NUFFNANG ADS

Monday, June 20, 2016

Ellysha Sandha ikuti jejak kakak


MENGAKUI dirinya masih hijau dalam bidang seni, adik bongsu kepada aktres terkenal, Fasha Sandha memberitahu, dia tidak menyangka diberi ruang berlakon bersama kakaknya menerusi filem Anak Mami Nasi Kandar.

Dikenali sebagai Ellysha Sandha, dia sebenarnya gementar sepentas dengan Fasha.

“Kakak seorang yang tegas di rumah, jadi saya sangat bimbang jika sikapnya itu berterusan di set penggambaran.

“Lagipun saya tahu dia sangat profesional berkaitan kerja dan tidak akan membiarkan perkara remeh mengganggu perjalanan kerjanya,” kata pelakon berusia 17 tahun ini.

Ujar Ellysha, sehari sebelum penggambaran filem sentuhan pengarah, Profesor Datuk A Razak Mohaideen itu, dia sempat mengadu dengan mamanya berkenaan perkara itu.

“Saya ceritakan pada mama perasaan takut berlakon dengan kakak. Sementelah ini kali pertama saya bekerja bersamanya.

“Bagaimanapun, ketika di set penggambaran, semuanya berubah dan kakak sangat banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya,” katanya memainkan peranan sebagai Fifi menerusi filem itu.

Bercerita lanjut, katanya, tidak sukar menjadi Fifi kerana karakter tersebut tidak terlalu serius.

“Fifi seorang adik yang suka menyampaikan apa sahaja cerita mengenai kakak-kakaknya kepada ayah mereka.

“Saya hanya perlu menjadi adik yang ceria dan seperti menyibuk sahaja,” katanya sering mengikut Fasha ke lokasi penggambaran sebelum ini.

Dalam pada itu, Ellysha mengakui kekangan masa sebagai pelajar membuatkan dia terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan.

“Tahun ini saya akan mengambil SPM, jadi saya perlu fokus kepada pelajaran terlebih dahulu. Mama juga mahu saya beri keutamaan kepada pelajaran,” katanya pernah muncul menerusi dua filem iaitu Perjanjian Syaitan dan Cendol.

Selain Ellysha, Anak Mami Nasi Kandar turut dibintangi Qi Razali, Fasha Sandha, Maria Farida, Chik Pak Man Telo, Sheila Mambo, Ezzaty Abdullah dan Amylia Nastasha Aziz.

Filem terbitan FiTA Studios itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara Syawal ini.(SH)


No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2