NUFFNANG ADS

Wednesday, August 31, 2011

Polis ambil tindakan terhadap pelakon Azmil Mustafa

Azmil Mustafa






SHAH ALAM – Polis akan mengambil tindakan terhadap seorang pelakon yang kini menjadi pendakwah bebas, Azmil Mustafa, didakwa mengkafirkan kerajaan dan sistem diguna pakai ketika menyampaikan tazkirah di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, Petaling Jaya, 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada Azmil Rabu lalu dan dia disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang akan dikenakan terhadap Azmil.

“Saya tidak boleh beritahu tindakan yang akan kita ambil selepas ini. Sampai masanya, kita akan ambil tindakan ikut undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Azmil didakwa mengkafirkan kerajaan dan mengecam sistem pemerintahan sekarang dalam satu ceramah di hadapan 300 jemaah.

Tuesday, August 30, 2011

Radhi kembali kepada fitrah

Beraya di Rumah Pengasih.



KUALA LUMPUR - “Lebaran kali ini terlalu jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun lalu. Ia bakal menjadi lebaran paling sempurna buat saya selepas sekian lama saya mengambil barang itu (dadah),” kata Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali sebagai Radhi, 34, vokalis kumpulan OAG ketika ditemui di Rumah Pengasih di sini, semalam.

Radhi yang memasuki pusat itu sejak 11 Januari lalu kini sedang menjalani proses pemulihan bagi membuang ketagihannya terhadap dadah yang diambil selama kira-kira 10 tahun selain mahu mendalami ilmu agama.

Menurut Radhi, hari raya Aidilfitri tahun ini bakal memberi seribu makna kepadanya kerana dia kini lebih menghayati erti Ramadan selepas berjaya melengkapkan ibadah puasa serta solat sunat Tarawih berbanding sebelum ini dan tumpuannya hanya kepada menyambut perayaan Aidilfitri.

Radhi bagaimanapun tidak menafikan masih wujud kesukaran untuknya meninggalkan najis itu secara 100 peratus pada peringkat awal namun keberkatan solat fardu yang ditunaikan mampu menghindari dirinya daripada terjebak semula.

“Selepas bertahun-tahun, saya kini benar-benar menemui jalan yang sepatutnya saya pilih dari dulu lagi dan di sinilah tempatnya. Memang dulu saya pernah cuba berubah, tapi gagal kerana saya tidak begitu kuat apatah lagi tiada sokongan jemaah (masyarakat) seperti sekarang.

“Saya bercadang meraikan hari raya pertama di sini (Rumah Pengasih) bersama penghuni lain. Ibu dan anak saya mungkin akan,” katanya.

Mengimbau kenangan lampau ketika masih dipengaruhi dadah suatu ketika dulu, Radhi berkata, najis itu sebenarnya banyak mencetuskan perkara negatif dalam hidupnya termasuk pergolakan rumah tangga yang dibina selama lebih lima tahun.

Malah, menurut Radhi, setiap kali menjelang raya, hanya jasadnya yang berada bersama keluarga namun pemikirannya lebih ke arah khayalan disebabkan pengaruh dadah.

Monday, August 29, 2011

Gema Syawal Sheila Majid

SELEPAS meraikan hari lebaran yang jatuh pada hari ini, Sheila akan terbabit dengan konsert di Sutera Harbour, Sabah menjelang hujung September ini.




Datuk Sheila Majid, 46, masih cantik dalam usianya itu malah aura yang tersimpan dalam figura genit itu sungguh mempesonakan.

Hingga ke hari ini, namanya masih tersemat utuh dalam kalbu peminatnya yang menggemari stail, muzik dan identiti yang dibawanya sejak album sulung Dimensi Baru pada tahun 1985 lagi.

Kesempatan yang diberikan untuk Kosmo! berbicara dengan penyanyi kesayangan ramai itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membicarakan kemeriahan sambutan lebarannya selain ceritera terkini empunya nama Shaheila Abdul Majid atau serasi dengan panggilan Sheila Majid.

Bagi isteri kepada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hasridz Murshim Hashim Abdullah atau mesra disapa Acis itu, sepanjang hidupnya sambutan raya hanya berkisar di bandar raya Kuala Lumpur.

“Orang banyak tak tahu Kuala Lumpur memang kampung saya dan Acis, sejak lahir saya beraya di sini,” katanya.

Tambahnya, raya di kampung orang tidak sama dan semeriah menyambutnya di ibu kota Kuala Lumpur.

“KL (Kuala Lumpur) memang kampung saya, apa yang penting hari raya memberi peluang untuk berkumpul dan berjumpa sesama sanak saudara tak kisah di mana-mana sekali pun,” katanya yang menyelami makna sebenar hari raya dalam erti kata lebih jelas.

Ujar pelantun lagu Ku Mohon itu lagi, bulan Syawal juga peluang untuk mengeratkan hubungan dan tali persaudaraan sesama anggota keluarga.

Sunday, August 28, 2011

Benjy dirawat di wad ICU

Keadaan Benjy yang dirawat di wad ICU Hospital Putrajaya.





PUTRAJAYA - “Lemah”. Hanya itu perkataan yang keluar dari mulut pelakon, Khairil Benjamin Ibrahim, 33, atau lebih dikenali sebagai Benjy yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya, di sini, selepas diserang penyakit asma kronik.

Difahamkan Benjy dimasukkan ke hospital berkenaan sejak tiga hari lalu kerana menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di hidungnya yang selama ini menyebabkan dia sukar bernafas.

Bagaimanapun, selepas pembedahan itu dia diserang asma teruk sehingga memerlukannya menggunakan alat bantuan pernafasan.

Anak lelaki tunggal seniwati terkenal Azean Irdawaty itu ketika ditemui di hospital berkenaan, petang semalam kelihatan payah bercakap akibat kesukaran bernafas.

Namun, sewaktu kunjungan wartawan, alat bantuan pernafasan sudah dibuka dan dia boleh bernafas sendiri walaupun dalam tersekat-sekat.

Walaupun lemah, keadaannya stabil, tetapi belum mengetahui bila dapat keluar dari wad berkenaan.

“Lemah, tapi lebih baik,” katanya, sambil sesekali memejamkan mata dan sering menarik nafas panjang.

Benjy berkata, sepanjang berada di hospital dia ditemani bapanya, Khairil Anuar Zainal Mukhtar.

Ini kali kedua Benjy dimasukkan ke ICU akibat diserang asma. Pada 20 April lalu, Benjy yang ketika itu dalam perbicaraan membabitkan kes dadah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dimasukkan Hospital Pakar Damansara kerana mengalami masalah pernafasan dan asma.

Benjy sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila ditahan polis di rumahnya Mac tahun lalu, untuk membantu siasatan kes pengedaran dadah.

Selepas lebih setahun kes itu dibicarakan di mahkamah, Benjy dikenakan hukuman denda RM5,000 kerana kesalahan memiliki 0.24 gram syabu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Hafizza Sauni, 17 Ogos lalu.

Saturday, August 27, 2011

Puteri Amy Search nekad nak cerai

TEMPOH percintaan hampir tujuh tahun bukan jaminan untuk Nabila dan Zaidi kebal melawan gelora dalam berumahtangga. Belum sampai tiga tahun berkahwin, mereka berdepan konflik dan Nabila sendiri memanjat tangga pejabat kadi untuk menuntut haknya.



Nabila Huda Tiga tahun hidup berkelamin bersama Zaidi Zailani, 30, putik cinta mereka membenihkan puteri comel, Keisha Laila yang kini berusia setahun.

Ketika si anak sedang laju membutirkan panggilan papa dan mama, hubungan suami-isteri aktres berusia 27 tahun itu akhirnya menjengah jua ke Bahagian Perkahwinan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), awal minggu lalu.

