NUFFNANG ADS

Tuesday, August 31, 2010

Aida temu jodoh

AIDA...berkenalan Februari lalu


KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun menjanda, aktres sensasi, Aida Aris kembali bersedia bergelar isteri apabila melangsungkan majlis perkahwinan dengan jejaka pilihannya, Sabtu ini.

Aktres langsing itu menamatkan segala spekulasi cintanya apabila bertemu jodoh dengan ketua pramugara syarikat penerbangan, Husfarid Shaikh Ali@Shaikh Hussain.

Majlis pernikahan diadakan sebelah pagi sementara kenduri jamuan diadakan pada berbuka puasa di kediamannya di Taman Sierra Ukay, Ampang, Selangor.

Cinta pelakon Debu Debu Liar dan Black Maria dengan pramugara berkenaan berputik selepas perkenalan selama enam bulan yang akhirnya membawa mereka ke gerbang perkahwinan.

Bercakap mengenai perkahwinannya, Aida berkata, dia bertemu Husfarid selepas diperkenalkan selebriti, Syarifah Haslinda dan suaminya, Datuk Reezal Merican Naina, Februari lalu.

“Pertemuan dengan Husfarid tidak pernah diatur. Saya berkenalan dengan Hus selepas diperkenalkan Syarifah dan (Datuk) Reezal. Sejak itu, kami mengenali hati budi satu sama lain dan menjadi sejarah hinggalah majlis perkahwinan diatur minggu ini.

“Sebenarnya, kami merancang mendirikan rumah tangga sebelum bulan Ramadan. Bagaimanapun, ada beberapa urusan dokumen pernikahan dengan pejabat agama hanya dapat disiapkan sepenuhnya, minggu lalu.

“Apapun, saya gembira kerana kami diijab kabul pada bulan mulia penuh keberkatan.

“Husfarid seorang penyayang serta mudah diajak berbincang. Saya bersyukur kepada Allah kerana memakbulkan doa kami bergelar suami isteri walaupun berkenalan tidak lama. Saya gembira dan berdoa dimurahkan rezeki,” kata Aida.

Sebelum ini, Aida, 38, pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, pelakon dan penerbit rancangan televisyen, Bob Azrai pada 2004, tetapi hanya bertahan selama dua tahun.

Monday, August 30, 2010

Norman Hakim - Memey Bertunang




KUALA LUMPUR: Walaupun perbicaraan kes khalwat mereka di mahkamah belum selesai, pasangan pelakon popular, Mohd Nor Hakim Zaidon (Norman Hakim), 34, dan pelakon Suhaiza Suhaimi (Memey), 22, mengambil keputusan mengakhiri spekulasi hubungan mereka sebelum ini banyak berteka-teki dengan ikatan pertunangan.

Ketika dihubungi Memey dalam nada ceria berkata, keluarga kedua-dua pihak setuju mengadakan majlis pertunangan itu pada hari raya keempat di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

Merpati dua sejoli ini saling mengenali lebih dua tahun lalu dan khabarnya cinta mula berputik ketika berlakon bersama dalam drama Pasrah.

“Minggu lalu saya dan Norman balik ke kampung saya dan keluarga mula berbincang mengadakan majlis pertunangan itu. Ikutkan hati saya tak mahu bertunang kerana kami saling memahami dan mengenali hati budi tapi abang (Norman) mahu saya merasai proses dari mula iaitu merisik, bertunang dan baru diijabkabulkan.

“Dia mahu saya melalui semua pengalaman itu. Pada majlis pertunangan itu nanti, baru keluarga kami akan berbincang jumlah hantaran dan tarikh kami akan disatukan. Insya-Allah majlis kenduri dan persandingan akan dilangsungkan awal tahun depan kerana tidak mahu bertunang lama-lama. Sekiranya semua okey, lebih baik disegerakan.

“Untuk majlis pertunangan ini, akan ada dulang hantaran. Berapa jumlahnya... juga dalam perbincangan. Saya akan bertanya kepada emak apa yang patut dibeli sebagai hantaran balas kepada abang.

