ANTARA babak kontroversi Sahara yang menyaksikan Reen yang membawa watak wanita berpurdah berpelukan dengan Ikhwan.
Tiga pelakon lelaki drama bersiri kontroversi, Sahara semalam tampil membuat permohonan maaf berikutan babak yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Islam sehingga menyebabkan tayangannya terpaksa dihentikan di saluran Astro Prima baru-baru ini.
Tindakan itu diambil apabila pelakon lain yang turut membintangi drama yang ditayangkan di saluran itu menerima tempias dan mendapat kecaman pelbagai pihak terutama di blog dan laman sosial seperti Facebook.
Pelakon Arief Farhan, Faried Wari dan Muaz Aydyl tampil membuat permohonan maaf secara peribadi tanpa melibatkan pihak produksi atau stesen televisyen.
“Kami mengharapkan orang ramai berhenti membuat tohmahan dan provokasi di laman sosial.
“Kami memohon maaf sekiranya isu ini mencetuskan kemarahan. Setiap manusia melakukan kesilapan dan kami mengakui kesilapan kami,” jelas Arief yang mewakili barisan pelakon drama tersebut pada sidang akhbar di sini semalam.
Drama tersebut sebelum ini mencetuskan kemarahan apabila terdapat babak romantis yang melibatkan wanita berpurdah lakonan Reen Rahim bersama watak yang dilakonkan oleh Ikhwan Khairuddin.
Reen sebelum ini telah memohon maaf dengan mendakwa dia tidak berniat mempersendakan agama.
Pengarah drama terbitan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. itu, Dinesh Samby belum mengeluarkan kenyataan mengenai kontroversi tersebut.
Drama 20 episod itu dihentikan tayangannya sehingga episod ke 15 minggu lalu.
Sahara mengisahkan seorang gadis bandar yang liar terpaksa tinggal di sekolah pondok dan berdepan cabaran menjadi wanita muslimah sebelum jatuh cinta dengan seorang pelajar di situ.
No comments:
Post a Comment