SEKIAN sekian lama berteka-teki, selebriti terkenal, Datuk Hans Isaac mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang dengan pilihan hatinya yang juga bekas ratu cantik Malaysia, Gabriella Robinson pada 29 Julai depan.
Pasangan ini bakal melangsungkan perkahwinan di Gereja Saint John Cathedral, Kuala Lumpur manakala majlis resepsi pula dilakukan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
Hans dan Gabriella saling mengenali ketika pelakon berusia 46 tahun itu menjadi juri untuk pertandingan Miss Universe Malaysia pada 2011, lapor Media Hiburan.
Bagaimanapun, hubungan itu terputus seketika dan mulai kembali rapat pada 2016.
"Selepas terpisah seketika, kami bertemu semula dan mula berkawan rapat sejak tahun lalu.
"Dia sangat istimewa di hati saya. Walaupun bergelar ratu cantik, dia sebenarnya seorang yang sangat simple dan merendah diri," katanya ketika ditemui di sidang pengumuman majlis bahagianya, hari ini.
Sebelum itu, pasangan ini selamat bertunang pada 29 Januari lalu, selepas pelakon filem J Revolusi tersebut melamar kekasihnya di Gereja Cathedral of The Good Sheperd di Singapura.