NUFFNANG ADS

Thursday, January 31, 2013

Pertikaian ND Lala dengan Sharnaaz


Dituduh “PADA saya, biarlah... Dia orang tua (ND Lala). Saya tak ambil hati langsung.

“Saya faham dia bercakap bagi anak dia. Shila anak perempuan pertama nak dilepaskan, jadi saya faham perasaan dia,” kata Sharnaaz berhubung kontroversi terbarunya.

Semalam, ND Lala menerusi sebuah media menempelak sikap Sharnaaz yang menguar-uarkan perancangannya untuk merisik Shila Mac ini, tanpa pengetahuannya.

ND Lala juga mendakwa Sharnaaz biadab kerana membelakangkannya sebagai orang tua dan wali Shila

Jelas penyanyi veteran itu, Sharnaaz mahupun keluarganya tidak pernah bertemu dan berbincang dengannya mengenai perkara itu.

Sharnaaz yang dihubungi mengakui kesilapannya dan katanya dia sudah menghubungi ND Lala untuk berbincang, namun panggilan dan sistem pesanan ringkasnya (SMS) juga tidak berjawab.

“Macam mana nak bincang kalau dia tak jawab panggilan saya. Mungkin dia sibuk dan saya terpaksa akur,” katanya.

Bagaimanapun, Sharnaaz menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa hubungannya dengan ND Lala kurang baik.

"Sebelum ini kami baik saja. Saya pun tak faham kenapa dia bersikap seperti ini," katanya.

Kecewa dengan tindakan bapa Shila itu, Sharnaaz berharap segala kekusutan ini segera berakhir.

“Jangan guna media. Ada telefonkan? Saya tak setuju cara dia. Lagipun dia lebih berpengalaman, sepatutnya dia tahu,” katanya.

Wednesday, January 30, 2013

SAYA MASIH HIDUP' kata ND Lala


“Saya dan ibu Shila masih hidup, masih bernyawa, sekurang-kurang hormatilah kami sebagai orang tuanya.

“Kalau Shila mahu kahwin sekali pun, saya walinya, bukan Shaarnaz yang menentukan itu isterinya,” kata Amir Amzah Salleh, 51 atau ND Lala yang juga bapa kepada penyanyi, Shila Amzah, 23.

Jelas sekali itu kekecewaan diluahkan ND Lala membalas kenyataan yang pernah dilahirkan pelakon, Shaarnaz Ahmad, 28, yang sebelum ini menyatakan tetap merisik Shila Mac ini biarpun dihalang bapa penyanyi terbabit.

ND Lala ketika dihubungi dari Shanghai, China, semalam, berkata, tindakan pelakon itu mengakui Shila bakal isterinya sangat memalukan kerana dia tidak pernah mengadakan perbincangan bersama keluarga Shaarnaz mengenai perkahwinan itu.

“Dia (Shaarnaz) mengakui Shila bakal isterinya dan tetap akan merisik, semua itu karut. Jangan keluar kenyataan yang boleh memalukan diri sendiri dan saya percaya keluarga Shaarnaz turut malu dengan tindakannya itu,” katanya.

Tuesday, January 29, 2013

Ziana Zain punya kelas tersendiri


BIARPUN tidak muncul dengan album baru, namun nama Ziana Zain masih menjadi siulan peminat seni tanah air sehingga kini.

Terkenal dengan trademark angkat kening yang menjadi identitinya, pasti lagu-lagu popular dendangannya seperti Anggapan mu, Madah Berhelah, Puncak Kasih dan Korban Cinta, masih segar di ingatan peminat muzik tempatan.

Meniti populariti sejak awal 90-an, album sulungnya, Madah Berhelah, berjaya meletakkannya sebagai antara diva pop di Asia Tenggara. Kehebatan Ziana juga terserlah sejak dia menyandang gelaran Voice of Asia yang diadakan di Kazakhstan pada 1995.

Kejayaan tersebut sekali gus mengukir namanya dalam, Malaysian Book of Records, sebagai artis wanita pertama memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa itu.

Mencecah usia 40-an, penyanyi kelahiran Melaka ini, masih mempunyai peminatnya tersendiri. Walaupun karier seninya tidak serancak dulu, namun minatnya dalam bidang nyanyian masih menebal.

“Walaupun saya sibuk dengan aktiviti harian, namun ia tidak bererti saya tidak lagi menyanyi. Bidang nyanyian adalah impian saya sejak kecil dan saya tidak akan meninggalkannya begitu saja.

“Saya bersyukur dengan izin ALLAH saya berjaya mencapai impian untuk bergelar penyanyi sehingga ke hari ini,” kata Ziana yang kini sibuk dengan perniagaan dan kelas vokal.

Jelas Ziana, buat masa ini dia masih belum mempunyai perancangan untuk tampil dengan album baru. Namun tumpuannya kini kepada bidang pengacaraan dan dia tidak menolak sekiranya menerima tawan lakonan.

