NUFFNANG ADS

Thursday, February 27, 2014

Siti teruja ke Kota Singa


Lapan tahun tidak menjayakan konsert solo di Singapura, pe­nyanyi wanita ter­kenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin cukup teruja untuk menghiburkan peminatnya di Kota Singa itu pada 12 April nanti.

Konsert yang akan berlangsung di Star Theatre, Singapura itu diakui Siti amat istimewa kerana ia bagi meraikan peminat setianya yang tak pernah jemu memberi sokongan selama ini.

Lebih 20 lagu termasuk medley akan didendangkannya.

Bersua Siti pada majlis pameran lukisan yang mengetengahkan wajahnya sebagai ikon pop negara di Galeri Artelier, Solaris Dutamas, Publika, Kuala Lumpur kelmarin, penyanyi itu berkata, dia mengharap­kan peminatnya sudah mula mendapatkan tiket untuk menyaksikan konsert itu.

Mengakui ada beberapa segmen istimewa akan dilakukannya, Siti berkata, beliau

akan pastikan peminatnya terhibur dan berpuas hati.

Katanya, sesi latihan untuk konsert itu juga akan dilakukan tidak lama lagi.

Bukan hanya tumpuan pada konsert, Siti juga kini dalam proses me­nyiapkan album terbarunya yang memuatkan 10 lagu baru dirakam secara solo dan duet. Bahkan, Siti juga mengakui dia teruja mahu menya­nyikan lagu ciptaan penyanyi dan komposer Faizal Tahir.

“Setakat ini, enam lagu sudah dirakam. Hanya tinggal empat lagi yang masih berbaki dan sekarang pun saya dalam penantian untuk merakamkan lagu ciptaan Faizal. Apa yang saya tahu, lagu yang diminta itu sudah pun siap.

“Lagu berentak rancak itu lebih menjurus pada pemangkin semangat dan inspirasi. Selain itu, saya juga akan bergandingan dengan penyanyi dari Indonesia, Cakra Khan untuk merakamkan lagu duet,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasamanya dengan Cakra, beliau berkata, wakil pengurusan bintang Indonesia itu yang berbincang dengan pihaknya untuk mereka berduet bersama.

Bekas isteri Chef Riz, Ana Dahlia nafi bakal kahwin

FOTO yang dimuat naik ke dalam Instagram Ana Dahlia menunjukkan dia ditemani Ubai Zulkiflee pada sesi pertemuan dengan Ezuwan Ismail yang mencetuskan spekulasi

Menjadi insan yang dikenali dalam dunia glamor seni, pelakon Ana Dahlia turut tidak dapat lari daripada perhatian umum, biarpun ia sekadar membabitkan kisah peribadinya.

Apa sahaja yang dilakukan bekas isteri Chef Riz yang juga anak kepada chef selebriti tersohor, Chef Wan ini pantas menarik perhatian umum.

Justeru, apabila sekeping foto Ana bersama seorang pemuda kacak dan sasa yang berjumpa dengan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail di muat naik menerusi Instagram milik Ana sendiri, ia segera menimbulkan spekulasi.

Gara-gara itulah, timbul khabar angin mendakwa Ana bakal berkahwin lagi selepas perkahwinannya pada 11 Disember 2011 dengan Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, hanya mampu bertahan selama 11 bulan.

Ana yang pernah membintangi filem Mantra itu ketika dihubungi bagaimanapun menafikan spekulasi tersebut.

"Tujuan sebenar saya berjumpa dengan dia (Ezuwan) adalah untuk berbincang mengenai persiapan baju saya menjelang Anugerah Bintang Popular (ABP) yang bakal berlangsung pada bulan Mac ini.

"Ia juga tidak ada kaitan langsung mengenai ura-ura yang saya akan berkahwin dalam masa terdekat.

"Namun sebagai seorang manusia saya juga ingin mempunyai teman hidup seperti orang lain," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tuesday, February 25, 2014

Neelofa pilih calon suami yang berusia!

Kecantikan pelakon dan pengacara kacukan Melayu-Arab ini, malah, pemilik nama Nor Neelofa Mohd Noor atau lebih mesra dipanggil Neelofa punya pakej lengkap sebagai selebriti dan aura tersendiri.

Maka tidak hairanlah, ramai lelaki yang ingin mendekati dan menjadikannya sebagai teman istimewa mereka tak kurang pula yang ingin memperisterikannya.

Diusik soal cinta dan jodoh, walaupun Neelofa tidak meletakkan syarat tertentu, namun dia mengakui ingin calon pilihannya nanti mendapat restu daripada orang tua serta keluarganya.

Bahkan, anak ketiga daripada sepuluh beradik yang sering saja menjadi perhatian lelaki ini rupanya lebih selesa berkawan dengan lelaki berusia.

“Saya seorang yang simple dan easy. Asalkan saya selesa dan paling penting disukai ibu saya itu sudah cukup. “Tapi saya tak mahu letakkan apa-apa syarat dan kriteria tertentu, kerana kita takkan dapat orang yang betul-betul kita nak. Setiap orang berbeza dan unik, apa yang pentingnya keserasian dalam hubungan. “Jadi, jika berjumpa dengan orang yang benarbenar sesuai dengan karakter saya akan terima.

Tapi apa yang paling penting saya mahukan seorang yang bijak dan lebih berusia, kerana mereka lebih matang,” katanya. Akui masih belum menemui calon yang sesuai, pelakon cantik ini berkata, dia lebih selesa berkawan dengan sesiapa saja yang ingin mendekatinya.

Bagaimanapun restu orang tua tetap diutamakan terlebih dahulu. “Bukan mudah mencari pasangan yang benarbenar memahami serta ikhlas, setakat ini saya belum jumpa yang sesuai.

