NUFFNANG ADS

Sunday, March 31, 2013

Fazurina dinikahkan semula

Siti Fazurina dan suami

Selepas tiga bulan menjadi suami isteri, pelakon Siti Fazurina dan suaminya, Muhammad Hykal Zulkifli, 32, bernikah kali kedua apabila pernikahan pertama mereka dikatakan tidak sah.

Melalui kenyataan ibu Fazurina, Zuraidah Abu Bakar, pihak mahkamah mendapati perkahwinan Fazurina sebelum ini tidak sah kerana telah memberi maklumat palsu.

"Perkahwinan keduanya berjalan dengan sempurna berwalikan adik kandung sendiri berbanding bapa saudaranya sebelum ini.

"Bahkan, Fazurina memberitahu bahawa dia adalah anak tunggal selain menggunakan bapa saudaranya sebagai wali sedangkan maklumat tersebut adalah palsu," kata Zuraidah.

Bagaimanapun, Zuraidah menegaskan dia belum terfikir untuk memaafkan kesilapan Fazurina yang membelakangi keluarganya untuk mengahwini lelaki pilihannya itu.

Friday, March 29, 2013

Irma Hasmie, Ayu Raudhah timang anak sulung


Pelakon Ayu Raudhah Che Wan, 28, telah selamat melahirkan anak lelaki sulungnya pada pukul 2.17 petang semalam di Hospital Columbia, Johor Bahru. Menurut suami kepada pelakon itu, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, 26, yang juga pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim, isterinya telah melahirkan bayi seberat 2.79 kilogram dalam keadaan normal. “Saya sangat bersyukur semuanya berjalan lancar dan selamat. Tiada apa yang saya harapkan selain isteri dan anak saya sihat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, perasaannya bercampur antara gembira dan berdebar menanti kelahiran bayi sulungnya. “Isteri saya mengadu sakit-sakit dan telah masuk ke hospital pada pukul 11 malam semalam (kelmarin). Sebenarnya memang tarikh 29 Mac dijangka oleh doktor untuk isteri saya melahirkan anak,” ujarnya yang turut ditemani keluarga terdekat ketika berada di hospital tersebut.

Bagaimanapun, Zaquan menjelaskan, dia dan Ayu masih belum memutuskan nama yang ingin diberikan. Ayu Raudhah, adik kepada pelakon Rozita Che Wan dan Zaquan Adha mendirikan rumah tangga pada 20 Januari 2011. Ayu pernah mengalami keguguran ketika usia kandungannya enam minggu dua tahun lalu.

Thursday, March 28, 2013

Raja Ema kembali menyanyi


Sebagai penghias muka hadapan majalah Nona keluaran akhir tahun lalu, nama pelakon dan penyanyi popular di era 80-an, Raja Ema kini dilihat kembali menyerlah.

Bukan sahaja teruja dengan kemunculannya dalam bidang lakonan, malah penampilan wajah terbaru yang lebih segar turut menjadi perhatian umum.

Terbaru, empunya diri memberitahu dia bakal tampil dengan single terbaru dalam masa yang terdekat.

"Memang saya ada hasrat untuk tampil dengan lagu baru tapi tidak sangka ianya bakal menjadi kenyataan.

"Single terbaru ini masih lagi dalam proses perbincangan dan Insya-ALLAH lagu tersebut akan dirakamkan pada akhir April ini.

"Setelah single ini siap sepenuhnya, ia akan dimuatkan dalam sebuah album yang mengandungi beberapa lagu popular saya sebelum ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama slot Samarinda, Epilog Cinta Khirana di Cathay Cineplex, e@Curve, Selasa lalu.

Mengulas lanjut mengenai comeback tersebut, penyanyi yang terkenal dengan lagu Jejaka Idaman ini memberitahu, lagu baru itu mungkin tidak lari daripada genre lagu-lagu yang terdahulu.

