NUFFNANG ADS

Monday, December 31, 2012

Shila Amzah perluas karier di Shanghai

Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad

“Selamat Tahun Baru!,” itulah ungkapan pertama daripada penyanyi, Shila Amzah, ketika wartawan menghubunginya yang kini berada di Shanghai, China.

Sentiasa ramah dalam berbicara, penyanyi berusia 22 tahun ini semakin giat menempa nama di luar negara sejurus meraih kemenangan di Asian Wave 2012, di Shanghai, China, baru-baru ini.

Walaupun impiannya untuk menggenggam trofi sudah menjadi kenyataan, namun pelantun lagu, Patah Seribu, ini bijak menyusun perancangan demi perancangan masa depannya.

Menjuarai kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-19 (AIM19), Shila turut melahirkan keinginan untuk mengadakan konsert dan ‘tour’ sendiri pada tahun 2013.

“Alhamdulillah, tahun 2012 menjadi lipatan kenangan yang sangat manis buat saya. Banyak perkara yang tidak terduga akal saya berlaku pada tahun lalu. Saya berharap agar tahun 2013 juga dapat memberikan kemanisan buat saya.

“Bagi tahun ini pula, saya turut mempunyai perancangan dan sasaran tersendiri dalam karier. Selain daripada memiliki konsert sendiri, saya ingin melancarkan album Melayu yang dihasilkan sepenuhnya oleh saya sendiri.

“Tidak lupa juga bagi lagu Mandarin, saya berharap agar perjalanan karier saya berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya yang kini  sedang sibuk merakam album Mandarin yang bakal diterbitkan di negara itu.

Sunday, December 30, 2012

Siti Nurhaliza pengacara 'Siti Ooo...Som'


Pernah mengacarakan program bual bicara berjudul Siti, kini penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza kembali menggalas tugas itu menerusi program berbentuk permainan yang berjudul 'Siti Ooo...Som'.

Walaupun berpengalaman dalam bidang pengacaraan, namun program kali ini memiliki cabarannya yang tersendiri dan bagaimanapun ia lebih santai berbanding program lalu.

"Sudah lama saya teringin untuk mengacarakan program seperti ini kerana dalam pada masa yang sama, saya juga boleh beriadah.

"Saya bersyukur kerana impian menjadi kenyataan dan mengharapkan program ini akan dapat diterima baik oleh penonton," katanya.

Lebih menarik, Siti akan dibantu oleh pengacara dan pelawak terkenal iaitu Nabil dan Shira sepanjang program 13 episod yang bakal ditayangkan bermula Januari ini.

Saturday, December 29, 2012

5 selebriti paling kontroversi tahun 2012






Berakhirnya tahun 2012, senarai  lima selebriti dengan kisah kontroversi sepanjang tahun.

Rita Rudaini & perang rumah tangga:
Awal 2012, Rita Rudaini mengejutkan peminat dan media apabila bertelingkah dengan adik iparnya, Zaquan Adha yang juga pemain bola sepak negara menerusi laman sosial Twitter.

Mereka yang sememangnya tidak mesra sejak perkahwinan Rita dengan abang Zaquan, Aidil Zafuan dikatakan saling berbalas sindiran menerusi akaun Twitter masing-masing. Malah, isteri Zaquan, Ayu Raudhah, turut terheret sama dalam pertelingkahan ini, apabila
dikatakan menjadi batu api. Berikutan pertelingkahan itu, Aidil dikatakan bertindak keluar dari rumah tanpa sebarang alasan.

Tidak terhenti setakat itu, bermula daripada insiden keluar rumah itu, Rita dan Aidil mula naik turun mahkamah berkaitan isu penjagaan anak, kembali taat, dan kini berkaitan dengan kes penceraian pula. Kes berkaitan rumah tangga mereka masih berjalan sehingga kini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Dalam pada keretakan yang semakin parah itu, Jue Aziz pula dikaitkan sebagai orang ketiga dalam perkahwinan mereka dan menjadi penyebab Aidil untuk berubah hati.

Si cantik Neelofa:

Neelofa menjadi artis pucuk muda paling diperkatakan pada tahun ini. Apa tidaknya, bintang utama Azura 2012 ini kini dikatakan hangat menjalinkan hubungan cinta dengan penerbit, pengarah dan pelakon, Hans Isaac. Lebih hangat lagi, mereka dikatakan bercuti bersama-sama di Thailand pada pertengahan tahun ini, namun akhirnya membuat penjelasan berada di lokasi berbeza.

Tidak lama selepas itu, Hans menerusi sebuah portal mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan Neelofa, bagaimanapun akhirnya menegaskan ada salah faham dalam laporan itu.

Tidak cukup dengan kisah percintaan, nama Neelofa turut terpalit dengan kontroversi berikutan pergaduhannya dengan Anzalna dan Tasha Shila, apabila Neelofa dikatakan cemburu dan tidak berpuas hati dengan kemenangan Tasha Shila yang berjaya menewaskannya di dalam Anugerah Bintang Populuar 2011 menerusi kategori Artis Baru Wanita Popular.

Susulan daripada itu, Anzalna tampil mendedahkan sikap buruk Neelofa yang dikatakan sering menghinanya serta cuba menjatuhkannya ketika berada di dalam pertandingan program realiti itu. Kenyataan berani Anzalna itu bagaimanapun membawa padah kerana Neelofa kemudian mengambil tindakan mahkamah dengan menuntut Anzalna membuat kenyataan maaf dalam tempoh 7 hari.

Namun kes mereka dapat diselesaikan selepas campur tangan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Neelofa dan Anzalna kemudian berdamai selepas Anzalna mengeluarkan kenyataan maaf dalam sidang media yang dianjurkan Seniman.

Baru sahaja reda dengan kontroversi, nama Neelofa kembali menjadi perhatian apabila dikatakan bersikap biadab dan tidak profesional oleh pereka fesyen, Nurita Harith, yang menyediakan bajunya untuk program.

Namun, kes itu diam begitu sahaja selepas kedua-duanya berdiam diri.

Artis dan kontroversi sememangnya tidak dapat dipisahkan. Mungkin ada di antara selebriti tidak berniat untuk mencipta kontroversi, namun kerana status yang dikecapi, maka mereka tidak dapat lari dari menjadi perhatian bukan sahaja media, malahan peminat yang kini semakin peka dengan karier mereka.

Abby Abadi & Twitter:

Penghijrahan Abby Abadi untuk berubah ke arah Muslimah sejati pada mulanya mendapat sambutan baik, bukan sahaja dari teman selebriti yang turut sama berubah, bahkan peminat dan media.

Namun, kontroversi bermula apabila Abby menyertai parti politik. Sejak itu, Abby dilihat semakin berani mengkritik bukan saja golongan selebriti bahkan orang kenamaan dan kerajaan.

Menggunakan medium Twitter dan Facebook, Abby mencetuskan kontroversi sebaik membuat pengakuan semakin sukar mendapat tawaran.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat perhatian beberapa rakan artis sehingga ada yang tampil menempelak kenyataannya.

Abby sekali lagi mengundang kontroversi apabila berani menyelar Polis Diraja Malaysia (PDR M), sehingga menarik perhatian rakan seperjuangannya dalam drama Gerak Khas, Datuk AC Mizal untuk berdebat, namun perkara itu diam sebegitu sahaja.

Tidak terhenti di situ, Abby kembali mencuri perhatian apabila mempertikaikan kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri, berhubung isu hudud.

Kisah cinta Rozita:

Sejak awal tahun lagi, nama Rozita Che Wan hangat diperkatakan. Pelakon jelita ini didakwa berkahwin dengan Datuk K, suami kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Tidak terhenti dengan kisah Datuk K, nama Rozita kemudiannya dikatakan menjadi rebutan tiga jejaka, Beego, Shah Iskandar dan Zain Saidin. Semuanya garagara laporan sebuah akhbar yang mendedahkan kisah Rozita dan Beego jalan berpimpin tangan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka.

Nama Rozita juga menjadi sebutan apabila percutiannya ke London bersama adiknya, Ayu ditaja oleh seorang ahli politik. Tidak cukup dengan kisah cinta, nama Rozita terus panas dengan kewujudan sekeping gambar bogelnya.

Namun, ia turut dinafikan oleh Rozita dan menganggap ia adalah pelanduk dua serupa.

Bila Zed Zaidi berkuasa:

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mula mencetuskan kontroversi apabila mempertikaikan kemenangan Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular 2011. Ketika itu, Aaron belum lagi mendapat taraf kewarganegaraan.

Selain itu, Zed secara lantang, menyekat kemasukan artis luar secara berleluasa dan pernah mempersoalkan permit kerja dua artis Indonesia, Randy Pangalila dan Julia Perez.

Ketika Mesyuarat Agung Seniman yang lalu, pelantikan Zed turut dipertikaikan kerana ada beberapa isu berbangkit dalam persatuan yang belum selesai.

Namun, kini Zed menjadi Presiden persatuan yang paling aktif dan lantang bersuara dalam membela nasib artis tempatan.

Bo Amir, Jimmy Palikat belum buat persediaan

Jimmy Palikat ketika ditemui pada sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik

Finalis lain sibuk dengan persiapan menjelang malam final Anugerah Juara Lagu ke-27, berlainan pula dengan Bo Amir Iqram dan Jimmy Palikat.

Bo Amir Iqram atau nama sebenarnya Mohd Amir Iqram akui masih belum memulakan sebarang persiapan bagi malam AJL27 itu nanti.

“Belum mula (persediaan) apa-apa, tak sempat lagi. Mungkin tiga hari sebelum malam final, kami akan mulakan,” katanya ketika dihubungi semalam.

 Menyentuh soal kelainan yang dibuat terhadap lagu ciptaannya, Lagu yang bakal bersaing dengan 11 lagu lain dalam AJL kelak, Bo Amir berkata, “ada ubah sedikit-sedikit saja”.

