NUFFNANG ADS

Thursday, February 28, 2013

Shiera gesa Julia, Sakinah berdamai

Dari kiri Shiera, Sakinah dan Julia


"Sudah-sudahlah tu, berdamailah." Itulah permintaan pelakon komedi terkenal, Sharifah Shahirah berhubung isu perang dingin antara adiknya, Sharifah Sakinah, 24, dan pelakon cantik, Julia Ziegler, 29.

Menurut Shahirah yang lebih mesra disapa Shiera ini, dia mengakui kesilapan adiknya itu dan berharap agar mereka tidak memperbesarkan hal tersebut lagi.

"Saya mohon maaf bagi pihak Sakinah. Saya tahu, Sakinah cuba untuk berbaik semula, namun dia tersilap langkah. Kenyataan Sakinah itu bukanlah untuk memburukkan Julia, namun berharap untuk menjernihkan hubungan tersebut.

"Saya tidak kata adik saya baik dan betul, sememangnya Sakinah bersalah daripada awal lagi. Namun, Julia harus bersikap profesional dan tidak menjadikan media sebagai platform untuk bercerita.

"Kenapa tidak menghubungi Sakinah sendiri untuk bertanya mengenai perkara itu.

"Lagipun, ia bukanlah masalah besar. Mereka hanya perlu berbincang untuk mencari kata putus," katanya yang turut menasihati Sakinah supaya tidak memberikan apa-apa kenyataan kepada media.

Pertelingkahan dua selebriti jelita ini berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Julia mendakwa Sakinah cuba memfitnahnya kepada pelakon, Gambit Saifullah.

Shila Amzah tunai umrah bersama keluarga


Impian penyanyi, Shila Amzah untuk menunaikan umrah bersama keluarganya bakal termakbul, awal Mac ini.

Berita baik ini disampaikan oleh ibu Shila, Fauziah Sarman, menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada wartawan, semalam.

Shila dan keluarga bakal mengadakan majlis doa selamat, sekali gus sidang media bagi menjelaskan segala kekeruhan yang berlaku.

Bagaimanapun, niat murni penyanyi Patah Seribu itu untuk ke Tanah Suci bukanlah kerana kontroversi yang berlaku, sebaliknya ia sudah lama dirancang dan dimakbulkan ALLAH SWT.

Malah, bagi memastikan ibadahnya berjalan dengan lancar, Shila telah mengosongkan jadual seninya selama dua minggu.

Setelah sekian lama 'menghilangkan' diri, Shila akhirnya tampil berkongsi perkembangan dirinya kepada media dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Shila yang sebelum ini berdepan dengan kontroversi cinta terhalang, kini dilihat lebih positif dan enggan lagi menoleh ke belakang.

Menurut Shila, dia mahu melupakan segala kemelut yang berlaku sebelum ini. Malah menerusi Twitternya, Shila sempat membetulkan kenyataan di sebuah akhbar bahawa dia "takkan membenarkan diri dirisik buat masa ini".

“Apa yang pasti, saya mahu memandang ke depan. Dugaan yang ALLAH beri nampaknya sama besar dengan rezeki yang dikurniakan. Saya perlu lebih realistik, malah kini saya sudah nampak hikmahnya,” katanya.

Shila juga turut memaklumkan akan memberi tumpuan terhadap pembikinan album Melayu dan Mandarin sekembalinya menunaikan umrah nanti.

Tuesday, February 26, 2013

‘ALLAH lebih tahu’- Rita Rudaini


Rita ketika ditemu bual di luar Mahkamah Rendah Syariah Seremban

Pergolakan rumah tangga pelakon jelita, Rita Rudaini dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak masih belum menemui jalan penyelesaian sejak setahun lalu.

Setelah suami Rita mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak sayang dan mahu bercerai dengan pelakon Sehangat Asmara itu, Rita tampil mempertahankan dirinya.

“Biarlah dia tak sayang atau tak mahu lagi, saya dah tiada rasa apa-apa perasaan pun.

“Sudah lali, tepu dengan maki hamun dan kata-kata Aidil,” kata Rita kepada wartawan.

Menurut Rita, seandainya jodoh dia dengan Aidil berakhir, dia reda jika ia ditentukan Allah SWT.

Tegasnya, sekiranya jodoh mereka masih panjang walaupun ada pihak cuba memisahkan mereka, semua pihak harus menerima hubungan tersebut.

“Lagipun segala yang berlaku dalam rumah tangga kami, Aidil boleh menipu dengan orang lain tetapi tidak dengan ALLAH.

“Biarlah dia jawab di akhirat nanti fasal semua penipuan yang dilakukannya,” kata Rita.

Sebelum ini, pasangan tersebut bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

Monday, February 25, 2013

Rita dakwa masih sayang Aidil




Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak meminta isterinya, Rita Rudaini Mokhtar supaya hentikan sandiwara dan segera menamatkan krisis rumah tangga mereka yang berlanjutan sejak lebih setahun lalu.

Desakan itu dibuat selepas Rita Rudaini, 37, yang merupakan seorang pelakon membantah permohonan cerai yang difailkan Aidil Zafuan, 26, di Mahkamah Rendah Syariah Seremban semalam, dengan alasan masih sayangkan suaminya itu.