"Seperti orang lain tahu, saya memiliki lontaran suara agak sederhana dan saya akui lagu-lagu pernah saya nyanyikan dahulu lebih kepada rentak yang catchy,"katanya.
Terharu dengan sokongan peminat

Menyentuh mengenai karier lakonannya, Raja Ema memberitahu pada awalnya dia hanya merancang dan mahu menjadikan bidang lakonan sebagai kerja sambilan memandangkan jadualnya agak padat dengan tanggungjawab terhadap keluarganya.

Namun ibu kepada Putera Amar, 19, dan Putera Al Qasyah, 17, ini tidak menyangka semakin hari, tawaran lakonannya tidak putus-putus.

"Saya bersyukur dengan rezeki ini dan tidak pernah menyangka masih banyak tawaran yang diberikan kepada saya.

"Bagaimanapun, keluarga sentiasa menjadi keutamaan buat saya," katanya.

Teruja kembali dalam bidang yang diminatinya, Raja Ema turut menyatakan kegembiraannya selepas diterima baik oleh peminat yang sehingga hari ini masih setia memberi sokongan kepadanya.

"Saya berasa amat terharu dengan sokongan peminat. Walaupun sudah lama tidak muncul dalam industri seni, namun mereka masih mengingati dan menerima kehadiran saya dalam industri," katanya.

Wednesday, March 20, 2013

Pelakon Sharifah Nadia dihadapkan ke Mahkamah


SHARIFAH Nadia sebelum dihadapkan ke mahkamah, semalam.

PETALING JAYA - Seorang pelakon wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mencederakan bekas suaminya, tahun lalu.

Sharifah Nadia Yusnita Abd Hanif, 33, yang juga orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Mohd Hezri Shaharil.

Pelakon yang pernah membintangi filem Diari Romeo pada 2003 itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan mencakar tangan ahli perniagaan, Lob Mahadir Abdul Syukur, 40.

Perbuatan itu dilakukan di Dewan Tan Sri Jefry Chia, Sekolah Kebangsaan Chee Wen, USJ 1, Subang Jaya, dekat sini, jam 10.30 pagi, 25 November 2012.

Bagi perbuatan itu, ibu kepada tiga anak ini didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tuesday, March 19, 2013

Rita gagal hantar wakil jawatankuasa pendamai


Pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 37, gagal menghantar wakil  jawatankuasa pendamai bagi proses permohonan cerai dengan suaminya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 26, seperti mana diarahkan Mahkamah Syariah, sebelum ini.

Kegagalan Rita itu mengundang rasa kecewa bapa Aidil, Abd Radzak Salleh, 64, yang hadir di mahkamah, semalam bagi mewakili anaknya.

“Saya sebagai orang tua, saya mahu perkara ini diselesaikan dengan baik, tetapi tindakan Rita yang tidak menghantar wakil menyebabkan saya kecewa.

“Saya berharap masalah mereka ini dapat diselesaikan segera kerana lagi banyak masa diambil, lagi banyak cerita yang tidak baik timbul,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah, semalam.

Kegagalan Rita itu menyebabkan mahkamah menetapkan satu lagi tarikh iaitu 3 April ini untuk Rita menghantar nama wakilnya dalam jawatankuasa berkenaan.

Peguam Aidil, Noor Ariff Delia Ramli berkata, beliau ada menerima surat daripada peguam Rita kelmarin yang memberitahu bahawa wakil pelakon itu tidak dapat hadir kerana berada di luar daerah.

“Sebenarnya, jika tidak dapat hadir sekali pun, pihak Rita boleh menghantar nama wakilnya itu kepada saya atau mahkamah dan proses ini boleh diteruskan.

“Apa yang berlaku sekarang satu lagi tarikh terpaksa ditetapkan berikutan kegagalan pihak defendan menamakan wakil mereka dan sekiranya beliau masih gagal lagi saya akan mohon kepada mahkamah supaya perbicaraan terus dijalankan tanpa perlu menunggu keputusan jawatankuasa pendamai,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, mahkamah mengarahkan satu jawatankuasa pendamai ditubuhkan selepas permohonan cerai Mohamad Aidil dibantah Rita.