“Lagipun, ramai kawan saya yang berkahwin muda mempunyai masalah akhirnya bercerai,” katanya yang tidak mahu menjadikan percintaan sebagai fokus utamanya memandangkan dia lebih memberikan tumpuan terhadap karier bagi jaminan masa depan.

Menurut pelakon filem Lemak Kampung Santan ini, umur bukan penentu seseorang itu untuk melangkah ke fasa seterusnya, namun dirinya perlu lebih matang sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Sekarang ni fokus saya nak kumpul duit beli rumah dan mencapai cita-cita saya sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin,” katanya.

Sms Ugutan: Lisdawati dan suami buat laporan polis terhadap Sharnaaz

Lisdawati bersama suami

Jarang dikaitkan dengan sebarang cerita kontroversi, kali ini nama Lisdawati kembali menjadi sebutan ramai berhubung pendedahannya tentang masalah yang melanda dirinya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.

Dalam laporan sebuah akhbar semalam, Lisdawati dan suaminya iaitu Fauzi Nawawi terpaksa membuat laporan polis setelah mendakwa diugut oleh Sharnaaz menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)

Ketika dihubungi semalam, pelakon itu turut meluahkan rasa hairannya apabila ditempik Sharnaaz tanpa sebarang alasan munasabah ketika penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

Menurut Lisdawati, sehingga laporan polis dibuat olehnya bersama suami sejak tiga hari lalu, belum ada lagi sebarang penjelasan yang diberikan Sharnaaz atas tindakan yang dilakukannya itu.

"Perkara ini berlaku sewaktu hari terakhir penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta pada 19 Februari lalu. Semuanya bermula ketika penggambaran yang membabitkan babak antara Sharnaaz dan Iqram Dinzly. Ketika itu ada babak Iqram menyergah Sharnaaz sehingga membuatkan dia terkejut sehingga babak itu tidak jadi dan terpaksa dibuat semula. Jadi, saya dan kru produksi yang ketawa dengan aksi terkejut Sharnaaz itu. Kemudian, saya lihat wajah Sharnaaz terus berubah dan dia terus datang dan menengking ke arah saya secara tiba-tiba. Ternyata tindakannya itu agak mengejutkan dan membuatkan kru yang lain terus terdiam.

Anda rasa apakah yang membuatkan Sharnaaz tiba-tiba menengking anda?

Sehingga kini saya tidak tahu puncanya dan masih tertanya-tanya dengan tindakan yang dilakukannya itu. Lagipun bukan saya seorang sahaja yang ketawa, malah kru produksi lain turut ketawa. Lebih menghairankan lagi selepas bertindak sedemikian, boleh pula dia bergurau dengan Nelydia Senrose. Saya pula tidak mampu berkata apa-apa dan menggigil serta beristighfar akibat ketakutan. Kalau ada sebarang perkara yang membuatkan dia berasa tidak puas hati dengan saya, sepatutnya dia datang berjumpa saya dan menjelaskan perkara sebenar. Bukannya dengan cara menengking saya di hadapan pelakon dan kru produksi lain.

Apakah yang membuatkan anda membuat laporan polis?

Selepas kejadian itu saya ada menceritakan perkara tersebut kepada suami. Kemudian suami ada menghubungi Sharnaaz menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan penjelasan tentang tindakannya menengking saya.

Bagaimanapun, laporan polis terpaksa dibuat pada 22 Februari lalu setelah Sharnaaz menghantar SMS berbaur ugutan dan ia terpaksa dilakukan demi keselamatan keluarga setelah berbincang dengan suami.

Monday, February 24, 2014

Nora nafi beli barangan hantaran kahwin

Timbul desas-desus mendakwa pelakon sensasi, Nora Danish sudah bersiap-sedia untuk melangsungkan majlis perkahwinannya dengan teman rapatnya, Nedim Nazri.

Cerita itu tersebar apabila Nora dan Nedim didakwa sudah membeli barang hantaran menjelang hari bahagia mereka lewat bulan lalu.

Nora, 31, bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan memberitahu, dia masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

"  Mana ada saya membeli barangan hantaran (ketawa). Kalau saya berkahwin pun, rasanya, saya tidak perlukan barang hantaran. Memandangkan saya sudah ada pengalaman, jadi perkahwinan kali kedua ini akan berlangsung dalam suasana yang sangat sederhana sahaja", kata Nora.

Sederhana yang bagaimana? Sudi Nora jelaskan serba sedikit?

Mungkin saya akan bernikah dahulu dalam majlis yang kecil, dan selepas itu bercadang mahu bawa keluarga saya keluar negara untuk acara makan-makan. Sebenarnya, memang sudah lama saya mengimpikan untuk mengadakan majlis di tepi pantai. Tapi tidaklah jauh sangat, mungkin dekat-dekat saja sebab kena pertimbangkan tetamu yang akan turut serta nanti.

Jika sudi dikongsikan bersama, di manakah lokasi impian Nora?

Saya sukakan Bali, Indonesia. Rasanya tempat itu sudah menjadi seperti rumah kedua saya. Pernah saya ke sana semata-mata untuk makan dan pulang pada hari yang sama. Saya juga sukakan Phuket, Thailand tapi untuk majlis ini saya belum terfikir lagi.

Thursday, February 20, 2014

'Saya belum bersedia untuk berkahwin lagi' - Norish Karman

“SAYA akui ramai jejaka yang cuba mendekati saya. Tapi, secara jujurnya, saya belum bersedia untuk berkahwin lagi,” bicara bintang fi lem Sayang Salmah, Norish Karman ketika ditanya mengenai perkembangan dirinya.

Aktres berusia 39 tahun itu turut mengakui ada menerima pinangan daripada jejaka yang jauh lebih muda daripada usianya.

Bahkan, katanya, ada juga jejaka-jejaka yang menghantar ibu bapa mereka untuk meminang dirinya.