“Saya sekarang masih sibuk di lokasi penggambaran telefilem, Osman Berani dan abang pun sedang berlakon telefilem Sabar. Terpaksalah kami mencuri masa untuk membeli barang hantaran. Urusan kenduri di kampung, saya serahkan kepada emak,” katanya.

Sebelum ini mereka pernah menafikan mempunyai hubungan istimewa sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangga Norman Hakim dengan bekas isterinya, Arbaeyah Abdul Manan (Abby Abadi), 32, namun segala khabar angin itu ternyata benar apabila Norman ditangkap khalwat bersama Memey di premis perniagaan milik pelakon lelaki kacak itu di Ukay Perdana, di sini, pada 30 Oktober 2008.

Menurut Memey, dia berdebar dan pelbagai perkara menerjah fikiran tetapi sudah bersedia bergelar isteri dan ibu kepada tiga anak Norman hasil perkahwinan bakal tunangnya yang terdahulu.

“Harap segala-galanya berjalan lancar dan dengan pertunangan ini semoga awan mendung akan berarak pergi dari hidup kami berdua untuk memulakan kehidupan baru lebih membahagiakan.

“Beza usia 12 tahun dan pengalaman hidupnya membuat abang lebih matang dan menjadi ketua keluarga yang baik serta dapat membimbing saya. Paling penting kami ada keserasian,” katanya.

Ternyata Syawal ini bermakna buat gadis jelita itu kerana hasratnya berkongsi hidup dengan jejaka dicintai dimakbulkan Allah. Pada hari berbahagia itu, Memey akan mengenakan busana rekaan Ezuwan Ismail dan rona putih menjadi pilihan.

Sunday, August 29, 2010

Fahrin Keluar Negara - Buat Umrah



SEMALAM, tepat pukul 3 petang, pelakon popular, Fahrin Ahmad melangkah kaki keluar dari negara tercinta ini menuju ke rumah Allah bagi mengerjakan umrah. Gagah membawa sekeping tubuh yang penuh nekad tanpa ditemani sesiapa, jejaka berusia 31 tahun itu mengunjungi ke Tanah Suci selama dua minggu dan kepulangannya pada hari raya ketiga nanti.

Bukan sengaja menjauh apatah lagi mahu meleraikan segenap kekusutan yang bersarang di jiwa, aktor terkenal dengan sikap peramah itu bagaimanapun mengambil kata putus untuk menyambut akhir Ramadan dan merayakan Hari Raya Aidilfitri di kota Mekah. Tiada sebarang niat lain. Dia sebenarnya sudah lama menanam impian tersebut. Cuma, baru sekarang dapat direalisasikan.

Biarpun portfolio Fahrin sebelum ini berbekam variasi kisah kontroversi, dia semahunya ingin menanggalkan daki bersisa yang terpalit.

Jika diizinkan Allah, anak kelahiran Skudai, Johor itu menginginkan keharmonian yang pernah sedikit tergugat itu mampu kembali mendatang dengan udara baru. Atau barangkali lebih melancarkan setiap sedutan nafasnya selepas ini.

“Saya ke sana kerana hendak cari ketenangan terbaik. Pada waktu sama, saya ingin berdoa sebanyak mungkin bagi kesejahteraan diri, keluarga dan rakan-rakan.

Malah, kegembiraan saya ini mencapai tahap kemuncak apabila kondisi kesihatan ibu saya beransur pulih selepas dia mengalami sakit tulang belakang dan berada di wad hampir sembilan bulan lamanya.

“Kalau berada di sana, perasaan setiap manusia terlahir dalam situasi yang berbeza. Setiap orang ada masalah sendiri. Cuma niat mereka kena betul.

“Kita hendak menunaikan ibadat dan bukan mahu menjadikan ia sebagai tempat merujuk masalah semata-mata. Begitupun, kita digalakkan untuk berdoa kepada Yang Maha Esa tambahan pula jika sedang menjalani apa jua bentuk ujian.