Monday, January 28, 2013

Nabil berkorban demi anak


SELAIN bergelar pelawak, pelakon dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad atau lebih sinonim dengan panggilan Nabil pernah mengembangkan bakat seninya apabila menjadi penyampai radio di Suria FM.

Bagaimanapun, jodoh Nabil bersama stesen radio berkenaan tidak panjang apabila dia mengambil keputusan untuk mengundur diri selepas kontraknya tamat pada akhir tahun lalu.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Lawak Ke Der 2 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur minggu lalu, Nabil tetap bersyukur apabila rezekinya semakin bertambah sejak dikurniakan cahaya mata.

Menurut suami kepada Nazirah Ayub itu, sekarang ini dia perlu bekerja dengan lebih keras memandangkan tanggungjawabnya sudah semakin bertambah.

Menurut Nabil, Dalam tempoh terdekat ini saya akan terbabit dengan program komedi Karoot Komedia X dan Lawak Minggu Ini. Selain itu saya akan membintangi dua buah telefilem iaitu Elly Dan Epit dan Geng Bas Sekolah.

Kemudian pada bulan Mac ini pula saya berkemungkinan besar akan pergi ke Belanda untuk rakaman sebuah program Astro. Mengikut perancangan, saya akan bawa isteri dan anak ke sana, namun ia bergantung kepada keadaan.

"Kehidupan saya sekarang tidak banyak jauh berbeza berbanding sebelum ini, tetapi kehadiran Naira merupakan pelengkap kepada kehidupan kami sekeluarga.

"Sepanjang bergelar bapa ini, saya dan isteri akan bergilir-gilir menjaga Naira, kadang-kadang terpaksa bangun pukul 4 pagi untuk bancuh susu dan tukar lampin pakai buang kerana kami tidak ada pembantu rumah,Jelanya.

Sunday, January 27, 2013

Dikritik kerana fesyen, Najwa Latif cuba ubah penampilan


Bakat Najwa Latif sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Sejak awal kemunculannya dalam Youtube, Najwa berjaya menarik perhatian dengan kemerduan suaranya.

Namun, dalam meniti perjalanan sebagai anak seni, Najwa tidak terlepas dari pandangan pengkritik yang gemar mencari kesalahannya, terutamanya dalam berfesyen.

Pernah dikatakan gaya lebih tua dari usia, gaya seperti 'mak nenek' dan pelbagai lagi kata negatif, Najwa tidak sedikit pun berkecil hati sebaliknya berusaha untuk mengubah penampilannya.

"Saya akui tidak pandai berfesyen dan saya masih lagi belajar mengenai fesyen serta gaya yang sesuai dengan umur saya.

"Saya hargai segala kritikan yang diberikan peminat dan pihak tertentu kepada saya dan saya akan cuba ubah gaya pemakaian saya selepas ini," katanya kepada wartawan.

Najwa berkata, buat masa ini, dia tidak merancang untuk mendapatkan khidmat nasihat atau mengupah pakar perunding imej kerana merasakan perkara itu tidak terlalu serius.

"Biasalah saya budak baru belajar dan saya akan cuba ubah sikit-sikit. Tapi sampai nak mengupah pakar, saya rasa tidak perlu. Tapi saya sentiasa merujuk pada majalah dan internet untuk mendapatkan imej lebih sesuai," ujarnya.

Tuesday, January 22, 2013

Beego, Linda kahwin 8 Jun


BEEGO dan Linda dijadualkan bakal menjalani kehidupan sebagai suami isteri menjelang bulan Jun tahun ini.


WALAUPUN pernah dikecewakan dengan isu rumah tangga yang hanya mampu bertahan selama empat bulan dan menduda sejak tahun 2009, Beego atau nama sebenarnya Mohd. Aszerul Nizam Abdullah, 33, tidak pernah berputus asa untuk mencari kebahagiaan bersama insan yang lain.

Dia yang sebelum ini berkahwin dengan Intan Shahira Mohd. Shahru pada 28 Disember 2007, mengakui akan melangsungkan perkahwinan kali keduanya pada pertengahan tahun ini bersama pelakon terkenal, Linda Hashim.

Pelakon yang meraih populariti menerusi sitkom Puteri, arahan Aziz M. Osman itu, telah merisik dan sekali gus mengikat tali pertunangannya bersama Linda,29, pada Oktober tahun lalu.

Beego yang sebelum ini telah membelanjakan keseluruhan kira-kira RM157,000 bagi persiapan perkahwinan terdahulu sempat memberitahu persiapan pernikahan keduanya itu pada majlis kesyukuran dan berzanji sempena Maulud Nabi yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu, Klang, Selangor yang dianjurkan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).


