NUFFNANG ADS

Wednesday, November 30, 2011

Isu Saman: Johan terkejut !!




Johan Raja Lawak, 27, dikejutkan dengan berita Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy ingin menyamannya kerana terguris dengan kata-kata yang berbaur penghinaan yang dilemparkan Johan ke atas dirinya dan kedua-dua ibu bapanya pada malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada 20 November lalu.

Umum mengetahui Ogy dan Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz merupakan pengacara pada malam FFM24.

Walaupun, penonton melihat senario gurauan kedua- dua pengacara serba boleh itu menjadi di atas pentas, namun apabila majlis tersebut tamat ada amarah yang tersimpan di benak Ogy kepada Johan sehingga bekas isteri kepada pelakon Eman Manan itu bertindak untuk menyaman Johan.

Ogy dalam dakwaannya menerusi sebuah akhbar sebelum ini menegaskan Johan sememangnya kurang ajar, bukan setakat bakat dirinya malah arwah ibu bapanya, Datuk Ahmad Daud dan seniwati Saadiah turut dipersendakan sesuka hati.

Namun kata Ogy, apa yang paling dia terkilan apabila Johan boleh mempersenda Tahun Gajah iaitu tahun kelahiran Nabi Muhammad!

Wartawan berpeluang menghubungi Johan untuk mendapatkan maklum balas pelawak itu mengenai hal saman tersebut.

Johan mengakui terkejut dan hanya mengetahui perkara saman itu melalui sebuah akhbar tempatan yang menyiarkan tentang perkara itu baru-baru ini.

Malah, dia tidak menyangka tentang isu tersebut kerana dia ada memohon maaf kepada Ogy selepas FFM 24 tamat jika kata-katanya ada mengguris hati Ogy.

Bagaimanapun Johan enggan mengulas lanjut mengenai hal saman itu selagi surat saman tersebut tidak sampai kepadanya.

“Saya terkejut dan hanya mengetahui perkara ini melalui sebuah akhbar yang mengatakan Kak Ogy nak menyaman saya.

“Sewaktu FFM 24 tamat saya ada minta maaf kepadanya jika ada kata-kata yang menyinggung perasaannya. To be fair saya sebenarnya tidak mahu ulas perkara ini lebih lanjut selagi surat saman itu tidak sampai kepada saya.

“Tunggulah jika perkara ini masih berlanjutan saya akan bercakap mengenainya kepada semua,” tegas Johan.

Nur Shid’la tinggalkan dunia hiburan

Nur Shid’la.


“Suami saya bukan VVIP seperti yang hangat diperkatakan dalam Internet. Suami saya orang biasa dan VVIP dimaksudkan itu tiada kena mengena langsung dengan perkahwinan saya,” kata penyanyi, Syella mengenai kontroversi lelaki dinikahinya baru-baru ini.

Pada masa sama, Syella atau nama sebenarnya Nur Shid’la Ahmad Kamarudin meminta kehidupannya tidak diganggu dan dia juga tidak bercadang memberitahu siapa suaminya.

“Biarlah ia menjadi rahsia,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Syella berkata, dia pelik mengapa orang ramai sibuk memperkatakan mengenai perkahwinannya yang dikatakan memakan belanja RM15 juta sedangkan dia tidak lagi aktif dalam industri hiburan.

“Saya dilabelkan artis suam-suam kuku tapi tiba-tiba nama saya disebut semula gara-gara perkahwinan mewah saya. Dulu orang tak sebut pun pasal saya. “Apapun tanggapan orang terhadap saya, saya sudah berkahwin dan saya mahu hidup bahagia di samping suami. Semoga Allah SWT kurniakan kami zuriat dengan segera,” katanya.

Menurut Syella, sebenarnya dia tidak berminat memberi komen mengenai perkahwinannya dan siapa suaminya.

“Saya juga tak minta hantaran mahal-mahal tetapi suami yang mahu bagi. Sama ada orang di luar sana mahu percaya atau tidak, terpulang. “Andai kata suami tak hadiahkan kereta mahal pun, saya tak kisah kerana saya sendiri ada banyak kereta. Saya cukup bersyukur apabila dia sudi menyunting saya sebagai isteri. “Bila saya tak kahwin, orang kata saya tak laku tetapi bila saya berkahwin, mereka kecoh pula. Apa dosa saya dengan mereka,” katanya. Syella juga berharap orang ramai tidak mempersoalkan cara dia berpakaian dan masih dianggap seksi, di sebalik statusnya yang kini bergelar isteri orang.

“Suami saya sudah berusia dan dia ada cara sendiri mendidik saya. Suami mahu saya berubah perlahan-lahan kerana katanya untuk membentuk orang lain ke arah lebih baik bukan dengan paksaan. “Jadi usah pertikaikan cara saya berpakaian dan siapa saya kerana apa yang penting suami memahami,” katanya yang memberitahu akan mengerjakan umrah sekali lagi bersama suami pada Februari ini.

“Tak perlu dihebohkan lagi mengenai majlis perkahwinan saya dan siapa suami saya. Jangan ganggu hidup saya lagi kerana saya pun dah ‘tak ada’ dalam industri ini,” katanya.

Monday, November 28, 2011

Penyanyi rap dikepung kumpulan samseng



Seorang penyanyi rap cedera di kepala dan badan selepas diserang 10 lelaki dipercayai samseng jalanan di Jalan Selangor, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun dalam perjalanan ke sebuah kedai bagi membeli barangan keperluan harian.

Menurut sumber, ketika tiba di jalan berkenaan, mangsa didatangi sekumpulan lelaki seramai 10 orang menaiki dua kereta dan tiga motosikal.

Sumber berkata, mangsa menyedari dikepung kumpulan samseng terbabit sebaik pintu keretanya ditendang dari luar.

Katanya, mangsa yang sibuk menyiapkan persiapan majlis resepsi perkahwinannya yang bakal berlangsung dua hari lagi keluar dari kereta dan bertanyakan punca tindakan mereka menendang pintu keretanya.

“Akibatnya, seorang daripada mereka merampas kunci kereta mangsa sebelum menyerang dan memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan batu, kayu dan batang besi.

“Mangsa yang tidak tahu punca diserang cuba mempertahankan dirinya, tetapi gagal kerana bersendirian ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan terbabit turut memecahkan cermin depan dan merosakkan pintu serta bumbung kereta Proton Iswara mangsa.

“Serangan itu menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka dan badan, malah mangsa memberitahu kumpulan lelaki itu berhenti menyerang selepas dia merayu beberapa kali,” katanya.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa yang juga seorang artis tempatan itu diserang individu tidak dikenali dan tindakan pantas anggota polis berdasarkan maklumat yang diterima, semua lelaki berusia 30-an ditahan di sekitar ibu kota.

Ogy saman Johan - peminat bela Johan

Ogy bersama Johan pengacara Festival Filem Malaysia Ke-24



Berpandukan laporan media Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy)merancang untuk menyaman Johan (Raja Lawak) yang digandingkan sebagai pengacara Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.

Dakwa Ogy dalam sebuah media kemarin, Johan telah mengaibkannya di hadapan penonton termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan jenaka tidak relevan sepanjang majlis berlangsung.

Menyifatkan isu ini sebagai sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, kata Ogy, dia nekad untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Johan.

