NUFFNANG ADS

Saturday, April 10, 2010

ARTIS BERGADUH LEPASKAN GERAM ...




KUALA LUMPUR: “Biar peminat menilai sendiri kerana mereka lebih bijak. Saya tidak mahu memberi sebarang komen,” kata pelakon, Fasha Sandha, 26, berhubung isu konfliknya dengan Nora Danish, 28, yang dikatakan kembali panas.

Segala-galanya bermula apabila Nora dikatakan menghantar mesej perkataan ‘boo boo boo’ menggunakan Twitter selepas Fasha di ‘boo’ penonton ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 di Arena Of Starz Genting Highlands, Ahad lalu.

Nora kemudian didakwa menghantar mesej provokatif dalam bahasa Inggeris yang antaranya berbunyi ‘Akui kesalahan yang awak lakukan dan minta maaf. Jangan jadi hipokrit. Orang ramai bukannya bodoh’.



Fasha membalas dengan menyampaikan mesej, juga dalam bahasa Inggeris dengan bertanya adakah dia hipokrit dan bertanya adakah Nora cukup sempurna. Fasha memberitahu dia percaya Nora tidak sempurna dan mempertikaikan sikap Nora yang membuat penilaian terhadap orang lain.

Episod ‘bidas membidas’ Fasha dengan Nora bermula dari Ahad hingga Rabu lalu sebelum Nora dikatakan menghentikan mesej yang ada kaitan dengan Fasha.

Begitupun, berdasarkan mesej kepada rakan menggunakan medium sama, Fasha menyifatkan ‘perbalahan’ berkenaan sesuatu yang melucukan kerana dia tiada masa untuk bergaduh, apatah lagi dalam keadaan dia kini gembira.

Mengenai isu di ‘boo’ penonton, Fasha berkata, ia tidak meninggalkan kesan terhadap dirinya.

Katanya, dia tetap bersyukur kerana masih dicalonkan untuk Top 5 ABPBH 2009 kategori Artis Wanita Baru Popular dan Pelakon Drama TV Wanita Popular yang membuktikan dia masih ada pengikut.

“Saya tidak kecewa kerana hanya sebahagian kecil penonton berbuat begitu. Lagipun, ia bukan isu besar dan terlalu remeh untuk diperkatakan.

“Tidak timbul isu tak laku atau populariti jatuh sebab hingga kini saya masih sibuk dengan tawaran berlakon selain terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon filem,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama Dia Atilla sebanyak 26 episod untuk Astro Prima, drama Duyung (20 episod) untuk slot Lagenda TV3 dan Cuci The Series (13 episod) di TV2.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada keluarga, teman rapat dan peminat yang tidak putus-putus memberi semangat serta dorongan untuk terus bergiat aktif dalam industri seni.

“Masih ada yang sayang walaupun ada yang membenci,” katanya.

Ketika ditanya adakah ‘insiden’ itu berlaku kerana pelbagai kontroversi seperti dituduh sebagai perampas suami orang selain dilabel sebagai perosak rumah tangga yang menimpanya, Fasha tidak pasti, namun menyifatkan isu itu sudah basi, apatah lagi sehingga hari ini masih belum terbukti kesahihan fitnah yang dilemparkan.

“Peminat juga sudah pandai menilai. Apapun, kejadian itu tidak sedikit pun melemahkan semangat saya untuk terus bergiat aktif dalam bidang ini. Ia adalah sebahagian daripada asam garam dalam industri hiburan kita,” katanya.

Sementara itu penyanyi dan pelakon, Mawi, 29, yang turut di ‘boo’ pada anugerah berkenaan menyifatkan kejadian itu adalah sesuatu yang di luar jangkaannya, namun melihat ia daripada sudut positif.

“Saya sedar kehidupan artis tidak selalu berada di atas,” katanya.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2