NUFFNANG ADS

Tuesday, January 31, 2017

Asmidar makin popular di Indonesia


PENYANYI Asmidar mengakui bukan mudah menempatkan diri dalam bidang seni suara meskipun sudah lebih 15 tahun mencuba nasib.

Mungkin ramai tidak tahu, pelantun lagu Biar Sampai Ke Bintang ini pernah menyandang gelaran Naib Juara Bintang RTM (2001) di mana ketika itu dia bertanding bersama Azharina, Misha Omar, Sarah Raisudin dan Farawahida.

Walaupun agak lambat dikenali berbanding rakan-rakan seangkatannya itu, Asmidar atau namanya penuhnya, Norhasmidar Ahmad tidak sesekali putus asa mahupun usaha untuk membuktikan bakatnya sekali gus menyumbang sesuatu dalam bidang seni.

“Sebenarnya bukan saya seorang sahaja yang berada di dalam situasi ini, tetapi ramai juga rakan-rakan artis yang berdepan dengan cabaran seperti ini. Biarpun berbakat dan sudah lama berada dalam bidang seni namun nama masih belum begitu dikenali.

“Saya anggap masih belum rezeki untuk menyerlah sebagaimana orang lain namun itu tidak bererti akan berhenti berusaha untuk menonjolkan bakat sehingga dilihat dan diterima peminat,” katanya yang juga dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu asli dan tradisional.

Siapa sangka penyertaannya di dalam pertandingan nyanyian dangdut D’Academy Asia di Indonesia baru-baru ini membuka lembaran baru dalam kerjaya seninya apabila berjaya mencuri perhatian peminat di negara tersebut.

“Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka mendapat sedikit perhatian daripada peminat di sana walaupun tidak berjaya melangkah ke peringkat akhir.

“Pada mulanya ingatkan biasa-biasa sahaja, namun minggu demi minggu sokongan yang diberikan semakin kuat sehingga ada yang menubuhkan kelab peminat yang dikenali sebagai Asmidarling,” ujarnya yang berjaya menempatkan diri sehingga ke peringkat Top 12.

Biarpun tidak berjaya ke peringkat akhir, Asmidar mula mendapat pelbagai tawaran mengadakan persembahan di negara tersebut membuatkan penyanyi ini sering berulang-alik Kuala Lumpur-Jakarta.

“Jalan sudah ada, semestinya saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diperoleh dan cuba dengan sebaik mungkin untuk mengembangkan bakat.

“Ketika menyertai pertandingan tersebut, saya juga sempat bertemu dengan beberapa penerbit dan komposer dari sana yang menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama, sekali gus membantu menembusi pasaran Indonesia.

“Buat masa ini saya sedang menyusun beberapa perancangan sebagai persiapan untuk ke sana, selain bekal sokongan daripada peminat yang mengikuti perkembangan menerusi pertandingan D’Academy Asia, ” katanya lagi.

Ceburi bidang lakonan, pengacaraan

Melengkapkan perancangan itu juga, Asmidar kini dalam proses mencari syarikat pengurusan untuk membantu memudahkan perjalanan kerjaya seninya di sana.

“Selepas tidak lagi bersama Warner Music, saya cuba menguruskan kerjaya seni sendiri dalam usaha belajar selok-belok industri, namun untuk permulaan kerjaya di Indonesia ini, rasanya adalah lebih baik bergerak bersama syarikat pengurusan.

“Buat masa ini segalanya masih di peringkat perbincangan, namun berharap segalanya berjalan lancar dan kami dapat memulakan langkah dalam masa terdekat sementara sokongan peminat masih ada,” ujarnya.

Monday, January 23, 2017

Hanez Suraya fail permohonan cerai


PELAKON Hanez Suraya hari ini memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam terhadap suaminya Romie Razin Adilha Abd Rais.

Menurut portal tempatan, sumber berkongsi maklumat mengatakan pelakon berusia 32 tahun itu hanya diwakili oleh peguamnya di mahkamah pagi tadi.

Berita pergolakan rumah tangga Hanez atau nama penuhnya Hanez Suraya Abdul Aziz sudah lama menjadi perhatian umum bagaimanapun ia reda apabila pasangan tersebut sama-sama mencari jalan penyelesaian dengan bercuti ke luar negara baru-baru ini.

Namun begitu, percutian itu nyata gagal untuk menyelamatkan rumah tangga pelakon tersebut serta masih tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara ini.

Sementara itu, Hanez juga pernah menyuarakan hasrat untuk kembali aktif berlakon walaupun suaminya, Romie tidak memberi keizinan kepada beliau untuk kembali ke dunia seni.

Pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan pada 25 Mac 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Aleesya berusia 13 bulan.

Monday, November 28, 2016

Gagal ke final, Nora akan tuntut keadilan


PENYANYI yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema, Nora Ariffin tersingkir dalam saingan separuh akhir Gegar Vaganza musim ke-3 (GV3) Ahad lalu dengan memungut markah terendah iaitu 61.25 mata.

Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin mengejutkan ramai pihak apabila akhirnya memilih untuk mengalunkan lagu pilihan media, All I Ask nyanyian asal Adele pada minggu ketujuh program nyanyian tersebut yang dipancarkan secara langsung di Astro Ria dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Tiada rezeki untuk ke final. Bagaimanapun ini satu momen manis apabila dapat menyertai GV3. Saya mencari pengalaman dan pada masa sama mahu mencari rezeki.

“Saya terima andai rezeki di GV3 terhenti di sini disebabkan kelemahan atau kekurangan nyanyian menyebabkan pungutan markah saya rendah.

“Namun andai ia berlaku di atas kekeliruan atau kecaman yang saya terima, rasanya saya (akan) menuntut keadilan. Ia tidak adil, seolah-olah dianiaya dan di dalam keadaan ini, tiada pihak yang mempertahankan saya.

Namun, Nora turut berterima kasih atas apa sahaja yang berlaku.

“Apa pun saya berterima kasih atas apa sahaja yang berlaku dan pada persembahan tersebut, saya mengambil dua risiko. Saya berlatih nyanyi lagu sendiri dan Adele dalam masa dua hari saja.

“Jika peserta lain punya masa seminggu untuk melakukan latihan, saya pula hanya dua hari berlatih bersama-sama tekanan,” akui Nora yang turut mengakui pentas GV3 merupakan platform terbaik buat artis sepertinya untuk membuktikan kebolehan.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2