Ramai dikalangan peminat kedua-dua pengacara ini menyokong Johan dan ada yang berharap agar Ogy berfikir dahulu sebelum mengambil tindakan demi menjaga persada seni dan artis Malaysia.

Diantara komen-komen yang dipaparkan di Facebook adalah seperti berikut;


Star Abdul ·
damai aje lah n minta maaf..

Putra Permata Anugerah · Open University Malaysia
Kes 15 tahun dulu dengan A--- A-- pun masih tak settle. Kalau taknak sentap, berundur saja dari dunia seni. Dok rumah. Tak ada siapa nak kacau.

Nursuhana Alauddin · Shah Alam, Malaysia
Setujuuuu!!dia mao kaya cpt kot ya..:)

Mie Razmi Bin Ismail ·
mlm tu aku tgk sama2 over je...x yah nk tuding2 jari cari salah sapa.wat penat turun naik mahkamah je.

Wahab Ahmad · Politeknik ungku omar
Mungkin sbb dh kurang glamor.....maka jika ada peluang dn ruang kena ciptakan sesuatu yg mengejutkan.....walaupun kerja bodoh tahap cipan....

Halina Sun
mcm tu pun nak saman...dia lgi truk klu kutuk org...

Odiey East · Bekerja di Jabatan agama islam melaka
susahla manusia yang kecikkkkk nauu atiiii ni...... opennnnla sketttt beb.

Midon Darus · Bekerja di ATM
zaman la ni sikit2 saman..

Tok Janggut
x pro lngsung la Ogy ni x bleh nk trima gue

Sakakikun Iyoda · Bekerja di I-eventmanagement & co. & UKM
xkan r sbb tu nak saman... smua org terhibur jer...... kami smua sokong johan...

Mohd Yusri · Methodist Boys School Sentul
ogy..lu pon mulut leh tahan gak, cermin mulut tu dulu baru nak saman org. sikit pnye hal nak saman. ape lu ingat ayat2 lu dulu tu tak penah menyentuh hati org ke. tapi org lain professional n xde nk saman2. to johan wish u the best.

Roseminati Famin · Sang Nila Utama
be professional lh jgn sikit2 pun nak saman,, saya setuju dgn komen2 yg ada..kadang2 kita pun tak sadar yg kita menyakitkan hati org lain..

Sunday, November 27, 2011

Anuar Zain tenang hadapi kontroversi

WALAU sedang dihimpit banyak dugaan, Anuar yakin ada hikmah yang sedang menanti hidupnya di hadapan.


Anuar Zain dilihat sebagai antara artis lelaki yang mampu mengekalkan identiti tersendiri sebagai seorang penyanyi yang kurang dilanda dengan kontroversi.

Menariknya, sejak akhir-akhir ini nama adik kepada penyanyi popular Ziana Zain itu semakin menjadi sebutan ramai. Bukan disebabkan produk terkini yang dihasilkan, sebaliknya peminat lebih memperkatakan tentang kisah peribadinya.

Ia bermula dengan cerita penyanyi tersebut yang kini tidak lagi menggunakan khidmat pengurusnya, Rohila Tahir bermula pada bulan Oktober lalu setelah lebih 10 tahun bekerjasama.

Ternyata perkara tersebut menjadi tanda tanya ramai pihak terutama di dalam industri sehingga ada yang mengatakan ia berpunca daripada pergaduhan sejak sekian lama.

Anuar jika boleh tidak menjawab perkara yang sepatutnya tidak menjadi satu isu. Namun untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, dia memberitahu tidak lagi menggunakan khidmat pengurus lamanya itu kerana mereka bersetuju untuk membawa haluan masing-masing selepas lama bekerjasama.

"Kami mempunyai hala tuju yang berbeza sekarang ini," katanya ringkas sambil memberitahu dia kini cuba menggunakan khidmat pengurus lelaki pula.

Kemudian timbul pula cerita yang mengatakan penyanyi berkenaan tidak mahu menyertai pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik untuk membawakan lagu Sedetik Lebih dan diakui sendiri olehnya dan perkara tersebut telah diberitahu kepada pihak KRU.

Terkini pula apabila kisah tentang dirinya yang langsung tidak berkecil hati walaupun tidak diendahkan oleh pihak penganjur sewaktu berlangsung sidang akhbar selepas tamat acara Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) pada 12 November yang lalu.

Biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cerita kontroversi yang turut membabitkan peribadinya, Anuar menganggap bahawa ia bukanlah satu masalah yang besar buat dirinya.

Mengakui adakalanya sedikit terasa apabila orang ramai lebih gemar memperkatakan tentang dirinya berbanding produk baharu yang dihasilkan, tidak bermakna dia perlu cepat lemah semangat untuk mengharunginya.

Friday, November 25, 2011

AIM 18: memalukan atau melucukan ?

YUNA akan tetap menyokong AIM namun meminta agar kesilapan yang sama tidak berulang demi menjaga maruah dan kreadibiliti anugerah tersebut serta karyawan seni.



Senario paling lucu dalam industri hiburan tempatan sebelum tahun 2011 melabuhkan tirai. Bertambah lucu apabila ia datang daripada sebuah anugerah yang dianggap paling berprestij untuk mengiktiraf karyawan sebalik tabir dan pelaku muzik tanah air, Anugerah Idustri Muzik (AIM) - tersilap beri anugerah dan pengiktirafan!

Jika ingin dilihat secara kasar, memang tidak masuk akal langsung apabila AIM yang tahun ini sudah masuk usia 18 tahun boleh melakukan kesilapan paling bodoh untuk jenama besar mereka.

AIM 18 tersilap memberi pengiktirafan kepada kategori Lagu Terbaik yang dimenangi oleh karya penuh Yuna, Penakut. Anugerah itu kini telah bertukar tangan kepada komposer Edry Abdul Halim dan penyanyi Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih.

Padahal, sewaktu majlis sidang akhbar berlangsung usai AIM 18 berakhir lebih seminggu lalu, memang sudah kecoh tentang kemenangan lagu Penakut. Bagaimana sebuah lagu yang tidak menang dalam salah satu subkategori boleh diangkat juara.

Sedangkan mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh penganjur, pemenang Lagu Terbaik mestilah merupakan salah satu pemenang bagi empat anugerah subkategori sama ada Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik atau Lagu Nasyid Terbaik.

Namun pihak penganjur menangkis dan menepis soalan media. Barangkali media cuba membunuh anugerah yang semakin mula nampak banyak kepincangannya ini, penganjur dengan yakin menjawab semua lagu berhak untuk menjadi juara dan seharusnya ia tidak boleh dipertikai kerana ia diadili oleh badan yang cukup profesional.

Apabila pihak penganjur sudah berkata demikian, siapalah media untuk mempersoalkan lagi walau memang diakui, jawapan yang diberikan tidak logik. Malah siapa juga Yuna atau pelaku muzik lain untuk mempertikaikan penjurian profesional.

Baru ingin melupakan kontroversi tersebut, AIM 18 membakar termometer mereka sendiri. Umpama sudah ludah dan menjilat semula, mereka menarik balik pengiktirafan terhadap Yuna. Kata mereka, terdapat kesilapan teknikal yang berlaku terhadap penjurian.

Maka anugerah Lagu Terbaik yang dimenanginya pun dipulangkan. Sesudah dipulangkan, ia kemudian diberi kepada pemenang yang lebih layak mengikut penjurian profesional mereka, Sedetik Lebih.

