NUFFNANG ADS

Sunday, July 31, 2011

Saleh geram: Penaja cuba menggoda isteri ke 2nya

Keluarga Salih Yaakob



KUALA LUMPUR - “Saya kecewa apabila majlis meraikan empat isteri saya 24 September ini dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan sedangkan tujuan asal saya menganjurkan majlis itu sebagai amal jariah sepanjang 50 tahun saya hidup di muka bumi Allah,” kata pengacara terkenal, Salih Yaakob, 50.

Kekecewaan itu diluahkan Salih sejurus dia memberitahu Majlis Malam Mesra Salih Yaccob dan Keluarga Tersayang yang dirancangnya pada September ini dipolitikkan dan diniagakan pihak penganjur untuk kepentingan mereka.

Menurut Salih, awal Julai lalu dia didatangi seorang lelaki dikenali sebagai Shafie, 50-an mendakwa pemilik kedai emas di Johor dan menawarkan diri sebagai penaja majlis itu dengan nilai anggaran kos keseluruhan kira-kira RM400,000.

“Lelaki terbabit sanggup mendapatkan saya di Astro Bukit Jalil dan memberitahu mahu menaja majlis saya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor, Persada. Pada mulanya saya enggan menerima kerana tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku namun sesudah lelaki itu tidak henti memujuk saya, akhirnya saya menerimanya.

“Namun, yang peliknya apabila Shafie enggan menandatangani sebarang perjanjian dan tiada surat hitam putih dimeterai biarpun puas saya memintanya mewujudkan perjanjian bersama. “Lelaki terbabit seolah-olah cuba merancang sesuatu sejurus meminta menangguhkan perjanjian sehinggalah semalam (kelmarin),” katanya.

Kata Salih, sepanjang sebulan berurusan dengan Shafie melalui lima kali pertemuan di ibu kota, lelaki itu berperangai pelik dan bersifat kurang ajar apabila memasuki bilik hotel penginapannya di Jalan Ampang, di sini, sesuka hati dan meminta isteri keduanya menjadi pembantu peribadi sepanjang menguruskan majlis terbabit.

Menurutnya, dua minggu lalu ketika datang ke hotel penginapannya, lelaki terbabit menghampiri isteri kedua dan anak perempuannya dengan mengeluarkan kata-kata lucah iaitu “tidak dapat anak, emak pun jadilah”.

“Saya geram dan mula mencurigai lelaki terbabit. Sesudah memeriksa latar belakangnya barulah saya tahu saya ditipu kerana Shafie bukanlah pemilik kedai emas, tidak bekerja dan banyak menipu orang ramai termasuklah terbabit satu kes penipuan pertandingan karaoke di Johor,” katanya.

Menurut Salih, seminggu lalu dia mendapati lelaki itu mengiklankan majlis malam mesra di Internet tanpa persetujuannya termasuk menjual meja tempahan bernilai RM5,000 dengan menawarkan 150 meja keseluruhannya.

“Saya tidak merancang untuk ‘menjual’ majlis saya kerana majlis dirancang adalah untuk meraikan empat isteri, sambutan Aidilfitri, rumah terbuka untuk peminat dan majlis penyampaian sumbangan kepada mereka memerlukan,” katanya.

Katanya lagi, lelaki terbabit mensasarkan ‘perniagaan’ itu dengan menawarkan meja tempahan kepada seluruh rakyat Johor selain turut menghasilkan baju, topi, cenderahati dan logo menggunakan namanya selain menyebarkan tandatangannya di blog seterusnya mencemarkan namanya.

“Saya meminta kepada seluruh rakyat Johor supaya tidak terpedaya dengan iklan itu dan kepada mereka yang sudah membuat tempahan supaya segera berurusan dengan lelaki berkenaan. Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah menyetujui tempahan meja itu,” katanya.

Kata Salih, menyedari ditipu, dia kini merancang menganjurkan majlis makan malam itu menggunakan wang sendiri dengan memperuntukkan RM500,000.

“Saya mengimpikan menderma RM100,000 kepada isteri dan anak artis (artis yang sudah meninggal dunia) dan saya sudah pun memperuntukkan sejumlah wang untuk kegunaan mereka,” katanya.

Saturday, July 30, 2011

Akhil Hayy hadapi 'cubaan' dengan senyum

Akhil Hayy



Menyelak kembali lembaran kisah Akhil Hayy yang kini disapa ‘ustaz’.
panggilan itu sudah menyapa dirinya sejak 1996. Ustaz itu guru, kata Akhil.

Dia bermula dengan mengajar al-Quran ketika di Ipoh. Masuk ke sekolah pondok dengan azam untuk menjadi orang yang lebih baik. Tambahnya lagi, mata hati insan berbeza-beza.

Sejak itu dia digelar ustaz dan melekat hingga kini. Daripada seorang rocker, dia melepaskan gelaran vokalis D’Riyadh dan merombak karier solonya. Toleransinya dengan cubaan hidup berubah warna.

Senyap seketika sesudah menikahi selebriti wanita, Waheeda selepas selaput cerita hitam menerjah perjalanan cerita mereka, kini Akhil kembali dengan cubaan.

Bukan cubaan luar biasa, sebaliknya sebuah program dengan judul Cubaan digalasnya sebagai pengendali. Sebuah program santai dengan kamera tersembunyi untuk merakamkan beberapa cubaan moral untuk dijadikan iktibar kepada masyarakat.

“Saya enggan menamakan konsep Cubaan sebagai ‘prank’. Sebaliknya ia adalah sebuah pendidikan kerohanian.

Konsep ilmu, ia harus didatangi tetapi untuk program ini saya melihat kepada sebuah wacana mencari hikmah di sebalik realiti kehidupan. Astro Oasis pula membawa wadah untuk berdakwah,” ujarnya yang turun padang bersama team produksi untuk menumpahkan serba sedikit ilmu buat khalayak.

Sudah dipertontonkan pada setiap Sabtu pada pukul 7.30 malam bermula 16 Julai lalu di Astro Oasis (Saluran 106), Akhil banyak tersenyum seakan puas kerana terlibat dengan program pengisian rohani ini.

Mendatangi khalayak di jalanan seperti di Masjid India, dia menjadi pemerhati budaya dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap cubaan-cubaan yang dipertaruhkan sebagai umpan.

“Saya sendiri banyak belajar. Kita mungkin membuat andaian sendiri tentang sikap keprihatinan. Daripada apa yang berlaku depan mata saya, saya lihat hakikat sebenar bahawa orang Melayu, Cina dan India itu prihatin tanpa mengira bangsa. Tiada perkauman dalam menghulurkan bantuan,” ujarnya.

Friday, July 29, 2011

Keputusan kes khalwat: Memey menangis

Norman dan Memey bergenang air mata selepas menerima keputusan mahkamah, semalam.



KUALA LUMPUR - “Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan ini. Ia juga hadiah perkahwinan paling bermakna bagi kami,” kata pelakon, Memey di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.

Reaksi spontan itu diberikannya sejurus Hakim Salehan Yatim memutuskan dia dan pasangannya yang juga pelakon dan pengarah filem, Norman Hakim dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkhalwat, tiga tahun lalu.

Salehan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili pendakwa syarie Siti Fatimah Maulana gagal membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan itu.

Sebelum ini, pasangan artis yang sudah bertunang itu mengumumkan akan melangsungkan perkahwinan pada September depan dan majlis resepsi perkahwinan mereka mendapat tajaan lebih RM12 juta.

Keputusan kes tuduhan berkhalwat mereka semalam menjadi kegembiraan ‘berganda’ kepada mereka dan disambut dengan tangisan syukur Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 23, serta bakal suaminya yang menyifatkan ia berkat doa dan kesabaran mereka.

