SEJAK pulang daripada mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini, penyanyi Siti Sarah Raisuddin dilihat ayu dengan penampilan bertudung.
Berpeluang bertemu empat mata dengan penyanyi ini, Sinar Harian mengajukan soalan adakah imej terbaharu Sarah ibarat memberi signal sudah bersedia untuk kekal bertudung?
Penyanyi popular menerusi lagu Kesetiaan itu bagaimanapun hanya membalas dengan jawapan yang ringkas.
“Doakan yang baik-baik, Dia yang mendorong saya untuk tampil seperti ini,” tuturnya sambil tersenyum.
Untuk makluman, sejak beberapa tahun lalu penyanyi ini turut mengenakan tudung sebagai tanda menghormati kemuliaan bulan Ramadan.
Figura berusia 34 tahun ini ditemui ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran LOL Entertainment dan Indigital di Hotel Royal, Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan karier seninya, Sarah baru sahaja melancarkan lagu terbaharunya selepas lapan tahun lagu Bersamamu dikeluarkan. Lagu terbaharu Sarah berjudul Semakin.
Sarah berharap semoga yang terbaik untuk hadiah yang telah lama dinantikan oleh pengikut setianya.
“Sudah tentu saya berdebar menantikan apakah reaksi peminat terhadap lagu baru ini. Sudah lama tidak hadir dengan naskhah baharu. Setakat ini rata-ratanya positif.
"Saya gembira dengan perkembangan tersebut. Terima kasih buat semua yang menyokong,” ujarnya yang bakal mengadakan sebuah konsert mini pada bulan Julai depan.
Raya ala-Arab
Tentang persiapan raya yang bakal menjelang tiba, Sarah memaklumkan dia dan suami tidak sempat membuat sebarang persiapan lagi kerana berdepan dengan jadual yang padat.
“Jadual kerja saya memang agak padat sehingga sehari sebelum berlepas ke tanah suci pun saya masih terlibat dengan persembahan untuk DFKL 2018.
“Habis kerja sahaja, saya dan suami pada malam itu juga terus pergi ke lapangan terbang. Jadi belum sempat untuk luangkan masa beli pakaian raya.
“Tetapi ketika berada di sana (Makkah) saya ada juga beli jubah, mungkin raya tahun ini bertemakan Arablah,” katanya.