NUFFNANG ADS

Monday, October 29, 2012

Hazama enggan jaja kisah peribadi


KALAU melihat kepada perkembangan kerjaya Hazama Ahmad Azmi, ternyata bukan mudah buatnya untuk menempatkan diri sebagai salah seorang penyanyi popular seperti yang dikecapinya sekarang.

Misalnya, kegagalan sewaktu menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia 4 (AF4) dahulu, langsung tidak pernah melunturkan semangat Hazama. Sebagai bukti dia telah diangkat sebagai juara AF9 pada tahun lalu.

Ketika hadir menjalani sesi fotografi baru-baru ini, penyanyi itu meluahkan rasa puas hatinya dengan pencapaian yang diperoleh, meskipun cerita mengenai dirinya kurang didedahkan.

“Semenjak kebelakangan ini ada yang berkata, saya seolah-olah seperti menyepi dalam industri kerana jarang keluar di media. Namun, itu bukan bermakna saya mendiamkan diri sahaja kerana sibuk dengan kerja belakang tabir serta mengumpul bahan untuk album baharu.

“Lagipun saya kurang gemar jika kisah peribadi terlalu digembar-gemburkan semata-mata mahu popular. Saya lebih suka sekiranya orang memperkatakan tentang produk yang saya hasilkan,” ujar penyanyi berusia 28 tahun itu.

Tidak menafikan populariti juga sangat penting kepada seseorang artis, Hazama menyatakan, dengan kerjayanya sekarang sebagai seorang penyanyi sudah banyak membantu dirinya dikenali ramai.

Tambah Hazama, dia seboleh-bolehnya mahu menjadi artis yang dikenali ramai kerana bakat dan kebolehan, bukannya dengan menjaja kisah peribadi kerana ia boleh memberikan impak yang buruk kepada kerjayanya.

“Contohnya semasa cerita mengenai saya yang dikatakan berlagak sombong semasa makan di sebuah hotel beberapa bulan lalu.

“Apabila cerita tersebut tersebar ia membuatkan diri saya berasa sedikit tertekan dan kecewa sehingga takut untuk berhadapan dengan peminat,” jelasnya.

Ketika diminta menceritakan perkara sebenar tentang peristiwa yang berlaku, Hazama menegaskan, dia langsung tidak berniat mahu bersikap sombong terhadap para pekerja di hotel berkenaan.

Jelas penyanyi itu, perbuatannya yang tidak menghabiskan makanan yang telah dihidangkan bukanlah disebabkan mahu berlagak. Sebaliknya, secara kebetulan makanan berkenaan tidak menepati seleranya.

“Saya pernah bekerja di hotel tersebut dan mempunyai ramai rakan di sana. Namun, secara kebetulan saya dilayan oleh pekerja baharu dan rakan-rakan saya pula tidak bekerja pada masa itu,” ujarnya.

Tidak mahu dilabel sebagai penyanyi sombong dalam kalangan peminatnya memandangkan kariernya kini yang semakin berkembang, Hazama menyatakan dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya dan akan melayan para peminatnya dengan sebaik mungkin.

No comments:

Anda boleh mendengar siaran Radiokita di Blog anda (copy +paste)

 

Popular Posts

LOGO RADIOKITA

LOGO RADIOKITA
LOGO

RADIOKITA STESEN 1

Radiokita Stesen 2