Bagaimanapun, kata pelakon drama bersiri Love You Mr Arrogant ini, dia terpaksa menolak semua pinangan tersebut atas sebab-sebab yang tertentu.

“Saya menolak semua pinangan mereka dengan baik. Fokus saya kini adalah pada anak-anak dan soal kerjaya. Buat masa ini, saya tak mahu mencari pengganti lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH2013).

Meskipun begitu, katanya, dalam menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, dia sering diusik oleh anak-anaknya supaya mencari teman hidup yang baharu.

“Sesiapa saja boleh jadi calon suami saya. Asalkan dia seorang yang ikhlas menerima saya dan anak-anak. Cuma, buat masa ini saya selesa dengan kehidupan saya kini,” jelas pelakon drama Spa Q ini.

Wednesday, February 19, 2014

Suhaila Dakwa Jimmy Tak Mampu Jaga Anak

Bekas isteri kepada pengacara dan penyampai radio, Jimmy Shanley, Nur Suhaila Eliani Suhaimy, memberitahu mahkamah bahawa bekas suaminya itu tidak mampu menjaga anak mereka dengan baik dalam prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam,  Mawardi Che Mat.

Zahra Rania Shanley, 3, yang masih terlalu muda menjadikan hak bermalam tidak sesuai diberikan kepada bekas suaminya di samping bimbang anaknya trauma jika tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

“Dia pernah dimasukkan ke hospital gara-gara penyakit yang dihadapi sejak Oktober 2012,” ujar Nur Suhaila Eliani memberitahu mahkamah, anaknya turut mengidap penyakit Bronchiolitis iaitu penyakit yang menyebabkannya demam, batuk, selesema dan sesak nafas.

Dalam pada itu, Suhaila turut mempersoalkan cara bekas suaminya meluangkan masa memandangkan lelaki itu bekerja di stesen radio UFM pada setiap Rabu dan Khamis bermula jam 6 hingga 10 pagi.

Pun begitu, Suhaila tidak menafikan hak Jimmy melawat dan bersama- sama anak mereka pada masa yang dipersetujui iaitu 10 pagi sehingga 6 petang.

Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Mawardi Che Mat ditangguh sehingga 21 Mei depan.

Tuesday, February 18, 2014

Ahli perniagaan Calon Suami Hanez Suraya


Tersebarnya berita perkahwinan aktres cantik, Hanez Suraya Abdul Aziz, pelakon drama Love You Mr Arrogant ini mengambil keputusan untuk terus mengunci mulut mengenai perkara itu.

Mengakui akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini, Hanez bagaimanapun lebih selesa untuk merahsiakannya terlebih dahulu. "Tarikh dan tempatnya dah ada, tapi saya benar-benar belum bersedia untuk memberitahunya pada umum.

"Tapi, jangan risau. Saya akan umumkannya juga apabila tiba masanya nanti," katanya.

Bukan sengaja untuk berahsia, jelas Hanez, tindakan itu dibuat lantaran tidak mahu sebarang perkara tidak elok berlaku di kemudian hari.

"Fokus saya kini adalah pada soal kerjaya, jadi cerita-cerita macam ini tak perlulah dihebohkan," jelasnya.

Turut merahsiakan perihal jejaka yang berjaya mencuri hatinya itu, anak jati Kuala Lumpur ini bagaimanapun mengakui jejaka itu bukanlah dari kalangan orang kenamaan.

"Dia hanyalah orang biasa. Dia seorang ahli perniagaan dan berumur 34 tahun.

"Kami berkenalan menerusi seorang rakan. Bermula sebagai kawan, dan akhirnya kami menjadi rapat.

"Proses itu menjadi cepat mungkin kerana masing-masing sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya (perkahwinan)," kata aktres berusia 29 tahun itu.

Tambahnya lagi, keluarga turut menggesa agar mereka segera berkahwin.

"Kedua-dua keluarga sangat senang dengan perhubungan kami. Merekalah yang mencadangkan agar kami cepat kahwin. Lebih-lebih lagi apabila saya seorang selebriti, takut jika ada yang berniat kurang baik pada kami. Doakan saya agar semuanya dipermudahkan," katanya yang sudah lama bersedia untuk menamatkan zaman bujang.

Monday, February 17, 2014

Che Ta tak sanggup dimadukan


PELAKON Rozita Che Wan mengakui dia tidak sanggup menerima kenyataan sekiranya dimadukan seperti yang dilalui segelintir wanita.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 41, bagaimanapun berkata, dia yakin suaminya, Zain Saidin, 30, seorang lelaki baik yang tidak mungkin terniat untuk berbuat demikian terhadapnya.

“Dalam kehidupan saya sebelum ini pun saya mengelak dan minta simpang dijauhkan untuk merampas suami orang. Tapi kalau ditakdirkan suatu hari nanti ia terjadi, saya terima.

"Nak buat macam mana kalau kita mengelak tetapi suami buat hal juga, reda saja. Tapi saya yakin Zain tak akan jadi sebegitu. Insya-ALLAH,” katanya.

Menurut Che Ta, dia hanya sanggup dimadukan dalam watak rekaan yang dilakonkannya.

Baru-baru ini, dia terbabit menjayakan sebuah telefilem khas terbitan Zeel Production berjudul Madu bersama barisan pelakon lain iaitu Zamarul Hisham, Shahrizal Jaszle, Syatilla Melvin, Aishah Ilias dan Ezzaty Abdullah.

Telefilem arahan Joeza itu mengisahkan Anita, lakonan Che Ta, yang sanggup mencarikan calon isteri buat suaminya, lakonan Zamarul.

"Mungkin selama ini kita lihat ada golongan suami yang suka bermadu sama ada secara diam atau memohon kebenaran tetapi drama ini memaparkan kisah yang jarang terjadi apabila si isteri yang merelakan dirinya untuk dimadukan.

