NUFFNANG ADS

Monday, December 31, 2012

Shila Amzah perluas karier di Shanghai

Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad

“Selamat Tahun Baru!,” itulah ungkapan pertama daripada penyanyi, Shila Amzah, ketika wartawan menghubunginya yang kini berada di Shanghai, China.

Sentiasa ramah dalam berbicara, penyanyi berusia 22 tahun ini semakin giat menempa nama di luar negara sejurus meraih kemenangan di Asian Wave 2012, di Shanghai, China, baru-baru ini.

Walaupun impiannya untuk menggenggam trofi sudah menjadi kenyataan, namun pelantun lagu, Patah Seribu, ini bijak menyusun perancangan demi perancangan masa depannya.

Menjuarai kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-19 (AIM19), Shila turut melahirkan keinginan untuk mengadakan konsert dan ‘tour’ sendiri pada tahun 2013.

“Alhamdulillah, tahun 2012 menjadi lipatan kenangan yang sangat manis buat saya. Banyak perkara yang tidak terduga akal saya berlaku pada tahun lalu. Saya berharap agar tahun 2013 juga dapat memberikan kemanisan buat saya.

“Bagi tahun ini pula, saya turut mempunyai perancangan dan sasaran tersendiri dalam karier. Selain daripada memiliki konsert sendiri, saya ingin melancarkan album Melayu yang dihasilkan sepenuhnya oleh saya sendiri.

“Tidak lupa juga bagi lagu Mandarin, saya berharap agar perjalanan karier saya berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya yang kini  sedang sibuk merakam album Mandarin yang bakal diterbitkan di negara itu.

Sunday, December 30, 2012

Siti Nurhaliza pengacara 'Siti Ooo...Som'


Pernah mengacarakan program bual bicara berjudul Siti, kini penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza kembali menggalas tugas itu menerusi program berbentuk permainan yang berjudul 'Siti Ooo...Som'.

Walaupun berpengalaman dalam bidang pengacaraan, namun program kali ini memiliki cabarannya yang tersendiri dan bagaimanapun ia lebih santai berbanding program lalu.

"Sudah lama saya teringin untuk mengacarakan program seperti ini kerana dalam pada masa yang sama, saya juga boleh beriadah.

"Saya bersyukur kerana impian menjadi kenyataan dan mengharapkan program ini akan dapat diterima baik oleh penonton," katanya.

Lebih menarik, Siti akan dibantu oleh pengacara dan pelawak terkenal iaitu Nabil dan Shira sepanjang program 13 episod yang bakal ditayangkan bermula Januari ini.

Saturday, December 29, 2012

5 selebriti paling kontroversi tahun 2012






Berakhirnya tahun 2012, senarai  lima selebriti dengan kisah kontroversi sepanjang tahun.

Rita Rudaini & perang rumah tangga:
Awal 2012, Rita Rudaini mengejutkan peminat dan media apabila bertelingkah dengan adik iparnya, Zaquan Adha yang juga pemain bola sepak negara menerusi laman sosial Twitter.

Mereka yang sememangnya tidak mesra sejak perkahwinan Rita dengan abang Zaquan, Aidil Zafuan dikatakan saling berbalas sindiran menerusi akaun Twitter masing-masing. Malah, isteri Zaquan, Ayu Raudhah, turut terheret sama dalam pertelingkahan ini, apabila
dikatakan menjadi batu api. Berikutan pertelingkahan itu, Aidil dikatakan bertindak keluar dari rumah tanpa sebarang alasan.

Tidak terhenti setakat itu, bermula daripada insiden keluar rumah itu, Rita dan Aidil mula naik turun mahkamah berkaitan isu penjagaan anak, kembali taat, dan kini berkaitan dengan kes penceraian pula. Kes berkaitan rumah tangga mereka masih berjalan sehingga kini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Dalam pada keretakan yang semakin parah itu, Jue Aziz pula dikaitkan sebagai orang ketiga dalam perkahwinan mereka dan menjadi penyebab Aidil untuk berubah hati.

Si cantik Neelofa:

Neelofa menjadi artis pucuk muda paling diperkatakan pada tahun ini. Apa tidaknya, bintang utama Azura 2012 ini kini dikatakan hangat menjalinkan hubungan cinta dengan penerbit, pengarah dan pelakon, Hans Isaac. Lebih hangat lagi, mereka dikatakan bercuti bersama-sama di Thailand pada pertengahan tahun ini, namun akhirnya membuat penjelasan berada di lokasi berbeza.

Tidak lama selepas itu, Hans menerusi sebuah portal mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan Neelofa, bagaimanapun akhirnya menegaskan ada salah faham dalam laporan itu.

Tidak cukup dengan kisah percintaan, nama Neelofa turut terpalit dengan kontroversi berikutan pergaduhannya dengan Anzalna dan Tasha Shila, apabila Neelofa dikatakan cemburu dan tidak berpuas hati dengan kemenangan Tasha Shila yang berjaya menewaskannya di dalam Anugerah Bintang Populuar 2011 menerusi kategori Artis Baru Wanita Popular.

Susulan daripada itu, Anzalna tampil mendedahkan sikap buruk Neelofa yang dikatakan sering menghinanya serta cuba menjatuhkannya ketika berada di dalam pertandingan program realiti itu. Kenyataan berani Anzalna itu bagaimanapun membawa padah kerana Neelofa kemudian mengambil tindakan mahkamah dengan menuntut Anzalna membuat kenyataan maaf dalam tempoh 7 hari.

