Akhil Hayy bersama isterinya Waheeda
TIDAK dinafikan sebelum pengacara rancangan keagamaan, Akhil Hayy, 43, diijabkabulkan dengan pelakon dan penyanyi Waheeda, 33, pelbagai kontroversi yang pernah melanda mereka.
Namun, semua kontroversi yang membabitkan pasangan tersebut terus lenyap sama sekali sebaik sahaja mereka mendirikan rumah tangga Ogos 2008. Pada waktu itu, Akhil baru sahaja sebulan bergelar duda.
Malah, sejak bergelar isteri, ternyata Waheeda mengambil keputusan drastik untuk mengundur diri daripada bidang seni, manakala Akhil pula sudah acap kali terbabit dengan pelbagai program keagamaan di saluran Astro Oasis.
Waheeda yang ditemui sewaktu sidang media episod kemuncak program Imam Muda 3 yang diadakan di Bukit Jalil baru-baru ini meluahkan dia sangat merindui dunia hiburan tempatan.
"Boleh dikatakan sudah tiga tahun saya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti hiburan sama ada berlakon atau menyanyi. Bagaimanapun, perasaan rindu sewaktu bergelar artis dahulu masih tetap dirasai.
"Lagipun sehingga sekarang saya masih lagi berhubung dengan beberapa orang rakan artis dan saya tumpang gembira dengan kejayaan mereka dalam kerjaya masing-masing," ujarnya yang popular menerusi lagu Wassini itu.
Walaupun mengambil keputusan untuk mengundurkan diri kerana mahu memberi fokus kepada kehidupan berumah tangga, Waheeda menjelaskan ia tidak bermakna dia melupakan terus segala aktiviti seni.
Ujarnya, buat masa ini dia sedang membantu suaminya, Akhil dalam proses untuk menerbitkan album baharu. Malah, dalam album tersebut dia bertindak sebagai komposer dengan menyumbang dua buah lagu.
"Sebelum bersara dahulu, saya sudah 10 tahun terbabit dalam bidang seni. Kini saya masih boleh memberi sumbangan dalam bidang muzik menerusi penciptaan lagu, meskipun sudah tidak menyanyi lagi," ujarnya.
No comments:
Post a Comment