NUFFNANG ADS

Thursday, October 6, 2011

Sepah bubar ganti 'Sepahtu'

Dari kiri: Mamat, Shuib dan Jep hadir bersama sewaktu program rakaman Melodi Raya pada Ramadan lalu.



Ramai yang terkejut dengan berita pembubaran 'Kumpulan Sepah' yang dianggotai oleh Mohd. Nazri Zainal Abidin (Jep), 26, Shahmira Muhamad (Shuib), 27, dan Mohd. Noor Murad (Mamat) 26, disifatkan jenama Sepah sudah cukup kuat apabila kumpulan itu menjadi juara untuk program Raja Lawak musim ketiga dan Maharaja Lawak mengalahkan pelawak popular yang lain.

Belum pun reda dengan isu pembubaran kumpulan yang berasal dari Johor itu, baru-baru ini dua bekas ahli kumpulan Sepah, Jep dan Shuib mengumumkan mereka kini bergerak bersama di bawah nama Sepahtu. Ketiadaan Mamat dalam Sepahtu menjelaskan krisis yang berlaku ketika mereka masih dalam kumpulan Sepah.

"Sebenarnya ketika dalam program Raja Lawak musim ketiga lagi kumpulan kami (Sepah) bagai retak menanti belah dan ingin berpecah. Saya ingatkan ketika di atas pentas final saya ingin umumkan kami berpecah begitu juga halnya ketika program Maharaja Lawak, tetapi tidak adil untuk peminat yang mengundi kami, jadi saya diamkan sahaja masalah kami.

"Saya sudah bersabar terlalu lama. Bukan sekali dua kali tetapi sudah tiga tahun, saya memberi peluang, ruang dan nasihat kepada Mamat untuk memberi komitmen pada kumpulan Sepah sehingga sampai satu tahap kami sudah tidak boleh buat apa. Jadi jalan penyelesaian terbaik adalah berpecah meskipun kami bertiga sedar ramai yang tidak mahu melihat kami berpecah," ujar Jep yang menceritakan masalah sebenar yang dihadapi Sepah selepas dipaksa berkali-kali.

Jelas Jep lagi, perpecahan berlaku selepas dia berfikir semasak-masaknya dan berbincang sesama mereka bertiga. Malah, perpecahan Sepah adalah untuk kelangsungan jangka hayat mereka dalam bidang seni.

"Kalau satu kumpulan banyak masalah yang timbul ia akan menyusahkan banyak pihak. Bukan kami sahaja tetapi orang sekeliling yang bekerja dengan kami, jadi lebih baik berpecah dan ikut haluan masing-masing. Sebelum berpecah saya sedih dan tertekan tetapi apabila kami berpecah umpama beban di bahu saya hilang serta saya rasa lega," luah Jep sambil berhati-hati menutur kata bimbang kata-katanya melukai mana-mana pihak.

Disoal lagi mengapa tidak teruskan sahaja dengan nama kumpulan Sepah jawab Jep: "Mamat kata Sepah itu dia yang punya, jadi kami pun pilih guna nama baharu. Lagipun, nama Sepah itu untuk kami bertiga, saya, Shuib dan Mamat dan rasanya tidak adil untuk Mamat kalau kami guna nama Sepah."

Tambah Shuib yang merupakan suami kepada penyanyi Siti Sarah: "Sepahtu bermaksud Sepah dua atau sepatu yang digabungkan bermaksud kasut, kasut ada kiri dan kanan dengan jumlahnya dua. Oleh itu, sesuailah namanya dengan kami berdua."

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2