskan kedudukan sebenar berhubung perkahwinan keduanya dengan Wan Sakinah Ahmad Shaburi.

" Saya lihat, apabila saya terlalu berdiam diri, terlalu banyak spekulasi dan cerita-cerita tak baik saya dengar.

"Banyak perkara yang boleh menjatuhkan, memalukan, menghina saya, menghina isteri-isteri saya, menghina keluarga saya boleh berlaku.

" Ini menyebabkan saya agak terkilan dan saya rasa ini masanya untuk saya beritahu kepada orang di sekeliling saya.

Saya dan Dayana OK tak ada masalah.

Dengan Sakinah juga tak ada masalah. Cuma, iyalah, apabila...saya tak nak apa yang berlaku di luar sana, orang mengata menyebabkan kerosakan dan hubungan kami menjadi tak baik.

Saya juga tak nak disebabkan orang luar juga, hubungan antara keluarga dengan bapa mertua dan orang sekeliling dengan keluarga saya menjadi tak baik.

Dalam keadaan sekarang ini alhamdulillah.

Saya baru hantar ibu dan bapa mertua saya (ibu bapa Dayana) ke lapangan terbang untuk menunaikan umrah.

Sebelum ini Ashraf dakwa ada media yang memfitnah dengan mengatakan Ashraf berpoligami. Tapi ternyata benar Ashraf berpoligami. Apa komen?

ASHRAF: Yang dikatakan fitnah itu, sebab kenyataan itu (disiar media) bukan datang dari saya, Sakinah atau Dayana. Tidak ada.

Tetapi saya tidak menafikan. Saya cuma mengatakan perkara itu tidak datang kami.

Macam mana kenyataan itu boleh keluar. Kalau diikutkan etika kewartawanan, ia tidak boleh.

Setahu saya lah tapi tak apa, perkara itu dah lepas.

Saya minta maaf banyak-banyak. Kalau boleh nak rahsiakan perkara ini tetapi disebabkan orang dah tahu, nak elak-elak pun dah tak boleh juga.

Jadi, sekarang nak kena betulkan balik.

Wednesday, July 24, 2013

Seniwati Umi Kalthum meninggal dunia


SENIWATI veteran Datin Umi Kalthum meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita ini disahkan oleh Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Zed Zaidi, Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Taman Ukay Perdana Saujana Melawati.

"Allahyarham meninggal dunia pada jam 4.30 pagi.

"Jenazah dijadualkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, Hulu Klang, sebelum solat Zuhur, “ katanya.

Umi Kalthum, ataupun nama sebenarnya Patimah Bahaudin, merupakan heroin filem Melayu klasik yang terkenal sebagai Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah (1959).

Beliau juga pernah dipilih sebagai Wanita Melayu Paling Jelita di Asia pada zaman kegemilangannya oleh sebuah majalah di Australia.

Allahyarham, yang berasal dari Lenggeng Negeri Sembilan, pernah digelar sebuah majalah antarabangsa sebagai “Wanita Melayu Paling Jelita” di seluruh Singapura dan Malaya.

Beliau juga pernah dipilih sebagai Wanita Melayu Paling Jelita di Asia pada zaman kegemilangannya oleh sebuah majalah di Australia.

Allahyarham Umi Kalthum juga merupakan ibu kepada pelakon Noor Kumalasari dan ibu tiri kepada Anita Sarawak.

Monday, July 22, 2013

Siti tak izin Datuk K naik motor



Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengakui masih fobia dan tidak akan mengizinkan Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa menunggang motosikal berkuasa tinggi bagi mengelak berulangnya kemalangan yang menimpa suaminya di New Zealand pada 13 Disember lalu.

Menurut Siti Nurhaliza, suaminya yang juga dikenali sebagai Datuk K sebenarnya masih berminat untuk menunggang motosikal berkuasa besar tetapi beliau masih trauma dengan kemalangan tersebut.

"Selepas kemalangan di Queenstown, New Zealand tujuh bulan lalu, Datuk K telah beri beberapa buah motosikal berkuasa besar miliknya kepada saudara-mara terdekat sebab dia tidak mahu lagi menunggang kerana fobia.

"Dalam hati kecil ini, saya tidak izinkan suami saya tunggang motosikal lagi," katanya.

Siti Nurhaliza berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Gabungan Kelab Bikers Pahang bersama 360 orang anak yatim di Padang Awam Kubang Gajah di Temerloh, malam kelmarin.

Sunday, July 21, 2013

Haida kembali kepersada seni


Nama Haida Hafiz pernah dikenali ramai menerusi Dikir Rambong dan Zapin Usik Mengusik bersama kumpulan Senario pada akhir 90-an tetapi namanya tenggelam setelah mendirikan rumah tangga.

Setelah hampir 12 tahun menyepikan diri daripada dunia hiburan tempatan, Haida atau nama sebenarnya, Noor Haida Mohd. Idris kini muncul dengan buah tangan terbaharu dengan single berjudul, 5 Tahun Saja.

