Kenangan manis suatu ketika dahulu
BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah nasib yang melanda penerbit filem yang sering diselubungi kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman.
Siapa sangka mahligai kedua yang dibina atas dasar cinta bersama pemain bass band CRK, Mohd. Eddie Ghazali, 45, pada 13 Oktober 2013 itu kini dilanda badai.
Raja Azmi sewaktu dihubungi enggan menjelaskan punca keretakan rumah tangganya itu. Dalam nada sedih, penerbit yang berusia 55 tahun itu, tidak berselindung, mereka kini sudah sebulan tidak tinggal sebumbung.
“Masalah sudah berlaku selama sebulan dan dalam tempoh itu kami telah tinggal secara berasingan. Bukan untuk lari daripada masalah tetapi kami memerlukan ruang untuk berfikir tentang masa depan rumah tangga kami.
“Saya tidak akan berkongsi punca masalah rumah tangga kami. Biarlah hanya kami berdua sahaja yang tahu. Banyak hati yang harus dijaga, saya bimbang jika saya berkata lebih akan mengguris hati banyak pihak,” kata Raja Azmi mohon difahami.
Kesedihan hati Raja Azmi jelas terpancar menerusi nada suaranya yang tidak ceria seperti selalu. Terangnya, tiada perkataan yang boleh menggambarkan gundah hatinya ketika ini.
No comments:
Post a Comment