Bo Amir yang tampil bersama bandnya, Bdroom Sanctuary akan menekankan persembahan pentas berbanding vokal.

“Suara saya macam ini lah juga, tak boleh ubah dah. Jadi, persembahan pentas kami tekankan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi kelahiran Sabah, Jimmy Palikat yang bakal berduet dengan kumpulan One Nation Emcees juga belum membuat persediaan.

“Kami belum bersedia sangat. Baru saja duduk satu meja untuk berbincang. Mungkin awal tahun ini akan mula berlatih.

“Cuma, yang pasti kami akan buat ‘simple’ saja,” katanya.

Berhubung gimik yang mungkin dibawa ke atas pentas final itu nanti, Jimmy berkata, “kemungkinan (bawa set kampung di atas pentas), tetapi saya tak boleh cakap apa-apa kerana itu kejutan.”

Menurutnya, akan ada sedikit penambahan pada lagu Anak Kampung yang diciptanya itu.

Thursday, December 27, 2012

Pembaharuan Datuk Shake



Datuk Shake kini berusia 62 tahun, ternyata masih kelihatan muda dan berstamina.

Bukan saja dari segi penampilan, Shake juga memiliki jiwa seperti orang muda.

Untuk album Melayu terbarunya, Chameleon, Shake membuat pembaharuan dengan memasukkan elemen elektro dan urban.

Menurut Shake, pendekatan itu sering digunakan penyanyi antarabangsa misalnya Stevie Wonder dan Rolling Stones.

Selain sibuk mempromosikan album terbarunya itu, Shake juga mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert jelajah di seluruh negara tahun depan.

Wednesday, December 26, 2012

Sidang media Siti Fazurina kecuh


Pelakon drama bersiri menerusi slot Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd. Famir, 30, atau lebih dikenali sebagai Siti Fazurina, dia tidak menyangka pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Hykal Zulkifli, 31, mengundang mimpi duka setelah didakwa tidak mendapat restu keluarga.

Kontroversi kisah hidup Fazurina yang baru dua minggu mendirikan rumah tangga itu semakin tersebar luas menerusi laman sosial Facebook dan Twitter apabila mereka dikhabarkan ‘kahwin lari’ di Thailand.

Persoalan mengenai status pernikahannya menjadi perbualan sehingga Fazurina pasrah dengan dakwaan yang timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarganya sendiri.

Bagaimanapun, segalanya terjawab sebaik Fazurina atau nama ringkasnya Nina mengadakan sidang akhbar di salah sebuah hotel di Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini dengan turut menjemput ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, serta beberapa ahli keluarganya yang lain termasuklah abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya, Mohd. Fauzi, 24, dan Mohd. Firdaus, 22.

Sidang akhbar tersebut bagaimanapun bertukar menjadi seolah-olah penggambaran sebuah drama Melayu apabila Zubaidah dan ahli keluarga Fazurina yang hadir hanya mendiamkan diri.

‘Drama’ air mata mula tercetus apabila Fazurina tiba-tiba bergegas mengejar Zubaidah sehingga ke tangga selepas ibunya itu dibawa oleh salah seorang daripada adik lelakinya itu untuk beredar dari sidang akhbar tersebut.

Hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun, Fazurina dilihat amat sebak.

Sementelah, Zubaidah kedengaran telah meluahkan kekesalannya dengan tindakan Fazurina (berkahwin secara senyap-senyap) sebelum dia ditarik adiknya itu meninggalkan lokasi sidang akhbar tersebut.


Tuesday, December 25, 2012

Syafiq Yusof rancang kahwin 2014


SELEPAS mengumumkan berita pertunangannya di laman mikro Twitter Sabtu lalu, pengarah muda, Syafiq Yusof memberitahu bahawa dia merancang untuk bernikah dengan tunangnya itu dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

Anak kepada pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam ini memilih gadis kelahiran Syiria, Aiesyah Zainal sebagai bakal isterinya.

“Terima kasih semua yang doakan. Insya-ALLAH lagi satu, dua tahun kami nikah,” katanya kira-kira setengah jam selepas majlis pertunangannya selesai Ahad lalu.

Sementara itu, abangnya Syamsul Yusof turut menyampaikan berita pertunangan adiknya itu di laman Twitter sambil menyentuh status dirinya yang masih sendiri.

“Esok adikku Syafiq Yusof akan bertunang. Moga Allah mudahkan adikku. Kami, saya dan Dr Anwar Fazal  juga yang masih ‘sendiri’. Doakan kami juga,” katanya.

Monday, December 24, 2012

Fazurina nafi bernikah di Siam

FAZURINA dan Muhammad Hykal menunjukkan surat akuan pernikahan mereka di Pulau Pinang semalam.

Pelakon drama, Siti Fazurina Mohd. Famir yang lebih dikenali sebagai Nina menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan dia 'kahwin lari' di Thailand dengan Muhammad Hykal Zulkifli setelah tidak mendapat restu keluarga.

Menurut Nina, 30, dia dan suaminya, Muhammad Hykal, 31, sebenarnya selamat melangsungkan majlis pernikahan di Masjid Jamek Sungai Pinang di sini pada 20 Disember lalu dan bukannya di negara jiran seperti yang digembar-gemburkan.

"Majlis pernikahan saya berlangsung secara sah dan saya tak sangka perkara ini boleh timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarga saya sendiri.

"Saya sebenarnya banyak berkecil hati. Mereka tidak pernah merasai apa yang saya rasa. Kalau ahli keluarga saya dapat menerima Hykal perkara sebegini akan selesai.

"Kami berdua sudah lama merancang untuk berkahwin dan kali ini Tuhan telah memakbulkan doa kami. Hykal adalah pilihan terbaik untuk saya," katanya pada satu sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini semalam.

Sunday, December 23, 2012

Pengarah muda Syaiq bertunang

SYAFIQ (kanan) dan Aeisyah pada majlis pertunangan mereka di Gombak semalam.

Anak kepada pengarah filem terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof mengikat tali pertunangan dengan rakan kolejnya, Aeisyah Zainal di rumah tunangnya di Gombak, Selangor semalam.

Pada majlis tersebut, Syafiq, 20, yang juga seorang pengarah filem sudah dua tahun menjalin hubungan cinta dengan Aeisyah, 20, memberi tunangnya sebentuk cincin yang disarungkan oleh ibunya, Datin Fatimah Ismail beserta tujuh dulang hantaran.

Pihak perempuan pula membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Syafiq yang mengarahkan filem berjudul Sam berkata, dia dan tunangnya merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh setahun hingga dua tahun dari tarikh pertunangan mereka.

"Syukur kerana majlis pertunangan berjalan dengan lancar. Saya harap agar pertunangan ini sampai ke jenjang pelamin.

"Insya Allah sama ada hujung tahun depan atau 2014 kami akan berkahwin," ujarnya gembira ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Saturday, December 22, 2012

Siti Fazurina kahwin senyap tanpa pengetahuan keluarga?





Pelakon drama Dunia Anita, Siti Fazurina sudah pun dilaporkan bernikah dengan lelaki bernama Hykal Zulkifli.

Lebih mengejutkan, ada laporan mendakwa Fazurina berkahwin tanpa pengetahuan keluarganya di Pulau Pinang.

Meskipun dihambat kontroversi, nampaknya aktres ini tidak terus menyembunyikan diri.

Dalam kenyataannya kepada sebuah portal, Fazurina berkata, dia akan mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan perkara sebenar dalam masa terdekat.

Malah, Fazurina turut memohon maaf kerana tidak mengundang media ke majlis pernikahannya


Anne Ngasri kejinjang pelamin

MOHD. Sumali (kiri) mencium dahi isterinya, Anne bagi membatalkan air sembahyang selepas majlis pernikahan mereka di Pontian, Johor semalam.

 Pelakon Anne Ngasri akhirnya sah menjadi isteri kepada Setiausaha Kerja Pemuda UMNO, Mohd. Sumali Reduan dalam satu majlis yang diadakan di Homestay Citra, Kampung Parit Pinang, Benut,Pontian di sini semalam.

Dengan mas kahwin sebanyak RM22.50 dan seutas gelang tangan emas, pasangan tersebut selamat diijabkabulkan oleh Kadi Daerah Segamat, Abdul Mutalib Abdul Rahim tepat pukul 11.10 pagi semalam.

Mohd. Sumali, 40, yang telah menduda sejak tiga tahun lalu sebelum ini sah bergelar suami kepada Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 26, dengan sekali lafaz sahaja.

Pada majlis itu, pengantin bertukar-tukar hantaran iaitu lima dulang daripada Mohd. Sumali dan Anne juga membalas dengan lima dulang hantaran. Wang hantaran pula berjumlah RM11, 111.11.

“Syukur Alhamdulillah kerana penantian saya selama tiga tahun berakhir apabila saya ditemukan dengan lelaki yang terbaik iaitu Sumali yang sudah sah menjadi suami saya," kata Anne. Sebelum ini, selain pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, pelakon berkenaan juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Abdul Wafi Hassan pada 2006, namun kedua-duanya bercerai empat tahun kemudian.

Sepanjang berkahwin mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Warits, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhara Afroza, 1.

Friday, December 21, 2012

Datuk K beransur pulih

GAMBAR terbaharu dalam laman Twitter Siti Nurhaliza menunjukkan jambangan bunga dengan mesej agar Datuk K cepat sembuh.

Selepas empat hari menjalani pembedahan, suami penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih terkenal dengan panggilan Datuk K kini sudah boleh berjalan di sekitar wad Hospital Southland, Invercargill di New Zealand tempat beliau menjalani pembedahan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh anak keempat Datuk K, Muhammad Aazief, 14, dalam laman Twitternya semalam.

Dalam laman Twitter berkenaan Aazief berasa gembira apabila mendapati ayahnya itu sudah boleh berjalan sedikit demi sedikit.