"Kalau dia masih sayangkan saya, kenapa dia tidak mengikut arahan saya sebagai seorang suami. Saya bukan meminta dia membuat perkara yang tidak baik.

"Saya harap dia berhenti 'berlakon' seolah-olah masih sayangkan saya, kerana banyak kenyataannya di dalam akhbar sebelum ini mengaibkan saya sebagai seorang suami," tegas pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim itu kepada media sejurus prosiding.

Percintaan Puteri Sarah-Ammar berakhir...

Ammar Alfian dan Puteri Sarah.

Masyarakat tertanya-tanya mengenai perjalanan kisah cinta penuh drama pelakon popular, Almy Nadia dan Fizz Fairuz, timbul pula kisah terbaru perpisahan pasangan selebriti ini.

Tampil membuat pengakuan, pelakon dan model, Ammar Alfian, mengakui hubungannya bersama Puteri Sarah Liyana, sudah lama berakhir.

Tambahnya lagi, hubungan yang dibina hampir lima tahun itu akhirnya kecundang di tengah jalan kerana tiada keserasian dan kesilapan dirinya yang tidak menghargai Puteri Sarah.

Ketika dihubungi Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 28, mengakui pendedahan bekas kekasihnya itu dan menganggap hubungan cinta itu gagal diselamatkan lagi.

"Ya, memang kami dah berpisah sejak tahun lalu. Apa yang dia (Ammar) beritahu, betul. Kami tiada keserasian walaupun hampir lima tahun berkawan.

"Mungkin kami tiada jodoh untuk bersama dan saya terima ketentuan ini dengan hati yang terbuka.

"Pun begitu, kami masih berkawan dan perpisahan itu dibuat setelah kami berbincang. Kami berpisah atas kehendak bersama," kata pelakon drama bersiri, Adam dan Hawa, ini.


Siaran Radiokita Malam Ini !!


Sunday, February 24, 2013

Aliff lelaki yang baik kata Adira


HUBUNGAN mesra antara penyanyi genit Adira dan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz bukan lagi rahsia. Mereka berdua juga tidak lagi menyembunyi hubungan rapat itu, malah telah memuat naik gambar bersama di Instagram baru-baru ini.

Jika diselak lipatan sejarah, kedua-dua mereka sememangnya mempunyai rekod percintaan yang pernah mencetuskan kontroversi.

Adira pernah dikaitkan dengan Hafiz manakala Aliff sudah tentu 'meletup' dengan cintanya bersama pelakon Anne Ngasri yang musnah di pertengahan jalan.

Tidak mengambil pusing sejarah silam masing-masing, baik Adira mahupun Aliff mengakui serasi bersama.

Kata Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi ketika ditemui pada majlis makan malam bersama peminatnya di Hotel De Palma, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia cukup selesa berkawan dengan Aliff dan menyifatkan Aliff sebagai lelaki yang baik.

"Saya selesa berkawan rapat dengannya, bagi saya dia seorang lelaki yang baik, berfikiran terbuka dan mudah dibawa berbincang," akui Adira.

Bagaimanapun kata Adira, hubungan mereka menjadi rapat selepas kontroversi cinta Aliff dan aktres Anne Ngasri berakhir. Enggan mengambil pusing kata-kata orang sekeliling, Adira mahu menjalani kehidupannya dengan cara sendiri.

"Ya, orang pasti tidak berhenti bercakap tentang kisah silam saya mahupun Aliff kerana karier kami sebagai artis. Selagi kami selesa berkawan rapat, saya tidak lihat ia satu kesalahan," tutur penyanyi yang berasal dari Ranau, Sabah itu lagi.

Disoal tentang gambar mereka memakai cincin yang sama dimuat naik ke Instagram, Adira enggan mengulas lanjut kerana bimbang jawapannya akan dijadikan spekulasi pada kemudian hari.

"Itu hanyalah gambar biasa sahaja, jika saya ulas mengenainya, akan timbul pula spekulasi yang baharu. Saya hanya berkawan rapat dengannya, itu sahaja yang boleh saya beritahu," jelas Adira.

Saturday, February 23, 2013

Gambit dibenci peminat


Satu kaji selidik di sebuah laman internet mendapati 35 peratus daripada 587 pengundi mendakwa mereka benci menonton lakonan Gambit Saifullah. Semua rasa dan komen ini terhambat keluar selepas mereka menonton program realiti keluaran Astro, Fear Factor Selebriti Malaysia yang sedang rancak ke udara kini.

Gambit dan pasangannya Alif Hadi menjadi pasukan yang paling mahu disingkirkan oleh pesaing yang masih tinggal. Bersikap kompetitif dan menjalankan strategi provokasi jelas membuatkan pasangan ini mendapat perhatian positif paling sikit daripada khalayak.

Lebih-lebih lagi Gambit yang dilihat sebagai antagonis dalam Fear Factor ini. Memburukkan keadaan apabila pergaduhan antara Gambit dan Farish turut membuah kebencian dalam hati penonton.

Gambit sedar akan hal itu. Dia tahu dia sedang berkarakter antagonis di mata khalayak. Namun dia mengakui bahawa tidak bermasalah dengan mana-mana peserta program tersebut malah persahabatan dengan Farish masih baik.