Nora mula bicara fasal jodoh

IBU tunggal beranak satu ini merasakan dirinya lebih matang dan dewasa ekoran penceraian. Nora turut berhati-hati untuk mengenali hati lelaki.


SENYUM selalu mengiringi wajah manis Nora Danish. Entah apa yang bermain dalam kotak hati dan fikiran wanita berumur 26 tahun ini, hanya senyuman manis menguntum di wajahnya. Namun mungkin sekuntum senyum yang dibawakan itu lebih mempunyai makna kini ekoran janda muda itu dipercayai sedang berbunga cinta dengan seorang lelaki bernama Shahrul. Apabila dijelaskan kepadanya bahawa Shahrul sendiri yang menghubungi Sensasi Bintang untuk bercerita tentang hubungannya dengan Nora, ibu tunggal beranak satu ini hanya mampu tertawa malu di hujung talian.

Sebenarnya dia tidak menyangka sang jejaka itu akan berani bertindak sejauh itu. Nora berfikiran positif bahawa Shahrul cuma mahu membetulkan sedikit informasi yang kini hangat tersebar.

Sewaktu bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai sedang hangat menjalin cinta dan sentiasa digembar-gemburkan dengan pelakon Fasha Sandha, Nora lebih banyak menumpukan perhatian terhadap kerjaya dan buah hati kecilnya, Putera Rayqal.

Nora lebih leka bergelumang dengan penggambaran drama dan kini sedang sibuk dengan produksi drama Putera Katak dan menjadi cameo untuk filem Seru yang diarahkan oleh Pierre Andre.

Thursday, August 26, 2010

Scha bukan tomboi, Awal bukan gay



BUKAN lagi rahsia. Satu Malaysia kini tahu pelakon dan hos popular, Awal Ashaari, 29, dan Scha Al-Yahya, 27, sedang enak dilanda asmara. Membentuk ikatan istimewa sejak 11 bulan lalu, mereka kini sepakat mahu mengakhiri hubungan itu dengan ikatan perkahwinan tidak lama lagi.

Kebetulan bertemu dua pelakon ini di sebuah majlis, biar pada awalnya mereka menolak untuk membuat fotografi bersama, namun Awal dan Scha akhirnya akur. Beberapa gambar mereka berdua buat pertama kali dirakamkan, dan pasangan ini membuka cerita tentang rencana masa depan bersama.

Di kaca televisyen, gandingan mereka boleh disaksikan dalam telefilem sempena hari kemerdekaan berjudul Prebet Jamilah arahan Michael Ang. Peminat boleh menyaksikan wajah Scha menerajui watak Kamilah manakala Awal sebagai Kapten Aziz pada 31 Ogos ini di Astro Ria (saluran 104).

Monday, August 23, 2010

Raja Azmi Tidur Bersama 'Labah-labah' di lokap

WAJAH Raja Azmi ini menjelaskan betapa pedihnya pengalaman dirinya ditahan satu malam di lokap.


GEROMBOLAN semut, lipas dan serangga kecil berbentuk seperti kala jengking. Hanya itulah antara benda-benda hidup yang menemani Raja Azmi Raja Sulaiman ketika dia terpaksa tidur semalaman di lokap Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur pada malam Jumaat lepas.

Penerbit filem kontroversi berusia 51 tahun itu ditahan di lokap tersebut atas dakwaan polis mempunyai waran tangkap ke atasnya daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ekoran Raja Azmi tidak hadir satu perbicaraan pada 21 Julai lalu berhubung satu kes tuntutan jual beli tanah beberapa tahun lalu.

“Ia merupakan suatu pengalaman pedih,” luah Raja Azmi yang dihubungi menerusi panggilan telefon. Kala itu terdengar suara tangisannya menandakan emosi kesedihannya yang amat sangat impak pengalaman hitam ditahan di lokap masih belum reda sepenuhnya.