“Papa beransur-ansur dapat berjalan semula,” tulis Aazief dalam laman Twitter miliknya itu lebih kurang pukul 1 petang waktu New Zealand (pukul 5 petang waktu Malaysia).

Ayu Raudhah bakal timang anak !!

Ayu Raudhah dan suami Zaquan Adha

Beberapa waktu lalu, Ayu Raudhah dan suami Zaquan Adha yang juga pemain bola sepak negara, dirundung kedukaan kerana insiden keguguran. Namun pada April depan, segala kedukaan itu akan berbalas dengan kelahiran anak sulung mereka.

Ayu yang kini hamil enam bulan turut mendedahkan, hasratnya untuk menimang anak lelaki akan terlaksana dan dia amat teruja dan berdebar menanti kelahiran putera mereka.

“Alhamdulillah, saya dah pergi ‘scan’ kandungan dan doktor sahkan lelaki. Saya memang seronok bila dapat tahu jantina bayi kerana memang saya mahukan anak lelaki. Tapi, suami lebih teringin anak perempuan. Bagi saya, tidak kisah perempuan atau lelaki, yang penting adalah didikan yang sempurna.

“Kalau suami mahukan anak perempuan juga, mungkin untuk anak kedua atau ketigalah pula. Insya-Allah, dengan izinnya,” kata Ayu sambil ketawa kecil.

Datuk K mula boleh berjalan


DATUK Khalid Mohamad Jiwa, suami penyanyi tersohor tanah air Datuk Siti Nurhaliza, yang patah kaki akibat kemalangan motosikal di New Zealand minggu lalu, sudah mula boleh berjalan seperti biasa.

Perkembangan terbaru ini dikongsi oleh anak lelakinya, Mohammad Azief, menerusi laman mikro Twitter, hari ini.

“Ayah perlahan-lahan boleh berjalan kembali,” tulisnya ringkas.

Azief juga memberitahu bahawa keadaan Datuk K semakin pulih.

Datuk K terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi di Queenstown, New Zealand minggu lalu.

Siti Nurhaliza dan anak-anak Datuk K berada di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand sejak hujung minggu lalu.

Wednesday, December 19, 2012

Anne Ngasri mohon doa kebahagiaan

Anne Ngasri bersama tunangnya.


Selepas perkahwinan pertama terkandas di tengah jalan, penceraian dengan bekas suami, Abdul Wafi Hassan dua tahun lalu dilihat mematangkan dirinya.

Namun, sekali lagi dia tenggelam dalam cinta bersama penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.

Pun begitu, apa yang diimpikan bersama pelantun lagu Sayang Sayang itu turut kecundang di tengah jalan.

Kini, setelah beberapa bulan berlalu, ibu kepada tiga anak ini kembali tersenyum.

Bakal menamatkan status jandanya 22 Disember ini, Nasriah Ngasri atau lebih dikenali sebagai Anne Ngasri mengakui biarlah apa yang berlaku menjadi satu sejarah dalam hidupnya.

Jelas Anne 28,sudah sampai waktu dan ketika dia menjalani kehidupan baru yang lebih bermakna.

"Jujur saya katakan, saya sudah tidak mahu mengingati kisah lalu. Mungkin ramai yang memberi pelbagai persepsi terhadap saya kerana kisah cinta sebelum ini, namun saya anggap ia sebagai satu kenangan.

"Sekarang, biarlah saya bahagia bersama tunang dan anak tercinta," kata tunangan Mohd Sumali Reduan, 40 ini.

Pernah kecewa dengan perkahwinan lalu, Anne bagaimana pun berdoa agar masyarakat merestui perkahwinannya kali ini.

"Doakan kebahagiaan saya bersama bakal suami dan anak, tiada apa yang diinginkan setiap wanita di dunia ini selain sebuah rumah tangga yang sempurna," kata anak kelima daripada enam beradik ini.

Monday, December 17, 2012

Aliff Satar terjun ke layar perak


Dengan bidang nyanyian dan pengacaraan tidak membatasi, Aliff Satar untuk menceburi bidang lakonan.

Buat pertama kalinya, Aliff bakal tampil dengan filem terbarunya berjudul Usin UFO arahan Zul Yahya.

"Menerusi filem ini, saya bawa watak sebagai Hazam yang merupakan seorang kampung yang menghadapi masalah percintaan terhalang.

"Ini kali pertama saya libatkan diri dalam lakonan filem di mana sebelum ini saya ada berlakon untuk drama dan telefilem. Filem dan drama adalah dua perkara berbeza dan masing-masing memiliki cabaran tersendiri.

"Saya harapkan lakonan pertama ini menjadi dan mendapat respons baik daripada penonton," katanya.

Sunday, December 16, 2012

Siti Nurhaliza minta maaf


Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin meminta maaf kepada peminatnya di tanah air kerana tidak memberikan gambar terkini suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang kini terlantar sakit di New Zealand didedahkan kepada umum.

Siti yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada media memberitahu, beliau terpaksa berbuat demikian bagi menghormati permintaan suaminya itu yang mahukan privasi.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan gambar terkini kerana ia merupakan permintaan daripada suami yang mahukan privasi sepanjang menerima rawatan di Hospital Southland.

"Saya berharap semua pihak memahami situasi kami apabila kami tidak dapat memberikan gambar terkini Datuk K," katanya.

Datuk K terlibat dalam kemalangan di New Zealand Khamis lalu sewaktu beliau bersiar-siar dengan menunggang motosikal berkuasa besar Harley Davidson.

Saturday, December 15, 2012

Datuk K jalani pembedahan esok

Majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan anak lelaki Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K tetap diteruskan di Taman Sri Lambak, Sembrong Kluang semalam.

Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih mesra dipanggil Datuk K yang terlibat dalam kemalangan motosikal pada Khamis lalu dijadual menjalani pembedahan ekoran kecederaan serius pada bahagian belakang badan di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand esok.

Anak ketiganya, Muhammad Asyraf, 20, berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh bapanya dalam perbualan telefon kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Muhammad Asyraf menyifatkan kecederaan bapanya agak serius tetapi beliau dalam keadaan stabil.

"Ayah beritahu bahawa dia akan dibedah pada hari Isnin (esok), pembedahan itu mungkin melibatkan bahagian belakang badannya.

"Ayah minta kami supaya tidak terlalu risau keadaannya, malah cadangkan agar kami adik-adik tidak perlu ke New Zealand. Bagaimanapun, saya maklumkan bahawa tiket penerbangan sudah dibeli dan kami akan ke sana pada pukul 2 petang hari ini (semalam)," katanya ketika dihubungi
semalam.

Datuk K yang merupakan suami penyanyi popular Siti Nurhaliza kini dirawat di hospital itu yang terletak kira-kira 190 kilometer dari bandar Queenstown. Di bandar itulah Datuk K terlibat dalam kemalangan motosikal ketika bersiar-siar bersama rakan pada Khamis lalu.

Beliau mengalami kemalangan setelah motosikal Harley Davidson yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pagar di tepi jalan dalam kemalangan pada pukul 12 tengah hari Khamis waktu Malaysia (pukul 4 petang waktu New Zealand).

Muhammad Asyraf memberitahu, dia dan adik-beradiknya, Muhammad Adib, 22, dan Muhammad Aazief, 14, dijangka tiba di negara tersebut malam ini dan berharap dapat bertemu dengan bapa mereka sebelum pembedahan dilakukan.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza, 33, pula selamat tiba di hospital itu kira-kira pukul 10 pagi waktu Malaysia semalam (pukul 2 petang waktu New Zealand) setelah menempuh perjalanan udara dan darat selama 27 jam dengan ditemani kakak iparnya, Datin Zaiton.

Thursday, December 13, 2012

Datuk K cedera jatuh motosikal di New Zealand

DATUK K dan Siti Nurhaliza menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan gaya tersendiri semasa menyertai Kembara 1Malaysia tahun lepas.

Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, suami kepada penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mengalami kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson di Queenstown, New Zealand, semalam.

Kemalangan yang berlaku pada sekitar pukul 12 tengah hari waktu Malaysia (pukul 4 petang waktu tempatan) itu mengakibatkan Datuk K patah bahu selain cedera di tangan dan kaki.

Suami Siti Nurhaliza yang berusia 53 tahun itu kini dirawat di Hospital Southland, Queenstown setelah dia diterbangkan ke hospital itu dengan sebuah helikopter. Keadaannya dilaporkan stabil.

Hospital tersebut terletak di Invercargill, kira-kira 190 kilometer atau dua jam perjalanan dari Queenstown.

Menurut kakak Datuk K, Datin Zaiton, adiknya itu ke New Zealand atas urusan perniagaan dan dalam masa yang sama mengambil kesempatan untuk bercuti bersama rakan-rakannya.

“Datuk K pergi ke sana kerana kerja dan dalam masa yang sama mengambil kesempatan bercuti dengan membawa motosikal berkuasa tinggi di sana.

“Saya diberitahu, kemalangan itu berlaku disebabkan dia gagal mengawal motosikal lalu terjatuh dan tercedera.

“Buat masa ini, dia masih dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil,” kata Zaiton ketika dihubungi  semalam.

Wednesday, December 12, 2012

Majlis resepsi Farid Kamil -Diana Danielle kecuh

Farid dan isteri, Diana melambai hadirin majlis resepsi perkahwinan mereka.

Majlis resepsi pasangan pelakon, Farid Kamil Zahari, 31, dan Diana Danielle Danny Beeson, 21, di Taman Tema Tasik Darulaman, Jitra , semalam, menjadi kelam-kabut apabila pengantin perempuan mengalami kekejangan pada kaki kanannya selepas beramah-mesra dengan tetamu dan peminat.

Diana Danielle yang kini berbadan dua mengalami kekejangan pada kaki kanannya selama hampir 15 minit menyebabkan pasangan itu bergegas keluar meninggalkan majlis jam 3 petang.