Haida yang ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! berkata, dia tidak menyangka sama sekali bahawa kemunculannya semula dengan lagu baharu mendapat maklum balas positif daripada peminat.

Ujarnya, sejak lagu berkenaan mula diputarkan di stesen-stesen radio dan laman YouTube empat bulan lalu, semakin ramai pendengar yang menggemari lagu hasil ciptaan Panji Sakti itu.

"Saya sudah meninggalkan dunia hiburan ini dalam tempoh yang agak lama. Jadi, saya terpaksa bermula dari bawah semula dan perlu berusaha keras agar peminat lebih mengenali saya.

"Walaupun sudah lama tidak muncul dengan sebarang lagu baharu tetapi untuk lagu 5 Tahun Saja ini sudah mula mendapat tempat dan yakin lagu ini mampu menaikkan nama saya semula," jelas ibu kepada seorang cahaya mata bernama Muhammad Al Hafiz Aminuddin, 7.

Bercerita lanjut mengenai lagu berkenaan, Haida menjelaskan, dia memilih Panji Sakti sebagai pencipta lagu kerana tertarik dengan lagu-lagu yang dihasilkan komposer tersebut untuk beberapa orang penyanyi seperti Aliff Aziz dan Alif Satar sebelum ini.

Kemudian pada tahun lalu, dia dapat berjumpa sendiri dengan Panji dan akhirnya komposer itu bersetuju menghasilkan lagu buat dirinya dan proses rakaman pula dilakukan di Bandung, Indonesia.

Saturday, July 20, 2013

Raja Ema akur dengan kehidupan yang dilalui


Raja Ema, 45, masih manis, comel dan manja - ciri-ciri sama yang menjadikannya seorang selebriti remaja yang digilai ramai.

Awal mengecapi kehidupan popular dan dijulang naik ekoran kejayaan filem-filem seperti Sayang, Mawar Merah dan Antara Dua Hati, hidupnya kemudian mengalami perubahan yang seakan-akan tidak dapat diteka.

Berkahwin, cerai, berkahwin semula dan kembali menyandang status janda, Raja Ema akur dengan jalan kehidupan dan melihat semuanya itu mempunyai hikmah. Umum tahu, dia pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Sheqal namun terkandas di tengah jalan.

"Saya percaya apa yang berlaku sekarang ialah rahmat daripada Allah. Dua tahun sebelum ini, pelbagai dugaan datang dalam hidup saya. Orang yang saya paling rapat iaitu bapa kesayangan saya meninggal dunia dan pada waktu yang sama berpisah dengan suami. Keadaan itu turut mempengaruhi anak-anak saya, Putera Ammar, 19, dan Putera Al Kashah, 17.

"Hidup ini memang kena banyak berkorban, orang mungkin tidak faham masalah kita. Jika lebih pada emak dan tak dengar kata suami, jatuh hukum derhaka. Kerana itu saya sebaik mungkin cuba mendiamkan diri. Pada saya, itu ialah jalan terbaik agar tidak jatuh hukum dan menyalahkan mana-mana pihak," katanya.

Kini atas tiang kesabarannya yang ditegakkannya dalam kehidupan, Raja Ema kembali dengan sebuah album kompilasi. Dia juga turut sibuk di lokasi penggambaran drama namun cuba menolak kalau perlu berada di luar kota.

Menggemari watak antagonis, Raja Ema bakal muncul dalam telefilem berjudul Jangan Biarkan Aku dan Kalau Dah Perempuan yang akan bersiaran di saluran RTM.

Friday, July 19, 2013

Promosikan album The Best 6ixth Sense, ke Indonesia.


 SEMPENA Ramadan, 6ixth Sense muncul dengan single terbaru mereka, Bukan Milik Kita ciptaan sepenuh oleh vokalisnya, Adi.

Mula mendapat tempat di corong-corong radio serta di Youtube, Adi berkata, lagu tersebut membawa pendengar menghayati mesej keikhlasan dan kebenaran yang dilalui setiap insan. 

"Lagu ini lebih ke arah Islamik dan diinspirasi berdasarkan kehidupan yang kita lalui seharian.

"Ia juga merupakan kelainan yang ingin kami tonjolkan. Sekali gus membuktikan 6ixth Sense bukan saja band yang mendendangkan lagu-lagu pop atau rock, sebaliknya juga lagu ketuhanan," katanya.

Dalam masa sama, 6ixth Sense yang turut dianggotai Gjie, Wan, Ayoy dan Athan, kini sedang giat mempromosikan album The Best 6ixth Sense, ke Indonesia.

"Ia merupakan kompilasi lagu-lagu terbaik kami dari album pertama hingga ketiga dilancarkan di sana.

"Pilihan lagu pula berdasarkan sambutan yang diterima oleh peminat terhadap lagu kami," katanya.