"Jujurnya, saya tidak tahu apa-apa tentang arwah bapa Farish yang meninggal kerana lemas. Setelah selesai baru saya tahu," ujarnya yang dilihat tidak sensitif terhadap peserta Fear Factor.

Dalam salah satu cabaran, Gambit menjalankan perang psikologi apabila menyatakan: "Aku harap ada yang akan lemas melakukan aksi ini."

Gambit mendakwa, dia bersikap kompetitif kerana berada dalam sebuah game show di mana semua orang ingin menang.

"Saya tertanya kenapa audiens tidak boleh faham dengan permainan program ini. Mereka terlalu sensitif dan tidak terbuka. Mereka perlu faham istilah game show," kesalnya yang merasakan bahawa penonton perlu memandang daripada sudut produksi dan permainan program.

Syarikat Mila Urus Karnival wow


Dua tahun lalu syarikat Mila iaitu Luvmila Corporation Sdn. Bhd. (LCSB) berpeluang untuk membantu menjayakan Karnival WOW Putrajaya. Mila juga mengadakan persembahan pada konsert karnival tersebut. Tahun ini, bezanya, Mila tidak buat persembahan tetapi hanya terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir sahaja.

“Mila faham, mereka juga ada senarai artis lain untuk konsert itu nanti,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Karnival WOW Putrajaya yang berlangsung di sana, baru-baru ini.

Antara artis yang bakal mengadakan persembahan pada malam konsert itu nanti (yang bakal berlangsung pada 28 Februari hingga 3 Mac ini.) ialah Aizat, Azlan & The Typewriter, Najwa Latif, Mas Idayu, Datuk M. Daud Kilau, Datuk Jeffry Din dan Reshmonu.

Mengulas mengenai karnival anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu, kata Mila, tahun ini banyak penambahbaikan dari segi acara dan program untuk setiap lapisan masyarakat.

Menggunakan tema Undiscovered Jewel, ujar Mila, pelbagai acara menarik bakal disajikan kepada para pengunjung seperti pertunjukan bunga api, peluang menaiki helikopter, menyertai sukaneka, cabutan bertuah, pertunjukkan silap mata, tarian akrobatik Cina, konsert mini untuk Gaza dan bermacam-macam lagi.

Pengisian Karnival WOW Putrajaya mempunyai enam komponen utama iaitu pameran di Pavilion PPj, gerai pameran agensi kerajaan serta gerai jualan dan aktiviti syarikat korporat.

Wednesday, February 20, 2013

Nelydia tak tolak jika ada jodoh


"SAYA selesa berkawan dengan Qi. Kami sudah lama kenal dan rapat ketika penggambaran drama, tahun lalu,” kata Nelydia Senrose.

Menurut Nelydia, sikap Qi, 36, atau nama sebenarnya, Kushairi Mohammed Razali yang matang dan senang didampingi membuatkannya selesa bersama pelakon dan pengacara itu.

“Qi suka bercakap mengenai masa depannya, sikap itu membuatkan saya lebih senang untuk berbincang bersamanya.

“Namun, hubungan kami jangan disalah tafsir kerana kami hanya berkawan.

“Tetapi jika ditakdirkan jodoh saya dengannya, saya tidak boleh menolak perkara itu,” katanya. Hubungan Nelydia bersama bekas kekasih Yuna itu mula menjadi bualan selepas Qi menerusi sebuah akhbar, mengakui selesa bersama pelakon yang kian meningkat naik melalui watak Ersalina dalam drama Setia Hujung Nyawa itu. Qi juga mengaku mereka berdua sudah lama kenal dan masih dalam proses mengenali diri masing-masing.

Beralih kepada perkembangan seninya, Nelydia berkata, dia kini kembali fokus terhadap pelajarannya dan jadual waktunya semakin padat.

“Walaupun sekarang tiada penggambaran, namun saya akan mempertimbangkan tawaran yang diterima.

“Bagaimana pun, jika bercanggah dengan waktu belajar, saya terpaksa menolak kerana tidak mahu terikat dengan komitmen dan tidak mahu menghampakan pihak produksi,” katanya.

Fizz Fairuz terkejut,Tunangnya isteri orang

Fizz Fairuz

Pertunangan Fizz Fairuz hanya bertahan seminggu apabila pelakon itu memutuskan ikatan dengan tunangnya Ahad lalu, selepas mengetahui wanita berkenaan rupa-rupanya sudah bersuami.

“Saya benar-benar tertipu dan tidak menyangka tunang saya itu isteri orang,” kata Fizz, 34, semalam.

Pertunangan Fizz secara diam-diam dengan seorang wanita berusia 26 tahun di Kuantan, Pahang pada 10 Februari lalu, mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini dia hangat bercinta dengan pelakon, Almy Nadia, 27, sejak tujuh tahun lalu.

“Saya tidak menyangka perkara sebegini berlaku dan kehidupan saya seolah-olah ‘diatur’ oleh dia (bekas tunangnya) sejak kami berkenalan setahun lalu,” katanya yang menyifatkan kemungkinan dia terkena buatan orang.