Thursday, July 28, 2011

Keputusan khalwat Norman, Memey hari ini

Berita bergambar perbicaraan mereka yang dipaparkan oleh media suatu ketika dahulu.





KUALA LUMPUR - Aktor Norman Hakim dan tunangnya, Memey yang bakal disatukan pada September depan dengan tajaan perkahwinan RM12 juta perlu mendengar terlebih dahulu keputusan kes khalwat mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak dekat sini hari ini.

Hakim Syarie, Salehan Yatim dijangka membacakan keputusan di akhir pendakwaan selepas mahkamah selesai mendengar dan meneliti hujah kedua-dua belah pihak.

Seramai lapan orang saksi termasuk pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam (JAIS), abang Norman iaitu Mohd. Saufi dan pengadu, Muhamad Yusri Abd. Razak memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula sejak 15 Mei 20

Pengacara Majalah 3, Nurul ke jinjang pelamin




Pada 16 Julai lalu, si cantik manis dan bijaksana Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain telah bernikah dengan Raja Amir Syah Raja Azwa, 29. Sementara pada tanggal 23 Julai pula, dia yang menerima mas kahwin sebanyak RM777 dan wang hantaran sebanyak RM20,111 meraikan cintanya bersama Amir dalam sebuah resepsi yang cukup meriah.

Resepsi yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, Petaling Jaya, Selangor itu berkonsep moden tradisional. Dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga, sahabat dan rakan sekerja, pasangan mempelai kelihatan cukup anggun dalam busana perkahwinan berwarna putih rekaan Datuk Radzuan Raziwill.

Berkongsi rasa mengenai cinta yang dipupuk bersama Amir, ia berputik sekitar tahun 2009 yang lalu. Perkenalan secara tidak sengaja di sebuah majlis pertunangan sahabat mereka rupa-rupanya telah membuka pintu hati masing-masing untuk menjadi pasangan kekasih, jelas pengacara Majalah Tiga, Nurul.

Tempoh dua tahun mengenali hati budi masing-masing kemudian mahu diakhiri dengan ikatan sah. Bagi Nurul, tiada apa yang perlu ditunggu lagi saat hatinya telah yakin bahawa Amir akan menjadi pelindung dan payung terbaik untuknya berteduh sebagai seorang isteri.

Perbezaan persekitaran dan kerjaya antara mereka, Amir, seorang eksekutif di sebuah bank, manakala Nurul sentiasa sibuk mencari berita menarik untuk disajikan di dalam program Majalah Tiga yang sudah menjadi nadi buatnya bukan penghalang cinta mereka. Perbezaan seperti itulah yang menjadi kekuatan untuk mereka saling tertarik antara satu sama lain.

Monday, July 25, 2011

Krisis Rumah Tangga Jimmy Semakin Meruncing ...

Jimmy dan Nursuhaila saat bahagia.



KESABARAN Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, terhadap sikap suami yang juga pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, sudah sampai ke penghujung.

Ia hilang apabila Jimmy menghebahkan dalam media kononnya majlis cukur jambul anak mereka dibatalkan sekali gus turut menimbulkan kemarahan bapa isterinya yang juga ahli perniagaan, Datuk Suhaimy Othman.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober 2010, namun selepas 20 hari bernikah, mereka tinggal berasingan dan pelbagai berita timbul sehinggalah kes dibawa ke mahkamah apabila Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat, pada 3 Januari lalu.

Nursuhaila menegaskan:
SAYA tidak akan kembali semula kepada Jimmy walaupun dia sudah berubah. Tetapi, saya maafkan kesalahan dia.

Saya tetap mahu menuntut cerai dan mendapatkan hak penjagaan anak berusia 32 hari walaupun sebelum ini Jimmy mendakwa akan menarik balik kes nusyuz terhadap saya.

Saya bercakap pada sidang media yang diadakan ini (semalam) untuk menjawab segala kontroversi hubungan kami, termasuk yang terbaru membabitkan majlis cukur jambul bayi kami.

Bagi saya, dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan baik. Dia hanya memberikan wang nafkah kepada saya ketika saya mengandung, itupun hanya RM300 sebulan dan tidak cukup untuk menampung ubat dan pemeriksaan lain.

Selain itu, antara faktor lain saya enggan kembali kepada Jimmy ialah kerana dia sering memukul dan menampar pipi saya hanya kerana pergaduhan kecil.

Selain itu, saya turut dikasari ketika berbulan madu di Koh Samui, Thailand, hanya kerana pergaduhan kecil.

Tapi, saya mengakui saya seorang yang bersifat kasar dan sudah menjelaskan kepada Jimmy sebelum berkahwin tetapi dia sudi menerima saya seadanya.

Bagaimanapun, tindakan Jimmy mengasari saya menyebabkan saya tidak mampu bertahan, apalagi apabila saya dikongkong dan disuruh tidur jam 9 malam dan tidak boleh melayari laman sembang sosial.

Sementara Jimmy dalam kenyataannya menyebut;
SAYA tidak akan sewenang-wenang menceraikan dia kerana apa yang saya lakukan selama ini adalah tanggung jawab sebagai suami dan talak terletak di tangan lelaki.

Sebagai isteri, Nursuhaila harus patuh pada perintah dan arahan saya dan jika ingkar, dia tidak akan mencium bau syurga.

Selepas berkahwin apa yang saya harapkan ialah selepas seharian penat bekerja, dapat meluangkan masa bersama isteri dan mahu diberikan layanan sebaiknya dari seorang wanita bergelar isteri.

Tanpa alasan munasabah, saya tidak akan sesekali menceraikan isteri saya dan sekiranya saya gagal dalam prosiding mahkamah pada kali ini, saya akan berusaha mendapatkan hak penjagaan anak.

Saya mengakui tidak membenarkan dia menemui rakan sebelum malam perkahwinan dan meminta Nursuhaila hanya berehat di rumah, namun dia tetap berdegil.

Tindakannya ingin bertemu rakan menyebabkan saya hilang kawalan dan menamparnya.

Begitu juga sewaktu di Koh Samui tetapi selepas itu saya tidak melakukannya lagi. Saya juga berjanji untuk menjaganya selepas kahwin dan dia juga pernah berjanji kepada saya untuk berubah.

Selain itu, saya berpendapat, ibu bapa seharusnya tidak campur tangan dalam masalah rumah tangga anak-anak kerana campur tangan itu akan menyebabkan keadaan semakin tegang.

Saya cuba berkomunikasi secara baik dengan Nursuhaila, malangnya dia hanya berdiam diri dan tidak mahu menjawab SMS atau panggilan telefon.

Saya cuba bertanya kepada ibu keadaannya dan memberitahu ibunya bahawa saya cuba berbincang mengenai masalah yang dihadapi, itu saja.

Konsert Gegaria Meriah di JB

Hattan beraksi di hadapan penonton yang hadir ke Konsert Gegaria.




JOHOR BAHRU - Kehadiran barisan artis sensasi tanah air pada Konsert Gegaria menyemarakkan lagi Karnival Gegaria di pekarangan Padang A, Plaza Angsana di sini, berakhir semalam.

Seawal jam 8.30 malam, perkarangan Padang A dipenuhi ribuan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang memberikan sokongan padu kepada artis pujaan mereka.

Lebih menarik, keletah dua pengacara, Zizan Raja Lawak serta Ifa Raziah, mencuit hati pengunjung yang teruja menyaksikan persembahan pada malam itu.

Tidak kurang kemunculan barisan artis ternama seperti Alyah, Hattan, Adam Af2, Misha Omar, Ery Putra serta kumpulan Jinbara yang memberikan persembahan bertenaga sepanjang kira-kira tiga jam konsert berlangsung.

