NUFFNANG ADS

Monday, August 30, 2010

Norman Hakim - Memey Bertunang




KUALA LUMPUR: Walaupun perbicaraan kes khalwat mereka di mahkamah belum selesai, pasangan pelakon popular, Mohd Nor Hakim Zaidon (Norman Hakim), 34, dan pelakon Suhaiza Suhaimi (Memey), 22, mengambil keputusan mengakhiri spekulasi hubungan mereka sebelum ini banyak berteka-teki dengan ikatan pertunangan.

Ketika dihubungi Memey dalam nada ceria berkata, keluarga kedua-dua pihak setuju mengadakan majlis pertunangan itu pada hari raya keempat di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

Merpati dua sejoli ini saling mengenali lebih dua tahun lalu dan khabarnya cinta mula berputik ketika berlakon bersama dalam drama Pasrah.

“Minggu lalu saya dan Norman balik ke kampung saya dan keluarga mula berbincang mengadakan majlis pertunangan itu. Ikutkan hati saya tak mahu bertunang kerana kami saling memahami dan mengenali hati budi tapi abang (Norman) mahu saya merasai proses dari mula iaitu merisik, bertunang dan baru diijabkabulkan.

“Dia mahu saya melalui semua pengalaman itu. Pada majlis pertunangan itu nanti, baru keluarga kami akan berbincang jumlah hantaran dan tarikh kami akan disatukan. Insya-Allah majlis kenduri dan persandingan akan dilangsungkan awal tahun depan kerana tidak mahu bertunang lama-lama. Sekiranya semua okey, lebih baik disegerakan.

“Untuk majlis pertunangan ini, akan ada dulang hantaran. Berapa jumlahnya... juga dalam perbincangan. Saya akan bertanya kepada emak apa yang patut dibeli sebagai hantaran balas kepada abang.

“Saya sekarang masih sibuk di lokasi penggambaran telefilem, Osman Berani dan abang pun sedang berlakon telefilem Sabar. Terpaksalah kami mencuri masa untuk membeli barang hantaran. Urusan kenduri di kampung, saya serahkan kepada emak,” katanya.

Sebelum ini mereka pernah menafikan mempunyai hubungan istimewa sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangga Norman Hakim dengan bekas isterinya, Arbaeyah Abdul Manan (Abby Abadi), 32, namun segala khabar angin itu ternyata benar apabila Norman ditangkap khalwat bersama Memey di premis perniagaan milik pelakon lelaki kacak itu di Ukay Perdana, di sini, pada 30 Oktober 2008.

Menurut Memey, dia berdebar dan pelbagai perkara menerjah fikiran tetapi sudah bersedia bergelar isteri dan ibu kepada tiga anak Norman hasil perkahwinan bakal tunangnya yang terdahulu.

“Harap segala-galanya berjalan lancar dan dengan pertunangan ini semoga awan mendung akan berarak pergi dari hidup kami berdua untuk memulakan kehidupan baru lebih membahagiakan.

“Beza usia 12 tahun dan pengalaman hidupnya membuat abang lebih matang dan menjadi ketua keluarga yang baik serta dapat membimbing saya. Paling penting kami ada keserasian,” katanya.

Ternyata Syawal ini bermakna buat gadis jelita itu kerana hasratnya berkongsi hidup dengan jejaka dicintai dimakbulkan Allah. Pada hari berbahagia itu, Memey akan mengenakan busana rekaan Ezuwan Ismail dan rona putih menjadi pilihan.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2