NUFFNANG ADS

Saturday, May 12, 2012

Kesibukan karier, bukan alasan Rozita abaikan anak

Rozita Che Wan bersama anaknya Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14.




Nama Rozita Che Wan antara selebriti tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia. Bukan sahaja terkenal dengan kejelitaan, tetapi peranan ibu kepada dua anak remaja tidak pernah sesekali diabaikan.

Wanita berstatus ibu tunggal ini juga turut dikenali kerana lakonan mantapnya dalam beberapa drama hebat seperti Kiah Perkasam, Sesuci Cinta Sofia, Anissa, Iparku Diva dan Goyang Syafiq.

Malah, biarpun ramai pelakon pelapis membanjiri industri, Rozita masih mempunyai tempat dan populariti tersendiri. Nyata, ibu kepada Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14, ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Semakin sibuk dengan kerjaya, aktres yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini mengakui bersyukur kerana masih diterima dalam dunia seni tanah air.

Jelas wanita yang usianya telah pun menginjak ke angka 41 tahun ini, rezeki yang diterima tidak pernah putus sejak bergelar pelakon.

“Alhamdulillah, saya selesa dengan kehidupan kini, saya tidak mempunyai masalah untuk menguruskan kehidupan dan membesarkan anak-anak. Yang penting makan dan minum mereka sentiasa ada.

“Sekarang pun, baru sahaja habis satu penggambaran, sudah ada tawaran lain yang menanti. Bagaimanapun, selain berlakon saya juga tidak lupa memberikan tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan. Harapan saya, keduanya mampu berjalan dengan seimbang,” ujarnya.

Berbicara mengenai karier dan anak, Rozita menegaskan, komitmen yang diberikan kepada karier bukanlah alasan dia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

Jelas aktres popular ini, anak tetap menjadi keutamaan dalam kehidupannya.

“Saya telah berkecimpung dalam bidang seni agak lama, malah sejak kecil anak telah biasa dengan kerjaya saya. Jadi, faktor tanggungjawab tidak pernah timbul.

“Sepanjang membesarkan mereka saya sentiasa memberikan yang terbaik, saya mahu mereka tahu saya sentiasa menyayangi mereka.

“Doa saya, hubungan dengan anak-anak kekal mesra, lagi pun setakat ini saya tidak pernah ada masalah dengan mereka,” katanya.

Diusik dengan pertanyaan adakah dia masih mempunyai waktu untuk bersama anak, jelas Rozita kesibukan bekerja tidak pernah membatas waktu untuk bersama anaknya.

“Memang saya sibuk dengan pelbagai penggambaran drama dan acara-acara lain. Bagaimanapun, saya masih berkesempatan berjumpa mereka.

“Selalunya, habis sahaja penggambaran saya akan terus pulang ke rumah. Jadi dapatlah saya meluangkan masa dengan mereka.

“Bila ada masa terluang atau cuti panjang, saya akan membawa makan malam selain bermain boling,” katanya.

Jelasnya juga, dia turut mengamalkan menyuap makanan kepada anak-anak untuk mengeratkan hubungan mereka.

“Anak saya memang macam tu, walaupun sudah berusia belasan tahun tetapi mereka tetap mahu disuapkan. Kalau tak suap nanti merajuk pula,” katanya mesra.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2