NUFFNANG ADS

Tuesday, February 1, 2011

Setelah mengharungi dugaan, Milah tebus kejayaan

KEMUNCULAN album keduanya ini dijangka mampu mengangkat bakat nyanyian Mila ke tahap yang lebih tinggi.



SEPANJANG empat tahun bergelar pengisi di daerah seni, banyak pengalaman waima bercorak hitam atau putih telah dijalani oleh Mila. Dengan fizikal kecil molek, siapa sangka, bekas juara sulung wanita Akademi Fantasia 5 (AF5) itu terus berjalan tanpa henti sambil menjunjung ambisi.

Dengan kesendirian Mila berlayar di lautan hiburan penuh cabaran, rupa-rupanya, dia dalam diam pernah berdepan sedikit kesulitan dalam tempoh itu. Namun, berkat kebijaksanaan diri merencana untuk masa depan, setiap yang singgah di laluan depannya berjaya ditempuhi.

"Saya pernah berdepan sedikit masalah sekitar tahun 2009. Waktu itu, ekonomi agak bermasalah. Ia menyebabkan saya terasa bahangnya tambahan pula tawaran persembahan nyanyian ada yang dibatalkan pada saat akhir hingga kehidupan saya jadi agak mencabar.

"Begitupun, saya mengucap kesyukuran kerana berjaya mengharungi kesukaran ini selepas mengamal sikap menabung. Ini semua atas jasa keluarga yang selalu mengingatkan saya agar menyimpan wang dan tidak boros berbelanja dengan pendapatan diperoleh.

"Sudah menjadi lumrah, kalau dapat duit buat pertunjukan pentas, saya akan bayar segala yang perlu didahulukan. Kemudian, selebihnya barulah saya akan simpan," jelas Mila ketika ditemui pada pelancaran album keduanya yang berjudul Mila Jirin di ibu negara baru-baru ini.

Dalam tempoh empat tahun itu juga, akui penama lengkap Noorsyarmilla Jirin, banyak transisi ketara dapat disaksikan pada diri. Selain perubahan daripada orang biasa yang kini namanya mengharum di laman seni, dia juga mengaku bisnes serba glamor diceburinya banyak memberi pintu rezeki.

"Selepas menyertai dunia nyanyian, ia dilihat pantas mengubah kehidupan saya dan keluarga. Tidak terkecuali, saya mempelajari pelbagai benda dan pengalaman baru termasuk sedar setiap asam garam yang perlu dihadapi berada dalam kelompok ini.

"Industri ini diibaratkan bola. Ada waktu kita berada di atas dan ada masanya di bawah. Lantaran itu, saya kena sentiasa bersiap sedia untuk mempersiapkan diri mengharungi keadaan tertentu," tutur Mila yang bahagia dengan kelancaran kariernya pada tahun 2010.

Berkongsi cerita tentang atmosfera bekas graduan AF semakin ramai lenyap begitu sahaja termasuk juara lain, wanita berusia 24 tahun ini berpendapat, apa jua yang berlaku, ia berbekalkan usaha keras setiap individu. Tiada sesiapa harus dipersalahkan dalam hal ini.

Monday, January 31, 2011

The Kerinting Three hangatkan Suria FM

GANDINGAN Zizi, (kiri) Halim, dan Shiera kini dikenali sebagai The Kerinting Three.



SEGMEN pagi Suria FM iaitu Breakfast@Suria yang sebelum ini menggandingkan Halim Othman dan Zizi kini diceriakan lagi dengan seorang lagi penyampai iaitu Sharifah Shahira (Shiera).

Idea menggandingkan tiga penyampai radio pada segmen pagi dianggap suatu trend masa kini dan bukannya meniru stesen-stesen lain.

Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusry Abu Samah berkata pemilihan aktres wanita popular itu untuk mengemudi segmen Breakfast@Suria pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5 hingga 10 pagi bermula semalam diharapkan dapat menjadikan stesen radio itu lebih versatil.

