DATUK M.DAUD KILAU (kanan) bersama peserta yang memilihnya sebagai ikon, Ashraf juga memberikan persembahan yang bertenaga.
Program realiti yang disatukan melalui dua kategori iaitu Mirip Suara Ikon dan Muka Iras Artis menyaksikan dua anak jati negeri Di Bawah Bayu, Sabah telah mengungguli program yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri itu.
Peserta termuda TLTBSS ( Tiada Lama Tiada Baharu Satu-Satunya), Hadi, 18, dari Kota Kinabalu, Sabah membolot hadiah utama apabila merangkul anugerah Penuntut Terbaik yang turut membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Proton Persona berserta wang tunai berjumlah RM10,000.
Program realiti televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Tiada Lama Tiada Baharu Satu-Satunya (TLTBSS) yang berakhir baru-baru ini menyaksikan kehebatan ramai wajah baharu kelahiran RTM yang bakal mewarnai dunia hiburan.
Hadi atau nama sebenarnya Hadi Jaidi pada malam itu yang ditemani ikon beliau, Mas Idayu, bersyukur kerana berpeluang dididik oleh penyanyi dangdut itu sambil menjelaskan bahawa kemenangannya itu turut didorong oleh usaha keras ikonnya dalam memberikan tunjuk ajar.
“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada Mami (Mas Idayu). Walaupun Mami garang tetapi tetap bersyukur kerana cara itu dapat mendisiplinkan saya,” katanya.
Hadi yang masih tidak membuat apa-apa perancangan selepas berakhirnya TLTBSS bagaimanapun merancang untuk terus menetap di Kuala Lumpur untuk meneruskan impiannya sebagai anak seni.
“Saya akan terus menetap di KL (Kuala Lumpur) kerana peluang terbuka luas untuk saya di sini. Saya perlu menetap di sini untuk mencapai impian,” ujarnya tanpa kelihatan gementar di hadapan wartawan.
Selain membawa pulang wang tunai dan sebuah kereta, Hadi turut membawa pulang hadiah iringan berupa trofi, iPad dan hadiah iringan lain.
HADI yang memilih Mas Idayu sebagai ikon muncul juara Tiada Lama Tiada Baharu Satu-Satunya (TLTBSS).
Sementara itu, Masri Koyoi, 38, yang mempunyai wajah persis penyanyi lagu Percaya, Mus May, menggondol anugerah Muka Iras Artis. Dia yang tidak menjangkakan kemenangan itu turut bersyukur kerana usaha kerasnya ketika masih di kampung halamannya di Kudat, Sabah kini menjadi kenyataan di Kuala Lumpur.
“Usaha keras saya sejak sekian lama berbaloi juga pada hari ini. Saya sudah berusaha pelbagai cara untuk tampil diterima sebagai seorang penyanyi ketika di Kudat lagi. Kini ia menjadi kenyataan di sini (Kuala Lumpur).
“Di kampung ramai rakan yang memberitahu bahawa muka saya mempunyai iras Mus May. Apabila mengetahui mengenai program ini saya terus menyertainya kerana saya melihat peluang untuk terus menonjol,” kata Masri yang turut menyimpan impian untuk bertemu Mus May.
No comments:
Post a Comment