Memperincikan detik-detik berada dalam lokap itu, figura yang cukup sinonim dengan labah-labah itu menjelaskan dia pada mulanya ditahan di lokap bersama dua wanita lain.

“Selepas 15 minit kemudian, barulah Kak Mi dipindahkan ke lokap individu. Sebaik melangkah masuk, Kak Mi dapat merasakan betapa keadaan di dalamnya sangat sejuk.

“Apatah lagi ketika itu Kak Mi hanya memakai baju penjara berwarna ungu cair. Kain sutera yang sebelum ini disarung oleh Kak Mi dibenarkan terus memakainya, tapi kainnya sangat nipis, sudah pasti tidak dapat menahan kesejukan dalam lokap itu,” ujar isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek,46, itu.

Tambah Raja Azmi: “Apatah lagi ketika itu Kak Mi dengar hujan turun dengan lebatnya di luar lokap, justeru kesejukan daripada hujan yang turun menderu itu masuk ke dalam lokap menerusi jaringan tingkap lokap tersebut.

“Selain sejuk, simennya pula licin, ada satu mangkuk tandas, tapi ruangan tandas diasingkan oleh penghadang batu-bata. Tiada katil, tilam, bantal mahupun selimut.

“Apa yang dapat Kak Mi rasakan semuanya sejuk. Berdiri sejuk, menyandar pun sejuk, apatah lagi duduk.”

Menurut Raja Azmi, sebenarnya lokap yang menempatkan dirinya itu berada di bahagian dalam selepas perlu melalui empat pintu besi.

“Namun, Kak Mi cuba tenangkan fikiran dan kuatkan semangat dan menerima apa yang dialami itu adalah ujian Allah terhadap Kak Mi, apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini,” luahnya.

Bercerita mengenai pengalamannya berbuka puasa di lokap, Raja Azmi memberitahu: “Dalam 10 minit berada dalam lokap itu, tiba waktu berbuka puasa, Kak Mi diberikan nasi, sup ayam, sayur rebus dan air sirap - semuanya dalam plastik serta sebiji roti bulat.

“Alhamdulillah selepas makan, Kak Mi rasa okey dan bertenaga sikit. Dan Kak Mi bersyukur, Kak Mi boleh dengar dengan jelas suara azan dilaungkan di luar lokap tersebut.

“Selepas habis berbuka Kak Mi solat Maghrib, biarpun tanpa telekung sembahyang, Kak Mi tetap solat dengan menggunakan tuala kecil yang diberikan polis sebagai sejadah. Kiblat Kak Mi tak pasti tetapi Kak Mi solat membelakangi mangkuk tandas tersebut.”

Saturday, August 21, 2010

Kekasih baru Nora Danish



HILANG panas kisah Jejai dan Fasha Sandha mengaku sedang intim menyintai antara satu sama lain, timbul pula kisah janda Jejai, Nora Danish.

Pelakon kecil molek itu heboh dikatakan sedang mengulit cinta dengan seorang jejaka tampan, anak Datuk yang berasal dari Kelantan.

Hendak kata sahih, Diva tidak berani cakap tapi melihatkan gambar-gambar kemesraan Nora dengan jejaka yang dikenali sebagai Shahrul itu, mereka sememangnya seolah-olah ada hubungan yang sangat akrab.

Nora pula ketika diterjah teman media dalam satu acara berbuka puasa di ibu negara baru-baru ini mengaku dia dan si Shahrul yang dimaksudkan itu sedang mengenali hati budi masing-masing. Mereka baru dua bulan berkawan.

Sebenarnya, Diva macam pernah nampak Shahrul yang didakwa ramai sebagai buah hati Nora itu.

Tambahan pula ada yang kata, sebelum ini Shahrul yang lebih muda beberapa tahun daripada Nora itu pernah bercinta dengan seorang pelakon Indonesia.

Kalau tak salah juga, Wangi daripada kumpulan Fabulous Cat pun bercinta dengannya suatu ketika dahulu.

