NUFFNANG ADS

Wednesday, October 8, 2014

Saya risau - Che Ta

MASA pantas berlalu dan siapa sangka kurang dua minggu sahaja lagi pelakon jelita, Rozita Che Wan dijangka melahirkan cahaya mata pertama hasil perkahwinan kedua bersama aktor, Zain Saidin.

Bukan sahaja pasangan bahagia ini, malah keterujaan menyambut kelahiran ini turut dirasai seluruh peminat setia mereka.

Berkongsi pengalamannya, aktres yang mesra disapa Che Ta ini mengakui biarpun teruja dia turut merasa berdebar menanti saat melahirkan nanti.

“Walaupun sebelum ini ada pengalaman, tetapi ia berlaku kira-kira 16 tahun yang lalu. Mungkin saya juga sudah lupa rasa sakit untuk melahirkan. 

“Perasaan teruja itu memang ada, tambahan pula kali ini kami bakal menimang bayi perempuan dan saya memang tidak sabar menunggu saat itu,” ujarnya.

Menarik mengenai kehamilannya kali ini, pasangan romantis ini telah memberikan kepercayaan kepada pihak Astro merakamkan saat-saat indah menyambut cahaya mata mereka menerusi program Pureen Chak Chak.

“Dalam soal ini kami tidak ada sebarang syarat kerana kami percaya pihak produksi tahu had mereka.

“Kalau diikutkan paparan visual yang akan diambil tidaklah terlalu terperinci, jadi ia tidak beri sebarang masalah kepada kami.

“Walaupun tidak terlalu banyak, tapi inilah peluang kami berkongsi kebahagiaan ini bersama peminat,” tuturnya.

Pada masa yang sama, Che Ta turut mendedahkan dirinya sering mengamalkan membaca surah Mariam dan Yusuf sebagai persediaan dalam proses kelahiran.

Tuesday, September 30, 2014

Awie belum sedia cari isteri lain

BAHAGIA. Awie bersama lima anaknya, (dari kiri): Puteri Aleefa Antasha, Puteri Aleeya Antasha, Puteri Qasseh Antasha, Putra Ahmad Rezzki dan Putra Ahmad Merrah.

TERHERET sehingga ke mahkamah, kemelut permasalahan Awie dan isterinya Rozana Misbun telah sampai ke kemuncak apabila vokalis Wings itu berjaya mendapat hak penjagaan kelima-lima orang anak mereka, tiga bersama Rozana dan dua lagi bersama isteri terdahulu, Arni Nazira.

Parah terduduk dek bermacam-macam tuduhan, Awie membuktikan bahawa dia seorang lelaki yang tidak gentar berdepan lawan. Dia semakin optimis membina semula kerjaya dan kehidupan peribadinya yang hampir musnah.

Biar harus bermula dari kosong, Awie perlahan-lahan mengukuhkan kewangan demi menyara kehidupan bersama lima orang anaknya.

“Dalam usaha untuk memulakan kembali kehidupan saya daripada kosong, saya terpaksa menolak banyak tawaran.

“Awalnya saya telah menolak tawaran berlakon Supermokh Sebuah Muzikal Restaging tapi Hans Isaac telah memujuk dan memberikan saya semangat untuk berlakon, saya terima watak kerana pujukan Hans.

“Saya juga telah menolak tawaran menjadi pengetua Akademi Fantasia 2014 dengan alasan tidak mahu mengganggu reputasi program itu memandangkan kes mahkamah saya yang sedang berlangsung. Jadi lebih baik saya undur diri.

“Bagi saya, ini perjuangan yang baharu. Saya mahu teruskan walaupun perit dan malu untuk keluar rumah tapi saya perlu lakukan kerana anak-anak saya,” ujarnya yang ditemui pada majlis ramah mesra dan tayangan perdana filem Dollah Superstar di Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Hasil perkahwinan Awie bersama Rozana, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6 dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

Thursday, September 25, 2014

Pengarah terkenal Jamil Sulong meninggal dunia

ALLAHYARHAM Jamil Sulong di sisi isterinya, Rosnani dalam satu majlis di Petaling Jaya pada tahun 2010.

Pengarah filem veteran terkenal, Datuk Jamil Sulong meninggal dunia akibat penyakit strok di kediaman anaknya di Kondominium Bukit Utama, Petaling Jaya, Selangor malam tadi. Menurut anak kedua Allahyarham, Dr. Anwardi, arwah ayahnya itu menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga pada pukul 9.35 malam tadi.

“Siang tadi arwah telah dibenarkan keluar hospital setelah sebulan mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Bagaimanapun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9.35 malam,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Jamil, 88, yang berasal dari Batu Pahat, Johor merupakan antara pengarah filem Melayu klasik popular selain Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Antara filem-filem arahannya ialah Si Tanggang, Lela Manja, Bidasari, Raja Bersiong dan Batu Belah Batu Bertangkup. Beliau berkahwin dengan Datuk Rosnani Jamil pada 12 November 1953 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Arjunaidi, Anwardi dan Asnadi. Jenazah akan dikebumikan hari ini selepas solat Jumaat di Janda Baik, Pahang.


Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2