Malah, setiap artis yang mendendangkan antara tiga hingga empat lagu masih tidak cukup memuaskan hati pengunjung.

Betapa tidak, konsert yang dijadualkan berakhir jam 11.30 malam terpaksa dilanjutkan hingga jam 12.30 tengah malam berikutan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Lebih gamat, persembahan bertenaga kumpulan Jinbara mendendangkan tiga lagu antaranya Farhana, Kasihnya Laila serta Cinta Pantai Merdeka pada penutup konsert memukau penonton dengan sebahagian besar mereka bangun sambil mendendangkan lagu sama.

Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari Shah Alam, Selangor, Nur Zahirah Anuar, 23, berkata dia teruja menyaksikan persembahan artis kesayangan, Alyah, menyampaikan lagu Kisah Hati dan Tak Mungkin Kerna Sayang.

“Saya datang dari Shah Alam bersama seorang rakan Jumaat lalu semata-mata mahu menyaksikan Alyah membuat persembahan.

“Saya puas hati kerana hasrat bertemu Alyah tercapai dan lebih bermakna, kami sempat merakamkan gambar sebagai kenangan,” katanya.

Saturday, July 23, 2011

Cabaran Pelakon Baru Nur Fathia Abdul Latif

Nur Fathia Abdul Latif



"Nasib baik saya masih belajar, setidak-tidaknya, saya ada pilihan untuk mengenepikan semua ini apabila tamat cuti semester pada September ini," nada keluhan bersimpul dalam mukadimah bicaranya.

Nur Fathia Abdul Latif menghitung-hitung semula butiran peribadinya yang semakin diperkatakan. Kisah dari belakang tabir, datang lambat ke lokasi penggambaran serta adegan membaling telefon bimbit kepada sang sutradara antara faktor penolak yang meletakkan namanya dalam carta kontroversi.

Ketika segala-galanya sudah bertemu penjelasan, wanita kelahiran Pulau Mutiara itu disogokkan pula dengan isu bersara.

Nah, sekali lagi perasaan kurang senang terbangkit di hati banyak pihak. Masakan pada usia semuda 24 tahun, si dramatis yang baru lekat dalam beberapa drama di kaca televisyen itu sudah pantas berundur?

Ada juga sedang membuat andaian, isu bersara itu kononnya sekadar menggugah perhatian murahan. "Itu tandanya apa sahaja yang ditulis oleh akhbar sangat memberi impak kepada orang ramai. Orang akan betul-betul termakan walaupun belum pasti perkara itu betul. Kalau begitulah anggapan orang, sedihnya saya.

Sudahlah saya ini baru berlakon. "Nanti apa pula kata orang, tak laratlah, apa sahajalah. Terfikir juga, bagaimanalah artis senior yang lebih hebat berdepan kontroversi menangani soal sebegitu.

Nampaknya, apa yang berlaku kepada saya ini sekadar permulaan. Lepas ini saya kena biasa-biasakan diri," kata Fathia yang banyak terkena limpahan publisiti semenjak drama bersiri Stanza Cinta menjadi ikutan.

Thursday, July 21, 2011

Pernikahan: Memey berpakaian lengkap RM7.2juta

Norman dan Memey akan kejinjang pelamin September ini.



KUALA LUMPUR - Pelakon Memey Suhaiza akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta pada majlis persandingannya dengan Norman Hakim di Crowne Plaza Mutiara di sini, 28 September ini.

Memey, 23, akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 tajaan Rafflesia untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.

Menurut Bill Bora selaku wakil Rafflesia, sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pernah mengenakan gaun bertatah mutiara bernilai RM400,000 pada hari persandingannya.

Selain dua persalinan itu yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk dipadankan dengan pakaian tersebut.

"Sejak minggu lepas, borang penyertaan untuk rekaan pakaian perkahwinan Memey sudah dibuka kepada semua pereka fesyen yang berminat.

"Pakaian itu kelak akan dipadankan dengan anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara. Terpulang kepada pereka untuk menghasilkan pakaian itu, namun kedua-duanya perlu dihiasi mutiara.

"Selain itu, Memey juga akan mengenakan dua pasang kasut rekaan khas Prof. Datuk Jimmy Choo," katanya ketika dihubungi wartawan di sini hari ini.

Kata Bill, Memey amat beruntung kerana pereka kasut ternama itu sudi menghasilkan kasut khas bertatah mutiara untuk majlis perkahwinannya yang dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang.

Memey dan Norman, 35, bakal bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

"Persandingan mereka boleh dianggap sebagai wedding of the year kerana mendapat sentuhan orang ternama," katanya.

Kata Bill, Memey dan Norman dipilih kerana sebagai pasangan selebriti, kedua-duanya sentiasa menjadi perhatian ramai dan dinanti-nantikan penampilan mereka.

Wednesday, July 20, 2011

Raja Azmi mengeluh lagi ...

Raja Azmi.



KUALA LUMPUR – Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman dan pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim kecewa lagi apabila keputusan kes khalwat mereka yang sepatutnya didengar semalam ditangguh lagi.

mereka yang hadir ke Pejabat Bahagian Siasatan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini untuk mengetahui perkembangan kes itu semalam begitu kecewa apabila dimaklumkan ia ditangguhkan buat kali keempat.

Raja Azmi, 51, mendakwa, pihak Jawi sebaliknya memaklumkan kes itu ditunda pada 22 Ogos depan selepas pegawai wanita yang mengendalikan kes itu menghadiri satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Pembantu pegawai kata dia mahu siasat lagi untuk elak orang yang teraniaya menjadi mangsa,” dakwa Raja Azmi sambil menahan sebak.

Raja Azmi yang ditemani suaminya, bekas pemain badminton negara, Jalani Sidek, 48, dan Muhammad Roslin hadir ke pejabat Jawi pada pukul 9 pagi. Jalani menjadi saksi dalam kes berkenaan.

Tuesday, July 19, 2011

Hani menikah dengan Mr. S hujung tahun ini

HANI sekadar memberitahu lelaki yang bakal mengahwininya nanti dikenali sebagai Mr. S, namun lelaki yang dimaksudkannya sudah dapat diteka kerana dia tidak lain dan tidak bukan adalah Shahrin.




Yasmin Hani yang cukup sinonim dengan bidang pengacaraan selain lakonan ternyata tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan kontroversi dan gosip nakal mengenai dirinya.

Selepas hubungan cinta dirinya dengan pemuda bernama Don Nazar putus sekitar tahun 2009, Hani, 32, lantas ditohmah pula sebagai punca keruntuhan rumah tangga pelakon terkenal Ida Nerina dan bekas pemain drum kumpulan Blackrose, Shahrin atau nama sebenarnya Sha'arin Mohd. Razali.

Manakan tidak, pernah suatu ketika Hani didakwa berkahwin secara senyap-senyap dengan Shahrin setelah lelaki kacak itu sah bercerai talak satu dengan Ida pada penghujung tahun 2010.

Peluang keemasan bersua dengan jelitawan berbintang Gemini pemilik nama sebenar Yasmin Hani Ismail Richardson tidak dilepaskan daripada membicarakan soal hati dan perasaannya itu.

Semuanya terungkai apabila figura genit itu diusik dengan soalan bila agaknya dia bakal mendirikan mahligai abadi yang diimpikan setiap wanita dalam hidup.

Tanpa terduga dan cukup mengejutkan, pantas sahaja Hani menjawab: "Hujung tahun ini!"

Hani lantas menjelaskan dia dan pasangannya itu kini sedang sibuk menyelesaikan segala prosedur dan persiapan sebelum mendirikan rumah tangga dan keluarga yang diimpikan selama ini.

"Rasanya tidak perlu saya khabarkan siapa bakal suami saya kerana umum sudah mengetahui kisah antara saya dan Mr. S itu dan memang dia calon yang sesuai memandangkan keluarga masing-masing juga merestui hubungan kami berdua," katanya seakan-akan bermadah pula.

