NUFFNANG ADS

Thursday, October 18, 2012

Artis 'lega' Kursi P. Ramlee akhirnya jadi kenyataan


KURSI P. Ramlee, program penyelidikan yang dilancarkan hari ini, disambut baik oleh barisan pelakon veteran tanah air.

Usaha kerajaan itu dilihat mampu memberi penghargaan dan memartabatkan hasil seni ciptaan Seniman Agung, P. Ramlee.

Menurut Datin Rosnani Jamil, beliau hadir majlis pelancaran itu dengan rasa gembira bercampur sedih.

Beliau yang mesra dengan panggilan Mak Nani berkata, "saya gembira, akhirnya penghargaan diberi kepada Ramlee (P.Ramlee)."

"Namun, saya sedih kerana penghargaan ini diberi tetapi dia (P.Ramlee) tidak dapat merasai langsung," katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran Kursi P.Ramlee.

Beliau mahu penghargaan seperti ini dilanjutkan kepada seniman lain yang turut berbakat seperti M. Nasir.

Katanya, "jika bukan kita yang hargai karya seniman kita, siapa lagi? Lama-lama ia akan tenggelam dek kemajuan zaman."

Sementara itu, pelakon filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Datuk Mustapha Maarof mampu menarik nafas lega selepas hasrat yang sekian lama terpendam terlaksana jua.

"Akhirnya, ia dizahirkan. Sebelum ini, Perdana Menteri terdahulu, seniman-seniman lama dan beberapa orang lagi sudah menyebut soal penghargaan seumpama ini. Cuma, hari ini ia dilaksanakan.

"Saya harap ia dimanfaatkan, bukan untuk kami yang tua tetapi untuk anak-anak dan generasi akan datang," katanya yang pernah dianugerahkan Anugerah Tokoh Perfileman Finas 2010.

Beliau juga berharap agar kajian Kursi P.Ramlee tidak terhad kepada karya P.Ramlee sahaja memandangkan banyak karya lain yang turut wajar diberi perhatian.

Tambahnya, "tidak ada soal kenapa P. Ramlee, kenapa tidak orang lain kerana apa? P.Ramlee keunggulan generasi sekarang."

Pelakon Sayang Anakku Sayang, Zulkifli Zain pula berpendapat, nama Seniman Agung itu wajar dipahat di institusi pengajian tinggi seperti Aswara supaya namanya terus dikenali di seluruh dunia.

"Kenapa tidak tukar Aswara kepada nama P.Ramlee? Dia unggul sebagai Seniman Agung, malah akan jadi kebanggaan negara memandangkan semua bidang seni ada di sini (Aswara).

"Kalau saya dapat belajar di institusi P. Ramlee, saya bangga, bahkan kita dapat membawa pelajar luar negara ke institusi itu," katanya.

Tambahnya, "Kursi P. Ramlee saja tidak cukup, biar dunia tahu siapa P. Ramlee."

Kursi P. Ramlee dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2