Fizz berkata, empat hari selepas bertunang iaitu pada Khamis lalu, baru dia tahu tunangannya itu isteri kedua seorang usahawan berusia 40-an dan mereka bernikah di selatan Thailand beberapa tahun lalu.


Tuesday, February 19, 2013

Cerita Datuk Aznil setelah dapat gelaran...


PENGACARA, penyanyi, pelakon dan penyampai radio popular Datuk Aznil Nawawi, 51, cukup berbangga apabila diberi penganugerahan pingat Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk di Istana Negara sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.

Aznil yang ditemui pada majlis memperkenalkan wajah baharu Astro baru-baru ini mengatakan usahanya selama 23 tahun dalam bidang penyiaran terbayar apabila diberi penghormatan daripada pihak tertinggi kerajaan Malaysia.

Meskipun begitu Aznil yang sudah sinonim dengan gelaran Pak Nil dalam kalangan peminat dan teman media menegaskan jika orang sekeliling berbangga dengan pangkat Datuk yang diterimanya maka, kini mereka harus berbangga memanggilnya Datuk Aznil.

" Anugerah yang diterima diberi oleh Yang di-Pertuan Agong, jika saya tidak menggunakan gelaran Datuk itu seperti saya tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong. Siapa kita untuk mempersoalkan pilihan orang yang mempunyai kuasa untuk memilih. Sudah tentu mereka melakukan kajian terlebih dulu sebelum memberikan anugerah itu kepada saya.

" Terus-terang saya katakan gelaran Datuk ini membuka lebih peluang kepada saya untuk membantu orang lain kerana orang sudah tidak mempertikaikan kredibiliti saya. Cita-cita saya adalah mahu membantu anak-anak Malaysia lebih pandai bercakap kerana dengan keberanian bercakap mereka boleh jadi macam-macam. Sebelum ini agak sukar untuk saya yakinkan pihak sekolah tentang projek ini, mungkin dengan gelaran Datuk ini akan memudahkan lagi laluan itu.

" Gelaran Datuk yang saya terima bukan hanya untuk saya banggakan, tetapi ia datang dengan tanggungjawab dan amanah yang besar. Sebelum ini saya ada wujudkan projek amal yang dikenali sebagai Hero Malaya yang mendedahkan artis kita kepada tanggungjawab sosial. Selepas ini saya ingin kembangkan dengan mewujudkan sebuah yayasan amal.

Jelasnya lagi,Yayasan ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu artis Malaysia seperti kembangkan kerjaya ke luar negara dan menubuhkan rumah orang tua-tua. Saya sedih melihat kebanyakan artis tempatan di penghujung usia mereka yang hidup melarat. Mereka sakit kerana dipinggirkan. Jadi saya harus mulakan semua ini dan jika tidak ada aral melintang semua impian saya itu akan wujud dalam tahun ini juga.

Sunday, February 17, 2013

Siti Saleha tak lupa diri


Siti Saleha memberitahu dia tidak akan lupa untuk beraksi di kaca televisyen.

Menurutnya, sebagai seorang pelakon yang sedang meningkat naik, dia tidak mahu membataskan karier lakonannya dengan hanya terlibat di layar perak sahaja.

"Memang ada sesetengah pelakon memilih untuk beri tumpuan sepenuhnya terhadap lakonan filem supaya menjadi lebih eksklusif dan itu hak masing-masing.

"Tapi saya lebih selesa untuk berlakon tidak kiralah dalam filem mahupun drama kerana itulah rezeki saya. Kalau boleh saya juga mahu seimbangkan keduaduanya," ujarnya.

Selain filem Kerat 14, Saleha bakal muncul dalam lima lagi filem pada tahun ini iaitu Mamak Cupcakes, KL Zombie, Pencinta, Bravo 5 dan Pak Pong.

Saturday, February 16, 2013

Seniman veteran Malaysia Kuswadinata meninggal dunia


Seniman veteran era 1950-an Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang, 75, meninggal dunia di Hospital Ampang di sini, jam 5.07 petang semalam.

Menurut anaknya, Irwan, 25, Allahyarham yang lebih mesra dipanggil Pak Kus menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri Kamariah Mohd Said, 58, dan empat anaknya, Jasmine, 27, Hafsham, 26 serta Rizal, 23. “Jenazah ayah akan dibawa ke rumah keluarga di Jalan Rasmi 4, Taman Rasmi Jaya, Ampang. Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ampang esok (hari ini) jam 11 pagi,” katanya yang sempat dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas.


Bintang Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat arahan Tan Sri P Ramlee itu dimasukkan ke hospital sejak 9 Februari lalu akibat pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar dihidapinya empat tahun lalu. Allahyarham turut mengalami barah prostat dan masalah buah pinggang teruk sehingga menyukarkan buang air kecil secara normal.

Sepanjang terlantar di hospital, Allahyarham sempat dikunjungi pihak media bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan). Malah, Menteri Kebudayaan Dan Pelancongan Datuk Seri Dr Rais Yatim turut meluangkan masa memberi sumbangan daripada Tabung Kebajikan Artis kementerian.