Justeru, biarpun tidak menjelaskan Mr. S itu adalah Shahrin, namun jelas sekali lelaki yang dimaksudkan itu sememangnya Shahrin!

Menurut Hani, pertengahan bulan Oktober dipilih sebagai tarikh paling afdal buat dia dan pasangannya itu untuk mendirikan istana cinta yang menurutnya, majlis perkahwinan mereka juga hanya akan diadakan secara kecil-kecilan bertempat di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

"Syukur semuanya berjalan lancar setakat ini, baju, tempat, semua sudah ada dan majlis nikah dan sanding akan diadakan serentak di tempat yang sama pada hari yang sama.

Monday, July 18, 2011

Irma bertudung bukan kerana putus cinta

Irma Hasmie Ibrahim.



DUNGUN - “Ramai beranggapan saya bertudung kerana kecewa putus cinta malah tidak kurang menganggap ingin mendapat perhatian peminat tetapi sebenarnya penghijrahan ini tidak kena mengena dengan gosip berkenaan sebaliknya datang dari niat yang ikhlas dan hidayah,” kata pelakon dan pengacara terkenal, Irma Hasmie Ibrahim.

Ketika ditemui pada Majlis Perasmian Butik dan Duta D’Haja di Bangunan Arked Mara, di sini, semalam, Irma Hasmie berkata, dia sudah lali dengan pertanyaan banyak pihak serta tohmahan dilemparkan kepadanya dan menyifatkan setiap penghijrahan pasti mempunyai ujian atau dugaannya tersendiri.

“Saya tidak kisah dengan tohmahan segelintir pihak, paling penting perubahan ini dibuat dengan kerelaan sendiri dan berharap ia diterima Allah seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Semua peristiwa yang pernah berlaku ke atas diri saya sebelum ini, gosip atau kisah percintaan biarlah ia berlalu dan tidak mahu lagi mengungkit atau bercerita mengenai kisah lama kerana ia juga mendorong kepada dosa iaitu mengumpat.

“Saya lebih suka berdiam diri daripada bercerita mengenai orang lain serta memberi sepenuh perhatian kepada kerja dan tanggungjawab,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya, rezeki pelakon itu semakin sempit sejak bertudung, Irma Hasmie berkata, dia tidak setuju dengan kenyataan itu kerana perubahan imejnya langsung tidak menjejaskan tawaran berlakon atau bidang pengacaraan sebaliknya semakin dihujani dengan pelbagai tawaran.

“Bukan saya seorang saja yang berhijrah daripada tidak bertudung kepada bertudung sebaliknya ramai artis berbuat demikian dan terbaru Raja Farah juga turut memilih untuk bertudung.

“Ia secara terang-terangan membuktikan bertudung tidak menyebabkan seorang artis kehilangan ‘job’ atau peluang dalam lakonan tetapi mereka akan menjayakan watak yang bersesuaian dengan imej muslimah pada masa akan datang.

“Perubahan ini juga sebenarnya tanggungjawab seorang artis kerana mereka sering dijadikan ikon atau idola remaja, justeru penghijrahan seseorang artis itu bukan saja untuk kebaikan dirinya malah sebagai dakwah kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, selain dilantik sebagai duta tudung D’Haja, beliau kini terbabit sebagai pengacara rancangan Assalamualaikum di TV Al Hijrah setiap Sabtu dan Ahad selain menjalani penggambaran telefilem Psikik arahan Wan Hasliza dan drama bersiri lakonannya Kasih Alia akan menemui penonton di slot Akasia TV3 sepanjang Ramadan ini.

Sunday, July 17, 2011

Norman, Memey nikah 24 Sept.

NORMAN dan Memey disahkan akan bernikah pada 24 September ini.



KUALA LUMPUR - Setelah hampir setahun bertunang, pasangan pelakon, Norman Hakim, 35, dan Memey Suhaiza Suhaimi, 23, akhirnya disahkan akan melangsungkan perkahwinan mereka pada 24 September ini.

Menurut satu sumber, difahamkan majlis akad nikah Norman dan Memey akan diadakan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

"Upacara akad nikah Norman dan Memey akan berlangsung di kediaman Memey di Johor," ujar sumber tersebut.

Tambah sumber itu lagi, Memey dan keluarganya akan berangkat ke Bandung, Indonesia pada hari ini untuk membeli barangan persiapan untuk majlis perkahwinan tersebut.

Norman dan Memey sebelum ini pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 24 Julai tahun lepas namun, ia terpaksa ditangguhkan ekoran kesibukan dan komitmen mereka terhadap kerjaya masing-masing.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 13 September tahun lalu.

Sementara itu, pengurus publisiti terkenal, Bill Bora turut mengesahkan pasangan tersebut akan melangsungkan pada September nanti kerana beliau dilantik sebagai perancang perkahwinan pasangan tersebut.

Saturday, July 16, 2011

Anne Ngasri: Anak-anak Teman Hidupnya

ANNE bersama dua daripada tiga orang cahaya matanya, Abdul Warits (kanan) dan Abdul Wafri (kiri).



Janda muda Anne Ngasri berusia 27 tahun, dikatakan sedang dalam fasa bahagia. Lebih setahun selepas sah bercerai dengan bekas suaminya, Abdul Wafi Hassan pada 25 Jun 2010, ada khabar angin mengatakan Anne kini sudah bertemu pengganti dudanya. Khabar berkenaan disampaikan oleh seseorang yang kononnya melihat sendiri kemesraan Anne bersama seorang lelaki baru-baru ini.

Tidak mahu terburu-buru membuat kesimpulan, penjelasan ibu kepada Abdul Warits, 5, Abdul Wafri, 3 dan Nashara Afroza, 9 bulan itu diperoleh.

Anne ditemui pada penggambaran telemovie berjudul Gaya K-pop memberikan jawapan, hidup mati hidupnya kini hanyalah untuk anak-anak.

Menjawab pertanyaan wartawa, Anne berkata:
Memang saya sedang bahagia, sekarang teman lelaki saya adalah Warits dan Wafri, mereka itu anak-anak lelaki saya. Manalah datang cerita begitu. Buat masa ini saya belum terfikir untuk mencari teman. Kalau tidak ada penggambaran, saya hanya dengan anak-anak.

Ada dakwaan menyatakan nampak Anne keluar bersama seseorang ketika ini?

Kalau saya langsung tidak boleh berkawan dengan mana-mana lelaki, itu agak parah. Tapi, rasanya saya jarang keluar, kalau keluar pun, mesti ramai-ramai. Itu pun siang hari sahaja dan dari lokasi penggambaran.

Tapi memang payah untuk saya keluar. Selalunya saya akan keluar dengan anak-anak. Di Melaka sekarang pun, saya bawa dua orang anak bersama pembantu rumah sepanjang penggambaran di sini.

" Mereka duduk dalam bilik, sementara saya ada penggambaran. Pasal orang nampak saya keluar bersama lelaki, rasanya, itu perkara biasa dalam kehidupan artis wanita. Kalau kita keluar biasa-biasa pun dengan mana-mana orang, lelaki khususnya, pasti akan menimbulkan tanda tanya orang yang melihatnya. Saya tak salahkan sesiapa."

Friday, July 15, 2011

Pernikahan Farah (AF)-Johan ala tantanic

FARAH bersama Johan bergambar di sebelah bot pesiaran Cruise Tasik Putrajaya selepas diijabkabulkan semalam.




PUTRAJAYA - Impian penyanyi dan pengacara Farah Diana Anuar, 26, untuk bernikah di atas kapal menjadi kenyataan apabila dia dan pasangannya, Johan Johari, 26, selamat diijabkabulkan di atas bot Cruise Tasik Putrajaya, petang semalam.