Rupa-rupanya Nabila selama ini menyembunyikan kisah hidupnya daripada diselak oleh sesiapa. Jika ada pun, ia sekadar cerita yang mampu dibawa oleh angin, seperti tidak menjejaskan langsung kerukunan antara Nabila dan Zaidi yang dikenalinya bertahun-tahun sebelum bergelar suami isteri pada Disember 2008.

Namun, Nabila yang juga puteri sulung rockers popular Amy Search itu sendiri sudah memberikan penjelasan bahawa kehadirannya ke Jawi adalah untuk membuat permohonan perceraian. Dia bagaimanapun tidak berjaya memfailkan tuntutan perceraian kerana tertinggal surat nikah.

Sepintas lalu, lucu juga apabila Nabila mengunjungi Jawi untuk tujuan memfailkan perceraian tetapi tidak membawa sijil pengesahan perkahwinan.

Atau mungkin, ada hikmahnya di sebalik perkara itu, mungkin Nabila memerlukan ruang untuk berfikir secara lebih matang, lebih masak untuk memutuskan sesuatu yang telah sebati dengan dirinya.

"Saya nekad dengan keputusan saya dan berharap segala-galanya berjalan dengan baik. Mereka (Jawi) minta saya datang semula, tetapi tidak pasti bila ada kelapangan," memetik kata-kata Nabila ketika ditemui wartawan, Isnin lalu.

Nabila bagaimanapun menolak pergolakan dalam rumah tangganya berpunca daripada orang ketiga seperti dakwaan sesetengah pihak. Sebaliknya masalah mereka berdua semakin kompleks sejak sebelum disahkan hamil anak pertamanya, Keisha.

Friday, August 26, 2011

M Shahdan meninggal selepas bersahur




KUALA LUMPUR - Pelakon veteran, Adan Meon atau dikenali M Shahdan meninggal dunia akibat sesak nafas di rumahnya di Kampung Padang Balang, Gombak di sini, kira-kira jam 6 pagi semalam.

M Shahdan, 76, menghembuskan nafas terakhir selepas bersahur. Dia yang uzur dan mengidap kencing manis terlanggar tunggul kayu dua hari lalu sebelum terlantar di rumah. Produser, Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam, berkata kehilangan rakan karibnya itu dirasai selepas mereka bersahabat sejak kegemilangan Merdeka Studio pada 1973.

“Sepatutnya, dia datang ke majlis kesyukuran Skop di Finas baru-baru ini untuk terima bonus Aidilfitri, tetapi dia tidak dapat hadir kerana uzur. “Sepanjang mengenalinya, dia seorang yang gigih bekerja sejak zaman Cathay Keris Film pada 1960-an hingga ke akhir hayat. Dia seorang yang suka bekerja belakang tabir dan seronok berlakon.

“Dia juga membintangi 20 drama terbitan Skop antaranya, Harimau Rimba, Remang-Remang Kotaraya, Gerak Khas dan filem, Pasrah. Sejak tujuh tahun lalu, dia bertambah uzur dan hanya berniaga nasi lemak dan mi bandung Muar,” katanya.

Arwah berasal dari Muar, Johor, pernah membintangi pelbagai filem Melayu termasuk Hati Batu (1973) terbitan Cathay Keris Film, Cinta dan Lagu (1976) bersama Merdeka Film Productions dan Bila Hati Telah Retak (1983). Dia juga pernah bekerja belakang tabir sebagai ‘runner’ dan pengurus produksi. Jenazah dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Gombak.

BIODATA:
M.Shahdan
Nama Penuh : Adan Bin Meon
Tempat Lahir : Johor
Bangsa : Melayu
Bahasa : Bahasa Melayu
Kerjaya : Pelakon
Kemahiran : Berlakon

Nikah VIP: Rossa nafi tetapi akui Malaysia rumah keduanya

Ibu Tunggal Rossa punyai satu anak.




Rossa meluahkan rasa terkilan pada gosip yang mengaitkan dirinya dalam kehidupan seorang lelaki bergelar VIP yang sudah berkeluarga.

“Kenapa wartawan itu tergamak menulis berita yang tidak berasas itu mengenai saya?” soalnya kepada penulis dalam satu pertemuan di kediaman baharunya di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Ternyata, dia sangat bingung ketika menerima kiriman laporan berita itu yang disampaikan oleh teman karibnya di Kuala Lumpur.

“Apakah mereka mencemburui kerjaya saya di sana?” soalnya lagi dalam nada yang amat hiba meminta pengertian penulis.

Lebih menyedihkan Rossa ialah, dia bimbang gosip tidak benar itu akan menjejaskan nama baiknya di Malaysia yang sudah seperti rumah keduanya.

“Saya takut reputasi saya terjejas. Saya juga bimbang nanti isteri-isteri orang ternama (VIP) di Malaysia takut untuk mengundang saya lagi mengadakan persembahan di sana,” luah Rossa lagi.

Kata Rossa, bukan dia tidak boleh menerima hakikat bahawa kehidupan peribadinya sering diintai oleh masyarakat dan media.

Bahkan, tegasnya lagi, bukan sehari dua dia menjadi artis. Sudah lebih sedekad dan dia sedia maklum itulah harga yang harus dibayar apabila dia memilih untuk menjadi orang ternama dan sering dipuja peminat.

Namun, gosip kali ini yang disiarkan di media Malaysia bagaikan satu tamparan buatnya kerana dia tidak pernah menyangka rakan-rakan media di negara jiran yang sudah dianggap sebagai sebahagian daripada keluarganya tergamak menulis perkara yang tidak benar.

“Saya tidak marah kalau wartawan mahu menulis gosip mengenai saya. Tetapi, biarlah gosip itu berasas dan ada faktanya, bukan menulis perkara yang tidak benar,” kata Rossa menyambung perbualan.

Dari kaca matanya, penulis dapat menelah bahawa ada sebab untuk Rossa sangat bimbang dan resah dengan tulisan mengenai ‘skandalnya dengan suami orang’.

Ia kerana, wanita yang berstatus ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, Rizky Langit Ramadhan ini sedang menganyam buih-buih cinta dengan seseorang.

Thursday, August 25, 2011

Raja Azmi tunjukkan bukti

Pengarah filem kontroversi, Raja Azmi menunjukkan bukti SMS yang masih disimpan pada telefon bimbitnya pada sidang media berhubung kes tuduhan khalwat beliau dengan pemain badminton negara, Roslin Hashim di Kuala Lumpur.

Wednesday, August 24, 2011

Raja Azmi saman 3 individu

Raja Azmi



KUALA LUMPUR - Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman mendakwa dirinya difitnah oleh tiga individu yang dikenalinya berhubung kes khalwat membabitkan dirinya dengan pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim.

Tegas Raja Azmi, 51, dia mempunyai bukti yang lengkap untuk menyabitkan ketiga-tiga individu terbabit dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka bagi membersihkan nama dan maruahnya yang telah tercemar ekoran tuduhan khalwat berkenaan.

"Saya akan mengheret semua individu yang terlibat yang menganiaya saya dan suami (Jailani Sidek) ke muka pengadilan bagi membersihkan maruah saya yang telah difitnah," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Concorde di sini semalam.

Tuesday, August 23, 2011

Akim bawa Stacy pulang ke Johor beraya ?

AKIM mengakui hubungan persabahatannya dengan Stacy agak akrab.



LEBARAN yang menjelang tiba disambut dengan penuh meriah oleh dua penyanyi muda yang hangat digosip bercinta, Akim dan Stacy. Meskipun berlainan agama, tidak menghalang untuk kedua-dua mereka meraikan lebaran bersama.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad dan Stacy yang ditemui pada rakaman program raya stesen radio Muzik FM baru-baru ini memberitahu mereka meraikan lebaran secara sederhana.