Media semalam melaporkan, Allahyarham berhasrat membawa keluarga bercuti di Pulau Kapas

Friday, February 15, 2013

Gandingan Aaaron Aziz - Siti Saleha "Kerat 14"

Aaron Aziz dan Siti Saleha antara pelakon yang menjayakan filem Kerat 14.

Pasti ramai yang menyangka filem Kerat 14 ini diilhamkan daripada tragedi yang berlaku pada 1993 melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, yang telah dibunuh dengan kejam.

Justeru, tidak hairanlah 'trailer' filem ini mendapat tontonan hampir dua juta orang di laman sosial YouTube.

Namun, pengarah filem ini, Arjin Uppal menafikan perkara terbabit dan menegaskan segala jalan cerita dan skrip dihasilkan menerusi imaginasi dan untuk hiburan semata-mata.

Malah, bagi menggelakkan berlakunya kesilapan yang boleh membuatkan karyanya membelakangi undang-undang, Arjin sanggup bertemu beberapa kali dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) bagi mendapatkan nasihat serta panduan yang bersesuaian.

"Ingin saya tegaskan, filem ini tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak dan kami juga banyak berbincang dengan PDRM dan LPF bagi mendapatkan panduan dan perbincangan.

Selesai perbincangan, kita akan rombak semula skrip, mengikut kesesuaian seperti yang dibincangkan. Ini kerana, saya tidak mahu babak keganasan itu dipaparkan secara melampau, oleh kerana itu, tidak ada babak menunjukkan badan mangsa dikerat sepenuhnya.

"Hasilnya, LPF tidak memotong mana-mana babak di dalam filem ini kerana sejak awal lagi, kita telah olah skrip mengikut kesesuaian," katanya yang ditemui pada sesi tayangan filem tersebut, baru-baru ini.

Aaaron Aziz dan Siti Saleha dipilih sebagai teraju utama filem ini dan turut dibantu oleh Zamarul Hisham, Arash Mohamad, Ali Arami, Fouziah Gous dan Arora Salwa.

Bagaimanapun, pada pendapat penulis yang sudah menonton filem tersebut baru-baru ini, Arjin mampu untuk menjadi pengarah yang berkaliber sekiranya dia berani tampil dengan sebuah naskhah yang lebih kuat.

Thursday, February 14, 2013

Irma & Redza bakal timang anak lelaki


Bagi pelakon terkenal, Irma Hasmie, dia sangat bersyukur kerana tidak perlu menunggu lama untuk bergelar ibu.

Bakal menyambut kelahiran pertama pada Mac depan, Irma dan suami, Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan, teruja menanti kehadiran si kecil.

Menurut Irma, 30, ketika menjalani ujian imbasan doktor mengesahkan dia bakal menimang anak lelaki.

“Saya dan suami tidak kisah mengenai jantina. Yang penting, kandungan sihat dan tidak mengalami apa-apa masalah.

“Alhamdulillah, setakat ini, kandungan saya sihat dan semuanya baik-baik sahaja.

"Lagipun, sepanjang tempoh kehamilan, saya tidak mengalami alahan yang teruk,” katanya yang masih lagi terlibat dalam pengacaraan program, Assalamualaikum, di TV AlHijrah.

Wednesday, February 13, 2013

Siti cuti tiga bulan untuk jaga suami


Penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengambil cuti tiga bulan daripada aktiviti seni bermula bulan lalu hingga Mac untuk memberi perhatian terhadap Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa selepas suaminya itu terbabit dalam kemalangan motosikal di New Zealand pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, keadaan Khalid, 53, atau lebih mesra dengan panggilan Datuk K semakin pulih tetapi perlu menghadiri lebih banyak sesi fisioterapi di hospital.

"Alhamdulillah, proses rawatan berjalan lancar dan lebih menumpukan pada bahagian tangan. Sebagai isteri, saya perlu berada di sampingnya untuk membantu menguruskan kehidupan seharian seperti mandi dan makan," katanya pada sidang akhbar sempena Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan di sini semalam.

Tambahnya, pengalaman menjaga suami semasa sakit menyedarkan beliau betapa sukarnya menjadi seorang suri rumah sepenuh masa.

Tuesday, February 12, 2013

Saya masih solo kata Linda Onn



SELEPAS dikaitkan dengan pelakon kacak, Fahrin Ahmad, Linda Onn atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 36, mengakui masih lagi single dan mencari-mencari calon yang sesuai untuk dijadikan suami.

Linda yang ditemui ketika majlis kolaborasi resipi baharu restoran miliknya, My Mom’s Chicken Rice bersama Datuk Fazley Yaakob menerusi hidangan nasi ayam salai lemak cili padi, di Ampang, Selangor baru-baru ini, pada awalnya cuba ‘melarikan diri’ daripada menjawab pertanyaan mengenai bakal pasangan hidupnya.

Bagaimanapun, selepas diasak pertanyaan mengenai perkara itu daripada pihak media, Linda akhirnya akur dan berdepan dengan soalan lazim mengenai perancangan menamatkan zaman bujangnya.

" Hati ini masih lagi milik keluarga. Saya masih lagi solo dan tidak pernah berhenti berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan seseorang yang istimewa.

