NUFFNANG ADS

Friday, August 30, 2013

Gandingan eksklusif Guba & Yuna


BUAT pertama kalinya, penyanyi kelahiran Sabah, Gabriel Robert Rawantas, atau lebih dikenali sebagai Guba telah terpilih untuk membuat persembahan di Festival OzAsia 2013 September ini.

Lebih bermakna, Guba turut digandingkan bersama Yuna menerusi lagu You’re So Fine.

Teruja untuk menjayakan persembahan itu, Guba memberitahu inilah kali pertama dia dijemput untuk membuat persembahan di luar negara.

“Apabila mendapat undangan untuk membuat persembahan di Festival OzAsia tahun ini, saya terkejut dan pada masa yang sama, rasa teruja. Macam-macam perasaan ada.

"Untuk persembahan dua hari nanti, saya akan membuat satu segmen yang menarik, termasuk berduet bersama Yuna,” ujar Guba.

Festival yang bakal berlangsung di Adelaide, Australia ini merupakan acara tahunan yang menyajikan persembahan kebudayaan dari negara Asia, yang akan dijalankan selama dua minggu.

Thursday, August 29, 2013

Pelakon dan pelawak Noorkhiriah berentap


BERTUBUH kecil molek dan memiliki raut wajah yang comel, pelakon dan pelawak Noorkhiriah kini sudah mencecah usia 36 tahun.

Bakat lakonan pelakon berasal dari Raub, Pahang ini terutamanya dalam komedi tidak perlu dipertikaikan lagi. Terutama selepas dia memenangi sebanyak tiga kali anugerah artis komedi wanita popular.

Sebaliknya, pelakon Almy Nadia masih lagi hijau dalam dunia komedi. Kehadirannya dalam dunia komedi bermula selepas membintangi siri komedi Edisi Khas.

Namun, ramai yang meramal bekas kekasih kepada Fizz Fairuz itu mampu menjadi pelawak terkenal suatu hari nanti selepas kemunculannya dalam program tersebut berjaya mencuri tumpuan ramai.

Namun, apakah persamaan antara mereka? Almy dan Noorkhiriah akan bersaing bersama-sama dalam program realiti Super Spontan yang bersiaran langsung menerusi Astro Warna di saluran 132 dalam pakej Mustika setiap Jumaat bermula 30 Ogos ini, pukul 10 malam.

Tuesday, August 27, 2013

Hanez tidah mahu bercinta sesama artis


Pelakon Hanez Suraya menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael, ramai yang melihat mereka merupakan pasangan yang cukup serasi.

Bagaimanapun, ikatan cinta yang terjalin tidak sampai setahun akhirnya terlerai dan masing-masing telah mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri.

Ketika bertemu dengan Hanez pada majlis rumah terbuka anjuran Media Prima di Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon drama bersiri Autumn Di Hatiku itu mengakui dia masih belum berjumpa pengganti yang sesuai.

Ujarnya, memiliki pasangan hidup bukanlah matlamat utamanya sekarang dan mengakui hidupnya lebih bebas dan selesa tanpa mempunyai sebarang komitmen dengan mana-mana lelaki.

"Bohonglah kalau saya katakan tiada lelaki lain yang ingin mendampingi saya. Cuma, saya lebih selesa untuk berkawan sahaja dan belum bersedia untuk bercinta semula.

"Lagipun agak terlalu awal kalau saya hendak mencari pengganti. Sekiranya menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan seseorang, saya perlu ambil masa untuk mengenalinya.

Apakah kriteria utama lelaki pilihan Hanez?

Paling utama, lelaki tersebut bukanlah seorang artis. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu lagi bercinta dengan artis dan mahu memilih orang biasa sebagai teman hidup.

Mungkin ramai yang bertanya kenapa saya mempunyai pendirian sebegini, tetapi berdasarkan pengalaman yang telah dilalui rasanya itulah pilihan yang terbaik boleh saya lakukan.

Dahulu, saya sangka cukup senang apabila mendapat pasangan sesama artis ini. Bagaimanapun, ia tidak seperti yang diharapkan dan puncanya lebih kepada komitmen terhadap kerjaya masing-masing.

