Nabila dan Keisa Laila
BULAN Oktober mungkin meninggalkan kenangan pahit buat Nabila Huda. Sudahlah dirinya terpalit kontroversi baju digayakan pada malam Anugerah Blockbuster 6 Oktober lalu.
Beberapa hari kemudian, bertebaran pula gosip hubungan cintanya dengan aktor Johan As'ari sudah berakhir kerana tidak mendapat restu keluarga. Namun yang melucukan, mereka tidak pernah bercinta, sebaliknya hanya berkawan rapat.
Namun, semua kontroversi dan spekulasi itu, dijawab Nabila dengan tenang. Bagaimanapun, baru sahaja reda seketika, Nabila sekali lagi menjadi perhatian apabila beberapa keping gambarnya yang dikatakan menyambut hari 'Halloween' bertebaran di Internet.
Ternyata, kesabaran anak kepada penyanyi rock Malaysia, Amy Search ini bagai diuji.
Nabila menerusi laman sosial Twitter miliknya berkata, gambar berkenaan bukanlah gambar sambutan Halloween kerana seperti sedia maklum tradisi perayaan Halloween disambut pada malam 31 Oktober.
Bagaimanapun, parti dihadirinya itu adalah parti hari jadi yang bertemakan 'costume party' dan tidak ada kena mengena langsung dengan Halloween.
"Halloween disambut pada 31 Oktober dan parti kawan saya pada malam 28 Oktober," katanya.
Nabila turut mengakui bengang dengan tindakan sesetengah pihak yang mengambil gambar dari laman sosialnya tanpa keizinan dan seterusnya memanipulasi gambar tersebut dengan kenyataan yang salah.
"Mereka sepatutnya bertanya kepada saya terlebih dahulu dan bukan mengambil gambar itu dan buat andaian sendiri," ujarnya.
No comments:
Post a Comment