Dalam jawatankuasa tersebut, kedua-dua pihak dikehendaki menghantar seorang wakil yang terdiri keluarga terdekat untuk mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan itu dikemukakan kepada mahkamah.

Monday, March 18, 2013

'Isteri fahami kerjaya saya, tidak cemburu'- Faizal

Faizal bersama anak dan isterinya ketika Festival Filem Malaysia ke-25, baru-baru ini.

Setelah lebih 30 tahun dalam industri, akhirnya, bakat lakonan anak kepada arwah seniman Hussein Abu Hassan dan seniwati Mahyon Ismail ini diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) melalui lakonannya dalam filem Bunohan.

Faizal Hussein Akui sibuk selepas kejayaannya itu, namun pelakon berusia 46 tahun ini tetap mengutamakan keluarga dalam segala hal, malah, beliau lebih memilih keluarga berbanding kerjayanya.

“Sebenarnya, saya lagi suka menghabiskan masa bersama keluarga daripada bekerja. Buat masa sekarang inilah, sebab anak-anak saya masih kecil-kecil. Jadi, saya akan rasa rugi jika satu hari itu, saya keluar dari pagi, mereka masih tidur dan malam saya balik, mereka juga sudah tidur.

“Tetapi demi untuk mencari nafkah... demi untuk memajukan industri, saya kena keluar bekerja juga. Nanti peminat-peminat tak dapat tengok hasil karya saya pula,” katanya.

Faizal bernikah dengan Suhaila Sulaiman pada tahun 2004 dan dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Fazryn yang kini berusia lapan tahun dan Fazrick yang sudah berusia lima tahun.

Meskipun terpaksa keluar bekerja, namun, Faizal tetap membahagi masa untuk bersama anak-anak dan isterinya.

“Saya banyak membahagikan masa, tidak mengambil terlalu banyak tawaran dan memastikan dalam sebulan... ada 30 hari, sekurang-kurangnya, 15 hari atau ke bawah yang saya tak bekerja itu, saya habiskan dengan mereka.

“Tetapi, jika terpaksa juga buat kerja itu, saya buat juga. Setakat ini saya tak pernah bawa mereka ke lokasi penggambaran kerana belum masanya lagi saya rasa,” katanya.

Bergelar pelakon sudah tentu perlu membawakan pelbagai watak termasuk suami isteri yang memerlukan babak-babak romantis.

Faizal bersyukur isterinya, Suhaila begitu memahami kerjayanya dan tidak cemburu.


Sunday, March 17, 2013

Hetty Sarlene 'benggang'!

Hetty Sarlene bersama teman lelakinya

SEPANJANG minggu ini, dunia seni digemparkan dengan gambar seksi Hetty Sarlene bersama teman lelakinya.

Beberapa keping gambar di Instragram miliknya, mendapat kritikan daripada peminat disebabkan pose yang dikatakan terlampau mesra.

Namun, selepas beberapa hari gambar tersebut tersebar meluas di internet, pelakon Sembilu Kasih itu tampil membela diri melalui Twitter.

"Saya percaya akan hukum karma dan sudi memaafkan individu yang menyebarkan gambar tersebut tanpa kebenaran. Sila jawab perbuatan kamu di akhirat nanti," kata Hetty.

Friday, March 15, 2013

Haleeda serius berlakon, menyanyi


Tiga tahun memencilkan diri daripada dunia hiburan, akhirnya pelakon Haleeda Mazlin membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan menerusi drama terbaharunya iaitu Bangkitnya Seorang Perempuan.

Ketika ditemui semasa majlis pelancaran drama berkenaan baru-baru ini, Haleeda yang pernah popular selaku penyanyi menerusi lagu Setia Kasih itu menyatakan dia sendiri tidak menyangka untuk berlakon semula.

Bekas isteri kepada pemain bola sepak negara, Azman Adnan itu menjelaskan setelah agak lama berehat, kini sudah tiba masanya untuk dia kembali aktif berlakon.

Namun begitu, Haleeda menjelaskan dia bersedia menerima sebarang watak yang ditawarkan kepadanya, asalkan ia memenuhi kriteria tertentu sebelum memberikan persetujuan. Ikuti temu bual selanjutnya.