Wednesday, January 16, 2013

Permohonan suami A Aida diketahui Jumaat


Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, semalam menetapkan 18 Januari ini untuk keputusan bagi permohonan suami pelakon dan pengarah A. Aida, Deputi Superintendan Suffian Sulaiman yang memohon mendapatkan perintah interim injuksi bagi menghalang isterinya membuat kenyataan kepada media berhubung masalah rumah tangga mereka.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Mohd. Amran Mat Zain selepas Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 43, menerusi peguam syarie, Zulkifli Che Yong, gagal mengemukakan hujahan lisan dan bertulis sebagai responden ketika perjumpaan di dalam kamarnya.

Pada prosiding semalam, mahkamah hanya mendengar hujahan daripada pihak Suffian menerusi peguam syarie, Ismail Mohamad.

Ismail memaklumkan media, mahkamah mengarahkan pihak responden memberikan hujahan bertulis itu selewat-lewatnya pada 17 Januari ini (esok) sebelum membuat keputusan sehari kemudian (18 Januari).

Pada 2 November tahun lalu, Aida yang juga penerbit drama bersiri, Halimah Jongang memfailkan permohonan membubarkan perkahwinan secara fasakh terhadap Suffian di Pejabat Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini dia memfailkan permohonan bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Udang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, tetapi menarik semula permohonan itu selepas proses perbincangan membubarkan perkahwinan secara aman tidak berjaya.

Aida dan Suffian bernikah pada 20 April 2007 dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia empat tahun, Muhammad Rahul.

Tuesday, January 15, 2013

Elfaeza ingin ikut jejak Aaron Aziz


Elfaeza Ul Haq mungkin satu nama yang agak asing dalam industri lakonan tempatan, namun buat peminat tegar drama bersiri 80 episod, Adam & Hawa pasti cukup mengenali wajahnya dengan baik.

Mula mengembangkan karier lakonan di negara ini sejak setahun lalu, pelakon kelahiran Singapura ini begitu bersyukur diberi peluang untuk menjayakan drama adaptasi novel tersebut.

Menurutnya, dia bersyukur kerana drama bersiri popular itu telah menjadi batu loncatan buatnya untuk menonjol sebagai pelakon di Malaysia. Ingin mengikut jejak aktor popular, Aaron Aziz, gadis manis ini berharap kehadirannya di negara dapat diterima.

“Saya tidak pernah menyangka sambutan yang diterima daripada penonton terhadap drama ini begitu luar biasa sehingga boleh menimbulkan satu fenomena yang besar dalam industri.

“Saya bersyukur walaupun hanya memegang watak pembantu sebagai ‘Azi’, namun saya akui ia sedikit sebanyak ia beri satu platform yang baik kepada saya dan terbukti penonton juga mulai mengenali diri saya sejak berlakon dalam drama ini,” katanya.

Selain daripada itu, Elfaeza memberitahu dia turut berasa bertuah dapat berlakon di samping Aaron Aziz dan Nadiya Nissa yang disifatkan sebagai pelakon yang berbakat dan tidak lokek dengan ilmu.

Dalam perkembangan lain, Elfaeza baru sahaja menamatkan penggambaran drama bersiri Dalam Setiap Sujudnya untuk tayangan saluran TV9.

Roslan Shah bayar nazar botak kepala


PENGACARA dan penghibur yang menjadi peserta pertama tersingkir (bersama pelakon Azam Pitt) daripada program realiti televisyen, Fear Factor Selebriti Malaysia, Roslan Shah tampil dengan imej baharu tahun ini sempena hari lahirnya pada 17 November yang lalu dengan berkepala botak.

Sibuk dengan undangan majlis-majlis korporat, selebriti berusia 41 tahun itu juga mempunyai azam untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini dengan gadis pilihannya.

Bermacam-macam reaksi diterima daripada orang ramai dan peminat mengenai hasrat dirinya untuk mendirikan rumah tangga. Pasti ramai yang terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Roslan.

Adakah ini satu realiti atau sekadar kontroversi yang sengaja dibuat-buat Roslan bagi menarik perhatian masyarakat umum?

"Imej baharu ini sebenarnya adalah nazar yang sudah lama saya simpan dengan membotakkan kepala sempena hari jadi saya pada 17 November yang lalu. Selama ini saya sudah lalui bermacam-macam kontroversi, hinaan, fitnah serta kejian daripada masyarakat dan ini adalah cara saya untuk menonjolkan diri saya yang baharu sempena tahun 2013 ini.

"Ya, berkat doa keluarga dan juga peminat serta sokongan dan semangat yang diberikan, saya akan mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini, tetapi saya tidak boleh dedahkan siapakah calonnya. Apa yang saya boleh beritahu, dia berasal dari Kelantan dan sudah tiga tahun saya mengenali dia.