Ditebak mengenai sambutan peminat Indonesia terhadap album tersebut, Adi berkata, mereka masih baru di sana walaupun sudah ditubuhkan sejak 2005 lagi.

"Kami masih baru di sana. Sebelum ini pernah masuk ke pasaran Indonesia, tetapi tidak pernah membuat promosi dalam skala lebih besar.

"Kalau ditanya mengenai peminat, kami belum tahu lagi. Tapi penerimaan lagu kami setakat ini menerima maklum balas positif," katanya.

Abby Abadi akui sudah bernikah

Abby Abadi dan suaminya

Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi hari ini telah mengesahkan bahawa beliau telah melangsungkan perkahwinan lebih seminggu lalu.

“Ya memang betul saya sudah berkahwin,” jawapnya ringkas ketika dihubungi, sebentar tadi.

Abby atau nama sebenarnya,  Arbaiyah Abdul Manan sebelum ini pernah mendirikan rumahtangga bersama pelakon, Norman Hakim pada 2002 tetapi bercerai pada 2008.

Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai berita pernikahannya itu, Abby enggan mengulas lanjut.

“Pasal perkahwinan itu, saya tidak boleh ulas lanjut lagi.

"Nanti saya beritahu perkembangan kerana saya sedang memandu ke Kuala Besut,” katanya lagi.

Sementara itu, melalui laman mikro Twitternya, Abby berkata, beliau telah sah menjadi isteri.

“Dipendekkan cerita, sebenarnya sudah 12 hari dia sah menjadi suami saya.

"Maaf sebab maklumkan lambat,” katanya.

Thursday, July 18, 2013

Tuntutan nafkah: Rita nafi tipu


Pelakon Rita Rudaini tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa dia berbohong berhubung tuntutan nafkah dua anaknya yang diterima daripada suami, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya,semalam.

Rita, 37, menafikan perkara itu ketika disoal balas oleh peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie, yang mewakili Mohd Aidil, dalam prosiding perbicaraan tersebut semalam.

Roshdan, sebelum itu, mencadangkan kepada Rita bahawa keterangannya berhubung anak guamnya tidak memberi nafkah adalah tidak benar.

Bagaimanapun, Rita memaklumkan keterangannya yang diberikan itu berdasarkan perkara yang berlaku selepas Mohd Aidil keluar dari rumah kelamin mereka di Kota Damansara di sini, Januari tahun lalu.

Roshdan kemudian mengemukakan slip pembayaran RM3,000 dan RM2,000 bagi Jun dan Julai 2012 yang dimasukkan ke dalam akaun bank Rita oleh anak guamnya.

Rita turut menyatakan dia tidak perasan jika suaminya ada memasukkan wang kerana tidak dimaklumkan kepadanya.

"Saya tidak perasan duit yang dia masukkan. Kadang-kadang dia beritahu, kadang-kadang tidak beritahu.

"Akaun Maybank saya juga banyak duit lain yang masuk, termasuk duit bayaran penggambaran drama," katanya.

Menurutnya, suaminya ada beri nafkah, tetapi tidak cukup dan tidak konsisten.

Kepada cadangan Roshdan bahawa Mohd Aidil tidak pernah gagal memberi nafkah sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan pada 2013, Rita bersetuju.

Menyentuh dakwaan Rita bahawa gaji suaminya lebih RM50,000 sebulan, Roshdan mencadangkan gaji Mohd Aidil sebenarnya RM10,000 tetapi Rita tidak bersetuju.

Bagaimanapun, Rita mengakui dakwaan berhubung gaji Mohd Aidil dibuat tanpa mengemukakan dokumen sokongan.

Roshdan turut bertanyakan secara terperinci berhubung keperluan tuntutan wang RM5,390 yang diminta oleh Rita untuk kedua-dua anak mereka.

Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah menetapkan 11 September depan untuk perbicaraan semula.


Bapa mertua Ashraf: Dayana tak rela dimadukan


BAPA mertua pelakon Ashraf Muslim, Lokman Abdul Hamid mengesahkan menantunya itu telah berkahwin buat kali kedua.

Menurut Lokman, Ashraf telah pun bernikah dengan seorang wanita yang dikenalinya yang sebelum ini bertugas sebagai krew penerbitan rancangan TV9 di Thailand, dua minggu lalu, tanpa pengetahuan anaknya, Noordayana Lokman.

Ditanya sama ada anaknya itu pasrah jika Ashraf berkahwin lain, Lokman, yang juga Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Al Hidayah, berkata, Dayana tidak pernah bersetuju untuk dimadukan.

“Jika Dayana setuju, masakan Ashraf memfailkan permohonan berpoligami di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, Dayana mengetahui suaminya berkahwin lain hanya selepas hampir seminggu Ashraf bernikah apabila menemui tiket kapal terbang dalam beg pakaian Ashraf.

Menurutnya, dia tahu hubungan Ashraf dengan seorang wanita lain, apabila Ashraf membuat pengakuan di depan Kaabah sewaktu mereka menunaikan umrah, sembilan bulan selepas Ashraf dan Dayana bernikah.