“Tapi syaratnya, Anita kena tentukan siapa calon madu yang sesuai untuk suaminya. Tapi yang dirancang tak menjadi seperti yang diharapkan," ujarnya dipetik sebuah portal.

Madu akan ditayangkan malam ini pada jam 10 malam, di saluran TV3, menerusi slot Festival.

Sementara itu, ditanya pula mengenai perkembangan dirinya yang mungkin sudah berbadan dua, Che Ta menafikannya dan menganggap dia dan Zain yang berkahwin pada 11 Disember lalu masih lagi belum mempunyai rezeki anak.

“Saya belum mengandung. Belum ada rezeki lagi. Tapi saya dan suami mengharapkan yang terbaik untuk itu. Kini pun kami masih dalam 'mood' berbulan madu," tuturnya.

Friday, February 14, 2014

Zara Zya tak lupa diri


Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd. Zainuddin itu secara tiba-tiba meraih populariti menggunung.

Ia tercetus selepas kemunculannya pada tahun lepas menerusi drama bersiri Love You Mr. Arrogant yang berjaya meraih jumlah penonton mencecah 4.6 juta orang.

Biarpun dia kini sudah meniti tali populariti, Zara, 29, bagaimanapun merasakan dirinya masih belum layak untuk bergelar pelakon popular.

Malah, dia mengakui, dirinya boleh dikatakan masih terlalu mentah dalam dunia lakonan jika hendak dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang sudah lama berkecimpung dalam industri lakonan tanah air.

Biarpun merendah diri, namun keupayaan Zara menggondol trofi Anugerah Meletop Era 2014 baru-baru ini menerusi kategori Top Top Meletop Era, akhirnya membuktikan dirinya kini sudah mula mendapat tempat dan dikenali ramai.

Namun, kejayaan tersebut tidak dapat memadamkan perasaan takut daripada muncul dalam hati pelakon berkulit sawo matang itu,

Malah, Zara bimbang impak daripada kenaikan mendadak popularitinya dalam masa terdekat ini akan menyebabkan dirinya dipandang sebagai seorang artis yang sombong.

"Saya tidak pernah meletakkan bayaran yang tinggi ataupun demand jika saya dirisik oleh mana-mana syarikat produksi.

"Bagi saya, cukuplah sekadar bayaran yang diterima setimpal dengan usaha yang ditaburkan, itu pun sudah sangat memadai bagi saya.

"Walaupun kini saya diterima oleh peminat, saya menganggap ia satu penghargaan kepada saya untuk terus berusaha keras dan memberi yang terbaik kepada peminat," ujarnya yang sudah menapak lima tahun dalam bidang lakonan.

Pada majlis anugerah yang julung-julung kalinya dianjurkan itu berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, Zara turut berjaya memenangi kategori Artis Baru Meletop menewaskan Azhael AF 2013, Faizul AF 2013, Syafiq Kyle dan Risteena Munim.

Dua kemenangan tersebut sekali gus membolehkan Zara membawa pulang wang keseluruhan berjumlah RM15,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Thursday, February 13, 2014

Fenomena Ariana Rose


DRAMA Ariana Rose telah mencetuskan fenomena luar biasa di kalangan penonton apabila setiap kali drama siri ini bersiaran, ia berjaya mencatat kadar keseluruhan tontonan sebanyak 2.7 juta penonton.

Drama arahan Raja Alauddin Shah hampir sampai ke kemuncaknya malam ini.

Dibintangi ramai pelakon handalan seperti Keith Foo, Nur Fathia, Hisyam Hamid, Nabila Huda, Arja Lee dan ramai lagi.

Drama 28 episod yang akan melabuhkan tirainya hari ini mengisahkan tentang Ariana Rose yang menyamar sebagai kekasih Tengku Adam ketika di majlis pernikahan Tengku Adam dan Tengku Juwita dengan tujuan untuk menggagalkan perkahwinan itu.

Malah pengakuan palsu Ariana itu ternyata telah memporak-perandakan majlis tersebut sehingga Tengku Adam berang dengan keadaan yang berlaku kerana dia memang tidak mengenali gadis itu.

Demi mengetahui kebenarannya, Tengku Adam mengupah pengintip upahan untuk menyiasat siapakah wanita yang telah melakukan pembohongan di majlisnya itu.

Setelah berjaya mendapat maklumat tentang Ariana, Adam nekad menculik Ariana dan kemudian, Tengku Adam meragut kesucian Ariana.

Pelbagai konflik melanda mereka sehingga dipertemukan sebagai suami isteri.

Menurut penerbit drama tersebut, Ziela Jalil berkata, drama tersebut merupakan adaptasi daripada buku The Wedding Breaker karya Evelyn Rose.

"Menyedari sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton, kami tidak pernah merancang untuk menyambung drama ini.

"Biarpun novel ini ada sambungannya, namun drama Ariana Rose tiada kesinambungan selepas ini," katanya ketika ditemui dalam tayangan eksklusif Ariana Rose, kelmarin.

Wednesday, February 12, 2014

Stacy hidap H1N1

MELALUI kemas kini status akaun Twitter peribadi milik Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 24, penyanyi itu mengesahkan bahawa dia telah dijangkiti virus Influenza A (H1N1) atau lebih dikenali sebagai wabak selesema burung.

Berita mengenai penyakit berbahaya yang dihidapinya sungguh memeranjatkan kerana pelantun lagu Bosan itu kelihatan sihat sewaktu mengadakan persembahan pada malam penganjuran Anugerah MeleTOP Era baru-baru ini.

“Betul, saya dijangkiti virus influenza A,” jelas Stacy dengan nada sayu sewaktu dihubungi Kosmo! semalam.

Ujarnya, dia kini berada di kampungnya, Penampang, Sabah untuk berehat dengan harapan penyakitnya itu sembuh dalam masa terdekat. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Stacy.