Dia adalah peminat saya dan kali pertama kami berjumpa, dia jemput saya datang ke rumahnya untuk makan tengah hari bersama keluarganya. Semenjak itu kami mula berhubung dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat.

Siti tampil bertudung sempena hari lahir


PENYANYI tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza kini tampil lebih manis dengan imej bertudungnya.

Penampilan baru pelantun Falling in Love itu menerima reaksi positif daripada peminatnya menerusi laman mikro Twitter sejak Jumaat lalu.

Siti memuat naik gambarnya bertudung pada hari lahirnya, Jumaat lalu.

Pada majlis resepsi penjaga gol kebangsaan Ahad lalu, Siti Nurhaliza tampil anggun dengan bertudung.

Pengurusnya, Rozi juga mengesahkan perkara itu.

"Bertudung ya..Dulu berselendang," katanya kepada wartawan.

Memetik laporan media tempatan sebelum ini yang mengatakan Siti Nurhaliza berkata sudah tiba masanya untuk menunaikan janji untuk berhijab penuh.

“Alhamdulillah, pada hari jadi saya ke-34 yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat, saya mengambil keputusan untuk berhijab penuh.

“Saya yakin apa yang baik itu akan diterima, malah ramai yang gembira dan mendoakan,” katanya.

Perubahan imej Siti Nurhaliza itu dikatakan mendapat sokongan penuh daripada suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.

Monday, January 14, 2013

Hilang RM50,000, Lisa Surihani serah pada polis


 PELAKON wanita popular, Lisa Surihani menyerahkan kes kehilangan wang dipercayai RM50,000 kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Laporan media tempatan hari ini mengatakan Lisa dan ibunya, Siti Amira Ahmad mengalami kerugian apabila kad ATM mereka disalahgunakan oleh pihak ketiga.

Mereka telah merujuk perkara itu kepada pihak bank sebelum diberitahu kad ATM mereka sudah tidak boleh digunakan kerana telah ditukar oleh orang lain.

Lisa dan ibunya sudah membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang dari akaun banknya itu,  Jumaat lalu.

“Saya dapat tahu pagi 11 hari bulan (Jumaat lalu) dan kami sudah pun membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada hari itu juga,” kata ibu Lisa.

 Buat masa ini, Lisa tidak boleh mengeluarkan sebarang komen berikutan perkara ini sudah menjadi kes polis.

“Kami tak boleh komen apa-apa sebab ini kes polis. Kami sudah serahkan kepada polis untuk menyiasat sepenuhnya,” katanya.

Kelahiran bayi sulung Memey Februari ini


WAJAH bahagia jelas terpancar di wajah aktres, Memey Suhaiza tambahan pula usia kandungannya kini sudah mencecah lapan bulan.

Walaupun gementar untuk merasai pengalaman melahirkan anak sulung, Memey akui dia begitu teruja untuk menyambut cahaya pertama bersama suaminya, Norman Hakim.

"Segala persiapan telah pun kami sediakan sejak awal lagi, malah Abang Norman sendiri bersiap sedia nama yang sesuai untuk diberikan kepada anak kami ini.

"Sekarang saya hanya menunggu masa untuk melahirkan bayi ini dan mengharapkan semuanya dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Jelas Memey, dia dijangka bersalin awal Februari ini, di Hospital Kohilal Melawati.

"Hospital ini adalah pilihan Abang Norman sendiri memandangkan ia juga merupakan hospital yang sama di mana Kak Abby lahirkan anak-anak mereka sebelum ini.

"Saya tidak kisah hospital mana sekali pun. Apa yang penting semuanya dapat berjalan dengan selamat," katanya.

Saturday, January 12, 2013

Selamat hari lahir Siti Nurhaliza!





SEMALAM, genaplah usia 34 tahun, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Menerusi akaun Twitter miliknya, Siti turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi ucapan dan doa buatnya.

“Alhamdulillah, di malam penghulu hari, bertambah lagi usiaku. Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan. Moga ALLAH memberkati hidup semua.” ujarnya.

Dalam pada itu, menerusi laman Twitter milik kakak ipar yang juga pengurusnya, Rozi, dia sempat berkongsi hadiah yang diberikan oleh suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa berupa sejambak bunga dan sekeping kad serta gambar sambutan hari jadi Siti bersama anak Saerah.

Persatuan lain tidak faham - DJ Dave


SEBAGAI presiden dan pemegang amanah dana RM2 juta Yayasan Artis 1Malaysia hasil sumbangan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk DJ Dave baru-baru ini telah mengadakan sebuah majlis untuk menyampaikan sumbangan kepada seniman dan seniwati negara.

Acara dikenali sebagai Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan Artis 2012 telah pun berlangsung di Dataran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor baru-baru ini yang mana seramai 142 orang artis veteran telah pun menerima sumbangan sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Namun isunya, wujud suara sumbang yang mempersoalkan mengapa DJ Dave memegang dana ini terlalu lama dan ada juga yang menimbulkan persoalan tentang bantuan yang sepatutnya diberi kepada Datuk Yahya Sulong.