Yuna yang merupakan mangsa utama terhadap kecelaruan penjurian AIM 18 memberitahu, dia sendiri agak hairan apabila lagu Penakut diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik ketika acara kemuncak yang berlangsung pada 12 November yang lalu.

Thursday, November 24, 2011

Jamal Abdillah buat persembahan di Hotel Permai

Jamal Abdillah


Kemunculan Raja Pop, lelaki bernama Jamal Abdillah di Terengganu untuk membuat persembahan sempena konsert dan makan malam di Hotel Permai, Kuala Terengganu pada 30 November ini begitu dinantikan.

Manakan tidak, tempat duduk sebanyak 50 meja yang disediakan untuk peminat di Permata Ballroom, hotel tersebut sudah hampir penuh ditempah sejak ia dibuka kira-kira dua minggu lalu.

Menurut Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali, penganjuran konsert berkenaan dilakukan kerana permintaan ramai untuk melihat penyanyi yang mempunyai aura tersendiri itu dengan lebih dekat lagi.

Paling menarik katanya, pemilihan lagu yang bakal dipersembahkan pula berdasarkan kajian terhadap kira-kira 430 orang peminat Jamal mengenai lagu yang mereka mahu didendangkan penyanyi itu sempena konsert tersebut.

“Antara lagu yang mendapat permintaan paling tinggi ialah Tidurlah Permaisuri, Derita Cinta dan Di Sudut Kamar Hatiku,” katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Jelasnya, dengan pemilihan lagu-lagu tersebut, peminat akan dapat mendengar denda- ngan lagu kegemaran berdasarkan undian mereka secara langsung daripada Jamal pada konsert tersebut.

Menurut Azman lagi, Jamal akan membuat persembahan selama satu setengah jam yang mana lima buah lagu penuh dan empat buah lagu medley akan disampaikan dalam dua sesi.

Tidak cukup dengan itu, katanya, seorang peminat bertuah akan dinilai oleh pihak penganjur pada malam tersebut dan yang pastinya ia akan meninggalkan kenangan sepanjang zaman.

Katanya, ini kerana peminat tersebut akan diberi peluang berduet dengan penyanyi kesayangan ramai itu melalui lagu Sandarkan Pada Kenangan.

Selain itu tambahnya, bagi pengunjung yang lain, selain bakal dihibur- kan juara Bintang RTM 1979 itu, mereka juga bakal menikmati hidangan makan malam enak yang disediakan oleh pihak hotel.

Dengan tiket berharga RM200, RM250 dan RM300, pengunjung yang hadir dijanji- kan dengan hidangan yang membuka selera dengan hiburan daripada kumpulan residensi Hotel Permai.

Selepas itu, acara sebenar majlis akan bermula dan selain persembahan daripada Jamal Abdillah, majlis akan turut diselitkan dengan acara cabutan bertuah yang melibatkan barangan bernilai lebih RM20,000 kepada pengunjung bertuah.

“Bagi yang kurang bertuah tidak perlu bersedih kerana hadiah misteri akan diberikan kepada setiap daripada yang datang sebagai kenangan.

“Masih ada tempat lagi untuk peminat Jamal, namun mereka harus membuat tempahan dengan kadar segera kerana tempat duduk agak terhad,” ujarnya yang juga memberitahu untuk membuat tempahan tiket boleh menghubungi talian 09-6222122.

Wednesday, November 23, 2011

Eira Syazira nafi bunting pelamin



Majlis resepsi Eira Syazira dan Azad Jazmin yang diadakan Jumaat lalu, di Dewan Kampo, Youth International Centre itu berkonsepkan Melayu-Inggeris Klasik sangat menarik kerana memberikan sentuhan Inggeris, namun masih menerapkan istiadat perkahwinan masyarakat di Kelantan.

Inginkan majlis resepsi seolah-olah fairytale, perancang resepsi itu, Zaha perancang perkahwinan memilih menerapkan konsep heritage iaitu gabungan moden dan klasik disesuaikan dengan busana sentuhan pereka tempatan, Hazwani Othman Hairi Tajuddin menepati cita rasa Eira.

Malah majlis resepsi tersebut berjalan tanpa cacat celanya dan meriah, walaupun hanya dengan kehadiran keluarga dan rakan rapat sahaja.

Namun dalam kemeriahan tersebut, terdengar cakap-cakap orang yang mengatakan Eira kini sudah mengandung. Bagaimanapun enggan mendedahkan perkara itu kerana masih terlalu awal.

Eira yang dihubungi Zass bagaimanapun menafikan perkara itu dan merasakan tidak wajar untuk menyorokkan perkara yang baik.

"Buat masa ini, belum rezeki kami lagi untuk menimang cahaya mata. Eira masih belum mengandung. Jika benar Eira mengandung, untuk apa Eira mahu merahsiakan perkara yang baik.
"Tanda-tanda pun masih belum ada. Jika Eira sudah mengandung, Eira pasti akan berkongsi berita gembira ini pada semua," katanya.

Tidak meletakkan bila mereka akan menimang cahaya mata, Eira berkata, dia akan memperlahankan kerjayanya sebagai pelakon apabila bergelar ibu bagi memberikan tumpuan kepada keluarganya. Bagaimanapun, dia tidak akan berhenti berlakon kerana itu adalah minatnya.

Tuesday, November 22, 2011

Datuk Sharifah Aini buat kerja amal


Datuk Sharifah Aini boleh juga digelar penyanyi amal. Ini kerana percaya atau tidak, penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Kak Pah itu sehingga kini sudah terbabit dengan 3,000 acara amal sepanjang 42 tahun pembabitannya sebagai anak seni.

Bagaimanapun, sejak dua tahun yang lalu Kak Pah yang memulakan karier sebagai penyanyi ketika berusia 14 tahun itu sudah mula menganjurkan sendiri acara bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Sehingga sekarang saya telah menganjurkan sebanyak lima acara amal dengan memberi bantuan kepada lima buah sekolah tahfiz serta rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang. Sasaran saya buat masa ini adalah untuk membantu 15 buah sekolah.

“Jadi pada 17 Disember ini saya akan menganjurkan sebuah lagi acara yang dinamakan majlis Makan Malam Amal Tiga Sahabat untuk memberi bantuan kepada sebuah sekolah tahfiz dan anak yatim lagi,” jelasnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Ujar Kak Pah, dua buah sekolah yang akan dibantunya itu adalah Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran yang terletak di Puchong, Selangor serta rumah anak yatim Baitul Ehsan di Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, jumlah sumbangan yang akan diserahkan itu nanti adalah berdasarkan keuntungan setelah ditolak semua kos perbelanjaan untuk acara tersebut yang akan berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

“Untuk menganjurkan acara-acara amal sebegini, biasanya saya memerlukan kos sekitar RM170,000. Setelah ditolak bayaran kepada pemuzik dan penyanyi undangan, maka selebihnya itu akan diserahkan kepada mereka,” ujarnya.

Menariknya tentang acara amal yang dianjurkan kali ini, Kak Pah menerusi syarikatnya iaitu Seri Dewi Production Sdn. Bhd. turut mengundang dua orang penyanyi popular dari Indonesia iaitu Grace Simon dan Dewi Yull.