Namun kes mereka dapat diselesaikan selepas campur tangan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Neelofa dan Anzalna kemudian berdamai selepas Anzalna mengeluarkan kenyataan maaf dalam sidang media yang dianjurkan Seniman.

Baru sahaja reda dengan kontroversi, nama Neelofa kembali menjadi perhatian apabila dikatakan bersikap biadab dan tidak profesional oleh pereka fesyen, Nurita Harith, yang menyediakan bajunya untuk program.

Namun, kes itu diam begitu sahaja selepas kedua-duanya berdiam diri.

Artis dan kontroversi sememangnya tidak dapat dipisahkan. Mungkin ada di antara selebriti tidak berniat untuk mencipta kontroversi, namun kerana status yang dikecapi, maka mereka tidak dapat lari dari menjadi perhatian bukan sahaja media, malahan peminat yang kini semakin peka dengan karier mereka.

Abby Abadi & Twitter:

Penghijrahan Abby Abadi untuk berubah ke arah Muslimah sejati pada mulanya mendapat sambutan baik, bukan sahaja dari teman selebriti yang turut sama berubah, bahkan peminat dan media.

Namun, kontroversi bermula apabila Abby menyertai parti politik. Sejak itu, Abby dilihat semakin berani mengkritik bukan saja golongan selebriti bahkan orang kenamaan dan kerajaan.

Menggunakan medium Twitter dan Facebook, Abby mencetuskan kontroversi sebaik membuat pengakuan semakin sukar mendapat tawaran.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat perhatian beberapa rakan artis sehingga ada yang tampil menempelak kenyataannya.

Abby sekali lagi mengundang kontroversi apabila berani menyelar Polis Diraja Malaysia (PDR M), sehingga menarik perhatian rakan seperjuangannya dalam drama Gerak Khas, Datuk AC Mizal untuk berdebat, namun perkara itu diam sebegitu sahaja.

Tidak terhenti di situ, Abby kembali mencuri perhatian apabila mempertikaikan kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri, berhubung isu hudud.

Kisah cinta Rozita:

Sejak awal tahun lagi, nama Rozita Che Wan hangat diperkatakan. Pelakon jelita ini didakwa berkahwin dengan Datuk K, suami kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Tidak terhenti dengan kisah Datuk K, nama Rozita kemudiannya dikatakan menjadi rebutan tiga jejaka, Beego, Shah Iskandar dan Zain Saidin. Semuanya garagara laporan sebuah akhbar yang mendedahkan kisah Rozita dan Beego jalan berpimpin tangan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka.

Nama Rozita juga menjadi sebutan apabila percutiannya ke London bersama adiknya, Ayu ditaja oleh seorang ahli politik. Tidak cukup dengan kisah cinta, nama Rozita terus panas dengan kewujudan sekeping gambar bogelnya.

Namun, ia turut dinafikan oleh Rozita dan menganggap ia adalah pelanduk dua serupa.

Bila Zed Zaidi berkuasa:

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mula mencetuskan kontroversi apabila mempertikaikan kemenangan Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular 2011. Ketika itu, Aaron belum lagi mendapat taraf kewarganegaraan.

Selain itu, Zed secara lantang, menyekat kemasukan artis luar secara berleluasa dan pernah mempersoalkan permit kerja dua artis Indonesia, Randy Pangalila dan Julia Perez.

Ketika Mesyuarat Agung Seniman yang lalu, pelantikan Zed turut dipertikaikan kerana ada beberapa isu berbangkit dalam persatuan yang belum selesai.

Namun, kini Zed menjadi Presiden persatuan yang paling aktif dan lantang bersuara dalam membela nasib artis tempatan.

Bo Amir, Jimmy Palikat belum buat persediaan

Jimmy Palikat ketika ditemui pada sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik

Finalis lain sibuk dengan persiapan menjelang malam final Anugerah Juara Lagu ke-27, berlainan pula dengan Bo Amir Iqram dan Jimmy Palikat.

Bo Amir Iqram atau nama sebenarnya Mohd Amir Iqram akui masih belum memulakan sebarang persiapan bagi malam AJL27 itu nanti.

“Belum mula (persediaan) apa-apa, tak sempat lagi. Mungkin tiga hari sebelum malam final, kami akan mulakan,” katanya ketika dihubungi semalam.

 Menyentuh soal kelainan yang dibuat terhadap lagu ciptaannya, Lagu yang bakal bersaing dengan 11 lagu lain dalam AJL kelak, Bo Amir berkata, “ada ubah sedikit-sedikit saja”.

Bo Amir yang tampil bersama bandnya, Bdroom Sanctuary akan menekankan persembahan pentas berbanding vokal.

“Suara saya macam ini lah juga, tak boleh ubah dah. Jadi, persembahan pentas kami tekankan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi kelahiran Sabah, Jimmy Palikat yang bakal berduet dengan kumpulan One Nation Emcees juga belum membuat persediaan.

“Kami belum bersedia sangat. Baru saja duduk satu meja untuk berbincang. Mungkin awal tahun ini akan mula berlatih.

“Cuma, yang pasti kami akan buat ‘simple’ saja,” katanya.