Antara karyawan seni veteran yang hadir pada majlis tersebut termasuklah Datuk Aziz Satar, Datuk Jamali Shadat, dan Karim Latif.

Kata DJ Dave, "Saya sedang membuat satu inisiatif yang mana surat sudah dihantar kepada menteri (Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim) supaya dapat membantu Datuk Yahya. Mungkin mereka boleh beri pelepasan kepadanya atau satu skim supaya mengurangkan ansuran pembayaran rumah tersebut.

" Saya sudah buat usulnya dan kami memang sedang mencuba sedaya upaya kerana memang saya rasa artis 60-an banyak berjasa dan telah berkhidmat dan membantu negara secara tidak langsung.

"Ingin saya beritahu, selain Yahya, Maimon Mutalib juga pernah menerima sumbangan sebanyak RM4,000 dan penghawa dingin untuk rumahnya. Untuk Yahya Sulong kami telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM6,000 secara keseluruhannya dan begitu juga dengan Azean Irdawaty ada juga sumbangan yang diberikan kepadanya".kenyataan DJ Dave.

Thursday, January 10, 2013

AJL 27: Uji Rashid kesal


WALAUPUN kehangatan Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27) sudah empat hari berlalu namun perasaan yang bergolak dalam hati penyanyi popular era 1970-an, Uji Rashid apabila namanya digugurkan daripada membawakan lagu ciptaan dan dendangan Yuna, Terukir Di Bintang, pada majlis anugerah tersebut nampaknya masih belum reda.

Uji merupakan orang pertama yang mengetahui mengenai penarikan diri Yuna daripada AJL27 kerana Yuna sendiri menghubunginya untuk menggantikan dirinya membawa lagu Terukir Di Bintang pada majlis anugerah lagu tersebut.

Ironinya, Uji juga merupakan orang terakhir yang diberitahu tentang pengguguran namanya daripada menyanyikan lagu tersebut.

"Saya berasa terkilan dan rasa kejam sangat mereka lakukan perkara ini kepada saya. Perkara sebegini tidak pernah berlaku lagi ke atas saya. Bukan kita yang bermasalah. Saya tetap beri komitmen walaupun ketika itu saya tidak sihat.

Jelasnya lagi "Yuna sendiri yang meminta saya menyanyikan lagunya. Malah dia juga ada mengatakan jika saya menolak, dia akan menarik diri menyertai AJL 27.

"Pada 2 Januari lepas saya datang untuk latihan. Sepatutnya pada 4 Januari juga saya perlu datang untuk latihan penuh tetapi pada 3 Januari, pihak TV3 meminta saya datang untuk satu mesyuarat tetapi sebenarnya untuk mengatakan saya telah digugurkan untuk membawakan lagu itu.

"Sedangkan ketika itu, Aizat sudah datang untuk latihan dan pihak media sendiri sudah tahu Aizat menggantikan Yuna untuk menyanyikan lagu tersebut. Saya pula baru diberitahu selepas semua orang sudah tahu. Rasa macam diperkotak-katikkan pula".sambung Uji.

Wednesday, January 9, 2013

Istana Budaya Mohon Maaf pada Anuar Zain



Penyanyi, Anuar Zain menganggap isu penggunaan gambarnya oleh Istana Budaya (IB) tanpa persetujuannya untuk mempromosikan Konsert Budi pada 29 hingga 31 Januari ini di IB, di sini, selesai selepas mereka membuat permohonan maaf semalam.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Ajari Aku itu menyampaikan mesej berkenaan menerusi pengurusnya, Dura Talib dan enggan memanjangkan perkara itu dengan memberi kenyataan.

Dura ketika dihubungi berkata, pihaknya menghubungi IB bagi mendapatkan pengesahan mengenai penggunaan foto Anuar sebagai poster Konsert Budi selepas dimaklumkan seorang peminat Anuar, Selasa lalu.

“Saya dihubungi seorang peminat Anuar yang bertanya sama ada Anuar terbabit membuat persembahan dalam konsert berkenaan. Ia memang mengejutkan kerana pihak kami tidak pernah dilamar atau memberi sebarang persetujuan untuk terbabit dalam konsert itu.

“Saya difahamkan nama Anuar disenaraikan dalam kertas cadangan mereka sebagai barisan artis yang membuat persembahan, tetapi berlaku sedikit kesilapan teknikal hingga pada majlis pelancaran Konsert Budi tempoh hari foto Anuar dicetak pada poster,” katanya disini
semalam.

Dura berkata, pihaknya memuji tindakan pihak pengurusan IB kerana membuat permohonan maaf, sekali gus mengelak kekeliruan kepada orang ramai. Sehubungan itu, Anuar mengambil keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan dan menganggap perkara itu sudah selesai.