Monday, November 21, 2011

Kemenangan Libas dipertikai



Syabas buat Gafim kerana berjaya menganjurkan FFM 24 meskipun disulami pelbagai kontroversi sejak dari perancangan FFM 24 berjalan. Malam itu, kebanyakan calon yang diramalkan menang berlandaskan prestasi dan kualiti namun satu anugerah telah mengundang kontroversi.

Anugerah yang dimaksudkan adalah untuk kategori Cerita Asal Terbaik yang dimenangi oleh filem Libas menerusi karya Martias Mohd. Ali yang mana ia merupakan filem pertama arahan Presiden Gafim sendiri, Jurey Latiff Rosli.

Apa yang dipertikaikan bagaimana filem ini boleh memenangi Cerita Asal Terbaik sedangkan pengarah dan penerbitnya terang-terangan mengakui mereka mengambil sedikit idea daripada filem Hong Kong, Shaolin Soccer dan sekadar menambahbaik untuk dihasilkan menjadi filem Libas.

Apabila ditonton, memang filem itu mirip dengan filem Shaolin Soccer, cuma ia seolah-olah ditukar wajah untuk disesuaikan dengan selera Malaysia sahaja. Jurey yang ditemui pada sesi sidang media FFM24 bagaimanapun berharap kemenangan Libas untuk kategori tersebut tidak perlu dijadikan isu kerana ia terletak di tangan juri yang memilih.

"Saya bukan calon kategori Cerita Asal Terbaik, syarikat MDAG Marketing yang menghantar filem itu kerana ia layak bertanding. Juri yang memilih untuk filem Libas menang, saya tidak ada kena mengena dengan penjurian," balas Jurey.

Kemenangan filem Libas untuk kategori Cerita Asal Terbaik telah mengalahkan empat filem yang lain iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah (arahan Mamat Khalid), Khurafat (Syamsul Yusof), KL Gangster (Syamsul Yusof) dan Nur Kasih The Movie (Mira Mustaffa).

Ezylnn pilih bosnya sebagai suami

ADAM menyarungkan cincin di jari manis Ezylnn selepas majlis pernikahan mereka di Kuala Lumpur semalam



Tempoh pertunangan penyanyi dan pelakon Ezylnn yang terkenal dengan lagu Hai Hai Bye Bye mungkin antara yang terpendek di dunia.

Penyanyi itu selamat bertunang dengan pengurusnya sendiri, Adam Fahmy Shamsudin, 35, di Roof Garden, Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara di sini pada pukul 3.45 petang semalam.

Sejam 15 minit selepas itu, Ezylnn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 30, selamat diijabkabulkan dengan Adam oleh bapanya sendiri, Ariffin Alang Ahmad pada pukul 5 petang.

Majlis pernikahan itu disaksikan oleh jurunikah Masjid Sungai Penchala, Muhammad Ridwan Mohd. Yunus.

"Saya akui gemuruh sebelum majlis bermula dan Alhamdullilah selepas bercinta selama tiga tahun, hari ini (semalam) merupakan hari paling gembira buat saya kerana telah selamat bergelar isteri.

"Saya memilih Adam sebagai suami kerana tertarik dengan sifat bertanggungjawab dan mementingkan kesempurnaan yang ada pada dirinya," ujar Ezlynn.

Ezlynn menerima wang hantaran sebanyak RM20,020.20 sebagai simbolik kepada tarikh lamaran yang dibuat oleh Adam kepadanya pada 20 Januari 2010 serta tarikh lahir Adam pada 20 Januari di samping mas kahwin sebanyak RM80.

Ezlynn dan suami merancang untuk berbulan madu di Eropah selepas majlis resepsi yang akan diadakan pada bulan Januari tahun depan.

Saturday, November 19, 2011

Raja Azmi memperlekeh kemenangan Jurey Latiff

RAJA AZMI.


Tindakan penerbit kontroversi, Raja Azmi, yang memperlekeh kemenangan Jurey Latiff Rosli sebagai Pengarah Harapan menerusi filem Libas, pada malam Anugerah Cipta Festival Filem Malaysia (FFM24), di Panggung Aniversary Rabu lalu, mengejutkan dunia hiburan.

Sebaik sahaja Pengerusi FFM24 dan juga Presiden Karyawan Filem Malaysia (Gafim) itu diumumkan sebagai pemenang, Raja Azmi, menuju ke arah Jurey dan menjerit "Tak faham, tak faham festival ni. Kelakarlah!".

Tindakannya itu dianggap kurang sopan, apatah lagi majlis itu turut disaksikan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir merasmikan majlis tersebut.
Sehingga kini, Raja Azmi enggan mengulas mengenai perkara itu. Bagaimanapun, ramai yang berpendapat, dia kecewa kerana filemnya, ... Dalam Botol, tidak memenangi sebarang anugerah pada malam itu.

Bagi pengarah filem itu, Khir Rahman, tindakan Raja Azmi dalam majlis tersebut sememangnya agak memalukan. Namun apa yang berlaku, mungkin di luar emosinya.
“Saya yakin dia terbawa dengan emosi. Seharusnya dia cuba mengawal perasaan. Lagi pun kurang sesuai untuk melepaskan rasa ketika majlis itu berlangsung,” katanya yang berharap agar isu itu tidak lagi diperbesarkan.

Ketika diajukan mengenai kemenangan Jurey, Khir yang turut tercalon dalam kategori sama terpaksa akur dengan rezeki yang berpihak kepada Jurey. Namun, sebagai orang penting dalam penganjuran FFM24, kemenangan Jurey pastinya menjadi pertikaian.

“Saya tak nampak di mana salahnya kemenangan Jurey. Bagaimanapun pihak FFM perlu membuat keputusan yang bijak setelah meletakkan Jurey memenangi kategori itu. Sama ada ia melibatkan status Jurey sebagai Pengerusi FFM atau pun bukan, ia tidak menjadi masalah.

“Selagi karya yang dibentangkan mempunyai kualiti dan bagus, pasti perkara ini tidak dibangkitkan dan menjadi satu isu. Seharusnya, pemilihan filem bukanlah dari segi populariti. Tetapi perlu dilihat berdasarkan jalan cerita, lakonan dan keberkesanan filem itu.

“Contohnya, seperti Shamsul Yusof. Saya berbangga dengan pencapaiannya yang berjaya mengaut RM12 juta menerusi filem KL Gangster, tetapi tidak semestinya dengan kutipan itu ia boleh dikategorikan sebagai filem yang baik,” katanya yang tidak pernah menaruh harapan untuk memenangi anugerah.

Fauzi terkejut laporan punyai kekasih gelap

Fauzi bersama isterinya Lisdawati.



“Saya tidak terkejut dengan perkhabaran itu, sebaliknya rasa begitu kelakar,” kata pelakon, Nisdawati Nazaruddin (Lisdawati), 32, selepas ditanya mengenai suaminya, pelakon, Fauzi Nawawi, 38, didakwa mempunyai ‘kekasih gelap’.

Lisdawati berkata, dia langsung tidak terkejut biarpun diberitahu mengenai cerita kurang enak membabitkan suaminya semalam, sejurus satu blog hiburan melaporkan Fauzi Nawawi kini mempunyai kekasih gelap.

“Saya seorang yang mudah... kalau memang betul Fauzi ada gadis baru, wanita lain atau pun skandal, silalah kedua-duanya tampil ke hadapan.