Pada usia yang sudah mencecah 28 tahun, adakah keluarga tidak mendesak Hanez supaya berumah tangga?

Sebenarnya saya beruntung kerana memiliki keluarga yang cukup memahami. Setakat ini mereka langsung tidak bertanya tentang perkahwinan dan mahu saya sendiri yang tentukannya.

Apabila pulang ke kampung dan menziarahi saudara-mara sempena Aidilfitri, tiada sebarang pertanyaan yang diajukan kerana mereka tahu saya kurang gemar untuk menjawab soalan berkaitan perkahwinan

Tuesday, August 20, 2013

Yusof Haslam jalani pembedahan

PENERBIT dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam disahkan menghidap batu karang dan telah menjalani pembedahan menggunakan kaedah laser bagi menghancurkan batu karang berkenaan pada jam 1 petang, semalam.

Menurut isterinya, Datin Fatimah Ismail, 58, Yusof rebah di kediaman mereka di Taman Melawati, awal pagi semalam setelah mengadu sakit pinggang.

Katanya, dia menghubungi anaknya, Syamsul yang kemudiannya menghantar Yusof ke Hospital Tawakal, Kuala Lumpur.

“Selepas menjalani imbasan, doktor mengesan batu karang bersaiz lima milimeter (mm) di dalam buah pinggang Datuk dan terus membuat pembedahan menggunakan laser bagi menghancurkan batu karang berkenaan,” katanya yang ditemui Zass di pekarangan hospital.

Fatimah berkata, sebelum kejadian, suaminya menghadiri rumah terbuka Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Kamaruddin Siaraf.

“Datuk ada ke Seremban semalam dan melalui perjalanan pergi dan balik selama tiga jam kerana kesesakan lalu lintas. Selain itu beliau juga kurang minum air,” ujarnya.


Monday, August 19, 2013

Yuna digelar 'Norah Jones' oleh penerbit dan komposer tersohor

NAMA Yunalis Zarai atau Yuna tidak perlu diperkenalkan lagi kerana memiliki kehebatan vokal yang tiada bandingannya.

Meraih kejayaan demi kejayaan di tanah air sendiri, anak jati Alor Setar, Kedah, ini turut mencipta nama di peringkat antarabangsa sehingga digelar sebagai 'Norah Jones' oleh penerbit dan komposer tersohor, David Foster.

Kehebatan pelantun lagu Terukir Di Bintang, bukan sahaja membuka mata rakyat Malaysia, bahkan juga telah mengharumkan nama negara di mata dunia.

Lagu Inggeris dendangannya, Shine Your Way Be, kolaborasi bersama Owl City, mendapat sambutan serta pujian di seluruh pelosok dunia. 

Turut dijadikan sebagai lagu tema untuk filem animasi popular, The Croods, yang telah ditayangkan di pawagam Mac lalu. Sejak dilancarkan lima bulan lalu, lagu ciptaan Alan Silvestri dan Glen Ballard yang pernah mencipta lagu untuk penyanyi terkenal dunia seperti Michael Jackson, Alanis Morissette serta No Doubt itu menerima tontonan lebih dua juta pelayar YouTube.

Tidak terhenti di situ, Yuna turut melancarkan video single terbarunya, I Wanna Go, awal bulan lalu. Lagu ciptaannya bersama Verve itu bagaimanapun hanya dipasarkan di Amerika sahaja.

"I Wanna Go merupakan single pertama yang saya pilih untuk EP. Muziknya digarap dengan eleman ketimuran, yang mana akan ada bunyi kompang dihasilkan daripada gendang.

"Saya memang memberi kelainan terhadap lagu ini dan saya berharap ia akan mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat muzik," kata Yuna yang akan tampil dengan  album penuh pada September ini.

Tidak meminggirkan peminat tempatan, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu, Dan Sebenarnya ini turut melancarkan dua single terbarunya iaitu Lelaki... dan Dwihati (bersama Aizat), yang semakin rancak diputarkan di corong-corong radio tempatan.

Haliza Misbun: Saya senang hidup bersendirian

LAMA tidak muncul di semua saluran media, kelibat pelakon Haliza Misbun di majlis Melodi Raya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur mencuri perhatian.

