NUFFNANG ADS

Wednesday, June 22, 2011

Waris P Ramlee tuntut royalti

MOHD YUSOFF menujukkan kad pengenalan P Ramlee kepada warisnya Najua Nasir, 25 (kanan), Gurnarisasca, 34 (dua dari kanan) dan Gurlina, 40 (tiga dari kanan), pada majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Georgetown, semalam.



GEORGETOWN - Waris Tan Sri P Ramlee bercadang menuntut royalti daripada bekas majikan seniman agung itu hasil bayaran tayangan filem lakonan Allahyarham di stesen televisyen, termasuk televisyen berbayar yang dikatakan mencecah RM200 juta.

Setakat ini, waris P Ramlee hanya menerima royalti daripada lagu Allahyarham, termasuk RM200,000 yang dibayar syarikat rakaman dan Persatuan Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP), pada tahun lalu.

Bagi tujuan itu, waris Allahyarham melantik peguam, Datuk Hamzah Mohd Kassim bagi mengendalikan urusan berkaitan usaha mendapatkan imbuhan daripada bekas majikan P Ramlee itu.

Hamzah semalam mengakui tiada undang-undang jelas berkaitan royalti antara P Ramlee dengan Shaw Brothers, ketika Allahyarham menjadi pelakon di syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, Shaw Brothers mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberikan bayaran kepada waris P Ramlee.

“Saya sudah mendapatkan pandangan pakar perundangan dan kami mempunyai ruang mendapatkan sejumlah royalti,” katanya selepas majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Rumah Kelahiran P Ramlee, di sini semalam.

Pelancaran disempurnakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff.

Hamzah berkata, pihaknya sudah membuat kajian mengenai perkara itu dan berjumpa beberapa rakan Allahyarham serta mendapatkan pandangan pakar undang-undang.

Namun, beliau tidak dapat menyatakan jumlah tepat pendapatan diperoleh Shaw Brothers hasil tayangan filem lakonan P Ramlee melalui televisyen, tetapi menjangkakan mencecah RM200 juta.

“Saya difahamkan, dalam tempoh tiga tahun lalu saja syarikat itu dibayar RM20 juta oleh ASTRO,” katanya yang menyasarkan royalti sebanyak 20 peratus diberikan kepada waris Allahyarham.

Mengenai maklum balas Shaw Brothers, Hamzah berkata, pihaknya akan berunding dengan syarikat itu selepas mendapat semua maklumat berkaitan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, PEMENANG menyokong usaha memastikan waris P Ramlee mendapat hak mereka dan berharap persatuan dalam industri perfileman turut membantu bagi memastikan keluarga Allahyarham mendapat pembelaan sewajarnya.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2