SELAMAT ulang tahun. Adik-beradik KRU, dua dari kiri (Edry, Norman dan Yusry) meniup lilin kek ulang tahun ke-19 empayar milik mereka yang semakin berkembang di Cyberjaya, minggu lalu.
SUDAH 19 tahun usia penglibatan KRU dalam industri seni tanah air. Bermula hanya sebagai sebuah kumpulan nyanyian yang diasaskan oleh tiga orang adik-beradik, Norman, Edry dan Yusry Abdul Halim, kini, empayar yang dibina mereka semakin besar.
Tidak hanya berfungsi sebagai syarikat rakaman, tetapi juga KRU kini memiliki beberapa anak syarikat seperti KRU Media Sdn. Bhd. dan KRU Studio. Ibu pejabat yang dulunya terletak di lot tepi daripada deretan rumah kedai di Setiawangsa, Kuala Lumpur kini berpindah ke ibu pejabat di Cyberjaya yang mula beroperasi pada 1 April 2010.
Mengenang kembali perjalanan KRU, Norman memberitahu, jenama KRU bermula dengan modal RM2,000. Ketika itu wang tersebut digunakan untuk menerbitkan album pertama mereka yang berjudul Canggih bersama syarikat rakaman EMI.
"Kejayaan bukan datang bergolek, sepanjang 19 tahun kami dalam industri, bukan sekali dua kami dihambat kontroversi, diuji pelbagai cara sehingga ada di antara kami seperti mahu putus asa. Mujur, kami bukannya rakan kongsi bisnes sahaja tetapi juga kami terikat dengan pertalian darah sebagai adik-beradik.
"Jika ada di antara kami bertiga yang menghadapi masalah dan seperti mahu berputus asa, kami akan saling menyokong. Itu antara formula kenapa KRU kekal bertahan sehingga ke hari ini," ujar Norman lagi.
Bersyukur dengan apa yang dimiliki KRU hari ini, ketiga-tiga mereka tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankan kemaraan mereka dalam bidang bisnes mahupun gelaran mereka sebagai penyanyi.
"Kami baru bermula, banyak lagi perkara yang kami rancangkan belum dilaksanakan lagi. Mungkin sekarang bisnes ini milik kami bertiga tetapi untuk membesarkan lagi perniagaan kami harus menarik pelabur daripada luar.
"Walaupun pada masa depan, empayar perniagaan kami mungkin tidak lagi diuruskan oleh kami atau ahli keluarga, kami tetap berbangga jika jenama KRU terus kekal bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global. Kejayaan yang kami peroleh hari ini tidak akan melalaikan kami kerana impian kami mahu menjadi seperti Warner Bros.
"Cuma kini, orang lihat kami seperti tidak aktif, sebenarnya kami semua sibuk dengan kerja masing-masing, Saya sibuk dengan muzik, Yusry dengan filem dan Norman dengan bisnes. KRU masih menyanyi dan keluarkan lagu-lagu baharu tetapi kami sudah bersara daripada buat persembahan pentas," kata Edry sambil dipersetujui oleh Norman dan Yusry.
No comments:
Post a Comment