" Saya mula demam, batuk dan selesema sejak beberapa hari sebelum membuat persembahan pada malam anugerah MeleTOP Era. Ketika itu, saya anggap hanya demam biasa sahaja. Walaupun saya telah makan ubat, namun, suhu badan tetap tidak turun. Jadi, pada malam tersebut, saya terpaksa menggagahkan diri untuk mengadakan persembahan.

Jadi, bila anda pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan?

Saya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan pada hari Ahad lalu. Ketika itu, demam yang saya alami masih kuat, tekak pula semakin perit dan sendi-sendi terasa sungguh ngilu. Badan saya berasa sangat sakit sehingga saya tidak mampu untuk bergerak. Doktor di klinik tersebut mengesahkan bahawa saya dijangkiti virus Influenza A.

Anda membawa anak anda bersama pulang ke Sabah?

Ya, saya ada membawa Bella bersama. Tujuan kami balik ke Sabah kerana ingin menyambut hari lahir Bella pada 14 Februari ini. Saya sangat berharap agar Bella sihat dan tidak dijangkiti virus yang sama.

Adakah anda pernah mendapatkan sebarang suntikan vaksin untuk menghalang dijangkiti virus berkenaan beberapa tahun lalu?

Ya, sewaktu virus H1N1 melanda negara tidak lama dahulu, saya ada mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan dijangkiti penyakit itu. Saya kurang pasti mengapa saya masih berisiko untuk dijangkiti virus berkenaan.

Buat masa ini, apa langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan risiko jangkitan pada orang lain?

Sekarang saya mengikuti nasihat doktor dengan banyak berehat di kampung. Suhu badan mulai turun dan saya juga dimestikan untuk memakai topeng muka setiap masa agar virus ini tidak berjangkit dengan ahli keluarga yang lain.

Monday, February 10, 2014

MISHA OMAR: Memohon fitnah dirinya pernah berkahwin sebagai isteri ketiga dihentikan...

ASSALAMMULAIKUM pembaca budiman. Saya, Misha Omar meminta maaf andainya surat terbuka ini mengganggu hari kalian. Ada sesuatu yang ingin saya sampaikan buat semua kalian yang budiman. Sebagai anak seni yang telah lebih 12 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, dilempar nista dan dihina atau diserang gosip itu lumrah buat saya. Selalunya, saya menghalalkan semua yang datang kepada saya dengan pemikiran ia peluru permainan padang kerja yang sedang saya lalui.

Namun, saya minta maaf kerana kali ini saya tidak dapat bertahan dengan tohmahan yang saya anggap satu fitnah besar buat saya dan keluarga yang datang daripada status Facebook seorang individu wanita hujung minggu lalu.

Benar, ini bukan pertama kali isu kononnya saya pernah berkahwin dan menjadi isteri ketiga seorang usahawan ditumbulkan. Malah, ia juga bukan pertama kali saya jelaskan dengan sebaik mungkin bahawa ia hanya satu gosip tidak berasas.

Bagaimanapun, pada saat saya baru mengumumkan berita baik tentang niat mendirikan rumah tangga, nampaknya masih ada pihak yang berasa saya sedang menipu umum.

Saya menjadi sangat terkesan kerana status tersebut secara terang-terangan memfitnah saya.

Demi Allah, entah buat berapa kali perlu saya menafikan hal yang serupa iaitu saya tidak pernah bernikah. Saya tidak pernah menjadi isteri ketiga seorang jutawan. Maka dengan rasmi saya juga tidak pernah memegang status janda!

Apa dosa saya apabila saya ingin mendirikan rumah tangga dengan tunangan saya, Firos pada bulan Mei ini, saya dihukum dengan fitnah seperti ini?

Puan, anda pasti tersenyum bangga sekarang ini apabila status puan menjadi bualan hangat dan saya berharap agar tercapailah keinginan puan untuk menjatuhkan maruah diri saya dan keluarga saya.

Mana mungkin puan tidak pernah terfikir apakah kemungkinan yang akan terjadi kepada saya apabila puan dan rakan-rakan puan dengan sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah terhadap diri saya tanpa mengambil kira tentang kebenaran sesuatu fakta yang puan dengar mahu pun terima daripada sumber-sumber yang puan percayai itu.

Dengan ini, saya mencabar pihak puan jika masih mahu mempertahankan apa yang puan dakwa, saya mohon puan kemukakan bukti yang menunjukkan saya ini pernah berkahwin.

Jika permintaan ini terlalu berat bagi pihak puan maka puan boleh membawa kedua-dua saksi yang ada ketika saya diijabkabul. Ini kerana wali saya baru saja dijemput Ilahi.

Juga, jika sesiapa di luar sana masih meragui status saya, saya juga mahu kalian tampil bersama bukti.

Sejujurnya, surat ini dilayangkan bukanlah bertujuan untuk memalukan puan atau sesiapa yang terlibat memberi pandangan tidak bertanggungjawab terhadap fitnah yang disebarkan.

Sebaliknya, saya terpanggil untuk mempertahankan hak saya dan rakan-rakan artis yang lain. Masyarakat hari ini dengan mudah melemparkan fitnah terhadap kami. Kemudahan teknologi disalah guna tanpa menyedari pernyataan-pernyataan yang dikeluarkan merosakkan reputasi kerja dan maruah kami

Jika hal sebegini terus didiamkan, saya kira maka akan menularlah penyakit fitnah siber dalam kalangan masyarakat kita. Bagaimana kita mahu menanganinya nanti? Sihatkah aktiviti ini untuk generasi yang akan datang? Pernahkah kita terfikir bahawasanya suatu hari nanti anak-anak kita akan terbaca apa yang kita tulis pada hari ini?

Hormatkah lagi mereka kepada kita bila mereka mengetahui apa yang pernah kita lakukan? Dan pernah kita terfikir, apakah impaknya kepada anak-anak kita bila rakan-rakan mereka bertanyakan apa yang telah kita tulis atau lakukan?