Farah yang berwalikan bapanya, Anuar Ali dinikahkan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.

Finalis Akademi Fantasia kedua (AF2) itu mengenali Johan, seorang ahli perniagaan pada tahun 2005. "Johan adalah cinta pandang pertama saya. Apa yang membuatkan saya menerima dia adalah kerana kesabarannya selain selalu mengutamakan saya dalam setiap perkara,'' ujar Farah yang ditemui selepas majlis akad nikah.

Farah menerima mas kahwin sebanyak RM2,500 dan wang hantaran berjumlah RM25,185, simbolik kepada tarikh lahir penyanyi itu beserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang. Pasangan itu yang akan berbulan madu di Maldives sebelum Ramadan mengadakan majlis resepsi di Putrajaya hari ini.

Ketumbuhan rahim, punca Waheeda tak dapat anak??

Akhil Hayy, 42 bersama Isteri Waheeda 33.



Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab, 33, bersama penceramah bebas, Akhil Hayy, 42, telah diijab kabul pada 16 Ogos 2009, bukan seorang tetapi banyak suara-suara sumbang yang mengata.

Paling teruk adalah Waheeda kerana dia dikatakan sebagai perampas suami orang. Walaupun ditohmah dan dicaci, dua figura ini tenang dan sabar menerimanya.

Tidak cukup dengan itu, Waheeda didakwa pula terkena buatan orang dan sakit sehingga Akhil tidak dapat menghadiri perkahwinan bekas isterinya, Maizawati Zainal, 37.

Namun, semakin lama cerita negatif tentang pasangan ini semakin surut diceritakan dan akhirnya lenyap selepas dua tahun mereka melayari perkahwinan.

“Alhamdulillah!” Itu ungkapan pertama yang dilontarkan Akhil tatkala bertentangan mata dengannya.

Bertemu dengan pasangan itu selepas sidang akhbar program dakwah baharu Astro Oasis, Cubaan yang menampilkan Akhil sendiri sebagai pengacaranya, pasangan sama cantik, sama padan itu kelihatan bahagia dan romantis bersama.

Diterjah soalan, sudahkah menerima kehadiran orang baharu dalam hidup, Akhil yang segak mengenakan kot hitam itu hanya tersenyum dan memberitahu masih belum dikurniakan cahaya mata.

Namun, kata pengacara dan juga penyanyi yang berasal dari Gopeng, Perak itu, mereka tidak terdesak dan tidak juga terlalu menanti-nantikan kehadiran anak.

“Walaupun sudah dua tahun berkahwin, masih tidak ada berita gembira mengenai anak. Belum ada rezeki tetapi saya juga tidak terlalu menantikan anak sebab mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan pertama,” kata Akhil mengenai empat orang anaknya bersama Maizawati iaitu Siti Nurmaisara, 14. Muhd. Sharif Hidayatullah, 13, Muhd. Shakir Hidayatullah, 10, dan Muhd. Shatiri Hidayatullah, 4.

Di pihak Waheeda pula, Akhil memberitahu: “Dia pun tiada masalah. Tidak ada tekanan selagi tidak ada orang yang mendesaknya.

“Waheeda juga tidak begitu sihat kerana menghidap asma dan cyst (ketumbuhan rahim). Tetapi cyst tersebut sudah dibuang,” katanya yang menolak bahawa punca Waheeda tidak mengandung disebabkan penyakit cyst itu.

Diajukan perkara yang sama kepada Waheeda, katanya, dua tahun merupakan tempoh untuk membesarkan dan mendidik anak-anak (anak-anak Akhil) selain menguruskan perniagaan bersama suami.

Waheeda juga mengakui belum ada rezeki untuk mendapat anak bagi melengkapkan perkahwinan mereka.

Thursday, July 14, 2011

Jimmy sanggup berkorban demi anak

Jimmy Shanley.



SHAH ALAM - Demi masa depan anak, pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh sanggup menjadi seorang bapa dan suami yang tidak bahagia apabila dia bercadang menarik balik kes perintah kembali taat terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.

Jimmy, 31, membuat keputusan itu kerana tidak mahu anak sulungnya, Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun lalu menjadi mangsa masalah rumah tangganya.

"Saya buat demi anak. Saya tidak kisah menjadi suami yang tidak bahagia asalkan boleh menjadi seorang bapa yang bahagia. Saya sedia berkorban," katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Sehubungan itu, dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat apabila dimaklumkan isterinya, Nursuhaila, 25, bersedia untuk tinggal bersama selepas habis tempoh berpantang.

Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Jimmy, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus memohon mahkamah menangguhkan kes nusyuz dan kembali taat yang difailkan oleh anak guamnya kepada tarikh lain berikutan perkembangan terkini itu.

Wednesday, July 13, 2011

Zainal bayar wang nafkah anak ikut kemampuan



KUALA LUMPUR - Penyanyi terkenal, Zainal Abidin menegaskan beliau hanya akan membayar wang nafkah untuk anak-anaknya mengikut perintah mahkamah sebelum ini dan bukannya mengikut kehendak bekas isteri, Natasha Gabriel Abdullah, 52.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hijau itu memberitahu, mahkamah sebelum ini memerintahkannya membayar sebanyak RM200 sebulan untuk setiap seorang anaknya iaitu Mikhail, 18 dan Timur, 16.

"Ini bermaksud, saya perlu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM400 untuk kedua-dua anak saya. Itu adalah kemampuan saya dengan apa yang saya peroleh setakat ini menerusi pendapatan sebagai penyanyi.

"Ia juga telah dipersetujui mahkamah ketika kes tuntutan nafkah yang dibicarakan sebelum ini," jelas Zainal ketika dihubungi wartawan hari ini.

Beliau yang berada di Brunei atas urusan kerja itu berkata demikian bagi mengulas tindakan Natasha yang memfailkan keterangan bertulis di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam berhubung tuntutan tunggakan nafkah dua anaknya yang berjumlah lebih RM150,000 sejak sembilan tahun lalu.

Menurutnya, kes tersebut masih lagi belum selesai dan beliau tidak mahu memberi sebarang komen lanjut kerana khuatir ia akan mengganggu proses mahkamah.

"Lagi pun, tuntutan yang dibuat oleh bekas isteri adalah di luar pengetahuan saya. Sepatutnya dia terlebih dahulu berbincang dengan saya. Mahkamah juga pernah menasihatkan agar kami berbincang sebaik-baiknya tetapi dia yang tidak mahu.

Penyanyi tersebut bernikah dengan Natasha pada 24 Mac 1987 dan bercerai pada 12 Disember 2000. Mahkamah menetapkan kedua-dua kes itu dibicarakan berasingan pada 24 Oktober ini.

Tuesday, July 12, 2011

Cepat selesai mahu kahwin lain

Noraini dan Joey hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang semalam.



KAJANG – Vokalis kumpulan Exist yang popular dengan panggilan Joey memohon supaya Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini mempercepatkan kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk semula yang dikemukakan oleh isterinya kerana dia mahu berkahwin lain.

Joey di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah memberitahu mahkamah bahawa dia akan bernikah pada tahun ini.

“Insya-Allah, tarikh belum ditetapkan lagi. Tetapi wanita tersebut bukan plaintif, Noraini,” katanya ketika Abdul Halim bertanya siapa gerangan wanita tersebut yang bakal dinikahinya.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Joey, 37, pelakon itu menafikan dakwaan Noraini Nasir, 45, yang mengatakan mereka telah rujuk semula selepas empat hari Joey melafazkan cerai talak satu terhadapnya.

Selain itu, defendan turut menafikan dakwaan plaintif bahawa mereka mengadakan hubungan kelamin pada 8 Jun 2010.