Berhubung gimik yang mungkin dibawa ke atas pentas final itu nanti, Jimmy berkata, “kemungkinan (bawa set kampung di atas pentas), tetapi saya tak boleh cakap apa-apa kerana itu kejutan.”

Menurutnya, akan ada sedikit penambahan pada lagu Anak Kampung yang diciptanya itu.

Thursday, December 27, 2012

Pembaharuan Datuk Shake



Datuk Shake kini berusia 62 tahun, ternyata masih kelihatan muda dan berstamina.

Bukan saja dari segi penampilan, Shake juga memiliki jiwa seperti orang muda.

Untuk album Melayu terbarunya, Chameleon, Shake membuat pembaharuan dengan memasukkan elemen elektro dan urban.

Menurut Shake, pendekatan itu sering digunakan penyanyi antarabangsa misalnya Stevie Wonder dan Rolling Stones.

Selain sibuk mempromosikan album terbarunya itu, Shake juga mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert jelajah di seluruh negara tahun depan.

Wednesday, December 26, 2012

Sidang media Siti Fazurina kecuh


Pelakon drama bersiri menerusi slot Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd. Famir, 30, atau lebih dikenali sebagai Siti Fazurina, dia tidak menyangka pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Hykal Zulkifli, 31, mengundang mimpi duka setelah didakwa tidak mendapat restu keluarga.

Kontroversi kisah hidup Fazurina yang baru dua minggu mendirikan rumah tangga itu semakin tersebar luas menerusi laman sosial Facebook dan Twitter apabila mereka dikhabarkan ‘kahwin lari’ di Thailand.

Persoalan mengenai status pernikahannya menjadi perbualan sehingga Fazurina pasrah dengan dakwaan yang timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarganya sendiri.

Bagaimanapun, segalanya terjawab sebaik Fazurina atau nama ringkasnya Nina mengadakan sidang akhbar di salah sebuah hotel di Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini dengan turut menjemput ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, serta beberapa ahli keluarganya yang lain termasuklah abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya, Mohd. Fauzi, 24, dan Mohd. Firdaus, 22.

Sidang akhbar tersebut bagaimanapun bertukar menjadi seolah-olah penggambaran sebuah drama Melayu apabila Zubaidah dan ahli keluarga Fazurina yang hadir hanya mendiamkan diri.

‘Drama’ air mata mula tercetus apabila Fazurina tiba-tiba bergegas mengejar Zubaidah sehingga ke tangga selepas ibunya itu dibawa oleh salah seorang daripada adik lelakinya itu untuk beredar dari sidang akhbar tersebut.

Hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun, Fazurina dilihat amat sebak.

Sementelah, Zubaidah kedengaran telah meluahkan kekesalannya dengan tindakan Fazurina (berkahwin secara senyap-senyap) sebelum dia ditarik adiknya itu meninggalkan lokasi sidang akhbar tersebut.


Tuesday, December 25, 2012

Syafiq Yusof rancang kahwin 2014


SELEPAS mengumumkan berita pertunangannya di laman mikro Twitter Sabtu lalu, pengarah muda, Syafiq Yusof memberitahu bahawa dia merancang untuk bernikah dengan tunangnya itu dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

Anak kepada pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam ini memilih gadis kelahiran Syiria, Aiesyah Zainal sebagai bakal isterinya.

“Terima kasih semua yang doakan. Insya-ALLAH lagi satu, dua tahun kami nikah,” katanya kira-kira setengah jam selepas majlis pertunangannya selesai Ahad lalu.

Sementara itu, abangnya Syamsul Yusof turut menyampaikan berita pertunangan adiknya itu di laman Twitter sambil menyentuh status dirinya yang masih sendiri.

“Esok adikku Syafiq Yusof akan bertunang. Moga Allah mudahkan adikku. Kami, saya dan Dr Anwar Fazal  juga yang masih ‘sendiri’. Doakan kami juga,” katanya.

Monday, December 24, 2012

Fazurina nafi bernikah di Siam

FAZURINA dan Muhammad Hykal menunjukkan surat akuan pernikahan mereka di Pulau Pinang semalam.

Pelakon drama, Siti Fazurina Mohd. Famir yang lebih dikenali sebagai Nina menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan dia 'kahwin lari' di Thailand dengan Muhammad Hykal Zulkifli setelah tidak mendapat restu keluarga.

Menurut Nina, 30, dia dan suaminya, Muhammad Hykal, 31, sebenarnya selamat melangsungkan majlis pernikahan di Masjid Jamek Sungai Pinang di sini pada 20 Disember lalu dan bukannya di negara jiran seperti yang digembar-gemburkan.

"Majlis pernikahan saya berlangsung secara sah dan saya tak sangka perkara ini boleh timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarga saya sendiri.

"Saya sebenarnya banyak berkecil hati. Mereka tidak pernah merasai apa yang saya rasa. Kalau ahli keluarga saya dapat menerima Hykal perkara sebegini akan selesai.

"Kami berdua sudah lama merancang untuk berkahwin dan kali ini Tuhan telah memakbulkan doa kami. Hykal adalah pilihan terbaik untuk saya," katanya pada satu sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini semalam.

Sunday, December 23, 2012

Pengarah muda Syaiq bertunang

SYAFIQ (kanan) dan Aeisyah pada majlis pertunangan mereka di Gombak semalam.

Anak kepada pengarah filem terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof mengikat tali pertunangan dengan rakan kolejnya, Aeisyah Zainal di rumah tunangnya di Gombak, Selangor semalam.