“Saya janji demi nama Allah, saya tidak akan marah mereka, cuma saya nak tanya kedua-dua pihak, betul ke korang (kamu berdua) ni skandal? Apa yang korang (kamu) nak? Itu je,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kata Lisdawati, apa yang penting dia amat mempercayai suaminya.

“Saya tak boleh menerima kebenaran tanpa bukti yang kukuh. Sudah-sudahlah membuat gosip kerana orang tidak mengenali Lisdawati dan Fauzi,” katanya yang menganggap cerita disampaikan itu kurang bijak.

Sementara itu, Fauzi ketika dihubungi berkata, dia terkejut dengan laporan dianggap fitnah itu.

“Saya tidak pernah bercerita mengenai masalah rumah tangga kepada orang lain, termasuk kepada ibu sendiri atau ibu mentua. “Saya menafikan sekeras-kerasnya mempunyai kekasih gelap,” katanya bagi menangkis dakwaan blog hiburan yang melaporkan dia mempunyai ‘skandal baru’ selepas lampiran mesej di Blackberry Messenger (BBM) miliknya menunjukkan dia sedang menjalin hubungan cinta dengan seseorang selain memberitahu mahu berkahwin lain.

“Tuduhan ini sangat melampau dan saya menganggap perkara ini sebagai fitnah, mencemarkan maruah diri dan isteri yang boleh memecahbelahkan rumah tangga kami.

“Sejak bila saya ada kekasih gelap? Sekarang ini teknologi semakin canggih dan nama yang terpampang di screeshoot (lampiran mesej) BBM hanyalah satu penyamaran. Selain itu, gambar digunakan juga diciplak daripada gambar saya,” katanya.

Menurut Fauzi, paparan mesej BBM itu hanya rekaan semata-mata kerana ada individu yang iri hati dengannya.

“Mustahil untuk saya menceritakan masalah rumah tangga sendiri kepada sesiapa saja, apa lagi untuk berkongsi perkara itu di Blackberry kerana saya tidak mempercayai orang ketiga,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan mengambil sebarang tindakan, Fauzi memberitahu, dia akan membuat laporan polis dan menyerahkan kes ini kepada peguam peribadi.

Dia berkata, fitnah terbabit antara permainan dalam industri hiburan kerana ia berniat untuk menjatuhkan dirinya selain memecahbelahkan rumah tangga, sedangkan hakikatnya dia dan isteri (Lisdawati) hidup bahagia.

Thursday, November 17, 2011

Penyingkiran enam kumpulan MLM

Para juri MLM.



Program realilti Maharaja Lawak Mega (MLM) telah mengumumkan seramai lima kumpulan sekali gus yang terkeluar pada awal rancangan pada minggu ketiga.

Namun, seperti kebiasaan, pihak Astro Warna telah membuat kejutan dengan menyingkirkan satu lagi kumpulan yang gagal mengumpul mata di akhir program. Keenam-enam kumpulan yang tersingkir adalah Gebu, Comel, Lanun, Rap, Caer dan Anje.

Pada minggu ketiga ini, kumpulan 3G yang dianggotai oleh Yassin, Didie Alias dan Enot antara yang menjadi kegemaran ketiga-tiga pengkritik tetap iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan bekas pemain bola sepak Zainal Abidin Hassan serta seorang pengkritik jemputan dari Singapura, pemuzik Art Fazil.

Menurut chef selebriti terkenal, Chef Wan, ada peserta yang mempersembahkan lawak yang berulang namun ada juga peningkatan dari beberapa kumpulan contohnya 3G dan PiMai.

“Ada juga sesetengah kumpulan yang gagal membuat lawak, mereka tidak punya pengisian di dalam lawak mereka. Apabila momentum dan mood itu hilang jadi, bahaya bagi pelawak apabila tidak dapat memberikan saat lawak itu sendiri kepada penonton.

“Ia seperti tidak dapat menepati standard dalam pertandingan ini kerana saya harapkan yang lebih lagi kerana mereka ini semua merupakan pelawak profesional dan yang terbaik di antara yang terbaik,” jelasnya sewaktu sidang akhbar yang diadakan selepas program itu berakhir di Royal Theater Selangor, Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, komen penyanyi tersohor negara, Siti pula, kehadiran dirinya sebagai pengkritik tetap adalah di atas nama penonton, maka ia untuk berhibur dan ketawa.

“Maka, apa yang saya komen adalah mengikut apa yang saya rasa dan mengikut cara saya sendiri. Setiap minggu saya sentiasa ingin menonton persembahan lawak dari semua peserta. Kadangkala, minggu pertama dan kedua mereka antara yang terbaik, namun mungkin minggu seterusnya mereka kekal baik,” ucap Siti.

Namun, penyingkiran sebanyak enam kumpulan sekali gus dilihat terlalu banyak dan pihak Astro ada jawapan tersendiri bagi persoalan tersebut yang mana Pengurus Saluran Astro Warna, Azrai Kamaruddin ketika diminta mengulas tentang hal tersebut berkata, ia sebenarnya telah pun dirancang dari awal.

“Jika kita mahu bandingkan perbezaan dengan rancangan realiti yang lain, kita boleh lihat bahawa rancangan lain tidak pernah ada sebanyak 17 kumpulan yang terpilih untuk masuk bertanding.

“Jadi untuk format MLM ini, kita mahu beritahu rakyat yang mana ini semua adalah cita rasa komedi yang ada di rantau ini iaitu di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Maknanya kesemua peserta harus berikan yang terbaik, dan seperti yang dikatakan Chef Wan, ini merupakan pertandingan mega, jadi mereka perlu tonjolkan diri setiap minggu untuk kekal di dalam program ini,” tegas Azrai.

MLM disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132) pada setiap Jumaat, pukul 10 malam.

Wednesday, November 16, 2011

Juri MLM: Chef Wan dikritik di Twitter dan Facebook

Chef Wan.



Pelantikan chef selebriti terkenal, Datuk Redzuan Ismail atau Chef Wan sebagai juri tetap, program Maharaja Lawak Mega (MLM), mengundang pelbagai reaksi di kalangan pihak.

Walaupun minggu ketiga baru sahaja berakhir pada Jumaat lalu, program ini menjadi semakin ‘panas’ apabila ramai berpendapat komen Chef Wan terlalu ‘pedas’ sehingga menyinggung perasaan peserta.

Sebagai contoh pada minggu lalu, kumpulan yang tersingkir, Anje menyifatkan komen yang diberikan Chef Wan sangat ‘pedas’.

Anggota kumpulan itu, Acong Sweet Child dan Joey kelihatan tidak berpuas hati dengan kelantangan Chef Wan sehingga mengheret isu tersebut ke dalam sidang media.

Tidak menunggu lama untuk menjelaskan keadaan sebenar, Chef Wan mengatakan bahawa dia memang patut berkata demikian, setelah kumpulan tersebut gagal mempamerkan aksi menghiburkan.

“Saya terpaksa menolak beberapa program masakan untuk hadir ke MLM. Saya datang dengan harapan tinggi untuk melihat persembahan peserta yang menghiburkan.

“Ini bukan rancangan biasa, takhtanya lebih tinggi daripada Raja Lawak dan Maharaja Lawak (ML) kerana barisan peserta bukan calang-calang.

“Jadi, harapan saya turut menggunung untuk lihat sesuatu yang baru dan berharap agar lawak yang dihasilkan tidak pernah kita lihat sebelum ini. Namun, hasilnya gagal kerana komitmen peserta tidak seperti yang saya harapkan.

