NUFFNANG ADS

Saturday, August 4, 2012

Sam, Yana eratkan silaturahim dengan peminat

Ketibaan Ramadan, memberi makna dan pengisian berbeza buat setiap individu. Malah dalam bulan ini juga, pelbagai keletah manusia dapat dilihat.

Tidak kurang juga, yang menjadikan bulan ini sebagai bulan ‘perniagaan’. Bagaimanapun, bagi dua figura popular ini, Shaheizy Sam dan Yana Samsudin, ketibaan Ramadan membawa 1001 fadilat dan makna yang mendalam buat diri mereka.

Bahkan, selain berpeluang mempertingkatkan amal ibadat, sambutan bulan Ramadan juga dikongsi bersama insan-insan yang kurang bernasib baik, serta dapat mengeratkan lagi perhubungan di antara umat Islam.

“Saya seronok bila berpeluang berbuka puasa bersama ibu-ibu tunggal dan anak yatim. Selain dapat meraikan mereka, dapat juga saya merapatkan hubungan dengan mereka.

“Cuma tahun ini, saya tidak dapat bercuti panjang, sama seperti tahun sebelumnya kerana sibuk dengan jadual penggambaran. Namun saya tetap cuba untuk mencuri masa memenuhi undangan berbuka puasa,” jelas Yana.

Sama seperti Yana, Sam juga mengakui rasa sangat bertuah kerana dapat meluangkan lebih banyak masa bersama peminat dan keluarga apabila tibanya Ramadan.

Justeru, pada 11 Ogos ini, Sam akan meraikan 300 peminatnya dalam satu majlis berbuka puasa bersama Shaheizy Sam Loyalty Club (SSLC).

“Majlis berbuka puasa ini akan diuruskan oleh pengurusan kelab peminat Sam dan hanya 300 orang sahaja yang dapat menyertainya kerana kekangan keluasan lokasi berbuka.

“Namun pada yang tidak dapat menyertainya, Sam masih menghargai sokongan yang tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada Sam,” ujarnya.

Selain itu, selaku duta Mamee, buat julung kalinya Sam akan turun padang menjayakan program Singgah Sahur di dua lokasi terpilih iaitu di Lumut (Perak) dan Muar (Johor) pada Ramadan ini.

“Masa inilah Sam dapat mengeratkan hubungan bersama peminat yang berada jauh dari Kuala Lumpur. Sam juga amat teruja untuk menjayakan program ini kelak,” katanya.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2