"Selepas apa yang berlaku, Dayana setia dan hormat Ashraf sebagai suami serta masih tinggal bersama,” katanya.

Semalam, Ashraf menarik balik permohonan berpoligami dan tindakan itu dibuat selepas mahkamah tinggi dimaklumkan, Ashraf telah bernikah dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand, minggu lalu.

Hakim Muhamad Abdul Karim Wahab mengarahkan Ashraf membayar kos RM8,000 kepada isteri pertamanya,  Dayana sebagai kos.

Peguam Syarie, Zukifli Che Yong, yang mewakili Dayana memaklumkan, Ashraf, 32, pada 9 April lalu memfailkan permohonan berpoligami.

Wednesday, July 17, 2013

Raja Azmi yakin Eddie pilihan terbaik

MARIAH ABU SAMAH yang merupakan ibu Eddie, hadir bagi menyarung cincin pada jari manis bakal menantunya, Raja Azmi.


Tempoh setahun bergelar janda setelah bercerai pada Jun 2012, penerbit kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa orang lelaki.

Namun begitu, bekas isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jalani Sidek itu akhirnya memilih Mohd. Eddie Ghazali, 45, sebagai teman hidupnya.

Setelah lima bulan bercinta, kedua-duanya mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang diadakan di rumah penerbit tersebut di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor pada 15 Julai lalu.

Ketika ditemui selepas majlis pertunangan tersebut berakhir, ternyata penerbit yang popular menerusi filem ... Dalam Botol itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah menjadi tunangan Eddie.

“Sebelum majlis berlangsung saya agak gemuruh dan gementar, maklumlah ini kali kedua saya merasai pengalaman bertunang. Namun begitu, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.

“Pada masa yang sama, saya rasa diri ini merupakan insan yang paling bertuah kerana tidak ramai yang dapat bertunang dua kali. Saya anggap ini anugerah yang paling besar daripada Allah,” ujarnya.

Majlis pertunangan yang bermula sekitar pukul 6 petang itu dimulakan dengan acara merisik yang membabitkan perbincangan antara anak sulung Raja Azmi, Puteri Suraya Jalani, 28, dan anak sulung Eddie, Muhammad Daniel, 21.

Selepas itu, majlis pada petang tersebut diteruskan dengan acara menyarung cincin yang disempurnakan oleh ibu Eddie iaitu Mariah Abu Samah, 73.

Dalam majlis yang sama, pihak perempuan menerima tiga dulang hantaran seperti buah-buahan, coklat dan telekung serta senaskah al-Quran yang menggantikan wang hantaran. Ia dibalas dengan lima dulang hantaran iaitu beg duit, jam tangan, baju kemeja, kek dan coklat.

Ketika ditanya apakah yang menyebabkan dia memilih Eddie sebagai bakal suami, Raja Azmi menyatakan sepanjang lima bulan bercinta dia melihat Eddie seorang lelaki yang baik dan tidak pernah kisah dengan status dirinya.

“Pada usia sekarang bukanlah wang ringgit yang saya cari, tetapi lebih kepada kasih sayang. Saya yakin Eddie adalah pilihan yang terbaik dan dia mampu memberi sepenuh kasih sayang kepada saya,” jelasnya.

Pelakon Ashraf Muslim nikah Sakinah di Thai


Pelakon dan pengamal perubatan Islam, Mohd Ashraf Muslim yang sebelum ini memfailkan permohonan berpoligami, menarik balik permohonan tersebut, di Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur.

Tindakan menarik semula permohonan tersebut dibuat ekoran mahkamah dimaklumkan, Ashraf telah pun bernikah dengan Wan Sakinah Ahmad Shaburi di Thailand, minggu lepas.

Hakim, Muhamad Abdul Karim Wahab membenarkan Ashraf menarik balik permohonan tersebut dan memerintahkan Ashraf membayar kos sebanyak RM8,000 kepada isteri pertamanya, Nordayana Mohd Lokman sebagai kos.

Tuesday, July 16, 2013

Penyanyi Syura bakal buka restoran


Dinobatkan menjadi juara MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua, Syura atau nama sebenar Zuraidah Badron, 27, terkilan dengan segelintir peminat yang sehingga kini masih mempertikaikan kemenangannya dalam program tersebut.

Bagi membuktikan bakatnya dalam bidang masakan, penyanyi yang terkenal dengan irama pop tradisional ini berusaha untuk membuka sebuah restoran.

"Memang agak sedih bila orang terus mempertikaikan kemenangan saya dalam MasterChef Selebriti.

"Namun, saya tidak akan berkecil hati. Setiap kritikan yang diterima, akan saya jadikan sebagai penguat semangat untuk terus berjaya," katanya yang berjaya mengalahkan 19 finalis, termasuk Celina dan Rozita Che Wan yang pernah disebut-sebut sebagai juara program realiti masakan itu.

