NUFFNANG ADS

Thursday, February 9, 2012

On Air rancangan realiti Astro Ria



Memandangkan sudah terlalu banyak pelbagai rancangan realiti televisyen yang menjadi santapan penonton, maka pihak Astro telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah program untuk mencungkil bakat dalam bidang pengacaraan.

Diterbitkah khusus untuk saluran Astro Ria, dikenali dengan judul On Air, ia adalah sebuah rancangan mencari bakat baharu sebagai seorang pengacara yang bukan hanya terhad kepada televisyen, seluruh entiti industri penyiaran termasuk radio.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, biarpun rancangan tersebut baru pertama kali diperkenalkan, tetapi ia telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

“Sebelum ini kami sudah mengadakan sesi uji bakat di tiga buah lokasi iaitu di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak. Kehadiran orang ramai untuk mencuba nasib menyertai rancangan On Air ini sangat memberangsangkan.

“Apa yang menariknya rancangan ini mendapat sambutan yang baik daripada bukan Melayu, terutamanya kaum Cina dan India yang turut tidak ketinggalan untuk sama-sama hadir pada uji bakat yang diadakan,” ujarnya ketika ditemui pada sesi uji bakat yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Raqim, peserta yang terpilih hingga ke peringkat akhir akan menjalani kursus melalui silibus yang ditentukan untuk memantapkan lagi pengetahuan dalam pelbagai genre pengacaraan.

Jelasnya, dalam tempoh 10 minggu para peserta akan diberi tunjuk ajar, pendedahan serta tugasan tertentu yang berlandaskan format televisyen iaitu berita, majalah dan hiburan.

“Biarpun matlamat utama rancangan On Air adalah untuk mencari perintis dalam dunia pengacaraan, namun sasaran kami bukanlah sekadar untuk melahirkan seorang pengacara semata-mata.

“Pada masa yang sama, para peserta yang terpilih ini akan turut dilatih dengan kerja-kerja di belakang tabir supaya kami dapat membentuk pengacara yang serba boleh dan tidak terlampau mengejar glamor,” ujarnya.

Merupakan rancangan yang julung-julung kalinya diadakan oleh Astro, On Air turut menampilkan dua orang ikon dalam bidang pengacaraan iaitu Aznil Nawawi dan Suhaimi Sulaiman.

Selain itu, kedua-duanya turut dibantu oleh beberapa orang pengacara terkenal lain sewaktu sesi uji bakat seperti Datin Normala Samsudin, Dang Suria, Sarimah Ibrahim dan Wan Zaleha Radzi.

Sudah memulakan siaran pada 1 Februari lalu, ia akan disiarkan pada pukul 9 malam setiap hari Rabu di saluran Astro Ria sebanyak enam episod yang mengimbas kembali rakaman semasa sesi uji bakat sehinggalah pemilihan 14 orang peserta.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2