Tuesday, January 8, 2013

Seniman kecewa Uji Rashid ‘diaib'


RUMAH siap pahat berbunyi! Demikian apa yang berlaku dalam Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27), yang melabuh tirainya kelmarin, apabila kontroversi berhubung pemilihan penyanyi ganti untuk menyanyikan lagu Terukir Di Bintang terus diperkatakan.

Seperti yang sudah dimaklumkan sebelum ini, pertukaran penyanyi ganti dibuat pada saat-saat akhir iaitu empat hari sebelum pertandingan.

Aizat Amdan dipilih menggantikan Uji Rashid bagi menyanyikan lagu Yuna itu selepas pihak penganjur mengadakan perbincangan dengan pengurusan Yuna.

Mengulas perkara ini, Persatuan Seniman mengakui agak terkilan dengan insiden terbabit yang disifatkan presidennya sebagai tidak sepatutnya berlaku.

“Saya terkilan. Pihak penganjur sepatutnya bersikap profesional dalam mengendalikan perkara ini.

“Bayangkan kalau Kak Uji dah tempah baju, buat persiapan apa semua. Siapa nak bayar?” ujar Zed Zaidi kepada wartawan.

“Saya ada bertemu Kak Uji dalam majlis sebelum ini dan dia ada menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku berhubung isu penggantian tersebut.

“Pihak itu sudah berjanji tetapi tak ada surat tak ada apa, apabila persiapan sudah dibuat, kena ganti pula. Imej dia macam mana?” katanya.

Tambahnya, “kita tahu Aizat bagus tetapi kenapa pihak penganjur tidak memberitahu Kak Uji? Kena campur tangan, anda penganjur.”

Dalam pada itu, Zed Zaidi mengharapkan pihak penganjur membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Uji Rashid.

Monday, January 7, 2013

Kekasih Marsha berasal dari Indonesia?


Kehadiran Marsha bersama jejaka kacak pada sesi tayangan Kahwin Lima, akhir tahun lalu, menarik perhatian.

Justeru, timbul pertanyaan, adakah pelantun Tentang Cinta itu sudah menemui pengganti.

"Saya akui berkawan dengannya, tapi hubungan kami tidaklah sampai tahap bercinta. Namanya Guntur Triyoga, dia pelakon dari Indonesia.

"Kebetulan kami berlakon bersama dalam telefilem Antara Bintang, Mimpi dan Cinta arahan Michael Ang dan dia berasa di sini ketika itu, serta mahu mengetahui mengenai industri kita, jadi saya bawa dia ke majlis tayangan filem Kahwin Lima.

"Hubungan kami nampak mesra, mungkin kerana kami bawa watak pasangan bercinta, jadi kerana itu saya rapat dengan dia. Saya harap tiada sesiapa yang salah sangka dengan hubungan kami," ujarnya.

Sunday, January 6, 2013

Aiman kini sendiri, Anzalna selesa ditemani kekasih



DUA figura ini tidak asing lagi dalam industri seni lakonan. Kebanyakan drama lakonan mereka mendapat sambutan yang cukup hangat sehingga mereka turut mendapat tempias populariti drama itu.

Jika Aiman Hakim Ridza cukup dikenali menerusi drama Vanilla Coklat dan Indera Jones, Anzalna pula tidak kurang hebatnya apabila mula mendapat perhatian menerusi lakonannya dalam drama Ramadan Terakhir serta Adam dan Hawa.

Namun, dalam meniti populariti sebagai anak seni, mereka juga tidak terkecuali memiliki pasangan dan bercinta seperti insan lain yang bukan bergelar selebriti.

Bagaimanapun, nasib percintaan mereka berdua jauh berbeza. Jika Anzalna kini bahagia bersama kekasihnya, Hanif Zaki, Aiman pula kini sudah kembali solo.

Biarpun sudah kembali solo, ramai pihak mengatakan Aiman sebelum ini sering dikawal oleh kekasihnya sehingga sukar didekati pihak media.

"Soal dikawal oleh kekasih sebelum ini tidak pernah ada. Saya tidak pernah biar atau benarkan hal peribadi dicampur dalam kerja. Namun, jika pasangan mahu memberi pandangan, saya akan terima.

"Tapi, jika mahu mengawal pergerakan atau mengarahkan saya, tidak sama sekali.

"Saya lebih selesa mendengar nasihat daripada ibu bapa saya sendiri," katanya.

Berbeza pula dengan Anzalna, keterbukaannya membawa kekasihnya dalam kebanyakan majlis hiburan membuatkan ramai pihak seakan-akan tidak senang dan menganggap Anzalna seperti mahu menunjukkan kekasihnya kepada umum.

"Saya sejujurnya berasa selamat kerana ada yang menemani dan menjaga saya.