Jejaka tinggi lampai berusia 20 yang tidak berselindung mengakui mempunyai hubungan persahabatan yang akrab dengan Stacy itu menyatakan keinginannya membawa pulang Stacy ke kampung halamannya di Johor Bharu untuk menyambut lebaran bersama.

Tetapi jangan salah sangka, niat Akim itu bukannya untuk memperkenalkan Stacy kepada keluarganya kerana terang Akim dan Stacy disebabkan persahabatan mereka, keluarga mereka juga sudah saling mengenal antara satu sama lain.

“Stacy kawan baik saya, apa salahnya saya ajak dia beraya di kampung untuk merasai pengalaman sebenar menyambut lebaran di kampung. Itu pun kalau dia tidak sibuk atau terikat dengan kerja.

“Jangan salah anggap pula, kami hanya kawan dan saya akui memang kami kawan rapat. Selain merasai pengalaman raya, pada hari raya keempat saya dan keluarga akan mengadakan rumah terbuka buat peminat, saudara dan rakan-rakan.

“Kemungkinan juga saya akan berkonvoi melawat rakan-rakan Akademi Fantasia yang lain seperti Aril di Melaka. Kalau tidak pun setiap tahun Aril akan datang beraya di rumah saya,” katanya yang akan bercuti selama dua minggu bermula 29 Ogos ini.

Monday, August 22, 2011

Raja Azmi mahu dedahkan petualang cemarkan namanya

Raya tahun ini lebih menenangkan fikiran dan gembira - Raja Azmi



KUALA LUMPUR - “Hari raya tahun ini lebih bermakna bagi saya selepas pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat keputusan saya dibebaskan dan tiada kes khalwat antara saya dengan Roslin,” kata penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman dalam nada yang ceria.

Dia berkata demikian ketika dihubungi wartawan semalam, selepas pihak Jawi dalam siasatan mereka mendapati tiada kes khalwat berlaku antara Raja Azmi dan bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim.

“Kejadian ini (tuduhan khalwat) berlaku pada Ramadan tahun lalu bagaimanapun Ramadan tahun ini semuanya sudah berakhir. Saya bersyukur kerana mendapat berita gembira ini di bulan puasa,” kata isteri kepada bekas jaguh beregu negara, Jalani Sidek itu.

Sementara itu, Raja Azmi berkata, dia akan mengadakan sidang media khas di sebuah hotel di ibu negara Rabu ini untuk mendedahkan ‘rahsia besar’ serta apa sebenarnya berlaku sehingga mengheret dia dan Roslin di dalam tuduhan khalwat itu. “Segala-galanya akan didedahkan pada hari itu.

Saya akan tunjukkan bukti dalam sidang media itu nanti. Orang dah malukan kita, jadi inilah masanya saya bersihkan kembali nama saya yang tercemar,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai sidang media itu sehingga tiba hari sebenar.

Pada 7 Ogos 2010, Raja Azmi, 52, dituduh berkhalwat dengan Roslin, 36, sewaktu serbuan dilakukan ke atasnya oleh bekas isteri Roslin, Norhayati Othman, 39, bersama dua adiknya serta Jailani di bilik bernombor 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini jam 8.30 malam.

Norhayati membuat laporan kepada Jawi berhubung perkara itu untuk membolehkan Raja Azmi dan Roslin dikenakan tindakan khalwat.

Selain kes khalwat itu, pada 20 Ogos tahun lalu Raja Azmi juga ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini, kerana kegagalannya hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman sivil berhubung penjualan tanah bernilai RM5.9 juta.

Sunday, August 21, 2011

Lisa beraya ke rumah Yusry, Farid rumah Diana Danielle.

LISA SURIHANI dan Farid Kamil akan mengunjungi rumah kekasih hati masing-masing iaitu Yusry dan Diana Danielle pada Lebaran ini.


Namun, tiada siapa tahu mengenai kuntuman bunga yang sedang mekar dan harum di hati
Lisa Surihani Mohamed, 26, mahupun Farid Kamil Zahari, 30, tatkala menyentuh mengenai sambutan Syawal pada tahun ini.

Bertemu dengan Lisa dan Farid ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan malam kongsi raya anjuran syarikat Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor, kedua-duanya kelihatan begitu teruja bercerita mengenai persiapan raya tahun ini.

Malah, tanpa berselindung, Lisa dan Farid mengaku akan beraya ke rumah buah hati masing-masing iaitu Yusry KRU dan Diana Danielle.

Lisa akan beraya ke rumah Yusry pada minggu pertama hari raya nanti manakala Farid pula akan singgah ke rumah Diana Danielle di Perak sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas beraya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah.

"Kami tiada perancangan teliti mengenai raya nanti kerana masing-masing begitu sibuk dengan kerja tetapi saya akan beraya ke rumah Yusry pada hari raya nanti. Minggu pertama puasa hari itu pun Lisa ada datang ke rumah Yusry berbuka bersama keluarganya," katanya tanpa berselindung.

Mengaku hubungan dia bersama Diana Danielle kini ke arah lebih matang, Farid pula memberitahu, "Insya-Allah, sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas beraya di Alor Setar saya akan singgah beraya di rumah Diana di Perak."

Farid yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Wasiat untuk Astro Prima juga merancang untuk bercuti lama pada hari raya nanti.

Walaupun keduanya serasi tatkala menyentuh mengenai raya bersama buah hati, namun apabila menyentuh mengenai persiapan raya, ternyata pendirian Lisa dan Farid berbeza. Lisa sudah bersedia hampir 80 peratus untuk menyambut lebaran nanti dengan baju yang ditempah bersama juadah manakala Farid lebih senang melakukan persiapan di saat akhir.

"Setakat ini persiapan raya Lisa sudah hampir 80 peratus siap. Tidak terlalu menyeluruh tetapi semua kelengkapan raya buat keluarga sudah tersedia. Untuk Lisa sendiri sebanyak lima pasang baju raya sudah ditempah. Dua pasang dengan pereka Nurita Harith dan tiga pasang lagi dengan Lindasu," katanya yang membeli sebahagian baju raya di Bangkok, Thailand.

Bagi Farid pula: "Saya merancang untuk membeli baju raya warna hijau kerana tidak pernah memiliki warna tersebut pada hari raya".

Saturday, August 20, 2011

Iklan Nurul cetus kontroversi

POSTER kempen iklan terbaharu Nurul yang mengundang kontroversi.




Nama Nurul Huda Wahab menjadi sasaran serangan penulis-penulis blog. Lebih kecoh lagi, ada yang menyuarakan kemarahan sambil menyelar poster iklan produk pelangsingan badan Glow & Glamour yang memaparkan Nurul Wahab dalam pakaian menjolok mata. Kemarahan mereka bertambah kerana Nurul dirakam berlatarbelakangkan imej masjid sekali gus dianggap sebagai satu tindakan biadab.

Nurul turut berdepan kata-kata cemuhan. Dia turut disindir seksi tidak bertempat dan tidak mempedulikan sensitiviti umum tambahan pula kempen berkenaan diterbitkan untuk bulan Ramadan.

Bagaimanapun, komen-komen dan teguran daripada pelbagai pihak itu sebenarnya satu tindakan yang masuk akal. Hasil komen-komen berkenaan, barulah Nurul serta pengurusnya, Badrul Hisham menyedari salah percaturan pihak yang berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan kepada pihak Glow & Glamour dan tidak sampai dua hari, iklan yang mengundang kontroversi itu ditarik balik daripada penyiaran di media cetak dan elektronik. Pihak Glow & Glamour sendiri sudah tampil dengan kenyataan maaf.