"Saya kecewa dengan apa yang mereka hasilkan,” katanya ketika ditemui di sidang media MLM.

Chef Wan turut menyatakan bahawa dia tidak kisah jika komen tersebut mengundang kemarahan sebilangan pihak dan dihujani dengan kritikan di laman Twitter atau Facebook miliknya.

“Saya tidak kisah kalau ada yang ‘bantai’ saya kerana komen tersebut kerana saya bercakap berdasarkan mata penonton. Kalau saya sebagai juri pun sudah ‘muak’ dengan aksi mereka, bagaimana pula dengan penonton?

“Mereka bersengkang mata untuk melihat program ini di lewat malam, tetapi ia seakan tidak berbaloi jika hanya ini yang peserta dapat berikan.

“Komen saya, berdasarkan persembahan yang dihasilkan. Saya tidak ‘kejam’ untuk memberi komen negatif jika persembahan mereka memenuhi cita rasa,” katanya yang mengharapkan agar minggu keempat lebih baik dari minggu sebelumnya.

Artis berwajah baru ' hijrah '



Setakat ini 9 artis dikenal pasti yang dulunya bergiat dalam dunia seni hiburan tanah air telah berubah wajah kepada dunia baru 'berjihat dan memperjuangkan ke jalan ILLahi.

Diantaranya bergerak melalui lagu-lagu nasyid, berceramah dan mendorong orang ramai berjihat kejalan yang benar.

Mereka adalah:

1. Bob Lokman - bekas pelakon, pelawak, komposer

2. Ustaz akhil hayy - bekas penyanyi rock (80-an)
'D Riyadh'

3. Megat - bekas penyanyi kumpulan ACAB

4. Azmeer Mustafa - bekas pelakon filem 'ali setan'

5. Ustaz Radzi - bekas penyanyi rock 'Melissa'

6. Iwan Syahman - bekas penyanyi dangdut

7. Izam - bekas vocalis kumpulan E.Y.E

8. Sham kamikaze - bekas gitaris kumpulan 'kamikaze'

9. Mel - bekas penyanyi kumpulan 'Wings'

Monday, November 14, 2011

3,000 pengunjung sambut Upin & Ipin di S'pura



Kehebatan dan aura, animasi Upin & Ipin terbitan Les’ Copaque Production, bukan sahaja dirasai peminat tempatan, malahan di luar negara.

Jika dahulu Upin & Ipin, pernah ke Indonesia dan Brunei, animasi popular kali ini, melawat Singapura, bagi memeriahkan Pesta Kanak-Kanak, sekali gus berjumpa dengan peminat di sana.

Melihat kepada bilangan peminat memenuhi ruang legar, Joo Chiat Mall, baru-baru ini, ternyata Upin & Upin, berjaya mencipta fenomena sendiri di negara itu.

Setiap jam pengunjung bertambah ramai dan keadaan mula menjadi sesak. Pusat membeli belah, yang mampu memuatkan 1,000 pengunjung itu, akhirnya dibanjiri hampir 3,000 pengunjung yang rata-rata menanti kehadiran Upin & Ipin, sejak awal pagi.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Les’ Copaque, Mohd Zarin Abdul Karim, kehadiran maskot Upin & Ipin, diterima baik, apatah lagi mereka berpeluang menghiburkan ratusan kanak-kanak yang hadir.

“Kami berasa bangga apabila kumpulan animasi Upin & Ipin dijemput sebagai tetamu istimewa pada sambutan itu.

“Setibanya di sana, ratusan kanak-kanak bersorak, teruja dengan kehadiran Upin & Upin bagi meraikan hari bermakna buat mereka.

“Mereka bukan saja dihiburkan dengan Upin & Ipin, tetapi juga pemilik sebenar suara animasi ini, Asyiela Putri,” katanya yang teruja melihat ruang legar Joo Chiat Mall dipenuhi dengan kanak-kanak dan juga ibu bapa.

Menariknya, ada yang datang dari jauh semata-mata ingin berjumpa dengan watak animasi kegemaran mereka.

Tambah Mohd Zarin, promosi awal dilakukan penganjur, Asiawerkz Commnucations, menerusi radio Ria, Singapura, nyata berkesan sehingga mengundang jumlah pengunjung di luar jangkaan.

Sunday, November 13, 2011

Zila AF4 dapat Ahmad Danial



“Alhamdulillah, selepas kejayaan filem sulung, Alamak Toyol rezeki saya bertambah pula dengan kelahiran putera sulung, Ahmad Danial,” kata pelakon komedi, Muhammad Nizamudin Ahmad, 28, atau lebih dikenali sebagai Along Cham Raja Lawak, yang kini bergelar bapa sesudah menimang anak sulungnya bersama penyanyi, Nur Azilah Seeron, 23, atau Zila Akademi Fantasia 4 (AF4).

Itu luahan kesyukuran Along sesudah isterinya selamat melahirkan bayi pertama mereka di sebuah hospital swasta di Bangi, jam 2.04 petang kelmarin.

Menurut Along, dia yang mendirikan rumah tangga bersama Zila pada 23 Januari tahun lalu tidak menyangka bukan saja dimurahkan rezeki sepanjang bergelar selebriti, tetapi dikurniakan zuriat dengan kelahiran Ahmad Danial.

“Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sudah menjadi bapa dan Zila pula sudah menjadi ibu,” katanya.

Along yang juga pelakon utama filem Alamak Toyol tidak menduga selepas tersenarai dalam pencalonan lima terbaik pelakon komedi Anugerah Bintang Popular (ABP) tahun lalu, Allah menambah rezekinya sejurus ditawarkan sebagai hero dalam filem pertama itu sebelum dia dikurniakan cahaya matanya, kelmarin.

“Saban hari rezeki saya semakin bertambah, dan semalam (kelmarin) adalah rezeki yang paling besar dalam hidup,” katanya.

Along yang lega dengan kelahiran itu turut melahirkan terima kasih kepada semua peminatnya dan juga peminat Zila yang sudi melayan kerenah mereka di Facebook dan Twitter tambahan sewaktu isterinya mengandung dan mengidam.

“Sebelum ini hanya hidup berdua, dan hari ini Ahmad Danial muncul sebagai penyeri dalam hidup kami. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong karier dan perjalanan hidup kami,” katanya.

Saturday, November 12, 2011

Kerana Nabila, Amy Search malu

Foto Nabila yang tersebar di dunia maya.



Umum sedar, Amy Search masih seorang rockers tapi dari sisi yang lain, imej dan hidupnya semakin cenderung ke arah jalan mendekati agama Islam. Ketika perancangan konsert besar sedang menanti, kenakalan anak perempuan sulungnya memuncak lagi. Sudah habis menjawab dengan isu bercerai, Amy terpukul pula dengan penyebaran gambar-gambar 'panas' Nabila bersama teman lelakinya ketika bercuti dan menyambut perayaan Halloween di sebuah pulau peranginan.

Sebagai bapa, dia menjadi tumpuan sementelah Nabila masih enggan memperbetulkan keadaan.

"Saya harap dia (Nabila) tidak melarikan diri daripada kesilapan yang dilakukan dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.

"Saya tidak tahu tentang gambar-gambar itu, tapi sebagai bapa saya berharap dia menjaga tingkah lakunya kerana dia seorang perempuan.