Ada satu lagi cerita lain yang disampaikan ke telinga Diva oleh seorang teman.

"Kau tau tak, mamat tu suka sangat tayang gambar berkepit dengan Nora dalam Facebook, aku tak tahulah apa motif dia.

"Lepas tu, tahulah anak orang kaya, tapi takkan satu badan bersalut Hermes," kata Cik Kid Mulut Muncung sambil memuat turun gambar-gambar mesra Nora dan Shahrul ke telefon Diva.

Banyak versi pula cerita tentang teman tapi mesra Nora ni kan. Tak apalah, tak salah berkawan dengan siapa yang kita suka, asalkan tahu berpada-pada. Mencari bahagia tak pernah jadi satu kesalahan.

Thursday, August 19, 2010

Penerbit Filem Raja Azmi Ditangkap??


AMPANG: Hanya sehari selepas namanya terpampang di media kerana dikaitkan dengan kes perceraian pemain badminton negara, Roslin Hashim, produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman yang juga isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek sekali lagi mencipta kejutan apabila ditahan polis, petang semalam.

Bagaimanapun, penahanan wanita berusia 51 tahun itu ketika hadir di Balai Polis Ampang di sini, kira-kira jam 3.30 petang tiada kaitan dengan kes rumah tangga Roslin, sebaliknya disebabkan kegagalannya menghadiri satu perbicaraan mahkamah pada Julai lalu.

Sumber polis berkata, Raja Azmi yang pernah dikenakan waran tangkap berikutan kesalahannya itu ibarat menyerah diri berikutan dia ditahan ketika hadir di Balai Polis Ampang untuk membuat laporan mendakwa isteri Roslin, Norhayati Othman, 38, memberi keterangan tidak benar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur kelmarin berhubung kononnya dia berkhalwat dengan pemain badminton negara itu.

“Dia tiba di Balai Polis Ampang dengan menaiki kereta ditemani Roslin dan seorang lagi kenalannya. Malah, seorang lagi pegawai polis turut mengambil keterangan bertulis daripada Roslin berhubung laporan yang dibuat sebelum itu bersama Raja Azmi.

“Polis hanya menahan Raja Azmi sejurus selepas dia memberi keterangan mengenai laporan dibuatnya,” kata sumber itu.

Difahamkan, Raja Azmi gagal hadir di mahkamah bagi perbicaraan berhubung kes bankrap bersama suaminya.

Sumber itu berkata, disebabkan waran tangkap ke atasnya baru dikeluarkan pihak mahkamah, Raja Azmi tidak boleh dijamin dan terpaksa bermalam dalam lokap wanita Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menahan penerbit filem itu kira-kira jam 4.50 petang semalam.

Wednesday, August 18, 2010

Yuna berpuasa di London

YUNA teruja kerana dapat menghasilkan sebuah lagu raya yang diberi judul Raya Ohh Yeah!


RAMADAN yang datang menjelma cukup bermakna buat penyanyi muda Yunalis Zarai atau Yuna. Meskipun sibuk dengan jadual seni tambahan dia baru sahaja meluncurkan album penuh pertama yang berjudul Decorate, Ramadan tetap disambut seperti biasa.

Kata gadis berusia 23 tahun itu, sepanjang bulan Ramadan kerjanya akan berjalan seperti biasa cuma dia akan menyambut sebahagian Ramadan di London, England.

Kali ini bermula 13 Ogos lepas sehingga 8 September depan, Yuna akan berada di England untuk melebarkan sayap seninya di sana.

“Saya ke London untuk bekerja bersama penulis di sana selama sebulan. Sebenarnya saya nak tulis lagu-lagu baru dan mengenali mereka dengan lebih rapat.

“Mana tahu mungkin pada masa depan saya dapat tawaran menulis lagu di sana. Saya berangkat pada 13 Ogos dan kembali pada 8 September iaitu beberapa hari sebelum raya,” katanya penuh semangat.