" Biarpun tidak terbabit dalam sebarang aktiviti lakonan, saya masih lagi ambil tahu tentang apa yang berlaku dalam dunia hiburan tempatan sekarang ini. Sebenarnya saya cukup bangga kerana kini sudah semakin ramai pelakon baharu yang muncul mewarnai industri seni. Saya lihat ada beberapa pelakon yang cukup berbakat dan ada sebilangannya yang bakat mereka masih boleh dicungkil dan digilap lagi.

" Buat masa ini saya semakin banyak mendapat tawaran lakonan, cuma ada yang terpaksa ditolak kerana beberapa faktor. Antaranya, imej saya yang kini sudah bertudung. Pernah ada beberapa syarikat produksi yang menghubungi saya dan menawarkan berlakon, tetapi apabila diberitahu saya bertudung, mereka menyatakan watak yang ditawarkan tidak sesuai pula dengan saya. Mungkin dengan penampilan sekarang akan membataskan pembabitan saya dalam lakonan, tetapi saya lebih selesa untuk membawakan watak yang sesuai dengan imej saya seperti watak ibu yang dibawakan dalam drama Bangkitnya Seorang Perempuan".jelasnya

Wednesday, March 13, 2013

Fasha Sandha: ‘Bayiku lelaki’


“Saya tidak sabar menanti kehadiran bayi lelaki kami ini. Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan melahirkan anak sulung pada penghujung Mac atau awal April depan,” kata Fasha Sandha ketika ditemui di majlis meraikan peminatnya juga Zizan Razak dan Didie Alias di Medan Ikan Bakar Ndah, Shah Alam, petang kelmarin.

Tambah Fasha yang hadir bersama suaminya, Rizal Ashram Ramli, kebetulan mereka berdua memang inginkan anak lelaki sebagai penyeri rumah tangga pertama mereka.

“Memang kami berdua inginkan anak lelaki kerana dapat menjadi kawan kepada abangnya, Putra Rayqal Ramli (hasil perkahwinan pertama Rizal) yang kini berusia empat tahun.

“Lagipun kalau lelaki yang sulung, dia boleh menjaga ibu dan adik-beradiknya yang lain,” katanya berseloroh.

Rizal yang turut teruja menanti kelahiran bersama Fasha hanya mengharapkan anaknya nanti sihat dan sempurna.

Tuesday, March 12, 2013

Cipta lagu hadiah untuk peminat


Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-27 Hafiz Suip, ciptaannya lagu itu sebagai hadiah buat peminatnya.

“Saya mencipta sebuah lagu untuk dimuatkan dalam album terbaru saya...dalam percubaan. Selama ini, saya belajar juga daripada otai.

“Tak adalah asyik menyanyi saja. Sekurang-kurangnya saya membuat sesuatu. Ini hadiah saya untuk peminat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, Hafiz masih berahsia tentang tajuk lagu ciptaannya itu.

Album ketiga penyanyi berusia 23 tahun ini menerima sentuhan beberapa komposer terkenal seperti Ajai, LY & Baiduri dan Kunci Demak.

Album ketiganya itu dijangka dilancarkan pada pertengahan April ini.

“Buat masa sekarang baru ada sembilan lagu. Insya-ALLAH lagi satu single saya akan rekod sebab bulan lepas saya demam. Jadi, semuanya 10 lagu.

“Semua lagu baru dan ada tiga lagu dari album Indonesia saya. Ada satu lagu itu saya kolaborasi dengan Kunci Demak. Saya lebih tertumpu pada lirik,” katanya yang melancarkan album kedua di Indonesia, tahun lalu.

Hafiz bakal tampil dengan sedikit kelainan melalui album ini dengan menggunakan elemen pop alternatif dan balada.

“Berbeza sedikit dari album sebelum ini. Dulu, saya lebih kepada balada yang lagunya mendayu-dayu. Kali ini, saya lebih kepada pop alternatif dan balada,” katanya.