Akhir sekali saya mohon agar kita semua mengambil iktibar daripada kejadian ini. Adakalanya sebelum kita memperkatakan tentang sesuatu perkara berkenaan dengan seseorang individu itu, ada baiknya kita cuba meletakkan diri kita di tempatnya dan apakah impak yang bakal diterimanya nanti.

Betul pepatah orang tua-tua, 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar'.

Sebelum saya akhiri surat ini, saya ingin tegaskan sekali lagi saya memang belum pernah berkahwin. Juga, ingin saya tegaskan tentang permintaan bukan wang ringgit untuk mas kahwin atau hantaran pada majlis saya nanti, bukan bermakna saya jahil atau membelakangkan adat yang selalunya menggunakan wang ringgit, namun ia lebih kepada menyerahkan seberapa ikhlas bakal keluarga lelaki saya mahu memberi kepada saya.

Wallahulam,
Misha Omar

Sunday, February 9, 2014

Emma, Zizan jawab isu bersekedudukan ?


Reda dengan gosip bercium dalam kapal terbang sekitar bulan Januari lalu, terkini timbul pula gosip yang mendakwa Zizan Razak dan Emma Maembong bersekedudukan.

Gosip berkenaan mula tersebar selepas sebuah portal hiburan yang mendakwa menerima sepucuk surat daripada jiran Zizan yang mendedahkan pengacara popular itu tinggal serumah dengan pelakon jelita tersebut.

Walaupun si pengirim surat itu tidak menyatakan nama kedua-duanya, namun ramai yang meneka mereka ialah Zizan dan Emma.

" Saya terkejut kenapa jiran saya buat macam itu. Kenapa beritahu kepada portal. Kenapa tidak tegur saya sendiri. Baru habis kes bercumbu, kini timbul pula gosip bersekedudukan pula. Tidak habis-habis!

Adakah benar seperti apa yang didakwa jiran Zizan itu?

Saya kenal jiran saya. Jiran mesra dengan saya. Saya juga tidak rasa jiran saya buat macam itu. Saya mengakui Emma pernah datang rumah tetapi ketika ibu dan abang saya ada. Mana mungkin (Emma datang) ketika orang lain tidak ada di rumah saya. Kami tidak akan buat seperti itu (bersekedudukan), sebab saya dan dia dikenali umum.

Apakah perasaan Zizan apabila satu persatu cerita tidak baik mengenai kalian timbul?

Saya sudah tidak tahu hendak cakap apa. Kalau betul hendak tegur kenapa tulis macam itu. Kenapa hendak hantar kepada portal? Pada saya, kalau niat macam itu memang hendak jatuhkan saya.

Cara dia tulis macam islamik tetapi kalau dia betul-betul islamik, jika mahu tegur (tentang sesuatu), lebih baik secara berbisik berbanding didedahkan kepada orang lain. Sebaliknya, dia menyebarkannya pula. Datanglah tegur saya secara profesional.

Saya tidak tipu bahawa memang Emma ada datang (ke rumah). Saya juga ada datang ke rumah Emma tetapi keluarga masing-masing ada ketika itu.

Jangan buat macam ini. Kalau betul kami buat begitu, pasti kami akan coverline (berselindung). Ini pada siang hari pula. Tak logik saya buat macam itu.

Saturday, February 8, 2014

Wan Sakinah jelas isu tayang perut


Minggu lalu, isu tayang perut atau ‘baby bump’ oleh isteri kedua pelakon Ashraf Muslim telah menarik perhatian ramai.

Tindakan Wan Sakinah memuat naik sekeping gambar ‘baby bump’ itu ke laman Instagram milikinya, nyata mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Lebih mengejutkan ada di kalangan mereka menyifatkan tindakan Sakinah itu keterlaluan kerana gambar perut yang ditayangkan itu agak kurang manis dan mungkin menyinggung perasaan madunya, Dayana.

Melihatkan keadaan itu, Sakinah tidak berdiam diri malah tampil menjelaskan perkara yang sebenar di mana bukanlah niatnya untuk menayang sebaliknya sekadar berkongsi rasa teruja dengan kehamilannya itu.

“Salam untuk sahabat, stalkers & haters. Maaf pasal gambar 'tayang perut' saya ini.

Terlalu teruja tengok perut boyot sebab itu upload.

"Bukannya nak show off kerana orang lain juga mengandung.

"Sebelum ini, pantang perut buncit saya akan ke gym, jogging, senaman.

"Tapi sekarang rasa lain, bila tahu hamil seronok tengok perut membesar," antara katakatanya menerusi laman sosial tersebut.

Sebagai insan biasa, kita seharusnya mendoakan kebahagiaan mereka dan bukannya meruntuhkan masjid yang telah terbina.

Senang cerita, buang yang keruh dan ambil yang jernih.

Friday, February 7, 2014

Syamsul-Sarah nikah 8 Mac

PASANGAN selebriti, Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana, bakal melangsungkan pernikahan pada 8 Mac ini. Berita baik ini disahkan oleh ibu Syamsul, Datin Patimah Ismail menerusi sebuah portal berita.

Menurut Patimah, majlis pernikahan Syamsul dan Puteri Sarah bakal berlangsung di Masjid Sri Damansara pada jam 10 pagi.

Pada malamnya pula, pasangan ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi oleh pihak perempuan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, yang bertemakan Islamic Arabian Night.

“Syamsul sendiri yang berhajat untuk mengadakan majlis perkahwinan dengan tema itu kerana ingin memakai jubah pada hari bahagianya dan berharap semua perkara akan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Datuk Yusof Haslam yang dihubungi Zass memberitahu, segala urusan perkahwinan anaknya itu diserahkan kepada isterinya dan beliau berharap segalanya akan berjalan lancar.

