NUFFNANG ADS

Tuesday, January 31, 2017

Asmidar makin popular di Indonesia


PENYANYI Asmidar mengakui bukan mudah menempatkan diri dalam bidang seni suara meskipun sudah lebih 15 tahun mencuba nasib.

Mungkin ramai tidak tahu, pelantun lagu Biar Sampai Ke Bintang ini pernah menyandang gelaran Naib Juara Bintang RTM (2001) di mana ketika itu dia bertanding bersama Azharina, Misha Omar, Sarah Raisudin dan Farawahida.

Walaupun agak lambat dikenali berbanding rakan-rakan seangkatannya itu, Asmidar atau namanya penuhnya, Norhasmidar Ahmad tidak sesekali putus asa mahupun usaha untuk membuktikan bakatnya sekali gus menyumbang sesuatu dalam bidang seni.

“Sebenarnya bukan saya seorang sahaja yang berada di dalam situasi ini, tetapi ramai juga rakan-rakan artis yang berdepan dengan cabaran seperti ini. Biarpun berbakat dan sudah lama berada dalam bidang seni namun nama masih belum begitu dikenali.

“Saya anggap masih belum rezeki untuk menyerlah sebagaimana orang lain namun itu tidak bererti akan berhenti berusaha untuk menonjolkan bakat sehingga dilihat dan diterima peminat,” katanya yang juga dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu asli dan tradisional.

Siapa sangka penyertaannya di dalam pertandingan nyanyian dangdut D’Academy Asia di Indonesia baru-baru ini membuka lembaran baru dalam kerjaya seninya apabila berjaya mencuri perhatian peminat di negara tersebut.

“Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka mendapat sedikit perhatian daripada peminat di sana walaupun tidak berjaya melangkah ke peringkat akhir.

“Pada mulanya ingatkan biasa-biasa sahaja, namun minggu demi minggu sokongan yang diberikan semakin kuat sehingga ada yang menubuhkan kelab peminat yang dikenali sebagai Asmidarling,” ujarnya yang berjaya menempatkan diri sehingga ke peringkat Top 12.

Biarpun tidak berjaya ke peringkat akhir, Asmidar mula mendapat pelbagai tawaran mengadakan persembahan di negara tersebut membuatkan penyanyi ini sering berulang-alik Kuala Lumpur-Jakarta.

“Jalan sudah ada, semestinya saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diperoleh dan cuba dengan sebaik mungkin untuk mengembangkan bakat.

“Ketika menyertai pertandingan tersebut, saya juga sempat bertemu dengan beberapa penerbit dan komposer dari sana yang menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama, sekali gus membantu menembusi pasaran Indonesia.

“Buat masa ini saya sedang menyusun beberapa perancangan sebagai persiapan untuk ke sana, selain bekal sokongan daripada peminat yang mengikuti perkembangan menerusi pertandingan D’Academy Asia, ” katanya lagi.

Ceburi bidang lakonan, pengacaraan

Melengkapkan perancangan itu juga, Asmidar kini dalam proses mencari syarikat pengurusan untuk membantu memudahkan perjalanan kerjaya seninya di sana.

“Selepas tidak lagi bersama Warner Music, saya cuba menguruskan kerjaya seni sendiri dalam usaha belajar selok-belok industri, namun untuk permulaan kerjaya di Indonesia ini, rasanya adalah lebih baik bergerak bersama syarikat pengurusan.

“Buat masa ini segalanya masih di peringkat perbincangan, namun berharap segalanya berjalan lancar dan kami dapat memulakan langkah dalam masa terdekat sementara sokongan peminat masih ada,” ujarnya.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2