ELEGAN. Barisan aktor kacak yang bakal memperaga sut tajaan Lord's Tailor pada FFM23 (dari kiri), Rusdi Ramli, Syamsul Yusof, Kamal Adli, Afdlin Shauki, Zizan Raja Lawak, Fizo Omar, Que Haidar dan Zamarul Hisham.
MALAM kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang bakal berlangsung Ahad ini sudah pasti menimbulkan satu persoalan perdana – filem manakah yang akan menang besar?
Jika dinilai dari segi senarai pencalonan, sudah tentu filem arahan Edry Abdul Halim, Magika berada di tangga teratas dengan 12 pencalonan daripada 24 kategori yang dipertandingkan.
Tambahan pula, filem muzikal itu telah menggondol lima daripada tujuh anugerah yang dipertandingkan pada malam perasmian FFM23 di Center Atrium @ Curve Damansara, Mutiara Damansara pada Rabu lalu.
Ini bermakna hanya tinggal lima anugerah lagi yang menanti untuk dibawa pulang pada malam kemuncak. Sudah pasti, jika filem Magika menggondol banyak anugerah pada malam kemuncak tidak mustahil ia juga akan muncul sebagai filem terbaik FFM23.
Menurut Edry, meskipun dia amat berharap untuk memenangi lebih banyak anugerah, namun dia tetap bersyukur dengan apa yang diperolehi setakat hari ini.
“Percubaan pertama terus dapat menang anugerah, terkejut pun ada kerana filem-filem lain ada kelebihan mereka yang tersendiri. Andai kata, Magika menang lagi pada malam kemuncak sudah pasti saya orang yang paling gembira tetapi saya tidak boleh meminta lebih-lebih, kalau orang nak bagi saya terima,” ujarnya.
Walaupun begitu, Edry agak kecewa kerana tiada satu pelakonnya tersangkut dalam mana-mana kategori Pelakon Wanita atau Lelaki Terbaik.
“Saya kecewa juga kerana saya rasa pelakon saya sudah beri yang terbaik. Sekali lagi, itu adalah hak juri mungkin mereka ada pandangan mereka yang tersendiri jadi saya akur.
“Satu lagi yang saya pelik kenapa filem Magika diletakkan dalam kategori Filem Komedi Terbaik, sedangkan ia bukanlah sebuah filem komedi. Mungkin pada masa depan akan diadakan kategori Filem Muzikal Terbaik,” tuturnya mengenai filem yang bakal ditayangkan di Singapura pada 11 November depan.
No comments:
Post a Comment