"Soal perkahwinan mereka, Datin (Patimah) yang lebih tahu. Saya serahkan segalanya kepada dia. Saya hanya memantau dan mengharapkan yang terbaik untuk majlis perkahwinan anak-anak kami," kata Yusof.

Dalam pada itu, majlis resepsi sebelah pengantin lelaki pula akan diadakan pada 18 April depan, di Dewan Perdana Felda, pada jam 8 malam.

Selain Syamsul dan Sarah, majlis resepsi itu turut sama meraikan adik Syamsul, Syafiq dan pasangannya, Aiesyah, yang akan melangsungkan perkahwinan pada 5 April depan.

Thursday, February 6, 2014

'Saya sayang kamu berdua'- Ashraf Muslim

Ashraf Muslim bersama isteri-isterinya.

Selebriti popular, Ashraf Muslim yang mengejutkan ramai pihak apabila bernikah kali kedua secara rahsia tahun lalu, memuat naik foto mesra bersama kedua-dua isterinya, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Ashraf yang bakal menunaikan umrah di tanah suci Mekah, memuat naik status dan gambar berkenaan di laman sosial Facebook rasminya pada jam 3 petang semalam.

"Assalamualaikum semua.. saya akan bertolak ke tanah suci sebentar lagi.. syukur bila mendapat sokongan dari kedua-dua isteriku yg kusayangi.. Tq Dayana and Tq Sakinah.. saya sayang kamu berdua.. doakan kita semua bahagia dan juga keluarga kita menjadi bertambah erat.

"Allah akan sentiasa bersama kita. Lagi byk dugaan lagi dekat kita dgn Allah.. InsyaAllah Allah akan dgr doa kita utk menjadi lebih baik.. terima kasih Allah," katanya dalam posting berkenaan.

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata peminat Ashraf gembira melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Noor Dayana dan Wan Sakinah serta berharap hubungan mereka sentiasa dalam bahagia.

"Alhamdulillah... semakin org mengata semakin Allah membahagiakan mereka,” komen seorang peminat, Sharifah Anum Nazri.

Wednesday, February 5, 2014

Hidung baru Ajai bernilai RM28,000

Wajah terbaru Ajai

Komposer dan penyanyi Ajai mengejutkan banyak pihak. Bukan sahaja tampak lebih muda dengan badannya yang semakin sasa, bahkan hidungnya yang berubah semakin mancung turut meraih perhatian.

Bertemu dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, penulis mengamati wajah lelaki yang bakal berusia 40 tahun pada 15 Mac depan ini.

Memang benar, wajah Ajai atau nama sebenarnya, Mohd. Faizal Maas semakin berubah, jika sekali imbas pasti ada yang tidak mengenalinya selain fesyennya yang mengikut trend terkini.

Bakal tampil dengan album kompilasi Republik Ajai dan kini popular dengan lagu Aduh, Ajai tidak melatah mahupun marah apabila diajukan soalan berhubung perubahan imej secara mendadak itu.

Kata Ajai, dia mempunyai sebab yang kukuh untuk mengubah imej dan membedah hidungnya dengan kos RM28,000.

" Memang benar saya menjalani pembedahan menukar batang hidung tetapi bukan untuk kecantikan, sebaliknya keputusan itu diambil selepas tiada jalan penyelesaian terhadap masalah sinus yang saya hadapi.

Mengapakah anda mengambil keputusan drastik untuk membedah hidung?

" Sebenarnya sudah berbelas tahun saya menghadapi masalah sinus dan ia semakin kritikal sejak kebelakangan ini. Puncaknya, suatu hari apabila saya bangun daripada tidur saya dapati telinga sebelah kiri saya tidak boleh mendengar apa-apa.

Jadi, saya terus buat pemeriksaan di hospital dan doktor mengesyorkan untuk saya jalani pembedahan hidung supaya masalah yang sama tidak berulang.

Pilih Mei, Misha Omar enggan tangguh lagi!


SETELAH beberapa kali terpaksa menangguhkan perkahwinannya, pelantun Angin Syurga, Misha Omar akhirnya mengumumkan akan menamatkan zaman bujang bersama tunang tercinta, Firos Ezzwan Rossly, 32, pada Mei ini.

Misha atau nama sebenarnya, Samihah Omar, 32, sebelum ini pernah menangguhkan perkahwinan pada September tahun lalu dan merancang berkahwin pada Februari ini, namun hasrat itu terpaksa dilupakan buat seketika kerana pemergian ayah tercinta.

“Sebelum ini, saya akui emosi tidak menentu kerana diduga dengan pemergian arwah ayah.

“Sepatutnya kami bernikah pada 21 Februari ini tapi kami tangguhkan sebab mahu hormati tempoh edah ibu.

“Tapi dua minggu lalu, ibu saya sendiri telah membuat keputusan untuk menetapkan tarikh pernikahan kami sempena bulan Rejab yang jatuhnya pada Mei ini,” katanya pada majlis minum petang di Restoran Delicious, One Utama, Damansara, semalam.

Tambahnya, tarikh itu ditetapkan kerana enggan menunggu lebih lama dan pada masa sama mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Saya dan keluarga tidak mahu menunggu lebih lama lagi sebab takut ditimpa pelbagai fitnah.

“Kalau diikutkan 21 Februari ini genap dua tahun kami bertunang dan saya rasa Mei ini adalah masa yang sesuai untuk majlis ini dijalankan,” jelasnya.

Majlis pernikahan dan resepsi akan dijalankan di Hotel Renaissence, Kota Bahru, Kelantan pada hari yang sama.

Manakala majlis resepsi dipihak lelaki akan dijalankan di Kuala Lumpur.

Monday, February 3, 2014

Mengimbas kembali sumbangan Produser Julie Dahlan

Produser Julie Dahlan pernah suatu ketika dahulu menerbitkan filem yang menjadi fenomena semasa antaranya Wira Angkasa (1987), Harry Boy (1991), Driving School (1990) dan terakhir Cinta Metropolitan (1996).