“Sebenarnya komen-komen itu bagus, kami terima setiap teguran yang baik dengan hati terbuka kerana dari situ juga kami menerima maklum balas untuk dikemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab. Tapi jika teguran itu sekadar maki-hamun dan bersifat serangan peribadi, itu terpulang.

“Iklan produk pelangsingan badan dan poster itu tidak salah tetapi tersalah siar pada bulan puasa dan berlatarbelakangkan imej masjid. Itu memang tidak kena. Pihak Glow & Glamour sendiri mengakui bahawa mereka terlepas pandang sensitiviti umat Islam,” jelas Badrul.

Nurul ketika dihubungi, enggan mengulas panjang tetapi menjelaskan, pihak pengurusannya serta pihak Glow & Glamour akan memberikan kenyataan.

Friday, August 19, 2011

Azmil Mustapha Hasut Jemaah Masjid An-Nur

Azmil Mustapha.





PETALING JAYA - Seorang bilal bersama beberapa jemaah Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, dekat sini, tampil membuat laporan polis berhubung ceramah berunsur politik dan menghasut yang disampaikan pelakon zaman 80-an yang popular melalui filem Ali Setan, Azmil Mustapha.

Laporan dibuat semalam, di Balai Polis Kampung Baru Subang, ekoran tindakan pelakon itu yang menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 300 jemaah sebelum solat Tarawih.

Bilal 1 masjid berkenaan, Mohd Sani Nasib, berkata ceramah berunsur politik di dalam masjid tidak wajar kerana mengganggu amal ibadat orang lain.

Katanya, disebabkan ceramah itu, kira-kira 20 jemaah tidak sempat melakukan solat Tarawih dan pulang ke rumah ekoran tidak mahu dihasut.

“Dalam ceramahnya, dia menuduh kerajaan tidak mengamalkan ajaran Islam kerana sekolah mengikut acuan kafir dan tidak wujud sekolah Islam.

“Azmil turut mempertikaikan perlembagaan sekarang yang perlu ditukar kepada keluhuran al-Quran selain tidak perlu mengagungkan Sultan dan Yang Dipertuan Agong serta yang perlu diagungkan adalah Tuhan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan laporan polis, semalam.

Menurutnya, pelakon itu berulang kali mengeluarkan perkataan Melayu bodoh.

“Azmil turut mempertikai pertemuan antara Perdana Menteri dengan paderi Kristian dan menyatakan mempunyai niat tersembunyi di sebalik pertemuan itu. Selain itu, turut mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru dan perlu ditukar kepada Dasar Ekonomi Bodoh,” katanya.

Sementara itu, Azmil berkata, dia tidak berniat memberi ceramah politik kerana tidak pernah terbabit parti politik.

“Saya tidak pernah mendaftarkan diri sebagai pemilih dan hanya berniat untuk memberi ilmu agama,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Thursday, August 18, 2011

Prog. Ustazah Pilihan memulakan siaran 1 Oktober ini

KANAN, PENGURUS Saluran Astro Oasis, Izelan Basar (tengah) bergambar bersama tenaga pengajar program Ustazah Pilihan.




Setelah selesai sesi uji bakat pemilihan Ustazah Pilihan di seluruh Malaysia, Astro Oasis memperkenalkan pula Mudirah atau pengetua dan dua Mursyidah atau tenaga pengajar.

Tiga peneraju utama itu bakal berperanan sebagai pembimbing dan penasihat dalam misi menyerlahkan ikon muslimah berpotensi.

Ustazah Pilihan yang bakal memulakan siaran di Astro Oasis (saluran 106) pada 1 Oktober ini dipimpin oleh Dr. Robiah K Hamzah sebagai Mudirah bersama dua orang Mursyidah iaitu Profesor Dr. Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiyah Hassan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, tiga tenaga pengajar yang dipilih boleh dianggap sebagai lubuk emas untuk peserta Ustazah Pilihan menimba ilmu dan pengalaman.

“Para peserta diharap mampu mencedok segala ilmu yang disampaikan semaksimum mungkin sebagai bekalan mereka untuk berhadapan dengan masyarakat kelak,” katanya ketika ditemui selepas memperkenalkan Mudirah dan Mursyidah di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

Katanya, Ustazah Pilihan masih lagi berpaksikan pencarian pendakwah unggul dengan memaparkan kepentingan memikul tanggungjawab sebagai seorang wanita Islam yang bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri atau ibu, malah memikul tanggungjawab sebagai pendidik, pembentuk dan pemimpin generasi akan datang.

Ditanya bagaimana pemilihan peserta Ustazah Pilihan dibuat, kata Izelan, terdapat tiga fasa pemilihan iaitu menguji peserta melalui bacaan surah-surah dalam al-Quran, bertanya mengenai isu-isu berkaitan wanita dan semasa serta ujian mengikut keperibadian masing-masing.

“Fasa pertama, peserta bukan sahaja dilihat boleh membaca surah-surah yang diminta tetapi peserta juga perlu membaca mengikut bacaan dan tajwid yang betul serta bertaranum,” katanya yang memberitahu tidak memilih wanita berpandukan paras rupa tetapi lebih kepada kebolehan mereka melontarkan suara di khalayak dengan berani dan jelas.

Izelan juga menjawab pertanyaan media berhubung program Ustazah Pilihan yang boleh mencetuskan kontroversi kerana ia melibatkan wanita.

“Sebelum program bermula sudah banyak yang bertanya. Alhamdulillah sudah banyak sesi lampias otak yang dibuat. Program Ustazah Pilihan akan dibuat mengikut syariah. Ujian yang bakal peserta hadapi juga tidak akan melanggar batas-batas seorang wanita muslim.

“Sudah tentu cabaran untuk menghasilkan Ustazah Pilihan lebih berat berbanding Imam Muda, namun saya anggap ini cabaran yang harus kami hadapi seterusnya membuatkan program ini hebat di mata penonton,” katanya.

Wednesday, August 17, 2011

Anak Azean Irdawaty didenda RM5,000

Gambar kiri, Benjy ketika ditahan pada Mac 2010 manakala kanan ialah gambar Benjy semalam.



KUALA LUMPUR – Pelakon Benjy, anak dramatis Azean Irdawaty boleh menarik nafas lega apabila hanya didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas satu tuduhan memiliki syabu seberat 0.24 gram di kediamannya pada Mac tahun lalu.

Majistret Hafizza Sauni memutuskan demikian terhadap Benjy, 33, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Artis lelaki tersebut disabit bersalah atas tuduhan memiliki 0.24 gram dadah jenis syabu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim yang ditemani adik perempuannya, Elza Irdalynna membayar denda tersebut.

Pelakon yang semakin berisi itu sempat berkata sesuatu kepada wartawan selepas membayar denda: “Saya lega, telah bebas dan semua berakhir, terima kasih kepada rakan-rakan atas sokongan, saya kembali.”

Pada 8 Julai lalu, Benjy dilepas dan dibebas daripada satu tuduhan memiliki 0.14 gram dadah syabu di No. C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini pukul 3 petang hari yang sama.

Tuesday, August 16, 2011

Mizz Nina masak sahur untuk hujan

TIDAK cerewet. Noh menikmati apa sahaja juadah Ramadan yang disediakan Nina.



APAKAH agaknya juadah sahur pasangan baru berkahwin Mizz Nina dan Noh Hujan di bulan Ramadan. Pertama kali berpuasa sebagai suami selepas berkahwin, Noh mengakui cukup bertuah kerana isteri kesayangannya sanggup menyinsing lengan di dapur menyediakan juadah untuk bersahur.

Monday, August 15, 2011

Minggu Ini cabaran buat Jambu

DARI kiri: YUS, Taukeh dan Acong tidak menghadapi sebarang masalah dalam mencari keserasian bersama ketika membuat persembahan.