Ning Baizura: Album ke 12 bakal terbit


Ning Baizura.


Selepas menyepikan diri sekian lama, Ning Baizura kini muncul semula berdepan peminatnya bersama album yang ke-12 diberi judul Dewa hasil kolaborasi syarikat miliknya Happenings dan Satu Entertainment milik komposer Audi Mok.

Merujuk kepada interpretasi cahaya dalam bahasa Sanskrit selari dengan perubahan baharu hidupnya bergelar seorang isteri dan ibu, Dewa memuatkan lapan buah lagu baharu berkonsepkan balada, pop, elektro dan dance.

Mama Papa, Raksasa dan Bila antara lagu yang makin kerap diputarkan di corong radio. Termasuklah juga beberapa lagu lain yakni Propaganda yang liriknya ditulis sendiri oleh Ning, selain Alhamdulillah, Sampai, Pencarian dan Aku Bukan Dewa.

Sebulan berlalu setelah album yang dibikin dalam tempoh tujuh tahun dikeluarkan di pasaran tempatan dan hasilnya cukup memuaskan hatinya.

“Album ini ibarat seorang anak yang sepatutnya telah lama dilahirkan, tapi kesabaran menunggu itu sebenarnya kepuasan sebenar bagi saya.

“Ini komitmen saya dan tidak adil bagi seorang artis yang lama bertapak tidak keluarkan album. Alhamdulillah, setakat ini respons yang diterima sangat bagus namun saya akan tetap menerima hakikat jika album ini tidak mencapai sasaran seperti yang saya impikan,” bicaranya yang ditemui selepas majlis pelancaran album Dewa di Zouk, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Monday, July 11, 2011

Aktres jelita Ayu mengidam anak kembar

SEJAK mengahwini Zaquan, Ayu turut terpengaruh dengan corak pemakanan suaminya yang sistematik itu.



Perkahwinan aktres jelita Ayu Raudhah Che Wan, 27, dan pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak, 24, baru berusia enam bulan. Sungguhpun begitu, Ayu sebenarnya sudah tidak sabar untuk bergelar seorang ibu dengan kehadiran cahaya mata dalam rumahtangganya.

Malah, dia khabarnya mengidam mahu mendapat anak kembar.

Menurut Ayu yang ditemui pada majlis pelancaran drama terbarunya berjudul Hilang di restoran Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, walaupun beberapa kali khabar angin mengatakan dia sedang hamil muncul, semuanya itu tidak benar kerana mereka masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang anak.

“Nak buat macam mana belum ada rezeki, kalau boleh saya memang nak ada anak cepat. Saya teringin ingin anak lelaki tetapi suami mahukan anak perempuan, kalau dapat kembar dan dapat sepasang perempuan lelaki memang saya bersyukur sangat-sangat,” ujarnya.

Mungkin, khabar angin hamil itu timbul disebabkan badannya yang sedikit berisi sewaktu awal perkahwinan, tetapi penampilan terbaharunya, Ayu kelihatan semakin kurus.

“Sebenarnya saya hanya turun dua kilogram sahaja, tetapi ramai yang tegur saya makin kurus, mungkin disebabkan penurunan berat badan saya kelihatan ketara berbanding dulu yang sedikit berisi. Sebelum ini, badan saya berisi itu yang orang ingat hamil sebenarnya mana ada apa-apa.

“Kalau boleh saya lagi nak cepat mengandung, kalau ada anak bertambah meriah rumahtangga kami. Jadi, tolong doakan kami supaya cepat dapat anak ya,” ucapnya sambil ketawa.

Penurunan berat badannya itu berkumungkinan besar ada kena mengena dengan jadual waktunya yang semakin padat sejak dia kembali daripada cuti perkahwinan selama dua minggu.

“Saya senyap daripada publisiti bukan bermakna saya tidak buat apa-apa, sebenarnya saya sangat sibuk sampaikan tidak sempat untuk memenuhi undangan sesi fotografi. Alhamdulilah, sebenarnya saya hanya sempat cuti kahwin selama dua minggu kerana selepas itu tawaran lakonan tidak putus-putus.

“Walaupun pada masa itu suami cuti tetapi dia tetap menjalani latihan seperti biasa, memandangkan dia sibuk di padang, daripada tidak buat apa-apa lebih baik saya pun ambil tawaran kerja yang datang ketika itu, tetapi sejak itu jadual kerja saya makin padat dengan tawaran lakonan yang lain,” luahnya.

Tambah Ayu, suami tidak melarangnya untuk terus berlakon, sebaliknya memahami kerjanya dan memberi sokongan kepadanya.

“Suami tidak melarang, malahan dia faham tugas saya. Kalau dia cuti, dia akan temankan saya di lokasi, dan kalau saya cuti, saya pula akan temannya di padang,” katanya.

Sunday, July 10, 2011

Kehidupan Mak Dara dipentas teater

AKSI Fara dan Zaifri berjaya menggamatkan suasana.




Riwayat hidup Mak Dara atau nama sebenarnya Halimah Shuib diangkat ke pentas teater buat kali pertama dalam pementasan teater berjudul Mak Dara Nyonya yang digabungkan bersama kisah dari Indonesia berjudul Nyonya.

Dia yang mewarisi keturunan Arab dari ibunya, Kamariah Latif dan darah Jawa dari bapanya, Suib Elias dilahirkan pada 1 Oktober 1945 di Rengit, Batu Pahat, Johor.

Berkat dorongan adiknya, Munawwar, dia menyertai pertandingan ratu dan berjaya menyandang takhta Ratu Kebaya sebanyak 12 kali.

Menurut Siti Rohayah Attan selaku penerbit dan penulis skrip Mak Dara, konflik hidupnya bermula apabila mahligai perkahwinan yang dibina bersama suami, Syed Ali diracuni orang ketiga iaitu pembantu rumahnya sendiri.

“Mak Dara menukar hak milik rumah pemberian ibu bapanya kepada nama suami sebagai bukti cintanya namun dijual kepada orang lain.

“Syed Ali kemudiannya berpindah keluar bersama isteri barunya meninggalkan Mak Dara bersama lima anak hasil perkongsian hidup mereka tanpa sebarang nafkah,” ulasnya mengenai jalan cerita Mak Dara.

Bukan sahaja kehilangan kasih sayang suami, dia juga kehilangan harta pusaka dan situlah bermulanya kesengsaraannya Mak Dara membesarkan kesemua enam anaknya termasuk seorang hasil daripada perkahwinan pertama yang hanya mampu bertahan selama setahun.

Kisah Mak Dara diselang-selikan dengan naskhah Nyonya yang berunsurkan komedi sinis yang mengisahkan kehidupan seorang nyonya di Indonesia.

Saturday, July 9, 2011

Pak Uda ada kafe, anak, cucu



Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ingin mementaskan semula sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, namun hasrat murni itu tidak kesampaian apabila teraju utama sitkom popular itu, Zami Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Uda menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 19 Jun lalu.

Sebaliknya, pementasan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu telah ditukar kepada majlis Makan Malam dan Pesta Lawak Karyawan 2011 yang telah berlangsung baru-baru ini.

Ditanyakan kenapa tidak meneruskan sahaja pementasan biarpun Zami sudah meninggal dunia, menurut teman rapat Allahyarham yang juga merupakan pelakon bagi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Imuda, 51, pemergian Zami meninggalkan impak yang besar kepada dunia seni dan dia juga merupakan tunjang utama sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Tanpa Zami, kata Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda, sitkom tersebut tidak akan menjadi.

“Perkara ini (pementasan Pi Mai Pi Mai Tang Tu) sudah dirancang lama. Ia melibatkan semua pelakon lama termasuk beberapa muka baharu.

