NUFFNANG ADS

Wednesday, February 1, 2012

Tymer: Kami tiada hubungan cinta - Jamal



Nyata terpancar kerisauan di wajah penyanyi pujaan ramai Jamal Abdillah sekiranya menjadi bahan gosip di media massa apabila dia bakal sering dilihat bersama seorang gadis manis.

Justeru sebelum sesuatu gosip yang kurang enak timbul, Jamal cepat-cepat membuat penjelasan.

Katanya, gadis bernama Tymer itu merupakan seorang pemain saksafon yang kini mengiringi persembahannya termasuk program Mutiara Kasih yang bakal berlangsung di JB Expo, The Zone Regency Hotel Johor Bahru, 12 Februari ini.

Menurut Jamal, sebelum ini seorang pemuzik lelaki sering menjayakan persembahan bersamanya tetapi disebabkan kekangan kerja, dia terpaksa menggunakan khidmat Tymer.

"Tymer merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dia boleh main saksafon dan keyboard. Saya sebenarnya mula guna khidmat dia sewaktu konsert di Ipoh, baru-baru ini.

"Malah dia juga akan muncul membuat persembahan bersama saya dalam salah satu segmen untuk program Mutiara Kasih yang akan saya jayakan pertengahan bulan ini," jelasnya.

Tegas Jamal, dia perlu membuat penjelasan mengenai dirinya dengan Tymer kerana tidak mahu dibebani dengan gosip cinta yang hanya akan memeningkan kepala.

"Wayang pun saya malas hendak menonton kerana tidak mahu memeningkan kepala, inikan pula kalau diri dijadikan bahan gosip," tambahnya.

Kerana itu tegas Jamal, awal-awal lagi dia sudah memberi amaran agar tiada yang akan menggosipkan dirinya dengan Tymer.

Lebih-lebih lagi katanya, tahun ini dia mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada kerjaya dengan imej bersih.

"Alhamdulillah, semenjak kebelakangan ini rezeki saya sentiasa ada. Sebab itu saya kena bekerja keras untuk memastikan penampilan saya setiap kali persembahan tidak membosankan.

"Macam program Mutiara Kasih ini, bagi saya merupakan satu projek skala besar. Jarang saya mendapat peluang begini.

"Di luar Kuala Lumpur, mungkin orang jarang menonton persembahan saya, bolehlah saya bawa konsep Kuala Lumpur ke sana. Kalau untuk di ibu kota yang saya perlu memikirkan konsep baru," katanya.

Pada persembahan di Johor Bahru nanti, Jamal akan mendendangkan kira-kira 28 lagu termasuk lagu-lagu medley Tan Sri P.Ramlee seperti Tidurlah Permaisuri, Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang, Tunggu Sekejap dan Jeritan Batinku yang akan diiringi oleh Tymer. Jamal sendiri akan bermain gitar.

Jamal yang sudah 33 tahun dalam bidang seni berkata, sempena program anjuran SNZ Event Management bersama A & A World Vacation, satu majlis gotong royong turut diadakan sehari sebelum malam persembahan.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2