Vokal penyanyi kelahiran Sarawak ini memang tidak dinafikan apabila sering memenangi anugerah vokal selepas menjuarai program realiti Akademi Fantasia pada tahun 2009.

Ketika ditanya sama ada terbeban untuk melakukan yang terbaik bagi mengekalkan kejuaraannya, Hafiz menyifatkan perkara itu sebagai cabaran.

“Saya tak mengambil perkara itu sebagai satu beban, saya ambil sebagai satu cabaran. Ini yang peminat mahu daripada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz turut memberitahu terpaksa menangguhkan pelajaran sehingga kini.

“Ilmu itu kalau boleh cari sampai ke negeri Cina, jadi, tak patut bila kita dah senang, ilmu itu kita tak pandang. Walaupun saya dalam bidang seni, saya belajar lagi.

“Saya ada rancangan untuk menyambung pengajian lagi tetapi keadaan tidak mengizinkan. Sekarang saya sedang tangguh pengajian saya dalam bidang Pengurusan Hotel dan Pelancongan,” katanya.

Menyentuh soal dunia lakonan, Hafiz lebih memilih untuk fokus pada nyanyian.

Monday, March 11, 2013

Elly Mazlein kembali menyanyi


Sudah lama tidak menyanyi, Elly Mazlein tampil dengan buah tangan terbaru 'Sabarlah Hati' khas buat peminat setianya.

“Lagu ini adalah hasil kerjasama saya dengan KRU Music dan kami jangka 'Sabarlah Hati' akan berada di pasaran dalam masa terdekat.

“Single terbaru itu sebagai tanda kerinduan saya pada bidang nyanyian,” katanya.

Sunday, March 10, 2013

Single terbaru Ana Raffali "Jauh ke Syurga"



JUARA Anugerah Juara Lagu pada tahun 2010, Ana Raffali, 28, dilihat menyepikan diri setelah membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama seorang jurugambar bebas, Ahmad Aznaim Abdullah awal tahun lalu.

Bagaimanapun, penyanyi merangkap komposer dan penulis lirik itu sebenarnya mengakui, dia bukan sengaja mahu memencilkan diri daripada dunia seni tapi lebih mengutamakan kerja produksi lagu belakang tabir selain sedang merancang pembikinan album terbaharunya.

Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku tersebut ditemui pada majlis pelancaran album Asmidar, Kali Pertama di Black Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini mendapatkan kepastian lanjut.

" Saya kini melatih diri untuk menjadi seorang penerbit bagi album saya yang akan datang. Sekarang saya sendiri berpeluang dan bertanggungjawab sepenuhnya sepanjang pembikinan muzik, lagu dan album saya. Saya boleh memilih bunyi yang bagaimana saya mahukan dan saya suka melakukan kerja-kerja ini. Selain itu, saya memfokuskan kehidupan bersama suami dan keluarga saya.

" Jauh sekali tidak. Malah, saya sentiasa memikirkan cara untuk kembali mencuri tumpuan peminat, sepanjang saya menjadi isteri orang pun saya tidak putus-putus diajukan pertanyaan sedemikian dan hadiah saya untuk peminat adalah lagu saya. Alhamdulillah pada 24 Januari lalu saya telah melancarkan single terbaharu saya berjudul Jauh ke Syurga dan sedang sibuk mempromosikan single itu"jelasnya.

Friday, March 8, 2013

Remy - Maya bercinta ?



AKTOR popular Remy Ishak mengakui hubungannya bersama aktres jelita Maya Karin kini semakin intim.

Semuanya gara-gara kekerapan mereka menghabiskan masa bersama seperti keluar makan dan juga melakukan aktiviti lasak.

Begitupun, akui Remy jujur, hubungannya dengan Maya sekadar teman rapat dan belum sampai ke peringkat bercinta.

“Saya akui rapat dengan Maya, tetapi kami tidak mempunyai hubungan istimewa. Walau bagaimanapun, untuk masa depan saya tidak tahu hubungan kami macam mana,” ungkap Remy sekali gus menimbulkan tanda tanya adakah mereka kini dalam proses sedang mengenali hati budi.

