NUFFNANG ADS

Saturday, September 14, 2013

Nabila Huda terbabit dalam kemalangan

Mengenang insiden kemalangan jalan raya pada Ahad lalu, kelopak mata Nabila Huda Suhaimi pantas digenangi air mata. Ingatannya segera menerpa pada pukul 3.30 petang bertarikh 8 September lalu. Ditahan-tahan suaranya. Namun, dia tidak lokek berkongsi keadaan sebenar.

Seingatnya, dia terlelap dalam perjalanan pulang tatkala kenderaannya melintasi Kilometer 71 Lebuh Raya Pantai Timur arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur. Sewaktu matanya terbuka, dia nampak buah hatinya, Keisha Laila sedang lelap di belakang. Dia menoleh ke depan semula, selepas melihat aktor Syazwan Zulkifly memandu tenang di sebelahnya dalam keadaan hujan lebat sehingga pandangan menjadi kabur.

Tidak sampai beberapa saat, kenderaan jenis Mitsubishi Triton milik Syazwan melelong lantaran jalan licin sebelum terbalik beberapa kali dan berhenti. Dalam keadaan pening, Nabila menoleh ke belakang, mencari Keisha yang hilang daripada pandangan. Dia menjerit-jerit nama puterinya itu seraya menyuruh Syazwan keluar dari tingkap kereta yang sudah mengiring. Kaca bertaburan di sana sini.

Syazwan menyelinap dari tingkap dan gagal mengesan Keisha, Nabila bergegas naik tanpa selipar. Kakinya seakan-akan tidak terasa bahawa dia sebenarnya sudah memijak kaca yang bertaburan. Matanya terpandang ke arah tubuh Keisha di atas jalan, beberapa meter di belakangnya. Keisha sedang cuba bangun daripada pembaringan dalam hujan yang masih lebat.

Berlarilah ibu ke arah anaknya. Memeluk Keisha yang basah kuyup lantas bertanya "Keisha OK?" Anak kecil yang ternyata masih bingung itu merengek menyatakan dia OK namun anak kecil itu masih terasa sakit.

Itu momen yang jelas di mata Nabila ketika dia merangkul Keisha dalam kebasahan dan anaknya masih tabah untuk cuba bangun ketika dia terbaring selepas tercampak keluar dari kereta.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Bentong, Pahang atas jasa baik sebuah famili yang kebetulan melalui lebuh raya yang sama.

"Semasa di hospital, saya tenangkan Keisha. Dia seperti dalam kebingungan. Saya pujuk dia supaya tidak menangis kerana dia anak yang tabah. Dia menurut kata saya. Namun ketika dia mendengar jeritan saya semasa luka di kaki saya sedang dicuci, dia berteriak. Dia tahu saya berada dalam kesakitan. Dia seperti turut merasainya. Itulah Keisha, permata hati saya," air mata Nabila Huda bergenang mengingatkan anak yang ketika ini berada dalam jagaan bekas suaminya.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2