"Tambahan pula, dia menawarkan diri untuk menemani saya sekiranya dia ada kelapangan dan bukan selalu pun dia menemani saya.

"Apatah lagi, sebagai pasangan kekasih, saya mengakui cukup rapat dengannya dan saya juga tidak punya teman lain selain dia dan keluarga," jelasnya.

AJL27 milik Terukir Di Bintang nyanyian Aizat


TERUKIR Di Bintang muncul sebagai Juara Lagu ke-27 menewaskan 11 pesaing lain.

Lagu ciptaan sepenuhnya Yunalis Zarai atau Yuna itu disampaikan oleh penyanyi, Aizat Amdan dalam persembahan yang santai tetapi klasik.

Naib juara milik lagu Idola hasil ciptaan Audi Mok dan Azlan yang disampaikan Azlan and The Typewriter.

Lagu Ku Akui nyanyian Hafiz yang dicipta komposer terkenal, Ajai di tempat ketiga.

Sementara itu, Hafiz mengulang kemenangan tahun lalu apabila diumumkan pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Ku Akui bagi AJL27 ini.

Persembahan Black dan RJ dalam menyampaikan lagu Teman Pengganti dipilih penonton sebagai Persembahan Terbaik.

Saturday, January 5, 2013

Dadah: Kes Zarina Anjoulie bukan kali pertama

ZARINA ANJOULIE LAVOCAH membuka tirai tahun baharu 2013 dengan titik hitam angkara dadah.

BUKAN kali pertama Zarina Anjoulie Lavocah dikaitkan dengan dadah. Pada tahun 2010 dia pernah ditahan dalam satu operasi oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Sepang, bagaimanapun ujian air kencingnya menunjukkan dia negatif daripada pengaruh dadah.

Sepi seketika kemudian muncul pula dengan kontroversi dibayar untuk beraksi separuh panas dalam sebuah majalah di Indonesia, sepanjang minggu pelakon itu muncul semula dengan kes dadah terbaharunya.

Sudahlah ditangkap bersama temannya Mohamad Fakhruzaim atas dakwaan memiliki dua biji pil Eramin 5 pada 30 Disember lalu, Zarina yang mengaku tidak bersalah di mahkamah pada Rabu lalu tidak dijamin oleh mana-mana ahli keluarganya sehingga pukul 4 petang. Hasil kegagalan itu, dia terpaksa diheret ke Kompleks Penjara Kajang, Selangor.

Nasib teman lelakinya tidaklah semalang Zarina kerana dijamin oleh abangnya. Sebelum itu pelakon yang masih bergelar pelajar sebuah kolej swasta itu telah direman selama tiga hari di lokap polis.

Sempat merasa masuk penjara yang sebenar, Jumaat lalu pelakon yang pernah membintangi drama Anak Pontianak itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin oleh adik perempuan tirinya sebanyak RM2,000. Zarina, 27, yang berbaju kelabu dan berseluar merah jambu, dijamin kira-kira pukul 10 pagi (Jumaat) di bilik jamin Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Kes itu akan disebut semula 8 Februari nanti. Dakwaan ke atas Zarina dan rakannya dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Friday, January 4, 2013

Ogy tinggalkan dunia seni


MPIAN Ogy untuk membuka sebuah restoran kini tercapai. Banyak masanya kini dihabiskan di sini.

PELAKON dan pengacara sensasi, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy memberitahu, dia tekad mahu meninggalkan dunia seni untuk memberi fokus kepada restoran yang baru dibukanya. Restoran itu dinamakan sebagai Ogy D’Greenwood.

Kata Ogy ketika ditemui pada majlis pelancaran restoran itu yang terletak di Greenwood, Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini, keputusan tersebut diambil bukan kerana tidak mendapat sebarang tawaran lakonan tetapi memiliki sebuah restoran merupakan impiannya sejak dahulu lagi.

“Saya bukan merajuk atau sudah tiada tawaran lakonan tetapi membuka restoran memang impian saya dari dahulu lagi. Terus terang saya katakan bahawa saya telah ketepikan dunia seni sejak Mei tahun lalu untuk menghadiri kursus perniagaan dan persiapan membuka restoran.

“Lagipun sejak restoran mula beroperasi November lalu, masa saya banyak dihabiskan di sini dan diri ini tidak ada masa untuk ke lokasi penggambaran,” katanya yang merancang untuk membuka restoran itu sejak setahun setengah yang lalu.

Sungguhpun begitu, jelas anak kepada Allahyarham Ahmad Daud dan Saadiah itu, darah seni yang mengalir dalam dirinya tidak akan pernah luput.

Jika ada tawaran yang benar-benar menarik dan sesuai dengan jadual waktunya, tawaran itu akan dipertimbangkannya.