Pada majlis tersebut, Syafiq, 20, yang juga seorang pengarah filem sudah dua tahun menjalin hubungan cinta dengan Aeisyah, 20, memberi tunangnya sebentuk cincin yang disarungkan oleh ibunya, Datin Fatimah Ismail beserta tujuh dulang hantaran.

Pihak perempuan pula membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Syafiq yang mengarahkan filem berjudul Sam berkata, dia dan tunangnya merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh setahun hingga dua tahun dari tarikh pertunangan mereka.

"Syukur kerana majlis pertunangan berjalan dengan lancar. Saya harap agar pertunangan ini sampai ke jenjang pelamin.

"Insya Allah sama ada hujung tahun depan atau 2014 kami akan berkahwin," ujarnya gembira ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Saturday, December 22, 2012

Siti Fazurina kahwin senyap tanpa pengetahuan keluarga?





Pelakon drama Dunia Anita, Siti Fazurina sudah pun dilaporkan bernikah dengan lelaki bernama Hykal Zulkifli.

Lebih mengejutkan, ada laporan mendakwa Fazurina berkahwin tanpa pengetahuan keluarganya di Pulau Pinang.

Meskipun dihambat kontroversi, nampaknya aktres ini tidak terus menyembunyikan diri.

Dalam kenyataannya kepada sebuah portal, Fazurina berkata, dia akan mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan perkara sebenar dalam masa terdekat.

Malah, Fazurina turut memohon maaf kerana tidak mengundang media ke majlis pernikahannya


Anne Ngasri kejinjang pelamin

MOHD. Sumali (kiri) mencium dahi isterinya, Anne bagi membatalkan air sembahyang selepas majlis pernikahan mereka di Pontian, Johor semalam.

 Pelakon Anne Ngasri akhirnya sah menjadi isteri kepada Setiausaha Kerja Pemuda UMNO, Mohd. Sumali Reduan dalam satu majlis yang diadakan di Homestay Citra, Kampung Parit Pinang, Benut,Pontian di sini semalam.

Dengan mas kahwin sebanyak RM22.50 dan seutas gelang tangan emas, pasangan tersebut selamat diijabkabulkan oleh Kadi Daerah Segamat, Abdul Mutalib Abdul Rahim tepat pukul 11.10 pagi semalam.

Mohd. Sumali, 40, yang telah menduda sejak tiga tahun lalu sebelum ini sah bergelar suami kepada Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 26, dengan sekali lafaz sahaja.

Pada majlis itu, pengantin bertukar-tukar hantaran iaitu lima dulang daripada Mohd. Sumali dan Anne juga membalas dengan lima dulang hantaran. Wang hantaran pula berjumlah RM11, 111.11.

“Syukur Alhamdulillah kerana penantian saya selama tiga tahun berakhir apabila saya ditemukan dengan lelaki yang terbaik iaitu Sumali yang sudah sah menjadi suami saya," kata Anne. Sebelum ini, selain pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, pelakon berkenaan juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Abdul Wafi Hassan pada 2006, namun kedua-duanya bercerai empat tahun kemudian.

Sepanjang berkahwin mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Warits, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhara Afroza, 1.

Friday, December 21, 2012

Datuk K beransur pulih

GAMBAR terbaharu dalam laman Twitter Siti Nurhaliza menunjukkan jambangan bunga dengan mesej agar Datuk K cepat sembuh.

Selepas empat hari menjalani pembedahan, suami penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih terkenal dengan panggilan Datuk K kini sudah boleh berjalan di sekitar wad Hospital Southland, Invercargill di New Zealand tempat beliau menjalani pembedahan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh anak keempat Datuk K, Muhammad Aazief, 14, dalam laman Twitternya semalam.

Dalam laman Twitter berkenaan Aazief berasa gembira apabila mendapati ayahnya itu sudah boleh berjalan sedikit demi sedikit.

“Papa beransur-ansur dapat berjalan semula,” tulis Aazief dalam laman Twitter miliknya itu lebih kurang pukul 1 petang waktu New Zealand (pukul 5 petang waktu Malaysia).

Ayu Raudhah bakal timang anak !!

Ayu Raudhah dan suami Zaquan Adha

Beberapa waktu lalu, Ayu Raudhah dan suami Zaquan Adha yang juga pemain bola sepak negara, dirundung kedukaan kerana insiden keguguran. Namun pada April depan, segala kedukaan itu akan berbalas dengan kelahiran anak sulung mereka.

Ayu yang kini hamil enam bulan turut mendedahkan, hasratnya untuk menimang anak lelaki akan terlaksana dan dia amat teruja dan berdebar menanti kelahiran putera mereka.

“Alhamdulillah, saya dah pergi ‘scan’ kandungan dan doktor sahkan lelaki. Saya memang seronok bila dapat tahu jantina bayi kerana memang saya mahukan anak lelaki. Tapi, suami lebih teringin anak perempuan. Bagi saya, tidak kisah perempuan atau lelaki, yang penting adalah didikan yang sempurna.

“Kalau suami mahukan anak perempuan juga, mungkin untuk anak kedua atau ketigalah pula. Insya-Allah, dengan izinnya,” kata Ayu sambil ketawa kecil.