“Kami memilih Shiera berdasarkan undian yang dilakukan kepada pendengar. Selain itu kami menetapkan untuk memilih penyampai baru dari latar belakang selebriti setelah meneliti kajian dari semua rangkaian stesen radio yang kebanyakannya memilih golongan selebriti sebagai penyampai.

“Kami juga merasakan idea ini mampu memberikan suasana ceria kepada pendengar dan membantu mengekalkan kesetiaan mereka untuk mendengar segmen seterusnya,” katanya pada sidang akhbar pengumuman Shiera sebagai anggota baru Suria FM di Studio V, One Utama sekali gus membubarkan segmen pagi yang dikemudi dua jejaka yang menggelarkan diri mereka The Kerinting Bro sebelum ini.

Tambahnya, stesen radio dengan tagline, Muzik Terbaik 90-an Dan Terbaru itu menggandingkan tiga penyampai itu untuk seimbangkan dari segi jantina penyampai segmen itu yang sebelum ini kedua-duanya lelaki.

“Jadi, sebab itu kita mencari ‘sekuntum bunga’. Lagipun pendengar kita terdiri daripada lelaki dan wanita.

“Shiera juga dilihat seorang yang versatil dan mempunyai disiplin yang bagus, gelaran (kerinting) itu diteruskan memandangkan rambut ketiga-tiga mereka kerinting,” ujarnya lagi mengenai gandingan Halim, Zizi dan Shiera yang kini dikenali sebagai The Kerinting Three.

Halim dan Zizi dalam pada itu ternyata memberikan reaksi yang positif sekali gus mengalu-alukan kehadiran Shiera untuk bergandingan dengan mereka.

Doakan kebahagiaan saya - Tomok



JENAMA Tomok kini semakin kukuh, malah sejak menjuarai program One In A Million (OIAM) musim ketiga Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail berjaya mengumpul ramai peminat yang baru.

Namun, sedang namanya menghampiri puncak timbul pula desas-desus yang mendakwa penyanyi berusia 27 tahun bakal mengakhiri zaman bujangnya pada bulan Julai depan dengan seorang pramugari berusia 31 tahun.

Benar atau tidak berita itu, jawapannya hanya ada pada Tomok. Tidak mengelak saat diajukan soalan berkisar tentang perkahwinan, Tomok mengaku dia akan bergelar seorang suami dalam tahun ini juga.

"Insya-Allah sekarang tengah proses ke arah itu (perkahwinan). Memang akan berlangsung dalam tahun ini tetapi masih belum dapat disahkan lagi tarikh yang sebenar. Harap semua orang dapat doakan yang terbaik supaya semuanya berjalan lancar," ujarnya.

Meskipun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai kekasihnya yang hanya dikenali sebagai Ayu itu, Tomok menjelaskan keputusan untuk berkahwin dibuat setelah melalui proses mengenali hati budi dalam tempoh yang agak lama.

"Kami sudah kenal dan bercinta selama lapan tahun, rasanya tempoh itu cukup untuk saya mengenalinya tetapi buat masa ini dia belum bersedia untuk diperkenalkan kepada peminat.

"Bila sampai masanya saya akan beritahu kepada semua orang dan tidak akan rahsiakannya," tuturnya.

Walaupun kerjayanya sedang meningkat naik, Tomok merasakan tiada salahnya jika dia mahu menamatkan zaman bujang kerana percaya peminat kini lebih bersikap terbuka.

"Saya tidak rasa kalau kahwin saham akan turun kerana rezeki tidak terikat kepada status diri sebaliknya produk berkualiti yang dikeluarkan.

"Peminat sekarang lebih bijak menilai dan bersikap terbuka, saya rasa perkahwinan bukan satu masalah untuk kerjaya saya sebagai artis kerana perkahwinan itu satu perkara yang baik. Umur saya pun bukannya muda lagi, lihat sahaja Faizal Tahir, dia tetap diminati meskipun telah berkahwin," luahnya.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2