NUFFNANG ADS

Wednesday, July 17, 2013

Raja Azmi yakin Eddie pilihan terbaik

MARIAH ABU SAMAH yang merupakan ibu Eddie, hadir bagi menyarung cincin pada jari manis bakal menantunya, Raja Azmi.


Tempoh setahun bergelar janda setelah bercerai pada Jun 2012, penerbit kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa orang lelaki.

Namun begitu, bekas isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jalani Sidek itu akhirnya memilih Mohd. Eddie Ghazali, 45, sebagai teman hidupnya.

Setelah lima bulan bercinta, kedua-duanya mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang diadakan di rumah penerbit tersebut di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor pada 15 Julai lalu.

Ketika ditemui selepas majlis pertunangan tersebut berakhir, ternyata penerbit yang popular menerusi filem ... Dalam Botol itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah menjadi tunangan Eddie.

“Sebelum majlis berlangsung saya agak gemuruh dan gementar, maklumlah ini kali kedua saya merasai pengalaman bertunang. Namun begitu, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.

“Pada masa yang sama, saya rasa diri ini merupakan insan yang paling bertuah kerana tidak ramai yang dapat bertunang dua kali. Saya anggap ini anugerah yang paling besar daripada Allah,” ujarnya.

Majlis pertunangan yang bermula sekitar pukul 6 petang itu dimulakan dengan acara merisik yang membabitkan perbincangan antara anak sulung Raja Azmi, Puteri Suraya Jalani, 28, dan anak sulung Eddie, Muhammad Daniel, 21.

Selepas itu, majlis pada petang tersebut diteruskan dengan acara menyarung cincin yang disempurnakan oleh ibu Eddie iaitu Mariah Abu Samah, 73.

Dalam majlis yang sama, pihak perempuan menerima tiga dulang hantaran seperti buah-buahan, coklat dan telekung serta senaskah al-Quran yang menggantikan wang hantaran. Ia dibalas dengan lima dulang hantaran iaitu beg duit, jam tangan, baju kemeja, kek dan coklat.

Ketika ditanya apakah yang menyebabkan dia memilih Eddie sebagai bakal suami, Raja Azmi menyatakan sepanjang lima bulan bercinta dia melihat Eddie seorang lelaki yang baik dan tidak pernah kisah dengan status dirinya.

“Pada usia sekarang bukanlah wang ringgit yang saya cari, tetapi lebih kepada kasih sayang. Saya yakin Eddie adalah pilihan yang terbaik dan dia mampu memberi sepenuh kasih sayang kepada saya,” jelasnya.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2