Harus diakui bakatnya lebih tertumpu untuk kerja di belakang tabir berbanding menjadi wajah pelaris filem. Namun begitu, filem-filem lakonannya seperti Si Badol (1979), Idola (2002) dan Cicakman 2: Planet Hitam (2008) meninggalkan memoir berharga kepada peminatnya.

Malah, suatu ketika dahulu personalitinya pernah dijadikan bahan sinikal dalam filem Pengantin Popular (1994) yang diarahkan oleh Erma Fatima menerusi watak khas yang dilakonkan oleh Allahyarham Azean Irdawati sehingga mengundang perdebatan hangat.

Sedikit terkilan dengan tindakan berkenaan, ujar Julie atau nama sebenarnya Junaidah Dahlan, 61, dia tidak kisah dijadikan bahan lawak.

“Saya tahu saya bukanlah begitu, jadi saya tidak kisah dijadikan bahan lawak atau dipandang sinis seperti dalam filem Pengantin Popular.

“Memang mulanya saya berkecil hati dengan Erma dan pernah bertikam lidah tapi lama-kelamaan saya sudah boleh melupakan perkara berkenaan dan sekarang kami sudah neutral.

“Walau hati marah tapi saya belajar untuk beralah, bukan bermakna saya mengalah tapi itu satu proses untuk mendidik,” katanya yang ditemui di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pembabitan Julie dalam dunia lakonan bermula dari bawah, pada usia 28 tahun dia mula berjinak-jinak sebagai pelakon tambahan namun bakatnya mendapat banyak kritikan berbanding pujian.

Sejak itu, ibu kepada pelakon Hani Nur Zara itu mula terbabit dalam kerja belakang tabir sebagai kru, penolong pengarah dan akhirnya mengarahkan sendiri filem Kad Cinta (1995).

Mengimbas kembali sumbangannya yang lain kepada industri hiburan, Julie pada dasarnya telah mencungkil nama-nama besar yang kini menjadi primadona filem-filem Melayu seperti Nasha Aziz, Vanidah Imran, Sofia Jane dan Erra Fazira.

“Saya yang rekrut Erra Fazira asalnya untuk berlakon filem terbitan saya, Putera (1995) tapi malangnya ketika itu dia sedang hangat bercinta dengan Awie dan Yusof Haslam pula mengikat Awie dengan kontrak tidak boleh berlakon filem lain selain syarikatnya.

Che Ta teruja hamil lagi!

Cik Ta bersama suami di Bali

Pasangan Rozita Che Wan dan Zain Saidin terbang ke kepulauan Bali, Indonesia untuk bercuti bersama- sama dengan beberapa teman baik mereka.

Pengantin baharu ini masih bercuti ke luar negara dan terbaharu, mereka memilih Bali, Indonesia  dan berkongsi rasa terujanya untuk hamil lagi.

“Saya teruja nak mengandung lagi sebab anak bongsu saya sudah berusia 16 tahun.

“Memanglah risau untuk hamil pada usia begini sebab ia agak berisiko. Tapi Didie Alias ada juga berkongsi tips untuk hamil. Mudah-mudahan ada rezeki untuk saya dan Zain menimang cahaya mata,” tambahnya yang juga mengakui percutian ke Bali merupakan bulan madu kedua.

Saturday, February 1, 2014

Tiket RM480 - RM1,380 persembahan Minggu Setiausaha selama 45 minit

MELETAKKAN harga tiket serendah bernilai RM480 sementara tiket termahal RM1,380 seorang untuk sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang berdurasi 45 minit, ternyata ia percaturan paling bergaya pernah dilakukan Anuar Zain.

Selama ini, penyanyi hanya diundang sebagai pengisi persembahan sempena Minggu Setiausaha yang sering dianjurkan oleh hotel-hotel atau penganjur berpengalaman. Bagaimanapun, untuk tahun 2014, Anuar telah membuka mata banyak pihak.

Penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini itu muncul sebagai satu-satunya artis berkredibiliti yang sanggup mengambil risiko besar apabila memutuskan untuk menganjurkan sendiri persembahan Minggu Setiausahanya.

"Selama ini saya hanya membuat persembahan Minggu Setiausaha anjuran pihak lain. Niat untuk menganjurkan sendiri persembahan sebegitu pernah ada tetapi saya rasa belum mampu melaksanakannya.

"Cuma selepas berjaya mengadakan konsert sendiri, keyakinan saya semakin kuat. Didorong pasukan pengurusan dan publisiti yang berpengalaman, saya mahu melakukannya," jelas penyanyi berusia 44 tahun itu tersenyum bahagia.

Anuar juga tidak gentar saat harga tiket setinggi RM1,380 dikatakan sebagai tiket termahal untuk sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang disambut pada April setiap tahun.

Harga tersebut juga dikatakan dua kali ganda nilainya berbanding konsert yang dilakukan pada tahun lalu dengan harga tiket paling tinggi sebanyak RM698 sahaja.

"Saya percaya semua artis bekerja keras untuk meletakkan diri ke tempat yang sepatutnya mereka berada. Saya rasa harga itu berbaloi dengan skala persembahan yang bakal saya adakan.

"Projek ini satu eksperimental dan juga cabaran besar untuk saya sendiri. Berdasarkan pengalaman lepas, peminat sanggup membayar harga tiket untuk artis yang mahu mereka saksikan.

"Untuk konsert ini, saya boleh janjikan kepuasan ekstra dan satu pengalaman yang membahagiakan buat semua. Saya percaya ramai lagi artis Malaysia boleh jual tiket mahal tetapi harus bersandarkan bagaimana mereka mencorakkan karier mereka selama ini," kata Anuar Zain yang menganjurkan konsert berkenaan menerusi syarikatnya, Anuar Zain Network Sdn. Bhd.

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2