" Semua orang inginkan yang terbaik untuk dirinya, apatah lagi pasangan hidup. Namun, itu semua ketentuan Illahi. Saya hanya berusaha, Tuhan yang menentukan.

Bagaimanakah pula dengan desas-desus mengatakan Linda akan berkahwin dalam masa terdekat ini?

"Itu semua tidak benar, tetapi biarkan mereka terus bercakap bahawa saya akan berkahwin, ungkapan itu satu doa. Moga-moga dengan doa mereka itu saya akan bertemu dengan jodoh saya tidak lama lagi. Amin.Jelasnya.

Sunday, February 10, 2013

Black hormati permintaan keluarga tunang


Putus cinta dengan kekasihnya pada akhir tahun lalu, penyanyi Hanifah Md. Hanafiah atau lebih popular dengan panggilan Black Mentor tidak mengambil masa yang lama untuk mencari teman pengganti.

Namun begitu, lebih mengejutkan apabila tersebar berita yang menyatakan Black telah mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis baru-baru ini.

Ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Juara Lagu ke-27 yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 4 Februari lalu, Black masih enggan mendedahkan identiti tunangnya itu, meskipun telah diasak oleh pihak media.

"Pada kesempatan ini saya ingin menjelaskan bahawa berita tentang pertunangan saya itu memang benar. Saya telah bertunang pada 26 Januari lalu dalam sebuah majlis yang dibuat secara sederhana.

"Namun begitu, saya ingin memohon maaf kepada semua pihak, terutamanya rakan-rakan media dan peminat kerana merahsiakan perkara ini. Saya akui agak risau sekiranya ada mana-mana pihak yang berkecil hati.

"Buat masa ini, saya tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut tentang tunang saya itu. Apa yang boleh saya katakan, kami sudah berkenalan selama dua bulan menerusi seorang rakan.


Semuanya saya lakukan ini semata-mata atas permintaan pihak keluarga perempuan yang tidak mahu terlalu menjadi tumpuan ramai. Jadi, saya mengambil keputusan supaya lebih berahsia bagi menghormati permintaan mereka.

"Apatah lagi sepanjang tempoh pertunangan, pastinya pelbagai cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi, maka kami perlu menjaga hubungan ini dengan sebaik-baiknya Jelas Black.

Saturday, February 9, 2013

Bekas pelakon pingin nikah

BANGLO milik Ibrahim bernilai lebih RM1.8 juta di Taman Keramat, Kuala Lumpur.

“Kalau semua anak dah tak peduli lagi, pak cik nak cari calon isteri. Tak kiralah umur berapa, wanita tempatan atau Indonesia, asalkan dia benar-benar ikhlas nak jaga pak cik, cukuplah. Jika sanggup (berkahwin), pak cik akan wasiatkan semua harta, termasuk sebuah banglo di Taman Keramat, kepada bakal isteri.”

Itulah tawaran dibuat Ibrahim Othman, 83, yang bercadang menamatkan zaman dudanya jika menemui calon isteri sesuai yang dapat menjaga makan minumnya.
Nilai tanah dan banglo berkenaan kini dianggarkan antara RM1.5 juta hingga RM1.8 juta.

Ibrahim, bekas pelakon drama radio pada 1970-an hingga 1980-an yang terkenal dengan watak Seman dalam Kebun Pak Awang, menjadi penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia (Fikrah), Sungai Sekamat, di sini, sejak tiga bulan lalu, selepas menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana masalah saraf dan trauma.

Disebabkan tiada seorang pun daripada tujuh anak kandungnya datang menjemput selepas dia dibenarkan keluar dari wad, pengurusan hospital mengambil keputusan menghantarnya ke pusat jagaan itu selepas mendapat persetujuannya.

Ketika zaman mudanya, Ibrahim antara pelakon utama Kebun Pak Awang yang berjaya mengangkat populariti drama radio berunsur pembangunan terbitan RTM itu hingga mampu bersiaran selama sedekad.

Thursday, February 7, 2013

Ana Dahlia masih solo


TERPAKSA melalui episod duka apabila perkahwinan kedua yang dibina hanya bertahan 11 bulan, Ana Dahlia, kini lebih berhati-hati dalam memilih teman hidup.

Walaupun sudah keseorangan sejak tiga bulan lalu, Ana atau nama sebenarnya, Diyana Mastura Jaafar, 29, mengakui belum terfikir untuk memiliki pasangan hidup dalam masa terdekat ini.

Pun begitu, muncul khabar angin yang mengatakan pelakon drama bersiri, Cinta Itu Milikku, ini sudah dimiliki.

Apatah lagi kehadiran Ana di majlis persandingan penyanyi dan pelakon, Liyana Jasmay, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini ditemani seseorang.

Pantas menepis dakwaan itu, akui Ana, dia masih belum terfikir untuk memiliki teman istimewa.

"Memang saya berteman dalam majlis itu. Saya hadir bersama rakan baik saya, Zandra yang juga atlet boling kebangsaan.

"Mungkin lelaki yang dimaksudkan ialah jurugambar yang mengiringi saya ketika sesi fotografi di luar dewan.

