DARI KIRI, Yazid, Kid, Amy, Nasir dan Nordin bakal memberikan tenaga maksimum untuk Search menggegarkan Tawau dan Kuching menerusi Konsert Fenomena Search 30 Tahun - Jelajah Borneo.
KONSERT Fenomena Search 30 Tahun yang berlangsung di Pulang Pinang (19 November) dan Johor Bahru (3 Disember) ternyata mendapat sambutan yang hangat daripada peminat legenda rock tanah air tersebut.
Malah, konsert yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Disember ini sempena sambutan ulang tahun Search yang ke-30 itu turut akan dibanjiri dengan peminat-peminat mereka.
Bagaimanapun, ia bukanlah kemuncak buat ahli kumpulan tersebut iaitu Amy (Vokalis), Nasir (Gitar bass), Nordin (Gitar kedua), Kid (Gitar utama) dan Yazid (Dram) untuk mengadakan konsert pada tahun ini.
Sebaliknya, hanya selepas seminggu berakhirnya konsert di Kuala Lumpur nanti, mereka akan diterbangkan pula ke dua buah negeri iaitu di Sabah dan Sarawak untuk menghiburkan peminat mereka di sana.
Dianjurkan bersama oleh Universal Credential Sdn. Bhd. dan Nova Music (M) Sdn. Bhd., Konsert Fenomena Search 30 Tahun - Jelajah Borneo itu akan berlangsung di Kompleks Sukan Tawau, Sabah (24 Disember) dan Stadium Negeri Kuching, Sarawak (31 Disember).
Pada sidang akhbar baru-baru ini, Datin Nirvana Jalil Ghani selaku wakil Universal Credential Sdn. Bhd. memberitahu penganjuran konsert di kedua-dua, buah negeri tersebut adalah mahu memberi peluang kepada peminat untuk meraikan bersama ulang tahun Search yang sudah bertapak dalam industri muzik selama 30 tahun.
“Ini adalah merupakan kesinambungan kepada siri jelajah konsert yang diadakan di tiga buah negeri Semenanjung Malaysia, walaupun ia dianjurkan oleh pihak yang berlainan.
“Lagipun usaha kami untuk menganjurkan konsert di Sabah dan Sarawak adalah bagi memenuhi permintaan peminat di sana yang sudah lama menantikan persembahan secara langsung oleh Search,” jelasnya.
Menurut Nirvana, para peminat yang ingin menyaksikan konsert tersebut tidak perlu risau kerana harga tiket yang telah ditetapkan sangat murah dan berbaloi iaitu RM25 sahaja.
Ujarnya, dengan harga tiket tersebut pihaknya sangat berharap agar peminat legenda rock tanah air itu dapat hadir beramai-ramai memandangkan ia mampu menampung sehingga 30,000 orang.
No comments:
Post a Comment