Malah, usaha media menunggu hampir empat jam untuk menemu bual Farid termasuk isu pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan pada majlis resepsi pengantin perempuan di Putrajaya, 1 Disember lalu, gagal selepas pelakon terbabit beredar menaiki kereta.

Adik Farid, Fadzil Zahari, 29, berkata perkara itu amat dikesali dan tidak dapat dielakkan kerana Diana Danielle keletihan selepas berarak menemui peminat.

“Kami meminta maaf kerana terpaksa membatalkan sidang media seperti dijanjikan kerana kesuntukan masa dan Diana tidak sihat akibat mengalami kekejangan kaki,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.



Tuesday, December 11, 2012

Majlis Pernikahan Liyana Jasmay tunda


LIYANA bersama tunangnya, Fathuddin pada majlis pertunangan mereka pada 29 Mac lalu.

Majlis pernikahan pelakon terkenal, Liyana Jasmay dengan tunangnya, Fathuddin Mazlan yang sepatutnya dilangsungkan pada 24 Januari depan telah ditunda ke tarikh baharu iaitu 2 Februari 2013.

Menurut Liyana, 24, majlis tersebut terpaksa ditunda atas sebab-sebab tertentu walaupun dia dan tunangnya, Fathuddin, 28, sebelum ini telah mengumumkan akan bernikah pada 24 Januari tahun depan.

Pasangan itu telah mengikat tali pertunangan pada 29 Mac lalu.

Liyana yang baru pulang ke tanah air lewat malam kelmarin selepas menamatkan kursus enam bulan dalam bidang lakonan dan pengarahan di New York Film Academy, Amerika Syarikat berkata, majlis akad nikah dan persandingan akan diadakan pada hari yang sama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

“Akad nikah akan diadakan pada waktu pagi dan bersanding pada sebelah malam di PWTC,” jelas aktres itu yang merupakan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2009 menerusi filem Papadom.

Monday, December 10, 2012

Isu bayaran royalti selesai tahun depan

PELAKON SPA-Q (Foto hiasan)

KEMELUT berhubung bayaran royalti kepada penggiat seni lakonan bakal berakhir melalui syarikat Malaysian Screen Actor Guild Berhad (MSAGB) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Joseph Salang berkata, melalui syarikat itu, kadar bayaran kepada pelakon termasuk kaedah royalti dapat dikaji dan diubah suai agar selari dengan tuntutan serta keperluan semasa.

Selain menjadi landasan terbaik dalam soal tuntutan royalti pelakon, katanya MSAGB juga memberi manfaat kepada perkembangan industri perfileman dan penerbitan rancangan televisyen secara keseluruhannya.

"Saya berharap melalui penubuhan MSAGB, ia dapat mewakili para pelakon, penulis skrip, dan keseluruhan rantaian dalam penerbitan supaya mendapat manfaat imbuhan atau royalti hasil daripada karya mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis dialog 'Kesedaran Hak Cipta Intelek Dalam Kalangan Seniman Malaysia' di sini hari ini.

Beliau berkata melihat kepada perkembangan industri muzik yang melibatkan pembayaran royalti, para pelakon yang kini mencecah 5,000 orang juga berhak memperjuangkan hak untuk memperoleh bayaran dan royalti yang setimpal.

Bagaimanapun, beliau berkata KPKK tidak boleh campur tangan dalam kegiatan syarikat itu melainkan mereka memerlukan orang tengah untuk menjaga atau memantau syarikat.

"Pemantauan itu terpulang kepada keadaan, sekiranya ia melibatkan pemberian dana daripada kementerian maka kementerian akan membuat pemantauan tetapi sekiranya tidak, kementerian hanya akan menyumbang dari segi buah fikiran dan idea bila mana diperlukan," katanya.

Selain itu, katanya penguatkuasaan dan pemantauan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan hak cipta seni lakonan para pelakon terpelihara kerana amat menyulitkan untuk membayar royalti jika hak cipta tersebut dicuri atau diguna pakai oleh orang perseorangan.


Sunday, December 9, 2012

Najwa Latif teruja persembahan untuk Singapura


SETELAH tamat menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bintang YouTube, Najwa Latif, kini kembali aktif menyanyi.

Akui teruja mengadakan persembahan istimewa khas buat peminatnya di Singapura, pada 21 Disember ini, Najwa bagaimanapun agak gementar memandangkan itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Kota Singa itu.

"Saya tidak sangka diberikan peluang besar seperti ini. Ia satu penghormatan yang besar buat diri saya dan saya akan pastikan persembahan pada konsert itu tidak akan menghampakan peminat yang hadir.

"Peluang ini adalah satu kelebihan buat saya untuk meluaskan kerjaya sebagai penyanyi dan saya tidak nafikan ia platform yang besar buat saya mengenali peminat saya di sana dengan lebih dekat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Najwa memberitahu dia kini telah merancang untuk menghasilkan album terbarunya tahun hadapan.

Saturday, December 8, 2012

Demi Keluarga Maimon Mutalib Menderita

Orang kuat Metrowelth, David Teo (kiri) turut melawat Kak Mon ketika mendapatkan rawatan di hospital.


Dalam keterujaan membawa pelbagai watak, tidak kira antagonis mahupun protagonis, rupanya Maimon atau lebih mesra disapa Kak Mon menyimpan rahsia besar.

Terpaksa melupakan penderitaan kanser payudara yang dihidapi sejak setahun lalu, Kak Mon tidak mahu membebani fikiran anak-anak dengan memikirkan keadaan kesihatannya.

Namun, rahsia itu tidak mampu disimpan lagi apabila Kak Mon dikejarkan ke hospital dan harus menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Lebih teruk, kanser yang ditanggungnya kini mencapai tahap ketiga dan merebak ke bahagian tulang belakang menyebabkan tulangnya mereput dan sukar bergerak. Tambahan pula, kanser itu turut menjangkiti paru-paru dan bahagian mata kiri sehingga kelopak matanya sukar dibuka.

Pun begitu, Kak Mon dibenarkan pulang ke rumah semalam dan keadaannya kini semakin baik.

"Alhamdulillah, Kak Mon dibenarkan pulang. Setakat ini, kesakitan itu sudah semakin kurang dan Kak Mon akan berehat sepenuhnya.

"Kak Mon mengetahui penyakit ini sejak setahun lalu. Namun, Kak Mon tidak pernah menghiraukannya kerana sejak suami meninggal, Kak Mon terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak.

"Walaupun sakit, Kak Mon terpaksa memikirkan anak-anak kerana ada yang masih bersekolah. Tanpa Kak Mon, bagaimana nasib mereka nanti," kata ibu kepada, Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.

Sebelum dimasukkan ke hospital, Kak Mon menjalani penggambaran drama dan dia tidak sempat menghabiskan penggambaran itu.

Thursday, December 6, 2012

Jimmy Shanley diharamkan menjejak kaki ke rumah mertua

Jimmy dan Nursuhaila ketika keluar dari Makhamah Tinggi Syariah di Shah Alam, Selangor semalam.

Pengacara Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam  semalam bahawa dia diharamkan oleh bekas bapa mertua, Datuk Suhaimy Othman untuk menjejakkan kakinya ke rumah mereka di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini sejak Januari 2011.

Disebabkan masalah tersebut, Jimmy mengaku dia tidak pernah berjumpa dengan anak tunggalnya, Zahra Rania Shanley, kini berusia setahun tujuh bulan yang tinggal di rumah tersebut sehingga kini.

“Kali terakhir saya bertemu anak saya ialah pada April lalu, itu pun apabila bekas ibu mertua (usahawan kosmetik, Datin Muniroh Kassim) membawa anak saya ke rumah saya sendiri,” kata Jimmy yang diwakili peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus.

Jimmy menetap di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Tuesday, December 4, 2012

Khalwat: Permohonan Beego ditolak


Mahkamah Rendah Syariah Gombak semalam menolak permohonan representasi Beego dan dua rakannya bagi membatalkan tuduhan khalwat ke atas mereka dan menetapkan 19 Mac 2013 untuk perbicaraan kes tersebut.

Hakim Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh tersebut selepas peguam syarie, Mohd Fakhrul Azman Abu Hassan, yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon satu tarikh perbicaraan baru.

Fakhrul Azman berkata, pihaknya perlu mendapatkan beberapa dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan sebelum bersedia untuk memulakan perbicaraan, termasuk laporan polis berhubung tangkapan tertuduh pada hari kejadian.

Terdahulu, pegawai pendakwa syarie Jabatan Agama Islam Malaysia (Jais), Tuan Sarawahidda Tuan Dir memaklumkan representasi tertuduh ditolak ketua pendakwa syarie dan mahu meneruskan perbicaraan semalam.

Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah, 32, dan dua rakannya, Fikry Zainun serta Mohd Arsli Meor Atan Ahmad, mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama Azlina Yazit@Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar kira-kira jam 6 pagi di sebuah rumah di Kondominium Okleaf Park, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, pada 23 Februari 2011.

Bagaimanapun, kedua-dua wanita tersebut mengaku bersalah dan didenda RM3,000 atau enam bulan penjara.

Monday, December 3, 2012

Pasangan Sabah Menjuarai Bintang P Ramlee Kebangsaan

Faizul Misran dan Azeaini Awang Ismail di nobatkan sebagai pemenang Pertandingan Akhir Bintang P.Ramlee Peringkat Kebangsaan Auditorium Perdana Angkasapuri.


FAIRUZ Misran, 27, dan Azeini Abang Ismail, 23, dari Sabah dinobat sebagai juara Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee Kebangsaan 2012.