Jelas Syura, dunia masakan sememangnya sudah sebati dengan dirinya. Malah impian untuk memiliki restoran sendiri juga sudah lama terbit di hati.

"Saya akui, untuk membuka sebuah restoran ianya bukan perkara yang mudah kerana memerlukan permulaan modal yang banyak.

"Insya-ALLAH saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi," katanya.

Monday, July 15, 2013

Raja Azmi selamat bertunang


MARIAH menyarungkan cincin ke jari Raja Azmi pada majlis pertunangan penerbit filem itu di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang semalam.

HULU KLANG – Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman selamat bertunang dengan kekasihnya, Mohd. Eddie Ghazali, 45, (gambar kecil) dalam satu majlis yang berlangsung di kediaman Raja Azmi di Ukay Perdana di sini petang semalam.

Raja Azmi, 54, berkata, dia sebenarnya begitu teruja dan gemuruh sebelum majlis berlangsung tetapi sangat bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.

“Perasaan saya ketika ini cukup gembira dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

“Sudah tentu saya merupakan insan yang cukup bertuah kerana tidak ramai yang berpeluang untuk bertunang buat kali kedua. Saya anggap ini merupakan anugerah Allah paling besar,” ujarnya selepas acara berakhir.

Majlis yang bermula kira-kira pukul 6 petang itu dimulakan dengan acara merisik melibatkan perbincangan antara anak sulung Raja Azmi, Puteri Suraya Jalani, 28, dengan anak sulung Eddie, Muhamad Daniel, 21.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan acara menyarung cincin yang disempurnakan oleh ibu Eddie, Mariah Abu Samah, 73.

Sunday, July 14, 2013

Adira akui rapat dengan Shahrul


Siti Adira Suhaimi atau lebih popular dengan panggilan Adira menyangkal spekulasi bahawa dia telah bertunang dengan seorang ahli politik merangkap usahawan dari negeri Kelantan, Shahrul Nasrun Kamarudin.

Gosip tersebut mulai tersebar di internet apabila foto Adira, 21, bersama Shahrul, 27, yang mengena- kan baju biru sedondon dalam satu majlis.

Spekulasi bertambah rancak apabila foto-foto pasangan tersebut bersama pereka fesyen, Ezuwan Ismail di muat naik ke laman Instagram Ezuwan.

Ia seolah-olah menunjukkan Adira dan Shahrul sedang berbincang dan Ezuwan mengukur badan pasangan itu sehingga timbul gosip mereka sedang merancang untuk berkahwin.

" Gosip itu tidak benar sama sekali. Kami belum sampai ke tahap serius untuk ke peringkat itu buat masa seka- rang. Saya masih solo.

Hubungan Adira dan Shahrul kini semakin menjadi buah mulut orang ramai. Adakah anda berdua merupakan pasa- ngan kekasih?

Saya tidak berani untuk mengatakan perkara itu benar atau tidak tapi yang pasti kami berkawan baik. Kami sedang mengenali hati budi masing-masing, insya-Allah kalau ada rezeki, peluang dan jodoh akan hadir suatu hari nanti. Adalah menjadi lumrah manusia untuk berkawan rapat dan rasanya tidak salah.

Sejauh manakah tempoh perkenalan Adira dan Shahrul?

Kami berkenalan beberapa bulan lalu dan sebagai manusia biasa kita tidak mengetahui bilakah masa yang sesuai untuk melanjutkan hubungan ke arah lebih mendalam. Kalau ada sebarang berita saya akan bertunang, saya akan beritahu.


Saturday, July 13, 2013

Pelakon Izreen Azminda selamat lahirkan bayi lelaki



Pelakon drama bersiri Juvana, Izreen Azminda Mohd. Aznam selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini pada pukul 1.18 pagi semalam.

Suami Izreen, Riza Baharudin memberitahu, isterinya terpaksa bersalin secara pembedahan kerana keadaan kandungan anak sulung mereka berada dalam kedudukan songsang.

"Doktor membuat keputusan melakukan pembedahan secepat mungkin kerana jika lambat ia dikhuatiri boleh membahayakan nyawa Izreen dan bayi," kata Riza ketika dihubungi semalam.

Menurut Riza lagi, selepas selamat bersalin, Izreen berada dalam keadaan stabil tetapi lemah dan perlu berehat.

Bayi pasangan itu pula dalam keadaan sihat.

Pasangan tersebut masih merahsiakan nama bayi seberat 3.30 kilogram itu sehingga proses pendaftaran nama bayi selesai di Jabatan Pendaftaran Negara.

Izreen dan Riza melangsungkan perkahwinan pada 30 Ogos 2012 di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Alor Setar Kedah.

Friday, July 12, 2013

Nora, Fasha hapus sengketa lama


Hubungan keruh antara aktres Nora Danish dengan Fasha Sandha selama ini kembali jernih selepas Nora melawat anak Fasha iaitu Putra Rayfal Rizal Ashram ketika pelakon tersebut sedang dalam pantang.