Merupakan satu-satunya sahabat wanita yang paling rapat, ujar Remy, dia menyukai Maya kerana mereka mempunyai minat yang sama iaitu melakukan aktiviti lasak.

Dedahnya mengenai peribadi Maya, pelakon wanita terbaik Filem Festival Malaysia ke-25 itu bukan sahaja seorang yang cantik tetapi juga bijak, aktif dan juga berpengetahuan.

“Dia (Maya) merupakan seorang wanita yang mempunyai sikap yang menyenangkan,” luah Remy yang kini dilihat sedikit terbuka bercerita mengenai hubungannya bersama Maya.

Mengulas mengenai percutiannya bersama Maya ke Sabah baru-baru ini, ujar Remy, dia pergi atas jemputan daripada Maya sendiri dan juga pihak Yayasan Sabah.

Bercuti ke Imbak Canyon, Sabah selama empat hari, ujar Remy, dia ke sana bukan hanya ditemani Maya seorang sebaliknya pihak Yayasan Sabah turut bersama mereka.

“Maya menjemput saya ke Sabah bersama pihak Yayasan Sabah bukan semata-mata ingin bercuti sebaliknya mengkaji haiwan dan ekologi di hutan simpan.

“Saya setuju kerana sebelum ini saya hanya meredah hutan, tetapi kali ini aktiviti lasak yang saya lakukan dapat menambah pengetahuan saya tentang alam sekitar dan memupuk saya untuk lebih mencintai alam sekitar,” ceritanya.

Salih Yaacob nak tumpu bidang bisnes

Salih Yaacob bersama isteri keempatnya

SALIH YAACOB memang terkenal sebagai seorang pelawak, biarpun hakikatnya dia juga merupakan seorang penyanyi, pelakon dan deejay radio di Sinar FM.

Tidak pernah dilanda kontroversi, kecuali isu dia berkahwin empat, Salih, 52, baru-baru ini telah menerima tempias sensasi yang wujud kesan daripada pembabitannya dalam video berjudul Bangkang Dari Longkang yang dimuat naik di laman YouTube baru-baru ini.

Video yang merupakan seakan-akan lakonan semula berkaitan parti pembangkang bersama Nabil itu telah membuat ramai peminat dan penyokong parti pembangkang menghentam Salih di laman Facebook.

Mengakui kecewa dengan video tersebut, Salih mengatakan ia merupakan salah satu sebab mengapa dia ingin mengambil keputusan untuk bersara. Namun, ia bukanlah punca utama Salih ingin meninggalkan bidang yang diceburinya sejak 33 tahun lalu.

" Saya sebenarnya sudah letih bekerja dalam bidang seni sejak terbabit pada tahun 1980 lagi. Menjadi seorang penyampai radio juga sudah cukup membuatkan saya letih untuk duduk sepanjang hari. Sebenarnya, saya sasarkan sebelum ini, umur 50 tahun untuk berhenti dari dunia seni. Ini kerana, pada umur begini, sepatutnya saya perlu luangkan banyak masa dengan anak-anak dan keluarga, memandangkan keluarga saya kini lebih besar. Bagaimanapun, kini sudah berumur 52 tahun, jadi maknanya sasaran yang dibuat sudah terlebih. Kini di Malaysia, umur seperti saya sudah tidak boleh cerewet untuk meminta bayaran dan seumpamanya.

Saya sasarkan hujung tahun ini selepas tamat kontrak bersama Sinar FM, saya akan bersara. Saya juga mempunyai perancangan menjalankan bisnes yang melibatkan aset dan saya lihat ia mendatangkan untung yang berbaloi. Saya juga bakal dibantu oleh rakan-rakan yang lain yang arif dalam bidang tersebut. Selain itu, saya juga ingin meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga kerana selama ini saya banyak terlepas momen dengan mereka dan apabila saya sedar, anak-anak semua sudah besar. Saya juga merancang untuk melancong bersama mereka.

Thursday, March 7, 2013

SIARAN RADIOKITA MALAM INI


RADIOKITA 7-3-2013:

Jam 10 malam ini Radiokita akan memainkan lagu2 nasyid terpilih bersama DJ DAKLAN.

selamat mendengarkan.