Fairuz dan Azeini, yang menyampaikan lagu 'Hancur Badan Dikandung Tanah' dan 'Barang yang Lepas Jangan Dikenang', mengalahkan 10 lagi peserta pertandingan itu.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM30,000, set teater rumah, sijil dan trofi daripada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Tempat kedua dimenangi pasangan Sarawak, Merazan Mechand dan Masitah Mohd Airani yang membawa pulang RM20,000 manakala peserta zon Timur M.D. Wahidul Zaman dan Sh.Fatimah Azzahraz di tempat ketiga untuk menerima RM15,000.

Kategori Persembahan Terbaik dalam pertandingan bertema 'Taman Firdausi' dimenangi peserta zon Selatan, Mohd Radhi dan Norhasima Kadir, yang membawa pulang wang tunai RM15,000.

Pertandingan dua tahun sekali anjuran RTM Sarawak dengan kerjasama kerajaan negeri itu berlangsung di Auditoriun Perdana, Angkasapuri dan disiar secara langsung melalui TV2.

Buat pertama kali, peserta dari Singapura, Brunei dan Indonesia mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Singapura diwakili Yusri Hashim dan Rabiah Hassan, Brunei oleh pasangan Awangku Shahminan Pangeran Ahmad dan Siti Noriana Munap manakala Hendri Abdul Hamid A.Pato dan Wulandri Muhd Nasir bagi Indonesia.

Turut bertanding buat pertama kali ialah dua pasangan bukan Melayu yang dicungkil bakat menerusi Karnival MyGempak-JKKN iaitu Daryll Edwin Nathaniel dan Vanesa Kumaara Kurupan serta Ng Kok Wai dan Eunice Lew Ling.

Sunday, December 2, 2012

Asmidar tidak guna botox


JUARA program realiti nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad semakin mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini.

Bukan saja kualiti vokalnya yang dilihat bercambah cemerlang bahkan juga, personaliti dan fizikalnya yang berbeza berbanding mula-mula melangkah ke alam hiburan.

Bertemu dengannya baru-baru ini, Asmidar mengakui perubahan dirinya dari segi fizikal adalah perlu demi tuntutan kerja.

Dalam pada itu, dia turut menafikan membuat sebarang suntikan suplemen tambahan, antaranya botox atau kolagen pada wajahnya memandangkan timbul dakwaan bahawa pelantun lagu Biar Sampai Ke Bintang itu mendapatkan rawatan alternatif tersebut.

“Mana ada saya ambil suntikan kecantikan seperti botox. Pada saya, biarlah wajah berubah secara semula jadi. Bagaimanapun, saya mengaku ada menggunakan sebuah produk kecantikan sebulan lepas yang saya rasa sesuai dengan saya dan efektif.

“Selain itu biasanya saya berjoging dan bersenam beberapa kali seminggu untuk mengekalkan stamina dan menurunkan berat badan.

“Saya juga tidak pernah mengamalkan diet yang ekstrem sampai tak makan sebab saya menghidap penyakit gastrik. Saya akan makan, cuma ia diambil dalam kuantiti berpatutan,” ujarnya yang kini telah susut berat badan daripada 63 kilogram kepada 58 kilogram.


Friday, November 30, 2012

Trofi Faizal Tahir RM80,000


Faizal Trofi Faizal Tahir  mengambil keputusan melelong semua trofinya dan wang lelongan itu semuanya disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad yang merupakan kerjasama dengan Mercy Malaysia.

“Saya akui agak terkejut apabila Telekom Malaysia (TM) Sdn Bhd membida trofi saya dengan harga RM50,000. Selepas mendapat panggilan telefon daripada pihak TM, saya memang tidak tidur malam.

“Alhamdulillah, usaha saya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan kini jumlah jualan sudah meningkat kepada RM80,000.

“Tentunya ia melepasi jangkaan saya kerana pada mulanya saya jangka akan memperoleh RM50,000 ke RM60,000 sahaja.

“Walaupun pada hakikatnya saya amat menyayangi kesemua trofi saya, ini adalah salah satu cara saya memberi kesedaran kepada pihak di luar sana untuk sama-sama membantu masyarakat Palestin,” katanya yang ditemui pada mini konsert amal, Untukmu Palestin, malam kelmarin.

Faizal berkata, trofi yang diserahkan kepada pihak TM adalah trofi yang paling berharga buatnya, yang dimenangi pada Anugerah Industri Muzik ke-15 iaitu Album Terbaik 2008, bagi album Aku Muzik Kamu.

“Trofi tersebut paling bermakna kerana ia menjadi penanda aras buat saya dalam industri. Trofi kedua yang diserahkan kepada Maybank dengan harga bidaan sebanyak RM20,00 adalah trofi Artis Lelaki Paling Popular di Anugerah Planet Muzik.

“Ia adalah trofi pertama yang saya terima selepas tiga bulan saya di'gam' akibat insiden membuka baju. Manakala trofi ketiga adalah trofi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu (2003) yang telah dijual kepada Celcom Axiata dengan bidaan sebanyak RM10,000,” ujarnya.

Wednesday, November 28, 2012

Abby Abadi tidak pernah undi


Selebriti Abby Abadi mengakui tidak pernah mengundi sebelum ini kerana golongan artis tidak pernah diberi kesedaran mengenainya walaupun sering kali terlibat dengan program anjuran Umno dan Barisan Nasional.

Abby berkata, penglibatan artis dalam program parti hanya untuk memeriahkan majlis dan menarik ramai hadirin.

Ketika itu katanya, beliau tidak berasa bersalah tidak mengundi kerana tidak memahami kepentingan politik.

Untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti katanya, beliau akan rasa bersalah sekiranya tidak mengundi kerana sudah sedar kuasa politik amat penting apatah lagi kepada perjuangan Islam.

“Pada saya, Pas merupakan satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam di negara ini dan saya tidak mempunyai pilihan lain selain memberikan sokongan penuh kepada Pas dan Pakatan Rakyat.

“Kuasa politik penting kerana melaluinya dasar atau hukum Islam dapat ditegakkan dan saya kini memahami bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan,” katanya pada program Bicara Hijrah Selebriti Bersama Abby Abadi di Cherang Ruku, Pasir Puteh, semalam.

Abby Abadi berkata, kerajaan mesti menjadikan hiburan sebagai medium membentuk keperibadian masyarakat, bukannya menggalakkan maksiat.

“Seingat saya Jakim  (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pernah mengeluarkan garis panduan untuk industri hiburan tapi kerajaan tak mahu pakai kerana alasan mereka kaum bukan Islam juga ramai menjadi artis," katanya.

Tuesday, November 27, 2012

Gosip dan kontroversi tidak jejas karier Marsha


 Bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) 3 ini bukanlah nama kecil dalam industri seni tempatan.

Bahkan penglibatannya sepanjang lapan tahun bergelar anak seni sering kali menjadi perhatian umum.

Terlibat dengan pelbagai kontroversi bagaikan sudah menjadi asam garam bagi wanita kelahiran Michigan, Amerika Syarikat.

Bukan sahaja terbabit dengan isu menelan 30 biji pil, malah dia juga terpaksa berhadapan pelbagai tohmahan apabila dikatakan gemar berpakaian tidak cukup kain.

Tidak cukup dengan itu, dirinya pernah dikaitkan menjalin cinta dengan beberapa selebriti seperti Hans Isaac, Andy Estranged dan Yusry KRU.

Dalam pada itu, kisah cintanya dengan beberapa lelaki tempatan juga turut menjadi tumpuan media di negara ini.

Ditemui di pelancaran filem Kahwin 5 baru-baru ini, Marsha Milan Londoh berkata, sebagai selebriti dia perlu tabah dan tidak mudah melatah dengan apa juga perkara yang dibangkitkan kepadanya.

Baginya, dia tidak perlu mengelak apa jua dugaan yang mendatang.

"Saya akui ada sahaja perkara yang dilakukan menjadi buah mulut dan perhatian umum. Pun begitu ini semua adalah lumrah bagi semua artis itu.

"Yang penting, kita perlu bijak bertindak dan menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dalam hidup," katanya yang selesa bergelar 'single' kini.

Sunday, November 25, 2012

Pelawak Nabil Terkejut Isteri Bersalin

NAZIRAH memangku bayinya yang baru lahir di Shah Alam semalam.


Pelawak, pengacara dan pelakon popular, Ahmad Nabil Ahmad yang lebih dikenali sebagai Nabil kini bergelar bapa selepas isterinya, Nazirah Ayub, 24, selamat melahirkan anak sulung mereka semalam.

Bayi perempuan yang masih belum diberi nama itu dilahirkan dengan berat 2.67 kilogram pada pukul 8.40 pagi di Klinik Umra, Shah Alam, Selangor.

Menurut Nabil, 29, isterinya yang dikejarkan ke klinik tersebut pada pukul 3 pagi melahirkan anak sulung mereka tiga minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan doktor.

“Saya sangat terkejut sebab bayi saya lahir awal tiga minggu. Apa pun saya tidak siapkan lagi kerana sepatutnya saya mula bercuti awal Disember.

“Macam mana pun, sekarang saya sangat gembira dengan kelahiran anak sulung saya. Isteri dan anak saya sihat dan mereka dibenarkan pulang ke rumah pada petang esok (hari ini),” ujar Nabil yang dihubungi wartawan.

Nabil yang juga pengacara program Meletop terbitan Astro berkata, beliau masih mencari nama yang sesuai untuk anaknya.

“Nama anak belum ada lagi, saya baru sahaja beli buku tentang nama indah dalam Islam belum habis baca lagi.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan serta peminat yang mendoakan kesihatan isteri dan anak saya,” katanya yang turut berkongsi berita gembira itu di akaun Twitter miliknya.

Nabil dan isterinya melangsungkan perkahwinan pada 30 September 2011 di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya.

Saturday, November 24, 2012

Pelakon Maimon Mutalib ngidap barah payudara



KUALA LUMPUR - penderitaan akibat penyakit barah payudara yang sedang dialami pelakon senior, Maimon Mutalib, 54, mula hinggap di telinga ramai. Di sebalik keceriaan, senyuman serta lakonan yang membangkitkan emosi benci atau marah yang tersiar di kaca televisyen, Maimon yang lebih mudah dibahasakan Kak Mon itu rupa-rupanya sudah lebih setahun berjuang untuk melawan penyakit yang sangat digeruni kaum Hawa.