Ini kerana, pelakon filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami itu masih kekal cantik dan langsing biarpun usianya kini sudah mencecah 40 tahun.

“Hidup berkahwin sangat membosankan. Saya senang hidup bersendirian. Sebabnya, saya boleh buat apa yang saya suka. Hidup saya tidak sunyi kerana ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.”

Haliza juga tidak mahu berkahwin disebabkan tekanan daripada keluarga atau teman-teman yang tidak mahu dia terus hidup membujang.

Jelasnya, sampai masa nanti jika bertemu dengan lelaki yang sesuai, dia tetap akan berkahwin

“Memang dulu keluarga sering bertanya bila mahu berkahwin. Tetapi, sekarang mereka sudah berhenti bertanya,” ungkapnya sambil ketawa.

Haliza sebelum ini pernah bersuara yang dia tidak akan memilih lelaki Malaysia sebagai suaminya. Bagaimanapun, persepsinya kini mula berubah.

Tuturnya, dia tidak kisah apa juga status lelaki itu asalkan dia boleh serasi dengan lelaki tersebut.

Mengulas mengenai lelaki pucuk muda yang kini menjadi dambaan kebanyakan artis wanita, ujar Haliza, jika pemikiran lelaki muda itu matang ia tidak menjadi masalah buat dirinya.

Berkongsi mengenai rahsia dirinya yang semakin cantik dan kurus, kata Haliza, dia tidak pernah berdiet, tetapi mengamalkan senaman sejak berumur 29 tahun lagi.

“Tiada rahsia apapun, cuma kena gigih bersenam. Sejak berumur 29 tahun, saya tidak pernah gagal untuk bersenam setiap hari,” luahnya yang kali terakhir berlakon dalam filem terbitannya sendiri iaitu Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami pada tahun 2009.

Saturday, August 17, 2013

Cermin diri dulu Rita, kata Zaquan


MENGANGGAP kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar melampau dan keterlaluan, pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Zaquan Adha Abd Razak tampil membidas pelakon itu di laman Twitter, hari ini.

Zaquan yang juga kembar kepada bekas suami Rita, Aidil Zakuan berkata, pelakon itu seharusnya muhasabah diri terlebih dahulu sebelum mahu menyentuh isu agama.

“Jangan sesedap mulut cakap orang cetek ilmu agama...cermin diri dulu sebelum nak sentuh hal-hal agama.

“Dan kalau rasa diri itu tinggi ilmu agama... mari bersemuka,” kata Zaquan.

Zaquan juga mahu Rita Rudaini berhenti daripada menagih simpati orang lain dengan memburukkan keluarganya kepada pihak media.

“Sudah-sudahlah nak raih simpati orang. “Lagipun, kau boleh sentuh hal rumah tangga kau sahaja tapi jangan babitkan orang tua dan keluarga aku,” tegas Zaquan yang juga suami kepada Ayu Raudah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rita yang menganggap tindakan Aidil menceraikannya dengan talak satu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), baru-baru ini terutama di Bulan Ramadhan adalah perbuatan orang yang cetek ilmu agama.

Menerusi laporan berita tempatan hari ini, Rita memberitahu bahawa beliau sudah buka buku baru dalam kehidupannya sejak Aidil menceraikannya dengan talak satu pada 4 Ogos lalu, iaitu pada malam 27 hari berpuasa.

“Hati saya sudah lama kosong... kosong sekosongnya! Tiada kata yang dapat diungkap untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini.

“Diceraikan pada bulan Ramadan dan beberapa hari nak menyambut Syawal, kedengaran amat kejam. Manusia yang kurang didikan agama saja melakukan tindakan merobohkan masjid pada bulan Ramadan. Mungkin Aidil tak tahu, pada hari dia melafazkan talak pada saya iaitu malam 27 berpuasa, kemungkinan boleh jatuh pada malam lailatul qadar. Tapi,
Aidil tahu ke apakah malam lailatul qadar?

“Saya bukannya cakap saya baik sangat, tapi saya sedih melihat betapa ceteknya ilmu agama Aidil. Bagi saya, lelaki seperti Aidil tidak layak dibuat suami mahupun menantu.