Kumpulan yang dianggotai oleh Zamatul Zamri Zakaria atau lebih sinonim dengan Taukeh dan Yusry Edoo atau Yus itu telah mengejutkan ramai pihak dengan persembahan yang cukup konsisten saban minggu.

Sinonim dengan warna merah jambu, ternyata gandingan mereka berdua dilihat sangat tepat dengan tampil menerusi lawak-lawak yang melucukan sehingga menduduki tempat keempat pada aksi final Maharaja Lawak.

Selepas itu, kumpulan berkenaan terus mendapat perhatian ramai di samping menerima beberapa tawaran sebaik sahaja rancangan Maharaja Lawak berakhir. Terbaru, mereka telah muncul dalam rancangan Lawak Minggu Ini.

Ditemui pada rakaman siaran langsung rancangan tersebut di Putrajaya baru-baru ini, mereka menyifatkan ia sebagai satu penghormatan kepada mereka apabila diundang untuk menjayakan rancangan terbaharu yang disiarkan di saluran Astro Warna.

“Selepas rancangan Maharaja Lawak, ini adalah rancangan komedi terbaru yang menampilkan Jambu. Pada kami rancangan Lawak Minggu Ini adalah sebuah rancangan komedi yang cukup menarik, tetapi ia turut menguji kami sebagai pelawak.

“Tidak dinafikan menyertai rancangan ini memang memberi satu cabaran yang besar kepada kami. Kalau sebelum ini kami sekadar beraksi dalam tempoh lima hingga enam minit, namun kali ini kami harus membuat persembahan di pentas selama satu jam,” jelas Taukeh.

Tambahnya lagi, mereka terlebih dahulu akan berbincang sesama sendiri tentang konsep yang ingin dipersembahkan kerana tampil sebanyak empat buat sketsa yang berlainan dalam satu masa memerlukan mereka menghasilkan idea-idea menarik dalam setiap persembahan.

Namun begitu, pada kali ini mereka merasakan lebih santai dan tidak terlalu tertekan kerana ia bukanlah sebuah pertandingan, malah pihak produksi memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk tampil dengan lawak-lawak yang sesuai.

Ditanya mengenai mengenai persembahan pada malam itu, Taukeh memberitahu 80 peratus lawak yang ditampilkan adalah secara spontan di samping Acong Sweetchild yang turut dipilih sebagai tetamu undangan mereka.

“Untuk persiapan menyertai rancangan ini kami memang jarang berlatih dan lebih banyak membuat perbincangan. Biarpun diberikan kebebasan, tetapi kami masih mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Sunday, August 14, 2011

Kontroversi Fida berpelukan dengan Iqram

FIDA dan Mamat kelihatan intim sepanjang rakaman program Melodi Raya baru-baru ini.


Fida atau nama sebenarnya Rafidah Ibrahim dilihat telah memecah norma sopan yang telah dibentuk sejak awal dia memasuki industri lakonan beberapa tahun lalu.

Fida telah melakukan babak berpelukan bersama aktor Iqram Dinzly di dalam drama bersiri Kasih Alia yang sedang ditayangkan di saluran TV3.

Melihatkan babak tersebut, ramai yang berpendapat mungkin tidak manis bagi seorang wanita muslimah bertudung litup bersetuju untuk melakukan adegan itu. Namun, bagi gadis berumur 27 tahun ini, dia ada alasan tersendiri terhadap persoalan mengapa babak tersebut terjadi.

"Pertama sekali, Fida ingin meminta maaf jika ada peminat yang terasa dengan apa yang berlaku. Sebenarnya, perkara itu terjadi secara spontan. Ketika itu babak kami dihalau dari wad dan ia babak yang sangat sedih.

"Mungkin kerana terlalu menjiwai, Iqram secara tidak sengaja tertarik Fida dan jika dilihat dari mata kasar memang nampak seperti kami berpelukan, namun pada hakikatnya tidak. Tapi bila perkara-perkara sebegini berlaku, Fida sebagai pelakon perlu bersedia menghadapi semua ini," jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang mengatakan semua ini dipelajari dari kesilapan lalu.

Tambah Fida, pengalaman sebelum ini telah memberi kesedaran buat dia untuk menghormati dan mendengar arahan 'cut' dari pengarah. Katanya, sebagai orang baharu yang hanya berbekalkan pengalaman dua tahun dalam industri lakonan, siapalah dirinya untuk mendahului pengarah.

Cerita gadis itu lagi, pernah beberapa kali sebelum ini memberhentikan babak yang dilakonkan kerana dirasakan tidak sesuai dengan dirinya. Namun, insiden itu telah menyebabkan dirinya ditegur beberapa kali dan pernah juga dimarahi.

Menjelaskan apa yang berlaku, cerita Fida sebenarnya dia menggunakan tekniknya tersendiri untuk melakonkan babak tersebut. Apa yang dilihat mungkin tidak sama dengan apa yang berlaku. Jelas Fida, Iqram ketika itu tidak memeluknya erat.

"Apa yang boleh Fida lakukan ialah Fida gunakan teknik sendiri. Jika perasan, Fida meletakkan tangan kiri di bahagian hadapan badan dan Iqram hanya meletakkan tangannya ke bahu Fida. Fida terkejut sebenarnya dengan tindakan Iqram namun Fida tidak boleh berbuat apa-apa.

"Perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja dan sebagai pelakon baharu, Fida perlu ikut apa yang dimahukan pengarah, namun perkara tersebut berlaku dengan cepat kerana apabila kita melakonkan sesuatu babak terutamanya yang bermain dengan emosi, kadangkala ia terlepas," jelas Fida mengenai babak yang menjadi kontroversi itu.

Saturday, August 13, 2011

Mila Jirin, Kilafairy, Iqa masak Bubur Lambuk 1Malaysia

Ahmad Talib (tengah baju merah) bergambar bersama sukarelawan dari Taylor Universiti serta Rukun Tetangga Desa Pantai pada Program bubur lambuk 1 Amal Media.



KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya 5,000 mangkuk bubur lambuk berjaya dihasilkan oleh 300 sukarelawan pada program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media anjuran Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (KKSR) Jabatan Pengarang The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Balai Berita, di sini, semalam.

Bubur itu yang mula dimasak seawal jam 8 pagi diagihkan kepada anak yatim, ibu tunggal, warga emas, masjid, surau, polis dan bomba yang dikenal pasti dengan bantuan Kelab Redah 4x4 Wilayah Persekutuan dan Kelab Kembara 4x4 Selangor.

Presiden KKSR Jabatan Pengarang NSTP, Shahiman Sharip berkata, program yang memasuki tahun kelapan itu bertujuan memupuk semangat bergotong-royong di kalangan peserta dalam menghulurkan sumbangan kepada kumpulan sasaran, sekali gus menanam budaya bersedekah pada bulan puasa.

Menurutnya, selain sukarelawan daripada pihak penaja, seramai 60 pelajar dan lapan pensyarah dari Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Seni Kulinari Universiti Taylor turut mengacau bubur terbabit.

“Sebanyak 20 periuk bubur lambuk dihasilkan pada hari ini (semalam) dan sasaran kita adalah menghasilkan sekurang-kurang 150 periuk sepanjang Ramadan tahun ini, termasuk kelab memberi bahan mentah kepada masjid dan surau untuk mereka masak sendiri.

“Kita berterima kasih kepada penaja utama kita, Giant dan lebih 20 penaja lain, antaranya Adabi, Petronas Dagangan, Bernas, Scomi, Proton Holding Berhad, Pos Malaysia, Sime Darby, MSU, Takaful Ikhlas, Adabi, Maggi dan Syabas yang sentiasa menyokong program ini saban tahun,” katanya.