"Saya memang takut jarum, sebut perkataan hospital pun saya sudah seriau. Selama ini saya tidak pernah masuk hospital kecuali sewaktu hendak bersalin dahulu.

"Sudah setahun setengah saya tahu menghidap barah payudara, itu benda yang paling ditakuti. Saya sembunyikan daripada pengetahuan umum sebab gerun dan fikir macam-macam.

"Selama ini saya cuma elak ke hospital tapi berbagai-bagai usaha sudah dilakukan, daripada berubat kampung sehinggalah bertemu pengamal perubatan homeopati, apa yang orang kata bagus, semua saya buat," katanya saat dihubungi Sensasi Bintang untuk bertanyakan khabar yang sedang diperkatakan.

Dalam nada sedikit lemah, Maimon bercerita bahawa dia dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu berpunca daripada kekejangan yang dialami pada paha kiri. Pelik dengan situasi yang tidak pernah dialaminya itu sementelah badannya mulai lemah dan tidak mampu bergerak sendiri, dia dinasihatkan anak-anak dan ahli keluarga yang lain untuk membuat pemeriksaan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Sebenarnya saya terjatuh dari tangga, selepas itu terus rasa kejang. Bila datang hospital, terus saya ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Bengkak di bahagian kiri payudara saya semakin menyakitkan apabila doktor buat macam-macam ujian. Rasa sebak pun ada, sampai mengalir air mata bila badan kita diuji-uji begitu, tapi nak buat macam mana.

"Sekarang ini ibaratnya 'serah diri' sahaja, saya dah tak boleh buat apa-apa. Saya juga tak tahu sampai bila lagi saya akan duduk dalam wad hospital ini. Selepas ujian imbasan CT nanti kena tunggu keputusan untuk prosedur kemoterapi pula," katanya.

Ditanya tentang tahap kritikal barah yang dihidapi, cerita Maimon: "Ikut kata doktor, barah saya sekarang sudah masuk tahap ketiga. Doktor juga periksa kepala sebab syak barah sudah merebak ke anggota badan yang lain, tapi semuanya okey. Saya cuma berdoa kepada Allah, minta dipermudahkan urusan dan segera sembuh. Kalau diizinkan Allah, saya masih perlu bekerja untuk anak-anak yang masih bersekolah," luah Maimon yang berstatus janda sejak kematian suami, 15 tahun lalu.

Friday, November 23, 2012

Farid tergamam Diana cepat hamil

FARID dan Diana selamat bergelar suami isteri pada 3 November lalu.

SELEPAS 16 hari menjalani akad nikah, pasangan pelakon terkenal tanah air, Farid Kamil dan Diana Danielle telah mengejutkan peminatnya apabila Diana mengumumkan dalam laman sosial Twitter dan Instagram Isnin lalu bahawa dia sudah hamil.

Namun, tiada pengesahan lanjut mengenai kehamilan pasangan ini dan mereka lebih selesa berdiam diri selain menerima banyak ucapan tahniah peminat mereka berdua di laman sosial berkenaan.

Farid ketika ditemui di majlis tayangan media filem terbaharunya, Lagenda Budak Setan 2 - Katerina di GSC Pavillion, Kuala Lumpur semalam, mengatakan bukan niat dirinya untuk tidak memberi sebarang kenyataan berhubung hal berkenaan.

Sebaliknya dia dan Diana mengambil pendekatan untuk tidak terlalu gembira disebabkan usia kandungan Diana masih baharu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Farid yang berlakon sebagai Kasyah bergandingan dengan aktres terkenal, Maya Karin sebagai Katerina dalam filem yang bakal ditayangkan 29 November itu nanti menjawab segala pertanyaan media mengenai usia kandungan Diana itu

" Saya sebenarnya tidak mengambil pendekatan mendiamkan diri ketika itu (ketika Diana mengumumkan dirinya hamil di instagram). Sebaliknya saya lebih kepada tergamam sebab kehamilan boleh diuji dengan sepantas itu.

Sambung Farid lagi, "Ketika Diana beritahu saya tentang hal itu, saya berasa pelik dan bangga macam mana boleh tahu (kehamilan) secepat itu. Dia terangkan kepada saya satu persatu dan kata Diana, dia telah menggunakan alat pengesan kehamilan yang canggih dan mahal untuk mendapat keputusan ujian (pengesahan kehamilan) secepat itu.

Thursday, November 22, 2012

Aliff Aziz kecewa Anne akan berkahwin

Aliff bersama Anne suatu ketika dahulu

Umum mengetahui bahawa hubungan antara dramatis, Anne Ngasri dan penyanyi remaja, Aliff Aziz sudah pun berakhir.

Malah, Anne, 28, kini telah bertunang dengan ahli politik, Mohd Sumali Reduan, 40, dan bakal melangsungkan perkahwinan pada 22 Disember ini.

Bagaimanapun, Aliff, 22, mengejutkan ramai pihak apabila tampil memberi kenyataan bahawa dia terluka apabila mengetahui Anne akan mendirikan rumah tangga dengan Mohd Sumali

Anne yang dihubungi bagaimanapun enggan memanjangkan isu tersebut memandangkan hubungannya dengan Aliff sudah menemui noktahnya.

“Saya rasa tidak perlu cakap apa-apa lagi kerana benda ini sudah berakhir.

“Kalau boleh, saya mahu fokus kepada anak-anak dan masa depan bersama bakal suami. Itu yang lebih penting,” kata ibu tiga anak ini.

Biarpun tunangnya mengetahui hal itu, Anne berkata, mereka lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak bercakap mengenainya.

Namun, Anne mengakui dia khuatir sekiranya kenyataan Aliff membuatkan masyarakat salah faham terhadap tunangnya.

“Rasanya semua orang tahu hubungan saya dan Aliff berakhir secara baik.

“Jadi saya tidak mahu orang lain menganggap tunang sayalah punca hubungan kami berakhir,” katanya.

Enggan mengenang kisah lama, Anne bagaimanapun menafikan dia menyimpan rasa marah terhadap Aliff kerana mengeluarkan kenyataan sebegitu.

“Saya tidak berdendam dengan Aliff atau sesiapa pun, malah saya tidak boleh halang mereka untuk bercakap mengenai saya.

“Cuma bagi saya, perkara yang sudah berlalu tak perlulah dikenang lagi,” katanya yang menghargai jika masyarakat dapat mendoakan kebahagiaannya dengan bakal suami.

Wednesday, November 21, 2012

Anuar Zain: Wajah Nora Danish seperti seorang bidadari


“NORA DANISH memiliki ciri-ciri seorang wanita yang saya idamkan.” Kata-kata yang terlontar daripada mulut Anuar Zain membuatkan seluruh ruang di White Box, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur terdiam seketika.

Harus diakui bahawa pengumuman yang berbaur soal jodoh dan pilihan hati si jejaka kacak yang tidak dimamah usia itu merupakan penantian yang membuahkan hasil yang selama ini dinanti-nantikan banyak pihak.

Bicara Anuar, 42, semasa sidang akhbar bersempena tayangan khas klip video dua single terbaharunya, Ajari Aku dan Sempurnakan Aku itu pantas mengaitkan dirinya dengan aktres comel, Nora Danish.

“Selain memiliki skil lakonan yang bagus, Nora juga berjaya memberikan perasaan luar biasa sehingga menusuk jauh ke dalam lubuk jiwanya,” luah pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini.

Tambahnya: “Nora amat tepat untuk dipilih sebagai seorang isteri. Saya suka melihat dia sejak daripada siri Puteri lagi dan dia nampak manja serta mempunyai raut wajah yang murni.

“Jika wajahnya sudah kelihatan seperti seorang bidadari, pastinya dia memiliki sekeping hati yang suci.”

Tidak menolak sekiranya takdirnya bertemu seorang wanita yang pernah menjadi suri di hati orang lain sebelumnya, kata Anuar lagi status seseorang bukan penghalang untuk lebih mengenali.

“Saya mahu mencari seorang wanita yang lebih kurang seperti Nora Danish. Saya terima jika jodoh saya dengan wanita yang berstatus sepertinya. Tapi, buat masa sekarang saya belum terfikir akan soal hati.

“Kami bersama atas dasar kerja saja, peribadi atau personal belum terlintas. Saya juga tidak rasa ada cetusan perasaan sama antara kami berdua,” hurainya lanjut.

Tuesday, November 20, 2012

Betty Banafe tetap tarikh pernikahan 12 disember

BETTY masih aktif berlakon dan menyanyi. Drama terbaharu lakonannya bakal disiarkan di TV3 pada Sabtu, 24 November ini.

Keadaan menjadi heboh apabila pelakon dan penyanyi kacukan Melayu-Jawa-Arab, Betty Banafe, 33, pada Ahad lepas tiba-tiba mengakui dia keliru dan hampir pasti untuk membatalkan majlis perkahwinan dengan pemuda yang telah mengikat tali pertunangan dengan dirinya pada 14 Jun lalu itu.

Bagaimanapun semalam, Betty mengakui bahawa dia nekad mahu meneruskan pernikahannya tersebut seperti yang telah dijadualkan.

Pernikahan itu tetap akan berlangsung pada 12 Disember menjelang pukul 7.45 malam di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.

Pelakon filem Haru-Biru dan drama Spa Q itu mengakui berlaku perselisihan pendapat antara dia dan tunangnya itu dan masalah tersebut lebih menjurus kepada masalah perbezaan budaya serta tidak melibatkan orang ketiga atau masalah lain.