Atas sebab itu juga, Nora dan Fasha tiada masalah untuk sama-sama menghadirkan diri memberi sokongan ke majlis pelancaran koleksi baju pengantin milik adik kembar Rizal Ashram Ramli atau Jejai yang berlangsung di Grand Duchess, Fraser Place, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Nora yang kelihatan jelita dan seksi dengan gaun hitam belahan ke pangkal paha, dia dan aktres drama Chinta itu sudah lama berbaik.

Kenyataan yang sama dijawab oleh Fasha yang masih lagi kelihatan menawan biarpun tubuhnya agak berisi selepas melahirkan anak sulungnya itu.

“Saya dengan Nora sudah lama baik, malah kami banyak kali berjumpa setiap kali Jejai dan saya mengambil Rayqal mahupun ketika Nora menghantar anaknya ke rumah kami,” ungkap Fasha mengenai anak Nora, Putra Rayqal hasil perkahwinannya bersama Jejai sebelum ini.

Tutur Fasha lagi: “Apa pun yang terjadi, anak saya adalah adik kepada anak Nora. Jadi, secara automatiknya kami sudah seperti keluarga.”

Thursday, July 11, 2013

Lana Nordin Sangkal Dakwaan Ditangkap Tidak Puasa


Nama Lana Nordin kembali hangat apabila dia dikatakan telah dicekup oleh pihak berkuasa ketika asyik bermain mahjung dan tidak berpuasa di sebuah pusat siber di Bandar Puteri, Puchong, Rabu lalu.

Turut ditahan dalam serbuan itu adalah seorang wanita lain dan dua lelaki bukan Islam di dalam sebuah bilik kecil yang terletak di sebalik ruang permainan snuker.

Memetik laporan GUA yang berjaya menghubungi Lana, pelakon ini menafikan artis tersebut adalah dirinya;

“Itu bukan saya. Sudah tiga hari saya terlantar sakit di rumah sampai hilang suara. Saya sekarang sedang demam, batuk dan sakit tekak. Jadi saya rasakan berita itu sangat kelakar. Kalau pun gambar yang dimaksudkan itu gambar saya, apa bukti sahih menunjukkan itu adalah saya? Sedangkan gambar itu pun diambil dari belakang.

“Tapi saya akui sekarang memang saya tidak berpuasa kerana tidak sihat. Saya berjumpa doktor dan mengambil suntikan untuk meredakan demam. Saya juga perlu makan ubat, sebab itu saya tidak berpuasa. Sudah tiga hari saya demam dan saya nak keluar daripada rumah pun tak larat,” jelas Lana tidak mengambil sebarang tawaran berlakon pada bulan puasa.


Tuesday, July 9, 2013

Kedatangan Ramadan cukup bermakna - Fouziah Gous

FOUZIAH bersama tunangnya, Zhafran

Bergelar tunangan orang sejak 1 Jun lalu, kedatangan Ramadan kali ini pastinya cukup bermakna buat aktres jelita Fouziah Gous.

Pastinya sambutan Ramadan kali ini berbeza kerana dia berpeluang mengerjakan ibadah puasa bersama bakal suami, Zhafran Yusof atau Zhaf yang juga ‘orang baru’ dalam keluarganya itu.

“Ramadan adalah saat paling dinantikan saya sekeluarga setiap tahun. Inilah masanya kami sekeluarga dapat berkumpul dan mengeratkan lagi tali silaturrahim sedia ada.

“Sibuk macam manapun dengan karier masing-masing, sudah menjadi tradisi untuk kami adik beradik berkumpul bersama keluarga pada hari pertama Ramadan.

“Saya juga memang tidak mahu terlepas bersahur, berbuka dan mengerjakan terawih bersama ahli keluarga pada hari pertama puasa sejak dulu lagi.

Monday, July 8, 2013

Raja Azmi bertunang 15 Julai ini


Penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman bakal mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Mohd. Eddie Ghazali pada 15 Julai ini.

Menurut Raja Azmi, 54, acara pertunangan tersebut bakal berlangsung di kediamannya di Ampang, Selangor kira-kira pukul 6 petang dan diikuti solat Maghrib berjemaah serta majlis berbuka puasa.

Penerbit filem ...Dalam Botol itu berkata, dia mengambil keputusan untuk bertunang dengan Eddie, 45, setelah didesak oleh anak-anak yang mahu melihat hubungan dia dengan kekasihnya itu menjadi lebih serius.

"Pada usia saya sekarang ini, sudah tentu tidak sesuai untuk bertunang tetapi menerusi perbincangan bersama anak-anak, mereka mendesak saya supaya ada ikatan yang lebih kuat antara saya dan Eddie.

