WALAU sedang dihimpit banyak dugaan, Anuar yakin ada hikmah yang sedang menanti hidupnya di hadapan.
Anuar Zain dilihat sebagai antara artis lelaki yang mampu mengekalkan identiti tersendiri sebagai seorang penyanyi yang kurang dilanda dengan kontroversi.
Menariknya, sejak akhir-akhir ini nama adik kepada penyanyi popular Ziana Zain itu semakin menjadi sebutan ramai. Bukan disebabkan produk terkini yang dihasilkan, sebaliknya peminat lebih memperkatakan tentang kisah peribadinya.
Ia bermula dengan cerita penyanyi tersebut yang kini tidak lagi menggunakan khidmat pengurusnya, Rohila Tahir bermula pada bulan Oktober lalu setelah lebih 10 tahun bekerjasama.
Ternyata perkara tersebut menjadi tanda tanya ramai pihak terutama di dalam industri sehingga ada yang mengatakan ia berpunca daripada pergaduhan sejak sekian lama.
Anuar jika boleh tidak menjawab perkara yang sepatutnya tidak menjadi satu isu. Namun untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, dia memberitahu tidak lagi menggunakan khidmat pengurus lamanya itu kerana mereka bersetuju untuk membawa haluan masing-masing selepas lama bekerjasama.
"Kami mempunyai hala tuju yang berbeza sekarang ini," katanya ringkas sambil memberitahu dia kini cuba menggunakan khidmat pengurus lelaki pula.
Kemudian timbul pula cerita yang mengatakan penyanyi berkenaan tidak mahu menyertai pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik untuk membawakan lagu Sedetik Lebih dan diakui sendiri olehnya dan perkara tersebut telah diberitahu kepada pihak KRU.
Terkini pula apabila kisah tentang dirinya yang langsung tidak berkecil hati walaupun tidak diendahkan oleh pihak penganjur sewaktu berlangsung sidang akhbar selepas tamat acara Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) pada 12 November yang lalu.
Biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cerita kontroversi yang turut membabitkan peribadinya, Anuar menganggap bahawa ia bukanlah satu masalah yang besar buat dirinya.
Mengakui adakalanya sedikit terasa apabila orang ramai lebih gemar memperkatakan tentang dirinya berbanding produk baharu yang dihasilkan, tidak bermakna dia perlu cepat lemah semangat untuk mengharunginya.
No comments:
Post a Comment