Datuk K mula boleh berjalan


DATUK Khalid Mohamad Jiwa, suami penyanyi tersohor tanah air Datuk Siti Nurhaliza, yang patah kaki akibat kemalangan motosikal di New Zealand minggu lalu, sudah mula boleh berjalan seperti biasa.

Perkembangan terbaru ini dikongsi oleh anak lelakinya, Mohammad Azief, menerusi laman mikro Twitter, hari ini.

“Ayah perlahan-lahan boleh berjalan kembali,” tulisnya ringkas.

Azief juga memberitahu bahawa keadaan Datuk K semakin pulih.

Datuk K terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi di Queenstown, New Zealand minggu lalu.

Siti Nurhaliza dan anak-anak Datuk K berada di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand sejak hujung minggu lalu.

Wednesday, December 19, 2012

Anne Ngasri mohon doa kebahagiaan

Anne Ngasri bersama tunangnya.


Selepas perkahwinan pertama terkandas di tengah jalan, penceraian dengan bekas suami, Abdul Wafi Hassan dua tahun lalu dilihat mematangkan dirinya.

Namun, sekali lagi dia tenggelam dalam cinta bersama penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.

Pun begitu, apa yang diimpikan bersama pelantun lagu Sayang Sayang itu turut kecundang di tengah jalan.

Kini, setelah beberapa bulan berlalu, ibu kepada tiga anak ini kembali tersenyum.

Bakal menamatkan status jandanya 22 Disember ini, Nasriah Ngasri atau lebih dikenali sebagai Anne Ngasri mengakui biarlah apa yang berlaku menjadi satu sejarah dalam hidupnya.

Jelas Anne 28,sudah sampai waktu dan ketika dia menjalani kehidupan baru yang lebih bermakna.

"Jujur saya katakan, saya sudah tidak mahu mengingati kisah lalu. Mungkin ramai yang memberi pelbagai persepsi terhadap saya kerana kisah cinta sebelum ini, namun saya anggap ia sebagai satu kenangan.

"Sekarang, biarlah saya bahagia bersama tunang dan anak tercinta," kata tunangan Mohd Sumali Reduan, 40 ini.

Pernah kecewa dengan perkahwinan lalu, Anne bagaimana pun berdoa agar masyarakat merestui perkahwinannya kali ini.

"Doakan kebahagiaan saya bersama bakal suami dan anak, tiada apa yang diinginkan setiap wanita di dunia ini selain sebuah rumah tangga yang sempurna," kata anak kelima daripada enam beradik ini.

Monday, December 17, 2012

Aliff Satar terjun ke layar perak


Dengan bidang nyanyian dan pengacaraan tidak membatasi, Aliff Satar untuk menceburi bidang lakonan.

Buat pertama kalinya, Aliff bakal tampil dengan filem terbarunya berjudul Usin UFO arahan Zul Yahya.

"Menerusi filem ini, saya bawa watak sebagai Hazam yang merupakan seorang kampung yang menghadapi masalah percintaan terhalang.

"Ini kali pertama saya libatkan diri dalam lakonan filem di mana sebelum ini saya ada berlakon untuk drama dan telefilem. Filem dan drama adalah dua perkara berbeza dan masing-masing memiliki cabaran tersendiri.

"Saya harapkan lakonan pertama ini menjadi dan mendapat respons baik daripada penonton," katanya.

Sunday, December 16, 2012

Siti Nurhaliza minta maaf


Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin meminta maaf kepada peminatnya di tanah air kerana tidak memberikan gambar terkini suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang kini terlantar sakit di New Zealand didedahkan kepada umum.

Siti yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada media memberitahu, beliau terpaksa berbuat demikian bagi menghormati permintaan suaminya itu yang mahukan privasi.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan gambar terkini kerana ia merupakan permintaan daripada suami yang mahukan privasi sepanjang menerima rawatan di Hospital Southland.

"Saya berharap semua pihak memahami situasi kami apabila kami tidak dapat memberikan gambar terkini Datuk K," katanya.

Datuk K terlibat dalam kemalangan di New Zealand Khamis lalu sewaktu beliau bersiar-siar dengan menunggang motosikal berkuasa besar Harley Davidson.

Saturday, December 15, 2012

Datuk K jalani pembedahan esok

Majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan anak lelaki Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K tetap diteruskan di Taman Sri Lambak, Sembrong Kluang semalam.

Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih mesra dipanggil Datuk K yang terlibat dalam kemalangan motosikal pada Khamis lalu dijadual menjalani pembedahan ekoran kecederaan serius pada bahagian belakang badan di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand esok.

Anak ketiganya, Muhammad Asyraf, 20, berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh bapanya dalam perbualan telefon kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Muhammad Asyraf menyifatkan kecederaan bapanya agak serius tetapi beliau dalam keadaan stabil.

"Ayah beritahu bahawa dia akan dibedah pada hari Isnin (esok), pembedahan itu mungkin melibatkan bahagian belakang badannya.

"Ayah minta kami supaya tidak terlalu risau keadaannya, malah cadangkan agar kami adik-adik tidak perlu ke New Zealand. Bagaimanapun, saya maklumkan bahawa tiket penerbangan sudah dibeli dan kami akan ke sana pada pukul 2 petang hari ini (semalam)," katanya ketika dihubungi
semalam.

Datuk K yang merupakan suami penyanyi popular Siti Nurhaliza kini dirawat di hospital itu yang terletak kira-kira 190 kilometer dari bandar Queenstown. Di bandar itulah Datuk K terlibat dalam kemalangan motosikal ketika bersiar-siar bersama rakan pada Khamis lalu.