" Bagaimana nak layak dijadikan suami, jika soal cerai berai pun boleh dibuat main-main. Dulu, masa tergila-gilakan saya, sanggup bawa saya berkahwin lari ke Songkhla, Thailand.

Sanggup harungi lautan api. Sekarang, apabila sudah benci, tendang saya seperti bola, ceraikan saya melalui SMS saja. Manusia macam inikah layak menjadi pemimpin keluarga, kalau dia sendiri pun tidak betul dan cetek ilmu agama?

“Saya tidak kesal diceraikan, malah saya tahu kesudahannya, kami akan bercerai juga tapi kenalah ikut prosedur. Dia fikir saya dan anak-anaknya barang mainan, boleh campak sesuka hati jika tidak lagi diperlukan?,” ujarnya.

Sebelum ini, kemelut perkahwinan yang dilalui Rita 37, akhirnya tiba di penghujung apabila suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil 26, menceraikannya dengan talak satu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), baru-baru ini.

Kes perbicaraan perceraian dan tuntutan mereka belum lagi diputuskan walaupun perbicaraan sudah berlangsung selama dua tahun, tapi ikatan mereka sebagai suami isteri terlebih dulu sudah terlerai.

Thursday, August 15, 2013

Pelakon Rita Rudaini beraya tanpa suami

Tidak ada seorang isteri pun di dunia ini yang mahukan rumah tangga mereka berakhir dengan perceraian, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bernikah atas dasar suka sama suka hingga dikurniakan anak.

Namun bagi pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 37, dia akhirnya terpaksa menerima hakikat diceraikan suaminya, Aidil Zafuan Abd Radzak, 26, namun apa yang menyedihkan, perceraian itu terjadi dalam bulan puasa, tinggal empat hari saja sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, baru-baru ini.

“Nampaknya semuanya sudah berakhir selepas terlalu lama saya menderita. Terus terang saya sebenarnya tidak harapkan rumah tangga kami mampu diselamatkan lagi.

“Namun saya tidak terkejut apabila Aidil ceraikan saya menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas). Ini kerana ketika dia keluar rumah dulu pun, itu juga perkara yang tidak sepatutnya dibuat seorang suami yang beriman dan bertanggungjawab,” katanya.

Rita berkata, tindakan Aidil melafazkan cerai terhadapnya melalui pesanan di telefon tempoh hari adalah satu tindakan ‘kotor’.

Wednesday, August 14, 2013

Betty tak sabar timang cahaya mata


Penyanyi dan pelakon kacukan Arab, Betty Banafe, yang kini kelihatan semakin berseri-seri setelah disahkan hamil lima bulan.

Mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan kacukan England dan Lubnan, Bruce Dargus pada 8 Disember tahun lalu, pasangan ini dijangka menimang cahaya mata sulung pada bulan yang sama dengan ulang tahun perkahwinan mereka. Akui ia
merupakan momen yang sangat dinantikan, bagi Betty tiada apa yang lebih membahagiakan dari bergelar isteri dan juga ibu.

“Sejujurnya kehidupan saya sekarang bertambah bahagia apatah lagi kini sedang menunggu kelahiran bayi pertama kami.

“Kami tidak kisah jantina bayi, paling penting anak kami sihat dan cukup sifatnya,” katanya yang tak sabar menimang cahaya mata.

Bersyukur dikurniakan suami seperti Dargus, Betty berkata, meskipun berbeza bangsa dan adat ia tidak pernah menjadi kesukaran buat mereka menjalani kehidupan berumah tangga.

"Dia (Dargus) mudah menyesuaikan diri dan sangat memahami saya. Malah dia terlalu bersikap 'protektif' sejak mengetahui saya hamil," kata Betty.

Berkongsi perkembangan seninya,  Betty berkata dia masih menerima tawaran lakonan. Namun sejak berkahwin dia semakin selektif memilih tawaran.

“Suami tidak menghalang kerjaya seni saya, tetapi bila saya dah hamil dia mula risau dan sentiasa menasihatkan saya agar berhati-hati setiap masa," ujar Betty yang kini sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang akan ditayangkan di TV9.