Meskipun pernah melalui jatuh bangun perniagaan menerusi syarikat penerbitan Ogy Production yang diusahakan sejak sekian lama, pengalaman pahit itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Jatuh bangun dalam perniagaan itu adat. Pengalaman itulah yang menjadikan saya kuat seperti hari ini. Saya bersyukur kerana keluarga dan rakan kongsi banyak membantu,” tuturnya.

Selain itu, restoran itu akan menjadi peninggalan buat anak angkat Ogy, Nur Aminah Aishah yang kini berusia lima tahun.

“Ketika saya masih aktif dengan dunia seni dahulu, dia selalu memahami kesibukan saya. Sekarang tibalah masa untuk saya membayar semula hutang masa saya kepada dia. Apa yang saya lakukan sekarang adalah demi masa depannya juga.

“Sejak menghabiskan lebih banyak masa dengannya, kehidupan diri ini lebih tenang, teratur dan bahagia. Jadi pada usia 50 tahun, saya bukannya muda lagi. Rasanya sudah tiba masanya untuk saya bertukar corak kehidupan,” luahnya yang berazam untuk menjadi ibu yang berdedikasi buat anaknya itu.

Ogy D’Greenwood mula dibuka pada pukul 12 tengah hari sehingga 12 malam itu menghidangkan masakan Thai, Barat, mi kuah Singapura, rojak Singapura dan paling istimewa, mi udang resipi arwah bapanya, Datuk Ahmad Daud serta hidangan nasi Arab.

Setakat hari ini sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan, malah pihak Ogy tidak menang tangan menerima tempahan perkhidmatan katering.

“Sambutan setakat ini sangat menggalakkan kerana pihak Ogy D’Greenwood bukan sahaja menyediakan perkhidmatan katering tetapi juga menyediakan tempat untuk majlis pertunangan, perkahwinan dan juga pelbagai acara lain,” jelasnya.

Fazreen: Sabar menanti cahaya mata

Gambar perkahwinan Fazreen Rafi dan Marlina.

Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan kehadiran cahaya mata untuk melengkapkan rumah tangga.

Namun, tidak semua yang diimpikan akan tercapai dalam masa yang terdekat mengikut kemahuan. Itulah kata-kata penguat semangat pelakon drama Spa Q, Fazreen Rafi, 27, untuk memujuk hatinya.

Setelah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama, Sharifah Marlina Ashikin Syed Hasan, hasrat untuk memiliki cahaya mata masih belum tercapai.

Sentiasa positif, Fazreen menganggap rezeki itu masih belum menyebelahi dirinya dan isteri.

"Mungkin belum ada rezeki lagi buat kami, namun tidak bermakna kami harus berputus asa.

"Tidak dinafikan, kami teringin untuk memiliki anak seperti orang lain. Isteri saya sudah dua kali keguguran pada dua bulan selepas berkahwin dan tiga bulan selepas keguguran pertama.

"Doktor sahkan rahim isteri saya tidak kuat, jadi buat masa ini, dia mengambil ubat untuk menguatkan rahim. Ini adalah dugaan dan kami harus bersabar," katanya yang berkahwin pada 1 Mei 2011.

Tuesday, January 1, 2013

Hazama sudah punyai kekasih hati


Jika seseorang individu itu memilih untuk menyertai lapangan seni, dia bukan sahaja kehilangan ruang peribadinya, malahan ada ketikanya, kisah peribadi juga turut menjadi perhatian.

Belajar menerusi pengalaman teman selebriti lain dan sedar akan hakikat itu, juara Akademi Fantasia musim kesembilan, Hazama, tidak terkecuali untuk lari daripada diberi perhatian mengenai kisah peribadinya.

Tidak mahu bersikap hipokrit dan bermain tarik tali, Hazama secara terbuka mengakui hatinya telah lama dimiliki. Bukan mahu menjaja kisah peribadi, sebaliknya Hazama turut meletakkan had dalam bercerita kisah cintanya kepada umum.

"Dulu saya hanya insan di belakang tabir, namun hari ini saya sentiasa menjadi perhatian ke mana sahaja saya pergi.

“Jika saya berahsia dengan peminat mengenai cinta saya, sudah tentu mereka akan mengetahuinya juga suatu hari nanti.

“Lagi pun saya tidak mahu perkara ini mendatangkan keburukan kepada diri saya sendiri dan bila saya berterus terang, hati saya rasa tenang,” katanya ketika ditemui di sesi jelajah Anugerah Juara Lagu 27, baru-baru ini.

Ditanya mengenai gerangan gadis yang bertaktha di hati, jelas pelantun lagu Cinta Teragung ini, dia mahu insan istimewa itu dikenali sebagai Nor sahaja.

“Kami sudah saling mengenali antara satu sama lain sejak enam tahun lalu, mungkin sebelum ini saya tidak menceritakannya secara terang-terangan, tetapi hari ini, jujur saya katakan memang saya sudah berpunya,” katanya.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2