"Dia memilih untuk menjadi selebriti dan seharusnya dia tahu menjaga tingkah laku dan fokus dengan karier, bukannya dengan melakukan perkara yang boleh merosakkan (nama dan masa depan)," katanya ketika ditemui media majlis pelancaran single bersama Hazama berjudul Simetri.

Dalam gambar-gambar yang tersebar di Internet, Nabila dirakam berpesta dengan hanya memakai bikini di Pulau Tioman bersama seorang lelaki yang dipercayai jurulatih selam serta teman lelakinya.

Amy enggan mengulas lanjut tetapi dia hanya mampu berharap Nabila sedar bahawa perbuatanya itu satu dosa.

Friday, November 11, 2011

Lan A To Z sunting Siti Nur Ain

Lan dan Ain bergambar selepas selamat diijabkabulkan, semalam



Lebih tiga tahun bersendirian, penyanyi Norazlan Abdul Aziz atau Lan A To Z, 42, akhirnya kembali memegang status suami. Hanya dengan sekali lafaz, Lan dan pasangannya, Siti Nur Ain Daut atau Ain, 24, selamat diijabkabulkan dalam majlis yang berlangsung di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, pada jam 11.11 pagi di sini, semalam.

Berwalikan abang sulung Ain, Mohd Firdaus, 30, pasangan berpakaian sedondon warna putih ini dinikahkan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Zulkhairi Jaik, dengan disaksikan hampir 50 tetamu terdiri daripada keluarga pengantin dan peminat. Tarikh akad nikah ini dipilih sebagai simbolik ulang tahun kelahiran Ain pada 11 November.

Lan turut menyerahkan wang hantaran bernilai RM11,111 manakala mas kahwin berjumlah RM300. Lan juga menyerahkan sembilan dulang hantaran berupa cincin berlian, al-Quran, pakaian dan alat solek serta dibalas 11 dulang hantaran daripada Ain.

Ditemui selepas itu, Lan bersyukur kerana segala-galanya berjalan lancar. Dia mengakui perasaan gementarnya hanya apabila berada di hadapan kadi.

“Saya memang tenang ketika saat terakhir akad nikah. Bagaimanapun, bila di depan ramai orang, perasaan gementar tiba-tiba muncul.

“Bagaimanapun, saya cuba tenangkan diri dan akhirnya dengan sekali lafaz. Ain menangis terharu kerana impiannya untuk bergelar isteri pada ulang tahun kelahirannya menjadi kenyataan.

Thursday, November 10, 2011

“Bunohan” Wakili Malaysia



Filem “Bunohan” karya pengarah terkenal tanah air, Dain Said, menjadi filem pilihan Malaysia untuk tayangan pada Festival Filem ASEAN (AFF) yang akan berlangsung di Bali selama dua hari mulai 16 November ini.

Filem yang belum ditayangkan di Malaysia itu, dibintangi pelakon handalan Malaysia termasuk Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Bront Palare dan Namron.

"Bunohan”, mengisahkan kasih sayang antara tiga adik-beradik, dan ia sebelum ini sudah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto, Kanada baru-baru ini.

Kesemua negara anggota ASEAN memilih sebuah filem untuk ditayangkan pada AFF, antaranya ialah filem “Eternity” dari Thailand, “Only Love” (Laos) dan “Emir” (Filipina).

Filem “Di Bawah Lindungan Ka”bah” menjadi pilihan tuan rumah, Indonesia pada festival itu.

Filem ini pernah disenaraikan untuk pencalonan Anugerah Akademi 2011 kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Wednesday, November 9, 2011

Foto Nabila bercium beredaran di internet

Pelaku bercium ini didakwa mirip Nabila



“Saya sayang bekas isteri saya 200 peratus, kalau dia berubah saya bersedia menerimanya dengan hati terbuka,” kata Zaidy Zailani, 30, bekas suami pelakon kontroversi, Nabila Huda Suhaimi, 27, ketika ditanya mengenai gambar bekas isterinya bercium dengan seorang lelaki di sebuah pulau peranginan yang tersebar di Internet.

Aksi Nabila dalam gambar itu dicemuh dan dikritik hebat peminat tambahan pula Nabila baru saja bercerai dengan Zaidy pertengahan Oktober lalu.

Zaidy ketika dihubungi semalam, berkata dia terkejut dengan penyebaran gambar itu dan kurang senang dengan perlakuan Nabila.

“Saya terkejut selepas dimaklumkan rakan mengenai gambar itu dan saya tidak mahu melihatnya,” katanya sambil memberitahu Nabila sudah lama dia tidak berhubung dan berjumpa dengannya serta anak mereka, Keisha Laila yang berusia setahun lebih.

Menurut Zaidy, selepas bercerai dengan isterinya pertengahan Oktober lalu, dia mengambil alih menjaga puteri kesayangannya itu walaupun perlu bekerja seharian.

Tuesday, November 8, 2011

Nabila belum bertemu jodoh

WALAUPUN mereka sudah berpisah dengan suami, mereka sepakat untuk menjaga anak, Keisha Laila secara sama rata.


Sebolehnya dia tidak mahu membogelkan lagi kisah rumah tangga bersama Zaidy Zailani yang dibina tiga tahun lalu yang sudah berpenghujung baru-baru ini, kata Nabila Huda Suhaimi atau nama pentasnya Nabila dan senang juga disapa sebagai Abil.

Dengan berhemah aktres tersebut meminta jasa baik semua pihak agar memahami situasinya. Dia mahu biar cerita duka antara mereka hanya selesai secara rasmi di mahkamah dan 'kes' itu ditutup rapat.

Bukan tidak mahu berkongsi cerita dengan khalayak, namun kata Abil dia tidak suka memburukkan lagi keadaan. Akuinya, Zaidy yang juga akrab disapa Eddy yang terlebih dahulu telah menjadi kekasihnya selama lapan tahun adalah seorang lelaki yang baik. Dan lagi, soal jodoh dan maut semua itu kerja Tuhan.

Wanita berusia 27 tahun itu juga bukan memberi alasan bahawa rumah tangga yang berkecai itu dipulangkan semula kepada 'kerja Tuhan', sebaliknya mengaku bahawa dia juga bukan wanita dan seorang isteri atau ibu yang sempurna. Bagi Abil, tanggungjawab seorang isteri itu cukup besar sehingga terkadang dia tewas dengan tanggungjawab yang harus digalas sebaik mungkin.

"Eddy adalah seorang lelaki yang baik, mungkin saya sahaja bukan seorang wanita dan isteri yang sempurna. Jujur saya katakan, saya tidak mahu menjadi isteri derhaka yang sentiasa ada perasaan marah atau kurang puas hati terhadap suami. Daripada sering bertengkar tentang isu berbangkit, saya nekad minta dilepaskan," katanya.

Bagaimanapun bukan semudah itu dia membuat keputusan untuk dilepaskan. Jika ada pihak yang melihat ia sebagai isu remeh atau sengaja dibikin besar untuk dia kembali menjalani kehidupan solo kerana berasa terkongkong, itu adalah satu tuduhan kurang bernas. Bagi aktres itu, biar hanya dia dan Eddy yang mengetahui punca utama perpisahan mereka.

Saturday, November 5, 2011

Artis veteran terbabit gejala gay

Tersebutlah kisah kekasih gay selebriti baharu dengan artis veteran pujaan ramai separuh usia.