Ella meraikan syawal kali kedua bersama suami


Sebalik senyum meleret si empunya vokal memukau ini, jelas dia cuba menyembunyikan sesuatu. Makin deras persoalan diajukan, semakin itu senyum dan tawa berubah bercampur emosi.

Ella atau nama sebenarnya, Rozila Aminuddin yang meraikan syawal kali kedua bersama suami tercinta, Azhar Husaini Ghazali, 32, punya cerita.

Katanya berbisik, mungkin hatinya belum sepenuhnya kuat membiarkan ibu tercinta tiada di sisi pada pagi raya.

“Bayangkan, sejak dulu lagi saya tidak pernah berenggang dengan keluarga terutamanya mak, apatah lagi tatkala mendengar takbir raya.

“Namun itulah realitinya selepas bergelar isteri. Tahun lalu suami sudahpun menyambut Aidilfitri di rumah keluarga saya di Klang, jadi tahun ini giliran saya pula pulang ke Muar untuk meraikannya dengan keluarga mentua.

Monday, August 12, 2013

Aziz M Osman rindu kenangan beraya di Singapura


keluarga besar merupakan satu kelebihan dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan suasana yang lebih meriah.

Bukan sahaja diceriakan dengan suara anak-anak, malah kehadiran sanak saudara yang datang berkunjung pasti memberikan seribu satu pengalaman manis ketika menyambut Syawal.

Bagi pengarah dan penerbit terkenal, Aziz M Osman, 51, Aidilfitri yang disambut setiap tahun lebih bermakna dengan melihat kegembiraan anak-anaknya yang semakin membesar dan meningkat remaja.

"Alhamdulillah, tahun ini kami sekeluarga beraya di Damansara sahaja kerana semua adik-beradik dan bonda, Afida Es berada di sini.

"Pada hari raya ketiga, kami sekeluarga berangkat pulang ke kampung halaman isteri, Puteri Lily Lokman di Serkam Pantai, Melaka.

"Seminggu selepas itu, barulah kami pulang beraya ke Singapura dan menziarahi sanak saudara yang masih ada di sana," katanya yang memiliki tujuh anak.

Hasil perkahwinan pertama, Aziz dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Nur Fatihah, 25, manakala lima anak lagi bersama bekas isteri, Datin Nor Aliah Lee iaitu Puteri Nur Asyikin, 22, Putera Mohd Aiman, 19, Puteri Nur Aishah, 15, Puteri Nur Ain, 13 dan Putera Mohd Ameen, 11.

Selepas mendirikan rumah tangga bersama Puteri Lily, 25, yang juga anak kepada pelakon, Lokman Ghani, Aziz yang juga pemilik syarikat produksi, Ace Motion Sdn Bhd, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Puteri Nur Azzahra, dua tahun.

Wednesday, August 7, 2013

Konsert KL fm Syoknya Raya

ONE NATION EMCEES terbabit dengan Konsert KL FM Syoknya Raya Lagi Sakan Beraya yang akan ke udara di KL FM pada malam raya pertama.

KONSERT KL FM Syoknya Raya Lagi Sakan Beraya buat julung kali diadakan sempena meraikan lebaran tahun ini.

Rakaman konsert yang disiarkan pada hari raya pertama menerusi radio KL FM itu akan turut disiarkan menerusi saluran TVi (Astro 180) pada hari raya ketiga pukul 9 malam.

Ujar Penerbit Eksekutif konsert berkenaan, Normah Aziz, konsert itu merupakan antara pengisian menarik sempena raya dan sambutan kemerdekaan negara tidak lama lagi.

"Konsert ini bertujuan memberi penghargaan kepada pendengar KL FM di samping meraikan anak-anak yatim yang kurang bernasib baik.

"Program bersifat santai ini menampilkan penyanyi popular tanah air yang akan menghiburkan penonton dan pendengar setia KL FM dengan tema Aidilfitri dan semangat bulan kemerdekaan," katanya yang ditemui pada rakaman konsert itu di Restoran Felda D'Villa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

a menampilkan barisan penyanyi terkenal antaranya Nassier Wahab, Jay Jay, Suki, Nubhan, Elveena Iris, Ali XPDC, Baby Shima dan kumpulan One Nation Emcees.

