NUFFNANG ADS

Saturday, May 29, 2010

" Saya mohon maaf " - pelakon Rozita

Rozita bersama artis yang hadir pada Konsert Akhir AF8.


KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian pada malam itu,” kata pelakon jelita, Rozita Che Wan, mengulas kontroversi yang mencetus perdebatan dalam laman blog hiburan serta ruangan gosip di media cetak.

Justeru, dia berharap tidak perlulah semua pihak memperbesar atau mensensasikan isu terbabit.

“Saya tak nak komen banyak-banyak mengenainya,” katanya dalam kenyataan melalui SMS kepada Metro Ahad ketika diminta mengulas isu skirt pendek yang dipakainya ketika menghadiri Konsert Akhir Akademi Fantasia Kelapan (AF8).

Isu berkenaan mula tercetus apabila gambar Rozita bersama seorang lagi pelakon, Azza Elite, duduk dengan keadaan seksi disebabkan skirt dipakainya agak singkat, tersebar dalam beberapa blog hiburan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi, tambahan pula pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah, itu, menunaikan umrah baru-baru ini.

Ada yang mendakwa pakaiannya dengan skirt pendek paras atas lutut hingga menampakkan paha putihnya itu dan Azza Elite yang juga berskirt singkat amat tidak sesuai kerana konsert berkenaan dihadiri ramai remaja.

Mengenai isu berkenaan yang sengaja disensasikan, terutama di blog hiburan, Rozita berkata, ia hak sesiapa untuk menulis apa yang mereka mahu.

Menurutnya, dia juga bukan sengaja mahu menunjukkan pakaiannya pada malam itu, apatah lagi untuk dirakamkan gambarnya untuk tontonan umum, terutama di Internet. “Ketika jurugambar nak ambil gambar saya malam tu, saya dah tanya, nampak peha tak? Dia jawab close-up saja...tak sangka pula jadi macam ini, apapun saya minta maaf di atas ketelanjuran saya berpakaian.

“Saya tahu ramai (wartawan) yang cari saya untuk minta komen mengenai isu itu. Saya malas nak cakap apa-apa lagi...lagi pun benda tak elok tidak payah nak diperbesarkan,” katanya.

Rozita yang kerap dikaitkan dengan orang kenamaan mengumumkan dia bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang pemuda yang kini berkhidmat di sektor perbankan di Singapura.

Ibu kepada dua anak, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, bakal berhenti daripada lakonan kerana mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan dan anak.

Difahamkan, pelakon itu menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah sekali lagi pada Ramadan nanti.

Thursday, May 27, 2010

Perbicaraan kes Ameng Spring 17 dan 18 Jun

FOTO: BEKAS penyanyi kumpulan OAG, Radzi melambaikan tangan kepada jurugambar sebaik keluar dari kamar mahkamah berhubung perbicaraan kes perceraiannya di Mahkamah Syariah Petaling jaya.


KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan tarikh perbicaraan yang membabitkan penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng terhadap tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, pada 17 dan 18 Jun ini.

Majistret Zaki Asyraf Zubir, menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada peguam Kamarulzaman Abdul Rahman yang mewakili Ameng.

Nurul Ashiqin juga memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mengemukakan empat orang saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Pada 12 Mei lalu, Ameng, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 3.45 petang, 2 April lalu.

Beliau diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin bagi tuduhan itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu "Bourgenvilla" dan "Sampai Hati" itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan. - Bernama

Monday, May 24, 2010

Pengarah Filem Diugut




KUALA LUMPUR: “Disebabkan filem you (awak), business I (saya) kacau...I akan perhatikan you.” Demikian amaran ringkas yang diterima pengarah filem Chukang, Shuhaimi Lua Abdullah, dipercayai dihantar pengusaha rumah urut lelaki bernafsu songsang selepas filem pendek mengenai kehidupan tukang urut gay didedahkannya.

Panggilan menggunakan telefon awam terbabit diterima Shuhaimi, 35, Sabtu lalu, dua hari selepas diekori sebuah Perodua Kancil ketika dalam perjalanan pulang dari lokasi penggambaran filem Tolong! Awek Aku Pontianak di kawasan perumahannya di Taman Sri Rampai, Setapak di sini.

Ugutan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan filem Chukang arahannya yang mendapat liputan meluas akhbar termasuk di Youtube, baru-baru ini, sebelum diikuti laporan media mengenai operasi besar-besaran pihak berkuasa terhadap rumah urut gay di Kajang.

Shuhaimi berkata, pada Khamis lalu, dia menyedari diekori sebuah kereta dalam perjalanan pulang ke rumahnya kira-kira jam 3 pagi.

“Bimbang sesuatu yang tidak baik, saya tidak terus memberhentikan kereta di rumah sebaliknya membuat tiga pusingan di kawasan taman perumahan dan meletakkan kenderaan di sekolah berhampiran.

“Saya dapat melihat kelibat dua lelaki dengan seorang daripada mereka bertubuh gemuk manakala seorang lagi berambut panjang memerhatikan saya sebelum beredar. Mulanya, saya sangka mereka mahu merompak tetapi lega apabila mereka terus menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Bagaimanapun, Shuhaimi mula menyedari filem sulungnya mempunyai kaitan dengan kejadian itu selepas dihubungi lelaki memperkenalkan diri sebagai Man, Selasa lalu memberitahu perniagaannya lingkup disebabkan Chukang.

“Malam kelmarin ada orang membaling batu ke arah tingkap rumah kira-kira jam 4 pagi dan saya dapat melihat mereka melarikan diri menggunakan motosikal.

“Kejadian itu menyebabkan saya ketakutan dan agak fobia kerana saya tidak sangka ada pihak tertentu berniat buruk sedangkan filem pendek saya itu memaparkan realiti rumah urut gay dan tidak ada kena-mengena dengan operasi pihak berkuasa,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini, kelmarin.

Shuhaimi berkata, dia agak lega kerana hanya dia seorang menjadi sasaran ugutan.

“Apa yang saya paparkan berdasarkan kisah benar, namun perkara di luar jangkaan berlaku tetapi saya anggap ia sebagai cabaran, bukan penghalang untuk terus berkarya.

“Kepada sesiapa yang berkenaan, tolong jangan ganggu saya kerana apa dipaparkan adalah kisah di sebalik rumah urut gay, bukan secara khusus tempat tertentu,” katanya.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2