“Skrip sudah saya siapkan dan apa yang lebih memilukan arwah Zami sudah berlatih dengan pelakon-pelakon lain untuk pementasan ini. Namun, semuanya tidak kesampaian apabila arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui selepas majlis Makan Malam dan Pesta Lawak Karyawan 2011 yang berlangsung di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur.

Imuda yang memegang watak Budin dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu juga sudah merancang tiga perkara sebelum mementaskan sitkom popular itu. Antara tiga pilihan yang bakal dipilih ialah, kumpulan-kumpulan pelawak akan melakukan pementasan secara bangsawan, sandiwara lawak terdiri daripada yang lama dan baharu serta Pi Mai Pi Mai Tang Tu kembali.

Sitkom selama 30 musim yang dianggap legend itu, kata Imuda bakal dipentaskan pada malam itu selama 45 minit. Ia merupakan sambungan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

“Pak Uda sudah mempunyai sebuah kafe dan mempunyai anak serta cucu bersama Mak Ngah, lakonan Khatijah Tan. Pementasan itu akan berlangsung selama 45 minit tetapi semuanya tidak menjadi kerana Zami meninggal dunia,” kata Imuda dalam nada sedih.

Friday, July 8, 2011

Rezeki Imam Muda Hassan

HASSAN menganugerahkan kemenangannya kepada ibu dan arwah ayahnya.



Pensyarah Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Mohd. Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26, berjaya melayakkan dirinya sebagai juara Imam Muda musim kedua (IM2) yang berlangsung Jumaat lalu di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kuala Lumpur.

Kemenangan anak kelahiran Lumut, Perak itu dikhabarkan berpihak kepada Hassan kerana pemuda itu mempunyai suara yang sedap ketika bertaranum selain banyak menyimpan senyum dan mendapat markah ujian teori yang tinggi saban minggu.

Penghuraian kemenangan itu dijawab tenang oleh Mudir (Pengetua) Imam Muda 2, Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz, saat kemenangan Hassan disoal para media ketika sidang akhbar usai malam kemuncak Iman Muda 2.

Katanya, keputusan kemenangan Hassan yang dinilai para juri juga adalah telus tanpa sebarang pakatan.

“Penilaian pertandingan ini adalah telus daripada setiap juri. Tiada pakatan yang wujud dalam pertandingan Imam Muda 2.. Kedua-duanya mempamerkan persembahan yang mantap di malam kemucak Imam Muda 2 tetapi kelebihan lima markah berpihak kepada Hassan.

“Hassan juga mempunyai kelebihan pada ujian teori yang konsisten setiap minggu. Hassan juga pernah dinobatkan sebagai pelajar contoh sebanyak dua kali sepanjang 10 minggu program dijalankan,” katanya bagi mengulas mengenai kemenangan Hassan.

Bagi Hassan sendiri, dia tidak menyangka kemenangan pada malam itu berpihak kepadanya. Menurutnya, ia ibarat mimpi yang menjadi nyata. Bahkan ujian tazkirah, hafalan ayat al-Quran dan sesi soal jawab sangat mencabar baginya.

“Kemenangan ini bukan untuk saya seorang tetapi juga buat ibu dan arwah ayah. Saya sangat bersyukur dan tidak menyangka dengan kemenangan ini. Kemuncak malam IM2 sangat mencabar apabila kami berdua perlu bertazkirah, berselang seli menghafal ayat al-Quran dan menjawab soalan yang diberikan,” kata Hassan yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Al-Quran dan Hadith), Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Thursday, July 7, 2011

Hujan diatas pelamin

Penyanyi Noh Hujan dan Mizz Nina mengaminkan doa ketika majlis persandingan pasangan tersebut, di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Wednesday, July 6, 2011

Kerajaan Bela Nasib Artis

SEBAHAGIAN daripada 500 artis serta penggiat seni yang hadir pada majlis Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 di Hotel DoubleTree by Hilton di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Kerajaan semalam memberi isyarat bahawa ia akan memperjuangkan dan membela nasib serta hak golongan artis di negara ini tanpa bertolak ansur terhadap pelanggaran hak-hak harta intelek. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan meminda Akta Hak Cipta 1987 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan, undang-undang untuk melindungi hak-hak golongan artis akan lebih ketat.

Antara tumpuan yang bakal diberikan melalui pindaan akta itu meliputi aspek kutipan royalti yang lebih telus, penguatkuasaan Tribunal Hak Cipta, larangan muat turun bahan seni secara tidak sah dan jumlah bayaran minimum kepada karyawan seni. “Isu paling penting adalah mengenai royalti karyawan kerana ketika ini tiada satu sistem kutipan yang memuaskan manakala badan kutipan yang sedia ada tidak berdaftar dengan kerajaan.

“Selepas akta ini dipinda, mereka perlu berdaftar dan beroperasi secara lebih telus,” katanya ketika merasmikan Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 di DoubleTree by Hilton, The Intermark, Jalan Tun Razak di sini semalam. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Datuk Rohani Abdul Karim; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom; Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Abdul Manan Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah MyIPO, Mohd. Shahar Osman.

Lebih 500 tetamu termasuk 300 artis hadir pada majlis tersebut termasuk Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Harun Salim Bachik dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandes. Antara bintang-bintang yang hadir ialah Datuk Sarimah Ahmad, Jamal Abdillah, Amy Search, Ziana Zain, Farah Asyikin, Ifa Raziah dan Norman KRU.

Ismail Sabri memberitahu, apabila akta itu dilaksanakan kelak, setiap badan pengutip royalti artis yang berdaftar perlu membuat perjanjian bertulis untuk melaksanakan urusan tersebut.

“Jika ada pelanggaran dalam syarat yang ditetapkan, badan itu boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 dan mereka perlu ada butir lengkap dalam sebarang urusan kutipan royalti berkenaan,” tegasnya.

Selain itu, beliau berkata, akta baru itu juga akan menetapkan kadar minimum peratusan kutipan setiap hasil yang sepatutnya diperoleh oleh artis seperti penyanyi, komposer, penulis lirik atau pelakon. Ujarnya, kerajaan akan menetapkan jumlah itu dan apabila ia dilaksanakan tidak akan berlaku lagi bayaran rendah diperoleh oleh artis.

Monday, July 4, 2011

Nadia mahu berdamai dengan Lisdawati



KUALA LUMPUR - Pelakon, Nadia Mustafar meluahkan rasa lega semalam selepas saman fitnah yang dibuat ke atasnya oleh pelakon, Lisdawati ditarik balik di Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Jun lalu.

Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 35, menjelaskan, tujuan dia mengadakan sesi sidang akhbar di Pavilion, Bukit Bintang semalam itu adalah untuk membersihkan namanya kerana sepanjang lima tahun kes saman fitnah itu berjalan, Nadia tidak pernah memberikan sebarang kenyataan.

Keputusan itu sekali gus melegakan Nadia kerana merujuk surat Penghakiman Ingkar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang diterimanya pada 20 Oktober tahun lalu, dia diperintahkan membayar kepada Lisdawati ganti rugi sebanyak RM250,000 bersama faedah lapan peratus setahun.

"Hari ini (semalam) pertama kali saya membuat kenyataan berhubung kes fitnah tersebut sebab sebelum ini saya tidak berani untuk bercakap kerana bimbang tersalah fakta.

"Bila saya berdiam diri, orang ingat saya bersalah dan sengaja menabur fitnah dan saya bercakap pun atas nasihat peguam. Saya percaya jika kita di pihak yang benar akan sentiasa ada jalan penyelesaian yang terbaik," ceritanya.

Menurut Nadia, sejak kes saman fitnah itu ditarik balik, tiada sebarang tindakan diambil daripada pihak Lisdawati ke atas dirinya.