Turut mengacau bubur lambuk itu adalah beberapa artis, antaranya Mila Jirin, Kilafairy, Iqa Mentor 5, Shiha Mentor 5, Chomel Fana dan Ad Azhar.

Pelajar antarabangsa Universiti Taylor dari Korea, Jeon Sang Hoon berkata, pembabitannya dalam program itu sedikit sebanyak mendedahkannya kepada budaya kemasyarakatan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia dalam membantu golongan memerlukan.

“Ini kali pertama saya sertai aktiviti sukarelawan di luar kampus sejak belajar di Malaysia. Walaupun cuaca panas, ia sungguh menyeronokkan kerana semua pihak ringan tulang membantu,” katanya penuntut Diploma Operasi Hotel itu.

Program itu dirasmikan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib dan sukarelawan lain yang terbabit secara langsung, termasuk Rukun Tetangga Desa Pantai Dalam.

Pelawak Nabil pilih calon isteri bekas pramugari


KUALA LUMPUR:
Selepas terpalit dengan pelbagai kontroversi dan gosip cinta, artis komedi, Ahmad Nabil Ahmad, 28, membuat pengakuan mahu mengakhiri zaman bujang apabila memilih bekas pramugari syarikat penerbangan AirAsia Bhd, Nazirah Ayub, 23, yang dikenalinya sejak enam tahun lalu, sebagai suri hidupnya.

Friday, August 12, 2011

Mamat Exist didenda RM1,000

Mamat


JOHOR BAHRU - Bekas vokalis kumpulan Exist, Mohd Ali Kamarudin atau lebih dikenali sebagai Mamat dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan pengawasan polis selama dua tahun selepas mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya, tahun lalu.

Mamat, 33, yang popular menerusi lagu Untukmu Ibu pada tahun 90-an didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada 9 November tahun lalu pada kira-kira jam 3.35 petang.

Dia membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, sebaik pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Maslinda Selamat.

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mamat dalam rayuannya meminta mahkamah meringankan hukuman kerana sudah insaf selain menanggung tiga anak.

Thursday, August 11, 2011

Joey sah bercerai, bukan angkara orang ketiga

Noraini dan Joey hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.



KAJANG - Ikatan perkahwinan pelakon dan penyanyi Joey dan isterinya, Noraini Mohammad Nasir terlerai setelah Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam memutuskan lafaz talak yang dibuat lebih setahun lalu itu sebagai sah.

Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah pada penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira keterangan yang konsisten oleh Joey dan Noraini yang menyatakan lafaz cerai talak satu berlaku pada 4 Jun tahun lalu di kediaman mereka adalah berbentuk syarih (jelas dan nyata).

Abdul Halim berkata, berkenaan isu lafaz rujuk dan mengadakan hubungan kelamin, Noraini mengatakan perkara itu benar-benar berlaku, sebaliknya Joey menafikan.

"Ada pihak yang mendakwa tetapi ada pihak menafikan, bagaimanapun masing-masing tidak menampilkan saksi bagi membuktikan dakwaan tersebut.

"Sehubungan itu, mahkamah mencadangkan kepada Noraini selaku plaintif untuk menawarkan sumpah kepada defendan Joey bagi membuktikan bahawa dakwaan rujuk semula tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya," ujar beliau.

Selain itu, Joey telah bersumpah di hadapan Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah bagi menafikan dakwaan Noraini bahawa berlakunya lafaz rujuk semula kepada wanita terbabit selepas empat hari lafaz cerai berlaku.

Wednesday, August 10, 2011

Perkahwinan Noraniza Idris secara besar-besaran

Noraniza dan Jeffri ketika mengumumkan tarikh perkahwinan mereka.



KUALA LUMPUR - Penyanyi etnik kreatif yang pernah popular dengan lagu Awallah Dondang, Noraniza Idris, 43, memilih tarikh 29 September depan sebagai tarikh perkahwinan dengan bilal dari Singapura, Jeffri Hudi, 52.

Menurut Noraniza, majlis perkahwinannya diadakan secara besar-besaran di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru jam 12 tengah hari, malah persandingannya itu boleh disaksikan orang ramai yang hadir.

“Sebenarnya, perkahwinan ini diadakan serentak dengan ‘Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011’,” katanya pada satu sidang media di Menara Yayasan Tun Razak, di sini, kelmarin.

“Walaupun saya pernah berkahwin sebelum ini, tetapi majlis ini tetap akan diraikan secara besar-besaran dan bagi saya ia tidak salah kerana bertujuan meraikan perkahwinan saya bersama bakal suami,” katanya.

Menurut Noraniza, pintu hatinya masih terbuka untuk mendirikan rumahtangga biarpun pernah kecewa dengan dua perkahwinannya yang lalu dan memberitahu kesediaannya mendirikan rumah tangga kerana dia benar-benar mengenali hati budi bakal suaminya.

“Saya yakin Jeffri jodoh saya kerana dia suka berterus terang dan menyokong setiap perkara yang saya lakukan,” katanya.

Kata Noraniza, hubungan yang dibina mereka bermula sejak tahun lalu ketika bertemu pada satu urusan jualan amal anak yatim di bazar Ramadan.

“Selepas setahun berkenalan kami mengikat tali pertunangan pada 22 April lalu dan seterusnya hari ini (kelmarin) menetapkan tarikh perkahwinan kami,” katanya.

Sementara itu, Jefri berkata, antara sebab dia memilih Noraniza sebagai isterinya adalah kerana melihat pada kewibawaannya.

“Saya senang dengan sikap ditunjukkan Noraniza dan perkara paling saya tidak dapat lupakan adalah memakan tat nanasnya. Saya bersyukur kerana semua merestui dan gembira dengan perkahwinan kami,” katanya.

Perkahwinan yang dilangsungkan itu adalah yang ketiga bagi Noraniza dan kedua buat Jeffri.

Noraniza mempunyai dua anak lelaki manakala Jeffri yang menduda sejak 13 tahun lalu mempunyai empat anak berusia antara 15 dan 26 tahun.

Selain perkahwinan pasangan itu, lima lagi pasangan pelbagai keturunan turut serta dalam majlis diadakan di tempat yang sama anjuran Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd bersama Gerakan Belia 4B (M) Negeri Johor.

Tuesday, August 9, 2011

Deanna Yusoff pengedar coklat dari Switzerland

Deanna Yusoff



Pelakon, penyanyi, pengacara dan peragawati Deanna Yusoff yang rupa-rupanya masih lagi aktif alam dunia hiburan tempatan.

Namun, bagi Deanna, ‘kehilangan’ dirinya selama ini bukanlah bermakna dia sudah tidak wujud, namun kemunculannya itu bukan yang boleh dilihat di kaca TV mahupun layar perak.

“Saya masih lagi wujud dan berada di sini (Malaysia). Saya tidak pergi ke mana-mana. Tapi kini, saya banyak mengambil tawaran sebagai hos majlis-majlis korporat.

“Ada beberapa alasan kepada persoalan itu juga yang mana salah satunya ialah apabila saya sudah menceburkan diri dalam bidang perniagaan, keinginan saya untuk ke bidang lakonan semakin berkurangan,” ujar Deanna yang ditemui semasa menjalani penggambaran program terbaharu TV, What Men Want bertempat di Restoran Hoofed, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Deanna sebenarnya merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Artisanal Asia Sdn. Bhd., iaitu syarikat pengedar eksklusif bagi jenama coklat dari Switzerland, GrandJean Freres.

Tambahnya, ia umpama apabila sering melakukan perkara yang sama, ada ketika apa yang dilakukan itu menjadi semakin menimbulkan kebosanan dan dari situ keinginan semakin berkurangan di dalam diri.

Selain itu, tutur Deanna, 44, tiada projek yang dirasakan menarik yang ditawarkan atau diterima oleh empunya diri.