Menariknya, konsert itu bakal menampilkan penyampai-penyampai radio KL FM sebagai perantara majlis di samping membuat persembahan khas.

Jadi, jangan lepaskan peluang meraikan hari raya ini bersama persembahan hebat Konsert KL FM Syoknya Raya Lagi Sakan Beraya.

Monday, August 5, 2013

Awie promosi butik Malai Rock Station


AWIE mempromosikan kemeja-T yang dijual di Malai Rock Station Butik.


Sepanjang Ramadan ini Awie sibuk mempromosikan butik berkenaan yang menjual kemeja-T dengan rekaan corak dari Jepun dikenali sebagai Shironeko.

“Sejak mengusahakan perniagaan ini lima tahun lalu, saya tidak lakukan sebarang promosi kerana masih mencari tempat dan masa yang sesuai selain mahu mengukuhkan nama syarikat terlebih dulu. Buat masa ini butik ini ada di Plaza Idaman, Gombak dan Fiesta, Ampang (nama lamanya Axis Atrium).

“Saya bercadang untuk membuka cawangan di Ipoh, Melaka dan Johor Bahru selepas ini. Selain itu, saya juga mendapat banyak permintaan daripada peminat di pantai timur dan bagi memenuhi pasaran di sana, saya juga akan membuka cawangan butik ini di Kuantan,” katanya.

Menurut Awie, perniagaan butik itu juga dibuka khusus untuk isterinya, Ruzana Misbun dan dia hanya menyediakan modal.



Sunday, August 4, 2013

Pelakon Rosnah Mohd. Noor meninggal dunia


Pelakon yang popular dengan filem Hantu Siang, Rosnah Mohd. Noor meninggal dunia Kuala Lumpur pada pukul 2.55 petang semalam akibat penyakit barah payudara.

Pelakon berusia 54 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di Wad Onkologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Rosnah dikatakan menghidap barah payudara sejak lebih lima tahun lalu.

Kali terakhir dia dimasukkan ke hospital tersebut adalah pada 27 Februari lalu selepas tulang paha kirinya patah akibat komplikasi pelbagai penyakit sampingan yang dihidapinya.

Friday, August 2, 2013

Ana Dahlia doakan kebahagiaan bekas suami



Pelakon Ana Dahlia pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Nadzri atau Chef Riz yang juga anak kepada chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Chef Wan.

Namun begitu, jodoh mereka tidak berpanjangan. Kedua-duanya mengambil keputusan untuk bercerai tahun lalu setelah berkahwin tidak sampai setahun.

Berpeluang bertemu dengan Ana ketika rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.

" Segala kejadian yang menimpa diri saya sebelum ini menjadi pengajaran yang paling berguna. Sekurang-kurangnya pengalaman itu membuatkan saya lebih berhati-hati.

" aya tidak serik untuk berkahwin lagi kerana dalam Islam pun perkahwinan itu merupakan suatu perkara yang sangat dituntut. Namun begitu, setakat ini saya belum lagi bertemu dengan lelaki yang sesuai.

" Lagipun, jodoh dan pertemuan ini sudah ditentukan oleh Allah. Buat masa ini saya belum rasa terdesak untuk mendirikan rumah tangga buat kali ketiga.

Sepanjang bergelar janda, adakah ada mana-mana lelaki yang ingin rapat dengan anda?

" Tidak dinafikan ada yang ingin menjalinkan hubungan serius dengan saya.

" Namun begitu, pengalaman lampau membuatkan saya kini lebih matang dan selalu timbul perasaan syak wasangka terhadap mana-mana lelaki yang cuba mendekati saya" ujarnya.

Thursday, August 1, 2013

Benjy lafaz cerai talak satu dengan Safiya


Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy semalam sah bercerai talak satu dengan isterinya, Safiya Stephanie Kar-Leng Lee di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur semalam.

Lafaz cerai tersebut dilakukan oleh Benjy, 35, pada pukul 9.40 pagi di hadapan Hakim Syarie, Khairul Azwadi Mohamed Noor mengikut Seksyen 47(3) Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian mengesahkan lafaz cerai talak satu ke atas mereka dan memerintahkan Safiya menjalani idah tiga kali suci.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2