Beliau mengalami kemalangan setelah motosikal Harley Davidson yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pagar di tepi jalan dalam kemalangan pada pukul 12 tengah hari Khamis waktu Malaysia (pukul 4 petang waktu New Zealand).

Muhammad Asyraf memberitahu, dia dan adik-beradiknya, Muhammad Adib, 22, dan Muhammad Aazief, 14, dijangka tiba di negara tersebut malam ini dan berharap dapat bertemu dengan bapa mereka sebelum pembedahan dilakukan.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza, 33, pula selamat tiba di hospital itu kira-kira pukul 10 pagi waktu Malaysia semalam (pukul 2 petang waktu New Zealand) setelah menempuh perjalanan udara dan darat selama 27 jam dengan ditemani kakak iparnya, Datin Zaiton.

Thursday, December 13, 2012

Datuk K cedera jatuh motosikal di New Zealand

DATUK K dan Siti Nurhaliza menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan gaya tersendiri semasa menyertai Kembara 1Malaysia tahun lepas.

Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, suami kepada penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mengalami kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson di Queenstown, New Zealand, semalam.

Kemalangan yang berlaku pada sekitar pukul 12 tengah hari waktu Malaysia (pukul 4 petang waktu tempatan) itu mengakibatkan Datuk K patah bahu selain cedera di tangan dan kaki.

Suami Siti Nurhaliza yang berusia 53 tahun itu kini dirawat di Hospital Southland, Queenstown setelah dia diterbangkan ke hospital itu dengan sebuah helikopter. Keadaannya dilaporkan stabil.

Hospital tersebut terletak di Invercargill, kira-kira 190 kilometer atau dua jam perjalanan dari Queenstown.

Menurut kakak Datuk K, Datin Zaiton, adiknya itu ke New Zealand atas urusan perniagaan dan dalam masa yang sama mengambil kesempatan untuk bercuti bersama rakan-rakannya.

“Datuk K pergi ke sana kerana kerja dan dalam masa yang sama mengambil kesempatan bercuti dengan membawa motosikal berkuasa tinggi di sana.

“Saya diberitahu, kemalangan itu berlaku disebabkan dia gagal mengawal motosikal lalu terjatuh dan tercedera.

“Buat masa ini, dia masih dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil,” kata Zaiton ketika dihubungi  semalam.

Wednesday, December 12, 2012

Majlis resepsi Farid Kamil -Diana Danielle kecuh

Farid dan isteri, Diana melambai hadirin majlis resepsi perkahwinan mereka.

Majlis resepsi pasangan pelakon, Farid Kamil Zahari, 31, dan Diana Danielle Danny Beeson, 21, di Taman Tema Tasik Darulaman, Jitra , semalam, menjadi kelam-kabut apabila pengantin perempuan mengalami kekejangan pada kaki kanannya selepas beramah-mesra dengan tetamu dan peminat.

Diana Danielle yang kini berbadan dua mengalami kekejangan pada kaki kanannya selama hampir 15 minit menyebabkan pasangan itu bergegas keluar meninggalkan majlis jam 3 petang.

Malah, usaha media menunggu hampir empat jam untuk menemu bual Farid termasuk isu pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan pada majlis resepsi pengantin perempuan di Putrajaya, 1 Disember lalu, gagal selepas pelakon terbabit beredar menaiki kereta.

Adik Farid, Fadzil Zahari, 29, berkata perkara itu amat dikesali dan tidak dapat dielakkan kerana Diana Danielle keletihan selepas berarak menemui peminat.

“Kami meminta maaf kerana terpaksa membatalkan sidang media seperti dijanjikan kerana kesuntukan masa dan Diana tidak sihat akibat mengalami kekejangan kaki,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.



Tuesday, December 11, 2012

Majlis Pernikahan Liyana Jasmay tunda


LIYANA bersama tunangnya, Fathuddin pada majlis pertunangan mereka pada 29 Mac lalu.

Majlis pernikahan pelakon terkenal, Liyana Jasmay dengan tunangnya, Fathuddin Mazlan yang sepatutnya dilangsungkan pada 24 Januari depan telah ditunda ke tarikh baharu iaitu 2 Februari 2013.

Menurut Liyana, 24, majlis tersebut terpaksa ditunda atas sebab-sebab tertentu walaupun dia dan tunangnya, Fathuddin, 28, sebelum ini telah mengumumkan akan bernikah pada 24 Januari tahun depan.

Pasangan itu telah mengikat tali pertunangan pada 29 Mac lalu.

Liyana yang baru pulang ke tanah air lewat malam kelmarin selepas menamatkan kursus enam bulan dalam bidang lakonan dan pengarahan di New York Film Academy, Amerika Syarikat berkata, majlis akad nikah dan persandingan akan diadakan pada hari yang sama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

“Akad nikah akan diadakan pada waktu pagi dan bersanding pada sebelah malam di PWTC,” jelas aktres itu yang merupakan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2009 menerusi filem Papadom.

Monday, December 10, 2012

Isu bayaran royalti selesai tahun depan

PELAKON SPA-Q (Foto hiasan)

KEMELUT berhubung bayaran royalti kepada penggiat seni lakonan bakal berakhir melalui syarikat Malaysian Screen Actor Guild Berhad (MSAGB) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Joseph Salang berkata, melalui syarikat itu, kadar bayaran kepada pelakon termasuk kaedah royalti dapat dikaji dan diubah suai agar selari dengan tuntutan serta keperluan semasa.