"Tujuan mereka mendesak saya bertunang kerana mahu melihat sejauh mana Eddie serius dengan saya. Apabila saya menyatakan perkara ini kepada Eddie, akhirnya dia bersetuju untuk masuk meminang," ujarnya ketika dihubungi wartawan semalam.

Sunday, July 7, 2013

Lelaki pilihan Maria


AKTRES Maria Farida, orangnya cukup cantik, langsing, kulit putih melepak dan wajahnya sentiasa dihias dengan senyuman manis.

Sekali pandang dengan busana hijau terang yang disarungnya, Maria tidak ubah seperti anak dara. Namun hakikatnya tahun ini, pemilik nama sebenar Maria Faridah Atienza itu sudah menjangkau usia 44 tahun.

Tersipu malu saat dipuji, ibu kepada Mizan Ashley, 16, itu yang sudah menjanda lebih 10 tahun tidak menolak andai dia ditemukan jodoh dengan lelaki lebih muda atau lebih tua daripadanya.

"Saya bukanlah jenis yang cerewet dan bukan cari lelaki yang sempurna tetapi pada usia sekarang saya tidak mahu bercinta lama-lama.

"Sebaliknya jika saya bercinta, lelaki itu bakal menjadi suami saya. Saya tidak kisah jika umurnya 30-an atau 60 tahun sekalipun. Janji, lelaki itu ikhlas untuk menerima diri saya bersama anak lelaki kesayangan saya," jawabnya.

Mustahil wanita cantik sepertinya tidak dikejar lelaki terutamanya lelaki yang berstatus dan kaya raya. Akuinya, dia pernah dilamar ramai lelaki kaya, namun, Maria mempunyai sebab untuk menolak semua lamaran itu.

"Tipulah kalau saya kata tidak ada lelaki yang lamar saya. Memang ramai yang melamar tetapi hati tidak berkenan. Kalau saya jenis wanita yang kejar wang ringgit sudah lama saya berkahwin dan sekarang sudah bergelar puan sri agaknya (ketawa).

"Bagi saya tidak kisahlah berapa umur lelaki itu, apa yang penting saya harus cintakan dia bukan kekayaannya. Jika tidak, saya lebih rela tidak berkahwin kerana saya boleh cari duit sendiri tanpa bantuan sesiapa pun," ujarnya serius.

Namun begitu, lelaki yang ingin memenangi hati Maria haruslah mempunyai taraf ekonomi yang stabil.

Saturday, July 6, 2013

Ummi Nazeera bertudung?



 NAMA Ummi Nazeera barangkali agak tenggelam selepas kisah kontroversi pergaduhannya dengan bekas kekasih, Remy Ishak beberapa tahun lalu.

Apatah lagi semenjak itu, Ummi berhijrah ke luar negara untuk menyambung pengajiannya.

Bagaimanapun minggu ini industri dikejutkan dengan penghijrahan pelakon yang pernah membintangi filem Merong Mahawangsa ini.

Ummi dikatakan memuat naik sekeping gambarnya bertudung di laman Instagram dan turut memadam gambar-gambarnya yang mendedahkan aurat sebelum ini.

Friday, July 5, 2013

Raja Ema selesa status solo


PELAKON dan penyanyi terkenal pada era 80-an, Raja Ema kembali ke dunia seni selepas berpuluh tahun meninggalkannya.

Kemunculannya dalam Majalah Nona terbitan Kumpulan Media Karangkraf pada November tahun lalu, menjadikan pelakon berusia 45 tahun ini kembali menjadi tumpuan.

Namanya kembali melonjak naik apabila muncul dalam beberapa drama tempatan seperti Setia Hujung Nyawa dan Terlanjur Cinta.

Setelah beberapa bulan berlakon Raja Ema menyatakan hasratnya untuk kembali menyanyi sehingga lahirnya, Warna Hatiku ciptaan Nik Nizam.

Apabila kerjayanya dalam bidang seni dilihat semakin kukuh, perhatian beralih pula kepada kehidupan peribadinya.

Seperti semua sedia maklum, kedua-dua perkahwinan Raja Ema gagal sebelum ini.

Namun, perkara itu tidak menjadi penghalang buat wanita ini untuk meneruskan hidup bersama dua cahaya matanya yang kini sudah meningkat dewasa.

Ditanya soal mencari pengganti, Raja Ema menyerahkan kepada Illahi.

“Apabila sudah berusia 45 tahun mi, kahwin tak apa, tak kahwin pun tak apa. Sendiri lebih baik tapi kalau ada jodoh, bagus juga.

“Tak adalah serik tapi sebab dah tahu pahit manisnya kan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Pertemuan Seribu Kenangan, semalam.

Mengulas lanjut soal itu, Raja Ema akui untuk mencari pasangan yang betul-betul bukan mudah.

“Kalau kahwin pun buat tambah masalah buat apa kan? Nak cari yang betul-betul itu bukan senang.

“Daripada cari penyakit, lebih baik berlakon dan menyanyi,” katanya.

