NUFFNANG ADS

Monday, July 18, 2011

Irma bertudung bukan kerana putus cinta

Irma Hasmie Ibrahim.



DUNGUN - “Ramai beranggapan saya bertudung kerana kecewa putus cinta malah tidak kurang menganggap ingin mendapat perhatian peminat tetapi sebenarnya penghijrahan ini tidak kena mengena dengan gosip berkenaan sebaliknya datang dari niat yang ikhlas dan hidayah,” kata pelakon dan pengacara terkenal, Irma Hasmie Ibrahim.

Ketika ditemui pada Majlis Perasmian Butik dan Duta D’Haja di Bangunan Arked Mara, di sini, semalam, Irma Hasmie berkata, dia sudah lali dengan pertanyaan banyak pihak serta tohmahan dilemparkan kepadanya dan menyifatkan setiap penghijrahan pasti mempunyai ujian atau dugaannya tersendiri.

“Saya tidak kisah dengan tohmahan segelintir pihak, paling penting perubahan ini dibuat dengan kerelaan sendiri dan berharap ia diterima Allah seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Semua peristiwa yang pernah berlaku ke atas diri saya sebelum ini, gosip atau kisah percintaan biarlah ia berlalu dan tidak mahu lagi mengungkit atau bercerita mengenai kisah lama kerana ia juga mendorong kepada dosa iaitu mengumpat.

“Saya lebih suka berdiam diri daripada bercerita mengenai orang lain serta memberi sepenuh perhatian kepada kerja dan tanggungjawab,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya, rezeki pelakon itu semakin sempit sejak bertudung, Irma Hasmie berkata, dia tidak setuju dengan kenyataan itu kerana perubahan imejnya langsung tidak menjejaskan tawaran berlakon atau bidang pengacaraan sebaliknya semakin dihujani dengan pelbagai tawaran.

“Bukan saya seorang saja yang berhijrah daripada tidak bertudung kepada bertudung sebaliknya ramai artis berbuat demikian dan terbaru Raja Farah juga turut memilih untuk bertudung.

“Ia secara terang-terangan membuktikan bertudung tidak menyebabkan seorang artis kehilangan ‘job’ atau peluang dalam lakonan tetapi mereka akan menjayakan watak yang bersesuaian dengan imej muslimah pada masa akan datang.

“Perubahan ini juga sebenarnya tanggungjawab seorang artis kerana mereka sering dijadikan ikon atau idola remaja, justeru penghijrahan seseorang artis itu bukan saja untuk kebaikan dirinya malah sebagai dakwah kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, selain dilantik sebagai duta tudung D’Haja, beliau kini terbabit sebagai pengacara rancangan Assalamualaikum di TV Al Hijrah setiap Sabtu dan Ahad selain menjalani penggambaran telefilem Psikik arahan Wan Hasliza dan drama bersiri lakonannya Kasih Alia akan menemui penonton di slot Akasia TV3 sepanjang Ramadan ini.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2