“Mungkin itu antara alasan paling teguh yang dapat menjawab persoalan ‘kehilangan’ saya ini. Namun, selepas Ramadan, saya mungkin akan kembali ke kaca televisyen kerana saya akan muncul dalam sebuah drama kelak.

“Tapi, saya tidak dapat bercerita panjang kerana ia masih belum dipastikan lagi.

“Banyak tawaran yang saya terima selepas bulan Ramadan ini kelak seperti terlibat dalam program nyanyian dan seperti biasa menjadi hos dan sebagainya,” ungkap Deanna.

Deanna mengakui dia jarang mengambil tawaran lakonan yang banyak. “Kadangkala hanya satu atau dua tawaran lakonan saya ambil. Ini kerana saya mahu memastikan saya dapat melakonkan karakter-karakter yang di luar kebiasaan.

“Saya suka skrip dan watak yang mencabar, bukannya watak yang biasa ditonton. Dan apa yang saya lihat, memandangkan saya sudah berumur, mereka (penerbit) hanya fikirkan watak ibu untuk diberikan kepada saya.

“Saya tidak kisah sebenarnya diserahkan watak ibu, namun apabila watak yang diberi kurang mencabar dan menonjol, saya kurang minat. Mungkin watak wanita berumur itu boleh dilakonkan daripada sudut yang lain yang mana watak itu menjadi sangat menarik,” jelasnya.

Menurut Deanna lagi, faktor itu menjadi antara sebab kenapa dia kurang dilihat tampil di layar perak mahupun kaca TV. Ada beberapa tawaran yang diterima sepanjang dirinya berehat namun katanya, ketiadaan skrip dan watak yang kukuh menjadi antara penyebab dirinya berehat daripada berlakon buat sekian lama.

Nasha jadi ibu 'adiwira'

AMIRUL HADI dan bayinya, Haider Harris turut berlakon di samping Nasha Aziz dalam drama Supermak.



Menerusi siri televisyen yang kini sedang hangat ditayangkan di TV3, Supermak, aktres dan model jelita Nasha Aziz berpeluang melakonkan karakter ibu kepada dua orang anak.

Namun, dia bukan sembarangan ibu tetapi ibu yang mempunyai kuasa luar biasa, malah dia boleh dikatakan seorang adiwira.

Naskhah terbitan Filmscape Sdn. Bhd. yang masih menjalani penggambaran pada bulan Ramadan ini mengisahkan tentang seorang ibu dan suri rumah sepenuh masa lakonan Nasha Aziz yang mempunyai kekuatan dan kelajuan seorang adiwira. Keistimemewaan kuasanya diwarisi daripada keturunannya iaitu daripada sebelah nenek moyang Nasha yang berasal dari Kepulauan Riau.

Tampak sopan dan lemah lembut di rumah menjaga kebajikan suami dan dua orang anaknya, tetapi apabila berada di luar rumah Nasha merupakan adiwira yang menghapuskan penjahat.

Bercerita tentang wataknya, Nasha mengakui dia cukup teruja. Malah, Nasha juga dikatakan sanggup menjalani uji bakat kerana menganggap drama tersebut luar biasa.

“Saya sanggup pergi uji bakat untuk drama Supermak. Memang pendirian saya akan terima tawaran drama yang boleh membuatkan saya jatuh cinta dengan jalan cerita dan wataknya.

“Sebelum ini banyak tawaran telefilem dan drama bersiri saya tolak sebab tidak berkenan dengan jalan cerita dan juga watak,” katanya menjawab mengenai dirinya yang kurang muncul di dalam drama mahupun telefilem sejak kebelakangan ini.

Tidak gentar melakukan apa jua babak aksi yang dikehendaki pengarah, Nasha bagaimanapun mengakui berdepan dengan cabaran lain semasa penggambaran Supermak.

Satu-satunya pengalaman yang tidak pernah dirasai olehnya iaitu menjadi ibu kepada dua orang anak.

“Saya tidak menghadapi masalah untuk menjayakan babak aksi atau romantis. Yang tidak biasa adalah untuk menjaga anak yang kecil. Jaga baby sangat mencabar,”-katanya.

Tambah Nasha lagi: “Sebabnya kena ikut mood dia. Kita tidak tahu bila dia bersedia, menangis dan mahu ketawa, jadi kami buat macam-macam untuk hasilkan yang terbaik.

Namun, Nasha mengakui menghadapi kesukaran apabila berlakon dengan kanak-kanak, apatah lagi bayi yang baru berumur setahun.

“Namun saya akui juga kesukaran itu adalah disebabkan saya sendiri tiada pengalaman menjaga baby. Pernah terjadi babak bersama adik ini terpaksa ditangguhkan dua hari kerana mood dia yang tidak berapa baik pada hari itu,” jelasnya lagi mengenai adik Haider Harris, satu tahun, yang berlakon sebagai anak keduanya dalam Supermak.

Sunday, August 7, 2011

Pelakon nyaris maut disangka lakonan

Foto hiasan.




KUALA LUMPUR - “Ketika api menyambar dan membakar baju, saya sempat menjerit meminta rakan membantu, namun semua orang termasuk kru masih merakamkan adegan berkenaan. Mungkin mereka sangka saya masih berlakon.”

Demikian kata Mohd Raffi Husin, 24, pelakon pembantu dan lagak ngeri yang melecur hampir 70 peratus badannya ketika melakonkan adegan kebakaran bagi filem BaraJiwa di Taman Seputeh, di sini, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Bagaimanapun, Mohd Raffi terselamat daripada cedera lebih teruk apabila beberapa pelakon lain termasuk Fizz Fairuz, Diana Danielle dan Remy Ishak yang menyedari kemalangan itu berusaha memadamkan api pada tubuhnya.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, Fizz, Diana dan Remy serta beberapa pelakon lain meluru ke arah saya sebelum mencurahkan air dan mengoyakkan baju saya yang terbakar.


“Saya berterima kasih dengan bantuan mereka. Jika tidak, mungkin nyawa saya sudah melayang,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.

Mengimbas kejadian itu, Mohd Raffi berkata, dia memegang watak Kumbang dalam filem berkenaan yang diarahkan Osman Ali dan diterbitkan Nuansa Sdn Bhd.

Menurutnya, sebelum kejadian dia sepatutnya melakonkan aksi membabitkan sebuah banglo meletup.

“Saya diminta masuk ke dalam banglo itu sekejap saja. Sebaik keluar, saya perlu berdiri di hadapan banglo itu sambil membuat pengiraan dan banglo itu akan meletup.

“Bagaimanapun, sebaik saja saya masuk ke dalam banglo itu, tiba-tiba bahan letupan berlaku dan menghasilkan api yang besar sehingga menyambar tubuh saya,” katanya.

Mohd Raffi yang berasal dari Labuan, Sabah itu berkata, dia pada mulanya keberatan melakonkan watak berkenaan kerana kurang sihat.

“Namun, mengenangkan saya pendatang baru dalam dunia lakonan sejak setahun lalu, saya teruskan juga kerana tidak mahu menjejaskan urusan produksi.

“Namun, saya kesal kerana penggambaran babak letupan itu dilakukan agak terburu-buru hingga mencetuskan kebakaran dan mencederakan saya,” katanya.

Menurutnya, petanda malang sudah berlaku sejak awal lagi apabila seorang kru tersimbah petrol ke tubuhnya sebelum melakonkan aksi berkenaan.

“Saya membasuh tubuh bagi mengelakkan disambar api. Kami sudah melakukan beberapa kali latihan untuk menyempurnakan babak itu, namun gagal kerana letupan yang dihasilkan tidak menyebabkan kebakaran.