"Saya masih sendirian dan jika selepas ini saya dipertemukan dengan pasangan hidup, ia adalah ketentuan Ilahi. Tapi, buat masa ini, saya lebih memberi tumpuan kepada kerjaya," katanya yang bakal muncul dalam drama, Kerana Lelaki, di slot Ratu, TV9.

Selain itu, Ana juga bakal menjalani penggambaran drama RTM berjudul, Nyiur Nan Sebatang, dua minggu lagi.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai hubungan dengan bekas suaminya, Chef Riz atau Mohd. Nadzri Datuk Redzuawan, Ana berkata, biarpun telah berpisah namun mereka masih mengekalkan hubungan baik.

Malah, berita mengenai Chef Riz, yang kini memiliki teman istimewa hanya diselangi dengan ketawa kecil.

Katanya, dia mendoakan agar kebahagiaan menyelubungi kehidupan bekas suaminya itu.

"Alhamdulillah, kalau dia (Chef Riz) dah jumpa teman hidup. Saya tiada masalah dengan perkara itu dan sentiasa mendoakan kebahagiaan dia.

"Namun, pesan saya, tolong fokus dengan sesuatu perkara tidak kira dalam hubungan cinta, kehidupan peribadi mahupun kerjaya.

"Kalau boleh, saya tidak mahu perkara yang sama berulang lagi kepadanya. Sebagai kawan, saya hanya mendoakan yang terbaik," katanya.

Wednesday, February 6, 2013

Sharnaaz batal majlis merisik Shila





TAK payah nak hipokrit!," tegas pelakon, Sharnaaz Ahmad ketika ditanya mengenai kenyataan kekasihnya, Shila Amzah, berhubung kemelut yang mereka alami.

Shila yang kini berada di kota Shanghai, tampil memohon maaf di atas apa yang berlaku antara Sharnaaz dan bapanya, ND Lala menerusi e-mel kepada pihak media.

Menerusi kenyataannya itu, Shila, 23, tidak menyalahkan mana-mana pihak. Namun sebagai anak dan kekasih, dia mengharapkan segala kekusutan yang timbul segera berakhir.

Bagaimanapun, Sharnaaz, 28, yang dihubungi wartawan mengakui tidak tahu menahu mengenai e-mel dari kekasihnya itu.

"E-mel apa pula ni? Saya tak tahu apa-apa dan malas nak layan. Semuanya propa saja!

"Saya tak nak ambil tahu kerana kesudahannya, saya juga akan dipersalahkan. Lebih baik saya mengambil keputusan berdiam diri dan fokus dalam kerjaya.

"Buat masa ini, saya hanya fikir kerja saja. Yang lain, saya malas nak fikir. Terpulanglah pada dia (Shila) nak buat apa sekalipun. Saya tak nak ambil tahu lagi," tegasnya.

Diajukan tentang hasratnya untuk merisik Shila pada Mac ini, pelakon Ruby ini berkata, dia terpaksa membatalkan hasratnya itu.

"Saya tidak akan hantar rombongan merisik. Saya sendiri pun tidak tahu ke mana hala tuju hubungan ini.

"Saya tak pasti dan hanya berserah," kata pelakon drama Bukan Bidadari ini.

Ditanya lagi apakah hubungannya dengan Shila sudah berakhir, Sharnaaz bagaimanapun enggan mengulas perkara tersebut.

"Seperti yang saya katakan, saya dah malas nak layan semua ni lagi. Saya tak nak bercakap tentang dia (Shila) lagi," katanya dengan nada yang kecewa.

Pelawak Yahya Sulong Meninggal Dunia


Pelawak Datuk Yahya Sulong, 85, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini kira-kira pukul 6.45 petang Rabu.

Berita itu disahkan sendiri oleh isteri Allahyarham iaitu Datin Alisah Ali, 64, ketika dihubungi wartawan malam Rabu.

Alisah berkata, suaminya dimasukkan ke HKL pada 11 Januari lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk asma.

Yahya sebelum ini pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakitnya itu termasuklah ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Bandar Baru Sentul.Sekumpulan wartawan (kiri) berada di luar rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Rabu malam untuk melihat jenazah Yahya Sulong.

Sepanjang penglibatan Allahyarham dalam dunia seni, beliau banyak berlakon filem antaranya Abu Nawas, Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du dan Prebet Lapok.

Yahya pernah berkahwin sebanyak empat kali dan mempunyai 11 orang anak, enam cucu dan dua cicit.

Selain terlibat dalam dunia seni, Yahya pernah bertugas dalam pasukan polis pada tahun 1948 bagi menentang komunis.

Jenazah Allahyarham di jadual dikebumikan di kampungnya di Teluk Intan, Perak pada malam Rabu.

Tuesday, February 5, 2013

Pelakon drama Sahara mohon maaf

ANTARA babak kontroversi Sahara yang menyaksikan Reen yang membawa watak wanita berpurdah berpelukan dengan Ikhwan.

Tiga pelakon lelaki drama bersiri kontroversi, Sahara semalam tampil membuat permohonan maaf berikutan babak yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Islam sehingga menyebabkan tayangannya terpaksa dihentikan di saluran Astro Prima baru-baru ini.