"Dulu saya memang tidak tahu langsung tentang undang-undang tetapi sekarang saya sudah bersedia. Sebenarnya, saya mahu kes ini tamat di sini sahaja kerana sudah terlalu lama," cerita Nadia.

Nadia juga tidak menolak mahu berdamai dengan Lisdawati selepas kes tersebut selesai. Malah, Nadia dan Lisdawati juga terlibat dalam sebuah drama yang sama iaitu drama Suria Di Cordoba.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan Lisdawati menarik balik saman fitnah terhadap Nadia kerana tuntutan itu didapati melebihi bidang kuasa mahkamah.

Kes saman fitnah tersebut tercetus apabila Lisdawati mendakwa, Nadia telah memfitnahnya melalui satu artikel dalam sebuah majalah hiburan pada Januari 2005 bahawa dia telah meminjam wang tetapi gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia.

Sunday, July 3, 2011

Tomok kejinjang pelamin

WALAUPUN usia Tomok lima tahun lebih muda daripadanya, Ayu menyifatkan suaminya itu sebagai seorang yang matang dan penyabar.



Shah Indrawan Ismail atau Tomok adalah penyanyi bekas juara rancangan realiti One In A Million (OIAM) itu meluahkan rasa syukurnya apabila impian untuk menikahi wanita yang sangat dicintainya itu terlaksana.

“Hubungan kami sebagai pasangan kekasih berlanjutan selama lapan tahun. Memang tidak dinafikan pelbagai halangan yang terpaksa ditempuhi sepanjang kami bersama.

“Namun, apa yang diimpikan selama ini iaitu untuk menjadikan Ayu sebagai isteri telah pun menjadi realiti dan tentunya saya sangat berharap agar ikatan ini akan kekal sampai bila-bila,” ujarnya selepas selesai upacara pernikahan.

Ditanya tentang tempoh yang cukup lama diambil oleh mereka berdua untuk mendirikan rumah tangga, Tomok menjelaskan semuanya bergantung kepada jodoh yang telah ditentukan.

Jelasnya lagi, kesibukan mengurus kerjaya masing-masing juga adalah salah satu sebab mereka jarang membicarakan soal perkahwinan, di samping mahu mencari keserasian bersama.

“Sebenarnya kami menjalinkan hubungan sebagai kawan biasa dalam tempoh setahun sahaja. Selepas itu, saya ambil keputusan untuk menjadikannya sebagai kekasih dan tidak sangka Ayu menerimanya.

“Kemudian saya telah melamarnya untuk dijadikan isteri kira-kira dua tahun lalu selepas saya menjuarai OIAM. Malah, kami berdua telah sepakat untuk terus berkahwin tanpa mengikat tali pertunangan,” ujarnya.

Mengenai ciri-ciri yang membuatkannya tertarik dengan Ayu, beritahu Tomok, isterinya itu adalah seorang wanita yang sangat penyabar dan pandai memasak makanan kegemarannya itu masakan asam pedas.

Tentang lokasi bulan madu pula, setakat ini mereka masih belum membuat keputusan yang muktamad memandangkan pada 18 Julai ini, Tomok akan mula menjalani sebuah penggambaran telefilem berjudul Diari Kampus Biru di Bandung, Indonesia.

“Memang jadual saya begitu padat dan isteri pula sangat memahami. Insya-Allah, kalau masing-masing ada masa terluang, kami akan tetap berbulan madu di pulau yang menarik memandangkan isteri suka dengan lokasi sebegitu,” ujarnya.

Saturday, July 2, 2011

Jangan perlekeh hak artis

ARTIS perlu menyokong perjuangan Karyawan yang diketuai Datuk Freddie Fernandez (duduk dua dari kanan) dan ahli jawatankuasanya mengenai hak artis-artis.



KUALA LUMPUR - Penyanyi, Aizat dan pelakon, Diana Danielle mahu artis di Malaysia tidak menjadi mangsa penipuan kontrak perjanjian yang tidak adil.

Kedua-dua mereka yang menjadi ahli panel yang mewakili kelompok generasi muda sempena Hari Himpunan Bintang pada 5 Julai ini mahu artis muda supaya lebih peka dan tidak memandang remeh perkara itu.

Bagi Aizat, artis perlu memahami hak-hak terhadap hasil kreatif masing-masing terutama terma-terma melibatkan perjanjian yang ditandatangani.

"Kita biasa dengar kes artis jadi mangsa perjanjian berat sebelah dan ia berlaku kerana artis tidak memandang serius soal kontrak atau diperdayakan. Saya akan berusaha beri kesedaran kepada rakan-rakan artis mengenainya," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu itu di sini semalam.

Sementara itu, bagi Diana, sebelum menandatangani sesuatu perjanjian atau kontrak, seseorang artis itu perlu menelitinya atau merujuknya kepada mereka yang berpengalaman.

Selain itu, pelakon filem Hanyut itu juga menganggap setiap artis perlu mempunyai insurans bagi melindungi aset dan hak mereka..

"Jika artis itu mempunyai insurans, mereka akan dapat pampasan jika sebarang ada perkara buruk berlaku kepada mereka pada masa depan," ujarnya yang juga menyokong usaha yang dilakukan oleh Persatuan Karyawan Malaysia.

Selain Diana dan Aizat, penyanyi terkenal, Amy Search juga terpilih menjadi panel bagi mewakili penyanyi selain wakil MyiPO, Prof. Madya Dr. Abu Hassan pula menjadi moderator pada simposium yang dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.

Friday, July 1, 2011

Dayang Nurfaizah tak pernah bercinta ?

Dayang Nurfaizah



Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 30, dia belum pernah merasai gelora asmara daripada lelaki.

Acap kali dirinya ditebak sedang dilamun cinta ketika mendendangkan lagu-lagu cinta miliknya dengan begitu asyik. Namun, acap kali jua wanita berzodiak Cancer ini menafikan dirinya sedang dilamun cinta.

Saat itu, bermulalah tanggapan negatif buat Dayang. Dia dilempar dengan tuduhan miliki perasaan pada kaum sejenis. Bila tuduhan ini menerjah ke telinganya, Dayang tidak melenting tetapi segera menafikannya.

"Tidak bermakna saya tidak pernah bercinta saya tidak sukakan lelaki. Itu semua tidak benar. Saya teringin untuk bercinta namun saatnya belum tiba," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album baharunya, Sayang & Cahaya, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Jujurnya, Dayang memberitahu, dia tidak tahu menzahirkan perasaan cinta buat lelaki biarpun meminati lelaki tersebut. Dia juga tidak dapat membaca hati lelaki yang meminatinya.

Malah, waktu senggangnya juga hanya dimanfaatkan bersama keluarga dan dirinya juga tidak mempunyai sebarang telefon peribadi.

Sebab itu, katanya, mengapa sehingga kini dia belum pernah bercinta.

"Saya mengaku seumur hidup tidak pernah bercinta. Malah, tidak tahu bagaimana rasanya ketika bercinta. Masa sekolah dahulu, pernah juga menerima surat cinta tetapi saya segera membuangnya kerana takut.

"Jauh di sudut hati, saya juga cemburu melihat teman-teman yang sudah berteman dan berkeluarga. Apatah lagi selepas pengurus yang sudah bersama saya hampir sedekad, Shaliza Kader Sultan berhijrah ke Amerika Syarikat mengikut suami awal tahun ini. Namun, saya percaya jodoh saya ada dan akan tiba nanti," katanya.

Pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu juga dikatakan terlampau memilih lelaki sehingga membuatkan dirinya masih tidak mempunyai teman.

"Saya kena memilih kerana ia menentukan masa depan saya. Tetapi, saya bukanlah jenis yang terlalu memilih. Semua orang inginkan yang terbaik dalam hidup," katanya jujur.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2