Wednesday, March 6, 2013

Marsha mahu jumpa Fathia


ISU rampas-merampas kekasih biasa terjadi bukan saja dalam kehidupan individu biasa, bahkan juga golongan artis.

Suhu panas yang sedang melanda dua bintang muda iaitu Marsha Milan Londoh dan Fathia Latiff kononnya berpunca daripada tindakan Fathia yang mula menjalinkan hubungan dengan bekas teman lelaki Marsha tahun lalu.

Pada pertengahan bulan Februari lalu, Fathia telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak berselisih faham atau bergaduh dengan Marsha ekoran tindakan terbabit. Malah Fathia mengakui dia telah berpisah dengan lelaki tersebut.

" Saya tidak pernah bergaduh dengan dia, tidak rapat dengan dia dan tidak kenal dia sebagai kawan. Kami juga tidak pernah lepak atau digandingkan bersama sebelum ini. Tuduhan itu tidak masuk akal dan sebab apa sampai kami perlu bergaduh sebenarnya? Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan dan menuduh dia merampas teman lelaki saya. Saya sendiri musykil kenapa perkara ini diperbesar-besarkan.

" Saya cuba lari daripada perkara sebegini, tapi orang sekeliling asyik bercakap mengenai hal peribadi saya sepanjang masa. Saya mahu juga dipandang dari sudut kerjaya saya, tapi sudah lumrah bergelar artis orang akan keluarkan cerita yang tidak patut. Mungkin ada orang ketiga yang cuba melaga-lagakan kami. Saya tidak suka bergaduh dan tidak pernah bergaduh dengan sesiapa pun sebelum ini.

" Sudah tentu kalau diberikan peluang saya mahu berjumpa dan berbincang apakah sebenarnya yang berlaku. Hal ini tidak patut diperbesarkan. Saya tidak kisah kalau digandingkan bersama untuk fotografi atau lakonan dengan Fathia. Apapun yang telah berlaku adalah masa silam, dia berhak bercinta dengan sesiapa pun begitu juga saya. Terma rampas-merampas ini tidak logik!,jelasnya.

Malam ini di Radiokita




INFO RADIOKITA 6-3-2013:

Jam 10 malam ini Segmen Lagu2 Pilihan pendengar kali ini ditunaikan permintaan drp.Puan Sharifah Rodziah dari Ipoh,Perak.

Lagu2 pilihanya adalah nyanyian drp:
Suratan Kenny/Remy Martai - Flybaits(Freda)-Sweet September - -Adam Ahmad - Duen - Casey - Gingerbread - -Ibnor Rizal -D'Llyold & P.Ramlee.

Malam ini bersama DJ TANJUNG.

selamat mendengarkan..

Tuesday, March 5, 2013

Penyanyi dan komposerYasin diugut bunuh


GARA-gara sebuah video nyanyian bertajuk “Reformasi” yang dimuat naik ke laman YouTube, penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, 39, diugut dengan ancaman bunuh oleh dua individu melalui laman berkenaan.

Komen yang berbunyi, “Yassin ni patut dibunuh jer.. “ dan “Aku kalau jumpa si Yassin ni kat luar comfirm aku pijak-pijak kepala dia sampai lumat” didapati dibuat pada awal malam semalam selepas kira-kira dua minggu video itu dimuat naik.

Yasin berkata, ugutan bunuh yang diterima melalui video lagunya itu membuktikan ada pihak tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan medium sosial tersebut.

“Perselisihan pendapat adalah perkara biasa dan sebelum ini saya pernah menerima pelbagai pandangan negatif. Namun ugutan bunuh adalah perkara serius.

“Saya tidak pasti sejauh mana seriusnya ugutan yang dibuat itu, namun saya tidak akan berdiam diri jika ia berterusan selepas ini,” katanya kepada wartawan di pejabatnya di Kota Damansara, semalam.