Walaupun begitu, sebelum berangkat ke London, Yuna sempat merakamkan sebuah lagu raya berjudul Raya Ohh Yeah! pada minggu lalu.

Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Yuna dan diterbitkan oleh AG Coco itu bakal ke udara tidak lama lagi.

Tuesday, August 17, 2010

Wan Norazlin takut menjanda

WAN NOR AZLIN tidak malu mengaku rela digantung tidak bertali daripada menjadi janda.




SELEPAS dua tahun, kemelut rumah tangga yang menghantui hidup aktres Wan Nor Azlin tidak juga berakhir. Ibarat digantung tidak bertali oleh suaminya, kehidupan ibu kepada tiga orang cahaya mata itu tidak ubah seperti seorang ibu tunggal. Cuma bezanya, dia masih berstatus isteri kepada Mohd. Yazli Yaacob.

Azlin atau nama sebenarnya Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain, 41, yang ditemui di majlis sidang media program Ramadan dan Merdeka di RTM baru-baru ini menjelaskan tiada kejernihan yang timbul antara suami dan dirinya. Malah, sudah terlalu lama rasanya dia hidup tanpa suami di sisi.

Dia yang ditemani anak ketiganya Dania Camelia, enam tahun, pada majlis tersebut mengakui sudah terbiasa hidup tanpa seorang suami dan ayah di sisi mereka apabila suaminya itu meninggalkan mereka buat kali pertama pada tahun 2005.

Kata Azlin, suaminya pulang semula pada tahun 2007 bagaimanapun pada tahun 2008 sehingga hari ini suaminya keluar dan tidak pernah pulang ke rumah menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ayah kepada tiga orang anaknya.

"Saya dan suami, masih lagi suami isteri yang sah. Kami tidak pernah bercerai dan saya takut apabila memikirkan perkara itu. Walaupun digantung tidak bertali oleh suami, saya lebih selesa begitu daripada bercerai dan memikul status janda," ujarnya.

Ditebak lagi, jika sudah digantung tidak bertali apa lagi jalan penyelesaian yang ada selain bercerai. Namun, katanya dia takut dengan status janda.

Saturday, August 14, 2010

Nabil serik cakap lepas



SEORANG jejaka dengan status pelawak sedang mengalami evolusi. Daripada petak hanya bertanda tukang bikin ketawa, dia berubah ke tapak-tapak lain bagi mengisi portfolio seorang Nabil.

Ahmad Nabil Ahmad baru berusia 26 tahun. Kalau dihitung hari-hari dalam perjalanan seninya, dia baru setahun jagung atau lebih tepat, tahun kedua.

Dalam jangka masa itu, dia sudah berdepan dengan pelbagai gosip daripada yang seremeh-remeh hinggalah perkara yang menggugat nama dan wang ringgitnya.

Dahulu kes terpeluk teman wanita di depan khalayak menjadi hebohan tetapi reda selepas juara Raja Lawak musim kedua itu memohon maaf.

Kemudian, dia berhadapan isu saman RM2 juta namun Nabil juga tidak lokek memohon maaf atas kekhilafan menutur pendapat mengenai filem lakonannya, Lu Fikirlah Sendiri de Movie.

Berada dalam bulan mulia, Ramadan membawa berita paling gembira buat Nabil. Saman bernilai jutaan ringgit itu ditarik balik oleh pihak SDAF Pictures, 6 Ogos lalu.

Nabil menyifatkan episod saman itu sebagai satu pengajaran dan pembelajaran. Dia menarik nafas penuh lega kerana berjaya keluar daripada kes tersebut yang jalan penyelesaiannya dirintis sendiri oleh pihak produksi.

"Saya banyak belajar daripada peristiwa itu terutama perlu teliti dengan kontrak sebelum menandatanganinya. Saya mesti merujuk orang yang lebih arif dalam kerjaya seni ini dahulu.

"Paling penting, saya juga belajar tentang apa yang boleh dan tidak boleh dituturkan. Insiden itu membuatkan saya lebih komited.