“Jadi, kru menggunakan petrol bagi menghasilkan impak lebih besar. Malangnya, saya menjadi mangsa,” katanya yang ditemani rakan pelakon, Emma Akma di PPUM.

Difahamkan, seorang lagi rakannya yang juga pelakon pembantu, Shukri Hamzah, 21, turut melecur pada tangan dan muka kanan akibat letupan itu, namun dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Saturday, August 6, 2011

Noraniza Idris disunting ustaz dari Singapura

Noraniza Idris akan menamatkan zaman 'janda' setelah bertunang dengan seorang ustaz dari Singapura dan berkahwin tahun ini.




Noraniza Idris, 43. bulan Ramadan ini cintanya bersemi buat kali ketiga dengan duda anak empat, Jeffri Hudi, 52, iaitu ustaz dari Singapura yang berkhidmat sebagai bilal bebas di negaranya.

Bagaimanapun, menurut Noraniza, ketika Jeffri melamarnya, dia diberi tempoh untuk berfikir tetapi tidak melakukannya secara serius kerana dalam hati masih ada keraguan.

“Saya berfikiran negatif ketika itu dan takut untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sekali lagi,” katanya.

Seminggu sebelum berakhirnya tempoh itu, baru Noraniza membuat keputusan dan menyedari dia tidak buat sebarang persiapan untuk bertunang.

“Mujur mereka di Akademi Tatih Seni (cawangan Johor) yang memahami keadaan saya, membuat persiapan mencarikan penaja pelamin dan baju untuk saya.

“Selepas bertunang, kami berdua sibuk dan tidak sempat mencari tarikh sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan hinggalah keluarga mendesak kami segerakan perkara baik itu.

“Selasa ini saya akan mengadakan sidang akhbar mengumumkan tarikh pernikahan dan kenduri. Insya-Allah perkahwinan itu akan dilangsungkan tahun ini juga,” katanya yang mendapat restu anaknya.

Noraniza berharap perkahwinannya kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

Friday, August 5, 2011

Jejak Rasul 17 jelajah Eropah Timur

WARTAWAN Ezzah Aziz (dua dari kiri) dan pengarah, Mazlin Nordin (dua dari kanan) sedang mewawancara penduduk wanita Islam di Ukraine.



Rancangan dokumentari berbentuk ilmiah yang sememangnya sinonim dengan kehadiran bulan Ramadan, Jejak Rasul kini memasuki musim yang ke-17.

Menariknya, setelah memaparkan pelbagai kisah para nabi dan rasul serta sahabat pada musim-musim sebelumnya, Jejak Rasul 17 membawa penonton untuk mengenali sejarah penyebaran Islam di Eropah Timur.

Salah seorang penerbitnya, Mat Nasir Yusof berkata penonton rancangan berkenaan akan dapat menyelami tentang budaya, resam hidup dan sejarah lampau penduduk Islam berketurunan Slavic, Tatar serta Caucasus di negara Rusia, Ukraine, Dagestan dan Chechnya.

"Kami telah memilih negara-negara tersebut kerana berdasarkan kajian yang telah dibuat, kami mendapati Islam sudah mula tersebar di negara-negara Eropah Timur sejak tahun 642 menerusi sebuah tempat dinamakan Derbent yang terletak di Dagestan.

"Pada mulanya kami sekadar ingin membuat penjelajahan di Derbent sahaja, namun bila difikirkan semula, adalah lebih menarik lagi sekiranya kami menjelajah di seluruh Eropah Timur," ujarnya.

Menurut Mat Nasir, krew produksi Jejak Rasul 17 yang menjalani sesi penggambaran sejak bulan Mac hingga pertengahan April 2011 telah dibahagikan kepada tiga buah kumpulan.

Ujarnya, kumpulan pertama telah diketuai oleh Mazlin Nordin selaku penerbit merangkap pengarah menjalani penggambaran di Moscow dan Ukraine, manakala kumpulan kedua dikendalikan oleh Wan Farid Wan Mohamed selaku penerbit dan wartawan di bandar St. Peterburg dan Tatarstan.

"Saya pula diletakkan di dalam kumpulan ketiga selaku penerbit dan wartawan bersama-sama dengan pengarah, Mohd. Fadly Khamis dan jurukamera Mohd. Ali Othman menjalani penggambaran di Dagestan dan Chechnya," ujarnya.

Thursday, August 4, 2011

Bazar Ramadan Karyawan

FREDDIE (empat dari kiri) pada sidang akhbar Bazaar Merdeka Raya Karyawan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) memberi peluang kepada orang ramai dan artis menjalankan perniagaan menerusi tapak di bazar Ramadan.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, penyediaan tapak tersebut adalah menerusi kerjasama yang dijalankan oleh pihak Karyawan dan Low Yat Group Of Company.

"Tapak yang dikenali sebagai Bazaar Merdeka Raya Karyawan ini terletak di River City, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan pelbagai jualan dan aktiviti menarik disediakan kepada orang ramai dan artis.

"Lebih menarik lagi, bazar ini juga akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri pada hari ini (5 Ogos) dan turut mendapat sokongan (Perbadanan Hak Intelek Malaysia) MyIPO dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),"ujarnya.

Tambah Freddie: "Karyawan sememangnya amat mengalu-alukan penyertaan kepada sesiapa sahaja yang mahu berniaga di bulan puasa, termasuk juga kepada rakan-rakan artis yang lain apabila penyediaan tapak ini boleh menjadi platform terbaik untuk mereka berniaga," ujarnya.

Menurutnya lagi, dia yakin bahawa orang ramai akan mengunjungi bazar Ramadan berkenaan memandangkan lokasinya yang amat strategik dan menarik kerana terletak di persisiran jalan utama di Jalan Ipoh.

Selain itu, Freddie memberitahu terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik yang akan dijalankan di bazar berkenaan seperti memasak bubur lambuk, pemberian juadah berbuka kepada fakir miskin dan pertandingan karaoke lagu-lagu nasyid.

Jelasnya, orang ramai atau artis yang masih berminat untuk menyewa tapak bazar boleh terus menghubungi pihak Karyawan di talian 01112865377 atau 03-79552967 dengan segera memandangkan 40 tapak sahaja yang disediakan.

Abby menitiskan air mata lihat bekas suaminya menikah

Abby Abadi.



KUALA LUMPUR - “Saya masih tidak tahu sama ada saya perlu datang atau tidak ke majlis perkahwinan Norman dan Memey. Saya masih berbelah bagi untuk hadir kerana saya takut saya akan menangis dan merosakkan majlis mereka,” kata pelakon, Abby Abadi, 33, yang juga bekas isteri kepada pelakon, Norman Hakim, 35.

Abby berkata, sehingga kini dia masih belum mahu memberikan sebarang kata putus sama ada mahu menghadiri majlis yang digelar ‘wedding of the year’ itu selepas memberitahu emosinya akan terganggu dan pasti menitiskan air mata sekiranya melihat persandingan bekas suaminya bersama Memey Suhaiza, 23.

“Saya sudah maafkan mereka, saya tidak mendendami mereka lagi dan tidak cemburu melihat kebahagiaan mereka. Tetapi sekiranya saya hadir ke majlis itu nanti, saya yakin saya akan titiskan air mata seterusnya merosakkan detik bahagia mereka,” katanya.

Norman dan Memey dijadualkan bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor iaitu rumah pengantin perempuan manakala majlis persandingan pada 28 September di sebuah hotel dengan tajaan sebanyak RM12 juta.

Menurut Abby, dia turut menyangkal satu laporan media kononnya dia menerima kad undangan daripada Norman dan Memey untuk hadir ke majlis resepsi pasangan itu.

“Saya tidak tahu menahu mengenai jemputan itu dan tidak menerima sebarang kad jemputan untuk hadir ke majlis perkahwinan terbabit,” katanya.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2