5 tahun ElFaeza tanpa cinta


Aktres yang sedang meningkat naik, ElFaeza Ul Haq sekadar tergelak besar apabila dirinya secara tiba-tiba dikatakan menjalin hubungan cinta dengan aktor Sharnaaz Ahmad.

Wanita berusia 28 tahun ini berkata, gara-gara mereka tampil bersama pada satu majlis baru-baru ini, dengan serta-merta namanya terpalit gosip pertama selepas setahun memulakan kerjaya lakonan secara rasmi di negara ini.

Bagaimanapun, jelas anak seni dari Jurong, Singapura ini, dia tidak perlu melatah atau cemas kerana mereka berdua mengetahui kesahihan cerita yang timbul itu.

“Gosip itu memang kelakar. Kami tak ada apa-apa hubungan pun. Hanya sebab orang nampak kami datang bersama pada satu majlis, terus kami dikatakan bercinta pula.

“Benda itu berlaku sebab secara kebetulan kami berada di bawah pengurusan yang sama. Sebab itu kami nampak mesra dan baik di luar,” katanya ketika bertandang ke Balai Berita untuk sesi fotografi bersama RAP, baru-baru ini.


Thursday, July 4, 2013

Siti berminat taja kanak-kanak Palestin


Datuk Siti Nurhaliza Tarudin telah menjayakan acara minum petang Rebuild Gaza For a Nation Feat Datuk Siti Nurhaliza & Rabbani anjuran Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) dan Rabbani Production Sdn. Bhd. yang berlangsung di Hotel De Palma, Ampang, Selangor.baru-baru ini.

Antara matlamat utama penganjuran acara tersebut adalah bagi mengumpul dana untuk membangunkan semula Gaza di Palestin serta daerah yang musnah teruk angkara serangan Zionis Israel.

Siti yang ditemui selepas berakhirnya acara menyatakan, sebagai seorang umat Islam dia perlu bersikap lebih prihatin terhadap nasib saudara seagama di Palestin yang teruk ditindas.

“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, saya mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin dan mengikut jejak langkah beberapa artis lain seperti Heliza Helmi dan Afdlin Shauki.

“Kalau diizinkan oleh Allah dan suami, saya berharap dapat pergi ke sana, terutamanya ke Masjid Al-Aqsa dan Gaza. Saya sentiasa berdoa agar impian ini terlaksana,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia mempunyai rancangan untuk mengambil anak angkat atau menaja kanak-kanak Palestin, Siti memberitahu dia pernah berbincang mengenai perkara itu dengan pihak Mapim.

“Andai ditakdirkan saya menerima seorang kanak-kanak dari Palestin, sudah tentu saya gembira dan akan menjaga sebaik-baiknya. Cuma pihak Mapim menjelaskan agak sukar untuk membawa kanak-kanak Palestin keluar dari tanah air mereka.

“Saya diberitahu bahawa lebih baik mereka terus tinggal di negara asal. Namun begitu, untuk menaja pula rasanya tiada masalah. Saya memang berminat dengan langkah sebegini sebagai satu sumbangan kecil saya,” jelasnya.

Menurut Siti, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan suaminya di samping mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Mapim tentang langkah seterusnya.


Tuesday, July 2, 2013

Diana Danielle selamat lahir bayi lelaki


Aktor Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle Danny Beeson kini sah bergelar bapa dan ibu selepas aktres itu selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 4.17 petang waktu tempatan di Sydney, Australia, semalam.

Mengesahkan perkara ini kepada Harian Metro, penerbit filem David Teo yang juga Pengarah Urusan Metrowealth Interational Group (MIG) berkata, Diana selamat melahirkan bayi seberat 4.4 kilogram secara normal.


“Sebaik saja menerima berita ini, saya memuat naik gambar bayi mereka di akaun Instagram saya, @davidteo99 petang tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi, semalam.

 David berkata, Farid sudah memaklumkan Diana sepatutnya bersalin pada 15 Julai ini, tetapi proses kelahiran berlaku lebih awal.


“Apapun proses kelahiran berjalan dengan baik. Bayi selamat, ibu pun selamat dan sihat,” katanya.


Terdahulu Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, memuat naik gambar bayi berkenaan jam 6.30 petang Selasa melalui laman sosial Instagram miliknya dengan kenyataan: welcome to the world my son (selamat datang ke dunia anak lelaki ku).

Benjy, 5 rakan didakwa milik syabu


Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dan lima rakannya termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memiliki 4.7 gram syabu, minggu lalu.

Selain Benjy,34, turut didakwa atas tuduhan sama ialah Zain Amir Zainal Khairi, 37, Imran Radzi Ibrahim, 32, Asmanizam Mohamed Akhir, 32, Norazila Arzami, 27, dan Afifi Hamidi, 27.

Kesemua tertuduh tidak mengaku salah terhadap pertuduhan itu kecuali Zain Amir yang mengaku salah.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,800 setiap seorang dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.(metro)





Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2