"Saya beri 110 peratus komitmen terhadap kerja," ujarnya yang akan memasuki set program Oh Yeah bersama Afdlin Shauki sepanjang bulan Ramadan.

Friday, August 13, 2010

Memey 8 bulan usung tilam??

Norman bersama Memey hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.


HULU KLANG: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, dia melihat Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, membawa selimut dan tilam dari ruangan pejabat atas ke tingkat bawah pejabat Norman Hakim, hampir setiap hari dalam tempoh lapan bulan sebelum pasangan itu ditangkap berkhalwat.

Pereka bentuk, Mohd Yusri Abdul Khasan, 55, yang pejabatnya berjiran pejabat Norman mendakwa dia hampir dituduh bersubahat dengan Norman dan Memey oleh penduduk sekeliling kerana tidak membuat laporan walaupun menyaksikan kemungkaran itu.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey, 21, didakwa berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana di sini, pada jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

“Pada hari kejadian, saya lihat Memey sekali lagi melakukan perbuatan itu (membawa selimut dan tilam) dan hanya Norman memakai baju-T dan seluar pendek (boxer) berada di dalam (pejabat).

“Ketika penguat kuasa membuat serbuan, saya nampak Norman memanjat pintu jeriji besi di bahagian belakang untuk naik ke tingkat atas. Sebelum ini, saya tidak mahu menjadi saksi dan hanya mahu menjadi pengadu.

“Tapi, hampir dua tahun berlalu dan pelbagai pembohongan dan helah dilakukan Norman, Memey dan abangnya Saufi. Oleh itu, sebagai orang Islam saya mesti menegakkan kebenaran,” katanya ketika menjawab soalan Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi Mohd Yusri.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama. Kedua-dua tertuduh yang hadir dengan menaiki kereta Memey diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Wednesday, August 11, 2010

Bung Mokhtar Didenda Seribu Atau Penjara 6 bulan


DATUK Bung Mokhtar Radin dan isteri keduanya, Zizie Izette Ab Samad, 31, tersenyum gembira ketika ditemui wartawan dan jurugambar selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pagi ini menerima rayuan Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengetepikan hukuman penjara sebulan kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, Mei lalu. Hukuman terhadap Bung Mokhtar digantikan dengan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan.

Tuesday, August 10, 2010

Fazura takut jumpa media

MENGAKU hatinya sudah dimiliki namun itu bukan tanda dia akan segera mengakhiri zaman solonya.


LAMA tidak bertemu pelakon yang seorang ini - Nur Fazura Sharifuddin. Kali terakhir namanya menyemai sensasi apabila dikaitkan bercinta dengan kerabat diraja. Semarak isu tersebut, Fazura lebih senang membisu. Tidak ada kenyataan balas, tidak ada apa-apa. Ia kemudian sepi begitu sahaja.

Ironi bukan pertama kali isu percintaan Fauzra dengan beberapa lelaki yang dianggap tergolong dalam golongan ‘orang besar’ dihebahkan. Sejak tahun pertama menjejak kaki dalam lapangan ini, isu berantai itu tidak pernah putus. Namun tak ada satu pun yang lekat. Semuanya gara-gara sikap bijaksana wanita berusia 27 tahun ini mematikan semarak api tersebut.

Bersua dengannya pada acara pelancaran himpunan eksklusif Aidilfitri pereka busana Rizman Huzaini baru-baru ini, Fazura yang masih ramah dan manis senyuman mengaku dia kini bimbang berhadapan media. Apa lagi memberi kenyataan. Takut disalah erti oleh banyak pihak yang membaca, terutama pada isu jodoh dengan lelaki yang bakal menjadi payung hidupnya satu masa kelak.

“Jujur, saya sekarang sedikit takut nak buka mulut pada media. Takut salah cakap,” katanya. Membiarkan dia membuang kebimbangan yang diluahkan, Fazura kemudian mula selesa.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2