YUSRY (tengah) bersama barisan pelakon filem seram pertama arahannya, Karak. Turut bergambar sama adalah Norman dan Edry Abdul Halim (kanan).
Bakal menjengah pawagam 26 Mei depan, Karak tidak terkecuali daripada menerima sentuhan magis pengarah tersohor, Yusry Abdul Halim yang buat julung-julung kalinya mengarahkan filem seram.
Berkisarkan tentang perjalanan empat sekawan yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan sebelum mereka mengalami kesesakan yang luar biasa sehingga nekad untuk mencari jalan alternatif.
Tanpa disedari, keputusan nekad yang diambil menyebabkan mereka berdepan dengan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan.
Bercerita dengan lebih lanjut mengenai Karak, menurut Norman, filem tersebut digarap berdasarkan kisah yang biasa didengari berkenaan dengan lebuh raya tersebut.
“Kami jahitkan cerita yang pernah berlaku di kawasan tersebut dan kisah yang menjadi buah mulut orang.
“Dalam filem ini juga, ada 10 entiti paranormal yang akan dipersembahkan. Selain itu, kami juga ada membuat beberapa kajian untuk digarap menjadi sebuah filem,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar filem itu di ibu negara.
Ditanya tentang motif sebenar KRU Studios menerbitkan naskhah seram, Norman memberitahu, ia bertujuan untuk mempelbagaikan genre filem terbitan produksinya.
Ujarnya lagi, selain Magika, pihaknya juga akan menerbitkan filem bercorak komedi, penggunaan binatang sebagai objek utama selain genre yang pernah dihasilkan sebelum ini.
“Kalau semua filem yang diterbitkan bercorak sama seperti aksi, seram dan komedi, orang akan jemu,” jelasnya sambil memberitahu jumlah kos yang dikeluarkan untuk Karak adalah antara yang paling rendah iaitu RM1.5 juta.
No comments:
Post a Comment