Monday, November 19, 2012

Diana Danielle anggap kehamilan hadiah hari jadi


Selepas 16 hari mendirikan rumah tangga, kehidupan Diana Danielle dan Farid Kamil akan bertambah serinya, selepas Diana kini disahkan hamil.

Berita gembira tersebut disampaikan sendiri oleh Diana dan Farid menerusi laman sosial Twitter masing-masing, tengah hari semalam.

Kehamilan tersebut tentunya menjadi hadiah paling bermakna buat Diana, yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-21, 22 November ini.

Secara tidak langsung, Diana dan Farid tidak akan bersanding berdua, sebaliknya 'bertiga' pada dua majlis resepsi iaitu 30 November dan 12 Disember ini.

Farid dan Diana, sah bergelar suami isteri pada 3 November lalu dalam majlis romantis yang dijalankan di Hotel Flamingo, Ampang.

Sunday, November 18, 2012

Syamsul menangis di konsert Hafiz Hamidun

SYAMSUL yang mengaku seorang peminat Hafiz mendendangkan lagu ciptaannya sendiri, Ya Rabbi

“BIAR orang tidak kenal siapa Hafiz Hamidun asalkan mereka suka zikir yang dibawa olehnya”. Itu kata-kata yang lahir dari mulut bekas penyanyi kumpulan nasyid UNIC, Hafiz Hamidun atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun, 28, yang kini muncul dengan sebuah album solo baharu iaitu Zikir Terapi Diri.

Menghasilkan tiga buah album solo termasuk album Zikir Terapi Diri, album baharunya itu telah memberi satu momentum terhadap kerjayanya, malah Zikir Terapi Diri pernah menjadi suatu trend di Twitter.

Bukan sekadar menjadi suatu trend, album Hafiz itu juga berjaya menerima anugerah platinum berkembar empat di atas jualannya yang mencecah 80,000 unit dalam masa 10 bulan.

Album yang menampilkan 10 zikir-zikir utama itu juga pernah menjadi juara carta jualan album di iTunes dan kini masih menduduki tempat teratas carta sekali gus menjadi penanda aras bagi industri muzik tempatan.

Rentetan daripada sambutan hangat terhadap album Zikir Terapi Diri, buat julung-julung kalinya Hafiz tampil dengan konsert sulungnya iaitu Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang berlangsung pada malam tahun baharu Hijrah iaitu 14 November lalu di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Membawa penonton ke suatu pengalaman yang berbeza daripada konsert-konsert hiburan biasa, Hafiz menyuntik elemen spiritual yang jelas daripada alunan zikir serta iringan muzik terapi sebagai tunjang utama konsert pada malam itu.

Senarai pemenang Anugerah Industri Muzik 2012

Shila Amzah menyampaikan ucapan kemenangan selepas muncul pemenang Anugerah Lagu Terbaik AIM19 menerusi lagu Patah Seribu, malam tadi


Shila Amzah mengharumkan nama negara dengan menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 September lalu muncul pemenang Anugerah Lagu Terbaik menerusi lagu Patah Seribu.

Penyanyi berusia 22 tahun ini juga menguasai kategori Lagu Pop Terbaik menerusi lagu yang sama.

Berikut ialah senarai pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 mengikut kategori. Majlis penyampaian berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam malam ini.

Artis Baru Terbaik: Mojo (Andai Kau Bercinta Lagi)

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki): Jamal Abdillah (Bahagia Sementara)

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita): Jaclyn Victor (Counting Days)

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu: Forteen (Seperti Dulu)

Kulit Album Terbaik: Mizz Nina/ Even Odds Sdn Bhd (Take Over)

Rakaman Album Terbaik: Nora/Rahman Ayob (Hikmah)

Video Muzik Terbaik: Yuna/Quek Shio Chuan (Sparkle)

Lagu Nasyid Terbaik: Doa (Nora)

Lagu Pop Etnik Terbaik: Kuasa Cinta (Noraniza Idris)

Lagu Rock Terbaik: Idola (Azlan & The Typewriter)

Lagu Pop Terbaik:  Patah Seribu (Shila Amzah)

Lagu Hip Hop Terbaik: Aku Maafkan Kamu (Jamal Abdillah & Malique/ Malique/ Tripdizs)

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: Counting Days (Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Lin Li Zhen)

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara: Sudah Cukup Sudah (Nirwana Band)

Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu: Counting Days (Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito)

Album Terbaik: SalamMusik (Salam - Salam Musik)

Anugerah Kembara: Mizz Nina

Anugerah Sri Wirama: Alleycats

Anugerah Lagu Terbaik: Patah Seribu (Shila Amzah)
.

Saturday, November 17, 2012

Anne pilih lelaki berusia kerana kecewa?

Anne Ngasri


Selepas hubungan cinta dengan penyanyi, Aliff Aziz putus September lepas, Anne Ngasri dikatakan sudah berkahwin dengan ahli politik berstatus suami orang.

Namun, rupanya khabar angin itu hanya salah faham, apabila Anne akhirnya mengikat tali pertunangan dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan, pada jam 11 pagi, 11 November lalu.

Tidak menganggap keputusan untuk mendirikan rumah tangga dilakukan secara terburu-buru, Anne menjelaskan segala yang berlaku adalah takdir dari Allah SWT.

“Sejak awal lagi, saya tidak pernah letakkan sebarang kriteria atau ciri-ciri siapa yang akan menjadi suami saya dan bila saya akan berkahwin.

“Saya tidak menganggap pertunangan dan pernikahan kami kelak sebagai keputusan yang terburu-terburu kerana kami sudah saling mengenali sejak setahun yang lalu.

“Bagaimanapun, saya akui terkejut dan terharu apabila dia bersungguh-sungguh mahu memperisterikan saya dan datang bertemu keluarga. Bagi saya kehadirannya dalam hidup saya dan anak-anak, tepat pada waktunya,” kaya Anne.

Ditanya mengapa beralih pada lelaki berusia, selepas kecundang dengan cinta lelaki sebaya dan muda, Anne berkata : “Saya serahkan kepada Allah SWT atas jodoh yang diberikan. Walaupun ada yang cemuh kerana pertunangan ini, saya faham, mereka sayangkan saya dan nak yang terbaik buat saya.

“Tapi ini adalah jodoh dan kuasa Allah. Saya harap mereka akan doa yang terbaik buat saya. Namun, di mana istimewanya tunang pada mata saya, akan saya beritahu selepas semuanya selamat kelak,” ujarnya.

Friday, November 16, 2012

Lydiawati nafi suntik, bedah hidung

LYDIAWATI mengakui hidungnya sering menarik fokus ramai.



PELAKON Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon, cukup popular sekitar tahun 1990-an. Kini, pada usia 46 tahun, figura yang pernah membintangi filem Suami, Isteri dan ... itu masih kekal cantik meskipun memiliki jadual kerja yang padat.

Mungkin kerana kecantikan aslinya, ibu tunggal kepada dua orang anak itu telah dilantik menjadi duta produk Zmasha selama setahun.

Kata Lydiawati yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini, meskipun sudah berusia, kecantikan amat penting baginya.

Tambahan, kerjayanya sebagai pelakon menuntut dirinya untuk kelihatan cantik sepanjang masa.

Bagaimanapun, tegas Lydiawati dia rimas apabila ada pihak mendakwa dia melakukan pembedahan hidung dan melakukan suntikan untuk kekal cantik.

:" Saya mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengambil multivitamin untuk mengekalkan tahap kesihatan. Begitu juga dengan kecantikan, saya percaya kecantikan bermula daripada dalam sebab itu saya suka mengambil ulam-ulaman dan jamu.

" Mungkin orang tidak percaya, tetapi saya tidak pernah langsung suntik wajah saya dengan botox atau sebarang vitamin kecantikan. Kalau suntik botox, kesannya memang cepat secara luaran tetapi tidak elok untuk kesihatan dalaman. Rasanya suntik botox bukannya lagi cantik" Jelasnya.

Filem Thupakki hina Islam


 Tiga badan bukan kerajaan (NGO) membantah penayangan filem tamil berjudul Thupakki di negara ini  kerana didakwa menghina Islam.

Presiden Ikatan Relawan Insan Muslim Malaysia, Amir Amsa Alla Pitchay berkata, filem secara keseluruhannya menunjukkan penganut agama Islam sebagai pengganas.

Menurutnya pihaknya telah meneliti tayangan filem berdurasi selama dua jam  itu dan terbukti ia sememangnya merupakan sebuah filem yang direka untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap agama Islam.

“Kita bantah penayangan filem ini di Malaysia secara keseluruhannya dan saya juga meminta Kerajaan Malaysia mengambil tindakan drastik menghentikan tayangan filem ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Presiden Pertubuhan Ansarul Islam Malaysia  Saed Muhammad  S.Maimuni berkata pihaknya kecewa dengan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (Finas) kerana membenarkan filem itu untuk tayangan.

“Apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah sesuatu yang serius sepatutnya Finas peka tentang perkara ini agar ianya tidak ditayangkan  kepada umum,” katanya

Tambahnya, setakat ini penerbit dan pengarah filem itu di India telah pun memohon maaf di atas penghasilan filem sedemikian yang memburukkan Islam dan tayangan itu telah pun dihentikan serta-merta.

Setiausaha Agung Majlis Madrasah India Muslim Malaysia, Kamal Batcha  N.M.R Mohidenn berkata, filem yang mula ditayangkan sejak Deepavali itu jelas mempunyai niat jahat.

“Kalau diteruskan tayangannya kita khuatir ianya akan membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini jadi kami mahu ia dihentikan,” katanya.

Susulan daripada penayangan filem itu juga, tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi semalam.

Thursday, November 15, 2012

Erti Maal Hijrah buat Haryati Hamzah

Yatt Hamzah bersama anaknya.

Walaupun Maal Hijrah boleh diterjemahkan dalam pelbagai konteks, namun setiap individu mempunyai pengertian tersendiri.