Selain menjadi landasan terbaik dalam soal tuntutan royalti pelakon, katanya MSAGB juga memberi manfaat kepada perkembangan industri perfileman dan penerbitan rancangan televisyen secara keseluruhannya.

"Saya berharap melalui penubuhan MSAGB, ia dapat mewakili para pelakon, penulis skrip, dan keseluruhan rantaian dalam penerbitan supaya mendapat manfaat imbuhan atau royalti hasil daripada karya mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis dialog 'Kesedaran Hak Cipta Intelek Dalam Kalangan Seniman Malaysia' di sini hari ini.

Beliau berkata melihat kepada perkembangan industri muzik yang melibatkan pembayaran royalti, para pelakon yang kini mencecah 5,000 orang juga berhak memperjuangkan hak untuk memperoleh bayaran dan royalti yang setimpal.

Bagaimanapun, beliau berkata KPKK tidak boleh campur tangan dalam kegiatan syarikat itu melainkan mereka memerlukan orang tengah untuk menjaga atau memantau syarikat.

"Pemantauan itu terpulang kepada keadaan, sekiranya ia melibatkan pemberian dana daripada kementerian maka kementerian akan membuat pemantauan tetapi sekiranya tidak, kementerian hanya akan menyumbang dari segi buah fikiran dan idea bila mana diperlukan," katanya.

Selain itu, katanya penguatkuasaan dan pemantauan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan hak cipta seni lakonan para pelakon terpelihara kerana amat menyulitkan untuk membayar royalti jika hak cipta tersebut dicuri atau diguna pakai oleh orang perseorangan.


Sunday, December 9, 2012

Najwa Latif teruja persembahan untuk Singapura


SETELAH tamat menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bintang YouTube, Najwa Latif, kini kembali aktif menyanyi.

Akui teruja mengadakan persembahan istimewa khas buat peminatnya di Singapura, pada 21 Disember ini, Najwa bagaimanapun agak gementar memandangkan itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Kota Singa itu.

"Saya tidak sangka diberikan peluang besar seperti ini. Ia satu penghormatan yang besar buat diri saya dan saya akan pastikan persembahan pada konsert itu tidak akan menghampakan peminat yang hadir.

"Peluang ini adalah satu kelebihan buat saya untuk meluaskan kerjaya sebagai penyanyi dan saya tidak nafikan ia platform yang besar buat saya mengenali peminat saya di sana dengan lebih dekat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Najwa memberitahu dia kini telah merancang untuk menghasilkan album terbarunya tahun hadapan.

Saturday, December 8, 2012

Demi Keluarga Maimon Mutalib Menderita

Orang kuat Metrowelth, David Teo (kiri) turut melawat Kak Mon ketika mendapatkan rawatan di hospital.


Dalam keterujaan membawa pelbagai watak, tidak kira antagonis mahupun protagonis, rupanya Maimon atau lebih mesra disapa Kak Mon menyimpan rahsia besar.

Terpaksa melupakan penderitaan kanser payudara yang dihidapi sejak setahun lalu, Kak Mon tidak mahu membebani fikiran anak-anak dengan memikirkan keadaan kesihatannya.

Namun, rahsia itu tidak mampu disimpan lagi apabila Kak Mon dikejarkan ke hospital dan harus menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Lebih teruk, kanser yang ditanggungnya kini mencapai tahap ketiga dan merebak ke bahagian tulang belakang menyebabkan tulangnya mereput dan sukar bergerak. Tambahan pula, kanser itu turut menjangkiti paru-paru dan bahagian mata kiri sehingga kelopak matanya sukar dibuka.

Pun begitu, Kak Mon dibenarkan pulang ke rumah semalam dan keadaannya kini semakin baik.

"Alhamdulillah, Kak Mon dibenarkan pulang. Setakat ini, kesakitan itu sudah semakin kurang dan Kak Mon akan berehat sepenuhnya.

"Kak Mon mengetahui penyakit ini sejak setahun lalu. Namun, Kak Mon tidak pernah menghiraukannya kerana sejak suami meninggal, Kak Mon terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak.

"Walaupun sakit, Kak Mon terpaksa memikirkan anak-anak kerana ada yang masih bersekolah. Tanpa Kak Mon, bagaimana nasib mereka nanti," kata ibu kepada, Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.

Sebelum dimasukkan ke hospital, Kak Mon menjalani penggambaran drama dan dia tidak sempat menghabiskan penggambaran itu.

Thursday, December 6, 2012

Jimmy Shanley diharamkan menjejak kaki ke rumah mertua

Jimmy dan Nursuhaila ketika keluar dari Makhamah Tinggi Syariah di Shah Alam, Selangor semalam.

Pengacara Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam  semalam bahawa dia diharamkan oleh bekas bapa mertua, Datuk Suhaimy Othman untuk menjejakkan kakinya ke rumah mereka di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini sejak Januari 2011.

Disebabkan masalah tersebut, Jimmy mengaku dia tidak pernah berjumpa dengan anak tunggalnya, Zahra Rania Shanley, kini berusia setahun tujuh bulan yang tinggal di rumah tersebut sehingga kini.

