NUFFNANG ADS

Wednesday, October 12, 2011

Pian Cecupak Harus mohon maaf

IMBAS: AIDA menunjukkan kenyataan Pian yang mendakwa akan berkahwin dengannya.





“Saya beri Pian seminggu untuk memohon maaf kepada saya dan keluarga Aida, itu pun kalau dia ‘gentleman’ dan masih menganggap saya sebagai kawan baik,” kata bapa tiri model sambilan, Aida Hazira Ahmad Razman, 23, Datuk Mohd Rozi Md Jamil.

Itu nasihat dan tawaran diberikan Mohd Rozi kepada Mohd Rafiq Abdul Rahman, 41, atau Pian Cecupak selepas pelakon terbabit mengeluarkan kenyataan bakal mendirikan rumah tangga bersama Aida tanpa pengetahuan keluarga model itu.

Media semalam melaporkan model itu menafikan merancang mendirikan rumah tangga bersama Pian dan menganggap hubungan mereka hanya sebagai kawan, biarpun sebelum ini Pian pernah membantunya menguruskan rumah sewa dan mendapatkan beberapa peluang menjadi model.

Mohd Rozi ketika ditemui di sini, semalam kesal dengan tindakan Pian dan menganggapnya sebagai mencari publisiti murahan.

“Saya tidak akan menyaman Pian. Cuma saya mahu dia menyesali semua kesalahan dan memohon maaf kepada saya dan keluarga Aida baik secara terbuka atau melalui telefon,” katanya.

Menurut Mohd Rozi, dia mengenali Pian sejak 2008 selepas diperkenalkan seorang kawan dan pernah berurusan dengan Pian ketika menjadi pelakon pada 2008 dan 2009. Antara drama lakonan Mohd Rozi ialah Setulus Kasih Abah dan Cinta Kartika.

“Saya pernah menyelami dunia pelakon dan saya tahu usaha Pian ini mencari publisiti murahan. Kalau mahukan publisiti bukannya dengan mengaibkan orang tetapi dengan mengubah sikap.

“Walaupun Pian melakukan kesalahan, saya tidak berdendam, apa lagi mencari musuh, cuma saya mahu dia tampil memohon maaf,” katanya.

Tuesday, October 11, 2011

Tak ada tauliah, Bob Lokman ditahan

Bob Lokman.


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan telah menahan Bob Lokman kerana berceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat, malam kelmarin.

Pengarahnya, Marzuki Hussin berkata, siasatan awal mendapati bekas artis itu tidak mempunyai tauliah untuk menyampaikan ceramah di masjid atau surau di negeri ini dan tindakannya itu menyebabkan beliau ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor.

“Bob juga tidak pernah memohon tauliah daripada Jais,” katanya.

Penahanan itu, katanya, dibuat atas maklumat awam.

Difahamkan, ketika ditahan, penulis lirik lagu Isabella nyanyian kumpulan rock, Search itu baru selesai menyampaikan kuliah Maghrib kepada kira-kira 70 ahli jemaah masjid itu.

Bob yang nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, pada 19 Februari lalu menyerahkan borang menyertai Pas kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, di Alor Setar.

Beliau juga adalah cicit kepada ulama terkenal dari Kelantan, Muhammad Yusuf Ahmad yang lebih dikenali sebagai Tok Kenali. Bapa saudaranya, Mawardi Ahmad pernah menjadi Adun Pas Lundang, Kelantan selama beberapa penggal pada 1980-an.

Bob juga pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, beberapa tahun lalu.

Marzuki berkata, Jais tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan tauliah kepada individu yang ingin mengajar dan menyampaikan tazkirah atau ceramah di masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, ketetapan yang diterima pakai oleh Jais selaras dengan peruntukan undang-undang Islam di negeri ini, termasuk arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin selaku Ketua Agama Islam Negeri.

Bagaimanapun beliau menyatakan, pihaknya mengamalkan dasar terbuka untuk menerima pandangan semua pihak berhubung perkara itu termasuk perbincangan yang ingin diadakan oleh parti politik dengan Jais.

Sementara itu, Bob dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily berkaitan penahanannya, mempersoalkan mengapa Jais menahannya setelah menjadi baik, tidak ketika dia bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan dulu.

Selepas ditahan di Masjid Sungai Lui, Bob dikatakan dibawa ke Balai Polis Batu 18, Hulu Langat dan dibebaskan kemudiannya.

Penyanyi 60an Ahmad Jais meninggal dunia

Allahyarham Ahmad Jais.



KUALA LUMPUR – Penyanyi veteran Datuk Mohd Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais meninggal dunia di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) kira-kira pukul 9.20 pagi ini dipercayai akibat masalah paru-paru.

Allahyarham Ahmad Jais berusia 75 tahun.

Menantunya, Amirul Izwan Razak, 28, berkata jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam hari ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu “Selamat Hari Raya” dan “Budi Setahun Segunung Intan” yang dinyanyikan bersama Kartina Dahari itu dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak dua minggu lepas kerana kesukaran bernafas.

Allahyarham Ahmad Jais meninggalkan lima orang anak dan isterinya Mas Halilah Mas Nayeem telah meninggal dunia pada 22 Jun 2009.

Penyanyi yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar era 60-an mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 Sept lepas, tetapi sakitnya mula serius pada malam 20 Sept lepas sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Seksyen 20 di sini.

Allahyarham kemudian dipindahkan ke DEMC untuk rawatan lanjut.

Persembahan terakhir Allahyarham ialah pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 11 September lepas yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2