Bersyukur kerana masih diberi peluang untuk sama-sama meraikan sambutan Maal Hijrah 1434H, lembaran tahun ini membawa seribu satu pengertian buat selebriti cantik, Yatt Hamzah.

Bagi Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 32, tahun ini membawa seribu satu rahmat buat Yatt sekeluarga setelah berjaya melakukan penghijrahan terbesar dalam hidupnya.

Mula berhijrah dari segi penampilan sejak pertengahan tahun ini, Yatt kini mengakui kehidupannya semakin tenang dan cuba untuk memperbaiki kelemahan diri.

"Alhamdulillah, dengan rahmat dari-Nya, kita masih diberi peluang untuk menyambut lembaran tahun baru Islam ini. Jika sebelum ini, saya hanya mengetahui pengertian Hijrah sebagai perpindahan dari baik kepada yang lebih baik.

"Namun, kini saya memahami konteks Hijrah bukan hanya itu, malah ia membawa pengertian yang lebih luas setelah saya nekad berubah.

"Walaupun saya bermula dengan hijrah luaran, namun saya tetap berusaha untuk memperbaiki dalaman agar ianya seiring dengan apa yang saya lakukan," kata ibu kepada, Suci Hanania Malika, 2, ini.

Wednesday, November 14, 2012

Sheeda nafi berkenan pucuk muda

Sheeda bersama keluarga bahagia.


Tidak pernah terlintas di hati untuk memilih 'pucuk muda' semata-mata sebagai pendamping hidup, Sheeda atau nama sebenarnya, Rashidah Hamid, menganggap itu adalah ketentuan dari-Nya.

Malah menurut isteri kepada guru, Sukri Hashim, 33, tidak pernah ada istilah mendabik dada atau bangga bersuamikan lelaki muda.

"Saya langsung tak sangka akan berkahwin dengan lelaki muda. Malah, kedua-dua bekas suami dulu juga lebih muda dari saya.

"Ia berlaku atas dasar cinta yang berputik secara kebetulan. Saya berkawan dengan kawan Sukri dan kami bertemu secara kebetulan. Namun, hubungan itu diteruskan sebagai kawan sehinggalah Sukri melamar saya.

"Pun begitu, saya tidak terus menerima lamaran itu. Hampir setahun saya membiarkan Sukri menunggu, barulah saya terima setelah melihat kesungguhan dan kesabarannya," katanya yang memiliki anak lelaki bersama Sukri, Muhammad Aiman, 4 tahun.

Hasil perkahwinan terdahulu, Sheeda dikurniakan tiga anak, Mohd Hafizul Razli, 28, Norazlinda Razali (Bienda), 27, dan Norfazlinda Ahmad Fazli, 13.

Tuesday, November 13, 2012

Fida akui rapat dengan Zalif Sidek


Selepas hubungannya bersama pelawak Mamat, bekas anggota kumpulan Sepah menemui kegagalan, nampaknya pelakon kelahiran rancangan realiti Pencarian Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007 ini tidak serik untuk menjalin hubungan dengan selebriti tempatan lagi.

Mengakui sedang berkawan rapat dengan bintang filem Papa I Love U, Zalif Sidek, 27, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini dilihat lebih gemar memilih dan berdampingan dengan lelaki berperwatakan lucu.

Menariknya, pasangan ini turut muncul di khalayak ramai apabila datang ke Anugerah Skrin 2012 baru-baru ini secara beriringan dan memakai pakaian sedondon.

Tidak mahu menyorokkan hubungan mereka, Rafidah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Fida ini berkata, mereka mula rapat sejak tiga bulan lalu.

"Apabila dia menyuarakan hasrat untuk mengenali saya dengan lebih dekat, saya menerimanya dengan hati terbuka.

"Kami masih dalam proses saling mengenali dan berkawan. Memang masih belum ke tahap bercinta, bagaimana pun, saya selesa dengan dia.

"Lagi pun masing-masing masih 'single' dan tidak salah rasanya saya memberi ruang kepadanya untuk mengenal hati budi masing-masing," ujar pelakon yang sedang popular menerusi drama Runtun Qalbu yang disiarkan di slot Zehra, setiap Jumaat jam 9 malam di TV3.

Monday, November 12, 2012

Stacy - Asmidar siap ke peringkat akhir AJL



JUARA Akademi Fantasia Musim Keenam, Stacy berjaya memperolehi antara markah tertinggi untuk dua lagunya dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik bahagian pertama malam semalam berharap kedua-dua lagunya itu berjaya terpilih Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) Januari depan.

Lagunya Pelangi Senja hasil ciptaan Taja dan lirik oleh Tun Teja serta lagu Kasanova ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim berjaya meraih perhatian juri sekali gus memberikan peluang kepada anak jati Kota Kinabalu, Sabah ini mara ke peringkat akhir.

Mengakui bahawa kedua-dua lagu itu mempunyai kekuatan tersendiri, Stacy tetap berharap kedua-dua lagu itu terpilih.

“Mudah-mudahan kedua-duanya dapat ke peringkat akhir.

“Walaupun lagu Pelangi Senja itu berkonsep berbeza daripada lagu Kasanova, saya tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu-lagu itu.

“Kalau kedua-dua lagu rancak, mungkin saya akan menghadapi sedikit masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya,, dia memang menyukai lagu rancak kerana ramai peminatnya suka melihat dia menari.

Sementara itu, pendatang baru, Asmidar yang merupakan pemenang Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama pula mengakui tidak berani meletakkan harapan terlalu tinggi untuk melangkah ke final memandangkan peserta-peserta lain yang bertanding juga cukup kuat.

“Siapa tidak mahu ke final, tetapi dapat terpilih ke separuh akhir semalam pun saya sudah cukup bersyukur.

“Bakat dan kekuatan yang dimiliki penyanyi berpengalaman seperi Hafiz dan Shila Amzah juga saya lihat mampu memberikan saingan sengit dalam pertandingan ini,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, jika lagunya Biar Mimpi Sampai ke Bintang hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Transformers Melayu berjaya terpilih ke peringkat akhir, Asmidar sendiri sudah memikirkan idea untuk persembahan.

Ujarnya, bagaimanapun semua itu terpulang kepada hasil perbincangan dengan Ajai kelak.

Sunday, November 11, 2012

Anne Ngasri bertunang

ANNE Ngasri bersama tunangnya Mohd. Sumali di Kuala Lumpur semalam.
Anne Ngasri bertunang dengan Mohd. Sumali.

Pelakon Anne Ngasri akhirnya sah menjadi tunang kepada Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia, Mohd. Sumali Reduan dalam satu majlis pertunangan di rumah keluarganya di sini semalam.

Menurut Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 24, Sumali berstatus duda berusia 40 tahun dan mempunyai seorang anak.

Beliau berkata, mengikut perancangan, mereka akan melangsungkan perkahwinan pada bulan depan.

“Saya akan menjemput semua pihak termasuk rakan-rakan media,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis kesyukuran yang dianjurkan keluarganya di Taman Batu Permai di sini semalam.

Saturday, November 10, 2012

Adi bergelar bapa



 MESKIPUN belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata sendiri, ternyata naluri kebapaan Adi Putra sangat kuat.

Pelakon drama Tentang Dhiya ini teruja memperkenalkan anak angkatnya, Zara Adelia Haadi kepada pengikut di laman Twitter.

Kehadiran Zara yang berusia tidak sampai sebulan itu memberi kegembiraan dalam hidup Adi dan isteri.

Dalam kenyataannya kepada sebuah portal, Adi berkata, tanggungjawabnya sudah bertambah sejak bergelar bapa.

Walaupun ini pengalaman pertamanya, Adi tidak kekok membantu isterinya menjaga Zara, termasuklah menukar lampin dan berjaga lewat malam.

Anugerah Skrin 2012: Senarai pemenang

Maya Karin dan Shaheizy Sam dinobatkan sebagai Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2012, malam tadi.


 Lakon Layar Terbaik Filem: Dain Iskandar Said Filem Bunohan

Lakon TV Terbaik: Lum Pung Hui (Di Telapak Kaki Bonda)

Videografi Terbaik: Aku Mahu Terbang Neon Entertainment Sdn Bhd

Laporan Khas/Berita Terbaik: Bom Jangka TV9, Amin Hayat

Drama Komedi Terbaik: Elly dan Epit, Red Communications Sdn Bhd

Rancangan Realiti Terbaik: Jemputan Umrah

Anugerah Artis Harapan Pantene: Putri Balqis (Pelarian)

Rancangan Bual Bicara Terbaik: Bella: Labour Day Special

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama: Namron (Parit Jawa)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama: Sherie Merlis (Di Telapak Kaki Bonda)

Rancangan Hiburan Terbaik: Anugerah Bintang Popular Berita Harian 25

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem: Lisa Surihani (Ombak Rindu)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem: Syafie Naswip (Songlap)

Rancangan Dokumentari / Majalah Terbaik: Dunia Tersembunyi (Rambu Solok)

Rancangan Muzikal Terbaik: Anugerah Juara Lagu 26

Pelakon Wanita Terbaik Drama: Ruminah Sidek (Sepatu Merah)

Pelakon Lelaki Terbaik Drama: Abu Bakar Omar (Gincu Ayah)

Pelakon Wanita Terbaik Filem: Maya Karin (Ombak Rindu)

Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Shaheizy Sam (Songlap)

Pengarah Terbaik Filem: Fariza Azlina dan Effendee Mazlan (Songlap)

Pengarah Terbaik Drama: Kabir Bhatia (Di Bawah Telapak Kaki Bonda)

Anugerah Yasmin Ahmad: Pierre Andre

Drama Rantaian Terbaik: Jangan Ambil Padang Kami (Suhan Movies & Trading Sdn Bhd

Filem Terbaik: Bunohan (Apparat Sdn Bhd)

Drama Terbaik: Di Telapak Kaki Bonda (Filmscape Sdn Bhd)

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2