Seorang itu sudah bercucu. Siang hari dia berkepit dengan cucu tapi saat hilang matahari, perangai lama dia tiba-tiba keluar. Macam cerita drakula pula. Tapi ini bukan hisap darah tau!

Malam-malam asyik kepit penyanyi muda turun-naik dari rumahnya. Bukan sekali dua, sudah banyak kali jiran sekeliling terserempak dengan pasangan berkenaan dalam lif. Mata jiran dah naik juling beri isyarat tak suka tapi dia buat muka selamba macam tak ada perasaan segan.

"Mulanya aku ingat mereka mungkin ada kerja tapi kalau sudah selalu, pukul satu atau dua pagi pun masih datang berkunjung ke rumah selebriti separuh usia itu, ini bukan datang ziarah nak belajar buat karipap lagi dah. Sah ada anak ikan dengan bapa ikan," kata sumber yang kerjanya memang kena balik rumah lewat malam itu.

Friday, November 4, 2011

Konsert mingguan pertama IK4 12 November

NOR HARRIS ALIF NORASHIDI berjaya muncul sebagai juara untuk Idola Kecil 2.



STESEN TV9, melalui program Idola Kecil kembali dengan musim keempat! Lebih dikenali sebagai IK4, 12 peserta cilik berusia lingkungan 8 hingga 12 tahun, telahpun dikenal pasti untuk menonjolkan bakat mereka menerusi program realiti hiburan kanak-kanak terkenal ini. Idola Kecil 4 akan mula menemui penonton pada 5 November 2011, Sabtu, 9 malam eksklusif di TV9 (Saluran 119).

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Penjenamaan TV9, Sherina Nordin: "Saya bagi pihak TV9 berasa amat bersyukur kerana permulaan program Idola Kecil musim keempat ini mendapat penerimaan yang positif serta sokongan yang amat menggalakkan daripada semua pihak.

"Pada musim ini kami menerima lebih daripada 1,000 penyertaan uji bakat di empat buah lokasi, sekali gus merupakan rekod penyertaan paling tinggi berbanding musim-musim lalu.

"Kali ini, penyertaan bukan sahaja dari kaum Melayu, malahan adik-adik yang berbangsa India dan Cina juga turut mencuba nasib mereka. Ini membuktikan bahawa Idola Kecil mempunyai pengikutnya yang tersendiri."

"Proses pemilihan sememangnya sukar kerana peserta-peserta kali ini hebat belaka."

Peserta yang telah disenarai pendek perlu menjalani sesi 'bootcamp' sebelum 12 peserta yang terbaik dipilih. Kesemua 12 peserta ini datang dari pelbagai latar belakang berbeza rupa, identiti dan perwatakan.

Selama tiga musim berlangsung, Idola Kecil telah melahirkan masing-masing tiga juara iaitu Wan Syuhada Md. Amin, 12, yang menjuarai musim pertama, Siti Amirah Dayana, 10, (juara musim kedua) dan Nor Harris Alif Norashidi, 11, (juara musim ketiga).

Musim keempat ini akan menampilkan 12 orang peserta yang terdiri daripada lapan orang peserta perempuan dan empat orang lelaki.

Mereka adalah Ahmad Marzuki Nordin, 10, Hairul Asri Alis Sjofjan, 12, Irfan Haris Othman, 10, Mohd. Syafiqri Kaharudin, 10, Farisha Asmadi, 12, Nabihah Idrus, 8, Noor Aina Batrisyia Azman 12, Nurfazlina Ramlan, 11, Nurshazleen Natasha Jamaluddin, 11, Sarah Elyssa Khairul Fahmy, 11, Sharifah Nurhafifa Wan Aziz, 12 dan Sharifah Rusilmu Imani Syed, 11.

Konsert mingguan pertama akan disiarkan mulai 12 November, setiap Sabtu, pukul 9.00 malam.

Thursday, November 3, 2011

Cabaran MasterChef Malaysia 2011

Barisan Juri MasterChef Malaysia.



Para peserta MasterChef Malaysia yang mengambil bahagian terdiri daripada doktor, artis mahupun penoreh getah, hakikatnya mereka adalah orang biasa yang perlu bersaing dalam menyediakan masakan yang menarik dan menyelerakan.

Cuma satu yang membezakan mereka iaitu rasa sesuatu makanan yang dimasak sama ada menepati selera juri mahupun gaya persembahan makanan yang disediakan dapat memikat hati juri. Bukan mudah tetapi itulah ciri-ciri utama untuk mencari seseorang yang boleh digelar sebagai MasterChef Malaysia.

Mula ditayangkan pada 22 Oktober lalu, seramai 40 orang peserta terpilih menyertai pertandingan MasterChef Malaysia. Kini, setelah ia ditayangkan selama dua minggu, tinggal 24 orang peserta yang masih tinggal.

Jika dilihat pada episod awal ia disiarkan, para peserta yang terdiri daripada 40 orang diasak cabaran getir apabila mereka perlu bersaing memasak makanan mengikut apa yang diminta dalam tempoh masa tertentu. Bukan itu sahaja, jika masakan mahupun persembahan makanan tidak mencapai tahap yang diinginkan juri-juri MasterChef Malaysia, mereka akan dikritik teruk.

"Bukan tujuan menghina masakan mereka, tetapi komen tersebut dibuat supaya mereka tidak lalai apabila sudah lama berada dalam pertandingan ini. Kita kena beri komen membina kepada mereka dan beri pendedahan awal kepada mereka mengenai dunia kulinari sebenar," kata salah seorang juri program realiti masakan ini, Mohd. Johari Edrus atau dikenali sebagai Chef Jo.

Wednesday, November 2, 2011

Debaran Anugerah Skrin 2011

WAN SHARMILA.



Jam 9 malam esok bakal berlangsung Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Empat pelakon, Aaron Aziz, Johan Asaari, Wan Sharmila dan Zarina Zainoordin berkemungkinan besar masing-masing akan bersaing merebut gelaran pelakon terbaik menerusi drama lakonan masing-masing yang layak bertanding.

Ini kerana pada malam ASK 2011 nanti, pencalonan Top 5 untuk kesemua kategori yang dipertandingkan akan diumumkan sejurus sebelum nama setiap pemenang diumumkan.

Tidak meletakkan harapan yang tinggi tetapi jika sudah namanya adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Malah, keempat-empat mereka sebulat suara mengatakan kemenangan yang diterima andai masing-masing meraih pencalonan adalah merupakan satu bonus dan penghargaan buat mereka dalam mempertingkatkan prestasi kerja di lokasi penggambaran.

ASK 2011 menyaksikan 17 telemovie, 10 drama rantaian, tujuh drama komedi dan 29 buah filem berentap untuk diiktiraf sebagai yang terbaik.

Tuesday, November 1, 2011

Pelakon tak mengaku ambil ganja

APEK.



Pelakon komedi, Saiful Apek yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis kerana disyaki mengambil ganja di sebuah apartmen tahun lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan tersebut.

Saiful Apek (gambar) atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengambil dadah berbahaya iaitu ganja di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.

Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 itu dituduh mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis, jika sabit kesalahan.

Turut didakwa atas tuduhan sama ialah tiga rakan Saiful Apek, Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, termasuk seorang wanita, Noremy Mohamad, 28.

Kesemua mereka turut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mahkamah kemudian membenarkan empat tertuduh tersebut diikat jamin masing-masing RM2,500 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Disember depan.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2