Justeru itu, Yasin memberi amaran kepada pengunjung laman sosial agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berunsur ugutan dan fitnah terhadapnya sebelum dia mengambil tindakan undang-undang.

“Sekiranya saya silap dalam penulisan, kita boleh dialog, boleh mengkritik dengan platform yang betul. Bukan dengan ugut-mengugut begini.

“Saya harap individu terbabit berhentilah daripada melakukan perkara begini kepada sesiapa pun. Kebebasan bersuara perlu digunakan untuk kebaikan bukan untuk mengugut dan mencaci orang lain,” katanya kesal dengan perkara itu.

Monday, March 4, 2013

Dayang takut lelaki


SEHINGGA kini penyanyi bersuara gemersik, Dayang Nurfaizah Awang Dowty atau Dayang, mengakui belum pernah bercinta dan tidak mempunyai kekasih.

Bukan sebab memilih atau tiada lelaki yang mendekati dirinya, tetapi ujar Dayang yang kini sudah menginjak usia 33 tahun itu, dia fobia untuk bercinta dan juga takut untuk mempunyai ikatan dengan insan bergelar lelaki.

Ditemui pada majlis sidang akhbar Pencalonan Anugerah Tribute P. Ramlee anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Kumpulan Utusan serta Syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. (Suhan Movies) di Hotel Holiday Villa, Subang, Dayang juga bercerita tentang nilai eksklusif diri serta perkembangan terbaharu karier seninya.

"Setelah melihat dan membaca mengenai gosip percintaan rakan-rakan artis, saya jadi fobia dan takut untuk bercinta. Sebabnya, saya takut jika berkenalan dan bercinta nanti akan timbul gosip-gosip liar seterusnya memusnahkan karier nyanyian saya.

"Gosip-gosip seperti itu (bercinta) tidak membantu dalam karier saya. Gosip percintaan artis menakutkan saya.

Mungkin juga anda terlalu memilih sehingga menyebabkan anda masih belum menemui lelaki dalam usia yang sudah mencecah 33 tahun?

"Ya, saya akui agak memilih kerana saya percaya setiap wanita di dunia ini ada hak untuk memilih pasangan hidup. Kalau boleh saya mahu jumpa dengan seorang lelaki, bercinta dan berkahwin. Saya mahu buat semua itu sekali seumur hidup."tegas Dayang

Friday, March 1, 2013

ND Lala selesa cakap soal karier Shila


Bapa penyanyi popular, Shila Amzah, ND Lala hari ini mengakui bahawa beliau lebih selesa bercakap mengenai perjalanan kerjaya anaknya itu berbanding soal jodoh dan pertunangan.

"Soal jodoh jangan ditentukan, sebab itu kerja Tuhan. Tak ada isu, saya lepas atau tak lepas.

"Saya lebih gembira cakap tentang perjalanan karier Shila," katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya sempena majlis doa selamat, malam ini.

Bercakap soal kerjaya Shila, ND Lala memberitahu, sebuah syarikat telah ditubuhkan atas nama Shila Amzah Entertainment Berhad dalam usaha mengembangkan karier anaknya itu di peringkat antarabangsa.

"Bukan nak menjadikan Shila sebagai artis peringkat antarabangsa saja, tetapi juga untuk mendidik Shila jadi usahawan di peringkat antarabangsa," katanya.

Shila juga dijadualkan mengadakan tiga konsert di Amerika Syarikat selama tiga minggu.

Shila juga bakal tinggal sekitar enam bulan di China untuk menguruskan rakaman dan belajar bahasa Mandarin.

Akui tugas berat menantinya, Shila menyifatkan perkara itu sebagai tanggungjawab.

"Cabaran ini memang rasa berat tapi tanggungjawab untuk saya buat keputusan yang bijak untuk masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Shila berkata, albumnya dijangka dilancarkan pada Mei ini.

"Album saya paling cepat Mei sebab asyik keluar single sajakan. Peminat pun perlu produk," katanya yang bakal tampil dengan dua single terbaru tidak lama lagi.

Shila dan keluarga dijangka berangkat menunaikan umrah Khamis hadapan.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2