Tindakan itu diambil apabila pelakon lain yang turut membintangi drama yang ditayangkan di saluran itu menerima tempias dan mendapat kecaman pelbagai pihak terutama di blog dan laman sosial seperti Facebook.

Pelakon Arief Farhan, Faried Wari dan Muaz Aydyl tampil membuat permohonan maaf secara peribadi tanpa melibatkan pihak produksi atau stesen televisyen.

“Kami mengharapkan orang ramai berhenti membuat tohmahan dan provokasi di laman sosial.

“Kami memohon maaf sekiranya isu ini mencetuskan kemarahan. Setiap manusia melakukan kesilapan dan kami mengakui kesilapan kami,” jelas Arief yang mewakili barisan pelakon drama tersebut pada sidang akhbar di sini semalam.

Drama tersebut sebelum ini mencetuskan kemarahan apabila terdapat babak romantis yang melibatkan wanita berpurdah lakonan Reen Rahim bersama watak yang dilakonkan oleh Ikhwan Khairuddin.

Reen sebelum ini telah memohon maaf dengan mendakwa dia tidak berniat mempersendakan agama.

Pengarah drama terbitan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. itu, Dinesh Samby belum mengeluarkan kenyataan mengenai kontroversi tersebut.

Drama 20 episod itu dihentikan tayangannya sehingga episod ke 15 minggu lalu.

Sahara mengisahkan seorang gadis bandar yang liar terpaksa tinggal di sekolah pondok dan berdepan cabaran menjadi wanita muslimah sebelum jatuh cinta dengan seorang pelajar di situ.

Sunday, February 3, 2013

Kereta Abon terbabas






Pelawak dan pelakon terkenal, Abon atau nama sebenarnya Sharizan Ahmad, 53, sanggup meninggalkan kenderaannya yang terbabas di Kilometer 13, Jalan Mersing-Endau di sini dan menumpang kenderaan lain untuk ke Dataran Pulau, Mersing, semata-mata kerana enggan menghampakan peminatnya.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, Abon dikatakan dalam perjalanan ke Mersing menghadiri majlis My Beautiful Malaysia dari Gambang, Kuantan, Pahang, sebelum kereta BMW dipandunya terbabas.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak melemahkan semangat pelawak terkenal itu, sebaliknya beliau menumpang orang ramai yang melalui jalan itu untuk meneruskan perjalanan.

Abon ketika ditemui berkata, dia enggan menghampakan ribuan peminat yang sedia menunggu di Dataran Pulau, Mersing menyebabkannya nekad meninggalkan keretanya di tempat kejadian.

“Saya baru selesai menghadiri majlis makan malam di Gambang malam semalam (kelmarin) sebelum bertolak ke Mersing pagi tadi (semalam) bagi memenuhi undangan majlis ini.

“Ketika kejadian saya memandu pada kelajuan biasa kerana hujan baru berhenti dan jalan licin. Bagaimanapun, ketika membelok di satu selekoh kereta terbabas ke kanan menyebabkannya melanggar tebing tanah dan terperosok dalam longkang,” katanya.

Saturday, February 2, 2013

Norman Hakim-Memey dapat anak lelaki

MEMEY memangku bayi lelakinya, Mohamed Darwisz.

Pelakon Suhaiza Suhaimi atau Memey, 25,selamat melahirkan bayi lelaki, Mohamed Darwisz Hakim, di sebuah hospital swasta di sini, jam 9.50 malam kelmarin.

Sewaktu dihubungi, Memey berkata, dia bersyukur kandungannya sihat dan dilahirkan secara normal dengan berat 3.4 kilogram.

Katanya, walaupun sebelum ini sewaktu mengasuh anak tirinya, Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4, mereka sudah besar, ia sedikit sebanyak memberikannya pengalaman.

“Saya tak kekok apabila kali pertama memegang Darwisz dan menyusu badan. Rasa seperti sudah biasa dan bersyukur dengan pengalaman ini,” katanya.

Menceritakan pengalaman melahirkan anak sulung, pelakon berasal dari Kota Tinggi, Johor ini berkata, pada peringkat awal dia berasa sakit pinggang, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggapnya normal.

 “Saya mula terasa sakit 31 Januari lalu, dan pada sama doktor menjangka saya akan melahirkan anak pada 28 Januari. Selepas memberitahu Norman, dia turut jangka saya mahu bersalin,” katanya.

Jelas Memey, Norman yang baru pulang menjalani penggambaran jam 6 pagi kelmarin bergegas membawanya ke hospital.

“Disebabkan mahu melahirkan anak sulung secara normal, saya terpaksa tahan selama satu hari hinggalah kelmarin selepas Maghrib, doktor berkata saya bersedia untuk melahirkan,” katanya.

Memey berkata, sepanjang proses melahirkan, Norman turut berada di sisi dan mengazankan Darwisz.

Friday, February 1, 2013

Aznil Nawawi kini bergelar Datuk


Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk kepada Datuk Aznil Nawawi di Istana Negara hari ini.

Pengacara terkenal tanah air, Aznil Nawawi menjadi antara individu yang menarik perhatian daripada 283 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat, dalam istiadat penganugerahannya yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara sempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.

Beliau merupakan antara 41 individu dikurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sekaligus membawa gelaran Datuk.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2