Shila Amzah bersama tunangnya.
PENYANYI Shila Amzah memberitahu majlis pernikahan bersama pasangan pilihan hati, Haris Idraki akan dilangsungkan pada 19 April ini.
Bagaimanapun, tarikh resepsi tidak dimaklumkan lagi dan hanya akan diumumkan kelak.
“Walaupun sibuk dengan jadual yang padat untuk karier saya, saya juga sibuk dengan persiapan perkahwinan saya yang akan berlangsung 19 April ini.
“Sebagai penggiat seni, saya akur dengan ketetapan untuk berulang alik terutamanya ke China kerana saya juga perlu memenuhi permintaan di sini,” katanya kepada Astro Awani.
Terdahulu Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amzah, 27, telah mengikat tali pertunangan dengan Haris Idraki, 28, pada 3 November lalu di kediaman keluarganya di Cheras.
Dalam pada itu, Shila merupakan salah seorang rakyat Malaysia yang berjaya melakar nama dalam senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2018.