“Kali terakhir saya bertemu anak saya ialah pada April lalu, itu pun apabila bekas ibu mertua (usahawan kosmetik, Datin Muniroh Kassim) membawa anak saya ke rumah saya sendiri,” kata Jimmy yang diwakili peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus.

Jimmy menetap di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Tuesday, December 4, 2012

Khalwat: Permohonan Beego ditolak


Mahkamah Rendah Syariah Gombak semalam menolak permohonan representasi Beego dan dua rakannya bagi membatalkan tuduhan khalwat ke atas mereka dan menetapkan 19 Mac 2013 untuk perbicaraan kes tersebut.

Hakim Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh tersebut selepas peguam syarie, Mohd Fakhrul Azman Abu Hassan, yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon satu tarikh perbicaraan baru.

Fakhrul Azman berkata, pihaknya perlu mendapatkan beberapa dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan sebelum bersedia untuk memulakan perbicaraan, termasuk laporan polis berhubung tangkapan tertuduh pada hari kejadian.

Terdahulu, pegawai pendakwa syarie Jabatan Agama Islam Malaysia (Jais), Tuan Sarawahidda Tuan Dir memaklumkan representasi tertuduh ditolak ketua pendakwa syarie dan mahu meneruskan perbicaraan semalam.

Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah, 32, dan dua rakannya, Fikry Zainun serta Mohd Arsli Meor Atan Ahmad, mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama Azlina Yazit@Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar kira-kira jam 6 pagi di sebuah rumah di Kondominium Okleaf Park, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, pada 23 Februari 2011.

Bagaimanapun, kedua-dua wanita tersebut mengaku bersalah dan didenda RM3,000 atau enam bulan penjara.

Monday, December 3, 2012

Pasangan Sabah Menjuarai Bintang P Ramlee Kebangsaan

Faizul Misran dan Azeaini Awang Ismail di nobatkan sebagai pemenang Pertandingan Akhir Bintang P.Ramlee Peringkat Kebangsaan Auditorium Perdana Angkasapuri.


FAIRUZ Misran, 27, dan Azeini Abang Ismail, 23, dari Sabah dinobat sebagai juara Pertandingan Akhir Bintang P. Ramlee Kebangsaan 2012.

Fairuz dan Azeini, yang menyampaikan lagu 'Hancur Badan Dikandung Tanah' dan 'Barang yang Lepas Jangan Dikenang', mengalahkan 10 lagi peserta pertandingan itu.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM30,000, set teater rumah, sijil dan trofi daripada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Tempat kedua dimenangi pasangan Sarawak, Merazan Mechand dan Masitah Mohd Airani yang membawa pulang RM20,000 manakala peserta zon Timur M.D. Wahidul Zaman dan Sh.Fatimah Azzahraz di tempat ketiga untuk menerima RM15,000.

Kategori Persembahan Terbaik dalam pertandingan bertema 'Taman Firdausi' dimenangi peserta zon Selatan, Mohd Radhi dan Norhasima Kadir, yang membawa pulang wang tunai RM15,000.

Pertandingan dua tahun sekali anjuran RTM Sarawak dengan kerjasama kerajaan negeri itu berlangsung di Auditoriun Perdana, Angkasapuri dan disiar secara langsung melalui TV2.

Buat pertama kali, peserta dari Singapura, Brunei dan Indonesia mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Singapura diwakili Yusri Hashim dan Rabiah Hassan, Brunei oleh pasangan Awangku Shahminan Pangeran Ahmad dan Siti Noriana Munap manakala Hendri Abdul Hamid A.Pato dan Wulandri Muhd Nasir bagi Indonesia.

Turut bertanding buat pertama kali ialah dua pasangan bukan Melayu yang dicungkil bakat menerusi Karnival MyGempak-JKKN iaitu Daryll Edwin Nathaniel dan Vanesa Kumaara Kurupan serta Ng Kok Wai dan Eunice Lew Ling.

Sunday, December 2, 2012

Asmidar tidak guna botox


JUARA program realiti nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad semakin mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini.

Bukan saja kualiti vokalnya yang dilihat bercambah cemerlang bahkan juga, personaliti dan fizikalnya yang berbeza berbanding mula-mula melangkah ke alam hiburan.

Bertemu dengannya baru-baru ini, Asmidar mengakui perubahan dirinya dari segi fizikal adalah perlu demi tuntutan kerja.

Dalam pada itu, dia turut menafikan membuat sebarang suntikan suplemen tambahan, antaranya botox atau kolagen pada wajahnya memandangkan timbul dakwaan bahawa pelantun lagu Biar Sampai Ke Bintang itu mendapatkan rawatan alternatif tersebut.

“Mana ada saya ambil suntikan kecantikan seperti botox. Pada saya, biarlah wajah berubah secara semula jadi. Bagaimanapun, saya mengaku ada menggunakan sebuah produk kecantikan sebulan lepas yang saya rasa sesuai dengan saya dan efektif.

“Selain itu biasanya saya berjoging dan bersenam beberapa kali seminggu untuk mengekalkan stamina dan menurunkan berat badan.

“Saya juga tidak pernah mengamalkan diet yang ekstrem sampai tak makan sebab saya menghidap penyakit gastrik. Saya akan makan, cuma ia diambil dalam kuantiti berpatutan,” ujarnya yang kini telah susut berat badan daripada 63 kilogram kepada 58 kilogram.


Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2